Jumaat, Julai 29, 2016

MH370: Maklumat Simulator Tidak Dedah Apa Yang Berlaku Dalam Kehilangan Pesawat



Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia mengemukakan pandangannya terhadap laporan media baru-baru ini berhubung siasatan FBI ke atas simulator penerbangan di rumah juruterbang pesawat MH370.

Laporan itu mencadangkan bahawa beliau merancang laluan ke selatan Lautan Hindi dan kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu adalah pembunuhan/bunuh diri yang sengaja dirancang.

Senario seperti ini bukanlah baharu dan pernah dilaporkan media sebelum ini, kata JACC dalam laporan operasi.

"Maklumat simulator menunjukkan hanya kemungkinan perancangan. Ia tidak  mendedahkan apa yang berlaku pada malam kehilangan pesawat berkenaan, atau pun di mana pesawat itu dikesan.

"Bagi tujuan menetapkan kawasan pencarian di bawah laut, fakta dan analisis berkaitan paling hampir sepadan dengan senario di mana tidak berlaku campurtangan juruterbang dalam peringkat seterusnya penerbangan itu," menurut laporan berkenaan.

Pesawat MH370 bersama 239 orang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

JACC berkata keterangan terbaik yang diperoleh berhubung lokasi pesawat itu adalah berdasarkan apa yang diketahui daripada komunikasi satelit terakhir dengan pesawat berkenaan.

"Komunikasi satelit terakhir dengan pesawat itu menunjukkan kemungkinan besar ia sedang dalam kadar penurunan yang tinggi di kawasan yang dikenali sebagai lengkok ke-7. Ini sememangnya konsensus Kumpulan Kerja Strategi Pencarian," menurut laporan itu.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa Malaysia, China dan Australia akan menangguh dan bukan menamatkan pencarian MH370 yang hilang itu sebaik sahaja selesai meliputi kawasan keutamaan pencarian seluas 120,000 km persegi.

Sehingga kini, pencarian meliputi kawasan lebih 110,000 km persegi.

- mSTAR

MH370 Menjunam Ke Dalam Laut Pada Kelajuan Hampir 400km Sejam


Penyiasat kemalangan dari Australia telah mendedahkan kepada AirlineRatings.com(http://www.airlineratings.com/news.php?s and id=739) bahawa data menunjukkan MH370 mungkin telah menurun pada tahap sehingga 20,000 kaki (6700 meter) seminit dalam detik-detik sebelum ia jatuh ke dalam laut bersama-sama 239 orang penumpang dan anak kapal.

Dalam temu bual beliau yang pertama selepas mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya bagi Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Greg Hood memberitahu AirlineRatings.com di Perth, Australia Barat, bahawa komunikasi satelit automatik dengan Boeing 777 pada minit-minit terakhirnya menunjukkan bahawa kadar penurunan pesawat itu meningkat secara mendadak daripada kira-kira 5,400 kaki (1200 meter) seminit sehingga 20,000 kaki (6700 meter) seminit.

Peningkatan besar itu menunjukkan bahawa tidak ada sesiapa sedang mengendalikan pesawat itu, kata beliau.

Wawancara eksklusif dengan AirlineRatings.com itu diadakan selepas beberapa media memetik satu laporan FBI yang dibuat dua tahun lalu mengenai satu program simulator penerbangan yang dimiliki oleh juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah di komputer di rumahnya yang mendakwa beliau telah meluncurkan pesawat Boeing 777 itu dalam satu pendaratan ke dalam air yang terkawal dan bahawa ATSB sedang membuat pencarian di tempat yang salah.

Encik Hood juga memberitahu AirlineRatings.com bahawa laporan FBI itu bukan sesuatu yang baharu.

"Kami telah mengetahui mengenai laporan FBI itu selama dua tahun dan ia telah dilaporkan secara meluas di dalam media pada masa itu. Ia bukan satu perkara baharu.

"Akan tetapi Encik Hood menegaskan kepada AirlineRatings.com bahawa laporan FBI itu hanya berkemungkinan menunjukkan terdapat perancangan dan mungkin niat, tetapi ia tidak memberitahu kita di mana pesawat itu berada.

"MH370 hilang dalam keadaan penuh misteri pada 8 Mac 2014, selepas perhubungan dari pesawat itu terputus semasa apa yang sepatutnya merupakan satu penerbangan rutin dari Kuala Lumpur ke Beijing.

"Walau bagaimanapun Encik Hood masih yakin untuk menemui MH370 pada bulan-bulan akan datang," katanya.

Ketua Pengarang AirlineRatings.com Encik Geoffrey Thomas berkata pendedahan baharu oleh ATSB ini "menjelaskan lebih banyak maklumat mengenai saat-saat akhir tragedi MH370 itu."

"Adalah amat penting bahawa ATSB, bagi pihak pasukan pencarian pelbagai negara itu, melenyapkan spekulasi yang merosakkan tentang apa yang mungkin atau tidak mungkin berlaku pada MH370," kata Encik Thomas.

Wawancara lengkap AirlineRatings.com bersama Encik Hood boleh diperolehi di sini: http://www.airlineratings.com/news.php?s and id=739


Maklumat mengenai AirlineRatings.com;

AirlineRatings.com ditubuhkan pada tahun 2013 dan merupakan satu-satunya laman web penarafan keselamatan dan produk di dunia.

Laman web itu mentakrifkan tahap keselamatan bagi 450 daripada syarikat penerbangan yang terbesar di dunia.


SUMBER: AirlineRatings.com

Khamis, Julai 28, 2016

Raja Pecut Baru Malaysia



Angka ‘18’ nampaknya membawa tuah kepada pelari pecut Melaka, Mohd. Khairul Hafiz Jantan.

Atlet berusia 18 tahun itu mencipta kejutan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-18 apabila memperbaharui rekod kebangsaan acara tersebut iaitu 10.30s yang juga sudah berusia 18 tahun.

Catatan yang dilakukan oleh Khairul pada perlumbaan akhir acara 100m di Stadium Sarawak, Petra Jaya itu juga ada kaitannya dengan angka ‘18’ iaitu 10.18s.

Pencapaian yang dilakukan oleh Khairul itu memusnahkan rekod lama milik bekas atlet Sarawak, Watson Nyambek yang melakukannya pada kejohanan Pra-Sukan Komanwel 1998 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pada perlumbaan semalam, Khairul yang berlari di lorong ketiga, mengetepikan cabaran dua lagi pencabar terkuatnya, Jonathan Nyepa (Sarawak) dan Badrul Hisyam Abdul Manap (Melaka) untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Melaka.

Jonathan dan Badrul yang melakukan catatan masa 10.36s pada perlumbaan tersebut, masing-masing mendapat perak dan gangsa.

Dalam aksi saringan pada sebelah pagi semalam, Khairul sekadar melakukan catatan masa 10.46s yang sudah cukup untuknya layak ke final.

Lariannya pada perlumbaan akhir itu ternyata berbeza apabila melakukan permulaan yang kemas dan pada pertengahan saingan, langkahnya semakin kemas untuk terus memecut tanpa dapat dicabar sehingga ke garisan penamat.

“Saya langsung tak jangka dapat pecahkan rekod (kebangsaan). Saya hanya berlari untuk mengejar masa, pencapaian ini memang tak pernah saya sangka.

“Gembira, memang gembira sebab rekod kebangsaan berusia 18 tahun sudah saya atasi,” ujar atlet Melaka tersebut ketika ditemui pemberita sejurus selepas pihak teknikal Sukma mengeluarkan catatan rasmi bagi acara berkenaan.

Ditanya mengenai faktor yang mendorongnya untuk melakukan catatan di luar jangkaan, Khairul berkata, beliau tidak pernah melupakan kewajipan mendirikan solat.

“Solat adalah kekuatan. Menghormati ibu bapa, jurulatih dan orang yang lebih tua juga menjadikan saya tidak berasa tertekan.

“Badrul juga antara pendorong terhadap keinginan saya untuk mencapai kejayaan. Dia banyak memberi dorongan kepada saya untuk buat yang terbaik. Saya anggap dia seperti abang kandung sendiri,” tambah pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor itu lagi.

Pada bulan Jun lalu, Khairul turut melakar nama selaku raja pecut Remaja Asia apabila meraih pingat emas acara 100m dengan catatan 10.36s pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2016 di Vietnam.

Dia juga merupakan satu-satunya wakil negara yang berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir acara 100m pada kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Poland minggu lalu dengan catatan masa 10.58s.

- Kosmo!

Rabu, Julai 27, 2016

Wanita paling ramai mendaftar perniagaan online dengan SSM



Golongan wanita terutama lepasan universiti dan suri rumah merupakan majoriti usahawan online yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Difahamkan, golongan wanita yang menjalankan perniagaan online mendaftar dengan SSM melebihi 50 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner berkata, kebanyakan wanita itu menjalankan perniagaan menjual kosmetik, kasut, jubah serta aksesori wanita.

Menurut beliau, lepasan universiti terutama wanita biasanya menjalankan perniagaan ini sementara mendapat pekerjaan tetap.

Sebenarnya, perniagaan online menjimatkan kos operasi kerana tiada premis.


17 Pengganas Sulu dipenjara seumur hidup



Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas sembilan warga Filipina yang menceroboh Lahad Datu sehingga menyebabkan 10 anggota pasukan keselamatan dan lebih 100 pengganas itu terkorban pada tahun 2013.

Hakim Stephen Chung menjatuhkan hukuman itu ke atas semua tertuduh yang digelar pengganas Sulu selepas mereka didapati bersalah mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua tertuduh ialah Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 53, Atik Hussin Abu Bakar, 45, Basad H. Manuel, 41, Ismail Yasin, 76, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, 52, Salib Akhmad Emali, 63, Al Wazir Osman, 61, Tani Lahaddahi, 63, dan Julham Rashid, 69.

Datu Amir, Salib, Tani, Julham dan Al Wazir turut dijatuhi hukuman penjara 18 tahun di bawah Seksyen 130KA Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan pengganas manakala Atik, Basad, Ismail dan Virgilio dipenjara 13 tahun di bawah seksyen yang sama.

Stephen kemudian mengarahkan ke­dua-dua hukuman ke atas semua tertuduh berkenaan berjalan serentak. Datu Amir merupakan anak lelaki kepada Sultan Sulu iaitu Esmail Kiram. Esmail dikatakan sudah meninggal dunia pada 2015.

- Kosmo!

Ahad, Julai 24, 2016

Bagan Datoh Kini Daerah Baru Di Perak


Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada Ahad bahawa Bagan Datoh dinaik taraf sebagai daerah penuh di Perak.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat hasil persetujuan bersama antara kerajaan negeri dengan Kabinet.

"Ini amat bermakna bagi kita semua yang berkumpul malam ini," katanya semasa berucap pada Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang dekat sini, yang dihadiri kira-kira 50,000 orang.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli juga menghadiri majlis itu.

Bagan Datoh diwartakan sebagai daerah ke-12 di Perak pada 15 Jun lepas dan sebelum ini ia terletak di bawah pentadbiran Daerah Hilir Perak.

Najib juga mengumumkan pembinaan sebuah jambatan bagi menghubungkan Bagan Datoh dengan Pasir Salak yang melibatkan peruntukan sebanyak RM350 juta, selain peruntukan RM150 juta bagi membina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Bagan Datoh.

"Saya juga umumkan RM90 juta bagi pembinaaan jalan dua hala menghubungkan Hutan Melintang dengan Bagan Datoh selain RM220 juta untuk pembinaan sebuah politeknik.

"Semua ini akan dilaksanakan selanjutnya. Alhamdulillah banyak rahmat orang Bagan Datoh dapat lagi-lagi bila Ahmad Zahid jadi Timbalan Perdana Menteri," katanya sambil disahut tepukan gemuruh hadirin.

- mSTAR

Isnin, Julai 18, 2016

Perodua lancar Kereta Kompak Bezza


Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melancarkan model Sedan pertamanya, Bezza. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata tempahan bagi Perodua Bezza kini dibuka dengan harga bermula dari RM37,300 bagi 1.0L standard G (transmisi manual) hingga RM50,800 bagi varian 1.3L Advanced (transmisi automatik).

Kami menjangka Perodua Bezza akan menjadi jualan terbaik kami, disasarkan bagi pembeli kereta gantian, khususnya pasangan pengantin baru dan keluarga muda, yang memerlukan ruang but lebih besar seiring dengan peringkat kehidupan mereka.

Pembangunan Bezza membabitkan RM300 juta dan mempunyai 95 peratus kandungan tempatan. Sedan kompak segmen "A" merupakan kenderaan Perodua pertama yang bahagian atasnya direka sepenuhnya oleh rakyat Malaysia, di kilang kenderaan cekap tenaga (EEV) nya, Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd.



Sedan tersebut dihasilkan dengan mengambil kira kualiti, keselesaan, keluasan ruang, kebolehpercayaan, kemampuan serta reka bentuk dan antara model yang mempunyai ruang but terbesar dalam pasaran dengan 508 liter dalam kelasnya.

Model tersebut mempunyai enam warna pilihan iaitu 'sugar brown', biru laut,'lava red', 'ebony black', 'glittering silver' dan 'solid ivory white'.

Khamis, Julai 14, 2016

Cara mengisytiharkan harta melalui HRMIS


Bagaimana sebenarnya untuk mengisytiharkan harta melalui laman web HRMIS?

1)Sila layari laman web http://www.eghrmis.gov.my
2 ) Klik Aplikasi HRMIS
3) – Masukkan no. kad pengenalan baru di ruangan ID Pengguna ; dan
–Masukkan password sendiri di ruangan Kata laluan ; kemudian Hantar
4)Pilih menu Pengurusan Rekod Peribadi .
5)Pilih menu Perisytiharan Harta
6) Pilih menu Maklumat Pendapatan Bulanan
7)– Tekan menu Tambah
– Isi maklumat-maklumat di ruangan TAMBAH PENDAPATAN BULANAN
  (contoh : gaji, elaun, sewa rumah yang diterima dll)
kemudian Simpan
8)-Pilih menu Maklumat Ansuran Bulanan
-Tekan menu Tambah
-Isi maklumat-maklumat di ruangan TAMBAH ANSURAN/POTONGAN  BULANAN
  (contoh : PTPTN, Pinjaman Peribadi, Insuran dll)
kemudian Simpan
9) -Pilih menu Kemaskini Maklumat Harta
-Tekan menu Tambah  dan isi ruangan di dalam menu  TAMBAH HARTA
-klik PEMILIK HARTA  kemudian klik Tambah
-pilih maklumat di ruangan TAMBAH PEMILIK HARTA  kemudian klik  Teruskan
-pilih menu Sumber Kewangan  / klik Yes Kemudian klik Tambah
-isikan maklumat di ruangan TAMBAH SUMBER KEWANGAN BARU
-klik petak & bulatan di ruangan Peminjam/Pembayar Ansuran
-kemudian klik Tambah
-isikan maklumat yang dikehendaki di ruangan TAMBAH ANSURAN BULANAN
-kemudian klik Simpan
10 ) Semak kesemua Maklumat Pendapatan Bulanan, Ansuran
Bulanan dan Kemaskini Maklumat Harta  yang telah dimasukkan.
Jika betul, pilih menu Hantar Perisytiharan Harta  untuk disokong oleh
Urusetia Perisytiharan Harta kemudian disahkan oleh Ketua Jabatan LPNM.


Selasa, Julai 12, 2016

Kutipan Tol di LPT 2 Mulai 15 Julai 2016



Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengumumkan kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) akan bermula pada jam 12.01 pagi 15 Julai ini (Jumaat).

Pihak kerajaan telah bersetuju kutipan tol dilaksanakan selepas Hari Raya Aidilfitri untuk mengambil kira kepentingan rakyat.

LPT 2 mula beroperasi sepenuhnya pada 31 Januari 2015 dan ia diuruskan oleh LPT 2 Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS Berhad). Syarikat tersebut bertanggung-jawab untuk melaksanakan operasi, penyenggaraan dan kutipan tol di lebuhraya pantai timur tersebut.

Di bawah ialah sedikit fakta mengenai LPT 2.

Beroperasi sepenuhnya pada 31 Januari 2015
Lebuhraya itu ialah sepanjang 184 km (dari Jabor, Pahang hingga ke Kampung Gemuroh, Trengganu)
LPT 2 ialah lebuhraya 4 lorong 2 hala
Ia mempunyai 10 persimpangan bertingkat
Ia mempunyai 3 kawasan rehat dan rawat (R&R)
Ia mempunyai 2 hentian sebelah

LPT 1 tidak berada di bawah operasi syarikat yang sama. LPT 1 berada di bawah syarikat ANIH Berhad

LPT 2 akan menggunakan sistem tol tertutup, sama seperti lebuhraya PLUS dan LPT 1 di mana kadar tol ialah berdasarkan jarak perjalanan.

Terdapat 10 plaza tol di sepanjang laluan lebuhraya LPT 2.

Plaza Tol Cheneh
Plaza Tol Chukai
Plaza Tol Kijal
Plaza Tol Kerteh
Plaza Tol Paka
Plaza Tol Kuala Dungun
Plaza Tol Bukit Besi
Plaza Tol Ajil
Plaza Tol Telemong
Plaza Tol Kuala Terengganu

Kadar tol permulaan LPT 2 ialah 12 sen/km bagi kenderaan Kelas 1 (kereta). Ini bermakna bagi perjalanan dari Plaza Tol Kuala Trengganu ke Plaza Tol Cheneh, kos tol ialah RM19.70.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi hotline Lembaga Lebuhraya Malaysia di 1800 88 7752

- careta.my

Khamis, Julai 07, 2016

Buku Menjual Perkhidmatan Di Internet



Tajuk Buku: Menjual Perkhidmatan Di Internet
3 langkah untuk menjana wang dan membina perniagaan Internet yang berjaya

Buku ini menerangkan teknik-teknik untuk menjual perkhidmatan anda di Internet dengan hanya melalui tiga langkah mudah. Ia memberikan tip-tip seperti cara-cara meningkatkan keyakinan pelawat terhadap laman web anda dan teknik-teknik mempromosikan laman web perkhidmatan anda.

Pengarang:
Osman Affan merupakan seorang professional trainer di dalam bidang Motivasi dan Kemahiran Belajar. Beliau juga telah ditauliahkan oleh Irfan Khairi Sdn Bhd sebagai seorang Certified Internet Business Trainer. Respon yang diterima untuk kursus motivasi beliau telah berlipat ganda sejak beliau menggunakan Internet untuk mempromosikan perkhidmatan beliau. Laman web beliau www.OsmanAffan.com merupakan contoh terbaik mengenai bagaimana anda boleh menjual perkhidmatan anda di Internet.

LANGKAH 1: TINGKATKAN TAHAP KEPERCAYAAN
Bahagian 1: Membina identiti perkhidmatan anda
Bahagian 2: 7 tip meningkatkan kepercayaan
Tip# 1 Tunjukkan bahawa anda seorang pakar
Tip# 2 Wujudkan keperluan diminda pelanggan
Tip# 3 Utarakan masalah
Tip# 4 Cipta keunikan
Tip# 5 Tonjolkan kebaikan
Tip# 6 Pujuk emosi, bukan fikiran logik pelanggan
Tip# 7 Kaitkan perkhidmatan anda kepada sesuatu yang sedia ada dipercayai

LANGKAH 2: BINA LAMAN WEB
Pengenalan
Nama domain (domain name)
Sewa ruang diInternet (web hosting)
Merekacipta laman web (web design)
Menerima bayaran di Internet

LANGKAH 3: TARIK PELAWAT
Pengenalan
Hebahkan tentang laman web anda
Tarik pelawat untuk masuk ke laman web anda
Kumpul e-mel pelawat laman web anda
Kesimpulan bagi ketiga-tiga langkah memasarkan perkhidmatan anda di Internet

TOPIK KHAS: 7 TIP MENTALITI USAHAWAN INTERNET
Pengenalan
Tip# 1 Mengesan peluang melalui matlamat
Tip# 2 Hapuskan halangan minda
Tip# 3 Tingkatkan kebolehan belajar
Tip# 4 Keluar dari zon selesa
Tip# 5 Bina jambatan ilmu
Tip# 6 Melabur untuk minda
Tip# 7 Bersyukur

Isnin, Julai 04, 2016

Plat F1 untuk Proton Perdana


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan meletakkan nombor pendaftaran kenderaan F1 yang dimenangi dengan bidaan bernilai RM836,660 pada kereta model terbaru Proton Perdana ­varian 2.4 milik baginda.

Sultan Ibrahim memasang sendiri nombor plat tersebut pada Proton Perdana baginda yang bernilai kira-kira RM138,888 itu di Istana Pasir Pelangi.

Sultan Johor kemudian memandu kereta Proton Perdana terbabit bersama Ahli Lembaga Pe­ngarah Proton Holdings Bhd., Datuk Zainuddin Che Din dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

Baginda memandu kereta tersebut dari Istana Pasir Pelangi menuju ke Istana Bukit Serene di Johor Bahru.

Kosmo! pada Sabtu lalu melaporkan Sultan Ibrahim berjaya memenangi bidaan ke atas nombor pendaftaran kenderaan F1 dengan nilai RM836,660 apabila keputusan bidaan itu diumumkan Bahagian Pelesenen Kenderaan Jabatan Pe­ngangkutan Jalan (JPJ).

Sebelum ini, baginda pernah memenangi bidaan nombor pendaftaran WWW1 dengan nilai RM520,000.

Sementara itu, bagi nombor pendaftaran F2 pula berjaya dibida pada nilai RM514,800 manakala F3 (RM344,300) dan F4 (RM250,000).

Nombor plat F12 berjaya dipe­roleh dengan nilai bidaan sebanyak RM110,000 oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V di bawah nama asal ba­ginda, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail.

Dalam pada itu, ibu pejabat JPJ dalam satu kenyataan berkata, dalam tempoh tempahan siri nombor pendaftaran F telah dibuka sejak 1 Jun lalu hingga 14 Jun lepas, JPJ menerima 11,683 borang tempahan.

Pada 28 Mei lalu, jutawan kosmetik ter­kenal, Datuk Seri Hasmiza Othman yang mesra dipanggil Datuk Vida sanggup membayar RM2 juta untuk memiliki nombor pendaftaran baharu Putrajaya yang bermula dengan F1 manakala Kuala Lumpur dengan V1.

- Kosmo!

Recent Posts