Rabu, November 02, 2016

Dekoder untuk Siaran TV Digital MYTV (Tiada Bayaran Bulanan)



Mulai 2018 tiada lagi siaran tv biasa percuma di Malaysia. Malaysia akan beralih ke tv digital, masih percuma tapi perlu guna dekoder atau TV DVB-T2. Jika anda tiada Astro dan anda bukan penerima dekoder MYTV percuma, anda perlu membeli dekoder DVB-T2 untuk menonton siaran TV Digital TV1, TV2, TV3, ntv7, TV8, TV9, TV Al Hijrah dan pelbagai saluran baru yang akan diperkenalkan kelak.

Selain dekoder, anda perlu ada antenna UHF untuk disambungkan ke dekoder ini. Kebiasaannya rumah-rumah lama sudah ada antenna ini. Anda boleh pasang dan setkan sendiri dekoder. Untuk mendapatkan dekoder TV Digital dengan harga terendah di pasaran boleh Whatsapp 0139790000. Hanya RM120 tanpa bayaran bulanan (pasang sendiri).

SIARAN TV DIGITAL HD PERCUMA

1.Apa itu MYTV?
MYTV adalah siaran digital tv (dttv) percuma dan pertama di Malaysia. Tak perlu guna internet. Semua channel MYTV dalam bentuk HD dengan gambar yang terang dan suara yang jelas. Tiada gangguan hujan.
2. Bagaimana nak dapat siaran digital MYTV?
Siaran MYTV adalah percuma. Tidak perlu bayar bulan2. Siaran MYTV boleh dapat hanya dengan memasang dekoder digital video broadcasting DVB-T2 atau TV yang sudah siap DVB-T2.
3.Berapa channel MYTV?
Buat masa sekarang pihak MYTV telah memasukkan TV1, TV2, TV3, TV9, NTV7, 8TV, TV ALHIJRAH dan Bernama News. Channel2 MYTV akan bertambah dari masa ke semasa sehingga lebih dari 40 siaran. Ini termasuk sukan, berita, kartun dan sebagainya.
4. Apakah alatan tambahan yang diperlukan?
Anda hanya perlu pasang antena tulang ikan (aerial UHF) dan halakan ke arah stesen pemancar. Anda juga boleh guna antenna indoor jika dekat dengan pemancar.
5. Di manakah stesen pemancar terdekat dengan rumah saya?
- Bukit Besar Kuala Terengganu
- Bukit Pelindung Kuantan
- Bukit Bakar Machang
- Gunung Ulu Kali Genting Highlands
- Menara KL
- Bukit Sg Besi KL
- Bukit Keratong Kota Kinabalu
- Bukit Trig Sandakan
- Gunung Andrassy Tawau
- Gunung Jerai Kedah
- Gunung Kledang Ipoh
- Gunung Serapi Kuching
- Gunung Pulai Johor

Nak tempah decoder DVB-T2 MYTV boleh whatsapp 0139790000. Harga RM120 sahaja poslaju / kurier percuma.

Nota: Dekoder yang dijual ini bukan dekoder MYTV percuma yang diedar oleh kerajaan kepada penerima BRIM terpilih. Ini adalah model lain tapi fungsinya sama.


Sabtu, Oktober 29, 2016

Anggota SPRM Dipercayai Pukul Isteri Ditahan




Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dipercayai mendera isterinya, ditahan polis di Batu Berendam, Melaka pada Jumaat malam.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki berusia 37 tahun yang ditahan kira-kira 8 malam itu, akan dibawa ke Mahkamah Majistret Segamat pada Sabtu untuk permohonan reman.

Suspek yang berkhidmat di SPRM Segamat itu juga didapati tidak hadir bertugas dan mempunyai kes narkotik di Muar pada tahun lepas, kata beliau dalam kenyataan.

Terdahulu, beliau berkata dua laporan polis dibuat dan dua kertas siasatan dibuka, dan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Wan Ahmad Najmuddin berkata kes itu turut disiasat mengikut Seskyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

Dua laporan polis itu berhubung kes tersebut yang diviralkan dalam laman sosial Facebook milik seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa keganasan rumahtangga.

- mSTAR

Khamis, Oktober 27, 2016

Latar belakang Parlimen Malaysia



Selepas 52 tahun merdeka, sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan institusi-institusi demokrasinya kekal agung.

Badan perundangan yang berasaskan kepada Westminster di Britain diterima oleh Malaysia selepas mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 1957 dan merupakan institusi penting bagi Demokrasi Berparlimen dengan Raja Berpelembagaan sebagai pemimpin tertinggi.

Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana Malaysia kekal sebagai negara demokratik sejak merdeka sedangkan banyak daripada negara telah beralih kepada pemerintahan tentera atau diktator.

Walaupun prinsip demokrasi negara pernah tercabar tetapi secara keseluruhannya demokrasi serta institusi-institusinya masih berperanan penting di Malaysia.

Antara institusi yang mendaulatkan demokrasi di Malaysia ialah Parlimen, yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Parlimen merupakan tempat di mana undang-undang negara dirumus, dibahas dan diluluskan demi manfaat negara dan rakyatnya. Parlimen mewakili suara rakyat, intipati penting demokrasi.

SEJARAH BANGUNAN PARLIMEN

Pada bulan Disember 1959, satu kawasan berhampiran Taman Bunga Kuala Lumpur dipilih sebagai tapak kompleks bangunan Parlimen.

Menurut laman web rasmi Parlimen, ilham untuk membina kompleks bangunan Parlimen datangnya daripada Ketua Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Bangunan yang menjadi simbol demokrasi di negara ini melibatkan kos RM18 juta.

Yang di-Pertuan Agong ketiga Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail telah berkenan melakukan peletakan batu asas.

BANGUNAN UTAMA

Kompleks bangunan parlimen ini terbahagi kepada bangunan utama tiga tingkat dan menara yang mempunyai 17 tingkat.

Ia dirasmikan oleh Tuanku Syed Putra pada 21 Nov 1963.

Bangunan utama tiga tingkat itu menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Di tingkat pertama terdapat kantin, bilik wartawan dan bilik jamuan anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Reka bentuk Dewan Negara hampir serupa dengan Dewan Rakyat tetapi ruangnya kecil sedikit. Bagaimanapun Dewan Negara mempunyai keistimewaan tersendiri. Jendela-jendelanya lutsinar dengan corak Islam asli daripada mozek merah dan biru.

Di tingkat bawah bangunan ini pula terletak bilik rehat diraja, sebuah surau bulat yang boleh memuatkan 100 jemaah dan sebuah dewan jamuan besar yang boleh memuatkan 500 orang.

Di tingkat kedua terbahagi kepada dua anjung. Anjung kiri terdapat dua buah bilik jawatankuasa yang besar (boleh memuatkan 30 orang), empat bilik kecil (muat 12 orang), pejabat dan tempat rehat bagi para pegawai kerajaan serta bilik Persatuan Parlimen Komanwel.

Di anjung kanan pula terdapat dua bilik makan, satu bilik khusus untuk ahli Parlimen dan yang lainnya untuk tetamu serta pegawai kerajaan. Ruang dapur terletak di antara dua bilik makan ini. Dapur ini mampu menyediakan makanan bagi 1,000 orang tetamu dalam satu masa. Bahagian tengah tingkat kedua ini dipayungi oleh bumbung Dewan Rakyat. Ia dijadikan Taman Sari iaitu tempat anggota Parlimen berehat semasa persidangan.

MENARA

Menara setinggi 17 tingkat ini terletak di hadapan bangunan utama. Ia bersambung ke bangunan utama melalui sebuah jambatan dan di dalamnya ditempatkan pejabat para menteri dan anggota Parlimen yang lengkap dengan segala kemudahan seperti kerusi meja dan pembesar suara.

Di tingkat dua menara ini terdapat ruang tempat duduk dengan pemandangannya ke arah padang perbarisan di mana acara sambutan rasmi Parlimen diadakan.

Di tingkat 16 pula terdapat ruang lapang untuk menikmati keindahan pemandangan sekeliling kawasan Parlimen. Di menara inilah majlis-majlis tidak rasmi diadakan.

KEISTIMEWAAN

Tahukah anda berapa banyak batu-bata yang digunakan untuk membina kompleks Parlimen?

Menurut laman web rasmi Parlimen, lebih daripada sejuta batu-bata, 2,000 tan besi waja, 54,000 tan konkrit, 200,000 kampit simen dan 3,000 tan kaca telah digunakan untuk pembinaannya.

Keseluruhan bangunan Parlimen ditutup dengan kaca yang boleh menyerap haba dan cahaya.

Bagi menghalang sinaran cahaya matahari itu, seluruh bangunan ditutup dengan terawang berukir diperbuat daripada konkrit. Terawang berbentuk sarang lebah itu dipasang bahagian demi bahagian dan ini menyerlahkan lagi kehebatan bangunan ini.

Sementara itu, sistem pembahagian air yang membekalkan air kolam dan pancurannya merupakan satu lagi ciri keistimewaan bangunan Parlimen yang mana air akan mengalir melalui dua sistem yang berangkai.

Air berwarna biru, yang berfungsi untuk menghindarkan lumut dan lumpur, bermula di bahagian bumbung bangunan membawa ke seluruh kompleks.

Selain daripada keistimewaan pada bangunannya, kompleks Parlimen turut dihiasi dengan pelbagai jenis tumbuhan dan binatang peliharaan.

Antara pokok yang ditanam sekitar kawasan Parlimen ialah pokok berlian, mata kucing, berangan, nam-nam, selarat dan tamar, yang diimport khas dari Arab Saudi.

Bersebelahan kawasan kompleks Parlimen terdapat kawasan lapang yang dijadikan Taman Rusa.

Parlimen sekarang ini sudah masuk penggal ke-12. 

- BERNAMA

Rabu, Oktober 26, 2016

Minyak Masak Dalam Botol Ikut Harga Pasaran Mulai 1 Nov 2016



Harga minyak masak paket 1 kilogram kekal RM2.50, manakala harga minyak masak dalam botol akan mengikut harga pasaran berkuatkuasa 1 Nov 2016.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ini berikutan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak.

Tanpa penstrukturan semula minyak masak, kerajaan terpaksa membelanjakan hampir RM100 juta sebulan untuk menanggung subsidi minyak masak untuk bulan Nov dan Disember, katanya pada sidang media di Putrajaya.

- Bernama

Puluhan Bangkai Kapal Karam Empayar Uthmaniyyah Ditemui Di Dasar Laut Hitam



Kajian pemetaan di Laut Hitam menggunakan teknik rakaman tiga dimensi di dasar laut berjaya mengesan puluhan bangkai kapal karam yang dipercayai tenggelam semasa pemerintahan empayar Uthmaniyyah dan Byzantine.

Penemuan itu berlaku ketika sepasukan pengkaji antarabangsa menjalankan kajian berkenaan menerusi  Projek Arkeologi Maritim Laut Hitam.

Ekspedisi itu diketuai Pusat Arkeologi Universiti Southampton, London.

Ekspedisi tersebut meneroka sehingga 1,800 meter di dasar Laut Hitam menggunakan kapal selam kawalan jauh yang dilengkapi peralatan laut dalam paling canggih di dunia.Kajian pemetaan di Laut Hitam menggunakan teknik rakaman tiga dimensi di dasar laut berjaya mengesan puluhan bangkai kapal karam yang dipercayai tenggelam semasa pemerintahan empayar Uthmaniyyah dan Byzantine.

Penemuan itu berlaku ketika sepasukan pengkaji antarabangsa menjalankan kajian berkenaan menerusi  Projek Arkeologi Maritim Laut Hitam.

Ekspedisi itu diketuai Pusat Arkeologi Universiti Southampton, London.

Ekspedisi tersebut meneroka sehingga 1,800 meter di dasar Laut Hitam menggunakan kapal selam kawalan jauh yang dilengkapi peralatan laut dalam paling canggih di dunia.

“Dengan menggunakan teknik rakaman tiga dimensi untuk struktur laut dalam, kami mampu mengambil imej-imej artifak tanpa mengganggu lantai laut,” kata Ketua Projek, Prof. Jon Adams.

Menerusi penemuan tersebut, pengkaji berharap dapat mendalami aktiviti-aktiviti di perairan di Laut Hitam yang menjadi tumpuan empayar besar lain pada zaman dahulu termasuk Greece dan Rom.

Menurut sejarah, kerajaan Uthmaniyyah yang menakluk Constantinople (Istanbul) menutup Laut Hitam kepada kapal dagang pada 1453 dan dibuka semula 400 tahun kemudian iaitu pada 1856. 

Gary Kang Sah Tinggalkan Running Man



Penyanyi Gary Kang bakal meninggalkan Running Man selepas enam tahun bersama program berkenaan.

Perkara itu turut disahkan oleh pihak produksi rancangan popular itu dan memberitahu Gary ingin kembali memberi fokus kepada bidang muzik sebagai punca utama dia mengambil keputusan meninggalkan Running Man.

"Kami berterima kasih kepada Gary kerana komitmen ditunjukkan sepanjang enam tahun terlibat dalam Running Man.

"Gary ingin kembali memberi fokus kepada karier muziknya dan kami berharap dia akan terus cemerlang," kata kenyataan tersebut seperti dilaporkan Soompi.

Dalam pada itu, sumber memberitahu Gary sudah merancang meninggalkan Running Man sejak awal tahun ini namun dia menangguhkan hasrat itu selepas dipujuk oleh pihak produksi.

"Pihak produksi cuba memujuknya malah rakan-rakannya yang turut terlibat dalam program itu juga memintanya agar mengubah fikiran.

"Tetapi dia ingin memberi tumpuan kepada bidang muzik kerana telah terlalu lama tidak merakamkan lagu baharu," kata sumber.

Gary menyertai keluarga Running Man sejak 2010 dan akan merakamkan episod terakhirnya pada 31 Oktober 2016.

- mSTAR

Isu Negara Muflis Akibat Hutang Wajar Diperbetulkan - Pakar Ekonomi



Isu membabitkan tahap keberhutangan negara yang tinggi yang sering dimomokkan sebagai petanda bahawa negara akan muflis hanyalah salah faham ekonomi dan perlu diperbetulkan.

Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata ini kerana antara indikator dilihat ketika hendak membuat pinjaman ialah sama ada pinjaman tersebut bersifat produktif atau sebaliknya dan keupayaan membayar balik.

"Pinjaman kerajaan misalnya sebanyak RM582 bilion pada 2014, tetapi itu adalah stok pinjaman, namun bayaran hutang pada tahun tersebut hanya sekitar RM20 bilion sahaja, itu bayaran, bukan stok. Malah ia bukannya perlu dibayar dengan segera kerana mempunyai tempoh kematangan hutang," katanya.

Noor Azlan berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel dalam Diskusi Pasca Bajet 2017 anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia di sini, Ahad.

Malah jelasnya Malaysia menyaksikan pembangunan pesat dicapai dengan sebahagian besarnya dalam tahun-tahun ketika ekonomi negara berada dalam keadaan defisit.

"Pertama sekali isu persepsi, istilah atau perkataaan hutang dalam nahu bahasa kita dianggap konotasi negatif tetapi hakikatnya dalam kehidupan seharian malah di peringkat individu pun semua mempunyai hutang.

"Tidak ada salahnya dengan defisit. Dalam bahasa ekonomi lebihan dan defisit tidak boleh diterjemah secara terus, kononnya defisit bermakna masalah, lebihan bermakna baik. Sama juga dengan hutang, cuma istilah hutang dalam literasi Bahasa Melayu kita nampak takut," katanya.

Beliau menegaskan tahap pinjaman kepada pendapatan negara semata-mata belum cukup untuk menterjemahkan bahawa sesuatu negara itu diurus dengan baik ataupun tidak.

"Semakin tinggi pendapatan negara, semakin tinggi hutang, United Kingdom misalnya pula berhutang 91 peratus dan Singapura sebanyak 105 peratus," katanya.

Noor Azlan berkata menurut pengamatannya, defisit negara selalunya akan melebar apabila berhadapan krisis ekonomi seperti pada tahun 1997 dan 2009 yang menyebabkan ekonomi negara menguncup.

"Apabila ekonomi menguncup maka sektor swasta dan pengguna tidak berbelanja, jadi memang wajarlah kerajaan berbelanja dan dalam keadaan itu defisit kita melebar dan ia bertepatan dengan keperluan.

"Yang penting ialah adakah defisit itu dikawal dan tahun demi tahun kita lihat defisit fiskal kita semakin menurun, walaupun keadaan getir beberapa tahun yang lalu, sasaran kita tetap dipertahankan dan tahun hadapan sasaran kita 3 peratus daripada KDNK," katanya. 

- BERNAMA

Selasa, Oktober 25, 2016

Wad ICU Hospital Sultanah Aminah terbakar



Enam pesakit yang dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini mati rentung atas katil masing-masing apabila wad yang terletak di tingkat dua bangunan hospital itu terbakar semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, tiga mangsa yang cedera melibatkan dua daripada lapan jururawat yang bertugas di wad tersebut dan seorang pelatih fisioterapi.

Pesakit-pesakit yang terkorban ialah K. Logeswaran, 20, Choo Lin Fong, 37, Toh Ah Wah, 60, Yusof Hassan, 53, M. Kaliama, 23, dan C. Neeramaladevi, 24. Dua jururawat yang cedera dikenali sebagai Nurul Ain dan Suhaili manakala pelatih fisioterapi yang dikenali sebagai Shafiqah turut cedera.

Kebakaran yang memusnahkan wad ICU di hospital berusia 134 tahun itu amat mencemaskan apabila ratusan pesakit, jururawat, doktor, petugas pentadbiran dan tukang cuci berpusu-pusu menuruni tangga meninggalkan bangunan tersebut.

- Kosmo!

Isnin, Oktober 24, 2016

10 Produk Kosmetik Mengandungi Racun



Orang ramai dinasihati supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan 10 produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk-produk kosmetik itu antaranya Melan: Off Intensive Mask, Melan: Off Cream, Afrina Night Cream, Afrina Daily Cream, Krim Herba Kemboja, Debella Nadien Glow Night Cream, Mekar Semilu Scrub Muka Mutiara BeautyvCollection dan Mekar Semilu Cream Mekarsutra.

Produk-produk kosmetik itu mengandungi asid azelaik, hidrokuinon atau tretinoin dan logam berat merkuri dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia, katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata produk yang mengandungi asid azelaik, hidrokuinon atau tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Kebiasaannya hidrokuinon digunakan bagi merawat kulit yang mengalami masalah hiperpigmentasi, manakala tretinoin dan asid azelaik pula digunakan untuk mengurangkan kesan inflamasi bagi merawat masalah jerawat.

"Penggunaan hidrokuinon, asid azelaik dan/atau tretinoin tanpa mendapat nasihat kepakaran daripada profesional kesihatan dikhuatiri boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini. Merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf," katanya.

Dr Noor Hisham berkata notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan dan pihak syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk kosmetik berkenaan diarah untuk memberhentikan penjualan/pembekalan dengan serta merta dan memanggil balik kesemua stok fizikal produk kosmetik tersebut daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.

Katanya sesiapa yang mempunyai stok produk kosmetik tersebut dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran dan penggunaan produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

Beliau mengingatkan penjual bahawa pemilikan produk-produk kosmetik itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Orang ramai diminta menghubungi Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78018496/78835537/78835532 jika mengalami kesan sampingan atau kesan buruk penggunaan produk kosmetik.

Jumaat, Oktober 21, 2016

Intipati Bajet 2017



Intipati Bajet 2017
Jumaat, 21 Okt 2016 @ 4:31 PM

Berikut ialah intipati Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat.

Bajet 2017 bertemakan "Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh".

* Bajet 2016 memperuntukkan RM260.8 bilion, peningkatan 3.4 peratus daripada pengubahsuaian Bajet 2016.

* RM214.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan

* RM77.4 bilion untuk emolumen, RM32 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan

* Sektor ekonomi terima agihan tertinggi RM25.9 bilion, diikuti sektor sosial RM12.2 bilion, keselamatan RM5.3 bilion, pentadbiran RM2.5 bilion

* Hasil kerajaan Persekutuan 2017 dijangka berkembang tiga peratus kepada RM219.7 bilion

* Sasaran kerajaan untuk defisit fiskal tiga peratus daripada KDNK pada 2017

* GST hampir RM30 bilion dikutip setakat 19 Okt 2016

* KDNK PPP per kapita rakyat Malaysia meningkat daripada US$23,100 pada 2012 kepada US$26,891 pada 2015

* Jumlah pelaburan asing yang diluluskan bagi separuh pertama tahun 2016, adalah lebih RM28 bilion, peningkatan 32 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

* Cuti Belajar dengan gaji dibayar penuh bersama biasiswa dipanjangkan kepada Kumpulan Pelaksana

* Cuti Kuarantin lima hari tanpa rekod kepada penjawat awam yang anaknya sakit dan perlu dikuaratin

* Menaikkan had kelayakan pinjaman perumahan penjawat awam kepada RM200,000 hingga RM750,000

* Gred 56 diwujudkan bagi pegawai perubatan pakar dan pegawai pergigian pakar

* RM1.2 bilion bagi membina dan menaik taraf 616 km jalan kampung dan jambatan bagi meningkatkan jaringan perhubungan kampung, pekan dan bandar

* RM4.6 bilion bagi menyelenggara jalan negeri, di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS)

* RM350 juta bagi membina dan membaik pulih 17,000 unit rumah usang dan daif di kampung terpencil dan penempatan Orang Asli

* RM800 juta untuk Projek Mesra Rakyat seperti menaik taraf dan membina surau, titi, parit, balai raya, pasar dan gerai perniagaan kecil

* RM495 juta untuk meneruskan 69 projek Rancangan Tebatan Banjir di seluruh negara

* RM200 juta untuk bina 5,000 unit MyBeautiful New Home menerusi NBOS bagi B40 pada harga RM40,000-RM50,000 seunit, dengan kerajaan biayai RM20,000

* RM275 juta bagi membantu meningkatkan peluang pendapatan rakyat, terutamanya kelompok B40

* Peruntukan subsidi hampir RM10 bilion merangkumi subsidi bahan api, gas memasak, pampasan tol dan pengangkutan awam.

* BR1M - isi rumah dalam senarai e-Kasih dan berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 dinaikkan kepada RM1,200

* BR1M - isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 dinaikkan kepada RM900

* BR1M - individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000 dinaikkan kepada RM450

* RM4.6 bilion bagi memperkasakan program TVET untuk menghasilkan tenaga kerja tempatan yang memenuhi keperluan industri

* Kerajaan sediakan tanah di lokasi strategik kepada GLC dan PR1MA untuk membina lebih 30,000 unit rumah berharga antara RM150,000 hingga RM300,000

* Membina 10,000 unit rumah di bandar untuk disewa oleh golongan muda pada kadar lebih rendah dari kadar pasaran

* Skim pembayaran akhir khas jenis "step-up" untuk program PR1MA, bagi pembiayaan 1ebih mudah, dengan jum1ah pinjaman mencecah 90 hingga 100 peratus

* RM100 juta untuk bina UTC di Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor, dan RTC di Selangor, Sabah dan Sarawak

* Pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 setiap tahun mulai tahun taksiran 2017 bagi pembelian bahan bacaan, komputer, peralatan, surat khabar bercetak, smartphone dan tablet, langganan internet dan bayaran keahlian gimnasium

* RM40 juta bagi inisiatif NBOS Bahasa Inggeris 1Malaysia, Coding di sekolah, Volunteering for International Professional dan Global Entrepreneurship Community 2

* RM450 juta untuk penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 pada tahun 2017

* RM25 bilion bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat dan kualiti penjagaan kesihatan

* RM20 juta bagi usaha mengurangkan kesesakan hospital awam menerusi kerjasama swasta dan NGO dengan menyediakan pinjaman mudah bagi pembelian peralatan untuk "non-profit charitable" hospital

* RM1.3 bilion untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan dengan harga yang kompetitif

* Geran RM5,000 bagi membeli kenderaan baharu dan menawarkan permit teksi individu, memanfaatkan 12,000 pemandu teksi

* Menggalakkan B40 (penerima BR1M) menjana pendapatan sebagai pemandu "ride sharing" seperti Uber

* Meluaskan eVisa ke negara di rantau Balkan dan Asia Selatan bagi mencapai sasaran 32 juta pelancong pada tahun hadapan

* RM1 bilion bagi meluaskan liputan dan kualiti jalur lebar seluruh negara sehingga 20 megabit sesaat

* RM570 juta bagi membangunkan semula 120 buah sekolah daif, 60 di Semenanjung, 30 di Sabah dan 30 lagi di Sarawak menggunakan IBS serta menaik taraf 1,800 makmal sains

* RM478 juta bagi menyiapkan pembinaan 227 buah sekolah, termasuk 8 buah sekolah baharu

* Diskaun 10 hingga 15 peratus bagi menggalakkan peminjam PTPTN buat bayaran balik bermula 22 Okt 2016 hingga Disember 2017

* RM55 bilion untuk pelaksanaan projek rel baharu East Coast Rail Line sepanjang 600 km menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur

* Kementerian Pertahanan diperuntukkan RM15.1 bilion termasuk RM1.8 bilion untuk menyelenggara aset-aset utama

* KDN diperuntukkan RM12.8 bilion termasuk RM8.7 bilion kepada PDRM

* RM2 bilion untuk ehwal wanita dan mengarusperdanakan peranan mereka dalam pembangunan negara dengan program seperti I-KIT, I-KeuNita, program Women Career Comeback

* Pelepasan cukai baharu sehingga RM1,000 bagi pembelian peralatan penyusuan ibu mulai tahun taksiran 2017 dan dituntut setiap dua tahun

* RM30 juta bagi menyelaraskan pendidikan tahfiz melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara

* RM85 juta bagi program Permata termasuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Top STEM Talents di Akademi Sains Malaysia

* Akta Kebangkrapan 1967 akan dipinda bagi mereka yang diisytiharkan bangkrap terutama "penjamin sosial" seperti penjamin biasiswa

* Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan dilancarkan bagi memeta hala tuju negara di atas sebuah kanvas yang baharu

* Bayaran khas RM500 kepada semua penjawat awam dan RM250 kepada pesara kerajaan

- BERNAMA

Astro Lancar Saluran TARA HD



Astro telah melancarkan sebuah saluran Hiburan Hindi Umum yang berdefinisi tinggi (HD) baharu iaitu TARA HD (Saluran 108). Semua pelanggan yang memiliki dekoder Astro B.yond akan menikmati akses pra-tonton percuma ke saluran ini sehingga 20 November 2016.

Para penggemar hiburan Bollywood pasti akan teruja untuk menyaksikan pelbagai rancangan yang disajikan menerusi saluran ini termasuklah hiburan terkini dari dunia Bollywood seperti filem-filem klasik, rancangan siri televisyen, program realiti, rancangan bual bicara dan drama televisyen menerusi dua saluran jenama Hindi terkini, iaitu TARA HD dan BollyOne HD (Saluran 251).

Sejurus tempoh pra-tonton percuma di saluran ini tamat, TARA HD boleh dinikmati oleh pelanggan Astro menerusi pakej Astro Family HD dan boleh turut disaksikan menerusi aplikasi Astro on the Go (AOTG), selain turut terkandung di dalam pakej pra-bayar bagi pelanggan NJOI.
TARA HD turut menawarkan drama bersiri terbaik, selain rancangan aneka ragam, dan program muzik yang dibawakan khas dari India dan Pakistan.

Antara program menarik yang pasti menarik perhatian penonton adalah beberapa judul drama seperti ‘Chakravarthi Ashok Samrat’, ‘Nagin’, ‘Yeh Hai Mohobattein’, ‘Ishqbaaaz’ dan ‘CID’; selain drama bersiri seperti ‘Yudh’ yang dibintangi Amitabh Bachchan.

Selain itu juga antara program menarik lain yang boleh disaksikan menerusi saluran baharu ini adalah rancangan bual bicara popular seperti ‘Koffee with Karan’ dan ‘The Kapil Sharma Show’ selain beberapa rancangan variasi yang lain seperti ‘Bolly Stars’, ‘Bolly Dance’, dan ‘Comedy Nights Bachaq’.

Pelanggan NJOI juga boleh menikmati pra-tonton percuma saluran TARA HD ini sehingga 20 November 2016.

Namun setelah tamat tempoh pra-tonton tersebut, saluran ini boleh dinikmati dengan melanggan pada harga RM 7.00 untuk tempoh masa 3 hari, RM 10.00 untuk tempoh masa 7 hari dan RM 25.00 bagi tempoh masa 30 hari.

Selain itu, TARA HD juga boleh disaksikan oleh pelanggan Astro menerusi aplikasi Astro on the Go (AOTG) dengan saluran berdefinisi tinggi (HD). Langganan AOTG ini adalah termasuk di dalam pakej Super Pack Plus, Super Pack, Multi room, Sports Pack dan Value Pack tanpa sebarang caj tambahan dikenakan.

Manakala bagi pelanggan Astro dengan pakej yang lain, ianya boleh dibeli pada harga RM 10.60/sebulan.

Kesemua program yang disiarkan di saluran TARA HD juga turut disertakan dengan sarikata Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Untuk keterangan lanjut mengenai TARA HD, sila layari http://www.bollyonehd.com/bollywoodnews. Untuk melanggan sebarang pakej di Astro dan NJOI, sila layari www.astro.com.my atau hubungi 03 -9543 3838.

Recent Posts