Jumaat, April 02, 2021

Fasa kedua program imunisasi COVID-19 diawalkan 17 April 2021

 

Pelaksanaan fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sepatutnya diadakan pada 19 April, diawalkan dua hari sebelum itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Susulan itu, beliau berkata, kempen pendaftaran perlu digiatkan kerana golongan berumur 60 tahun ke atas dan individu mempunyai komorbiditi hanya 30 peratus daripada tujuh juta rakyat yang sudah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera.

"Kita perlu giatkan kempen untuk meningkatkan pendaftaran vaksinasi melalui lima kaedah iaitu menerusi MySejahtera atau laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM), menghubungi talian hotline, hadir ke pusat kesihatan daerah dan menerusi program badan bukan kerajaan (NGO) yang juga memberi fokus kepada golongan gelandangan serta pendatang tanpa izin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai perjanjian antara KKM dan Solutions Biologics Sdn Bhd (SolBio) yang menguruskan vaksin COVID-19 jenis CanSino dari China.

Dr Adham berkata, sebanyak 9.4 juta penerima vaksin disasarkan dalam fasa kedua membabitkan golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU) dan individu mempunyai komorbiditi.

Beliau berkata, program vaksinasi akan terus dilaksanakan pada Ramadan dan menawarkan penerima vaksin untuk menerima suntikan pada waktu malam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu.

Ditanya tindakan larangan eksport vaksin di beberapa negara bagi memenuhi permintaan domestik susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 dan kekurangan bekalan, Dr Adham berkata, ia tidak akan menjejaskan program imunisasi yang sedang berjalan di Malaysia kerana pembekal sudah memberi komitmen kepada kerajaan bahawa penghantaran akan mengikut jadual.

Sebagai contoh, katanya, Malaysia akan mendapatkan vaksin AstraZeneca dari kilang di Thailand menerusi pemerolehan langsung, manakala bekalan vaksin AstraZeneca menerusi kemudahan COVAX pula dari Korea Selatan.

"Perkara ini semua dijamin, jadi isu kelewatan bekalan vaksin daripada pembekal tidak berlaku pada Malaysia. Kita dapat laksanakan semua jadual dan penghantaran dalam waktu ditetapkan, tetapi kita harap penghantaran dapat dipercepatkan jika boleh," katanya.

Dilaporkan India menghentikan buat sementara semua eksport utama bagi vaksin AstraZeneca yang dihasilkan Institut Serum India (SII) untuk memenuhi permintaan domestik susulan peningkatan jangkitan COVID-19 di negara itu.

Langkah itu seperti dilaporkan, akan turut menjejaskan bekalan kepada kemudahan perkongsian vaksin COVAX yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mana banyak negara dijangka mendapatkan dos masing-masing. 

Sumber : BERNAMA

 

Tarantula kenderaan perisai pertama buatan Malaysia

 

Tarantula secara rasmi dipilih sebagai nama kenderaan nasional berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4x4), buatan tempatan yang pertama, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, pemilihan nama kenderaan itu berdasarkan spesis labah-labah daripada keluarga Theraphosidae atau di Asia digelar 'Earth Tiger'.

Katanya, karakter dan keupayaan yang ada pada labah-labah Tarantula menggambarkan 'kekuatan' kenderaan perisai yang dibangunkan bakat tempatan.

"Saya sangat berbesar hati diberi peluang melancarkan dan menamakan kereta perisai tempatan buatan Malaysia sebagai Tarantula.

"Kereta perisai ini melalui pelbagai ujian daripada kumpulan uji nilai Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) Kementerian Pertahanan.

"Dari segi ujian atas jalan raya selama sembilan hari, ia merangkumi perjalanan 700 kilometer (km) dan 300 km lagi ujian panduan 'offroad'.

"Ia dinamakan Tarantula HMAV4x4 kerana Tarantula adalah kumpulan labah-labah bertaring besar dan berbulu, mempunyai keupayaan mengubah warna serta tingkah laku mengikut persekitaran. Sebab itu kekuatan kereta perisai ini sama dengan Tarantula," katanya pada sidang media selepas mengumumkan nama HMAV4x4 pertama Malaysia di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang; Penasihat Mildef International Technologies (MILDEF), Jeneral (B) Tan Sri Raja Muhammad Affendi Raja Muhammad dan Pengarah Urusan MILDEF, Datuk Seri Mohd Nizam Kasa.

Pada majlis sama, turut dilancarkan adalah logo rasmi kenderaan berperisai itu.

Mengulas pencapaian hasil inovasi syarikat tempatan, Ismail Sabri berkata, apa yang ditonjolkan MILDEF adakah bukti bakat dan syarikat tempatan juga mampu menghasilkan kenderaan pertahanan yang sama kualiti seperti dihasilkan negara luar, malah lebih hebat.

Justeru, beliau berkata, Kementerian Pertahanan komited untuk terus menumpukan industri pertahanan dalam usaha memastikan Malaysia tidak lagi bergantung terhadap 'produk' negara luar.

"Kementerian akan memberi fokus industri pertahanan supaya pakar dalam negara iaitu anak Malaysia mampu keluarkan senjata sendiri bagi mengelak pergantungan dengan negara luar. 

"Sebelum ini, kita berjaya menghasilkan peluru, komponen pesawat dan kita sedang membina kapal perang. Dari segi fokus, kita akan mengeluarkan lebih lagi untuk industri pertahanan.

"Saya harap Tarantula ini bukan saja mampu digunakan dalam negara, tetapi di luar negara kerana kualiti ketahanannya. Syarikat tempatan juga perlu fokus pasaran luar negara supaya tidak bergantung pasaran tempatan untuk membeli produk ini," katanya.

Tarantula HMAV4x4 adalah kenderaan berperisai dengan keupayaan lasak untuk bergerak pantas di atas pelbagai bentuk muka bumi dengan mampu mencapai kelajuan sehingga 110 kilometer per jam.

Dengan keupayaan dimiliki kenderaan itu, ia terbukti mampu melaksanakan pelbagai misi penting ketenteraan dan memberi perlindungan kepada pengendali serta kru kenderaan itu.

Ia dibina berlandaskan pelantar modular dengan rangkaian spesifikasi daripada yang asas sehingga paling canggih untuk memudahkan sebarang pengubahsuaian dan memenuhi mana-mana spesifikasi diinginkan negara tertentu.

Dilengkapi sistem persenjataan moden bersama pelancar grenet, kenderaan berperisai ini direka menggunakan sistem Stesen Senjata Kawalan Jauh (RCWS) yang membolehkannya menembak secara 360 darjah ketika bertempur, memberikan keupayaan untuk menembak sasaran menggunakan sistem kawalan jauh dengan bantuan skrin paparan.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

 

Penerima vaksin masih berisiko menjadi pembawa virus

 

Pakar kesihatan awam memohon kerajaan meneliti semula cadangan membenarkan penerima dos lengkap vaksin COVID-19 untuk merentas negeri dan mungkin boleh menuju ke negara tertentu.

Ia berikutan, penerima vaksin itu masih berisiko menjadi pembawa virus tidak bergejala, selain berpotensi membawa pulang mutasi baharu virus COVID-19 dari luar negara, yang berisiko menjejaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata cadangan itu akan menjadi galakan untuk orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Bagaimanapun, katanya, penerima vaksin masih berisiko menyebarkan jangkitan, sekali gus mungkin menyebabkan individu lain yang belum menerima vaksin, dijangkiti wabak itu melalui mereka.

"Vaksin COVID-19 berfungsi melindungi penerimanya daripada mendapat penyakit yang serius, namun vaksin ini belum terbukti boleh mencegah penerimanya mendapat dan menyebarkan jangkitan.

"Ertinya, penerima vaksin masih berisiko mendapat virus itu dan menyebarkannya kepada orang lain, sekali gus memberi kesan kepada orang yang belum divaksin.

"Cadangan membenarkan penerima vaksin rentas negeri atau ke luar negara belum sesuai dilaksanakan kerana masih ramai individu belum divaksin, menyebabkan risiko jangkitan kekal tinggi, selain timbul isu ketidakadilan pada yang belum divaksin," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, rakyat Malaysia yang sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 bukan sahaja akan dibenarkan merentas negeri, malah dijangka boleh ke luar negara tertentu, dengan syarat mereka memiliki sijil pengesahan.

Sijil pengesahan itu akan diberikan kepada individu sudah menerima dua dos vaksin COVID-19, sekali gus menjadi 'pasport' untuk mereka bergerak, di samping kerajaan sudah berbincang dengan beberapa negara bagi membolehkan rakyat negara ini melakukan perjalanan ke negara terbabit.

Dr Zainal berkata, cadangan membenarkan penerima vaksin ke luar negara, dibimbangi berisiko menyebabkan seseorang individu itu membawa pulang varian baharu virus COVID-19 ke Malaysia, yang bakal memberi impak kepada trend penularan pandemik itu di negara ini.

"Jika penerima vaksin tidak dikuarantin atau dikuarantin dalam tempoh terlalu singkat, dia berisiko dijangkiti dan membawa mutasi baharu. Harap cadangan ini tidak dilaksanakan secara umum, tetapi bersyarat," katanya.

Sementara, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, juga berpandangan penerima vaksin COVID-19 berisiko menjadi pembawa virus tidak bergejala, kerana mereka masih memiliki kebarangkalian dijangkiti virus berkenaan.

Katanya, kerajaan perlu mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu sebelum melaksanakan cadangan berkenaan, khususnya mengenai risiko penerima vaksin menjadi pembawa dan menjangkiti orang lain.

"Selagi belum ada kajian membuktikan penerima vaksin tidak lagi menjadi pembawa virus itu, maka cadangan ini belum sesuai untuk dilaksanakan dan wajar diteliti lebih lanjut.

"Beberapa isu juga perlu dikaji, seperti rentas negeri membabitkan keluarga. Vaksin hanya diberi kepada individu 18 tahun ke atas, jadi adakah satu keluarga akan dibenarkan rentas negeri atau individu tertentu sahaja," katanya.

Dr Hanafiah turut sependapat dengan pandangan Dr Zainal bahawa mutasi baharu yang dibawa dari luar negara bakal dikhuati memberi kesan negatif kepada pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

"Banyak negara melaporkan menemui varian baharu COVID-19. Persoalannya, adakah vaksin yang kita miliki boleh melindungi daripada varian baharu ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Khamis, April 01, 2021

Perjanjian sewa beli kenderaan tak boleh tawar sifar wang pendahuluan

 

Syarikat jual kenderaan boleh dikenakan tindakan tegas termasuk didakwa di mahkamah jika menawarkan kemudahan sifar wang pendahuluan (zero downpayment) bagi perjanjian sewa beli (HPA).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid memberi amaran kepada syarikat menjual kenderaan yang menggunakan taktik menawarkan sifar wang pendahuluan bagi urusan jual beli kenderaan membabitkan perjanjian sewa beli dengan pihak bank adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tegas.

Beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 31 (1) Akta Sewa Beli 1967 dan mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 bagi badan korporat dan denda tidak melebihi RM250,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya, manakala bagi individu pula denda tidak melebihi RM25,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, tawaran sifar wang pendahuluan hanya boleh dibuat peniaga jika membabitkan jualan kredit dengan pihak kedai.

"Mengikut Akta Sewa Beli 1967, jika kenderaan dibeli secara HPA, syarikat sewa beli (penjual) wajib mengambil wang pendahuluan. Namun jika pembeli melakukan pembelian dengan cara jualan kredit, mereka boleh dikecualikan daripada wang pendahuluan," katanya pada sidang media selepas merasmikan bilik pamera NWP Access, di sini hari ini.

Rosol berkata, kementerian itu percaya ramai dalam kalangan pembeli masih tidak jelas mengenai perkara terbabit sekali gus berdepan risiko 'ditipu' syarikat sewa beli.

"Kita memandang serius perkara ini dan jika ada syarikat yang menyalahi undang-undang berkenaan, mereka akan dikenakan tindakan tegas. Bagi pembeli, saya berharap mereka yang mahu membeli kenderaan, pastikan dahulu jenis pembiayaan yang ditawarkan," katanya.

Rosol berkata, berdasarkan Seksyen 31 (1) Akta Sewa Beli (ASB) 1967, mana-mana penyewa atau pembeli perlu membayar tidak kurang daripada satu persepuluh harga tunai kenderaan yang termaktub dalam perjanjian.

Ini bermakna, katanya, deposit minimum yang ditetapkan ialah 10 peratus daripada harga tunai kenderaan.

"Mana-mana syarikat jual beli yang tidak mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31(1) Akta Sewa Beli 1967. Tawaran sifar wang pendahuluan akan menarik lebih ramai pembeli kerana tidak perlu menyediakan simpanan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga kenderaan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, jika pembeli ditetapkan membayar 10 peratus wang pendahuluan daripada harga kenderaan, ia menunjukkan keupayaan pembeli untuk membayar harga bulanan dan juga mampu mengurangkan komitmen bulanan pembeli.

Katanya, selain itu, ia dapat mengelak pembeli disenarai hitam atau diisytihar bankrap akibat kegagalan membuat bayaran tunggakan disebabkan bayaran bulanan yang tinggi.

Pada majlis itu, NWP turut menawarkan pembelian 10,000 motosikal tanpa wang pendahuluan menerusi jualan kredit kepada golongan B40 bagi membantu meringankan bebanan mereka terutama ketika ekonomi negara tidak menentu ekoran ancaman pandemik COVID-19.

Rosol berkata, inisiatif NWP menawarkan pembelian motosikal berkenaan dilihat sebagai langkah baik bagi memastikan kelangsungan hidup mereka yang terjejas akibat dibuang kerja atau menganggur ketika ini.

"Tawaran ini membolehkan mereka yang terjejas memiliki motosikal bagi bekerja sebagai penghantar makanan atau lain-lain pekerjaan tanpa bebanan menyediakan wang pendahuluan untuk membeli kenderaan berkenaan.

"Ini satu usaha baik dan sejajar dengan inisiatif KPDNHEP yang menggalakkan usahawan supaya lebih kreatif bagi menjana ekonomi terutama dalam tempoh pandemik ini," katanya.

Pada masa sama, Rosol juga turut menggalakkan penggunaan transaksi digital dan elektronik dalam perjanjian sewa beli serta jualan kredit yang dapat memudahkan pembeli motosikal atau kenderaan bermotor serta syarikat penjual kenderaan.

"Langkah ini amat digalakkan ke arah mendidik komuniti peniaga dan pengguna ke arah urus niaga digitalisasi," katanya. 

Sumber : Berita Harian

 

Bayar tanpa tunai melalui PayNet di Agensi Kerajaan

 


Trend pembayaran tanpa tunai dilihat makin digemari rakyat Malaysia apabila ia mula aktif digunakan bagi mengelakkan wabak COVID-19 daripada terus merebak.

Selain itu, pembayaran tanpa tunai juga mempercepatkan urusan pembayaran di kaunter dan memudahkan pengguna menjejak perbelanjaan bulanan bagi mengelakkan mereka daripada terlebih berbelanja.

Ia sejajar dengan inisiatif kerajaan bagi menggalakkan penggunaan transaksi tanpa sentuhan di agensi awam sekali gus meningkatkan jumlah pengguna sehingga 15 juta.

Namun, tahukah anda sekiranya anda melakukan pembayaran tanpa tunai hari ini, anda layak menerima hadiah lumayan seperti kereta idaman, telefon pintar dan wang tunai?

Lakukan transaksi tanpa tunai atau cek sebelum 30 April 2021 menggunakan empat saluran popular seperti JomPAY, FPX, MyDebit dan DirectDebit di lebih 10 agensi kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia dan banyak lagi senarai agensi yang boleh disemak melalui www.paynet.my.

Anda berpeluang merebut hadiah bulanan menarik seperti Proton X70, Perodua Myvi, Yamaha Y15ZR dan telefon pintar bersempena dengan peraduan Cashless Boleh.

Pengguna boleh memanfaatkan saluran pembayaran tanpa tunai popular berkenaan di kaunter atau pembayaran dalam talian mengikut kesesuaian dan keselesaan.

Anda boleh menyelesaikan pembayaran atau pembelian menggunakan MyDebit yang ada pada kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank.

Melakukan transaksi tanpa sentuh (wave) adalah digalakkan dan anda perlu memasukkan enam digit nombor pengenalan peribadi (PIN) untuk urusan pembayaran dan pembelian melebihi RM250.

Untuk membayar bil, gunalah JomPAY yang mudah dan selamat. Ia membolehkan anda membuat pembayaran bil daripada 42 bank di Malaysia.

Transaksi boleh dibuat melalui perbankan internet atau mudah alih menggunakan wang dari akaun simpanan, simpanan atau kad kredit.

Buat anda yang sering membeli-belah secara dalam talian, FPX adalah pilihan tepat kerana ia membolehkan pelanggan membuat pembayaran untuk pembelian dalam talian melalui perbankan internet atau mudah alih kepada pedagang menggunakan wang dari akaun simpanan, semasa atau kad kredit.

Gunakan DirectDebit sekiranya anda ingin membuat pembayaran bil berkala secara automatik terus dari akaun bank.

Lakukan pembayaran tanpa tunai menggunakan empat saluran popular di agensi kerajaan hari ini bagi merebut hadiah bulanan menarik!

 

Neelofa terima anugerah Tokoh Sayyidatina Juwairiyah Al-Harith

 

Selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, terima anugerah Tokoh Sayyidatina Juwairiyah Al-Harith Bagi Kategori Tokoh Berpengaruh Mega atau Influencer daripada Kerajaan Negeri Kelantan.

Neelofa menerima anugerah berkenaan sempena sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2021.

Anak kelahiran Pasir Mas yang juga usahawan berjaya itu adalah salah seorang daripada 14 wanita menerima anugerah pada majlis berkenaan.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Menteri Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff di Kota Darulnaim.

Bagaimanapun, Neelofa tidak dapat hadir ke majlis berkenaan kerana dipercayai berada di Langkawi atas urusan perniagaan selepas melangsungkan perkahwinan pada Sabtu lalu.

Bukan itu sahaja, wakil keluarga Neelofa juga tidak hadir ke majlis untuk menerima anugerah itu.

HSK adalah program tahunan yang diperkenalkan kerajaan negeri bagi meraikan, mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan di negeri ini.

Program itu dianjurkan oleh Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan.

Penerima tokoh menerima sijil, plak, dinar emas dan kitab tafsir Al-Azhar, selain hadiah iringan seperti kerongsang, selempang, hamper, persalinan batik dan sejambak bunga.

Sumber : Berita Harian

 

BNM bimbang 170,000 hartanah tak terjual

 


Jumlah hartanah tidak terjual sedikit berubah setelah kerajaan memperkenalkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) namun pasaran komersial masih mendatar dan kekal di paras membimbangkan dalam situasi pandemik negara kini.

Gabenor Bank Negara Malaysia, (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, jumlah hartanah tidak terjual masih tinggi dengan kira-kira 170,000 unit.

Ujarnya, walaupun jumlahnya berkurangan berikutan kempen HOC diperkenal kerajaan tahun lalu yang membantu penjualan sebilangan unit tidak terjual di negara ini, namun paras itu masih terlalu tinggi.

“Namun, kami bimbangkan prestasi hartanah komersial kerana jumlah penawaran ruang pejabat dan kompleks beli-belah ini amat tinggi walaupun sebelum penularan Covid-19.

“Permintaan terhadap unit komersial ini juga akan merosot berikutan faktor pandemik, jualan secara dalam talian yang lebih hebat serta aturan bekerja dari rumah yang dinormalisasikan,” katanya dalam sesi taklimat media, kelmarin.

Sementara itu, BNM dalam laporan tahunannya mengumumkan pemansuhan peraturan penukaran eksport bersama dengan beberapa langkah liberalisasi lain bermula 15 April ini dalam usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan menjadikan negara ini hab rantaian bekalan global.

Pemansuhan ini membolehkan pengeksport menguruskan penukaran perolehan eksport berdasarkan keperluan aliran tunai mata wang asing mereka.

Selain itu, pengeksport juga dibenarkan menyelesaikan perdagangan domestik dalam mata wang asing dengan pemastautin lain yang terlibat dalam rantaian bekalan global.

Nor Shamsiah menjelaskan, langkah ini dijangka memudahkan lindung nilai semula jadi untuk pengeksport dan rakan perniagaan mereka dalam rantaian bekalan global untuk menguruskan risiko pertukaran asing dengan lebih baik.

“Pengeksport turut dibenarkan melaksanakan pengaturan bersih terhadap perolehan eksport dengan obligasi mata wang asing yang dibenarkan yang akan meningkatkan kecekapan perniagaan dan pengurusan aliran tunai pengeksport.

“Pengeksport boleh melanjutkan tempoh penerimaan perolehan eksport melebihi enam bulan untuk sebab-sebab tertentu. 

“Ini memberi pengecualian kepada pengeksport daripada keperluan mendapatkan kelulusan bank bagi membawa balik perolehan eksport mereka melebihi tempoh enam bulan untuk sebab-sebab tertentu di luar kawalan pengeksport,” katanya dalam sesi taklimat bersama editor media secara maya, kelmarin.

Tambah beliau, syarikat boleh melaksanakan lindung nilai derivatif komoditi dengan rakan niaga bukan pemastautin yang akan menyediakan saluran dan pilihan kepada syarikat untuk melindungi nilai risiko harga komoditi mereka.

“Langkah ini dijangka akan meningkatkan sentimen pelabur dan kedudukan Malaysia sebagai destinasi FDI,” ujarnya.

Sumber : Utusan

Saluran Sukan RTM dilancar, Angkasapuri dinaik taraf ke Bandar Media


 

Bersempena sambutan ulang tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-75, sebuah stesen televisyen khusus untuk rancangan sukan dilancarkan iaitu saluran Sukan RTM.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penubuhan saluran sukan ini sekali gus dapat mencapai hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang sihat melalui aktiviti sukan terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Katanya lagi, ia juga membuka peluang kepada syarikat-syarikat penerbitan tempatan yang berpotensi untuk menghasilkan kandungan program sukan untuk RTM.

“Tidak kurang pentingnya juga ialah saluran ini dapat memainkan peranan sebagai agen perpaduan nasional menerusi semangat kesukanan.

“Promosi kesihatan rakyat melalui aktiviti sukan ini membolehkan golongan muda mengisi masa dengan perkara yang berfaedah,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin turut mendedahkan kompleks penyiaran Angkasapuri kini sedang dinaik taraf kepada sebuah kompleks berkonsepkan Bandar Media atau Media City sejajar dengan kemajuan pesat dalam bidang teknologi penyiaran dan standard penyiaran digital antarabangsa.

Beliau berkata, pembangunan projek ini mengambil contoh beberapa projek pembangunan Media City yang berjaya dilaksanakan di bandaraya seperti di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE); di Sydney, Australia dan di Manchester, United Kingdom.

“Projek pembangunan ini dilaksanakan secara kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta, dan apabila siap sepenuhnya kelak, ia akan dapat menyediakan infrastruktur penyiaran yang canggih serta berteknologi tinggi selaras, dengan perancangan kerajaan untuk membangunkan perkhidmatan siaran televisyen digital.

“Kompleks penyiaran Media City ini bukanlah semata-mata projek pembangunan fizikal malah juga merangkumi sistem peralatan, teknologi dan pemusatan arkib bahan-bahan penyiaran. Kerajaan berharap projek ini dapat merangsang pertumbuhan ekonomi kreatif serta membuka lebih banyak ruang dalam bidang penerbitan penyiaran,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata bersempena ulang tahun ke-75 RTM, saluran TV1 dan TV2 akan disiarkan dalam format definisi tinggi (HD) menerusi platform Astro.

“Siaran ini akan memastikan pengguna perkhidmatan satelit Astro boleh menonton saluran-saluran tersebut dalam HD serta menerima audio dan visual yang tepat dan jelas. Semoga kerjasama strategik di antara RTM dan Astro ini dapat memastikan siaran RTM menjadi lebih luas penerimaannya dalam kalangan penduduk Malaysia,” katanya.

Sumber : Utusan

 

Vaksin Pfizer-BioNTech berkesan 'lawan' varian Afrika Selatan

 

Pfizer dan BioNTech berkata bahawa vaksin Covid-19 yang dihasilkannya berkesan menentang varian Afrika Selatan dalam fasa terbaru ujian klinikal yang dijalankan.

Tidak ada kes jangkitan dicatatkan di Afrika Selatan ketika ujian percubaan fasa tiga dalam kalangan peserta yang telah menerima dos kedua, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Beberapa varian koronavirus yang berpotensi lebih mudah menjangkiti menyebabkan kebimbangan global mengenai apakah vaksin yang ada masih dapat melindungi dunia dari virus yang terus bermutasi.

"Di Afrika Selatan, di mana varian B.1.351 dikesan dan 800 peserta didaftarkan, sembilan kes Covid-19 dicatatkan, semuanya dalam kumpulan plasebo," kata syarikat itu.

Sembilan strain diuraikan dan enam daripadanya disahkan berasal dari jenis B.1.351, katanya.

"Keberkesanan vaksin yang tinggi diperhatikan hingga enam bulan selepas dos kedua dan terhadap varian yang berlaku di Afrika Selatan memberikan keyakinan lebih lanjut terhadap keberkesanan vaksin kita secara keseluruhan," kata Albert Bourla, Ketua Eksekutif Pfizer.

Secara keseluruhan, vaksin itu adalah 91.3 peratus berkesan terhadap Covid-19 dalam analisis 46,307 peserta percubaan di beberapa negara.

Dari 927 kes bergejala yang disahkan dalam percubaan, 850 kes berada dalam kumpulan plasebo dan 77 kes pada kumpulan vaksin.

Vaksin ini 100 peratus berkesan untuk mencegah penyakit yang teruk seperti yang ditentukan oleh Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS), dan 95.3 peratus berkesan untuk mencegah penyakit yang teruk seperti yang ditentukan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah AS (FDA).

Sumber : MyMetro

 

Tengku Permaisuri Selangor mencemar duli baca Berita Perdana Khas RTM

 

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman mencemar duli membuat kemunculan istimewa di slot Berita Perdana Khas pukul 8 malam tadi di saluran TV1, RTM.

Ia sempena sambutan ulang tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-75.

Baginda tampil kira-kira 15 minit dalam slot berita terbabit menyampaikan berita berkaitan isu semasa negara.

Penerbit Berita Perdana Khas Khairul Azli Rahim berkata, beliau berasa sangat berbesar hati dan teruja kerana Tengku Permaisuri Selangor berkenan untuk menyampaikan berita yang disunting olehnya.

"Ini kemunculan kali pertama baginda di kaca tv selepas ditabalkan menjadikan Permaisuri Selangor selepas lima tahun lalu.

"Saya mewakili pihak produksi dan kru penerbitan berita RTM mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian baginda meluangkan masa untuk menyampaikan berita kami hari ini," katanya, hari ini.

Penampilan khas Tengku Permaisuri Selangor itu mengejutkan penonton saluran TV1 yang rata-rata memuji kerana masih berbakat menyampaikan berita.

Kali terakhir baginda tampil sebagai pembaca berita adalah pada 31 Ogos 2016 lalu.

Tengku Permaisuri Norashikin melangsungkan majlis pernikahan bersama Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 31 Ogos 2016 di Masjid Diraja Istana Alam Shah Klang.

Sumber : MyMetro

 

 

Malaysia akan guna vaksin CanSino sebagai Dos Tunggal

 

Malaysia akan menerima bekalan 3.5 juta dos vaksin COVID-19 jenis CanSino dari China secara berperingkat bermula bulan ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, perolehan vaksin itu dibuat dalam dua kategori iaitu produk siap sebanyak 500,000 dos dan selebihnya penghantaran secara pukal untuk diisi dan dibungkuskan oleh syarikat tempatan, Solutions Biologics Sdn Bhd (SolBio).

Katanya, melalui perolehan vaksin CanSino yang juga dos tunggal, sejumlah 3.5 juta populasi di negara ini akan mendapat manfaat.

"Vaksin CanSino akan digunakan terutama di kawasan pedalaman dan kawasan penerima sukar untuk datang menerima suntikan sebanyak dua kali seperti vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

"Vaksin dos tunggal ini juga boleh digunakan bagi tujuan vaksinasi warga asing yang berada di Malaysia," katanya selepas majlis memeterai perjanjian antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan SolBio untuk mengilang vaksin atau secara 'fill and finish' di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SolBio, Datuk Mohd Nazlee Kamal; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, Datuk Harjeet Singh dan Pengarah Urusan Kumpulan SolBio, Lim Yong Hew.

Melalui perjanjian itu, SolBio akan mengendalikan proses pembotolan vaksin sebanyak tiga juta untuk dibekalkan kepada kerajaan.

Dr Adham berkata, SolBio masih perlu mematuhi semua peraturan berkaitan pendaftaran dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh melaksanakan pembekalan vaksin.

"Sekiranya syarikat gagal mendapatkan kelulusan pendaftaran yang diwajibkan, perjanjian ini boleh dibatalkan kerana kerajaan menitikberatkan keberkesanan, keselamatan dan kualiti," katanya.

Sumber : BERNAMA

 

Recent Posts