Khamis, Oktober 09, 2008

Peluk tanda kasih

AGAMA meletakkan garis panduan bahawa 24 jam yang diperuntukkan memang cukup buat ibu bapa memanfaatkan sepenuhnya waktu untuk mencari rezeki, beribadat dan rehat yang mencukupi selain merancang perkara berfaedah untuk kebaikan keluarga tercinta.

Namun, ada yang tersasar kerana terlalu mengejar kebendaaan hingga melupakan tanggungjawab dan amanah membina keluarga.

Kembalilah bermuhasabah supaya anak-anak dan keluarga tidak jauh tersisih. Jika anda baru saja membina keluarga, panduan berikut mungkin boleh digunakan untuk memperoleh kebahagiaan keluarga yang diingini:



Jalankan peranan sebagai ibu bapa.



Menyediakan keperluan asas keluarga sesuai dengan pendapatan, saling mengambil berat dan berkongsi antara satu sama lain. Jadilah contoh yang baik kepada anak-anak dan kotakan apa yang dikata.



Amalkan cara berkomunikasi yang baik (dengan pasangan, anak, ahli keluarga dan rakan). Pilih perkataan yang sesuai dan hormatilah orang lain.

Jadilah pendengar yang baik. Belajarlah mendengar supaya orang lain boleh bercakap dan belajarlah bercakap supaya orang lain mahu mendengar.


Wujudkan suasana rumah tangga positif.

Belajar mengendali sikap negatif ahli keluarga tanpa diri sendiri bersikap negatif. Pupuk hubungan sebaik mungkin sesama pasangan dan anak. Selesaikan sebarang salah faham dan konflik dengan segera.


Amalkan sikap terbuka, jangan lokek meluahkan kasih sayang.

Katakan ‘sayang’ atau ‘saya ambil berat mengenai diri...’ kepada orang yang disayangi. Beri pelukan untuk menunjukkan kasih sayang kerana satu pelukan sehari akan menceriakan anda sepanjang hari.

Berikan kad ucapan atau nota kepada ahli keluarga sekerap mungkin.


Kemahiran daya tindakan

Setiap perkahwinan akan mengalami pelbagai peringkat dan bentuk permasalahan rumah tangga. Pasangan suami isteri yang lebih peka dan bersedia akan dapat menghadapi sebarang cabaran.

Hasilnya, tekanan emosi akibat masalah rumah tangga akan dapat dikurangkan. Sebenarnya, mempelajari kemahiran daya tindak yang berkesan akan membantu menangani masalah rumah tangga dan mengelakkan keretakan rumah tangga.


Amalkan kemahiran daya tindak yang lain seperti berdoa, bertafakur, senaman pernafasan, teknik rehat, senaman fizikal atau bergurau senda untuk mengurangkan tekanan dalam keluarga.


Masalah keluarga

Analisis masalah sama ada situasi itu boleh diubah atau sebaliknya. Jika situasi boleh diubah, kenal pasti masalah contohnya anak tidak lagi minat bersekolah. Antara cara mengatasi masalah termasuk berbincang dengan guru, anak, bertanyakan anak mengenai masalahnya atau dapatkan bantuan profesional.


Buat pilihan untuk bertindak

Bagi situasi tidak boleh berubah misalnya kematian ahli keluarga, cuba ubah pengertian situasi berkenaan. Contohnya, anggap kematian sesuatu yang semula jadi atau Tuhan lebih menyayanginya.

Ibu bapa yang mempunyai kesihatan mental yang baik dapat berkomunikasi dengan pasangan, anak, ahli keluarga, jiran dan masyarakat sekeliling dengan harmoni.

Memupuk kasih sayang dalam keluarga penting bagi mencapai keharmonian perkahwinan dan hidup berkeluarga yang bahagia. Amalan ini mewujudkan suasana kekeluargaan yang menyokong ke arah kebaikan kesihatan mental seisi sekeluarga.


Kendali emosi anda

Kongsi perasaan dengan orang yang boleh dipercayai. Tingkatkan kekuatan kerohanian contohnya dengan bersembahyang, bertafakur, amalan membaca kitab agama dan lakukan perkara bermanfaat.

Amalkan bicara diri yang positif seperti ‘saya bagus’, ‘saya boleh’ dan ‘saya penyayang’. Elakkan bercakap atau bertindak dalam keadaan yang marah.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts