Khamis, September 04, 2008

Kerjasama rakyat perlu untuk atasi kemelut ekonomi

BAJET 2009 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat, Jumaat lalu dijangka mampu mengatasi masalah ekonomi semasa terutama yang dihadapi golongan berpendapatan rendah dan sederhana tanpa menjejaskan strategi pertumbuhan negara.

Malah dengan pengenalan beberapa langkah meningkatkan pendapatan boleh guna dan mutu hidup rakyat serta pertambahan peruntukan pembangunan, matlamat untuk mengekalkan kadar pertumbuhan yang mapan dijangka dapat dipertahankan.

Pemilihan tiga strategi utama bajet itu – menjamin kesejahteraan rakyat, membangun modal insan berkualiti dan memperkukuh daya tahan negara menunjukkan dengan jelas bahawa kerajaan masih komited dalam memenuhi teras misi nasional walaupun dalam keadaan serba sukar dan mencabar.

Seperti dijangka beberapa masalah terus membebankan rakyat seperti pengangkutan awam yang tidak memuaskan, keadaan keselamatan yang tidak memuaskan dan usaha penghapusan kemiskinan tetap diberikan perhatian khusus.

Tiada siapa boleh menafikan bahawa golongan yang menjadi sasaran khusus bajet ini seperti petani dan nelayan, kakitangan awam berpangkat rendah dan pesara, orang kurang upaya serta peniaga dan pengusaha kecil adalah kumpulan paling teruk terjejas akibat kenaikan harga minyak dan makanan global sekarang.

Sebarang kerajaan yang dipilih rakyat boleh dianggap sebagai tidak bertanggungjawab kalau dalam keadaan sekarang, nasib golongan ini diabaikan. Jadi memang tepat seperti dijelaskan Perdana Menteri bahawa kerajaan hanyalah melaksanakan tanggungjawabnya dan bukan untuk mengejar populariti apabila secara kebetulan ia memperkenalkan langkah yang dianggap populis dalam bajet kali ini.

Meskipun keseluruhan kandungan bajet ini akan hanya dibahaskan apabila sidang Dewan Rakyat, kini ditangguh kerana cuti Ramadan, disambung semula selepas Aidilfitri ini, banyak manfaatnya kalau setiap pihak dapat menerima bajet itu secara positif dan terbuka.

Pada asasnya, sebarang bajet mempunyai dua komponen – pendapatan dan perbelanjaan. Termasuk dalam perbelanjaan ialah peruntukan mengurus yang mengandungi bayaran gaji dan upah kakitangan serta bayaran perkhidmatan. Juga termasuk dalam akaun perbelanjaan ialah peruntukan bagi pembangunan.

Sebanyak mana kerajaan harus berbelanja untuk sesuatu tahun itu perlu diselaras atau dipadankan dengan pendapatan atau hasil yang dijangka diperoleh untuk tahun berkenaan.

Hasil atau pendapatan yang tinggi akan membolehkan kerajaan berbelanja dengan lebih. Sebaliknya jika hasil berkurangan tentulah kemampuan kerajaan untuk berbelanja juga akan terhad, kecuali kalau kerajaan memutuskan untuk berbelanja lebih daripada pendapatan dengan cara berhutang.

Jika ini yang dilakukan bajet itu akan menghadapi defisit. Kalau nisbah defisit ini berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) agak besar dan berterusan tahun demi tahun, ia mungkin akan menjejaskan kepercayaan pihak luar terhadap ekonomi negara dan dengan itu keupayaan kredit negara akan terhakis.

Rakyat tentu sudah terlalu mahir dengan bentuk perbelanjaan yang disediakan kerajaan setiap tahun. Rakyat di luar bandar pun tahu mengemukakan permohonan untuk pelbagai projek menerusi wakil rakyat masing-masing atau terus kepada menteri apabila ada kesempatan. Jadi ini bukanlah sesuatu yang asing bagi kebanyakan orang.

Apa yang mungkin kurang difahami kebanyakan orang ialah punca hasil kerajaan (dalam hubungan ini Kerajaan Pusat). Satu perkara yang perlu ditegaskan ialah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perbelanjaan kerajaan meningkat pada kadar yang lebih pantas daripada peningkatan pendapatan.

Akibatnya kerajaan terpaksa menyediakan bajet yang berbentuk defisit. Bagaimanapun, melalui pengurusan kewangan secara berhemah, kerajaan berjaya mengurangkan defisit itu dengan berperingkat sehingga 3.2 peratus daripada KDNK tahun lalu.

Bagaimanapun, tahun ini defisit itu dijangka meningkat kepada 4.8 peratus kerana peruntukan yang lebih terpaksa disediakan untuk pelbagai subsidi dan bantuan kepada rakyat akibat tekanan inflasi yang pada Julai mencecah 8.5 peratus, satu paras tertinggi dalam tempoh 27 tahun.

Pada masa yang sama, pergantungan kerajaan terhadap komoditi seperti kelapa sawit dan petroleum juga meningkat setiap tahun berbanding kepada sumber lain seperti percukaian atau lain-lain pendapatan.

Kini hampir 40 peratus daripada hasil negara diperoleh daripada petroleum dan kegiatan berkaitan petroleum.

Pada masa sama negara juga terpaksa menyediakan puluhan bilion ringgit setiap tahun bagi menampung pelbagai bentuk subsidi untuk rakyat, industri dan sektor tertentu dalam ekonomi.

Berdasarkan kepada latar belakang di atas opsyen yang ada pada kerajaan dalam menyediakan Bajet 2009 ini adalah terlalu terhad dan boleh dijangka. Dalam keadaan demikian, siapa saja yang memimpin kerajaan akan terpaksa melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh Abdullah dan pegawainya.

Apa yang perlu difikirkan oleh setiap pihak mulai sekarang ialah apa yang perlu dilakukan bukan saja untuk tempoh jangka sederhana tetapi juga untuk tempoh jangka panjang kalau Malaysia mahu terus berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

Adalah jelas bahawa masalah yang perlu difikirkan adalah jauh melampaui Bajet 2009. Andainya semua pihak bersedia menggembleng tenaga, bekerjasama secara ikhlas dan mengurangkan politiking, adalah diyakini bahawa Malaysia mampu keluar daripada sebarang kemelut ekonomi yang bakal menimpa banyak negara pada tahun mendatang.

Untuk itu, satu-satunya langkah yang perlu dilaksanakan segera tanpa teragak-agak ialah penyusunan semula struktur ekonomi itu sendiri supaya sebarang perbelanjaan yang tidak produktif seperti pemberian subsidi perlu dihentikan. Sebarang keputusan yang dipersetujui hendaklah dilaksanakan dengan tegas dan berani meskipun ia mungkin mendapat tentangan keras daripada pihak berkepentingan.

Untuk ini, rakyat hendaklah memberikan keyakinan yang tidak berbelah-bahagi kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi seperti yang pernah dihadapi beberapa kali sebelum ini.

Bak kata Perdana Menteri sendiri, "Apa saja badai yang menjelang tiba, kita perlu hadapinya bersama-sama."

Datuk Abdul Rahman Sulaiman
bekas Ketua Pengarang Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.