Jumaat, September 05, 2008

LHDN kumpul RM74.7 bilion

Kenaikan kos sara hidup tidak menjejaskan nilai kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang sudah mengumpulkan sejumlah RM74.7 bilion hingga 31 Ogos lalu, meningkat 15 hingga 20 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Eksekutif LHDN, Datuk Hasmah Abdullah, berkata sehubungan itu, lembaga dijangka mampu mengutip jumlah cukai bersih seperti disasarkan iaitu RM77 bilion bagi sepanjang tempoh cukai taksiran 2007.

Beliau menjelaskan, kesan kenaikan kos sara hidup hanya akan memberi kesan kepada kutipan tahun taksiran 2008, namun ia mungkin tidak menjejaskannya kerana penurunan akan diimbangi jangkaan peningkatan cukai daripada harga komoditi seperti petroleum dan minyak sawit.

"Penurunan ekonomi dunia, yang turut dirasai negara apabila kerajaan menurunkan anggaran kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan kepada 5.4 peratus.

"Walaupun keadaan ini membimbangkan, nilai kutipan cukai yang perlahan dalam beberapa sektor seperti pengguna dan runcit akan diimbangi cukai korporat dan komoditi seperti petroleum dan minyak sawit yang tinggi.

"Kami akan memantau perkembangan yang berlaku dan akan menyelaras strategi mengikut perkembangan yang berlaku," katanya pada sidang media selepas perasmian Seminar Percukaian Kebangsaan 2008 oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha, di sini, semalam.

Untuk pembayaran balik, beliau menjangkakan sejumlah RM6 bilion akan dipulangkan kepada pelanggan, dan lazim pembayaran balik akan diperoleh pembayar cukai dalam tempoh 30 hari selepas membuat penilaian.

Namun, katanya, tempoh itu turut bergantung kepada kes dihadapi iaitu tidak semestinya mereka yang terlebih bayar akan mendapat balik wang lebihan berkenaan selepas penilaian tambahan dibuat.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts