Ahad, September 21, 2008

Ketidakseimbangan gula darah

MUSIM perayaan kian menjelang dan ketupat, rendang serta lontong merupakan juadah tradisi yang pasti tidak ketinggalan pada hari istimewa ini. Dengan makanan dan kuih-muih yang beraneka jenis pada waktu berbuka puasa dan Hari Raya, ada di kalangan kita yang terlalu menurut nafsu makan sehingga mengabaikan kesihatan.

Malah, kebanyakan daripada kita menggunakan perayaan atau sambutan sebagai alasan untuk makan atau minum secara berlebihan. Makanan dan minuman manis sememangnya sedap dan menyelerakan tetapi pernahkah anda terfikir tentang kandungan gula dalam hidangan tersebut?

Adakah anda sedar bahawa segelas air minuman berkarbonat (250ml) mengandungi lebih kurang 25 gram gula?

Tabiat pemakanan yang tidak sihat merupakan faktor utama terjadinya ketidakseimbangan gula darah. Ketidakseimbangan ini adalah keadaan di mana tubuh seseorang gagal mengawal gula dengan berkesan.

Insulin merupakan hormon yang bertanggungjawab mengawal paras gula darah dalam julat yang sepatutnya. Apabila badan tidak dapat menggunakan insulin secara berkesan atau kekurangan penghasilan insulin, ketidakseimbangan gula darah berlaku lalu menyumbang kepada diabetes melitus.

Selain diet yang tidak sihat, gaya hidup yang sedantari, stres dan berat badan berlebihan adalah antara faktor lain yang turut menyumbang kepada masalah ini.

l Apabila ketidakseimbangan gula darah berlaku

Sebenarnya, gula dalam darah tidak memberi kemudaratan sekiranya ia berada pada paras yang normal kerana gula adalah penting untuk sel otak.

Penurunan paras gula yang mendadak akan menyebabkan pitam atau koma. Ia turut mengganggu sistem saraf dan menyebabkan emosi mudah terganggu, sakit kepala, pening, lemah, letih dan kurang daya tumpuan.

Sel badan kita juga memerlukan gula dalam kuantiti yang sederhana untuk penghasilan tenaga. Akan tetapi, apabila berlebihan atau paras gula dalam darah adalah tinggi, ia meningkatkan risiko penyakit diabetes.

Jika tidak terkawal, ia menyebabkan hiperinsulinemia, iaitu kenaikan paras insulin dalam darah melampau yang boleh merendahkan paras gula (hipoglisemia). Komplikasi lain termasuk trigliserida yang tinggi, tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular.

l Menangani masalah ketidakseimbangan gula darah

Terdapat beberapa jenis herba iaitu gymnema, fenugreek, holy basil dan peria yang terbukti bermanfaat dalam pengawalaturan gula darah. Bahan aktif dalam gymnema, asid gimnemik membantu menjana semula sel beta yang merembeskan insulin dalam pankreas dan meningkatkan pengeluaran insulin.

Ekstrak gymnema memberi kesan positif kepada penghidap diabetes dan apabila diberikan kepada mereka yang sihat, ia tidak memberi kesan hipoglisemia.

Fenugreek atau lebih dikenali sebagai halba boleh meningkatkan penggunaan glukosa dan memperlahankan penyerapan gula dalam tubuh. Halba juga merangsang pengeluaran insulin apabila paras gula meningkat.

Dalam satu kajian (Agrawal P. et al, 1996) yang melibatkan 40 pesakit diabetes, didapati paras gula darah menurun sebanyak 17.6 peratus dengan pengambilan herba holy basil.

Keputusan menunjukkan bahawa holy basil membantu merendahkan paras gula melalui peningkatan penggunaan glukosa dan penghasilan insulin. Peria atau nama saintifiknya, Momordica charantia pula bertindak merendahkan penyerapan glukosa dalam saluran usus.

Herba-herba tradisional ini sesuai untuk individu yang mempunyai paras gula darah yang tinggi atau mereka yang ingin mengekalkan paras gula yang sihat.

Jika diambil bersama, ia memberi kesan sinergi dan lebih berkesan dalam menangani masalah ketidakseimbangan gula darah.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.