Khamis, Mac 04, 2021

Contoh Soalan Peperiksaan Pembantu Pustakawan S19

 

Format Peperiksaan Online Pembantu Pustakawan S19

Peperiksaan online ini bertujuan untuk mengukur kebolehan daya pemikiran calon, kemahiran mengaplikasi maklumat yang dipelajari ketika pembelajaran dan pengalaman.

Berikut merupakan format peperiksaan online  yang melibatkan 2 seksyen sahaja :

  • Seksyen A : Daya Menyelesaikan Masalah
  • Seksyen B : Kefahaman Bahasa Inggeris 

 Untuk mendapatkan contoh-contoh soalan untuk peperiksaan ini, sila dapatkan di : https://go.infotambahan.com/ebookextra/28

BONUS percuma seksyen A

 

 

Rabu, Mac 03, 2021

Perodua Ativa dilancarkan, guna 95 peratus komponen tempatan

 

Ativa, kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak terbaharu keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) secara rasmi diperkenalkan ke pasaran Malaysia hari ini.

Model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build (PSB) itu ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans antara RM61,500 hingga RM72,000.

Lebih menarik, ia dijual pada harga lebih rendah daripada harga tentatif iaitu RM62,500 hingga RM73,400 seperti yang diumumkan sebelum ini.

Perodua Ativa ditawarkan dalam tiga varian iaitu X yang dijual pada harga bermula RM61,500, manakala varian H (bermula RM66,100) dan AV (RM71,200).

Ativa adalah kenderaan pengecas turbo pertama PERODUA dan model pertamanya menggunakan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT).

Ia juga model pertama PERODUA yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2, selain menjadi kenderaan paling mampu milik di Malaysia yang memenuhi standard berkenaan.

Semua teknologi itu menyumbang kepada kecekapan bahan api sehingga 18.9 kilometer per liter (km/l), sekali gus menjadikannya Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) kelima PERODUA.

Lebih menarik, banyak teknologi terkini diterapkan dalam model SUV kompak itu.

Antaranya, Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 3.0 membuat kemunculan pertamanya pada Perodua Ativa dan teknologi itu terdapat pada semua varian.

ASA 3.0 berfungsi pada kelajuan yang lebih tinggi sehingga 120 kilometer sejam (km/j) untuk kenderaan dan sehingga 60 km/j untuk pejalan kaki, berbanding sistem ASA 2.0 semasa, selain boleh mengesan kenderaan beroda dua dan berfungsi pada waktu malam.

Semua varian juga ada enam beg udara, lampu hadapan LED automatik dengan 'Auto High Beam' dan 'Lane Departure Warning and Prevention'.

Varian H dan AV didatangkan dengan 'Adaptive Driving Beam', paparan pelbagai maklumat info TFT tujuh-inci dan sistem infotainmen skrin sesentuh sembilan-inci dengan 'voice recognition'.

Untuk varian tertinggi iaitu AV, ia secara eksklusif mempunyai Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata harga SUV kompak yang berpatutan adalah disebabkan kadar kandungan komponen tempatan sebanyak 95 peratus.

"Kandungan tempatan ini menjadi kadar permulaan tertinggi bagi mana-mana model Perodua. Malah, enjin dan transmisinya juga dihasilkan di Malaysia," katanya.

Zainal Abidin berkata, sehingga kini PERODUA sudah menerima kira-kira 5,000 tempahan bagi Perodua Ativa sejak ia dibuka untuk tempahan pada 19 Februari lalu.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas sokongan mereka. Penghantaran akan bermula esok dan kami menyasar untuk menjual sebanyak 3,000 unit sebulan secara purata," katanya.

Perodua Ativa dilancarkan oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin secara digital.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, Perodua Ativa adalah hasil kerjasama pintar pertama antara PERODUA dengan rakan teknikal dan teknologinya, Daihatsu.

"Perodua Ativa dibina atas platform global kerana PERODUA dan Daihatsu telah berjaya menyatukan sumber yang mampu menghasilkan model paling berdaya saing," katanya.

Beliau berkata, pengenalan Perodua Ativa amat penting kerana ia membawa kerjasama antara PERODUA dan Daihatsu ke tahap baharu, membolehkan pengeluar kereta nasional itu dan

pembekalnya berkongsi komponen serta proses untuk memaksimumkan kecekapan kos.

"Semua ini dilakukan tanpa mengetepikan reka bentuk, ciri dan citarasa Malaysia yang unik. Pembabitan kami dalam pembangunan Ativa bermula dari papan lukisan dengan 54 pereka dan jurutera kami bekerjasama dengan Daihatsu sejak 2018.

"Kerjasama erat ini membolehkan kami membabitkan ekosistem automotif Malaysia dalam pembangunan model ini dan pembekal kami berjaya mengatasi cabaran dan mampu mengurangkan kos mereka," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai model baharu itu, Zainal berkata, Ativa berasal daripada Bahasa Portugis yang bermaksud 'aktif' dan ia dipercayai sesuai dengan gaya hidup aktif di bandar yang dialami ramai.

Dengan Ativa kini sebahagian daripada keluarga Perodua, pengeluar kenderaan itu menjangkakan perbelanjaan sebanyak RM6.5 bilion untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan tahun ini.

"Kami menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk mengunjungi mana-mana pusat jualan kami di seluruh negara di mana garis panduan COVID-19 dipatuhi ketat demi kesihatan dan keselamatan semua – untuk melihat, merasai dan memandu uji Perodua Ativa sebelum pengecualian cukai jualan kerajaan berakhir pada 30 Jun nanti," tambah Zainal Abidin.

INFO
Harga atas jalan tanpa insurans Perodua Ativa

• Varian X - Warna Metalik (Glittering Silver/Granite Grey/Cobalt Blue): RM61,500

• Varian H - Warna Metalik (Glittering Silver/Granite Grey/Cobalt Blue): RM66,100

• Varian H - Warna Metalik Khas (Pearl Diamond White/Pearl Delima Red): RM66,600

• Varian AV Warna Metalik (Glittering Silver/Granite Grey): RM71,200

• Varian AV Warna Metalik Khas (Pearl Diamond White/Pearl Delima Red): RM71,700

• Varian AV Warna Metalik Khas dwi-tona (Pearl Diamond White/Pearl Delima Red): RM72,000

 

 

 

 

 

Selasa, Mac 02, 2021

Menghasut tolak pengambilan vaksin, satu kesalahan

 

Perbuatan menghasut orang ramai supaya menolak daripada mengambil vaksin COVID-19 adalah satu kesalahan berdasarkan Ordinan Darurat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan itu boleh dianggap sebagai mendatangkan khianat awam dengan niat menakutkan orang ramai.

"Semalam, saya difahamkan polis sudah membuat kenyataan. Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara sudah membuat kenyataan bahawa ia satu kesalahan yang boleh diambil tindakan.

"Jadi, melalui Ordinan Darurat yang dipinda, tindakan segera boleh diambil terhadap mereka," katanya pada sidang media berhubung perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, walaupun ada pihak mendakwa kerajaan gagal menangani pandemik COVID-19, Malaysia sebenarnya sedang menuju je arah kejayaan berbanding negara maju lain.

Katanya, menurut laporan Lowly Institute, badan pemikir berpusat di Australia, Malaysia berada di tangga ke-16 daripada 98 negara lain dengan skor 70.1 peratus.

"Amerika Syarikat (AS) berada di kedudukan 94 dengan 17.3 peratus, Perancis di kedudukan ke-73, United Kingdom (66) Jepun (45) dan Korea Selatan (22).

"Lebih membanggakan apabila kita berjaya mengawal kadar kematian. Ini terbukti apabila kadar kematian di negara masih rendah iaitu sekitar 0.38 peratus manakala kes sembuh 90.9 peratus," katanya.

Beliau berkata, data KKM turut menunjukkan kes sembuh mengatasi kes baharu harian dan ia perkhabaran baik yang dinantikan rakyat.

Sumber : Berita Harian

 

Isnin, Mac 01, 2021

Petron tawar minyak percuma setahun

 


Petron dengan kerjasama pengusaha stesennya akan memberi ganjaran bekalan minyak percuma selama setahun kepada 180 pelanggan bertuah, bersamaan 150,000 mata Petron Miles melalui peraduan 'FuelSyok'. 

Pemenang akan menerima 150,000 mata ganjaran Petron Miles dalam jangka masa setahun sementara 1,500 pelanggan lagi akan memenangi hadiah saguhati bernilai 3,000 mata ganjaran Petron Miles.

Semua stesen minyak menyertai peraduan itu akan mempunyai sekurang-kurangnya seorang pemenang dari 1,680 nama yang akan dipilih. 

Pelanggan akan dapat menyertai peraduan secara automatik dengan setiap pembelian minyak terkumpul berjumlah RM50 dengan menggunakan kad Petron Miles dalam tempoh promosi iaitu 1 Mac hingga 31 Julai 2021. 

Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron Malaysia, Choong Kum Choy, berkata inisiatif itu adalah khusus untuk membantu masyarakat setempat di mana Petron adalah sebahagian besar dari komuniti berkenaan.

"Kami berasa bangga untuk bekerjasama dengan pengusaha stesen kami dalam inisiatif ini bagi membantu pelanggan dalam masa yang mencabar ini," katanya.

 Sumber : Berita Harian

Sesi persekolahan Tahun Satu, Tahun Dua bermula 1 Mac 2021

 

Segala persiapan telah diatur bagi menyambut kehadiran murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua di sekolah rendah seluruh negara hari ini, selepas ditutup berikutan pandemik COVID-19.

Bagi murid yang belum mempunyai pakaian seragam, Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan mereka memakai pakaian biasa ke sekolah dan kebenaran itu diberikan sehingga 26 Mac ini (apabila cuti penggal pertama bermula).

Pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka selepas ia ditutup di seluruh negara mulai 9 November tahun lepas, juga menyaksikan murid dan guru menyesuaikan diri dengan norma baharu serta prosedur operasi standard (SOP).

Tidak mengambil mudah aspek SOP, KPM mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula dan Model Pengawalan Keberadaan Murid di Pintu Pagar Sekolah untuk semua sekolah di seluruh negara.

Ia mengandungi panduan pengurusan dalam pelbagai aspek merangkumi bermula murid sampai ke pintu pagar sekolah, ketika murid berada di sekolah dan SOP ketika pulang ke rumah.

Selain sekolah rendah, Kolej Vokasional juga dibuka hari ini.

Bagi murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 8 Mac manakala sekolah menengah akan bermula pada 4 April (di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan pada 5 April bagi negeri-negeri lain.

Sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan swasta akan dibuka semula pada 8 Mac.

Bagaimanapun, sesi persekolahan secara bersemuka di daerah Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri di Sarawak ditangguhkan sehingga 14 Mac disebabkan situasi semasa COVID-19 di kawasan itu.

Walaupun keadaan pandemik COVID-19 masih belum reda di Malaysia dan terdapat juga beberapa negeri yang masih di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pembukaan semula sekolah dilihat perlu.

Ia bagi mengimbangi keperluan akses pendidikan dalam persekitaran yang selamat bagi memastikan pelajar tidak jauh ketinggalan dalam pembelajaran. 

Sumber : BERNAMA

 

 

Data peribadi penerima vaksin tidak dikongsi dengan syarikat pengeluar

 

Kerajaan memberi jaminan data peribadi rakyat yang mendaftar untuk menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tidak akan didedahkan kepada syarikat pengeluar vaksin terlibat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, menegaskan data yang mungkin akan dikongsikan dengan syarikat farmaseutikal terlibat hanyalah maklumat berkaitan kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) dilakukan.

"Rakyat tidak perlu risau, kita (kerajaan) tidak akan dedahkan data peribadi mereka kepada syarikat pengeluar vaksin, hanya data umum seperti AEFI akan dikongsi.

"Bagi situasi antara Pfizer-BioNTech dengan negara Israel, mereka memang sudah ada perjanjian untuk kongsi maklumat (penerima) yang terperinci… tambahan Israel negara yang lebih dahulu terima vaksin," katanya. 

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian pada sesi sidang video program 'Sembang Vaksin' menerusi aplikasi Zoom anjuran gabungan doktor dan petugas kesihatan di Twitter atau MedTweetMY, malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sedang berbincang dengan pihak hospital dan pengamal perubatan swasta tentang penglibatan mereka dalam Fasa 2 dan 3 PICK.

Jelasnya, kedua-dua fasa itu memerlukan petugas kesihatan yang lebih ramai termasuk yang bertugas di hospital dan fasiliti kesihatan swasta bagi melaksanakan aktiviti imunisasi melibatkan jutaan penduduk di negara ini.

"Harus ditekankan, walaupun sebahagian rakyat akan menerima vaksin di hospital atau fasiliti kesihatan swasta pada Fasa 2 dan Fasa 3 PICK itu nanti, mereka tetap terima vaksin secara percuma," tegasnya.

Beliau berkata, buat masa ini JKJAV menetapkan semua pembelian vaksin daripada syarikat pengeluar dan pemberian vaksin adalah menerusi kerajaan bagi menjamin kesaksamaan dalam aktiviti imunisasi kepada rakyat yang layak divaksinkan.

Katanya, apabila bekalan vaksin itu tersedia untuk pasaran terbuka kelak, kerajaan akan memantau dan menetapkan harga siling bagi penggunaan di hospital swasta.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga sedang meneliti cadangan menggubal undang-undang baharu berkaitan penyebaran berita palsu vaksin COVID-19 yang boleh mencetuskan kekeliruan dan ketakutan dalam kalangan rakyat. 

Sumber : BERNAMA

 

 

Jumaat, Februari 26, 2021

Tangkap, kompaun RM10,000 jika langgar SOP kawalan COVID-19

 

Individu yang melanggar peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19, akan berdepan kompaun sehingga maksimum RM10,000.

Syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama, pula boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.

Ketika ini, individu dan syarikat yang melakukan kesalahan itu, hanya dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Kadar kompaun baharu itu akan berkuat kuasa mulai 11 Mac ini, mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan hari ini.

Semua perbuatan menyalahi Ordinan Darurat kini boleh ditangkap, manakala individu dijangkiti atau disyaki terkena jangkitan atau menjadi kontak pula boleh dipakaikan dengan peranti pengesanan.

Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 itu, diwartakan susulan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong, mengikut Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan, pada 11 Januari lalu.

Pemasyhuran ordinan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong selepas berpuas hati, bahawa tindakan serta merta dikehendaki bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Kadar kompaun terbabit dinaikkan, susulan penggantian Seksyen 25 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau mana-mana pegawai kesihatan yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya.

Selain itu, pindaan terhadap penalti am mengikut Seksyen 24 ordinan sama, bagi kesalahan yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata, kini boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, ordinan sama menetapkan mana-mana individu yang dijangkiti atau dipercayai telah dijangkiti atau mana-mana kontak rapat, boleh diperintah memakai peranti pengesanan.

Peranti pengesanan itu termasuklah suatu gelang tangan atau apa-apa peranti yang diberikan pegawai yang diberi kuasa dan sebarang perbuatan memusnah, merosak, menghilang atau mengubahnya, menjadi satu kesalahan.

Sumber : Berita Harian

 

 

Vaksin COVID-19: Ibu mengandung patut dapat nasihat pakar

 

Memikirkan risiko tinggi dijangkiti COVID-19, pastinya wanita hamil dan yang menyusukan anak mahu mengambil suntikan vaksin sebagai perisai diri daripada ancaman pandemik itu.

Bagaimanapun, terdapat kekeliruan kerana ramai menyangka mereka dilarang terus daripada mengambil imunisasi itu kerana dikhuatiri mendatangkan kesan sampingan terhadap diri mereka, kandungan dan anak yang sedang menyusu.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata yang sebenarnya, buat sementara waktu golongan itu tidak disyorkan mengambil suntikan itu kerana ketiadaan data yang mencukupi.

"Tanpa mengira trimester kandungan, mereka tidak disyorkan mengambilnya setakat ini," katanya ringkas ketika dihubungi.

Menurut Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dalam ruangan soalan lazim yang dikemas kini mengenai vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dikenali sebagai COMIRNATY, wanita hamil dan yang menyusukan anak diminta berhubung dengan doktor masing-masing untuk mengenal pasti jika mereka penerima yang sesuai bagi vaksin itu.

"Ujian klinikal Vaksin COMIRNATY tidak melibatkan wanita yang hamil atau sedang menyusukan anak.

"Memandangkan tiada data keberkesanan dan keselamatan penggunaan vaksin ini bagi populasi itu, pengesyoran tidak dapat dibuat sehingga maklumat terkini diperoleh," menurut NPRA.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital KPJ Ampang Puteri, Datuk Dr Ashar Abdullah pula berkata bagaimanapun, jika mereka petugas barisan hadapan, mereka sepatutnya diberikan vaksinasi memandangkan mereka berdepan risiko yang lebih tinggi dijangkiti COVID-19.

"Buat masa ini, yang menjadi masalah ialah tiada data yang cukup untuk menyokong vaksinasi rutin kepada wanita hamil dan yang menyusukan anak. Namun dari apa yang saya tahu, tiada risiko tambahan untuk golongan ini, sama seperti orang lain," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, saranan itu hanya untuk menangguhkan pengambilan suntikan vaksin sehingga data mencukupi diperoleh dan bukan bermakna ia tidak diperlukan atau tidak perlu diambil langsung.

Berkongsi pandangan sama, Pensyarah Perubatan Mikrobiologi, Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Niazlin Mohd Taib, berkata keperluan untuk petugas barisan hadapan yang mengandung untuk mengambil vaksin adalah tinggi tetapi bergantung kepada tempoh kandungan.

Bagaimanapun, pengambilan suntikan untuk petugas barisan hadapan yang hamil tetap perlu membabitkan persetujuan, perbincangan dan rujukan kepada data serta fakta.

"Untuk ibu mengandung yang lain, perbezaan dari segi tempoh kandungan sama ada trimester pertama, kedua atau ketiga juga diambil kira untuk menetapkan waktu yang sesuai untuk pengambilan vaksin.

"Perbincangan bersama pakar yang terbabit seperti ahli neonatologi, pakar sakit puan serta hospital ibu dan anak tentang keperluan pengambilan vaksin perlu dari segi keselamatan dan risiko setiap seorang kerana faktor kesihatan seseorang dan pekerjaan mungkin berbeza," katanya.

Niazlin berkata, sekiranya seorang ibu hamil itu tidak mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19, misalnya tinggal di kawasan zon hijau dan keluarga tidak bekerja sebagai petugas barisan hadapan, keperluan untuk vaksin lebih rendah serta boleh menunggu sehingga persetujuan atau garis panduan dikeluarkan.

Katanya, garis panduan pengambilan vaksin yang dibina akan berubah mengikut aliran bukti-bukti keselamatan, keberkesanan dan kepentingan pengambilan berdasarkan risiko seseorang terhadap jangkitan COVID-19.

"Beberapa pertubuhan kesihatan di dunia juga telah menyemak semula kepentingan vaksinasi dalam kalangan mereka kerana mereka dianggap antara yang berisiko apabila menghidapi COVID-19," katanya.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar juga berpendapat meskipun pengambilan vaksin itu tidak disyorkan kepada golongan itu, beliau menyarankan agar mereka mendapatkan pandangan pakar terlebih dahulu dan tidak membuat tafsiran sendiri.

"Ibu mengandung secara umumnya tidak boleh ambil tetapi ada pakar berpendapat kalau pada trimester ketiga vaksin boleh diambil kerana pembentukan bayi sudah lengkap. Sebab itu, apa jua ubat kita tidak beri ketika tiga bulan pertama.

"Sebab itu kita tidak boleh samakan semua yang mengandung. Lebih baik berbincang dengan doktor bagi mendapatkan kepastian, itu lebih baik," katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Pfizer memulakan ujian klinikal vaksin COVID-19 itu di Amerika Syarikat baru-baru ini ke atas 4,000 ibu mengandung bagi menguji keselamatan dan keberkesanannya. 

Sumber : BERNAMA

 

 

Hanya satu dos vaksin Johnson & Johnson

 


Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) menerusi satu kajian mendapati penggunaan satu dos vaksin keluaran Johnson & Johnson (J&J) berkesan membendung penularan Covid-19. 

Lapor Daily Mail, Agensi Persekutuan Saintis mengesahkan secara keseluruhannya vaksin itu berkesan 66 peratus mencegah serangan Covid-19 pada tahap sederhana hingga peringkat teruk. 

Suntikan itu juga didapati memberikan lebih banyak perlindungan terhadap varian baharu berbanding sebelum ini yang dipercayai 68 peratus berkesan mencegah penyakit sederhana ke peringkat lebih teruk oleh varian Brazil manakala, 64 peratus berkesan terhadap varian Afrika Selatan. 

Menurut syarikat tersebut, setiap individu hanya memerlukan satu suntikan J&J berbanding dua suntikan dan selamat digunakan. 

Kajian mengenai vaksin tersebut kini berada di peringkat akhir dan keputusannya bakal diumum hari ini.

Kumpulan penasihat bebas akan membahaskan hasil keputusan kajian sama ada untuk mengekalkan penggunaan satu dos suntikan atau sebaliknya.

FDA dijangka membuat keputusan muktamad dalam beberapa hari. 

Penyelaras Tindakan Covid-19 White House , Jeff Zeints berkata, jika diluluskan dan mendapat kebenaran, sebanyak tiga hingga empat juta dos vaksin tersebut akan diperuntukkan pada minggu depan. 

Jelasnya, kontrak dengan Kerajaan Persekutuan memberi jaminan sebanyak 100 juta dos bakal disalurkan pada akhir Jun ini dan J&J berusaha keras memastikan penghasilan vaksin dapat dipercepatkan. 

Ujian percubaan klinikal satu dos J&J diuji terhadap 44,000 orang di Amerika Syarikat, Amerika Latin dan Afrika Selatan.  

Sumber : Utusan

Keuntungan Kumpulan Public Bank susut 11.6 peratus pada 2020

 

Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM4.87 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, turun 11.6 peratus daripada RM5.51 bilion tahun sebelumnya.

Bagi tahun kewangan dilaporkan, Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM6.29 bilion, susut 11.9 peratus daripada 2019.

Pengasas dan Pengerusi Emeritus Kumpulan Public Bank, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, keuntungan lebih rendah pada tahun lalu terutama disebabkan oleh pemampatan margin faedah bersih berikutan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 125 mata asas.

Ia turut disumbang oleh kerugian pengubahan bersih satu sekali sebanyak RM498 juta yang dialami berikutan langkah-langkah bantuan Covid-19 yang ditawarkan kepada individu dan perniagaan.

Beliau yang juga Pengarah dan Penasihat Public Bank berkata, 2020 merupakan tahun penuh cabaran yang tidak berlaku susulan pandemik Covid-19 menyebabkan gangguan dan ketidaktentuan ekonomi yang ketara, ditambah dengan pengurangan beberapaka kali OPR meberi tekanan ke atas sektor perbankan.

“Walaupun begitu, Kumpulan Public Bank masih berupaya menunjukkan prestasi yang cemerlang dan mengekalkan keuntungannya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keuntungan operasi sebelum peruntukan kerugian pinjaman mencatatkan pertumbuhan sebanyak RM1.6 peratus kepada RM7.40 bilion, berbanding RM7.28 bilion tahun sebelumnya.

Katanya, pada tahun lalu, Kumpulan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus dalam jumlah pinjaman yang diperkukuh oleh pembiayaan hartanah kediaman, kenderaan penumpang dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Tambah Hong Piow, pendapatan bukan faedah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 17.5 peratus daripada 2019, terutama disebabkan pertumbuhan kukuh dalam perniagaan unit amanah, pendapatan pelaburan serta pembrokeran saham Kumpulan.

“Perniagaan unit amanah Kumpulan Public Banmk yang dijalankan subsidiari milik penuhnya, Public Mutual terus menjadi penyumbang utama.

“Pada tahun lalu, Public Mutual mencatatkan peningkatan sebanyak 10.5 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM714.8 juta. Jumlah nilai aset bersih dana-dana di bawah pengurusannya meningkat sebanyak 15.8 peratus melepasi RM100 bilion untuk pertama kali kepada RM100.3 bilion,” katanya. 

Sumber : Utusan

Vaksin Pfizer boleh disimpan pada suhu biasa peti beku farmaseutikal - FDA

 

Vaksin COVID-19 keluaran Pfizer yang dibekukan, boleh disimpan pada suhu biasa peti beku farmaseutikal untuk tempoh menjangkau dua minggu, menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS), semalam.

Ia sekali gus menyuntik kelonggaran berbanding sebelum ini yang memerlukan vaksin terbabit disimpan pada suhu ultra rendah antara -80 hingga -60 darjah Celsius.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Penilaian Biologi FDA, Peter Marks, berkata langkah itu dapat membantu mempermudahkan proses pengangkutan dan penyimpanan vaksin berkenaan.

"Suhu alternatif bagi pengangkutan dan penyimpanan itu akan membantu mengurangkan beban membeli peralatan simpanan dengan suhu ultra rendah di lapangan vaksinasi, selain membolehkan vaksin berkenaan dihantar ke lebih banyak tempat," katanya.

Susulan itu, FDA memaklumkan, pihaknya akan mengemas kini lampiran fakta kepada penyedia penjagaan kesihatan dari semasa ke semasa.

Peti beku farmaseutikal dalam pasaran ketika ini lazimnya beroperasi pada suhu sekitar -20 darjah Celsius.

Langkah kelonggaran itu menyusul selepas syarikat farmaseutikal berpangkalan di AS itu mengemukakan permohonan berdasarkan penyelidikannya terhadap aspek kestabilan vaksin berkenaan ketika berada bawah suhu lebih panas.

Vaksin itu dihasil menggunakan teknologi baharu dan sebaik saja nyahbeku, boleh disimpan pada suhu peti sejuk antara 2 hingga 8 darjah Celsius hingga lima hari.

Selain itu, ia boleh disimpan pada suhu bilik bagi tempoh tidak melebihi dua jam. 

Sumber : AFP

 

Khamis, Februari 25, 2021

PM sihat, tiada alami gejala selepas terima vaksin

 

Sehari selepas menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 satu dos Pfizer-BioNTech di negara ini, Tan Sri Muhyiddin Yasin semalam memaklumkan dirinya sihat dan tidak mengalami gejala demam atau kesan sampingan lain.

Perdana Menteri menerusi video dimuat naik di Facebook hari ini, turut melahirkan keyakinan vaksin diterima itu selamat dan berkesan.

"Alhamdulillah, hari ini (semalam) hari kedua selepas semalam (kelmarin) saya dapat suntikan vaksin COVID-19, semuanya berjalan dengan baik.

"Saya yakin ini adalah vaksin selamat, berkesan. Ramai tanya saya hari ini bagaimana keadaan saya? Alhamdulillah saya berasa sihat, tiada rasa demam dan luar biasa.

"Makan dan selera macam biasa. Bagi saya vaksin yang saya terima ini agak baik," katanya.

Muhyiddin menegaskan masih mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka walaupun sudah menerima suntikan vaksin COVID-19.

"Masih teruskan amalan SOP digunakan, saya di rumah tidak pakai pelitup muka, tetapi biasa (di luar) saya pakai.

"Cuci tangan macam biasa, penjarakan fizikal macam biasa dan jangan pergi tempat orang ramai-ramai (sesak), ini harus kita teruskan," katanya.

Perdana Menteri sekali lagi memohon semua rakyat mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi menamatkan penularan COVID-19 di negara ini.

Beliau berkata, tindakan menyokong usaha kerajaan itu dapat menamatkan penularan COVID-19 di negara ini.

"Kita perlu ramai-ramai mendaftar untuk mendapat suntikan menerusi aplikasi MySejahtera. Saya sudah ada (aplikasi itu) dalam telefon (pintar). Semua data, maklumat yang terima semalam, saya terima dos pertama dan dapat tarikh untuk dos kedua.

"Dia bagi saya janji temu 17 Mac ini, Insya-Allah selepas itu baru dapat sijil selesai menerima suntikan vaksin COVID-19.

"Saya mengucap syukur terhadap Allah SWT kerana keadaan (kesihatan) masih baik dan sihat. Saya doakan anda semua sentiasa dalam keadaan sihat," katanya.

Semalam, Muhyiddin menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.

Sumber : Berita Harian

Vaksin COVID-19 halang penyakit, tetapi adakah ia hentikan jangkitan?

 


Seperti laporan minggu ini dari Scotland dan Israel - di mana ramai atau sebahagian besar penduduk dijangkiti COVID-19 - mengesahkan bahawa vaksin sebahagian besarnya mencegah orang ramai daripada jatuh sakit.

Namun, satu lagi persoalan muncul: Adakah ia juga menyekat jangkitan?

Pakar berkata, vaksin yang dilancarkan di seluruh dunia tidak hanya mencegah gejala tetapi juga virus itu sendiri, justeru ia dapat melambatkan penyebaran patogen dan mempercepat keadaan kembali normal.

"Sekiranya kesan sebenar terhadap jangkitan sangat tinggi, itu akan menjadi berita baik kerana itulah yang kita perlukan untuk mencapai imuniti kelompok," kata Marc Lipsitch, pengarah Pusat Dinamik Penyakit Berjangkit di Harvard T.H. Chan School of Public Health, memberitahu AFP.

Imuniti kelompok dicapai apabila sebahagian besar populasi - anggarannya sekitar antara 60 hingga 80 peratus - telah memperoleh pertahanan terhadap virus, sama ada melalui vaksinasi atau kerana mereka terselamat daripada jangkitan.

Namun, jika vaksin Pfizer, Moderna dan AstraZeneca - dan mungkin vaksin lain yang dibuat di China, Russia dan India - melindungi dengan lemah daripada jangkitan, mungkin mereka yang telah disuntik vaksin sekalipun tetap berpotensi menyebarkan virus, bukan pembawa yang tidak disengaja.

"Kebimbangan besar selain vaksin mencegah penyakit, kemasukan ke hospital dan kematian ialah ia tidak cukup untuk membantu mencegah penularan," kata Peter English, perunding kawalan penyakit berjangkit dan bekas ketua Jawatankuasa Perubatan Kesihatan Awam Persatuan Perubatan Britain yang berpusat di United Kingdom (UK), kepada AFP.

Dalam senario itu, masyarakat dan negara mungkin sudah mulai mengabaikan pemakaian pelitup muka secara meluas, penjarakan fizikal dan perintah sekatan keras sehingga kempen vaksinasi dapat disudahkan.

"Terdapat juga risiko yang lebih besar bahawa varian baharu 'kebal' terhadap vaksin dan virus terus beredar," kata English.

Beberapa varian seperti itu - lebih menular, lebih berbahaya atau kedua-duanya - telah berkembang biak di England, Afrika Selatan dan Brazil kerana virus SARS-CoV-2 mencari 'perumah' baru, fasa yang dapat diramalkan dalam evolusi pandemik.

Namun, kajian baru-baru ini bersama dengan vaksin yang masih diuji memberikan alasan untuk optimis.

Penyelidikan yang merangkumi keseluruhan penduduk Scotland berjumlah 5.4 juta - satu perlima disuntik dengan vaksin Pfizer atau Oxford/AstraZeneca - memberikan pengesahan bahawa vaksin mencegah simptom dan penyakit COVID-19 lebih dari 90 peratus.

Satu kajian yang diterbitkan di New England Journal of Medicine semalam - membandingkan dua kumpulan di Israel masing-masing setiap satu hampir 600,000 orang, satu diberi vaksin dan satu lagi tidak - juga melaporkan penurunan penyakit selaras dengan ujian klinikal.

Penemuan Israel juga menunjukkan jangkitan menurun secara mendadak dalam kalangan yang diberi vaksin - sebanyak 92 peratus di antara mereka dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu selepas mendapat suntikan dos kedua.

Menurut English, tahap perlindungan sebenarnya mungkin tidak begitu tinggi kerana Israel tidak menguji COVID-19 secara sistematik dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai gejala.

"Mereka mungkin gagal mengesan beberapa kes asimtomatik (tidak bergejala), dan kita tahu bahawa orang tanpa gejala masih boleh menyebarkan jangkitan.

"Namun, hasilnya masih memberangsangkan. Penemuan ini memberi kita harapan bahawa vaksinasi sekurang-kurangnya dapat menghalang virus daripada terus menyebar," katanya menjelaskan bahawa jika ia benar-benar berjaya, akhirnya kita tidak lagi perlu mengambil tindakan seperti perintah sekatan atau pemakaian pelitup muka untuk membendung penularan.

"Tetapi walaupun terdapat beratus-ratus kajian, serta ujian klinikal ketat membabitkan puluhan ribu orang dan menghasilkan puluhan vaksin yang berjaya, kita masih belum tahu seberapa bagus ia menyekat jangkitan?

"Apa yang paling dipentingkan oleh masyarakat global, pertanyaan yang mereka inginkan dijawab dengan cepat, adalah seberapa bagus vaksin mencegah penyakit," katanya, sambil memberitahu ujian klinikal dirancang dengan mempertimbangkan hal itu. 

Sumber : AFP

 

Indonesia komited bangunkan ibu negara baru di Kalimantan Timur

 


Indonesia kekal komited untuk membangunkan ibu negara baru di wilayah Kalimantan Timur, yang akan bermula selepas program vaksinasi COVID-19 selesai pada Mac 2022.

Negara itu memulakan program vaksinasi secara besar-besaran 14 Januari lalu, didahului dengan pekerja kesihatan di seluruh kepulauan itu, selepas Presiden Joko Widodo (Jokowi) menerima suntikan pertama vaksin pada 13 Januari lalu.

Menteri Perancangan Pembangunan Nasional, Suharso Monoarfa, baru-baru ini berkata, selepas program vaksinasi itu kerajaan akan memulakan pembangunan ibu kota baru Indonesia, yang dijangka mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

Beliau berkata, rang undang-undang mengenainya sudah dimasukkan dalam program perundangan nasional dan peraturan presiden bagi penubuhan lembaga pihak berkuasa untuk ibu kota baru itu sudah pun diwujudkan.

Tambah beliau, pembangunan ibu kota baru itu kini sedang menunggu arahan Jokowi, sementara Indonesia giat memberi tumpuan menyelesaikan program vaksinasi.

Timbalan agensi bagi pembangunan wilayah, Rudy Soeprihadi Prawiradinata, berkata jangka masa pembangunan ibu negara baharu itu masih mengikut jadual walaupun negara itu kini sedang berdepan wabak COVID-19.

Jelas beliau, majlis pecah tanah yang sebelum ini dijadualkan pada Ogos 2020, ditunda sehingga program vaksinasi nasional selesai dan berharap ketua negara itu akan memasuki pejabat di ibu negara baru pada 2024.

Sementara itu, timbalan kepada ketua daerah Penajam Paser Utara, yang menjadi sebahagian tempat bagi ibu negara baru itu, Hamdam, berkata usaha memindahkan ibu negara ke wilayah Kalimantan Timur sudah pada peringkat akhir.

Katanya, rancangan terperinci bagi ibu negara baru itu sudah dimuktamadkan Kementerian Perancangan Pembangunan Nasional dan pemindahannya hanya menunggu keputusan politik presiden dan kelulusan peraturan Parlimen.

Pemindahan ibu negara Indonesia terkandung dalam Rancangan Pembangunan Jangka Menengah Nasional 2020-2024.

Pada 26 Ogos 2019, Jokowi mengumumkan sebuah ibu negara baru akan dibina antara daerah pentadbiran Penajam Paser Utara dan daerah Kutai Kartanegara di wilayah Kalimantan Timur.

Kalimantan Timur dengan keluasan kira-kira 125.337 kilometer persegi adalah wilayah Indonesia di timur pulau Kalimantan, yang juga dikenali sebagai Borneo dengan jumlah penduduk lebih sejuta orang. 

Sumber : AGENSI

 

Recent Posts