Pelakon Bell sah cerai talak satu


Pelakon popular Nasrizal Ngasri atau lebih dikenali sebagai Bell, sah bercerai talak satu dengan isterinya, Nur Farhana Mahamad Fauri di Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Lumpur, semalam.

Bell, 28, menceraikan Nur Farhana atau lebih mesra dengan panggilan Shasha, 26, melalui SMS yang dihantarnya pada jam 3 petang, 22 Oktober lalu, dengan berkata: 'Aku ceraikan kau. Thank You (terima kasih). Selamat berjaya.'

Dalam prosiding semalam, Bell tidur lena di galeri awam dan masih tidak sedar walaupun kesnya sudah dipanggil jurubahasa mahkamah jam 10 pagi, sehingga terpaksa dikejutkan oleh isterinya.

Sebaik sedar dari tidur, Bell segera menuju ke hadapan menemui Hakim Mohd Yunus Mohamad Zin yang sedang menunggunya.

"Kamu sedar tak ni? Tadi kamu tidur dekat belakang. Ini kes cerai ni... kes serius," soal Mohd Yunus.

Bell menyatakan dia sudah sedar sepenuhnya dan memberitahu mahkamah beliau hadir di mahkamah untuk pengesahan lafaz cerai yang diucapkannya melalui SMS terhadap isterinya.

Bell berkata, beliau sendiri yang menaip SMS itu dan menghantarnya kepada Nur Farhana, bagaimanapun tidak menyimpan salinan SMS berkenaan.

Nur Farhana kemudian menunjukkan SMS itu yang masih disimpan di dalam telefon bimbitnya kepada Bell.

Mohd Yunus berkata: "Kesimpulannya daripada pergaduhan kamu berdua sehingga menyebut kepala otak la dan sebagainya dalam SMS itu, akhir sekali kamu ada melafazkan cerai terhadap Nur Farhana."

Bell mengakui dan menyatakan tidak pernah bercerai dengan isterinya sebelum ini.

Disoal Mohd Yunus sama ada perceraiannya berpunca daripada kehadiran orang ketiga, Bell menafikannya dan menyatakan Nur Farhana salah faham kerana ada individu menyampaikan cerita kepadanya bahawa beliau berada di tempat lain dan bukannya di lokasi penggambaran.

"Sebenarnya ketika itu saya berlakon drama dan sedang 'shooting' (membuat penggambaran). Dia (Nur Farhana) tidak mahu menerima penjelasan saya.

"Mungkin pelanduk dua serupa. Banyak sangat kembar saya," katanya hingga menimbulkan tawa kecil dikalangan hadirin.

Mohd Yunus berkata: 'Biasalah awak artis, mana saja awak pergi semua orang kenal'.

Sementara itu, Nur Farhana mengakui kenyataan suaminya dan perceraian mereka berpunca salah faham.

Nur Farhana berkata, mereka bergaduh melalui SMS dan mengakui menerimanya ketika berada di rumah serta Bell menghubunginya bagi mengesahkannya mendapat SMS berkenaan.

Selepas mendengar keterangan kedua-dua pihak, Mohd Yunus mengesahkan perceraian pasangan itu dengan talak satu dan menyatakan mereka mempunyai peluang untuk rujuk semula sebagai suami isteri dengan pergi ke pejabat agama.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Bell mengakui apa yang berlaku (perceraian) dalam rumah tangganya berpunca daripadanya.

"Ini pengalaman dan pengajaran untuk saya... saya tidak belajar mengenai ilmu kehidupan dan tidak pandai dalam hal ini. Saya akan mencari jalan penyelesaian dan mungkin rujuk semula dengan isteri kerana saya masih sayangkannya," katanya.

- Berita Harian

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.