Sabtu, Januari 02, 2021

Wajah comel Fatima anak Fattah dan Fazura

 

Selepas dua bulan menyambut kelahiran bayi sulung, pasangan selebriti, Fattah Amin dan Nur Fazura buat kali pertama berkongsi wajah puteri tersayang, Nur Fatima Aisya kepada peminat. Foto keluarga itu dikongsi pasangan berkenaan dalam akaun Instagram (IG) rasmi mereka, tepat pada jam 12 tengah malam.

Pada foto itu, Fatima yang didukung Fazura, tampak comel dalam persalinan gaun berenda dan bertopi.

Melalui entri itu, Fattah dan Fazura mengucapkan selamat menyambut tahun baharu 2021 kepada peminat dan pengikut mereka.

"Selamat Tahun Baharu 2021. Salam Sayang. Fattah, Fazura dan Fatima," kata pasangan itu.

 Sumber : Berita Harian

 

 

 

Jumaat, Januari 01, 2021

Contoh Soalan Ujian Psikometrik SPA

 

Pakej lengkap Contoh Soalan Ujian Psikometrik, dapatkan di : https://go.infotambahan.com/ujian-psikometrik/28

Preview Contoh Soalan Exam Psikometrik
https://www.scribd.com/document/475556837/PDF-Preview-eBook-Soalan-Exam-Psikometrik-2020

 

 

 

 

Pengantin Remaja berkahwin pada usia 15 tahun

 

"Kami tak sangka bergelar suami isteri pada usia remaja begini, Allah sudah tentukan jodoh kami tiba awal," itu jawapan pengantin remaja, Nurin Irdina Mohd Muhizan dan Ahmad Faris Umar Alwi, masing-masing berusia 15 dan 17 tahun.

Ketika ditemui di rumah Ahmad Faris Umar dekat Taman Kenanga di Tanah Merah, Kelantan, pasangan pengantin yang baharu 10 hari melangsungkan perkahwinan itu, kelihatan berseri dan masih malu-malu dengan inai masih merah di jari pengantin perempuan.

Nurin Irdina berkata, dia dan suami berkenalan lapan bulan lalu dan saling berhubung menerusi telefon bimbit sebelum hubungan itu diketahui keluarga Ahmad Faris Umar.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mahmud Paduka Raja (1) itu, berkata keluarga Ahmad Faris Umar kemudian datang bertemu keluarganya dan mencadangkan agar disatukan mereka berdua untuk menghalalkan hubungan.

"Ketika diberitahu mengenai perkara itu, saya agak terkejut dan langsung tidak menyangka bahawa keluarga akan mengambil keputusan sedemikian, namun saya tidak membantah malah sedikit teruja.

"Segala persiapan dilakukan dalam tempoh dua bulan. Malah segala-galanya kelihatan dipermudahkan sehinggalah pada 20 Disember lalu kami sah bergelar suami isteri," katanya ketika ditemui di rumah mentuanya. 

Nurin yang juga anak sulung daripada lima beradik, berkata walaupun sudah berhenti sekolah, namun dia tetap menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lagi di sekolah swasta.

Perkahwinan remaja itu tular sejak semalam, apabila video dan foto mereka mengenakan busana pengantin dipaparkan media sosial, hingga mengundang perdebatan dalam kalangan netizen mengenai perkahwinan mereka yang berlangsung pada usia muda. 

Dalam foto yang dikongsikan menerusi laman sosial itu, pasangan itu mengenakan songket berwarna biru ketika majlis persandingan dan resepsi yang diadakan di sebuah restoran milik keluarga Ahmad Faris Umar.

Ahmad Faris Umar yang juga bekas Pelajar Sekolah Menengah Ugama (Arab) Rahmaniah Paloh di sini, berkata perkenalannya dengan isteri pada awalnya sebagai pembeli dan penjual dalam talian.

Dia yang membeli kabel telefon daripada Nurin Irdina, berjumpa buat kali pertama selepas barangan yang dipesannya itu dihantar ke rumah dan sejak itu mereka berhubung menerusi telefon bimbit.

"Sebaik mendengar cadangan daripada emak agar saya berkahwin, memang tidak percaya dan anggap ia satu gurauan namun apabila mengetahuinya adalah serius, saya terus bersetuju.

"Buat masa kini kami berulang-alik di rumah saya di sini manakala rumah Nurin di Kampung Chawas, tidak jauh dari sini. Sebelum ini saya bekerja dengan ayah yang mengusahakan perniagaan hartanah, namun kini akan memberi tumpuan kepada perniagaan dalam talian bersama isteri," kata anak bongsu daripada tujuh beradik itu.

Sementara itu, ibu Ahmad Faris Umar, Zalaha Hassan, 56, berkata keputusan mengahwinkan anak bongsunya itu dipersetujui suami, Alwi Ismail, 63, yang ingin segera menghalalkan hubungan pasangan itu.

Beliau berkata, suaminya seorang yang tegas dan sebaik mengetahui dua remaja itu sedang berhubung walaupun hanya menerusi telefon, tanpa berfikir panjang mereka segera membuat keputusan menghalalkan hubungan.

"Faktor usia muda bukan isu utama bagi kami dan apa yang lebih penting adalah menghalalkan mereka kerana di zaman sekarang, banyak isu sosial yang semakin membimbangkan dan sekurang-kurangnya ia jalan terbaik buat mereka berdua," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Hanya ambil makanan diyakini halal - Mufti Kedah

 


Umat Islam perlu meninggalkan makanan diragui atau syubhah, dan hanya mengambil yang diyakini halal, kata Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Katanya, Islam sudah menyediakan garis panduan sangat jelas dalam menghadapi isu makanan yang diragui status halal.

Beliau berkata, ia selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud 'tinggalkanlah suatu yang diragui, ambil yang benar-benar diyakini'.

"Sehubungan itu, umat Islam mesti mengambil berat dan memandang serius perkara ini kerana makanan akan menjadi darah daging.

"Seseorang yang membesar dengan makanan haram, adalah sangat sukar dibentuk, doa tidak mustajab serta tidak mendapat rahmat Allah SWT pada hari pembalasan," katanya ketika diminta mengulas isu kartel daging sejuk beku yang diragui status halal.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat oleh syarikat Ayam Bismi, di sini, semalam.

Fadzil berkata, pihaknya sangat kesal jika terbukti benar berlaku pemalsuan status halal produk terbabit, kerana ia adalah adalah perbuatan tidak bertamadun dan bermaruah di sisi agama.

Malah, beliau menegaskan, wang diperoleh daripada kegiatan sedemikian adalah haram serta tidak boleh dijadikan sumber rezeki makan minum orang Islam.

"Justeru di sini, kita melihat peri pentingnya industri penternakan diusahakan oleh orang Islam sendiri.

"Semoga isu ini memberi pengajaran dan iktibar kepada kita semua.

"Kita juga berharap kerajaan dan kementerian berkaitan dapat berusaha menjadikan Malaysia negara penternak, pengeluar dan pengedar daging halal," katanya.

Beliau sekali gus menasihati peniaga Islam di negara ini supaya merujuk senarai pembekal daging import diyakini halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mendapatkan bekalan produk berkenaan.

Sumber : Berita Harian

 

 

Tanya Pakar@Unisza tawar khidmat nasihat percuma dalam 13 bidang

 

Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) meneruskan komitmen memberi khidmat nasihat secara percuma kepada masyarakat dengan memperkenal inisiatif Tanya Pakar. 

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pendekatan terbaharu itu membolehkan orang ramai mendapatkan khidmat  nasihat membabitkan 13 bidang utama secara dalam talian. 

Katanya, bidang itu termasuk perniagaan dan pengurusan, agama, undang-undang, pertanian, kebajikan sosial, komputer, kerjaya, terapi seni, alam sekitar serta permasalahan orang kurang upaya (OKU). 

 “Kemudahan Tanya Pakar ini beroperasi setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu, dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. 

 “Sistem ini memudahkan komuniti menghubungi pakar di Unisza yang sentiasa bersedia membantu sekali gus menyelesaikan segala permasalahan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Hassan Basri berkata, Unisza bersedia menambah bidang-bidang lain jika diperlukan oleh masyarakat dalam menyelesaikan setiap masalah mereka. 

Katanya, platform yang diperkenal itu seiring dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk mewujudkan Universiti Untuk Masyrakat (U4S) dan Community Heroes yang dihasratkan. 

 “Sehubungan itu, saya berharap komuniti setempat dan rakyat Malaysia dapat memanfaatkan ilmu-ilmu dan kepakaran ini bertepatan dengan motto Unisza, ilmu demi faedah insan,” katanya.

 Untuk maklumat lanjut, layari https://tanyapakar.unisza.edu.my/

Khamis, Disember 31, 2020

Pengecualian cukai kenderaan dilanjutkan sehingga Jun 2021

 

Pengecualian cukai jualan untuk kereta penumpang membabitkan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan model diimport sepenuhnya (CBU) dilanjutkan untuk tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2021.

Langkah itu adalah bagi terus memacu momentum perkembangan sektor automotif.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, ia membabitkan pengecualian sepenuhnya cukai jualan yang dikenakan ke atas kereta penumpang, termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV).

Bagi CBU import baharu dan CBU import terpakai, pengecualian 50 peratus cukai jualan dikenakan ke atas

kereta penumpang, termasuk MPV dan SUV.

"Pengecualian ini akan berkuatkuasa dari 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2021," katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam pembentangan pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pada awal Jun lalu mengumumkan pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi kereta penumpang CKD dan 50 peratus untuk model CBU bermula 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

Ia sebahagian langkah merangsang jualan kenderaan di Malaysia, sekali gus menyokong ekonomi negara.

Pada suku ketiga 2020, jualan keseluruhan industri (TIV) meningkat 147 peratus suku ke suku dengan jualan 167,131 unit.

Sumber : Harian Metro

 

Tarikh caruman wajib KWSP kembali ke 15 hari bulan

 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menetapkan semula tarikh untuk majikan membuat bayaran caruman wajib kepada 15 hari bulan bermula Januari 2021.

KWSP dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu selaras dengan tarikh asal bayaran caruman yang ditetapkan KWSP.

Sebelum ini, KWSP melanjutkan tarikh bayaran caruman berkenaan kepada 30 hari bulan bagi bulan April 2020 hingga Ogos 2020, sebelum sekali lagi bertindak melanjutkan tarikh caruman wajib itu bagi bulan September 2020 hingga Disember 2020.

"KWSP sebelum ini melanjutkan tarikh bayaran caruman berkenaan dengan tujuan untuk meringankan beban majikan berikutan keadaan semasa yang tidak menentu disebabkan pandemik Covid-19.

"Tarikh pembayaran caruman dikembalikan kepada tarikh asal bagi memastikan caruman pekerja dibayar tanpa kelewatan," katanya.

KWSP berkata, majikan boleh membuat bayaran caruman melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman web KWSP, perbankan Internet atau di kaunter bank yang dilantik.

Sumber : Harian Metro

PM umum strategi bersepadu pemulihan negara pasca Covid-19

 

Kerajaan menggariskan lima keutamaan dalam strategi bersepadu pemulihan negara pasca Covid-19 bagi 2021.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keutamaan pertama adalah mempertingkatkan tahap kesihatan awam melalui perolehan bekalan vaksin Covid-19 dan melancarkan program vaksinasi di seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) serta Wisma Putra mewujudkan satu portfolio bekalan vaksin dan menandatangani beberapa perjanjian bagi memperoleh bekalan secepat mungkin daripada syarikat dan pengeluar vaksin.

"Kerajaan akan memastikan bekalan vaksin berkesan, selamat dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat di negara ini. Vaksin akan diberi secara percuma kepada rakyat.

"Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini akan dilaksanakan oleh KKM melalui tiga fasa bermula seawal Februari 2021. Saya bersama petugas barisan hadapan akan menjadi antara terawal menerima suntikan bagi membuktikan vaksin ini selamat dan berkesan.

"Kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan pesakit menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) juga akan diberi keutamaan dalam menerima suntikan vaksin. Pemantauan keberkesanan dan keselamatan akan diteruskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Sempena Tahun Baharu 2021 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, hari ini.

Muhyiddin berkata, keutamaan kedua adalah memperkukuh ekonomi prihatin rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca Covid-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Kerajaan akan terus membangunkan jaringan keselamatan sosial seperti Bantuan Prihatin Rakyat, skim perlindungan insurans khusus untuk B40 dan memperkukuh sistem kebajikan negara untuk memastikan nasib golongan rentan, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) terbela.

"Bergantung kepada situasi ekonomi semasa kerajaan sedia mempertimbangkan suntikan fiskal strategik jika keadaan memerlukan, seperti mana pakej rangsangan ekonomi sebelum ini.

"Kerajaan akan membantu sedaya upaya untuk meringankan beban rakyat, membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan mereka.

"Apabila ekonomi rakyat kukuh, tentulah lebih mudah untuk kita memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca Covid-19," katanya.

Selain itu, katanya, keutamaan ketiga adalah memastikan kestabilan politik dan kerajaan termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi yang mampan.

Bagi keutamaan keempat pula, kerajaan menjamin kedaulatan negara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperhebat manakala keutamaan kelima, memperkukuh hubungan antara kaum serta agama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu menentang sebarang ancaman.

"Saya yakin dan percaya, perpaduan adalah kunci kejayaan Malaysia. Lihatlah, berkat perpaduan dan kesatuan hati kita semua, satu persatu cabaran dan dugaan pandemik Covid-19 dapat kita atasi.

"Insafi dan hayatilah hakikat ini. Pupuk dan semai semangat bersatu-padu, saling memahami antara satu sama lain. Benar, ini tidak mudah, apatah lagi dengan cabaran teknologi yang semakin canggih dan ledakan informasi antara benar, separa benar dan palsu yang berlegar di ruangan maya," katanya.

Beliau menegaskan kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu ingkar dan menyemai api kebencian antara kaum, agama serta menghina institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.

Sumber : Harian Metro

 

Selasa, Disember 29, 2020

KL Thunder juara STL 2020

 

Biarpun masih berbaki dua perlawanan, rekod 16 perlawanan tanpa kalah sudah cukup untuk membawa Kuala Lumpur Thunder (KL Thunder) dinobat sebagai juara Liga Sepak Takraw (STL) 2020.

Kemenangan 21-18, 21-16 ke atas PDRM Defenders di Stadium Titiwangsa hari ini memastikan skuad ibu kota itu mengetepikan dua pencabar rapat, ATM Guardians dan Johor Tigris tanpa mengira apa yang akan berlaku dalam dua  baki perlawanan mereka. 

Turun tanpa perejam utama, Azlan Alias, KL Thunder yang dibarisi Syahir Rosdi (tekong), Hanafiah Dollah (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) tidak berdepan masalah untuk merekodkan kemenangan 21-18 dalam set pertama.

Bahkan PDRM Defenders yang bergelut di tangga tercorot  liga, tidak mampu bangkit dalam set kedua selepas gandingan Syahmi Husin (tekong), Norhafizi Razak (perejam) dan Shaharil Aimin (pengumpan) akur dengan kekalahan 16-21.

KL Thunder akan berdepan Johor Tigris dan ATM Guardians dalam baki saingan STL musim ini. 

Sumber : Utusan

Almera Turbo baharu kemas, selesa

 

Nissan Al­mera Turbo serba baharu yang dilancarkan baru-baru ini sememang­nya kenderaan yang cukup menyerlah lebih-lebih lagi menggabungkan reka bentuk kemas, keselesaan dan ruang luas bagi pemiliknya.

Menurut Tan Chong Motor Holdings Berhad iaitu pengedar Nissan di Malaysia, Almera baharu dilengkapi teknologi Nissan Intelligent Mobility dan Safety Shield 360 yang menawarkan pemantauan keselamatan serta tindak balas pada bahagian hadapan, sisi dan belakang.

Hadir dengan tiga varian iaitu VL pada harga atas jalan de­ngan pengecualian cukai jualan tidak termasuk insurans adalah RM79,906; VLP (RM85,715) dan VLT pada harga RM91,310.

Selain itu, kata Tan Chong Motor, Almera baharu turut mempunyai sistem amaran pe­langgaran hadapan pintar (IFCW) dan brek kecemasan hadapan pintar (IFEB) yang memantau jarak dan kelajuan ken­deraan di samping mengeluarkan tanda berhenti kecemasan serta menekan brek secara automatik untuk membantu mengelak pe­langgaran hadapan.

Almera Turbo tersebut turut dilengkapi sistem amaran titik buta (BSW) dan amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

“Ketika memandu pada kelajuan melebihi 32 kilometer sejam (km/j), sistem BSW membantu memantau kawasan titik buta dalam jarak 3X3 meter menerusi sensor radar pada bahagian bampar belakang.

“Ia akan memberi amaran kepada pemandu tentang kewujudan kenderaan lain yang berada berhampiran apabila hendak menukar haluan,” katanya dalam kenyataan.

Edaran Tan Chong Sdn. Bhd. (ETCM) iaitu anak syarikat milik penuh Tan Chong Motor turut menawarkan promosi pembiayaan flexi istimewa iaitu bermula RM688 sebulan bagi va­rian VL, RM738 sebulan bagi varian VLP dan RM788 sebulan bagi VLT.

“Pelanggan yang membeli insurans dengan Tan Chong Insu­rance Business Stream (TCIBS) untuk Nissan Almera Turbo akan menerima perlindungan kemalangan peribadi (PA) secara percuma,” katanya.

Sumber : Utusan

Ambang tahun baharu 2021 dibatalkan

 

Setelah lima tahun diadakan, kerajaan memutuskan untuk tiada sebarang sambutan ambang tahun baharu 2021 pada lewat malam 31 Disember 2020 ini di seluruh negara.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya selepas sesi sidang akhbar mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di pejabatnya hari ini.

“Aktiviti sebegini sebenarnya termasuk dalam senarai negatif dan sambutan bagi meraikan kedatangan tahun baharu secara perhimpunan memang langsung tidak dibenarkan,” katanya.

Pada 5 Disember lalu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerima maklum saranan Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya acara itu dibatalkan.

Ia susulan kebimbangan berlaku lonjakan kes positif baharu wabak Covid-19 akibat tidak ramai dijangka patuh prosedur operasi standard ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beberapa buah negara turut mengumumkan pembatalan acara ambang tahun baharu pada akhir bulan ini ekoran peningkatan jumlah pesakit di sebalik usaha vaksinasi besar-besaran.

“Kita sebenarnya ada pelbagai cara, boleh buat dalam rumah bersama keluarga dan rakan, malah kerajaan tidak benar termasuk khabarnya ada cadangan dibuat di KLCC,” katanya.

Kali terakhir acara sedemikian ditiadakan ialah pada 31 Disember 2014 apabila seluruh negara berkabung susulan tragedi MH370, MH17 dan pesawat AirAsia terhempas di Indonesia.

Malahan, kerajaan pernah melakukan perkara sama ekoran bencana tsunami dahsyat yang melanda banyak negara sekitar Lautan Hindi termasuk Malaysia pada 26 Disember 2004.

Acara itu juga dibatalkan selama tiga tahun berturut-turut dari 1998 hingga 2000 kerana tarikh 31 Disember kebetulan jatuh ketika bulan Ramadan sebagai hormati umat Islam beribadah.

Sumber : Utusan