Rabu, Julai 29, 2015

Senarai Penuh Kabinet Malaysia 2015



PERDANA MENTERI
Datuk Seri Najib Razak

TIMBALAN PERDANA MENTERI
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

MENTERI KEWANGAN: Datuk Seri Najib Razak
MENTERI KEWANGAN II: Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah
Timbalan Menteri: 1. Datuk Chua Tee Yong 2. Datuk Johari Abdul Ghani

MENTERI PERTAHANAN Datuk Seri Hishammuddin Hussein
Timbalan Menteri: 1. Datuk Mohd Johari Baharum

MENTERI DALAM NEGERI Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Menteri: 1. Datuk Nur Jazlan Mohamed
2. Masir Anak Kujat

MENTERI LUAR NEGERI Datuk Seri Anifah Aman Timbalan Menteri 1. Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI Datuk Seri Mustapa Mohamed

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri 2 Datuk Seri Ong Ka Chuan
Timbalan Menteri: 1. Datuk Ahmad Maslan 2. Senator Datuk Lee Chee Leong

MENTERI KESIHATAN Datuk Seri Dr S.Subramanian Timbalan Menteri 1. Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya
MENTERI PENDIDIKAN: Datuk Seri Mahdzir Khalid Timbalan Menteri: 1. P.Kamalanathan 2. Chong Sin Woon (Senator)

MENTERI PENGAJIAN TINGGI Datuk Seri Idris Jusoh Timbalan Menteri: 1. Datuk Mary Yap Ken Jin

MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz Timbalan Menteri: 1. Datuk Mas Ermieyati Samsudin

MENTERI PENGANGKUTAN Datuk Seri Liow Tiong Lai Timbalan Menteri: 1. Datuk Abdul Aziz Kaprawi

MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI: Datuk Amar Douglas Unggah Embas Timbalan Menteri: Datuk Noriah Kasnon

MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA Senator Datuk Seri Salleh Said Keruak Timbalan Menteri: 1. Datuk Jailani Johari

MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR: Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili Timbalan Menteri: 1. Datuk Seri Dr James Dawos Mamit

MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Timbalan Menteri: 1. Datuk Alexander Nanta Linggi 2. Datuk Ahmad Jazlan Yaakub

MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INNOVASI: Datuk Wilfred Madius Tangau Timbalan Menteri: 1. Datuk Dr Abu Bakar Diah

MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR: Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar Timbalan Menteri: 1. Datuk Ir Hamim Samuri

MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI: Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek Timbalan Menteri: 1. Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

MENTERI KERJA RAYA: Datuk Seri Fadillah Yusof Timbalan Menteri: Datuk Rosnah Rashid Shirlin

MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN: Datuk Hamzah Zainuddin Timbalan Menteri: Senator Datuk Paduka Ahmad Bashah Hanipah

MENTERI PEMBANGUNAN WANITA KELUARGA DAN MASYARAKAT Datuk Seri Rohani Abdul Karim Timbalan Menteri 1. Datuk Azizah Mohd Dun 2. Senator Datuk Chew Mei Fun

MENTERI SUMBER MANUSIA Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem Timbalan Menteri 1. Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib

MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor Timbalan Menteri 1. Datuk loga Bala Mohan

MENTERI BELIA DAN SUKAN Khairy Jamaluddin Timbalan Menteri 1. Datuk M Saravanan

MENTERI JABATAN PERDANA MENTERI 1. Datuk Seri Azalina Othman Said 2. Nancy Shukri 3. Senator Datuk Seri Wahid Omar 4. Datuk Wee Ka Siong 5. Datuk Seri Jamil Khir Baharom 6. Senator Datuk Seri Idris Jala 7. Tan Sri Joseph Kurup 8. Datuk Joseph Entulu Belaun 9. Datuk Seri Shahidan Kassim 10. Senator Paul Low Seng Kuan 11. Datuk Mah Siew Keong Timbalan Menteri 1. Datuk Razali Ibrahim 2. Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki


Khamis, Julai 02, 2015

TMJ terima jet peribadi untuk hadiah hari lahir


Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima sebuah jet peribadi daripada ayahandanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena hari ulang tahun kelahirannya ke-31 pada 30 Jun 2015.

Baginda memuat naik beberapa keping gambar sekitar majlis penyerahan pesawat itu di hangar peribadi Sultan Ibrahim di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada laman Facebook Johor Southern Tigers.

Sumber : Kosmo!



Agrobank jadi perbankan Islam


Agrobank secara rasmi menjadi sebuah Institusi Perbankan Islam bermula 1 Julai 2015, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebagai bank pertanian tunggal di negara ini, transformasi Agrobank daripada perbankan konvensional merupakan langkah terbaik bagi meneruskan visi dan misi untuk membantu golongan petani, penternak dan usahawan yang terlibat dalam sektor pertanian.

Beliau berkata, transformasi kepada perbankan Islam itu akan dapat melengkapkan rantaian penyediaan bekalan sumber dan hasil yang patuh syariah kepada pelanggannya.

Sumber : Kosmo!

Selasa, Jun 30, 2015

Siaran MyTv dilancar di Pantai Timur


Siaran televisyen digital atau Digital Terestrial Televisyen (DTT) dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara pada hujung tahun depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, sebagai permulaan MYTV Broadcasting (MYTV) selaku pihak bertangungjawab membangun dan menguruskan infrastruktur itu, telah memasang alat pemancar untuk siaran ujian di tiga tempat di pantai timur iaitu Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Bakar, Kelantan dan Bukit Pelindung di Kuantan.

"Kami menjangkakan pada Januari depan, semua daerah di Pantai Timur ini mula menerima siaran daripada MYTV Broadcasting (MYTV).

"Pemasangan set decoder di rumah-rumah yang terpilih telahpun dimulakan pada 17 Mei lalu dan ini adalah sebahagian fasa ujian MYTV di daerah-daerah berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pemasangan set dekoder siaran ujian MYTV di kediaman seorang daripada peserta siaran ujian berkenaan iaitu A Rahman Abu Bakar di Kampung Rumbia di Beserah, di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata, kempen siaran ujian MYTV akan diperluas ke Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat sebelum ke utara dan selatan Semenanjung dan seterusnya berakhir di Lembah Klang menjelang hujung tahun ini.

Untuk peringkat percubaan ini, katanya, sebanyak dua juta set dekoder percuma akan diedarkan di seluruh negara untuk diberikan kepada isi rumah yang terpilih.

"Antara kriteria yang ditetapkan untuk peserta menerima siaran ujian MYTV ini mereka mestilah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), e-Kasih, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta tidak melanggan perkhidmatan TV berbayar," katanya.

Beliau berkata, set dekoder yang diedar itu hanya bersifat sementara dan akan digantikan dengan dekoder sebenar MYTV secara percuma setelah perkhidmatan siaran TV digital dilaksanakan sepenuhnya pada awal tahun depan.

"Berdasarkan tinjauan tadi, saya amat berpuas hati kerana walaupun kualiti siaran adalah 'standard definition', namun ia hampir menyamai 'high definition' dan ini akan menjadi asas kepada siaran digital," katanya.

Ahmad Shabery berkata, buat masa ini sebanyak 40 penyiar telah menunjukkan minat terhadap platform yang disediakan oleh MYTV ini yang akan membolehkan pengguna menerima lebih banyak siaran percuma.

"Namun pengguna perlu faham tidak semua rancangan yang ada dalam siaran televisyen berbayar seperti Astro dan HyppTV ada di dalam siaran DDT kerana kami mempunyai pakej yang berbeza," katanya.

Kempen siaran percubaan MYTV ini membolehkan isi rumah yang terpilih menikmati semua saluran sedia ada seperti TV1, TV2, TV3, NTV7, TV8, TV9, dan TV AlHijrah dalam kualiti transmisi digital.

- Bernama

Selasa, Jun 23, 2015

Pemandu penyumbang utama kemalangan di LPT2


Pemandu penyumbang utama kemalangan di LPT2

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini menegaskan bahawa faktor manusia adalah punca utama menyumbang kepada kemalangan di jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2).
  
Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Ismail Md Salleh berkata faktor manusia seperti memandu dalam keadaan mengantuk, memandu melebihi had laju terutama pada waktu hujan, cuai serta gagal mematuhi arahan keselamatan adalah punca utama kemalangan di LPT2.
  
"Daripada 339 kes kemalangan di LPT2 antara 1 Feb hingga 2 Jun lepas, sebanyak 70 peratus atau 238 kemalangan berpunca daripada faktor manusia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
  
Beliau berkata, selebihnya merupakan faktor persekitaran iaitu 19 peratus atau 65 kemalangan termasuk pencerobohan haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau serta haiwan liar; juga terdapat lokasi air melintas dan faktor kenderaan sebanyak 11 peratus atau 36 kemalangan.
  
Ismail berkata, daripada jumlah kemalangan tersebut 10 kes adalah kemalangan maut, 25 kes melibatkan cedera parah, 58 kes melibatkan cedera ringan dan selebihnya tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
 
Beliau berkata, permukaan LPT2 berada dalam keadaan yang baik secara amnya, namun terdapat beberapa kawasan berlaku pemendapan terutama berdekatan struktur jambatan dan permukaan lebuh raya yang beralun di beberapa lokasi.
  
"Sebahagian lokasi berlaku mendapan dan beralun telah diperbaiki dan proses pembaikan secara keseluruhan akan dilakukan dalam masa yang terdekat," katanya.
  
Katanya, kerja-kerja penambahbaikan adalah di bawah tanggungan pihak kontraktor asal kerana ia masih dalam Tempoh Tanggungan Kecacatan.

Dalam pada itu, Ismail berkata LLM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil beberapa tindakan termasuk meningkatkan kekerapan rondaan, membaik pulih pagar rezab yang rosak, mengedarkan risalah kesedaran dan pemasangan papan tanda amaran di lokasi berlakunya pencerobohan haiwan. 
  
"LLM dan JKR juga telah mengenal pasti lokasi air melintas dan selekoh berbahaya dan akan menambah baik permukaan berturap, permukaan lebuh raya serta mengadakan langkah intervensi yang bersesuaian dengan kerjasama pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat," katanya. 

Sumber : Bernama
 

Isnin, Jun 22, 2015

AirAsia Tawar Tiga Juta Tempat Duduk Percuma


Promosi tempat duduk percuma AirAsia  kembali lagi dengan tiga juta tempat duduk ditawarkan untuk penerbangan AirAsia dan AirAsia X terpilih di seluruh rangkaian laluan syarikat penerbangan itu.

Promosi tambang termasuk semua itu dari serendah RM9.54 termasuk cukai dan fi sehala.

"Tempat duduk percuma kami kembali lagi dan kami berharap lebih ramai akan mengambil peluang ini untuk melakukan perjalanan dan meneroka tempat baharu.

"Ini merupakan waktu yang sesuai untuk pengguna kami merancang percutian dan perjalanan mereka untuk tahun depan," kata Ketua Pegawai Komersial Kumpulan  Siegtraund Teh dalam kenyataan pada Ahad.

Bagi promosi tersebut, pengguna hanya perlu membayar cukai dan fi yang dikenakan manakala tempat duduk adalah percuma.

Tempat duduk promosi ini sedia untuk tempahan dari 22 Jun hingga 28 Jun, 2015, bagi perjalanan dari 15 Feb hingga 31 Ogos, 2016.

Tempat duduk percuma itu untuk pelbagai destinasi domestik dan antarabangsa dari Kuala Lumpur dan hab lain AirAsia di Pulau Pinang, Johor Baharu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Promosi tambang termasuk semua serendah RM129 sehala juga boleh didapati untuk destinasi seperti Perth, Melbourne, Chengdu, Seoul dan Tokyo.

Pengguna juga boleh menikmati kemewahan pada harga berpatutan dengan Kelas Perniagaan AirAsia X yang menawarkan tambang termasuk semua dari serendah RM699 sehala ke Perth, Xi'an, Taipei, Osaka dan Colombo dari Kuala Lumpur.

Promosi tempat duduk percuma ini boleh didapati dalam talian di www.airasia.com, aplikasi mudah alih AirAsia di iPhone dan peranti Android, dan juga laman web mudah alih AirAsia di mobile.airasia.com.

Promosi tersebut menawarkan Penebusan Keutamaan bagi Ahli Kesetiaan BIG AirAsia pada hari ini, sehari awal sebelum promosi Tempat Duduk Percuma itu ditawarkan kepada umum..

Program kesetiaan global AirAsia BIG akan menawarkan penebusan penerbangan dari 0 Mata BIG untuk sehala ke destinasi terpilih sepanjang promosi Tempat Duduk Percuma ini.

Ahli dengan Mata BIG yang tidak mencukupi juga boleh memilih untuk membayar dengan Mata BIG dan pilihan Tunai atau memindahkan mata kepada atau daripada rakan-rakan dan keluarga yang merupakan ahli BIG.

Ahli BIG juga boleh menggunakan Mata BIG untuk menebus hidangan dalam penerbangan dan bagasi.
 

Khamis, Jun 18, 2015

Penjawat awam terima bonus raya 2015 RM500


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bayaran bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 54 ke bawah sebagai persiapan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, bantuan khas tersebut juga dinikmati oleh 700,000 pesara kerajaan yang menerima pencen dengan bayaran sebanyak RM250.

“Kedua-dua pembayaran ini akan dibuat pada 25 Jun ini melibatkan anggaran implikasi kewangan berjumlah RM1 bilion,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-14 (MAPPA XIV) bertemakan Mendepani Realiti Baharu Negara: Pertumbuhan Melalui Produktiviti dan Inovasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Bagi penjawat awam gred 41 dan ke bawah pula mereka mendapat khabar gembira berganda apabila Perdana Menteri turut mengumumkan kenaikan kadar terendah elaun imbuhan tetap perumahan iaitu daripada RM180 sebulan kepada RM300 sebulan.

Najib berkata, tidak terkecuali bantuan khas kewangan sempena Ramadan dan hari raya itu juga dinikmati oleh lebih 700,000 pesara kerajaan yang menerima pencen dengan bayaran RM250.

“Pembayaran bantuan khas kewangan ini akan dibuat pada 25 Jun membabitkan anggaran implikasi kewangan RM1 bilion,” katanya.

Beliau mengumumkan dua khabar gembira itu ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-14 (MAPPA XIV) bertemakan Mendepani Realiti Baharu Negara: Pertumbuhan Melalui Produktiviti dan Inovasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri-Menteri Kabinet; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Berhubung kenaikan kadar terendah elaun imbuhan tetap perumahan, Najib berkata, kadar baharu itu berkuatkuasa 1 November ini, melibatkan lebih 1.1 juta kakitangan awam (gred 41 ke bawah).

Beliau berkata, keputusan itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.04 bilion setahun.

“Bagi penjawat awam yang mendiami kuarters pula yang selama ini tidak menikmati imbuhan tetap tersebut, mereka turut mendapat faedah sebanyak 25 peratus daripada kadar imbuhan tetap perumahan sebenar yang layak bagi mereka,” katanya.

Sumber : Utusan

 

eRezeki bantu jana pendapatan


Kerajaan terus membela nasib golongan isi rumah berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan (B40) melalui pelancaran eRezeki, sebuah program menjana pendapatan tambahan menggunakan teknologi digital dikhaskan kepada kumpulan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program berkenaan yang berkonsepkan penyumberan awam akan memberi latihan kemahiran percuma dalam bidang digital kepada golongan B40 sebelum mereka diberi tugasan yang menawarkan bayaran lumayan daripada syarikat-syarikat digital di pasaran.

Katanya, kebanyakan tugasan boleh dilakukan dari rumah seperti memasukkan data ke dalam sistem komputer, menyemak kesesuaian gambar dan transkripsi video atau audio sebelum diterbitkan.

Katanya, program transformasi nasional yang dikendalikan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) itu bakal menjana pendapatan golongan B40 daripada RM2,500 sebulan ketika ini kepada RM5,000 sebulan menjelang 2020.

“Saya yakin program ini akan menjadi senjata ampuh kepada kerajaan membela nasib golongan B40,” katanya berucap pada Pelancaran Program Jana Pendapatan Tambahan eRezeki.

Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Yasmin Mahmood.

Katanya, sebagai permulaan, MDeC membuka empat pusat latihan atau Pusat eRezeki di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Terengganu manakala 11 lagi dibuka di seluruh negara akhir tahun ini.

“Program ini boleh disertai pelajar, siswazah menganggur, suri rumah, pesara dan warga emas.”

Sumber : Utusan

Tingkatan 6 diasing dari sekolah arus perdana


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pem­belajaran Tingkatan Enam yang berkongsi bangunan dengan sekolah harian akan dikurangkan beransur-ansur sehingga setiap Pusat Tingkatan Enam di seluruh negara memiliki premis dan pentadbirannya sendiri.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika ini terdapat tiga jenis Pusat Tingkatan Enam iaitu Mod 1 iaitu pelajar diasingkan dan ditempatkan dalam premis tersendiri, Mod 2 (pusat berkongsi premis dengan sekolah tetapi mempunyai bangunan sendiri) dan Mod 3 (pusat berkongsi premis dan bangunan dengan sekolah).

“Berdasarkan perancangan, bilangan Pusat Tingkatan Enam Mod 3 akan beransur-ansur berkurangan. Akhirnya, hanya Pusat Tingkatan Enam Mod 1 sahaja yang beroperasi di seluruh negara dengan setiap Pejabat Pendidikan Daerah mempunyai sekurang-kurangnya satu Pusat Tingkatan Enam Mod 1,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Pusat Tingkatan Enam Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Mahkota, Kepong di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Khairil Awang.

Menurut Muhyiddin, jumlah Pusat Tingkatan Enam Mod 1 di seluruh negara ketika ini adalah sebanyak enam buah termasuk SMK Desa Mahkota manakala Pusat Tingkatan Enam Mod 2 adalah sebanyak 47 buah.

“Saya percaya, dengan melaksanakan pembelajaran Tingkatan Enam secara berpusat, imej dan minda pelajar akan dapat dibentuk dan mempunyai identiti tersendiri, berkeyakinan tinggi dan berkebolehan. Ini amat penting sebagai persediaan awal sebelum menempuh pembelajaran peringkat tinggi di universiti,” katanya.

Ujarnya, menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), kementeriannya merancang untuk menyediakan prasarana dan infrastruktur lebih lengkap bagi melaksanakan Pusat Tingkatan Enam Mod 1 dan Mod 2 di seluruh negara.

Jelas beliau, pelan tindakan penjenamaan semula Tingkatan Enam dilaksanakan dengan melibatkan lima fokus utama iaitu imej dan anjakan minda, infra dan infostruktur, pengurusan pentadbiran, mod pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan kurikulum.

“Seperti yang kita sedia maklum, peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diiktiraf oleh ‘Cambridge Assessment’, United Kingdom. Ini bermakna, STPM diiktiraf oleh badan antarabangsa dan pelajar Tingkatan Enam adalah setaraf dengan lulusan prauniversiti lain,” kata­nya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, perubahan struktur pentaksiran STPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) daripada pendekatan terminal kepada modular adalah selari dengan kaedah pembelajaran di universiti yang turut merangkumi kuliah, tutorial, praktikal dan kerja kursus.

“Pelajar Tingkatan Enam ini menggunakan pakaian yang berbeza dengan pakaian sekolah harian biasa, menggunakan jadual waktu yang berbeza, tenaga pengajar khusus dan diletakkan dalam kategori berlainan berbanding sekolah arus perdana,” katanya.

Sumber : Utusan
 

Kadar elaun tetap perumahan naik

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kenaikan kadar terendah elaun imbuhan tetap perumahan kakitangan awam daripada RM180 kepada RM300 berkuatkuasa pada 1 November 2015.

Beliau berkata, kadar baharu yang diumumkan itu akan membabitkan 1.1 juta kakitangan awam gred 41 ke bawah selain melibatkan implikasi kewangan negara sebanyak RM1.04 bilion setahun.

Bagi kakitangan awam yang mendiami kuarters dan mereka selama ini tidak menerima faedah elaun perumahan juga akan menerima bayaran 25 peratus daripada kadar baharu imbuhan tetap perumahan yang baharu ini.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-14 (MAPPA XIV) bertemakan Mendepani Realiti Baharu Negara: Pertumbuhan Melalui Produktiviti dan Inovasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sumber : Utusan

Recent Posts