Khamis, Jun 30, 2016

Cuti Khas Aidilfitri Pada 8 Julai 2016

Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan pelepasan khas daripada bertugas pada 8 Julai ini kepada pegawai perkhidmatan awam Persekutuan sekiranya Hari Raya Aidilfitri diisytiharkan pada 6 Julai, demikian umum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Bagaimanapun, katanya pelepasan khas daripada bertugas itu tidak terpakai sekiranya Hari Raya Aidilfitri diisytiharkan pada 5 Julai.

"Orang awam yang merancang untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan pada hari pelepasan khas tersebut digalakkan untuk mengunjungi jabatan dan agensi yang berkenaan sebelum cuti umum Hari Raya Aidilfitri," katanya dalam satu kenyataan.

Ali dalam pada itu merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana bersetuju dengan cadangan  daripada penjawat awam itu khususnya oleh Cuepacs.

"Semoga penjawat awam dapat memanfaatkan pemberian pelepasan khas daripada bertugas untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan seterusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik dan produktif apabila kembali bertugas di jabatan dan agensi masing-masing," katanya.

- mSTAR

4 Julai 2016 Tarikh Lihat Anak Bulan Syawal



Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menetapkan tarikh Hari Raya Puasa 2016 ditetapkan pada petang Isnin, 4 Julai 2016 bersamaan 29 Ramadan 1437 Hijrah, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Menurutnya, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).

"Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa melalui radio dan televisyen," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, 29 lokasi untuk melihat anak bulan di seluruh negara ialah:


JOHOR: Pontian Kecil

MELAKA: Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu (Tanjung Bidara)

NEGERI SEMBILAN: Telok Kemang (Port Dickson)

SELANGOR: Bukit Melawati (Kuala Selangor), Bukit Jugra (Banting), Balai Cerap Selangor (Sabak Bernam)

PERAK: Pantai Pasir Panjang (Manjong)

PULAU PINANG: Pusat Falak Sheikh (Pantai Acheh)

KEDAH: Kampung Pulau Sayak (Kuala Muda), Pemandangan Indah (Pulau Langkawi), Menara Alor Setar

TERENGGANU: Bukit Besar (Kuala Terengganu), Bukit Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut), Balai Cerap KUSZA (Setiu)

KELANTAN: Bukit Peraksi (Pasir Puteh), Bukit Kampung Tembeling (Kuala Krai), Menara Bangunan SEDC (Kota Baharu)

SARAWAK: Tanjong Lubang (Miri), Teluk Bandung  and  Tanjung Batu (Kuching)
SABAH: Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil (Putatan)

PAHANG: Bukit Tanjong Batu (Nenasi), Gunung Brinchang (Cameron Highlands), Bukit Pelindong (Kuantan)

LABUAN: Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah

KUALA LUMPUR: Menara Kuala Lumpur

PUTRAJAYA: Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya

PERLIS: Kuala Sungai Baru (Simpang Empat).

Rabu, Jun 29, 2016

Wabak Campak Meningkat



Sebanyak 873 kes wabak measles atau campak dilaporkan sehingga minggu pertama bulan ini, sekaligus menunjukkan peningkatan 340 peratus berbanding 197 kes untuk tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes demam campak itu disebabkan kanak-kanak tidak mendapatkan imunisasi.

Beliau berkata majoriti wabak membabitkan rumah persendirian (63.6 peratus), diikuti institusi (28.8 peratus) dan komuniti (7.6 peratus)."

"Sepanjang tahun 2015, terdapat 1,318 kes wabak demam campak dengan dua kematian dan belum ada kematian pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya pada Ahad.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 66 kes wabak demam campak dilaporkan sehingga minggu pertama bulan ini, iaitu peningkatan hingga lima kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Pada 2014, hanya 11 wabak demam campak dilaporkan (bagi tempoh berkenaan) dan meningkat kepada 57 wabak pada 2015,” katanya.

Bagi wabak cacar air atau chicken pox, Dr Noor Hisham berkata, 109 kes dilapor pada tahun ini iaitu menurun 34.7 peratus berbanding 167 pada 2015 dan 125 pada 2014.

Katanya, tiada kematian akibat cacar air pernah dilaporkan dalam tempoh tiga tahun, serta majoriti kes bagi tahun ini melibatkan institusi (90 peratus) seperti taska, tadika, pusat jagaan harian dan pusat tahanan.

Beliau berkata, demam campak dan cacar air adalah penyakit cegahan vaksin yang sangat mudah berjangkit melalui udara dan sentuhan langsung kepada titisan cecair pesakit.

Katanya, imunisasi demam campak akan diberikan kepada kanak-kanak pada umur sembilan dan 12 bulan, manakala imunisasi cacar air tidak termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Menurutnya, gerakan antivaksin turut memberi kesan kepada liputan imunisasi sehingga menyebabkan liputan itu boleh menurun sehingga kurang daripada 95 peratus.

Katanya data dari klinik kesihatan menunjukkan bilangan kes yang menolak vaksin dalam kalangan ibu bapa meningkat daripada 470 kes pada 2013 kepada 1,292 kes pada tahun 2014.

Dr Noor Hisham menarik perhatian bahawa campak dan cacar air adalah sejenis penyakit yang amat mudah merebak dan kanak-kanak yang dijangkitinya perlu diasingkan dan tidak dihantar ke pusat asuhan, taska, tadika atau sekolah.

Katanya, ibu bapa dinasihatkan bekerjasama dengan memastikan anak-anak mereka mendapat imunisasi, sama ada pada tarikh hari lahir pertama anak atau semasa kempen imunisasi campak dijalankan dalam komuniti.

“Tindakan bijak kita akan menurunkan risiko jangkitan campak dan mengurangkan keterukan penyakit serta mencegah kematian,” katanya.

- mSTAR

IKEA Malaysia Tarik Balik Dua Produk Coklat Gelap



IKEA Malaysia telah menarik balik dua jenis bar coklat gelap iaitu Choklad Mork 60 peratus dan Choklad Mork 70 peratus, selepas mendapati kandungan susu dan kacang hazelnya tidak diisytiharkan dengan jelas.

"IKEA amat mengutamakan keselamatan dan penarikan balik ini melibatkan semua Tarikh Terbaik Sebelum (BBD) bagi Choklad Mork 60 peratus 100g dan Choklad Mork 70 peratus 100g.

"Catatan BBD itu boleh ditemui di sebelah belakang pembungkusan bar coklat berkenaan (tahun/bulan/tarikh)," IKEA Malaysia berkata dalam satu kenyataan, Isnin.

"Individu yang alah kepada susu atau kacang hazel mungkin mengalami reaksi alahan jika memakan produk tersebut," katanya.

Menurut IKEA Malaysia, pelanggan yang alah kepada susu atau kacang hazel atau yang dinyatakan sebaliknya adalah dialu-alukan untuk memulangkan semula produk-produk yang terlibat di Pasar Makanan Sweden di gedung-gedung IKEA untuk bayaran balik sepenuhnya.

"Kami memohon maaf bagi sebarang ketidakselesaan yang timbul," katanya.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan Pelanggan IKEA pada talian 03-7952 7575.

Selasa, Jun 28, 2016

Rombakan Kabinet 2016: Noh Omar Dilantik Menteri Di KPKT



Rombakan Kabinet pada Isnin, 27 Jun 2016 menyaksikan penyusunan semula 10 portfolio melibatkan empat menteri dan enam timbalan menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara itu pada sidang media khas di Jabatan Perdana Menteri.

Penyusunan semula itu menyaksikan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Noh Omar dilantik semula dalam Kabinet sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pula memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan atas sebab peribadi, dan jawatan itu diganti oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani.

Najib berkata, rombakan Kabinet kali ini adalah bagi mengisi kekosongan menteri dan timbalan menteri Persekutuan.

"Ini akan mengukuhkan lagi pentadbiran sedia ada bagi memastikan agenda pembangunan kerajaan untuk rakyat iaitu pembangunan ekonomi, kebajikan dan keselamatan, terus berjalan dengan baik sebagaimana yang dijanjikan.

"Saya juga ingin memaklumkan akan ada penyusunan semula tugas Menteri-Menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri," jelasnya.

Dalam pengumuman itu Najib berkata, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab untuk Unit Perancang Ekonomi.

Kekosongan jawatan itu berikutan keputusan Tan Sri Abdul Wahid Omar untuk tidak melanjutkan perkhidmatannya sebagai senator.

Abdul Rahman sebelum ini merupakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Jawatan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi pula diisi oleh Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Perlantikan beliau bagi menggantikan Ahli Parlimen Betong, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang melepaskan jawatan tersebut selepas dilantik menjadi timbalan ketua menteri Sarawak, susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Mei lalu.

Siew Keong sebelum ini merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagi jawatan timbalan menteri, Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong dilantik menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beliau mengisi kekosongan jawatan itu selepas Datuk Seri Ahmad Bashah dilantik sebagai menteri besar Kedah.

Ahli Parlimen Silam, Datuk Nasrun Mansur pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Nasrun menggantikan Tan Sri Noriah Kasnon yang maut dalam nahas helikopter di Sarawak, Mei lalu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lee Chee Leong masing-masing bertukar portfolio.

Tee Yong yang merupakan Ahli Parlimen Labis kini dilantik sebagai Timbalan Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala Chee Leong yang juga Ahli Parlimen Kampar kini sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Selain Chee Leong, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz turut dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S.K Devamany pula dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Rombakan Kabinet yang terakhir diadakan pada Ogos tahun lalu yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal digugurkan dari Kabinet.

- mSTAR

Honda Sahkan Inflator Beg Udara Bahagian Pemandu Pecah Dalam Kemalangan



Honda Malaysia Sdn Bhd pada Isnin, 27 Jun 2016 mengesahkan inflator beg udara Takata Single Stage (SDI) bahagian pemandu pecah dalam kemalangan yang berlaku pada Ahad.

Dalam kenyataan, Honda berkata perkara ini disahkan semasa pemeriksaan oleh Polis Diraja Malaysia bahawa inflator beg udara SDI bahagian pemandu pecah dalam kemalangan melibatkan Honda City 2005 pada 26 Jun, 2016 di Selangor.

"Kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ini termasuk dalam Kemas Kini Produk Malaysia (dipanggil semula) diumumkan pada 21 Mei, 2015, yang memerlukan inflator beg udara Takata SDI bahagian hadapan pemandu diganti," katanya.

Sejak 2015, Honda berkata kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ini termasuk dalam panggilan semula bagi inflator beg udara Takata bahagian pemandu dan inflator beg udara Takata bahagian penumpang.

"Tiga notis panggilan semula telah dihantar kepada pemilik. Rekod kami menunjukkan pembaikan bagi panggilan semula itu tidak pernah selesai," katanya.

- mSTAR

Isnin, Jun 27, 2016

Fenomena Awan Aneh 'Rolling Cloud' di Sabah



Para guru serta murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Klias Kecil, Beaufort, kira-kira 97 kilometer dari Kota Kinabalu, Sabah, begitu takjub melihat fenomena awan aneh yang muncul secara tiba-tiba di kawasan mereka pagi Isnin, 27 Jun 2016 .

Fenomena yang dinamakan 'rolling cloud' yang jarang sekali berlaku itu muncul sejurus selesai perhimpunan pagi sekolah itu kira-kira pukul 7.35 pagi.

Para guru sekolah berkenaan tidak mensia-siakan kesempatan kehadiran fenomena itu lalu merakamkan gambar serta video kejadian tersebut sebelum dikongsi bersama rakan-rakan menerusi aplikasi WhatsApp.

Satu daripada video yang dirakamkan seorang guru SK Klias Kecil, Normahani Yaakup, yang dihantar kepada Bernama jelas memperlihatkan fenomena awan luar biasa itu dengan pergerakannya begitu cepat sehingga bentuk awan turut berubah dengan pantas.

"Semasa perhimpunan, keadaan cuaca cerah dan ada matahari. Tetapi selepas perhimpunan dan pelajar masuk ke kelas masing-masing, tiba-tiba cuaca menjadi redup.

"Saya pun keluar dan menyaksikan sendiri awan tersebut yang kelihatan seperti tembok tebal di langit dan bergerak begitu cepat dari arah Kuala Penyu ke pekan Beaufort," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Normahani, sebaik sahaja hujan turun tidak lama kemudian, bentuk aneh awan berkenaan pun berubah menjadi bentuk awan biasa.

"Inilah kali pertama saya melihat fenomena awan seperti ini di Klias Kecil. Guru-guru lain di sini pun hairan mengapa awan boleh menjadi begitu. Selepas kejadian itu, barulah kami menerima laporan keadaan cuaca di kawasan kami yang diramal mengalami ribut petir, hujan lebat bersama angin kencang," katanya.

Sementara itu, berdasarkan gambar-gambar yang diviralkan, ada awan berbentuk silinder menegak dan melintang seakan-akan puting beliung dan ada pula berbentuk tembok besar.

- Bernama

Ahad, Jun 26, 2016

Adabi Lancar e-Mall Jual Produk Secara Online




Pengeluar produk makanan tempatan, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi) memperkenalkan urus niaga atas talian, e-mall yang menawarkan lebih 100 produk keluaran syarikat itu.

Pusat beli-belah elektronik yang akan dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat ini akan lebih memudahkan orang ramai untuk mendapatkan produk Adabi.

Menurut Pengurus E-Commerce Adabi, Nurul Zuhaika Hairuddin, perkhidmatan online yang disediakan dapat memudahkan urusniaga jual beli dan menjimatkan masa.

"Ini adalah unit baharu dari Adabi dalam melaksanakan penjualan produk secara atas talian menggunakan laman sesawang.

"Produk Adabi sebenarnya terhad di pasaran jadi e-mall merupakan alternatif untuk memudahkan pengguna mendapatkan pelbagai jenis produk dengan lebih pantas, katanya.

Mempunyai 11 kategori produk, e-mall menawarkan pilihan kepada pengguna seperti kari, tepung, perencah dan pelbagai lagi.

Selain itu, terdapat empat menu utama disediakan iaitu beli, infomasi, tinjau dan ganjaran.

Pengguna bukan sahaja dapat membeli produk secara online, malah boleh mendapatkan info barangan, resepi masakan dan mengumpul mata pembelian untuk menikmati tawaran istimewa menerusi empat menu tersebut.

Selain itu, aplikasi e-mall juga bakal dilancarkan selepas Aidilfitri ini.

"Buat masa ini, sambutan dari pembeli online agak menggalakkan selepas ia diperkenalkan kepada media.

"Bagi aplikasi e-mall melalui telefon pintar pula akan dimaklumkan semasa majlis pelancaran rasminya," katanya.

Bagi anda yang ingin dapatkan produk Adabi secara online, boleh layari laman sesawang e-mall.adabi.com

Tunku Mahkota Johor Dikurnia Puteri Sulung


Gambar ihsan Facebook Johor Southern Tigers.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam dikurniakan cahaya mata pertama pada pagi Sabtu.

Kerabat diraja Johor terbaharu ini, seorang puteri dilahirkan di wad diraja Hospital Sultanah Aminah di Johor Baru.

"Yang Mulia Che Puan Khaleeda Bustamam dan puterinya kini dalam keadaan kesihatan yang baik," kata Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Puteri sulung pasangan diraja itu adalah cucu pertama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Tunku Ismail, 32 dan Khaleeda, 23 diijab kabulkan pada Oktober 2014.

- mSTARTunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam dikurniakan cahaya mata pertama pada pagi Sabtu.

Kerabat diraja Johor terbaharu ini, seorang puteri dilahirkan di wad diraja Hospital Sultanah Aminah di Johor Baru.

"Yang Mulia Che Puan Khaleeda Bustamam dan puterinya kini dalam keadaan kesihatan yang baik," kata Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Puteri sulung pasangan diraja itu adalah cucu pertama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Tunku Ismail, 32 dan Khaleeda, 23 diijab kabulkan pada Oktober 2014.

Puteri Sulung TMJ Diberi Nama Tunku Kalsom Aminah Sofiah
Anak sulung Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isterinya Che Puan Khaleeda Bustamam telah diberi nama Tunku Kalsom Aminah Sofiah Binti Tunku Ismail.

Perkara ini telah diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

"Che Puan Khaleeda dan puteri sulung baginda berdua yang diberi nama YAM Tunku Khalsom Aminah Sofiah binti Tunku Ismail berada di dalam keadaan sihat. Allah Peliharakan Sultan," katanya di laman Facebook Johor Southern Tigers.

- mSTAR

Sabtu, Jun 25, 2016

Pakar Motivasi Prof Izzi Meninggal Dunia



Pakar Motivasi Prof Izzi Meninggal Dunia

Profesor Madya Izzi Haji Ali yang terkenal dengan tazkirahnya di Hot FM meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada Jumaat akibat strok.

Jenazah pakar motivasi, Profesor Madya Md. Izuddin Ali atau lebih dikenali dengan Prof Izzi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Rusa, pagi Sabtu.

Jenazah Prof Izzi dikebumikan bersebelahan pusara ibu bapanya, Ali Ismail dan Maimon Abdul Rahman serta adik perempuannya, Zainon, pada 9 pagi.

Kira-kira 200 ahli keluarga, saudara mara, rakan taulan dan penduduk kampung hadir memberikan penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba dari Kedah diiringi isteri, Roziah Shafie, 48, dan dibawa ke rumah kakak sulungnya, Zaleha, 55, di Taman Bestari, Gong Badak kira-kira 4.30 pagi.

Jenazah Allahyarham kemudian disembahyangkan di Masjid Kampung Pulau Rusa pada 8 pagi.

Allahyarham sebelum itu dikejarkan ke Hospital Jitra, pada 11 Jun lalu selepas rebah ketika berwirid selepas menunaikan solat asar berjemaah di Masjid Al-A'la di Tanah Merah, Jitra.

Prof Izzi semasa hayatnya terkenal sebagai pakar motivasi yang popular dengan tagline 'renung-renungkan dan selamat beramal'.

Allahyarham juga adalah bekas pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis. 

- BERNAMA

Jumaat, Jun 24, 2016

Ahli KWSP Boleh daftar Skim Simpanan Shariah pada 8 Ogos



Selaras kehendak pelanggan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) mengumumkan pilihan simpanan persaraan baharu berteraskan konsep syariah.

Dijangka dilancarkan pada 1 Januari 2017, skim yang dikenali sebagai Simpanan Shariah itu akan dibuka pendaftaran untuk ahli KWSP mulai 8 Ogos depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata skim simpanan baharu itu terbuka kepada semua ahli tanpa mengira bangsa, agama dan kewarganegaraan.

"Susulan keputusan rundingan awam yang dijalankan KWSP tahun lalu, lebih 71 peratus responden bersetuju untuk mewujudkan opsyen supaya ahli boleh memilih sama ada simpanan mereka diuruskan berdasarkan prinsip syariah.

"Oleh itu, selaras dengan kehendak semasa ahli, KWSP dengan sukacita memperkenalkan Simpanan Shariah," katanya pada Majlis Penerangan Bersama Media mengenai skim baharu itu, di sini, sebentar tadi.

Shahril berkata, KWSP memperuntukkan dana permulaan RM100 bilion, iaitu kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP bernilai RM681.71 bilion sehingga akhir Mac lalu.

Katanya, pembabitan KWSP dalam pelaburan Islamik bukan perkara baharu kerana lebih 45 peratus atau RM295 bilion daripada jumlah aset pelaburan agensi itu adalah patuh syariah.

"Pada masa depan, kita menjangkakan perkembangan pelaburan aset syariah tidak kurang daripada RM25 bilion setahun secara purata atau seiring dengan kenaikan jumlah aset bagi mengekalkan minimum 45 peratus aset syariah.

"Proses mencarum dan penguatkuasaan semasa kekal sama. Justeru, ahli yang ingin menukar skim daripada Simpanan Konvensional kepada Simpanan Shariah perlu hadir membawa dokumen pengenalan diri ke mana-mana cawangan KWSP untuk pengesahan cap jari bermula dari 8 Ogos 2016.

"Peluang pendaftaran untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan 'siapa cepat dia dapat'. Oleh itu, ahli perlu mengemukakan permohonan sebelum 23 Disember ini dan ia tertakluk kepada ketersediaan dana RM100 bilion," katanya.

- KitaiKini