Isnin, Mei 03, 2021

Kilafairy akhirnya bertudung

 

"Ya Allah hadirkan aku rasa ketakutan untuk pakai tudung. Tunjukkan kepadaku. Alhamdulillah, saya kini sudah berhijab," kata pelakon dan penyanyi Kilafairy mengenai doa yang sering dititipkannya ketika meminta petunjuk untuk berhijab tahun lalu. 

Kilafairy, 29, atau mesra disapa Kila berkata, buat masa ini dia belum bersedia untuk berkongsi detik perasaan yang menjentik hatinya untuk memakai tudung. 

"Saya belum bersedia untuk berkongsi, bagaimana saya boleh tiba-tiba nak berhijab. Saya nak simpan rahsia ini untuk diri sendiri dulu. 

"Lagipun papa pesan jangan kongsikan kepada sesiapa, sebab ini adalah hadiah yang Tuhan berikan kepada saya. 

"Cuma apa yang boleh saya kongsikan, saya dah lama nak bertudung. Tapi banyak anasir jahat dan cuba takut-takutkan saya apabila nak berhijab. Disebabkan itu, saya tangguhkan hasrat ini untuk beberapa tahun," katanya. 

Menurut Kila, dia bagaimanapun bersyukur tidak berdepan sebarang kesulitan selepas mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya tahun lalu. 

"Bila dah sampai waktu untuk berhijab, saya tidak berdepan sebarang kesukaran. Malah, rakan-rakan selebriti pun ramai yang hantar mesej peribadi kepada saya mengenai penghijrahan ini. 

"Sebenarnya ramai selebriti yang masih belum berhijab teringin nak bertudung, tapi masa mereka belum tiba. Apa yang mampu saya katakan, jangan putus berdoa jika inginkan perubahan dalam hidup," katanya.

Sumber : Harian Metro

Ahad, Mei 02, 2021

Gagal bayar kompaun boleh dibawa ke mahkamah

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mereka yang gagal membayar kompaun akibat kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 boleh dibawa ke mahkamah.

Beliau berkata, setiap undang-undang dibuat merangkumi kesalahan iaitu larangan daripada melakukan sesuatu perkara dan ada peruntukan mengenai hukuman ataupun penalti.

"Hukuman, denda, kompaun dan sebagainya yang dikenakan itu adalah pilihan terakhir serta perlu digunakan dengan penuh budi bicara.

"Dalam hal ini (kompaun dikeluarkan), kita percaya pihak penguat kuasa yang diberi kuasa mengikut undang-undang khususnya Akta 342 sama ada polis, penguat kuasa pihak kerajaan tempatan (PBT) atau pegawai kesihatan mampu mengendalikannya.

"Kita mengharapkan sebarang pengeluaran kompaun dan sebagainya dibuat sebagai langkah terakhir untuk kita mengawal daripada berlakunya tindakan yang boleh menaikkan lagi masalah penularan COVID-19 ini," katanya.

Takiyuddin berkata, individu yang dikompaun berhak mengemukakan rayuan dan pada masa sama, pihak berkuasa yang mengenakan kompaun pula boleh menggunakan budi bicara jika mahu memberikan pengurangan.

Beliau berkata, kompaun yang dikenakan itu sebenarnya bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan.

"Denda yang dikenakan jika dibayar dalam tempoh tertentu akan menerima diskaun sama ada 50 peratus atau 25 peratus dan bagi golongan B40, pelajar dan orang yang mempunyai asas pula boleh mengemukakan rayuan.

"Saya difahamkan Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga kini hanya mengenakan amaran saja. Sebab itu kita kata udang-undang dibuat bergantung kepada besar atau kecil sesuatu kesalahan," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Harga jualan rumah lebih rendah awal 2021

 

Trend keseluruhan harga jualan rumah dalam suku pertama 2021 mencatatkan penurunan 1.79 peratus berbanding suku sama tahun lalu dan 0.84 peratus lebih rendah jika dibandingkan dengan suku terakhir 2020.

Laporan terbaharu Indeks Pasaran Hartanah PropertyGuru Malaysia (MPMI) yang diterbitkan laman web hartanah nombor satu Malaysia, PropertyGuru, menunjukkan penurunan mungkin berkait rapat dengan kebimbangan pembeli yang kini mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat'.

Ia disebabkan oleh lonjakan semula jangkitan COVID-19 dan

pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua yang mempengaruhi aktiviti komersial.

"Dengan situasi ekonomi pandemik yang tidak menentu ini, kami percaya bahawa sentimen waspada menguasai pasaran dan pasaran hartanah dijangka berdepan trend harga turun naik dalam beberapa bulan mendatang.

"Namun, peningkatan kadar vaksinasi di seluruh masyarakat Malaysia diharapkan dapat menambahkan kestabilan dan meningkatkan sentimen pengguna selari dengan perkembangan semasa," kata Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez.

Beliau menambah, rancangan kerajaan untuk melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) hingga ke akhir 2021 disambut baik pasaran, kerana ia akan terus memainkan peranan penting untuk mendorong minat pembeli apabila situasi ekonomi mula bertambah baik di sepanjang tahun.

"HOC terbukti sebagai rangsangan ekonomi yang berkesan dan ia sememangnya membantu untuk mengurangkan beban pembeli hartanah pada masa sukar ini.

"Sekiranya kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh HOC hingga ke hujung tahun ini, kami menggesa pencari rumah untuk memanfaatkan insentif yang ada, harga semasa yang rendah dan kadar faedah kondusif," katanya.

Laporan terkini PropertyGuru mendapati keseluruhan harga jualan rumah masing-masing merosot sebanyak 0.66 peratus, 0.29 peratus dan 1.36 peratus di Kuala Lumpur, Johor, dan Pulau Pinang jika dibandingkan dengan suku sebelumnya.

Perbandingan tahunan menunjukkan harga jualan rumah di Kuala Lumpur susut sehingga lima peratus, penurunan

tertinggi yang dicatatkan sejak PropertyGuru melancarkan indeks pasaran pada 2016.

Penurunan trend lebih dua tahun ini dipercepatkan pandemik serta boleh dilihat sebagai trend pengubahan harga yang bermula seiring dengan tempoh ekonomi yang mencabar dan penawaran harga melampau hartanah.

Sumber : Berita Harian

Neelofa punyai pengikut Instagram tertinggi di Malaysia

 

Meskipun dilanda 1,001 badai, selebriti berniqab terkenal, Neelofa terus gah dalam media sosial sebagai selebriti tanah air paling ramai pengikut Instagram setakat ini.

Berdasarkan hasil tinjauan Kosmo! Online, sehingga hari ini pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor, 32, itu memiliki sebanyak 8.6 juta pengikut Instagram.

Jumlah berkenaan sekali gus meletakkan dirinya sebagai selebriti paling berpengaruh dalam Instagram Malaysia seterusnya mengenepikan pemegang tangga pertama terdahulu iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan 8.2 juta pengikut ketika ini.

Catatan tersebut juga membuktikan segala kecaman-kecaman netizen yang kononnya ingin memboikot isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail itu pelbagai kontroversi seperti pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dan selipar penunggang agama sebelum ini sekadar sia-sia.

Sebaliknya, segala kekecohan yang berlaku seperti teka-teki tarikh pernikahan, lawatan kerja bulan madu dan langgar SOP sebenarnya memanaskan lagi pengaruh dan kuasa media sosial isteri PU Riz itu serta keluarganya. Tidak hairanlah jika sebelum ini mereka pernah digelar Kardashian Kelantan.

Berdasarkan hasil tinjauan, selain Neelofa dan Siti Nurhaliza, selebriti versatil, Zizan Razak juga antara artis tanah air dengan jumlah pengikut yang ramai iaitu 7.8 juta, diikuti Nora Danish (7.3 juta) dan Mira Filzah (7.2 juta).

Untuk rekod, Kosmo Online! pada 12 Ogos tahun lalu melaporkan Siti merupakan selebriti tanah air yang mempunyai jumlah pengikut Instagram paling ramai, diikuti Neelofa (7.6 juta), Zizan Razak (7.4 juta) dan Nora Danish (7.1 juta).

Minggu lalu, bekas pengacara MeleTOP itu dan beberapa ahli keluarganya lain turut dikenakan kompaun yang keseluruhannya berjumlah RM60,000 atas kesalahan melanggar SOP majlis perkahwinan serta urusan rentas negeri.

Sumber : Kosmo!

Hati-hati beli emas dalam talian

 

Gambar Hiasan

 

Menjadi lumrah kaum wanita meminati barang perhiasan emas kerana kerlipannya boleh menaikkan seri serta nilai kewanitaan si pemakai. Malahan, kini ia menjadi aset untuk pelaburan.

Trend pembelian emas dilihat kini semakin meningkat terutama secara dalam talian, khususnya ketika negara berada dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Tidak dinafikan, penulis sendiri tertarik melihat penjualan emas secara dalam talian kerana proses pembelian lebih cepat dan mudah tanpa perlu beratur panjang.

Namun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini melaporkan peningkatan mendadak kes penipuan jualan barang kemas secara dalam talian, yang mana 37 kes dengan kerugian RM239,530 direkodkan hanya bagi tiga bulan pertama tahun ini.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob, sebanyak 21 kes dengan kerugian RM148,444 dilaporkan sepanjang 2019 dan jumlah kes itu meningkat pada 2020 dengan 44 kes membabitkan kerugian RM261,954.

Berikutan itu, Presiden Persekutuan Tukang Emas dan Perhiasan Malaysia Datuk Steven Siow Dek Kuen mengingatkan orang ramai yang ingin membeli emas agar hanya berurusan dengan kedai emas yang wujud secara fizikal atau telah beroperasi lama dan dikenali.

Senada dengan Steven, penjual emas Ayden Gold di Pasar Datuk Keramat, Wan Nurliana Aida Wan Mhd Kamal berkata, walaupun kini kedai emasnya mula fokus kepada penjualan secara dalam talian, beberapa langkah keselamatan perlu diambil oleh penjual dan pembeli bagi mengelakkan penipuan.

"Yang pertama kita kena tahu kedai emas itu wujud secara fizikal atau tidak. Bila kita berurusan dengan ejen, dia tiada kedai emas. Kalau begitu kita kena rujuk ibu pejabatnya untuk pastikan dia ejen sah," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Wan Nurliana Aida berkata kaedah promosi emas, sama ada di kedai mahupun secara dalam talian juga boleh dijadikan panduan pembelian.

"Apabila ada stok baru, kita akan muat naik di laman media sosial seperti di Telegram dan Facebook untuk promosi. Kalau mereka ada buat live marketing (pemasaran) banyak di media sosial, itu kira boleh percaya juga. Kalau yang agak perlahan pemasarannya secara dalam talian, kita kena berhati-hati sikit," katanya.

Tambah beliau, kedua-dua penjual dan pembeli perlu memainkan peranan bagi mengelakkan ditipu kerana penjenayah boleh mengambil kesempatan dalam pelbagai keadaan.

"Semasa saya buat live kadang-kadang pelanggan saya yang dah lock (beli), mereka tinggalkan nombor telefon dalam paparan live itu. Penjenayah (scammers) akan terus WhatsApp mereka dan mengaku sebagai saya - Nana dari Ayden gold," katanya lagi.

Tidak menafikan penjualan secara dalam talian ini dapat membantu jualan secara fizikal di kedai, Wan Nurliana tetap sentiasa berhati-hati dengan keadaan sekeliling terutama semasa membuat penjualan secara dalam talian.

Beliau juga mengakui pernah menerima slip pembayaran bank palsu daripada pembeli.

"Zaman pandemik Covid-19 ini ramai yang tiada kerja. Jadi orang cari cara yang mudah dan singkat dengan penipuan," tambahnya.

Bagi pembeli Anisa Shamsaimon, walaupun trend pembelian emas semakin rancak di media sosial namun beliau lebih memilih untuk membeli di kedai.

"Saya pernah beli secara online tapi rasa tak puas. Jadi saya pilih untuk 'walk-in' (masuk kedai). Kita boleh pegang dan cuba (produk). Itu lagi puas hati," katanya.

Berbeza pula dengan Ahmad Imran Rose Din, seorang pembeli yang lebih gemar membeli emas secara dalam talian di rumah kerana antara lain dapat mengelak kesesakan di jalan raya.

"Kalau nak tengok selamat atau tidak (pembelian), kita boleh google jika dia ada kedai fizikal. Biasanya di google juga terdapat 'review' atau ulasan yang boleh dibaca mengenai kedai itu," katanya.

Jadi sentiasalah beringat dan berhati-hati semasa membeli emas sama ada di kedai atau secara dalam talian. Bak kata pepatah ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.

Sumber : Harian Metro

 

Abdul Hamid tamat kontrak selepas 2 tahun terajui PDRM

 

"Saya tak berhasrat untuk kekal lebih lama dalam jawatan ini... setiap yang bermula itu pasti akan berakhir," kata Tan Sri Abdul Hamid Bador yang akan menyerahkan jawatan Ketua Polis Negara kepada timbalan beliau, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani esok,.

Dua tahun menerajui pasukan Sang Saka Biru, dan sepanjang tempoh itu ada sesuatu yang beliau terkilan kerana tidak dapat dilaksanakan iaitu melawat Sabah dan Sarawak bagi menyelesaikan masalah pasukan di dua negeri itu.

"Tiada apa yang hendak saya sesali tapi hasrat saya adalah untuk ke sana (Sabah dan Sarawak) kerana di sana begitu banyak isu yang tidak dapat diselesaikan antaranya kes perjudian dan persempadanan negara.

"Saya tidak dapat pergi ke Sabah dan Sarawak sebab COVID-19 ini, banyak isu di Sarawak tapi saya mohon maaflah sebab sekiranya saya pergi (perlu) dengan kuarantin dan macam-macam…," katanya.

Beliau berkata sesuatu yang drastik perlu dilakukan di Sarawak dan berharap pucuk pimpinan PDRM selepas ini dapat memberi perhatian terhadap isu integriti, penyeludupan, perjudian dalam talian dan maksiat yang dikatakan banyak berlaku di sana.

Memegang jawatan tertinggi pasukan keselamatan negara pada 4 Mei 2019, Abdul Hamid akan menamatkan kontrak perkhidmatan beliau pada 3 Mei 2021.

Sebagai Ketua Polis Negara ke-12, Abdul Hamid dilihat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya untuk membersihkan maruah pasukan itu dengan memerangi habis-habisan rasuah dalam pasukan polis.

Tidak kira anggota, pegawai, pegawai kanan mahupun pegawai kanan tinggi dalam pasukan pasti tidak akan terlepas daripada diambil tindakan baik secara dalaman atau dihadapkan ke muka pengadilan jika didapati terbabit dalam rasuah, salah laku dan bersekongkol dengan pesalah jenayah.

"Pedih rasa dalam hati saya apabila melihat seorang demi seorang anak buah saya dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Abdul Hamid juga dikenali sebagai Ketua Polis Negara yang lantang bersuara menegur warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mendedahkan kes-kes anggota dan pegawai yang terbabit masalah integriti, salah guna kuasa dan salah laku serta lain-lain kes jenayah lagi.

Kelantangan dalam mendedahkan pelbagai kartel dalam pasukan bagaimanapun mendapat kritikan dan kecaman daripada pelbagai pihak termasuk warga PDRM sendiri dan ahli politik yang kurang senang dengan tindakannya dan menyifatkannya sebagai membuka pekung di dada.

Antara kejayaan besar polis di bawah kepemimpinan Abdul Hamid ialah mematahkan cubaan penyeludupan dan pengedaran dadah di Pulau Pinang dengan nilai rampasan terbesar RM2.4 bilion, menggempur sindiket Macau Scam dan judi dalam talian yang turut membongkar pembabitan anggota dan pegawai PDRM sendiri.

Berikutan itu, seramai 31 warga PDRM yang dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian itu diambil tindakan, antaranya akan dibuang kerja, penurunan pangkat atau memindahkan mereka ke jawatan tidak sensitif dan lain-lain lagi yang difikirkan adil dan setimpal oleh Suruhanjaya Pasukan Polis.

Apa pun bak kata Abdul Hamid, setiap yang bermula pasti akan berakhir dan mulai Selasa ini, tugas, amanah serta tanggungjawab itu akan digalas oleh Acryl Sani sebagai Ketua Polis Negara ke-13 untuk terus meningkatkan integriti dan maruah pasukan Sang Saka Biru.

Sumber : BERNAMA

 

Digi lanjut tawaran Internet percuma B40

 

Digi Telecommunications Sdn Bhd memperkukuh komitmennya menyokong kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dengan melanjutkan tawaran percuma Internet Produktiviti 30GB sebulan (1GB sehari) sehingga 31 Julai 2021.

Syarikat telekomunikasi itu juga komited untuk terus membantu keperluan usaha e-pembelajaran dan bekerja secara jarak jauh.

Dalam satu kenyataan, Digi berkata, kesemua pelanggan pasca bayar dan prabayar aktif akan terus menikmati Internet Produktiviti 30GB sebulan bagi tujuan pembelajaran dan produktiviti yang melebihi peruntukan data bulanan pelan sedia ada masing-masing.

Selain itu, ia juga akan terus menawarkan akses percuma dan tiada had membabitkan aplikasi, laman sesawang dan perkhidmatan berkaitan maklumat bagi memastikan rakyat negara ini sentiasa mendapat perkembangan terkini mengenai COVID-19.

"Ini termasuk aplikasi MySejahtera dan MyTrace, laman sesawang penting dan talian penting berkaitan kesihatan seperti Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan selain Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta sebagainya," katanya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi https://www.digi.com.my/bpr

 

Sabtu, Mei 01, 2021

Data harian percuma sehingga 31 Julai 2021

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mendapat persetujuan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama iaitu Celcom, Digi, Maxis, U-Mobile dan Telekom Malaysia (TM) untuk melanjutkan pemberian 1GB data harian percuma kepada semua pelanggan masing-masing sehingga 31 Julai 2021.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata pemberian data percuma 1GB secara harian sejak April tahun lepas itu bertujuan membantu rakyat menghadapi norma baharu digitalisasi ketika dilanda pandemik Covid-19.

Katanya, ia sepatutnya tamat hari ini (30 April), namun, telah dilanjutkan beberapa kali.

"Lanjutan terbaharu ini dibuat sebagai sokongan tambahan kepada rakyat atas ihsan dan keprihatinan syarikat-syarikat telekomunikasi memandangkan situasi Covid-19 di negara ini masih belum stabil, lebih-lebih lagi untuk membantu pelajar sekolah beralih semula kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas Aidilfitri seperti diumumkan Kementerian Pendidikan baru-baru ini," katanya.

Kuota harian 1GB percuma adalah tambahan kepada pakej langganan data sedia ada dan boleh digunakan untuk mengakses platform sidang video serta menguruskan bahan-bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu.

Bagaimanapun, MCMC berkata, ia tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video, penstriman muzik dan permainan dalam talian.

Sementara itu, YTL Communications Sdn Bhd (YTL) juga terus menyokong sistem pendidikan dengan melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 September 2021 dan turut merangkumi penuntut institusi pengajian tinggi.

Pakej istimewa itu menyediakan kad SIM percuma dengan data sebanyak 40GB, kandungan percuma dan telefon pintar percuma untuk pelajar daripada keluarga B40.

MCMC berharap lanjutan pemberian 1GB data percuma harian dan sokongan lain yang disediakan akan memberi kelegaan kepada rakyat untuk menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, pekerjaan dan sebagainya.

Menurutnya, kerajaan akan terus menggerakkan inisiatif-inisiatif seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pelan Tindakan MyDIGITAL untuk memastikan agenda pembangunan yang berteraskan digitalisasi dilaksanakan secara inklusif tanpa ada golongan yang terpinggir.

Sumber : Metro

Tempahan sukarela vaksin AstraZeneca dibuka

 

Tempahan untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca secara suka rela akan dibuka kepada penduduk Selangor dan Kuala Lumpur bermula jam 12 tengah hari esok.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, memaklumkan mereka yang mahu mendapatkan vaksin AstraZeneca boleh membuat tempahan melalui laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di pautan www.vaksincovid.gov.my.

"Seperti yang diumumkan sebelum ini, JKJAV menawarkan pilihan secara sukarela kepada orang ramai yang mahu mendapatkan vaksin AstraZeneca.

"Tempahan akan dibuka esok 2 Mei pada jam 12 tengah hari menerusi vaksincovid.gov.my

"Anda mestilah sudah berdaftar (sebagai penerima vaksin) dan hanya perlu memilih Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan tarikh)," katanya menerusi Twitter, hari ini.

Khairy turut memuat naik poster memaklumkan beberapa syarat kelayakan membuat tempahan untuk menerima vaksin AstraZeneca, yang ditawarkan secara 'siapa cepat, dia dapat'.

Selain mestilah sudah berdaftar sebagai penerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), mereka yang mahu mendapatkan vaksin AstraZeneca perlulah berusia 18 tahun ke atas, dan hanya ditawarkan kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur.

Pada sidang media Rabu lalu, Khairy memaklumkan vaksin AstraZeneca akan diberikan secara sukarela susulan kegusaran dalam kalangan masyarakat terhadap tahap keselamatan vaksin itu, yang dikaitkan dengan insiden pembekuan darah yang jarang berlaku di beberapa negara.

JKJAV memutuskan vaksin itu hanya ditawarkan kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur buat masa ini selepas membuat pertimbangan mengenai bilangan kes di negeri berkenaan yang masih lagi tinggi.

Khamis lalu, Khairy yang juga Menteri Penyelaras PICK menjelaskan, pemohon sukarela tidak perlu membuat pendaftaran baharu dalam MySejahtera, sebaliknya hanya perlu membuat tempahan tarikh dan masa janji temu bagi keperluan urusan logistiknya.

Selain itu, vaksin AstraZeneca juga tidak tertakluk kepada penerima dalam fasa kedua PICK sahaja, sebaliknya terbuka kepada semua, bergantung kepada bekalan dos yang ada.

Setakat ini, Malaysia sudah menerima 268,800 dos vaksin AstraZeneca pada 23 April lalu, dengan penerima memerlukan dua dos vaksin bagi mendapat perlindungan lengkap daripada COVID-19.

Khairy sebelum ini memaklumkan, sela masa pemberian vaksin AstraZeneca adalah selama 12 minggu selepas perbincangan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, selaras saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta yang diamalkan di United Kingdom.

Tempoh itu bagi membolehkan dos pertama diberikan kepada lebih ramai orang, sebelum bekalan tambahan vaksin AstraZeneca yang dijangka tiba bulan ini, diberikan sebagai dos kedua.

Sumber : Berita Harian

 

 

Murid sekolah dibenarkan pulang 6 dan 7 Mei 2021

 

 

Murid di asrama sekolah, Kolej Tingkatan Enam (KTE) atau Kolej Vokasional (KV) dibenarkan pulang secara berperingkat sempena cuti Aidilfitri mulai 6 dan 7 Mei 2021.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan, berkata murid dibenarkan pulang dengan menaiki bas disediakan pihak sekolah, dijemput ibu bapa atau penjaga serta pengangkutan udara atau air bagi perjalanan ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

Hanya pelajar Tingkatan Enam dan KV dibenarkan menggunakan kenderaan sendiri.

"Pihak sekolah akan memaklumkan jadual pergerakan pulang murid kepada ibu bapa atau penjaga.

"Sekiranya ibu bapa atau penjaga menjemput anak mereka, surat pengesahan bagi tujuan pergerakan ibu bapa merentas negeri akan dikeluarkan oleh pihak sekolah.

"Kebenaran ini adalah untuk dua orang ibu bapa atau penjaga dalam setiap kenderaan," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Kumpulan A dibenarkan pulang pada 6 Mei ini iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala kumpulan B pada 7 Mei untuk Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), murid yang sedang dalam tempoh kuarantin perlu kekal di asrama sehingga tamat tempoh kuarantin.

Murid yang asramanya berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu kekal di asrama sehingga tamat tempoh PKPD.

"KPM sudah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Murid Asrama Pulang sempena Aidilfitri 2021 sebagai rujukan kepada pihak sekolah dan ibu bapa atau penjaga.

"Garis panduan ini turut terpakai kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM dan boleh dimuat turun di laman sesawang: https://www.moe.gov.my," katanya.

Kenyataan itu menyebut, murid perlu kembali ke asrama sebelum atau pada 12 Jun bagi sekolah Kumpulan A dan sebelum atau pada 13 Jun bagi sekolah Kumpulan B.

Sumber : Berita Harian

 

Contoh Soalan Ujian SPiER Penguasa Imigresen KP41

 

 
Ujian Sistem Pemprofilan Rekrutmen (SPiER) diumumkan perlaksanaan pada tahun 2018 oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan digunakan sepenuhnya pada tahun 2019. SPIER dibangunkan untuk mengenal pasti calon pengambilan yang mampu memenuhi kriteria terutama dari segi personaliti, integriti, kesihatan mental, kompetensi dan patriotisme.
.
Secara kasarnya, ianya adalah seakan sama dengan Ujian Psikometrik: Peperiksaan Online Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) yang biasanya dijalankan selepas calon melepasi tapisan peperiksaan online pihak SPA. Tetapi pihak KDN mengambil langkah yang lebih proaktif dengan mengandalikan penilaian yang lebih hampir jiwanya dengan jawatan di agansi bawah KDN.
.
Antara ujian SPIER yang berjalan sebelum ini adalah SPiER bagi Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).
.
Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) yang juga merupakan agensi di bawah KDN kali ini akan menggunakan SPiER bagi tapisan ambilan PENGUASA IMIGRESEN Gred KP41.
.
Peperiksaan akan dijalankan terus melalui laman sesawang rasmi pihak KDN iaitu https://psikom.moha.gov.my/spier/
 
Untuk mendapatkan rujukan dan contoh soalan Ujian Sistem Pemprofilan Rekrutmen (SPiER), dapatkan di : https://go.infotambahan.com/ujian-psikometrik/28
 
 

Recent Posts