Jumaat, November 20, 2020

PKPB di Johor, Melaka, Terengganu dan Kedah ditamatkan 21 Nov 2020

 

Kerajaan memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Johor, Melaka, Kedah dan Terengganu ditamatkan esok, lebih awal berbanding 6 Disember depan seperti diumumkan sebelum ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagaimanapun beberapa daerah seperti Kulim di Kedah, Kota Tinggi dan Mersing di Johor masih dikenakan PKPB.

"PKPB ditamatkan selepas penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Kesihatan yang menunjukkan trend penurunan kes positif dan keadaan terkawal," katanya pada sidang medianya hari ini.A

Di Kedah katanya sehingga Rabu lalu, hanya terdapat 85 kes aktif yang direkodkan di seluruh negeri berkenaan dan keadaan terkawal kecuali bagi daerah Kulim yang masih merekodkan 23 kes aktif.

"Bagi Johor, sejak 5 November lalu, sebanyak 82 kes positif COVID-19 direkodkan namun sehingga Isnin lalu, kes aktif merekodkan penurunan di seluruh negeri dan keadaan adalah terkawal kecuali daerah Kota Tinggi dan Mersing dengan masing-masing masih merekodkan 36 dan lapan kes aktif," katanya.

Bagi Melaka, beliau berkata secara kumulatif sejak 5 November lalu, sebanyak 61 kes positif COVID-19 direkodkan, namun sehingga Rabu lalu, hanya terdapat 48 kes aktif yang direkodkan di seluruh negeri.

"Di Terengganu, secara kumulatif sejak 4 November lalu sebanyak 230 kes positif COVID-19 direkodkan bagaimanapun, sehingga Selasa lalu, hanya terdapat 19 kes aktif yang direkodkan di seluruh negeri dan tiada kes sporadik dilaporkan dalam 14 hari kebelakangan ini," katanya.

Beliau berkata, biarpun PKPB di empat negeri ini ditamatkan, namun ia masih tertakluk di bawah prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berkuat kuasa di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat Rabu lalu, situasi pendemik semasa di seluruh negara masih menunjukkan trend peningkatan kes positif COVID-19 dengan jumlah kes aktif dan kadar kebolehjangkitan masih lagi tinggi.

PKPB sebelum ini diumumkan di seluruh negara kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis.

Sumber : Berita Harian

Kadar dividen KWSP bakal terjejas jika pengeluaran besar-besaran

 


Pengeluaran tunai dalam kuantiti besar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpotensi menjejaskan kadar pulangan dividen tabung simpanan persaraan itu dalam tempoh jangka panjang.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, program i-Lestari dan i-Sinar dijangka menyaksikan pengeluaran berjumlah RM45 bilion.

Jelasnya, dengan inisiatif pengurangan kadar caruman KWSP melibatkan nilai RM8 bilion tahun ini, ditambah RM9 bilion lagi tahun depan, impak keseluruhan kepada KWSP diunjurkan sekitar RM60 bilion.

“Itu jumlah kos peluang yang hilang bagi KWSP. Untuk tahun lalu, KWSP mengumumkan dividen 5.45 peratus bagi simpanan konvensional dan lima peratus simpanan shariah, melibatkan jumlah pembayaran RM45.82 bilion.

“Sekiranya KWSP ingin memberi dividen sekurang-kurangnya lima peratus tahun ini, anggaran jumlah yang diperlukan adalah RM46 bilion,” katanya kepada pemberita semalam.

Menurut Ahmed Razman, berhubung kadar dividen tahun ini, KWSP menyatakan mereka mempunyai mandat untuk memberikan pulangan sekurang-kurangnya 2.5 peratus dan mengatasi kadar inflasi sebanyak dua peratus dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

Tambahnya, KWSP berkemungkinan besar mampu memenuhi mandat berkenaan, dengan kadar inflasi yang rendah tahun ini namun kadar pulangan minimum mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat dan sasaran pemberian RM46 bilion adalah lebih realistik.

“Sekiranya KWSP terus mengekalkan strategi biasa, mereka tidak mampu membayar sebanyak itu, jumlah pembayaran dividen oleh KWSP memperlihatkan trend penurunan dengan RM45.82 bilion pada 2019, RM47.3 bilion (2018) dan RM48.13 bilion (2017).

“Mereka mungkin terpaksa menjual ekuiti dan saham di pasaran, yang seterusnya menambah kehilangan kos peluang serta berpotensi menjejaskan pulangan dividen untuk jangka panjang,” katanya. 

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, pencairan aset oleh KWSP boleh menggoncang ekonomi negara disebabkan kedudukannya sebagai pelabur gergasi di pasaran domestik.

Menurutnya, pegangan aset KWSP berlainan dengan dana lain seperti Amanah Saham Bumiputera mahupun Tabung Haji kerana pengeluaran simpanan KWSP secara besar-besaran amat jarang berlaku.

“KWSP mungkin terpaksa menjual aset mereka yang paling cair dan aset sebegini kebiasaannya banyak memberikan keuntungan.

“Sudah pasti KWSP terjejas dengan perkembangan semasa, isunya adalah sejauh mana,” katanya. 

Sumber : Kosmo!

Penggunaan beg plastik ‘diharamkan’ di seluruh negara

 

Beg plastik tidak lagi digunakan di semua premis di seluruh negara selepas pelaksanaannya dipersetujui oleh semua kerajaan negeri.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataannya memberitahu, mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76 semalam meluluskan Kertas Cadangan Pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dibentangkan KASA.

Menurutnya, MNKT turut bersetuju meluluskan pelaksanaannya di semua premis seluruh negara dengan mengenakan caj minimum 20 sen bagi setiap beg plastik yang diberikan kepada pelanggan di kaunter pembayaran.

“Pengenaan caj ini berpandukan prinsip ‘user-pay-principal’ yang bertujuan menghindari penggunaan plastik sekali guna.

“Justeru, kutipan ini perlu diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk digunakan bagi aktiviti kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik ini dibuat dalam dua fasa iaitu fasa pertama mulai Disember ini hingga 2021.

“Ia tertumpu kepada premis kekal iaitu pasar raya hiper, pasar raya besar, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian serta farmasi.

“Bagi pelaksanaan fasa kedua bermula 2022 hingga 2025, kempen itu akan diperluaskan kepada jenis premis perniagaan lain termasuk kedai runcit, pasar basah, pasar malam, pasar tani dan sebagainya,” katanya

Mengulas lanjut, usaha ini selari dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018 – 2030 bertujuan membendung pencemaran plastik sekali guna dan beralih kepada alternatif lain lebih mesra alam.

“Sehubungan itu, KASA akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dan PBT dalam usaha gerak kerja pelaksanaan kempen ini termasuk memberi penerangan dan kesedaran kepada orang ramai mengenai keperluan menghindari penggunaan plastik sekali guna.

“Orang ramai adalah digalakkan untuk membawa beg guna semula semasa membeli-belah dalam usaha bersama melestarikan alam sekitar,” ujarnya.

Sementara itu, dalam mesyuarat MNKT tersebut, KASA diwakili Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad yang turut menyatakan inisiatif kempen itu untuk menangani masalah pencemaran plastik sekali guna.

Malah, beliau mengucapkan penghargaan atas sokongan dan komitmen semua kerajaan negeri untuk melaksanakan inisiatif tersebut dalam meningkatkan penghayatan gaya hidup hijau dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Sumber : Kosmo!

Modenas Elegan 250 ABS

 

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) melancarkan skuter maxi, Modenas Elegan 250 versi ABS yang ditawarkan pada harga RM15,315.

Berdasarkan tanda harga yang ditawarkan untuk Modenas Elegan 250 versi ABS, ia dikatakan skuter yang memberikan lebih nilai untuk wang yang dibelanjakan dalam segmennya.

Walaupun reka bentuk skuter ini mungkin tidak banyak berbeza dengan model sebelum ini, namun varian ini ada menawarkan beberapa ciri tambahan.

Modenas Elegan 250 versi ABS dilengkapi dengan enjin suntikan bahan api, 4-lejang dan silinder tunggal, SOHC 250cc yang menghasilkan kuasa maksimum 16.5 kW pada 7000 rpm dan tork 22.4 Nm pada 6500 rpm.

Ia memiliki sistem penyejukan cecair untuk meningkatkan prestasi penyejukan serta memberikan perlindungan dan ketahanan pada enjin.

Modenas Elegan 250 ABS juga menawarkan speedometer digital pelbagai fungsi yang memaparkan beberapa maklumat tambahan seperti meter perjalanan, jam digital, penunjuk voltan bateri dan terutamanya peringatan penukaran minyak.

MODENAS mendakwa ciri berkenaan tidak didapati pada model yang harganya jauh lebih tinggi di pasaran.

Satu lagi ciri yang sangat berguna yang ditawarkan menerusi model ini adalah soket pengecas USB yang dipasang secara strategik di kotak simpan pada papan pemuka, yang membolehkan penunggang mengecas telefon pintar mereka ketika sedang berada di atas jalan atau pada bila-bila masa.

Dari segi keselamatan, skuter maxi Modenas baru ini mendapat sistem ABS dua saluran iaitu di bahagian depan dan belakang, yang mengelakkan roda daripada terkunci dan memberikan daya berhenti yang unggul dalam semua keadaan cuaca.

 

Ia juga dilengkapi dengan lampu depan projektor yang lebih bergaya dengan lampu nyalaan siang (DRL) jenis LED yang membantu penglihatan bagi penunggang dan pengguna jalan raya lain pada bila-bila masa, sementara lampu belakang berbentuk 'X' jenis LED memberikan penglihatan yang lebih terang dan mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain ketika tunggangan pada waktu malam.

Aspek reka bentuk pula menyaksikan Modenas Elegan 250 ABS direka untuk keselesaan dan praktikaliti.

Skuter maxi ini menawarkan ruang simpanan bawah tempat duduk yang cukup besar dan boleh memuatkan dua helmet, atau barangan membeli belah; ataupun apa sahaja yang mungkin anda ingin bawa semasa percutian pendek anda.

Tempat duduknya memberikan keselesaan tambahan bagi penunggang dan pembonceng, sementara tempat letak kaki direka secara dinamik untuk kedudukan kaki yang lebih fleksibel dan relaks yang menjanjikan keselesaan yang lebih baik dalam semua jenis situasi tunggangan.

Selain daripada peningkatan prestasi dan gaya, Modenas Elegan 250 ABS juga menawarkan perjalanan yang lebih selamat dan selesa dengan kerangka tinggi serta lengan ayun belakang yang memberi tunggangan yang lebih stabil.

Modenas Elegan 250 ABS hadir dengan dua pilihan warna iaitu Matte Satin Merah dan Matte Satin Hitam.

Model ini boleh didapati di semua pengedar sah MODENAS bermula bulan ini.

 

Khamis, November 19, 2020

PNB lancar Minggu Saham Digital, adaptasi digital MSAM

 

 

Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini melancarkan Minggu Saham Digital (MSD), adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM).

MSD meneruskan objektif MSAM untuk mendidik dan meningkatkan pemahaman masyarakat tentang kepentingan menyimpan dan melabur dalam format hibur didik, sambil mempamerkan portfolio syarikat pelaburan PNB dan operasi perniagaan mereka.

Menteri Kewangan dan Timbalan Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz, dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn merasmikan pelancaran maya karnival digital itu yang disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube dan laman Facebook rasmi MSD.   

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi YPB, mengucapkan tahniah kepada PNB atas inisiatif membawa acara literasi kewangan tahunannya dengan format digital baharu melalui perutusan video.

Dalam perutusannya, Perdana Menteri berkata, sejak 20 tahun lalu, PNB berjaya menawan hati rakyat dengan acara MSAM yang diadakan setiap tahun.

Beliau berkata, pastinya kejayaan MSAM akan diteruskan lagi dengan penganjuran MSD yang julung kalinya dianjurkan menerusi landskap digital.

"Saya amat yakin PNB akan terus komited dalam menangani cabaran ekonomi semasa dan terus melangkah melangkaui mandat yang diberikan bagi meningkatkan nilai pulangan unit mamah selain meneruskan agenda pendidikan pelaburan di negara ini.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mendokong institusi milik rakyat yang amat disayangi ini dalam menjayakan hasrat murni melalui Minggu Saham Digital ke arah membangunkan masyarakat yang bukan saja celik pelaburan, malah celik digital. Tahniah kepada warga PNB yang bekerja keras menjayakan Minggu Saham Digital ini," katanya.

Sementara itu, Zeti berkata, MSD adalah satu lagi detik penting dalam perjalanan transformasi PNB.

Beliau berkata, sebagai institusi pelaburan utama negara, PNB berpegang teguh kepada mandat yang diberikan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan bagi membantu membangunkan ekonomi Bumiputera dan semua rakyat Malaysia.

Katanya, sejak penubuhan, PNB sentiasa menjalankan pelbagai program untuk meningkatkan literasi kewangan, serta meluaskan akses kepada dana unit amanah yang ditawarkannya.

"Selama dua dekad, PNB telah menganjurkan MSAM sebagai satu usaha mendekati masyarakat dan meningkatkan tahap celik pelaburan mereka. Secara keseluruhan, MSAM telah berjaya menarik penyertaan 3.9 juta rakyat Malaysia.

"Dalam tempoh ini, aset bawah pengurusan (AUM) PNB meningkat daripada RM61 bilion pada 2000 kepada RM315 bilion setakat September 2020," katanya pada majlis perasmian MSD.

Zeti berkata, PNB juga sebagai salah satu ahli pengasas Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di bawah Financial Education Network (FEN) bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Kementerian Pendidikan Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memajukan pendidikan kewangan.

Beliau berkata, strategi itu bermatlamat meningkatkan tahap literasi kewangan dan memupuk tabiat dan sikap yang bertanggungjawab dan berdisiplin dalam pengurusan kewangan.

"Justeru pada tahun ini, kami telah merombak MSAM ke format digital selaras dengan perkembangan era teknologi. Format baharu ini mudah dilayari dan boleh diakses oleh lebih ramai lagi rakyat Malaysia. Maka, lahirlah Minggu Saham Digital (MSD) yang bertemakan "Labur Bersama"," katanya.

Zeti berkata, MSD berlangsung sepenuhnya secara digital dan program yang diaturkan adalah menyeluruh dan boleh disertai oleh segenap lapisan rakyat secara serentak di seluruh negara.

Beliau berkata, acara yang berlangsung selama tujuh hari, dibawa secara 'livestream' sehingga 24 November.

Katanya, seperti acara MSAM sebelum ini, MSD padat dengan aktiviti interaktif serta hibur didik untuk membimbing masyarakat tentang pelaburan dan perancangan kewangan.

MSD dianjurkan bersama dengan syarikat pelaburan dan rakan korporat PNB, yang mana Maybank, Sime Darby Plantation Bhd dan UMW Holdings Bhd adalah dalam kategori Rakan Premier.

Sime Darby Bhd, Sime Darby Property Bhd, S P Setia Bhd, MIDF Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) adalah dalam kategori Rakan Utama; manakala MNRB Holdings Bhd (MNRB), CCM Bhd, Duopharma Biotech Bhd, Velesto Energy Bhd, Sapura Energy Bhd, dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd adalah dalam kategori Rakan.

MSD bersiaran setiap hari dari jam 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam dari 18 hingga 24 November 2020 melalui laman Facebook dan saluran YouTube rasmi MSD.

Penonton dapat menyaksikan pelbagai program hibur didik dengan topik kewangan, pelaburan, keusahawanan dan ekonomi, seperti Cikgu CEO, Makan Dulu, Sembang-Sembang ASNB dan ASB-Iclif MBA Masterclass Series.

Sepanjang minggu, MSD juga mengadakan sesi Khidmat Nasihat 1-1 untuk orang awam dan pemegang unit untuk mengetahui lebih lanjut tentang pelaburan mereka.

Konsultasi peribadi selama 30 minit akan diadakan menerusi Google Meet. Temu janji boleh dibuat di laman mikro MSD.

Personaliti dan selebriti yang akan merancakkan MSD antaranya ialah Awal Ashaari, Dahlia Shazwan, Fahrin Ahmad, Imam Muda Asyraf, Dato' Fazley Yaakob, Fizo Imar dan Chef Sherson Lian.

Peserta MSD berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih RM500,000 termasuk Ford Ranger 2.0L XLT Plus 4WD (10AT), Toyota Vios 1.5 G (AT), motosikal Yamaha R25, lapan motosikal Honda Dash 125 S, wang tunai menerusi aplikasi mudah alih pelaburan mikro Raiz, dan sebuah Perodua Aruz 1.5 AV (AT).

Pertandingan pencarian harta karun maya, 'Eh, Mana Kod?' juga telah dibuka kepada orang ramai dan akan berlangsung sehingga 30 November 2020.

Untuk maklumat lanjut dan jadual program, layari www.minggusahamdigital.com.my atau @minggusahamdigital di Instagram dan Facebook.

 

Agong perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat Parlimen Batu Sapi

 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat untuk membatalkan tarikh yang ditetapkan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, Sabah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perisytiharan itu adalah berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu Ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150.

Menurut Ahmad Fadil keputusan dicapai setelah baginda memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Dengan pengisytiharan ini juga, apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud penjalanan PRK bagi P.185 Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK itu.

“Maka dengan itu, Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi P.185 Batu Sapi, Sabah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara hari ini.

Menurut beliau, Baginda berpendapat wajar PRK itu dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara.

“Perkenan Seri Paduka Baginda ini juga mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar bahagian Batu Sapi yang dijangka akan merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi,” jelas Ahmad Fadil.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, jumlah pemilih berdaftar P.185 Batu Sapi adalah 32,962 orang dan sejumlah 3,170 orang daripadanya beralamat di luar bahagian Parlimen itu, termasuk di Semenanjung dan Sarawak.

Sumber : Kosmo!

Isnin, November 16, 2020

OdeJee tawar peluang kerja kepada penghantar makanan

 

Syarikat penghantar makanan halal pertama tempatan, OdeJee yang bakal memulakan operasinya bulan depan mempelawa orang ramai untuk menjadi sebahagian daripada ahli ‘Keluarga OdeJee’.

Pengerusi OdeJee, Datuk Seri Ismail Alwasi Khan berkata, pihaknya mempelawa orang ramai untuk menjadi penghantar makanan sama ada secara sepenuh masa atau sambilan.

“Penghantar makanan OdeJee bakal menerima pelbagai insentif menarik dan kebajikan mereka juga akan sentiasa dijaga dengan baik.

“Untuk menjadi penghantar makanan, pemohon perlu memiliki lesen memandu dan motosikal berserta cukai jalan dan insurans tidak tamat tempoh,” katanya dalam satu kenya­taan di sini semalam.

Menurut Ismail, penghantar OdeJee akan diberi beg penghantaran makanan, dua helai baju berlengan panjang, tag nama serta barangan keperluan lain.

Tambah beliau, selain penghantar makanan, OdeJee mempelawa pengusaha restoran, kedai makan,  kenderaan saji (food truck)  serta pe­ngusaha makanan dan minuman untuk menjadi vendor.

Jelasnya, vendor juga akan diberi pelbagai insentif dan dibantu untuk meningkatkan lagi perniagaan mereka.

“Semua vendor makanan dan minuman yang berdaftar di bawah OdeJee adalah berstatus halal, dimiliki serta diusahakan 100 peratus oleh umat Islam.

Dengan tagline Halal, Amal dan Berkat’ aplikasi OdeJee dijadualkan memulakan opera­sinya pada awal bulan depan di Johor Bahru dan di Pasir Gudang, Senai, Kulai sebelum ke seluruh negeri Johor,” katanya.

Sumber : Kosmo!

Misteri hantu ular sawa di Tanjung Jaga

 

Banglo putih di tengah hutan ini terbiar sehingga kini.

Masyarakat yang tinggal di sekitar Kuala Muda dan Yan, Kedah pasti pernah melalui laluan Tanjung Jaga yang menjadi salah satu jalan penghubung antara kedua-dua daerah itu.

Jalan sejauh 10 kilometer yang merentasi kawasan sekitar lereng Gunung Jerai itu menyajikan panorama lautan membiru Selat Melaka yang indah terbentang.

Justeru tidak hairanlah, Tanjung Jaga sering menjadi pilihan para pengunjung yang berhasrat untuk menikmati pemandangan laut.
Di satu sudut bertentangan, laluan tersebut dipenuhi dengan dusun buah-buahan seperti pokok durian, rambutan, manggis dan tumbuhan hutan.

Nama Tanjung Jaga asalnya dipanggil Teluk Air. Kawasan tersebut sering menjadi pilihan kaki pancing dan pencari sumber laut seperti lala, kepah dan lokan.

Sejak kebelakangan ini, laluan yang mempunyai banyak selekoh berliku itu semakin menjadi pilihan masyarakat setempat terutamanya mereka yang berulang-alik dari Yan ke Sungai Petani.

Bagaimanapun, ramai tidak mengetahui Tanjung Jaga menyimpan pelbagai misteri yang masih belum terungkai oleh sesiapa termasuk pengkaji sejarah.

Menyingkap antara misteri di situ adalah sebuah banglo usang yang tersergam indah di dalam hutan terletak tidak berapa jauh dari jalan utama Tanjung Jaga.

Banglo terbiar tersebut yang dipercayai telah wujud sebelum 1950-an lagi didakwa milik seorang gabenor dari Pulau Pinang, namun selepas pemiliknya meninggal dunia, ia dibiarkan begitu sahaja.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu anak gabenor berkenaan menetap di situ. Selepas beberapa tahun, rumah banglo itu dibiar kosong kembali oleh anaknya.

Banglo putih itu dibiarkan tidak berpenghuni untuk tempoh sekian lama sehinggalah kini.

Selain banglo terbiar, Tanjung Jaga juga mempunyai sebuah telaga lama yang dikatakan menyimpan pelbagai misteri.

Dikatakan, air telaga tersebut tidak pernah kering meskipun pada musim kemarau. Namun, begitu laluan untuk ke telaga tersebut ketika ini dipenuhi semak yang tebal.

Bagi penduduk setempat, pelbagai kisah misteri didengari oleh mereka sejak sekian lama, malah ada yang mengalami sendiri pengalaman aneh tersebut di depan mata.

Satu lagi cerita misteri yang popular dalam kalangan penduduk setempat adalah hantu menyerupai ular sawa bersaiz gergasi.
Pada satu malam, seorang pemuda memandu bersendirian melalui kawasan Tanjung Jaga pada waktu tengah malam untuk pulang ke rumahnya di Yan.

Selepas melewati satu selekoh, dia terlihat ular sawa bersaiz gergasi sedang melintas jalan. Malangnya, dia tidak sempat menghentikan kenderaan lalu melanggar haiwan tersebut.

Dia memilih keluar daripada kenderaan untuk melihat keadaan ular tersebut. Dalam keadaan gelap itu dia tidak menjumpai susuk ular berkenaan. Kemudian, dia masuk kembali ke dalam kenderaannya untuk meneruskan perjalanan.

Bagaimanapun, selepas tiba di kawasan bercahaya, lelaki itu memandang cermin pandang belakang keretanya sebelum terlihat seorang wanita berambut panjang duduk di bahagian kerusi belakang.

Salah seorang penduduk tempatan, Shahrul Ahmad, 31 berkata, laluan tersebut agak gelap dan sunyi pada waktu malam sehingga mewujudkan suasana seram kepada pengguna jalan raya.

“Lagipun, pada waktu malam tidak banyak kenderaan yang lalui kawasan ini. Jika ada pun, jarang-jarang. Saya sendiri pun meremang bulu roma kalau memandu seorang diri di laluan itu,” katanya.

Kawasan itu menjadi bertambah misteri apabila seorang lelaki telah membunuh tunangnya di sekitar Tanjung Jaga antara pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi pada 2006.

Mengikut fakta kes, mangsa telah ditemui mati dalam keadaan separuh bogel serta berlumuran darah dipercayai dipukul objek keras dan cedera parah di bahagian kepala.

Suspek dipercayai marah besar dan bertindak di luar batasan apabila mengetahui tunangnya hamil sedangkan mereka tidak pernah melakukan hubungan intim bersama.

Menurut Shahrul, pihak berwajib perlu memastikan lampu di kawasan itu sentiasa berada dalam keadaan baik bagi mengurangkan ketakutan orang ramai.

“Saya tengok sekarang pihak berwajib sudah mula membuang pokok-pokok di laluan ini. Ia satu langkah baik bagi mengurangkan rasa takut pengguna jalan raya,” katanya.

Shahrul percaya, kisah-kisah misteri yang diperkatakan di kawasan itu berlaku ekoran keadaan laluannya kelihatan agak menyeramkan kerana dipenuhi hutan.

Katanya, keadaan tersebut membuka ruang kepada orang ramai untuk mereka pelbagai cerita seram yang tidak dipastikan sejauh mana kebenarannya.

 


Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Sumber : Kosmo!

 

Ahad, November 15, 2020

Contoh Soalan Exam Penguasa Bomba KB41 & KB29



Contoh Soalan Peperiksaan Penguasa Bomba KB41 & KB29

Peperiksaan Penguasa Bomba KB29 & KB41 untuk sesi exam 19 NOVEMBER 2020. Format peperiksaan 3 Seksyen (Pengetahuan Am, Daya Menyelesaikan Masalah & Bahasa Inggeris). 

Dapatkan set Contoh Soalan di : https://go.semakan.info/penguasa-bomba/28


 


Ika Nabella berhijab

 

Bukan mahu berahsia, sebaliknya, pelakon, Ika Nabella, 31, masih membiasakan diri dengan penghijrahannya.

Disebabkan itu, awalnya, Ika atau nama sebenarnya, Ika Nabila Abdul Rahim agak keberatan berkongsi dan mengumumkan dirinya sudah berhijab, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ika berkata, sudahnya masanya berkongsi berita baik, apatah lagi sering memuat naik gambar yang sudah bertudung, sejak akhir ini.

"Saya takut nak cakap ia satu penghijrahan. Jika betul ini penghijrahan, saya harap ia berkekalan dan saya kekal istiqamah. Doakan yang terbaik untuk saya supaya perubahan ini kekal sampai bila-bila," katanya kepada BH Online.

Pelakon Bahagia Bukan Bidaan itu berkata, dia sudah lama berhijab, tetapi tidak dikongsikan dalam laman sosial.

"Saya tak berniat untuk membuat pengumuman, tetapi apabila ramai bertanya, saya rasa perlu beritahu.

"Jika diikutkan, saya sudah lama berhasrat mahu bertudung, tetapi sebagai manusia biasa, banyak sangat hal duniawi yang difikir hingga membantutkan niat dan membuat hati berbolak-balik.

"Namun, sekarang adalah masanya untuk saya menjadi insan, isteri dan ibu yang lebih baik," katanya.

Ika berkata, bapa dan suaminya, Muhammad Zaid adalah insan yang paling gembira dengan penghijrahannya itu.

Mengulas dorongan penghijrahannya itu, Ika berkata, keluarganya adalah pendorong utama untuk melihatnya menjadi wanita lebih baik.

"Apabila sudah kahwin dan cahaya mata, saya gembira dengan kehidupan, walaupun serba serbi sederhana. Saya dapat apa yang diingini. Dahulu, saya mahu kahwin, dapat berkahwin. Kemudiannya mahukan sangat zuriat, Alhamdulillah dikurniakan zuriat. Saya tak pernah rasa bosan dengan hidup.

"Jadi apabila difikir semula, tiada benda lagi yang menghalang saya untuk meneruskan niat berhijrah ini.

"Saya sering mengikuti kelas agama. Guru selalu mengatakan, Allah bagi walaupun murka. Jadi, saya tak mahu Allah murka dengan saya. Saya tak mahu tergolong dalam istidraj. Kalau boleh saya mahu sehabis baik untuk menjadi manusia lebih baik," katanya.

Wanita kelahiran Pulau Pinang itu berkata, dia kini sudah menginjak usia 31 tahun.

"Saya rasa masa pun makin lama makin singkat.

"Saya mahu menjadi isteri sempurna dan ibu yang boleh memberikan memori baik untuk anak. Saya mahu anak saya mempunyai memori baik mengenai saya, ibunya yang baik, menutup aurat dengan sempurna dan menjaga solat. Saya mahu menjadi contoh untuk anak," katanya.

Ibu kepada Muhammad Noah Zayn itu berkata, dia tidak menafikan melihat rakan dalam industri yang berhijrah menjadi salah satu dorongannya untuk berbuat demikian.

"Sebelum ini, saya selalu fikir jika bertudung macam mana nak berlakon, produksi okay atau tidak dengan pilihan saya. Tetapi, sekarang saya tengok okay sahaja.

"Lagipun, sekarang saya lihat ramai rakan artis yang sudah berhijrah. Saya tengok mereka jauh lebih cantik dan popular. Mereka boleh berhijrah dan berubah menjadi lebih baik, mengapa tidak saya?

"Saya bersyukur dengan adanya sosial media di mana saya banyak mengikuti orang yang positif. Mereka sangat memberikan inspirasi, itu juga salah satu sebab mendorong saya berhijab," katanya.

Mengulas tawaran lakonan dengan penampilan baharu, Ika berkata, dia ada menolak beberapa tawaran yang sudah diterima sebelum ini.

"Ada terima dua tawaran drama bersiri, tetapi waktu ditawarkan saya tak bersedia memberitahu saya sudah berhijab. Jadi, saya terpaksa tolak tawaran.

"Sekarang, saya tenang apabila dapat berkongsi mengenai penghijrahan ini. Saya harap sesiapa sahaja yang mahu bekerjasama tahu saya sudah berhijab. Jika berlakon, saya mahukan watak bersesuaian dengan imej sekarang," katanya.

 Sumber : Berita Harian

 

 

Hubungi bank jika perlukan moratorium bayaran balik pinjaman

 

Individu atau perniagaan yang berdepan masalah membayar balik pinjaman, perlu berkomunikasi dengan pihak bank untuk mendapatkan moratorium atau bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon, berkata menerusi Belanjawan 2021, individu terkesan, khususnya golongan B40 boleh memilih sama ada mendapatkan moratorium selama tiga bulan, atau membayar 50 peratus daripada bayaran balik pinjaman untuk enam bulan.

Katanya, proses permohonan itu juga sangat mudah dan memberi jaminan pihak bank akan membantu mereka yang bermasalah untuk membayar balik pinjaman masing-masing.

"Bagi mereka yang terjejas, khususnya B40, prosesnya mudah. Cuma beritahu bank sama ada nak tangguh bayaran, iaitu tak perlu bayar apa-apa selama tiga bulan, atau bayar separuh saja untuk tempoh enam bulan.

"Kemudahan ini ditawarkan oleh bank tempatan, cuma mereka kena berkomunikasi dengan pihak bank dan maklumkan jika ada masalah untuk bayar balik atau jika anda kumpulan yang terjejas (dengan pandemik COVID-19).

"Jika anda berkomunikasi dengan pihak bank, bank akan membantu anda dan melihat bagaimana untuk membantu daripada segi moratorium bayaran balik pinjaman," katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung di TV1, hari ini.

Ditanya mengenai perbezaan pelaksanaan moratorium secara pukal sebelum ini dengan bantuan bayaran balik bersasark ketika ini, Asri berkata, moratorium keseluruhan sebelum ini dinikmati semua kumpulan, sama ada B40, M40 atau T20.

"Untuk Belanjawan 2021, kemudahan moratorium ini kita sasarkan untuk membantu golongan yang mudah terjejas dan mereka yang benar-benar memerlukan.

"Berdasarkan data daripada pihak bank, katanya, sebanyak 650,000 permohonan lanjutan moratorium diterima dan 98 peratus daripadanya diluluskan," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Senarai Penuh Pemenang ABPBH 33

 


Berikut merupakan senarai penuh pemenang ABPBH ke – 33:

1. ARTIS BAHARU LELAKI POPULAR- CHUBB –E

2. ARTIS BAHARU WANITA POPULAR- ISYARIANA CHE AZMI

3. PENYANYI LELAKI POPULAR- HAQIEM RUSLI

4. PENYANYI WANITA POPULAR- WANY HASRITA

5. PELAKON FILEM LELAKI POPULAR- ZAHIRIL ADZIM

6. PELAKON FILEM WANITA POPULAR- MAWAR RASHID

7. PELAKON TV LELAKI POPULAR- BEN AMIR

8. PELAKON TV WANITA POPULAR- SITI SALEHA

9. ARTIS VERSATIL POPULAR- SITI NORDIANA

10. ARTIS KOLABORASI / DUO / BERKUMPULAN- KHAI BAHAR & SITI NORDIANA

11. ARTIS KOMEDI POPULAR – SHERRY ALHADAD

12. PENYAMPAI RADIO POPULAR – DJ LIN

13. PENGACARA TV POPULAR- SHERRY ALHADAD

KATEGORI ONLINE

1. GANDINGAN SERASI DRAMA POPULAR- KAMAL ADLI & UQASHA SENROSE (SETELAH TERLAFAZNYA AKAD)

2. GANDINGAN SERASI FILEM POPULAR- SYAFIQ KYLE & MIMI LANA (PUSAKA)

3. LAGU PALING BOOM – LEMBAH KESEPIAN (HAQIEM RUSLI)

4. ARTIS KONTROVERSI POPULAR- AIMAN TINO

5. ANUGERAH FC #FANTASTIK POPULAR- SITI NORDIANA FC

ANUGERAH BINTANG POPULAR ABPBH ke – 33-HAQIEM RUSLY

ANUGERAH SEPANJANG HAYAT- FRANSISCA PETER

Tahniah buat semua pemenang! 



Sabtu, November 14, 2020

Mesir temui lebih 100 keranda kuno yang masih kukuh

 

Mesir mengumumkan penemuan lebih 100 keranda yang masih kukuh iaitu harta karun kuno yang dianggap sebagai satu penemuan terbesar tahun ini.

Keranda kayu yang tertutup itu dikatakan adalah milik pegawai tinggi Mesir purba.

Ia ditemui di tiga kubur pada kedalaman 12 meter di perkuburan Saqqara di selatan Kaherah.

Ahli arkeologi membuka satu keranda untuk mendedahkan seorang mumia dibungkus dengan kain kafan yang dihiasi dengan gambar hieroglif berwarna terang.

Saqqara adalah tempat pengkebumian ibu kota Mesir kuno Memphis iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Penemuan terbesar itu berlaku kira-kira sebulan selepas ahli arkeologi di kawasan itu menjumpai 59 keranda kayu lain yang terpelihara dan bertutup, dipercayai berusia 2,500 tahun yang lalu.

Menteri Antik dan Pelancongan, Khaled al-Anany, berkata Saqqara masih belum mendedahkan semua isinya kerana ini adalah harta karun.

"Kerja menggali masih diteruskan. Setiap kali kita mengosongkan serpihan kubur, kita menjumpai jalan masuk ke tempat lain.

"Lebih 40 patung dewa kuno dan topeng penguburan juga ditemui," katanya.

Katanya, penemuan itu akan diedarkan ke beberapa muzium di Mesir termasuk Muzium Besar Mesir yang belum dibuka di dataran tinggi Giza.

Beliau mengaitkan banyak penemuan di Saqqara dalam kerja penggalian yang dilakukan dalam beberapa tahun ini, malah akan mengumumkan beberapa penemuan baharu.

Ahli arkeologi juga berharap dapat menemui bengkel kuno untuk pembuatan keranda kayu untuk mumia tidak lama lagi, menurut Mostafa Waziri iaitu Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti.

Mesir berharap penemuan arkeologi akan mendorong pelancongan, iaitu sektor yang mengalami banyak kejutan sejak pemberontakan tahun 2011 hingga wabak COVID-19 hari ini. 

Sumber : AFP

 

 

Mengawal darah tinggi

 

Darah tinggi dianggap penyakit biasa bagi rakyat Malaysia, tetapi ditakuti kerana boleh menjadi pembunuh senyap kepada pesakit.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati 6.4 juta rakyat dewasa di Malaysia menghidap darah tinggi.

Mereka perlu bergantung dengan ubat yang diberikan doktor atau pegawai farmasi bagi memastikan tekanan darah sentiasa terkawal.

Namun, ramai pesakit tidak mengetahui bahawa terdapat 'petua' menurunkan penyakit darah tinggi menggunakan bahan semula jadi.

Pakar Antioksidan Dr Suri Roowi berkata, 'Journal of Medicinal Plants Research' yang diterbitkan pada 2011 menyenaraikan beberapa jenis sayuran yang boleh menurunkan tekanan darah tinggi.

Menurutnya, sayuran ini murah dan mudah didapati seperti bawang putih, saderi dan brokoli.

"Bawang putih kaya pelbagai khasiat dan banyak digunakan dalam masakan bagi menambah rasa yang lebih enak.

"Ia juga sangat berguna kepada mereka yang mengalami masalah tekanan darah tinggi.

"Caranya ialah makan seulas bawang putih setiap hari selama 12 minggu, ia boleh menurunkan tekanan darah tinggi," katanya.

Katanya, menerusi cara ini, ia dapat mengelakkan risiko serangan angin ahmar berpunca daripada penyakit berkenaan.

Beliau berkata, seterusnya ialah saderi yang diketahui kaya dengan antioksidan, serat, vitamin dan mineral yang memberi manfaat kepada kesihatan.

"Malah, saderi juga tinggi dengan bahan yang dikenali sebagai apegini.

"Bahan ini boleh membantu menurunkan tekanan darah tinggi," katanya.

Dr Suri kata, brokoli juga boleh menurunkan tekanan darah tinggi kerana dalam sayuran ini mengandungi satu bahan berkhasiat yang dikenali sebagai 'glucoraphanin'.

"Glucoraphanin meningkatkan kandungan antioksidan dan keupayaan antikeradangan dalam brokoli yang dapat memulihkan masalah disfungsi seperti darah tinggi.

"Oleh itu, pesakit darah tinggi perlu mengamalkan memakan brokoli," katanya.

Katanya, pada masa sama, pengambilan minyak zaitun juga baik kerana kandungan tinggi bahan asid lemak mono tidak tepu (lemak sihat) yang sangat baik untuk kesihatan.

"Jadikan minum minyak zaitun sekurang-kurang dua sudu setiap hari sebagai amalan.

"Selain membantu menurunkan tekanan darah tinggi, khasiat minyak zaitun juga dapat mencegah penyakit kronik," katanya.

Menurut Dr Suri, pesakit darah tinggi turut disarankan mengambil makanan tinggi mineral, contohnya potasium, kalsium dan magnesium.

"Apa yang penting ialah sumber natrium atau garam mesti rendah. Ini satu cara untuk mengurang atau mencegah tekanan darah tinggi.

"Saya juga meneruskan kajian menerusi pembacaan dan menemui satu sumber makanan berkhasiat yang dikenali sebagai serbuk anak pokok barli," katanya.

Jelasnya, ia adalah sejenis sumber barli yang kaya dengan kalsium, potassium, magnesium, protein dan sangat rendah sodium.

"Hasil kajian juga menunjukkan, serbuk anak pokok barli ini mengandungi 50 kali kalsium dan 34 kali potassium lebih tinggi berbanding beras putih.

"Khasiat ini menunjukkan serbuk ini boleh menurunkan tekanan darah tinggi," katanya.

Sumber : MyMetro

 

Recent Posts