Jumaat, Mac 02, 2018

Contoh Soalan Peperiksaan Juruaudit W41



Kepada calon Peperiksaan Juruaudit Gred W41 pada 9 Mac 2018 ini, anda tentu sedang mencari-cari nota rujukan dan contoh soalan peperiksaan Juruaudit. Untuk makluman anda, pihak Infokerjaya akan sekali lagi akan mengeluarkan edisi terkini rujukan nota dan contoh soalan peperiksaan Juruaudit W41. Sila whatsapp ke no. 0139790000 untuk maklumat lanjut apabila ia dikeluarkan nanti.

Pakej Rujukan Soalan Peperiksaan Infokerjaya telah menjadi satu-satunya rujukan penting dan berguna sejak tahun 2008 untuk semua peperiksaan jawatan SPA. Walaupun ia bukanlah soalan bocor namun pakej panduan ini memberi pendedahan dan latih tubi kepada calon untuk bersedia menghadapi soalan peperiksaan sebenar.

Maklumat terkini akan dimaklumkan di Facebook : http://www.facebook.com/adhazain

Isnin, Februari 26, 2018

Pasport Malaysia Keenam Paling Berkuasa Di Dunia



Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) berada di kedudukan ke-enam berkuasa di dunia berdasarkan Laporan Passport Index  2018 yang dibangunkan oleh Arton Capital.

Passport Index merupakan rujukan mengenai semua pasport yang diberikan ranking berdasarkan  jumlah negara yang boleh dikunjungi dan dilawati bagi rakyat sesebuah negara tanpa visa atau memerlukannya setibanya berada di negara berkenaan berdasarkan peraturan visa yang berkuat kuasa.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dalam satu kenyataan berkata pengiktirafan itu adalah sesuatu yang dijangka memandangkan  Pasport Malaysia memenuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan boleh digunakan di 157 negara tanpa visa.

"Melihat sejarah, Pasport Malaysia merupakan pasport pertama di dunia yang dilengkapi dengan ciri  keselamatan biometrik menggunakan cip,”katanya.

Beliau berkata ciri Pasport Malaysia terus ditambah baik dengan ciri keselamatan tambahan bagi menepati piawaian Dokumen 9303 ICAO pada 2013 dan lokasi cip dimasukkan ke dalam halaman muka surat biodata pada tahun 2016.

Terkini, Pasport Malaysia versi  baharu  ditambah baik dengan mempunyai 50 ciri keselamatan tambahan dan reka bentuk yang lebih unik dengan memaparkan mercu tanda negara Malaysia serta flora dan fauna tempatan dengan menerapkan falsafah lima prinsip rukun negara, katanya.

"Ciri-ciri keselamatan tambahan ini meningkatkan kebolehpercayaan rakyat dan pihak berkuasa luar bagi mengukuhkan penggunaanya di luar negara,” katanya.

Mustafar berkata permohonan pembaharuan Pasport  Malaysia boleh  dibuat  secara dalam talian dan perkhidmatan pasport juga bertaraf dunia iaitu pasport disiapkan dalam tempoh satu jam selepas bayaran, mendahului negara-negara maju di dunia.

- Bernama

Ahad, Februari 25, 2018

Elaun SL1M Kini RM2,000 Sebulan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan elaun bulanan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dinaikkan kepada RM2,000 daripada RM1,500 sebelum ini.

Selain akan memberi lebih motivasi kepada pelatih, katanya beliau juga memahami keperluan mereka yang kebanyakannya  datang daripada pelbagai latar belakang kehidupan.

Menurut Najib, Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail telah berbisik kepadanya untuk mengumumkan sesuatu sebagai ‘hadiah' kepada pelatih SL1M.

"...dan selepas melihat kisah hidup pelatih SL1M, saya umumkan elaun bulanan pelatih dinaikkan kepada RM2,000 daripada RM1,500 sebelum ini," katanya ketika berucap merasmikan Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Tengah di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang pada 24 Feb 2018, Sabtu.

Program selama dua hari itu menawarkan lebih 15,000 peluang pekerjaan kepada graduan dan pencari kerja.

Najib turut menyifatkan SL1M sebagai 'anak kunci' yang berfungsi membuka peluang kehidupan lebih baik kepada generasi muda melalui peluang pekerjaan yang disediakan.

Perdana menteri berkata rajin, bersemangat dan bercita-cita sahaja tidak mencukupi tanpa ‘anak kunci' yang biasanya tersedia melalui dasar yang disediakan kerajaan.

Secara asasnya, beliau berkata setiap kejayaan sama ada oleh generasi muda atau taikun perniagaan mempunyai kaitan dengan dasar yang diperkenalkan kerajaan dalam menyediakan peluang-peluang kepada rakyat bagi memajukan kehidupan.

"Selain keinginan dan potensi besar yang dimiliki, kejayaan yang dinikmati rakyat dan negara adalah disebabkan kerajaan yang ada hari ini telah meletakkan dasar-dasar yang baik untuk kemajuan warganya," katanya.

Menjadikan manifesto pilihan raya umum lepas pada 2013 yang meletakkan penyediaan peluang pekerjaan kepada generasi muda sebagai contoh, Najib berkata ia telahpun direalisasikan melalui lebih 2.26 juta pekerjaan baharu yang diwujudkan kerajaan sejak tempoh itu sehinga kini.

Perdana menteri berkata SL1M sendiri telah memberi peluang pekerjaan kepada lebih 140,000 graduan yang mengikuti pelbagai latihan bersama industri sejak inisiatif itu diwujudkan pada 2011.

Najib turut merakamkan penghargaan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang sentiasa mendukung kerajaan dalam menerajui pelbagai inisiatif yang diwujudkan, khasnya SL1M.

“Syarikat-syarikat ini bukan sahaja telah meningkatkan kebolehpasaran graduan yang mengikuti SL1M, malah secara tidak langsung turut memperkasakan modal insan negara,” katanya.

-mSTAR

7.2 Juta Terima BR1M 2018 Mulai 26 Feb 2018

Kira-kira 7.2 juta isi rumah dan individu bujang yang berkelayakan akan mula menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berperingkat mulai 26 Februari ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah menerangkan bahawa pembayaran tersebut akan dibuat secara tiga kali ansuran dengan peruntukan yang dianggarkan sebanyak RM6.3 bilion.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan BR1M di Pekan, Pahang pada esok (Ahad). Sehari selepas itu, para penerima boleh memeriksa bayaran yang dibuat menerusi akaun mereka,” katanya pada siang akhbar selepas majlis perasmian Program Bahtera 2018 (Edisi Timur) bertemakan ‘Bumiprenerus of Tomorrow’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di Kuantan.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman bagi mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Turut hadir sama pada program berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengarah Unit Strategi Nasional di Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Dalam pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri menyatakan, kira-kira tujuh juta penerima BR1M akan terus menikmati pemberian tunai oleh kerajaan dengan kadar maksimum sehingga RM1,200.

BR1M mula dilaksanakan pada 2012. Ketika ini, 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang menerima manfaat skim wang tunai berkenaan yang dianggap sebagai subsidi bersasar secara langsung kepada kumpulan berkelayakan.

Ia juga merupakan polisi pembayaran secara sekali untuk isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah atau individu bujang yang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan mesti tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Peserta di bawah program e-Kasih dengan pendapatan RM1,500 dan ke bawah turut menerima BR1M. Bayaran dimasukkan terus ke akaun bank atau ditunaikan di mana-mana bank yang terpilih.


- mSTAR

Isnin, Februari 19, 2018

Lokasi Tumpuan Tahun Baru Cina 2018


TOKYO berjaya mendahului Bangkok sebagai destinasi nombor satu sempena cuti Tahun Baru Cina untuk pengembara Asia pada tahun 2018, melenyapkan rekod yang disandang oleh Bangkok sejak dua tahun lalu, menurut platform tempahan dalam talian global Agoda.

Malah Jepun telah menguasai tiga kedudukan dalam 10 senarai teratas apabila Kyoto tersenarai buat julung kalinya di kedudukan kesembilan, manakala Osaka mendaki ranking dari kedudukan kesembilan pada tahun 2016 kepada destinasi ketiga teratas pada Tahun Baru Cina 2018.


Percutian di bandar mendominasi ranking dengan satu-satunya destinasi pantai, iaitu Phuket, Thailand berjaya tersenarai dalam kedudukan 10 teratas.

Tarikan daerah Chinatown Yokohama berhampiran Tokyo – yang menganjurkan acara selama dua minggu, termasuk parti kira detik, persembahan tarian singa tradisional, perarakan dan Festival Tanglung telah menarik pengembara dari seluruh dunia, terutamanya Asia, dengan kumpulan pelancong luar negara paling ramai berasal dari Taiwan (26 peratus), Korea Selatan (15 peratus) dan Tanah Besar China (15 peratus).

Sementara itu, ranking bagi destinasi-destinasi lain seperti Singapura dan Chiang Mai telah menurun, masing-masing dari tempat ketiga pada tahun 2016 kepada tempat kelapan pada tahun 2018, dan dari tempat ketujuh pada tahun 2016 kepada tempat ke-12 pada tahun 2018.

ementara itu, warga Malaysia lebih cenderung untuk menyambut cuti perayaan ini di destinasi dalam negara mereka sendiri, dengan lapan dari 10 tempat tumpuan utama adalah destinasi tempatan.

Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Pinang menduduki tiga tempat teratas sejak tahun 2016, manakala pulau-pulau di Langkawi dan cuaca sejuk di Cameron Highlands turut menarik para pengembara yang ingin melarikan diri dari bandar.

Thailand merupakan satu-satunya negara asing yang tersenarai dalam 10 destinasi teratas pada tahun 2018 pada cuti perayaan ini dengan Bangkok dan Hat Yai menjadi pilihan. - Agoda



Selasa, Januari 23, 2018

Kelebihan Teksi Guna E-Hailing




Pemandu teksi yang menawarkan perkhidmatan e-hailing  mempunyai kelebihan tersendiri berbanding pengusaha perkhidmatan e-hailing biasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata pemandu teksi mempunyai pilihan sama ada mahu menggunakan sistem perkhidmatan teksi mereka sendiri termasuk soal kadar tambang  atau menggunakan sistem e-hailing melalui platform e-hailing sedia ada seperti Uber dan Grab.

"Saya sudah berulang kali mengatakan kepada pemandu teksi bahawa mereka mempunyai kelebihan. Mereka boleh menggunakan caj menggunakan tambang mereka sendiri dan boleh mengambil penumpang di tepi jalan.

"Kedua, mereka boleh membawa teksi seperti biasa dan pada masa yang sama boleh juga membawa teksi itu dengan menggunakan platform e-hailing dengan menggunakan kadar caj berbeza," katanya kepada pemberita selepas menyertai program Dialog Tranformasi Nasional 2050 (TN50) di sini Isnin.

Justeru kata Nancy beliau menggalakkan pemandu teksi di Sabah agar bertanyakan pengalaman rakan-rakan mereka yang sudah menggunakan e-hailing di tempat-tempat lain seperti di ibu negara untuk mengetahui sendiri kelebihan pemandu teksi menggunakan platform e-hailing itu.

Katanya, pada masa ini, 600 pemandu teksi di ibu negara sudah menawarkan perkhidmatan e-hailing menggunakan platform Uber dan 2,200 lagi dengan Grab.

Malah kata, Nancy pemandu teksi mempunyai pilihan untuk membuka aplikasi mereka sendiri dan buat perbandingan dengan platform e-hailing sedia ada.

Menurut Nancy pihaknya akan mewujudkan lab khusus untuk membincangkan perkara itu di Sabah  dalam tempoh terdekat bagi mendengar dan membincangkan sebarang isu berhubung perkara itu dan mencari kaedah menyelesaikannya.

- mSTAR

Isnin, Januari 22, 2018

Contoh Soalan Peperiksaan Penerbit Rancangan B41 dan B29



Calon Peperiksaan Penerbit Rancangan Gred B41 dan B29 pada 26 Januari 2018 boleh mendapatkan Pakej Rujukan Soalan Peperiksaan Penerbit Rancangan Gred B41 dan B29 di : http://infotambahan.com/penerbit/28

Team InfoKerjaya

Selasa, Disember 19, 2017

Cikgu Azizan Dilepaskan Dari Tuduhan




Mahkamah Majistret Seremban melepas tanpa membebaskan guru dikenali sebagai Cikgu Azizan daripada pertuduhan mencederakan muridnya, April lalu.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun, di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada jam 7 pagi, 6 April lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh di Mahkamah Majistret di sini, Oktober lalu, dan hari ini sepatutnya menjadi hari pertama proses perbicaraan. Azizan diwakili peguam Francis Pereira.

Lebih 300 orang yang menyokong Cikgu Azizan termasuk guru dan penduduk sekitar Taman Semarak, selain wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) hadir di Kompleks Mahkamah Seremban memberi sokongan moral kepadanya sejak jam 8 pagi tadi.

Mereka bersorak apabila Cikgu Azizan keluar dari mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi dan dimaklumkan pertuduhan terhadapnya ditarik balik.

Cikgu Azizan ketika ditemui, bersyukur dengan keputusan berkenaan dan memberi jaminan kes berkenaan tidak melemahkan semangatnya untuk terus mendidik.

Rabu, November 22, 2017

3A, 3B syarat minimum masuk SBP

Kementerian Pendidikan menetapkan syarat baharu minimum tiga A dan tiga B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi kemasukan pelajar ke tingkatan satu Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamed Yusof, berkata perubahan syarat itu dibuat berdasarkan pelaksanaan kurikulum dan format peperiksaan baharu bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016. 

"Bagaimanapun, kedudukan pemilihan dan penetapan murid di SBP tidak bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata kerana kita juga akan mengambil kira skor merit akademik serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). 

"Malah, pentaksiran sekolah dan pentaksiran psikometrik juga akan dijadikan sebagai rujukan utama dalam saringan pemilihan murid ke SBP," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan dan Microsoft Malaysia (Microsoft), di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan; Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad.

Alias menurunkan tandatangan bagi pihak Kementerian Pendidikan manakala Microsoft diwakili Pengarah Urusannya, K Raman, dalam MoU bertujuan menyokong pendidikan serta pembelajaran berteraskan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT).

Khair berkata, kementerian juga akan mengambil kira komponen Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Psikometrik (Ppsi) yang terletak di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi mengisi 9,000 tempat di 69 SBP seluruh negara.

"Sehingga kini, kita sudah menerima kira-kira 60,000 permohonan atas talian bagi kemasukan tingkatan satu ke SBP bagi tahun depan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Ujian khas untuk kemasukan ke SBP

Murid yang memohon untuk menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh (SBP) perlu menduduki Ujian Kemasukan Sekolah Berasrama Penuh (UKSBP) pada 11 hingga 15 Disember 2017 ini.

Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Hal Ehwal Murid, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Nor Azlina Abdul Rahim, berkata selain UKSBP yang pertama kali diperkenalkan itu, pemilihan juga akan berdasarkan merit dengan mengambil kira keempat-empat komponen dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR).

Katanya, prosedur baharu itu diharap dapat melahirkan murid yang seimbang dalam semua aspek termasuk akademik, sahsiah diri dan pembabitan dalam pelbagai aktiviti.

"Semua pelajar layak untuk memohon, tetapi keutamaan diberikan kepada murid luar bandar dan miskin bandar. Pemilihan murid yang layak hanya akan dilakukan selepas murid menduduki UKSBP Disember ini.

"Pelajar yang sudah memohon perlu membuat semakan untuk mengetahui lokasi pusat bagi menduduki UKSBP mulai 30 November ini," katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan mengumumkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menjadi sebahagian daripada komponen PPSR dalam usaha mengurangkan tumpuan keterlaluan terhadap peperiksaan.

Selain UPSR, tiga komponen PPSR ialah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulam (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi)

Sementara itu, syarat kemasukan pelajar Tingkatan Satu ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) 2018 masih kekal seperti tahun lalu, dengan keputusan minimum UPSR 3A dan 3B bagi pelajar dari Semenanjung, selain 3A, 2B dan 1C dari Sabah serta Sarawak.

Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Kamaruzaman Jaffar, berkata keutamaan turut diberikan kepada pemohon daripada keluarga berpendapatan rendah di luar bandar dan bandar, selain memenuhi kriteria lain seperti aktif dalam kegiatan kokurikulum dan bersedia mengikuti pelbagai program yang dianjurkan.

"Pemohon juga harus memiliki sahsiah diri yang positif, tahap kesihatan yang baik dan mampu menjalani program kecerdasan fizikal serta menjawab Online Self-Assessment (OLSA) dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Iskandar Puteri Bandaraya Ke-13 Di Malaysia

Johor mengisytiharkan bandar raya kedua di negeri itu selepas ibu negerinya, Johor Bahru dengan pewartaan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Ia sekali gus menyamai rekod Selangor dan Sarawak yang ketika ini turut mempunyai dua buah bandar raya di negeri masing-masing iaitu Shah Alam (2000) dan Petaling Jaya (2006) serta Kuching (1988) dan Miri (2005).

MBIP merupakan bandar raya ke-13 di Malaysia yang bermula dengan ibu negara Kuala Lumpur (1972) dan terbaharu George Town, Pulau Pinang (2015). Johor Bahru diisytiharkan sebagai bandar raya pada 1994 lalu.

Seremban, Negeri Sembilan yang sepatutnya bandar raya ke-12 pada 2009, namun ditunda selepas Kerajaan Persekutuan menetapkan kriteria baharu antaranya ada 500,000 penduduk dan pendapatan tahunan RM100 juta.

Ini membolehkan ibu negeri Pulau Mutiara pula ‘memintas’ Seremban. Untuk rekod, George Town pernah ditauliah sebagai bandar raya oleh penjajah British pada 1957 tetapi status itu ditarik balik Kerajaan Persekutuan pada 1976.

Bagaimanapun Seremban bakal dinaik taraf menjadi bandar raya ke-14 selepas kerajaan negeri itu dapat kelulusan Kerajaan Persekutuan menggabungkan Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai tahun depan.

Ibu negeri lain di Malaysia yang secara rasmi berstatus bandar raya ialah Ipoh, Perak (1988); Kota Kinabalu, Sabah (2000); Bandar Melaka, Melaka (2003); Alor Setar, Kedah (2003) dan Kuala Terengganu, Terengganu (2008).

Menyentuh mengenai Iskandar Puteri yang mendapat namanya hasil gabungan Tanjung Puteri dan Kota Iskandar pada 2016 menggantikan Nusajaya, ia sebenarnya bermula dari sebuah per­kampungan kecil yang permai.

Kawasan ini asalnya hanya dikelilingi oleh hutan pokok pulai tebal dan pernah menjadi antara lapan penempatan utama di Johor sebelum negara mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British pada 1957.

Iskandar Puteri kini menjadi sentral kepada pusat pentadbiran dan pusat kormersial utama di Johor Bahru tengah. Ia merupakan sebuah kawasan penting dan pesat membangun dalam daerah Johor Bahru.

Jajaran ini diapit Koridor Pertumbuhan Johor Bahru-Kulai-Ulu Tiram-Pasir Gudang yang bersempadan dengan Daerah Kulai dan Kota Tinggi di utara, Pontian di barat serta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di timur.



Ia ada sem­pa­dan maritim di Selat Johor de­ngan pulau Merambong di sela­tan yang sebahagian sempadan antarabangsa memisahkan antara Singapura dan Malaysia. Ke­du­du­kannya boleh dikatakan unik dan strategik.

Rabu ini satu lembaran baharu akan diselak apabila Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) diisytiharkan secara rasmi sebagai MBIP. Upacara angkat sumpah Datuk Bandar pula akan diadakan esoknya.

MPJBT ketika ini ada 700 kakitangan dan Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA) sudah meluluskan pertambahan perja­watan MPJBT melibatkan 400 kakitangan baharu bagi memantapkan lagi sistem pentadbiran kepada rakyat.

Ini menjadikan keseluru­han 1,100 kakitangan pihak ber­kuasa tempatan (PBT) itu tidak lama lagi. Yang Dipertua MPJBT pada ketika ini ialah Adib Azhari Daud sejak Januari lalu yang juga merupakan Yang Dipertua MPJBT ke-15.

MPJBT sebelum ini diisytiharkan pada tahun 2000 selepas dinaik taraf daripada Majlis Daerah Johor Bahru Tengah (MDJBT). Ketika ini ada kira-kira 750,000 penduduk di kawasan MPJBT dengan jumlah 200,000 pembayar cukai.

Sehingga kini sebanyak 158,868 unit rumah, diikuti 26,574 unit bangunan komersial dan 4,244 unit bangunan industri perkhidmatan telah dibina. Ia juga mempunyai 157 buah penempatan terancang dengan 45 kampung.

Kewujudan penempatan terancang itu berpunca daripada geografi kawasan Johor Bahru tengah sendiri yang sebelum 31 Disember 2015 merupakan sebuah zon pinggiran bandar utama ke bandar raya Johor Bahru.

MPJBT juga menyelenggara jalan raya sepanjang 1,483.51 kilome­ter. Keluasan kawasan pentadbiran PBT itu secara keseluruhannya berjumlah 40,296 hektar sejak Januari 2016 iaitu mengecil berban­ding 56,071 hektar sebe­lumnya.

Selain itu MPJBT merupakan satu daripada lima PBT yang mentadbir daerah Johor Bahru selain pihak MBJB, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Majlis Perbandaran Kulai ((MPKu) dan Majlis Daerah Pontian (MDP).

Jika dibandingkan empat PBT lain di Johor Bah­ru, MPJBT atau MBIP nanti ada cabaran lebih kompleks kerana pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kota Iskandar dan ba­nyak kawasan kormersial berada dalam kawasannya.

Terdapat 15 kediaman utama di bawah perkadaran MBIP antaranya Gelang Patah, Bukit Indah, Horizon Hill dan Kangkar Pulai selain empat kawasan ekopelancongan seperti Hutan Simpanan Sungai Pulai dan Taman Sireh.

Begitu juga tiga pelancongan MICE; tiga kawasan pelancongan perubatan; lima pelancongan golf; 15 kawasan komersial termasuk Forest City, Medini dan Pengkalan Puteri; 13 kawasan industri utama termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Taman Nusajaya Industri.

Malah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan tujuh institusi pengajian awam serta swasta juga termasuk dalam kawasan ini. Ia tidak termasuk lima sekolah antarabangsa antaranya Raffles American School dan Marlborough College, Britain.

Sumber : My News Hub

Jumaat, November 17, 2017

Semakan Keputusan UPSR 2017 Online Dan SMS

Keputusan UPSR 2017 akan diumumkan pada hari Khamis, 23 November 2017.

Calon-calon perlu hadir ke sekolah untuk mendapatkan slip keputusan penuh peperiksaan UPSR mereka. Slip keputusan boleh diambil bermula dari pukul 10 pagi pada hari keputusan UPSR 2017 diumumkan.

Selain itu, KPM juga ada menyediakan perkhidmatan semakan melalui SMS.
Tarikh Keputusan UPSR 2017 Diumumkan : 23 November 2017 - Khamis

Taip UPSR [angka giliran] dan hantar ke 15888
Contoh: UPSR BC001A040 hantar ke 15888

Myvi Baharu Dilancar

Perusahaan Otomobil Sdn Bhd (Perodua) melancarkan model Myvi terbaharunya dengan rekaan terkini yang telah memperoleh tempahan sebanyak 5,000 unit sejak dibuka kepada umum 9 November lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata rekaan serba baharu itu menampilkan teknologi terkini, keselamatan pintar dan dianugerahkan lima bintang bagi penarafan keselamatan ASEAN NCAP.
Katanya, pengiktirafan itu sekali gus menjadikan model baharu itu sebagai kenderaan yang berbaloi untuk dimiliki dengan lingkungan harga yang ditawarkan.
“Model terbaharu ini menampilkan teknologi yang sebelum ini hanya dimiliki oleh model premium, ia sekaligus menetapkan penanda aras kualiti bagi kami dari segi rekaan dan keseluruhan penawaran bagi model masa hadapan kami," katanya.
Model terbaharu Myvi 1.5 liter dan 1.3 liter menampilkan enjin Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan ditawarkan sekitar RM44,300 hingga RM55,300.

Model Myvi 1.5 liter dilengkapi enam beg udara manakala model 1.3 liter dilengkapi empat beg udara.

Antara ciri utama model terbaharu Myvi termasuk Amaran Pra Pelanggaran, dan Isyarat Pelepasan Hadapan bagi memberi isyarat kenderaan hadapan sudah bergerak ketika kesesakan lalu lintas.

Model terbaharu itu juga menampilkan penjimatan bahan bakar antara 20.1 hingga 21.2 kilometer per liter, menjadikan ia 32 peratus lebih cekap berbanding model sebelum ini.

Sejumlah enam varian warna diperkenalkan antaranya Ozzy Orange, Mystical Purple, Glittering Silver dan Ivory White.

Mengulas lanjut, Aminar memberitahu, sasaran pengeluaran bagi kenderaan Myvi baharu itu dijangka mencapai 75,000 hingga 80,000 unit setahun bermula tahun depan dengan sasaran 6,000 unit kereta berkenaan dijual setiap bulan.

Ikea Tebrau di Johor Dibuka


Gimik mengergaji kayu, budaya tradisi Sweden yang melambangkan ‘permulaan baru', menandakan pembukaan rasmi Ikea Tebrau hari ini, gedung pertama di selatan Malaysia dan terbesar di Asia Tenggara.

Orang ramai teruja dengan pembukaan gedung itu sehingga ada yang beratur seawal 12 tengah malam tadi, dan 20,000 orang dijangka mengunjungi gedung itu yang mula dibuka pada pukul 10 pagi ini.

Pengunjung boleh menikmati pengalaman membeli-belah yang unik di gedung Ikea itu yang berkeluasan  502,815 kaki persegi dan menampilkan 54 bilik pameran berinspirasikan Sweden.

Pengurus gedung Ikea Tebrau Annie Chandler berkata sebelum menubuhkan gedung berkenaan, Ikea telah mengadakan lawatan ke rumah-rumah.

"Perabot rumah yang dipamerkan di gedung ini sangat sesuai untuk pasaran tempatan dan gaya hidup mereka," katanya pada majlis pembukaan pada Khamis, 16 November 2017.

Hadir sama Pengarah Peruncitan Ikea Asia Tenggara, Mike King dan  Pengerusi Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

King berkata kehadiran Ikea di Johor menetapkan satu lagi penanda aras pasaran perabot rumah di sini di samping persaingan sihat kepada pembekal lain.

Beliau juga berkata Ikea, gedung berkonsep mesra alam ini juga akan menggalakkan dan meningkatkan kesedaran orang ramai dalam mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka.

Untuk perjalanan yang mudah dan lancar ke gedung berkenaan, pelanggan boleh mengambil bas perantara percuma dari Larkin Sentral dan Muzium Keretapi Api Tanah Melayu Bhd yang terletak di sebelah Johor Bahru Sentral.

Selain itu, Ikea juga telah bekerjasama dengan Grab bersempena dengan pembukaan gedung tersebut, dan pelanggan boleh menggunakan kod promosi 'IKEATEBRAU17' untuk menikmati diskaun RM8 untuk dua penggunaan Grab dari 16 hingga 31 Nov. 
Kod promosi itu sah bagi semua perkhidmatan Grab di Johor Bahru.

Di samping itu, terdapat pelbagai tawaran edisi terhad dan aktiviti dalaman untuk seluruh keluarga, seperti lukisan muka, badut dan hadiah belon, penampilan maskot dan banyak lagi pada hari pembukaan dan hujung minggu.

Ikea Tebrau dibuka pada pukul 10 pagi hingga 10 malam pada Ahad hingga Khamis dan berlanjutan hingga 11 malam pada Jumaat dan Sabtu serta cuti umum.

Jabatan Kastam Dikorporatkan Pada Januari 2018


Jabatan Kastam akan dikorporatkan pada Januari tahun depan, lewat daripada jadual asal, disebabkan pelaksanaan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

"Ia kini dalam proses. Menjelang Januari 2018, saya harap Jabatan Kastam dikorporatkan,” katanya pada Persidangan GST 2018.

Pada 13 Mac lepas,  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata bahawa pengkorporatan itu merupakan ganjaran kerajaan kepada jabatan itu atas kecemerlangannya, dan menambah para petugas akan menikmati skim perkhidmatan yang lebih baik.

Najib turut memuji jabatan itu yang merupakan penyelamat negara, dengan berkata perlaksanaan GST telah menyelamatkan ekonomi negara. Meskipun GST dikritik hebat, beliau berkata ia merupakan langkah berani kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terbela.

Sementara itu, Irwan berkata Malaysia kini dalam kedudukan yang baik untuk mencapai sasaran defisit fiskal tiga peratus bagi 2017, susulan pertumbuhan ekonomi yang baik yang dicatatkan pada separuh pertama tahun ini. "Tahun depan, angkanya akan lebih rendah dan diharapkan pada satu hari kelak, kita akan dapat mencatat bajet seimbang,” katanya.

Keluaran dalam negara kasar Malaysia berkembang melepasi jangkaan pada 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini, melepasi unjuran pasaran pada 5.4 peratus tahun ke tahun, sebahagian besarnya disokong oleh penggunaan swasta, yang berkembang 3.8 peratus, diikuti pelaburan sebanyak 1.1 peratus.

Ekonomi negara  meningkat 5.6 peratus pada suku pertama, menjadikannya purata pertumbuhan kepada 5.7 peratus pada separuh pertama tahun ini.

- Bernama

Malaysia Catat Tempahan Tertinggi Online

Malaysia mendahului carta apabila mencatatkan lebih 40 tempahan seminit menerusi penyedia e-dagang terkemuka milik Ali Baba Group (Alibaba) dengan kerjasama ShopBack, berbanding lima negara lain melibatkan Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand dan Taiwan.

Data itu diperoleh menerusi kaji selidik 11.11 Single's Day dengan 6,000 pesanan dibuat dalam tempoh satu jam, iaitu enam kali ganda daripada prestasi biasa.

Kaji selidik itu melibatkan portal milik Alibaba iaitu Taobao, Tmall dan AliExpress menerusi kerjasama dengan ShopBack dalam festival beli-belah 11.11 Singles’ Day.

Pengurus Besar Negara ShopBack Malaysia, Alvin Gill berkata, menerusi kaji selidik itu, kebanyakan masyarakat Malaysia membeli-belah selepas tengah malam iaitu antara jam 12 hingga 12.59 pagi, dengan tempahan tertinggi berjumlah RM11,000 menerusi ShopBack.

"Perbelanjaan purata bagi setiap pelanggan Malaysia pula adalah sekitar RM101 (AS$24)," katanya.
Dalam festival membeli-belah 11.11 Single's Day, katanya, hampir 60 peratus daripada trafik web dan aplikasi datang daripada pelanggan baharu.

"Ia sekali gus menunjukkan kemungkinan festival itu menggalakkan lebih ramai orang membeli-belah, termasuk petunjuk positif kepada tahap keberkesanan sambungan pelayar unik, ShopBack dan Ultimate Guide yang dibangunkan,"katanya.

Alibaba memecah rekod Single's Day apabila mencatatkan jualan RM104.7 bilion (AS$25 bilion) dalam masa sehari.

- Sinar Harian



Pos Malaysia Lancar Pos Laju Shield




Pos Malaysia Bhd, menerusi cabang kuriernya, Pos Laju, melancarkan pakej perlindungan takaful prabayar iaitu ‘Pos Laju Shield' yang dijamin Zurich Takaful Malaysia Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata pelan perlindungan serendah antara RM0.60 dan RM0.80 bagi setiap barangan tersebut menawarkan nilai perlindungan kerugian dan kerosakan menyeluruh sehingga RM4,000.

Beliau berkata, pelan perlindungan itu ditawarkan menerusi empat pakej untuk memberi nilai tambah perkhidmatan Pos Laju selain pelanggan dapat melindungi barangan berharga mereka.

“Kita menyasarkan pakej perlindungan takaful prabayar melalui Zurich Takaful Malaysia itu mencatat nilai jualan RM1.2 juta menjelang hujung tahun ini, dan sejak ia diperkenalkan pada Jun lepas, nilai jualan yang direkodkan adalah lebih RM54,000,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pelan perlindungan itu di Alor Gajah, Melaka pada Selasa.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Komersial Kumpulan Pos Malaysia, Nor Azizan Tarja serta Presiden Insurans Am dan Takaful Zurich Malaysia, David Fike.

Mohd Shukrie berkata, tawaran itu secara tidak langsung menyokong peningkatan jualan Pos Laju kira-kira 20 peratus pada tahun ini, daripada 15 peratus pada tahun sebelumnya, didorong penjualan barangan menerusi e-dagang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelan perlindungan berkenaan ditawarkan pada RM8.48 bagi pakej 'Shield 1' untuk perlindungan 10 bungkusan Pos Laju; 'Shield 2' bagi perlindungan 100 bungkusan (RM74.20); 'Shield 3' bagi perlindungan 300 bungkusan (RM206.70) serta 'Shield 4' bagi perlindungan 500 bungkusan (RM318) dan semua harga berkenaan termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan.

Perlindungan  takaful itu adalah selama setahun dari tarikh pembelian pembungkusan.
Katanya, pelan takaful tersebut memberi perlindungan terhadap sebarang kelewatan penghantaran barangan pelanggan termasuk akibat bencana alam selama lima hari pada nilai RM7 bagi setiap hari tempoh bekerja.

“Pos Laju Shield memberikan pampasan kelewatan dan ia hanya terpakai apabila penghantaran bungkusan pelanggan melebihi dua hari dari tempoh penghantaran standard," katanya.

Mengenai isu kelewatan penghantaran, Mohd Shukrie berkata, Pos Laju mencatat tahap pencapaian penghantaran tepat masa yang tinggi iaitu sekitar 95 peratus, lebih tinggi daripada peratusan industri sebanyak 85 peratus.

Beliau  berkata pencapaian tersebut didorong oleh pelbagai penambahbaikan  dari segi infrastruktur serta usaha memastikan  kelancaran sistem penghantaran bermula di peringkat awal.

Katanya, Nota Kiriman pada bungkusan Pos Laju yang tertanggal telah menyebabkan isu kelewatan atau kehilangan barangan.

“Boleh dikatakan 99 peratus kelewatan atau kehilangan barangan adalah disebabkan perkara berkenaan, dan semua barangan tersebut masih berada di pusat operasi Pos Laju dan tidak dicuri seperti persepsi orang ramai,” katanya 

- Bernama



Recent Posts