Sabtu, Mei 28, 2016

Jun Juara Ceria Popstar 2016



Peserta dari Sabah iaitu Siti Junaidah Bekri muncul sebagai juara program Ceria Popstar 2016 yang diadakan di Studio Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini, Jumaat.

Dengan kemenangan itu Siti Junaidah atau Jun menerima hadiah wang kemenangan sebanyak RM20,000 berserta trofi.

Jun turut menerima Anugerah Bintang Genius tajaan Qu Puteh IQ Genius dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan trofi.

Pada malam kemuncak itu, Jun menyampaikan dua buah lagu iaitu Sesal Separuh Nyawa dan Bahtera Merdeka pada pusingan battle.

Tempat kedua pula milik Muhammad Shahrezza Abu Samah atau Rezza dari Sarawak yang menyampaikan lagu Dealova dan Mewangi.

Rezza membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 berserta trofi.

Tempat ketiga dan keempat pula milik  Muhammad Aniq Iffat Ruzaimi dan Hazmil Hassan.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM5,000 berserta trofi.

Kesemua hadiah adalah sumbangan Astro.

Pada peringkat akhir itu, kesemua peserta perlu menyampaikan dua buah yang turut menyaksikan mereka membuat persembahan pada pusingan battle bagi menentukan juara.

Lagu pada pusingan penentuan itu dipilih oleh barisan juri.

Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan Awie bertindak selaku juri tetap manakala Zizan Razak sebagai juri jemputan.

Pemarkahan pusingan pertama menggunakan format penjurian profesional sebanyak 50 peratus manakala selebihnya adalah undian peminat.

Manakala menerusi pusingan battle adalah menerusi penjurian sepenuhnya oleh juri profesional.

Konsert kemuncak Ceria Popstar 2016 turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan Wings, Hazama dan Hafiz Suip.

Siaran langsung itu turut disiarkan menerusi Astro Ceria (611), Astro Maya HD (135) dan Astro Prima (105) pada pukul 9 malam.

- mSTAR

Dr Abdul Rani Calon PAS PRK Sungai Besar



PAS mempertaruhkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Abdul Rani Osman sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar 18 Jun ini.

Pengumuman berkenaan dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat malam.

Dr Rani merupakan seorang doktor perubatan dan memiliki sebuah klinik, Klinik Fitrah di Pekan Meru, Selangor.

Beliau yang memiliki ijazah dalam bidang perubatan daripada Universiti Tanta, Mesir menewaskan calon daripada Barisan Nasional Sukaiman Ahmad dengan majoriti 9,079 undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

PRK Parlimen Sungai Besar akan diadakan pada 18 Jun ini dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRU13, Allahyarham Noriah menewaskan lawannya daripada PAS, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain.

- mSTAR

Adun Sungai Panjang Calon BN PRK Sungai Besar



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Budiman, 44, adalah anak tempatan yang berasal dari Kampung Sungai Limau, dan juga Setiausaha ADUN BN Selangor.

Beliau, yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkahwin dengan Norma Aida Abdullah dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur 16 tahun.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013, Budiman menang kerusi DUN Sungai Panjang selepas menewaskan Mohd Fadzin Taslimin daripada PAS dengan majoriti 2,183 undi.

DUN Sungai Panjang berada di bawah Parlimen Sungai Besar. PRK Parlimen Sungai Besar diadakan pada 18 Jun 2016 ini dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun 2016, manakala pengundian awal pada 14 Jun 2016.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRU13, Allahyarham Noriah mendapat 18,695 undi dengan majoriti 399 undi mengalahkan calon PAS, Mohamed Salleh M.Hussin yang memperoleh 18,296 undi.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain.

Jumaat, Mei 27, 2016

Ulama Arab Saudi Larang Bergambar Dengan Kucing



Seorang  ulama warga Arab Saudi melarang mengambil gambar bersama kucing, dengan mendakwa "amalan itu terlalu kebaratan".

Portal Mirror melaporkan Sheikh Saleh Bin Fawzan Al-Fazwan membuat kenyataan itu semasa bersiaran di stesen TV.

Dia mendakwa bergambar dengan kucing, anjing atau haiwan lain tidak dibenarkan kerana bertentangan dengan negara Islam itu yang terlalu konservatif.

Menurut Sheikh, larangan itu dibuat bagi menghentikan lebih ramai menjadi sebahagian dalam "trend yang lebih kebaratan".

Memetik laporan Newsweek, Sheikh memberitahu stesen TV itu bahawa dia dimaklumkan mengenai "satu trend baharu mengenai mengambil gambar bersama kucing telah mula mempengaruhi mereka yang menjadi lebih kebaratan".  

- Mirror

Latihan Tepuk Tangan Bukan Arahan Kementerian Pendidikan


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mengeluarkan sebarang arahan supaya guru dan pelajar di Terengganu melakukan latihan tepuk tangan, kata timbalan menterinya Datuk P. Kamalanathan.

Beliau berkata sebaliknya arahan berkenaan dikeluarkan oleh Pengarah Pendidikan Negeri.

Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan arahan (berlatih tepuk tangan) sedemikian kerana ia bukan satu keperluan. Pandangan saya ia adalah arahan peribadi pengarah pendidikan negeri sendiri.

Bertepuk tangan adalah hak peribadi individu yang hadir dalam sesuatu majlis dan perkara ini tidak perlu diperbesarkan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan logo baharu 'Dengue Patrol 2016' di Shah Alam.

Kamalanathan berkata demikian ketika mengulas mengenai rakaman video yang tersebar di laman sosial menunjukkan guru dan pelajar di sebuah sekolah di Terengganu menjalani latihan tepuk tangan. 

Arahan itu didakwa dikeluarkan Pengarah Pendidikan Terengganu menerusi aplikasi WhatsApp yang meminta semua guru menjalani latihan tepuk tangan selama lima minit.

Jabatan Pendidikan Terengganu beri penjelasan

Jabatan Pendidikan Terengganu tampil memberi penjelasan berhubung arahan latihan tepuk tangan kepada guru dan pelajar yang menjadi viral di media sosial.

Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin memaklumkan arahan itu selaras dengan slogan memperkasakan transformasi pendidikan.

Antara perkara yang terkandung di dalam transformasi pendidikan tersebut termasuk memperkasakan budaya menghormati.

Di bawah elemen ini, kami memperkenalkan budaya salam, budaya berterima kasih, budaya memberi penghargaan kepada sesiapa yang memberi sesuatu kepada kita dengan memberi tepukan.

Apa yang saya minta cikgu lakukan hanya satu permintaan dalam kumpulan tertutup antara saya, pengetua dan guru besar. Permintaan untuk bertepuk tangan merupakan satu cara menceriakan sesuatu majlis rasmi. Saya amat kagum dengan apa yang berlaku di Terengganu kerana sekolah terus mengaplikasikan kepada murid, kata Shafruddin.

Isu ini timbul apabila arahan Shafruddin melalui aplikasi WhatsApp meminta guru besar dan pengetua mengadakan latihan tepuk tangan selama lima minit.

Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dalam kenyataan kepada sebuah portal berita memaklumkan arahan latihan tepuk tangan itu hanya satu gurauan.

Khamis, Mei 26, 2016

Semakan Keputusan Kemasukan Ke Politeknik 2016 Premier Konvensional METRO


Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan ke Politeknik Konvensional / METrO boleh dibuat mulai 26 Mei 2016 (Khamis) bermula jam 12 tengah hari : https://online.mohe.gov.my/upu/hebahan_spm_1617/

Portal Rasmi Bahagian Pengambilan Pelajar Pendidikan Politeknik (JPP) (Cetakan Tawaran): http://www.politeknik.edu.my/portalbpp/index.asp

Ahad, Mei 22, 2016

Denmark Catat Sejarah Pertama Kali Juara Piala Thomas

\\\


Denmark mencipta sejarah apabila memenangi pusingan akhir Piala Thomas buat kali pertama.

Selepas tewas dalam lapan pusingan akhir sejak kejohanan ini diadakan pada 1949, Denmark akhirnya berjaya menjulang Piala Thomas dengan menewaskan Indonesia 3-2 dalam perlawanan akhir.

Kemenangan ini sekali gus menjadikan Denmark sebagai negara Eropah pertama memenangi gelaran dunia dalam acara badminton berpasukan ini.

Denmark juga menjadi negara kelima yang berjaya memenangi Piala Thomas.

Wira dalam detik bersejarah Denmark ini adalah pemain perseorangan ketiga mereka, Hans-Kristian Vittinghus yang turun ke gelanggang sebagai penentu kemenangan setelah kedudukan terikat 2-2.

Vittinghus, 30 tahun tenang sepanjang perlawanan untuk menewaskan pemain Indonesia tidak berpengalaman berusia 21 tahun, Ihsan Maulana Mustofa 21-15, 21-7 sebelum kemenangan berpihak kepada pasukannya.

Terdahulu, Denmark telah memenangi dua mata, masing-masing melalui pemain perseorangan pertama dan kedua mereka, Viktor Axelsen dan Jan O Jorgensen.

Dua mata Indonesia diperolehi melalui pemain beregu mereka Mohd Ahsan-Hendra Setiawan dan Angga Pratama-Ricky Karanda Suwardi.


Berikut adalah keputusan penuh perlawanan:

Perseorangan pertama: Viktor Axelsen (DEN) mengalahkan Tommy Sugiarto (INA) 21-17, 21-18 (54 minit)

Beregu pertama: Mohd Ahsan-Hendra Setiawan (INA) mengalahkan Mads Pieler Kolding-Mads Conrad Petersen (DEN) 18-21, 13-21 (41 minit)

Perseorangan kedua: Jan O Jorgensen (DEN) mengalahkan Anthony Ginting (INA) 21-17, 21-12 (44 minit)

Beregu kedua: Angga Pratama-Ricky Karanda Suwardi (INA) mengalahkan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (DEN) 21-16, 21-14 (42 minit)

Perseorangan ketiga: Hans-Kristian Vittinghus (DEN)  mengalahkan Ihsan Maulana Mustofa (INA) 21-15, 21-7

Jumaat, Mei 20, 2016

Nombor Plat 'F' Untuk Putrajaya 'V' Untuk Kuala Lumpur


Kenderaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur akan menggunakan nombor pendaftaran (plat kenderaan) baharu masing-masing bermula dengan abjad 'F' dan 'V' mulai bulan Jun 2016.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata nombor pendaftaran berkenaan akan diikuti dengan nombor 1 hingga 9999.

Ketika ini, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur menggunakan nombor pendaftaran yang bermula dengan abjad diikuti nombor dan abjad semula.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan bulan Jun nanti untuk Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dilaksana selepas pelaksanaan di Putrajaya, katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen.

Beliau berkata pelaksanaan nombor baharu itu berikutan nombor pendaftaran sedia ada terlalu rumit untuk dibaca serta kurang mendapat sambutan kerana pemilik kenderaan memilih untuk membida nombor pendaftaran dari negeri lain.

Program Anti Rasuah Sebelum Tamat Pengajian Universiti


Program Anti Rasuah Sebelum Tamat Pengajian Di Universiti

Semua pelajar mungkin perlu menghabiskan penggal terakhir mereka di universiti dengan menyertai program anti rasuah sebelum memulakan karier masing-masing.

Di bawah program yang dirancang untuk semua institusi pengajian tinggi, pelajar akan diperkenalkan kepada senario dunia sebenar yang mungkin dihadapi mereka di alam pekerjaan.

Program kesedaran ini adalah antara langkah-langkah yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Pengarah bahagian Komunikasi Strategik SPRM Abdul Samat Kasah berkata pengenalan modul anti-rasuah bagi kursus-kursus tertentu, seperti kewangan atau kejuruteraan, di mana pelajar lebih cenderung untuk menghadapi cabaran itu juga sedang dalam perancangan.

"Modul ini akan ditanda aras dengan apa yang telah dilakukan di negara-negara lain," katanya kepada The Star.

Beliau menegaskan bahawa universiti tertentu, termasuk University of Sheffield di Britain mewajibkan subjek profesionalisme dalam kejuruteraan untuk pelajar tahun akhirnya.

Subjek itu menggabungkan kod etika, tadbir urus yang baik dan undang-undang mengenai rasuah.

Abdul Samat berkata ia juga termasuk kerja kursus, peperiksaan dan kelas selama satu jam untuk keseluruhan semester.

Sekolah kejuruteraan siswazah University of Sheffield  juga mempunyai modul Tingkah Laku Profesional dan Kelakuan Beretika.

Abdul Samat berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada langkah-langkah untuk membendung rasuah dalam masyarakat.

Beliau berkata, SPRM juga sedang bekerjasama dengan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) untuk mewujudkan manual pengajaran anti-rasuah bagi membantu guru-guru menyampaikan mesej.

"Manual ini hampir siap dan akan dihantar kepada Kementerian Pendidikan untuk kelulusan," katanya.

Pendekatan yang lebih halus sedang diambil untuk memupuk asas anti-rasuah di kalangan pelajar di peringkat sekolah rendah.

Abdul Samat berkata, SPRM, bersama-sama dengan bahagian buku teks Kementerian Pendidikan, turut melakukan tambah baik dalam buku teks untuk menyampaikan mesej di mana-mana bahagian yang sesuai.

"Ini termasuklah buku teks baharu untuk subjek moral, bahasa dan pengajian agama," katanya.

Langkah itu telah disambut baik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low.

"Ibu bapa perlu menjadi contoh. Mengajar generasi untuk tidak bertoleransi dalam rasuah perlu bermula dari rumah, "katanya.

Low mendakwa bahawa kaedah moden ibu bapa kini yang berorientasikan wang ringgit menyebabkan kanak-kanak mahu dihargai dengan wang dan material.

- mSTAR

Rabu, Mei 18, 2016

Daftar Masuk Sendiri Air Asia Sepenuhnya Di KLIA2



AirAsia melaksanakan proses daftar masuk sendiri sepenuhnya untuk kesemua penerbangan AirAsia dan AirAsia X yang berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) mulai 18 Mei, 2016 (Rabu). Justeru, kesemua kaunter daftar masuk di klia2 akan ditutup.

Menurut kenyataan AirAsia pada Selasa, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha syarikat penerbangan itu untuk memberi pengalaman perjalanan yang lebih lancar kepada semua pelanggannya.

Para tetamu dinasihatkan melakukan proses daftar masuk sendiri melalui pelbagai pilihan yang ada seperti web dan aplikasi mudah alih selain menggunakan kios yang terdapat di lapangan terbang, sebelum ke kaunter bagasi untuk mendaftar masuk bagasi.

Bagi penerbangan AirAsia, daftar masuk melalui web dan aplikasi mudah alih boleh dilakukan seawal 14 hari sehingga sejam sebelum waktu berlepas.

Sementara itu, bagi pelanggan AirAsia X pula mereka boleh melakukan daftar masuk melalui web dan aplikasi mudah alih seawal 14 hari sehingga empat jam sebelum perlepasan yang dijadualkan.

Maklumat lanjut mengenai AirAsia boleh dilayari di Facebook dan Twitter AirAsia atau layari airasia.com untuk melihat video tutorial serta mengetahui proses layan diri untuk perjalanan yang lebih cepat dan lancar.

Selasa, Mei 17, 2016

Pesawat Latihan TUDM Terhempas Di Pekan


Seorang jurulatih dan pelatih penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terselamat selepas pesawat latihan Aermacchi MB339CM terhempas di kawasan sawah padi di Kampung Serum, Pekan, Pahang pada Selasa, 17 Mei 2016.

Pesawat yang berpangkalan di TUDM Kuantan itu dilaporkan terhempas akibat kerosakan teknikal semasa mangsa menjalani latihan penerbangan.

Penguasa Kanan Bomba II Bahagian Operasi Pahang Ashrul Rezal Asbar berkata pelatih penerbangan Leftenan Mohd Hakimi Hairi patah kaki manakala jurulatih, Mejar Nazrul Hafiz Zaimi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kedua-dua mereka telah diambil oleh helikopter tentera pada pukul 1.37 tengah hari sejurus selepas kejadian itu.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 12.52 tengah hari sebelum satu jentera dengan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan bergegas ke tempat kejadian.

Ashrul Rezal berkata ketika anggota bomba sampai di lokasi, kedua-dua mangsa telah keluar daripada pesawat dan berada di tempat kejadian.

Pesawat berkenaan didapati rosak dan remuk di bahagian hadapan akibat terjunam di kawasan sawah padi.

Kedua-dua mangsa dilaporkan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), untuk mendapat rawatan lanjut.

- mStar

Recent Posts