21 September tarikh keramat keamanan

HIDUP tanpa perang, tanpa sengketa adalah idaman masyarakat dunia. Keamanan pastinya menjadi sesuatu yang ingin dikecapi sepanjang hidup. Tidak ada yang lebih sempurna dan bahagia dalam kehidupan melainkan rasa tenteram dan bebas bergerak ke mana saja tanpa dikekang rasa bimbang.

Keinginan untuk menikmati keamanan di tanah air sendiri sudah pasti menjadi harapan dan dambaan semua makhluk di bumi ini. Biarpun manusia mahupun haiwan, semua makhluk bernyawa tidak akan betah dengan bahang peperangan, sebak dada melihat tumpahan darah, malah benci juga mendengar jerit pekik pertengkaran.

Keamanan bukan saja bermaksud bebas tanpa perang, malah maknanya lebih menyeluruh kepada rasa tenang di negara sendiri, mengecapi kemerdekaan dalam erti kata sebenar serta nikmat muhibah yang terserlah lantaran kekuatan ukhuwah sesama penduduknya.

Namun, harga bagi keamanan itu bukan sesuatu yang murah dan mudah dikecapi. Sejak zaman manusia mula diturunkan ke bumi ini, api peperangan tidak pernah padam. Malah, sejak akhir-akhir ini, kekejaman dan kebinasaan disebabkan peperangan semakin menjadi-jadi.

Rasa insani dalam diri manusia sudah semakin luntur. Melihat tumpahan darah dan mendengar rintih sakit kanak-kanak serta wanita sudah seakan lumrah biasa yang kadangkala menjadi mainan telinga pula bagi pengganas perang.

Lihat saja apa yang berlaku di Palestin hingga kini. Kesan peperangan di Iraq yang saban hari mengundang derita. Kebinasaan Somalia yang hingga kini merangkak untuk dibangunkan semula. Keperitan yang terpaksa ditanggung penduduk Afghanistan gara-gara sikap rakus Barat. Pergolakan yang belum padam di Lubnan. Krisis dalaman yang mengundang huru-hara di Thailand, India dan Pakistan.

Semua itu bukan cerita dongeng 1001 malam yang enak didengar tetapi menjadi cerita duka yang saban hari menyesakkan telinga seluruh penduduk dunia. Bukan sedikit masyarakat negara lain yang menumpahkan air mata tiap kali menonton kesan perang di televisyen membuktikan peperangan menyakitkan hati seluruh masyarakat dunia.

Pelbagai usaha sudah dijalankan termasuk campur tangan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setiap kali berlaku peperangan. Tidak kurang juga amaran gencatan senjata sudah jenuh dikeluarkan. Malah, Malaysia juga kerap kali menjadi negara utama dalam melancarkan misi keamanan.

Namun, hati keras pihak yang terbabit dengan peperangan bukan mudah untuk dilenturkan. Buktinya, peperangan membabitkan Israel dan Palestin. Sudah banyak amaran diberikan negara lain termasuk arahan PBB tetapi perang terus berlaku dan terus membunuh begitu banyak nyawa tidak berdosa.

Justeru, seluruh penduduk dunia mengharapkan berlakunya keajaiban yang mampu menghentikan semua peperangan dan mengembalikan dunia kepada satu titik keamanan yang menjadi dambaan semua.

Paling tidak, hati ini teringin juga melihat dunia ini sunyi tanpa bunyi bedilan senjata atau dentuman bom sekurang-kurangnya selama setahun. Tak dapat setahun, sebulan. Jika tidak pun, sehari, 24 jam aman tanpa bahang perang. Namun, ia tampak mustahil ketika ini.

Maka, usaha yang digerakkan PBB dengan kerjasama sejuta tentera veteran seluruh dunia untuk mewujudkan rasa keamanan pada satu detik yang sama dan mengambil satu tarikh yang tetap untuk diangkat sebagai Hari Keamanan Dunia wajar disambut sebagai satu memori penting seluruh penduduk dunia.

Tarikh 21 September setiap tahun dijadikan tarikh keramat yang bakal menjadi penggerak utama kepada ledakan keamanan untuk dikecapi masyarakat dunia. Pastinya, tarikh itu pada tahun ini wajar dinantikan dan disambut dengan penuh rasa syukur kerana jika berjaya seperti dirancangkan, dunia akan sepi tanpa perang pada ketika itu.

Sebagai satu usaha merealisasikan matlamat itu, seluruh dunia akan diminta bertafakur selama seminit tepat jam 12 tengah hari pada 21 September ini sebagai tanda sokongan kepada tuntutan keamanan. Malah, seluruh dunia akan dipantau oleh wakil PBB bagi memastikan tidak berlaku kekecohan atau peperangan pada detik seminit itu.

Pengerusi penganjur acara itu di negara ini, Mejar Jeneral Datuk Khairuddin Abu Bakar, berkata meskipun satu kepayahan melihat dunia ini tenang dalam tempoh 24 jam, simbolik dengan meminta semua orang bertafakur selama seminit mampu memberi kesedaran betapa keamanan itu sangat menenangkan.

Malah, urus setia penganjur yang dikendalikan Majlis Veteran Angkatan Tentera Malaysia turut menyelitkan satu acara simbolik yang bakal menjadi kekuatan sebenar sambutan hari itu di Malaysia iaitu mengadakan Perarakan Keamanan (Walk For Peace).

“Lebih 3,500 peserta daripada pelbagai agensi sama ada anggota pasukan keselamatan, badan kerajaan, badan bukan kerajaan, syarikat korporat, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah akan terbabit dalam perarakan simbolik itu sebagai menyatakan sokongan kepada keamanan.

“Majlis itu akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Perarakan akan dimulakan dari dataran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menuju ke Dewan Merdeka di aras empat bangunan itu.

“Meskipun perarakan itu dalam jarak yang pendek, ia sudah cukup memadai untuk menunjukkan sokongan kita terhadap keamanan. Harapan saya, seluruh warga Malaysia terbabit sama ada hadir ke majlis itu atau turut bertafakur selama seminit pada jam 12 tengah hari. Mungkin ada siaran langsung,” kata Khairuddin ketika ditemu bual Berita Harian baru-baru ini.

Menyedari sesuatu majlis di negara ini sukar mendapat sambutan sekiranya tidak diserikan dengan persembahan artis atau acara berbentuk hiburan, urus setia sambutan kali ini turut menyelitkan persembahan deklamasi sajak dan nyanyian lagu tema ‘Aman’ yang dicipta khusus untuk sambutan hari itu.

“Antara artis yang terbabit nanti ialah Roy dan Datuk Rahim Razali. Namun, kebetulan sambutan tahun ini jatuh pada bulan puasa, persembahan terpaksa dibataskan sebagai menghormati sensitiviti semua pihak. Bukan apa, jika semua orang boleh berfikiran positif, tak ada masalah. Takut nanti, ada yang hentam sana sini.

“Namun, sambutan kali ini pasti mencabar dan lebih bermakna kerana ketika Ramadan, seluruh dunia akan bertafakur mengharapkan keamanan. Hiburan bukan lagi satu isu besar kerana untuk melihat seluruh dunia berharap untuk keamanan adalah misi kami yang paling utama,” katanya.

Beliau berkata, pada hari itu, satu tayangan slaid akan dipancarkan memaparkan gambar tragedi yang menyayat hati daripada kesan peperangan yang sekali gus akan membuka mata masyarakat terhadap keburukan peperangan.

“Apa yang pasti, kita akan lihat ramai yang menitiskan air mata nanti. Jika ada hati yang langsung tak tersentuh dengan gambar itu, dia bukan manusia normal. Sekurang-kurangnya hati mesti terusik. Jika ia terjadi, hasrat kami dianggap tercapai,” katanya. 21 September tarikh keramat keamanan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.