Khamis, Ogos 24, 2017

Kerajaan masih tanggung rawatan penjawat awam, pesara di IJN



Kerajaan masih menanggung kemudahan perubatan pesakit pegawai kerajaan, pesara Persekutuan serta pesakit kurang mampu yang mendapatkan rawatan di Insitut Jantung Negara (IJN).

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata bagi pegawai Persekutuan, kerajaan turut menanggung kemudahan perubatan untuk keluarganya sama ada suami/isteri, anak berumur bawah 18 tahun atau sekiranya masih belajar di bawah umur 21 tahun serta ibu bapa yang sah."Bagi pesakit yang kurang mampu, mereka perlu mendapat rujukan dari pakar perubatan umum, pakar kardiologi dari hospital atau klinik kerajaan sahaja,” katanya.

Dr Chen berkata demikian ketika mengulas maklumat yang tular di media sosial kononnya kerajaan Persekutuan tidak lagi menanggung kemudahan perubatan penjawat awam di IJN.

Beliau berkata kerajaan sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat dengan kerajaan membelanjakan RM435.65 juta untuk membiayai kos rawatan pesakit tanggungan kerajaan di IJN pada tahun lepas.

- Bernama

Sabtu, Ogos 19, 2017

Warung Teh O 20Seng



Warung Teh O 20Seng

Warung 'baik hati', itulah nama yang paling sesuai untuk kedai makan ini yang menjual minuman dan makanan pada harga murah.

Mana tidaknya, teh O panas di Warong Pok Hassan kekal dijual pada harga 20 sen sejak ia dibuka pada 1994, begitu juga kari kepala ikan yang dijual pada harga serendah RM8.

Terletak di Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Terengganu, warung yang diwariskan oleh pemiliknya, Allahyarham Mohd Hassan Yunus kepada anak sulungnya Mohd Ridhuan, 36, ini popular dalam kalangan penduduk setempat disebabkan harga jualan yang murah.

"Teh o panas di sini kekal 20 sen secawan sampai bila-bila, itu amanat arwah ayah.

"Sebelum meninggal ayah pernah berniat nak turunkan harga jadi 15 sen tapi tak jadi bila dia fikirkan masalah pengiraan dan baki siling lima sen yang agak sukar diperolehi," katanya kepada mStar Online.

Mohd Ridhuan berkata selepas bapanya meninggal dunia pada 2006 seluruh ahli keluarga sepakat untuk meneruskan operasi warung ini sambil mengamalkan konsep berniaga sambil beramal.

Kini, warung tersebut diusahakan bersama ibunya Semah Jusoh, 60, dibantu lapan pekerja yang terdiri daripada ahli keluarga dan saudara-maranya.

Menurut Mohd Ridhuan, dengan hanya RM1 pelanggan yang datang bersarapan di sini mampu kenyang atau sekurang-kurangnya mengalas perut dengan membeli kuih-muih dan memesan teh o panas.

"Harga kuih-muih di sini 30 hingga 40 sen, selain ada nasi lemak, nasi minyak, mi goreng dan pulut yang tak mahal harganya.

"Untuk tengahari pula, kami jual nasi campur, harga lauk-pauk pun tak mahal, kari kepala ikan tenggiri dan ikan merah berharga serendah RM8," katanya.

Mohd Ridhuan bagaimanapun terpaksa mengakui harga barang mentah kini sudah meningkat tetapi setakat ini tidak pernah terfikir untuk menaikkan harga jualan mengikut harga bahan mentah semasa.

Dia turut menceritakan bagaimana dia terpaksa menghentikan jualan lauk ayam kampung di warung tersebut kerana harganya yang terlalu tinggi.

"Untung tetap ada cuma tak banyak, lepaslah bayar gaji pekerja.

"Kesian juga kepada pelanggan kalau naikkan harga sebab ramai pelanggan tetap selalu datang makan di sini kerana harganya murah...tak apalah buat masa ini harganya kekal berpatutan," katanya.

Anak sulung daripada tujuh adik-beradik ini berkata apa yang penting adalah kepuasan melihat ramai pelanggan datang makan ke warung kecilnya pada waktu pagi dan petang.

"Sepanjang saya berniaga tak ada lagi pelanggan yang komen mahal, rata-rata tersenyum selepas buat bayaran dan ramai juga yang datang semula," katanya.

Seorang pelanggan, Suhana Cik Jusoh, 27, berkata dia terkejut apabila pertama kali membayar lauk-pauk yang dibelinya di Warong Pok Hassan.

"Saya bungkus dua ketul ayam, seketul ikan kerapu masak tiga rasa, dua ketul daging dan dua bungkus nasi, harganya cuma RM18.

"Selain murah, rasanya sedap setanding masakan asli kampung dan saya telah hebahkan tentang keistimewaan warung ini kepada rakan-rakan di Facebook," katanya.

- mSTAR

Jumaat, Ogos 18, 2017

Jawatan Kosong Felda Ogos 2017


Permohonan adalah dipelawa daripada warganegara Malaysia yang berkelayakan bagi mengisi jawatan kosong Felda 

1. Pegawai Undang-Undang LX41
Gaji : RM 2,418.00 – RM 9,607.00
Kelayakan : Ijazah Sarjana Muda Undang-undang

2. Setiausaha Pejabat NX29
Gaji : RM 1,493.00 – RM 5,672.00
Kelayakan : Diploma Sains Kesetiausahaan / Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat

3. Penyelia Rancangan Tanah GX19
Gaji : RM 1,357.00 – RM 4,008.00
Kelayakan : Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

4. Pembantu Hal Ehwal Islam SX19
Gaji : RM 1,352.00 – RM 4,003.00
Kelayakan : Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

5. Pembantu Pembangunan Masyarakat SX19
Gaji : RM 1,352.00 – RM 4,003.00
Kelayakan : Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

6. Pemandu Kenderaan HX11
Gaji : RM 1,218.00 – RM 2,939.00
Kelayakan : Pentaksiran Tingkatan Tiga/Penilaian Menengah Rendah & Lesen memandu Kelas D/E/E1/E2/F/G/H/I

Permohonan jawatan kosong FELDA ini hendaklah secara online melalui Sistem e-jobs : http://e-jobs.felda.net.my/

Tarikh Tutup Permohonan ialah pada 27 Ogos 2017

Sumber : Jawatan Kosong

Khamis, Ogos 17, 2017

BR1M Peringkat Ketiga Dibayar Mulai 16 Ogos 2017




Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia peringkat ketiga, yang juga pembayaran terakhir BR1M 2017, akan dibuat mulai Rabu bersempena sambutan Aidiladha yang dijangka pada 1 September ini.

Bagi permohonan yang lulus pada peringkat rayuan, pembayaran akan dibuat pada 29 Ogos ini.
"Kerajaan berharap pemberian BR1M dapat membantu rakyat membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Aidiladha kelak," kata Kementerian Kewangan dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut kementerian pembayaran BR1M akan dikreditkan terus ke akaun penerima masing-masing.
Bagi mereka yang tiada nombor akaun, surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima dan boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional berhampiran, katanya.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 serta e-mel kepada: br1m@treasury.gov.my.

- Bernama











Jumaat, Julai 28, 2017

E-Hailing Kini Sah Di Malaysia

Perkhidmatan e-hailing kini secara rasminya sah di sisi undang-undang negara ini.

Setiap operator perkhidmatan tersebut dikehendaki untuk memiliki lesen perniagaan pengantaraan yang dikeluarkan oleh badan penguatkuasa.

Perkara tersebut merupakan antara pindaan ke atas Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Pelesesan Kenderaan Perdagangan 1987 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Lesen perniagaan pengantaraan boleh diperbaharui, namun pihak operator tidak dibenarkan untuk memindahkannya.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) merupakan badan penguatkuasa di Semenanjung Malaysia, manakala Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (CVLB) pula di Sabah dan Sarawak.

Pindaan itu juga membenarkan sesiapa yang membuat kesalahan seperti menyerang atau menghalang mereka yang terlibat dalam perkhidmatan e-hailing.

Mereka yang disabitkan boleh didenda sebanyak RM1,000, dipenjarakan tidak melebihi tiga bulan, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sabtu, Julai 22, 2017

Ejen Tidak Diperlukan Tuntut WTD



Seorang lelaki warga emas bersyukur kerana tidak terpedaya dengan tipu helah seorang lelaki yang menghubunginya mendakwa sebagai ejen untuk membuat tuntutan Wang Tidak Dituntut (WTD).

Hanya ingin dikenali sebagai Rahim, 60, beliau berkata lelaki berkenaan menghubunginya beberapa hari lepas untuk menawarkan perkhidmatan membuat tuntutan WTD dengan bayaran RM1,000.

“Saya terkejut bila dihubungi kerana katanya saya layak membuat tuntutan untuk akaun insurans lama. Mujur saya tidak mudah terpengaruh sebaliknya saya datang sendiri ke sini membuat semakan tanpa sebarang bayaran.

“Saya dimaklumkan saya tidak mempunyai sebarang WTD,” katanya ketika ditemui Bernama di Jabatan Akauntan Negara negeri Perak.

Seorang pegawai Unit WTD yang enggan dikenali berkata jabatan berkenaan tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk membuat tuntutan WTD.

Beliau berkata orang ramai yang merasakan mereka mempunyai akaun bank lama atau insurans boleh datang membuat semakan dengan hanya mengisi borang disediakan dan kad pengenalan.
“Kakitangan unit ini akan membuat semakan dalam masa 10 hingga 15 minit dan memaklumkan keputusan kepada pemilik akaun.

“Jika mereka ada WTD, kakitangan di sini akan memberi penerangan untuk langkah-langkah seterusnya dalam membuat tuntutan termasuk keperluan mendapatkan pengesahan daripada bank atau syarikat berkaitan,” katanya.

Seorang anggota tentera, Mohammad Shafiq Ahmad Puad, 25, berkata dia mengetahui mengenai perkara itu yang tular di laman sosial Facebook.

Walaupun tiada sebarang WTD yang layak dituntut olehnya namun, beliau berasa puas hati kerana membuat semakan dan akan meminta anggota keluarga yang lain berbuat demikian.

Bagi Hanisah Supian,41, beliau hanya layak menuntut sebanyak RM101 daripada dua akaun bank.

“Saya pun lupa yang saya pernah ada akaun dengan bank berkenaan tapi saya bersyukur dengan apa yang ada. Tak rugi semak,” katanya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai komputer di sini.

- Bernama

Ahad, Julai 09, 2017

Umat Islam Dilarang Pelihara Anjing Dalam Rumah - Mufti Perlis



Umat Islam dilarang memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang kukuh, kata Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurutnya ini kerana ada hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut jilatan anjing adalah najis.

“Bagi mengelak dijilat anjing yang sentiasa menjelir lidah yang dianggap najis dari segi agama dan bahaya mengikut sains, maka Islam melarang memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan kukuh,” lapor Bernama yang memetik kenyataan Mohd Asri menerusi sosial Facebooknya.

Beliau mengulas perbuatan seorang wanita Islam yang bertudung memelihara anjing dalam rumah yang membiarkan anjing peliharaannya menjilat beliau dan menjadi viral setelah memuat naik dalam Facebook wanita tersebut.

Menurut Mohd Asri, hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim ada menyebut Nabi Muhammad SAW pernah bersabda "Sesiapa yang memelihara anjing maka sesungguhnya berkurangan (pahala) amalannya setiap hari sebesar qiroth (sebesar Bukit Uhud) kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan).”

Berdasarkan hadis tersebut, sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan itu adalah makruh walaupun ada ulama yang mengharamkannnya, kata Mohd Asri.

Katanya walaupun hadis tersebut tidak menyebut dosa hanya pahala yang berkurangan, maka hukumnya adalah makruh mengikut sebahagian fuqaha.

Selain itu, salakan dan bulu-bulu anjing yang  berterbangan seolah-olah tidak mengalu-alukan tetamu sedangkan Islam menggalakkan masyarakat menjalin hubungan baik dengan jiran, tambahnya.

Beliau berkata banyak kajian mendapati gigitan dan najis anjing berbahaya kepada kesihatan manusia dan atas sebab itu Islam mengingatkan penganutnya mengenai bahaya memelihara anjing tanpa sebab kukuh.

- mSTAR




Rabu, Julai 05, 2017

Jawatan Kosong Guru Mara - Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG41



Majlis Amanah Rakyat (MARA), sebuah agensi dibawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), memerlukan warga kerja yang berilmu, Berkeyakinan, berintegriti, memiliki kemahiran interpersonal, kreatif & inovatif serta komitmen ke arah menerajui kecemerlangan pendidikan dalam mengangkat martabat bangsa. Individu-individu yang memiliki ciri-ciri tersebut dipelawa untuk mengisi Jawatan Kosong Pegawai Perkhidmatan Pendidikan MARA DG41 seperti berikut :

- Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 (Guru MARA)
Gaji : RM 2,188.00 – RM9,552.00
Kelayakan : Ijazah Sarjana Muda / Sarjana / Doktor Falsafah

Bidang & Subjek
– Bahasa Melayu
– Bimbingan & Kaunseling
– Biologi
– Fizik
– Kimia
– Media
– Pendidikan Senireka / Visual
– Sains Komputer
– Geografi
– Sejarah / Sivik
– Pengurusan Perniagaan
– Perakaunan
– Ekonomi
– Matematik
– Pendidikan Jasmani
– Pendidikan Islam
– Pendidikan Islam (Tahfiz)
– Kemahiran Hidup
– Komputer Multimedia & Animasi
– Rekabentuk Fesyen

Iklan Jawatan: 
atau

Permohonan hendaklah dibuat secara online melalui Sistem Permohonan Jawatan Dalam MARA: http://apps.mara.gov.my/vacancy2/

Tarikh Tutup Permohonan : 19 Julai 2017

Link berkaitan:

Anak Ziela Jalil Bergelar Doktor Perubatan


Bukan mudah menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal, namun dengan kecekalan dan hati yang tabah Datuk Ziela Jalil membuktikan beliau mampu membesarkan anak-anak sehingga berjaya.

Ini terbukti apabila anak sulungnya, Puteri Julia Nabilah sudah selesai pengajiannya dan kini bergelar doktor!

Berkongsikan berita gembira tersebut melalui akaun Instagram miliknya, pelakon dan penerbit itu tidak dapat membendung rasa gembira dan bersyukurnya terhadap kejayaan anaknya dengan memuat naik beberapa keping gambar majlis graduasi Julia yang berlangsung di Hotel Equatorial, Pulau Pinang, Ahad lalu.

Ternyata segala penat lelahnya membesarkan anak-anak sendirian selepas pemergian suaminya yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, sembilan tahun lalu.

Dalam pada itu Ziela, 46, turut berkongsi status ditulis oleh Julia yang menceritakan suka duka sepanjang lima tahun pengajian di Royal College of Surgeons di Ireland pada 2012 sebelum menamatkan pengajian.

Julia, 24, turut bersyukur kerana ibunya tidak putus-putus memberi semangat dan tidak pernah berhenti berdoa untuk kejayaannya.

Dalam kapsyen itu juga Julia berkata kejayaan ini juga sebenarnya adalah untuk ibu dan Allahyarham bapanya.

- Mynewshub

Selasa, Julai 04, 2017

Larangan Eksport Kayu Getah Mulai 1 Julai 2017



Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan eksport kayu getah berkuat kuasa 1 Julai 2017 bagi memenuhi keperluan industri perabot negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini berikutan masalah pengusaha industri perabot,khususnya 234 pengusaha di sekitar Muar.

"Pada awal bulan ini, 234 pengusaha tersebut tertekan dengan dua masalah, iaitu kesukaran mendapatkan pekerja baru dari Bangladesh dan kekurangan sumber kayu getah untuk perabot bagi dieksport ke luar negara.

"Lantaran itu, mereka mengadakan demonstrasi kira-kira tiga minggu lepas di Muar," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Johor yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ka Siong berkata, tindakan melarang eksport kayu getah itu amat penting bagimemenuhi keperluan industri perabot tempatan, sekali gus meningkatkan nilai eksport negara.

Beliau berkata sebelum ini, Malaysia merupakan negara pengeksport perabot keenam terbesar dunia, namunia kini menurun ke tangga ke sembilan.

Katanya, 63 peratus eksport perabot negara adalah dari Johor dengan 95 peratus daripadanya melibatkan pengusaha perabot dari Muar.

"Kayu getah ini merupakan satu penjanaan sumber yang cukup besar. Kalau kita menjual kayu getah ini kepada negara lain seperti Vietnam,ia tidak menguntungkan kita.

"Kerajaan Johor juga mempunyai pendirian yang sama, di mana kita utamakan bahan mentah ini untuk kegunaan domestik. Ini kerana ia akan memberi nilai tambah lebih besar daripada kita menjualnya, yang akhirnya negara lain yang memproses menjadi perabot dan menjual semula kepada Malaysia dan ternyata tidak menguntungkan," katanya.

Menurut Ka Siong, hasil eksport kayu getah dianggarkan RM200 juta hingga RM300 juta setahun berbanding hasil eskport perabot bernilai RM9.5 bilion setahun.

Beliau berkata, larangan eksport kayu getah sudah tentu melegakan pengusaha industri perabot kerana apabila tiada sumber kayu getah, harga bekalan bahan mentah terbabit mencecah RM2,300 satu tan berbanding RM1,600 satu tan sebelum ini.

"Larangan eksport itu dikuatkuasakan sehingga kita lihat pasaran mencukupi. Permintaan industri ialah jangan kita jual kayu getah, jadi, lebih baik potensi itu dikembangkan daripada menjualnya. Dari segi pekerja asing pula, kita sedang mencari kaedah dan masih perlukan sedikit masa bagi rundingan," katanya.

- Bernama


Isnin, Julai 03, 2017

Perodua Bakal Keluar Beberapa Model Baharu Antara 2017-2021



Perusahaan Automobil Kedua (Perodua) merancang mengeluarkan beberapa model baharu kenderaan jimat minyak (EEV) untuk terus kekal bersaing dalam segmen kereta kompak menerusi rancangan lima tahun 2017-2021.

Pemangku Pengurus Besar Kanan Perodua Manufacturing Sdn Bhd, Mohd Saifuzzaman Mohammad berkata perancangan juga bagi memenuhi permintaan ke atas kereta kompak jimat minyak dalam tempoh tersebut.

"Saya tidak boleh bagi tahu (model yang akan dikeluarkan) sekarang kerana ini strategi perniagaan, namun model-model baharu ini akan lebih berkualiti, murah, lancar dan jimat minyak," katanya.

Beliau ditemui selepas membuat penyerahan rasmi lima unit mesin perkomputeran (CNC) terpakai pembuatan engin kereta kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yang diterima oleh Naib Canselornya, Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal di Kampus Uniciti, Sungai Chuchuh, Rawang.

Mohd Saifuzzaman berkata pemilihan model Bezza yang meneirma penarafan lima bintang Asean NCAP baru-baru ini dan model Axia yang mendapat sambutan hangat pembeli, akan dipertingkatkan.
Mengenai CNC yang disumbangkan itu, beliau berkata dalam jangka masa panjang fungsi asas mesin tersebut dalam industri automotif, relevan untuk satu jangka masa yang agak panjang.

"Kami telah memiliki beberapa mesin baharu bagi mengeluarkan model baharu, namun mesin ini sangat berguna untuk tujuan pendidikan kerana pelajar dapat meyesuaikan diri dengan bidang yang diceburi kelak," katanya.

Menurut Mohd Saifuzzaman harga mesin baharu antara RM800,000 dan RM1.3 juta seunit dan tapi bagi harga terpakai termasuk kos penghantaran, hanya RM330,000.

Sementara itu Zul Azhar berkata hubungan strategik UniMAP-Perodua sejak lima tahun lepas telah meningkatkan nilai kebolehpasaran graduannya selain mereka dapat menjalani latihan praktikum dalam suasana sebenar industri automotif.

"Cara ini akan melahirkan graduan yang holistik, relevan dan kompeten kerana keupayaan mereka menerap nilai-nilai yang diperlukan oleh industri menerusi latihan amali," katanya" katanya.

Zul Azhar mencadangkan syarikat automotif menjalin kerjasama lebih erat dengan UniMAP bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan.

- Bernama