Jumaat, Julai 19, 2013

Zakat memupuk sifat dermawan

Ceteknya pengetahuan mengenai agama menyebabkan ramai umat Islam yang mengambil remeh tentang kewajipan berzakat. Mereka seakan-akan terlupa, harta yang diperoleh mempunyai nilai yang perlu dijelaskan sebagai salah satu cara membersihkan pendapatan.

Eksekutif muda dari selatan tanah air, Ridhwan Hanafi Shahnawi, 24, tidak mengetahui bahawa zakat tidak hanya dibayar pada bulan Ramadan. Malah, ada zakat lain yang wajib dijelaskan jika cukup syarat.

"Selama ini, saya hanya mengetahui pembayaran zakat dilakukan pada bulan Ramadan. Sebab itulah saya tidak mengambil berat mengenai perkara ini kerana berasa belum layak untuk menunaikan tuntutan itu," ujarnya ketika ditanya berkenaan ibadah zakat terutamanya zakat harta.

Tanpa disedari, kecetekan pengetahuan Ridhwan sebenarnya turut dikongsi oleh sesetengah umat Islam yang lain. Lebih mengecewakan, terdapat juga golongan dewasa yang tidak mempedulikan rukun Islam keempat itu.

Ini diakui oleh Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan, Nor Mukshar Harun.

"Ada yang berjumpa kami dengan pertanyaan bukankah zakat dibayar pada bulan Ramadan sahaja?

"Saya terkejut kerana masih ramai yang tidak mengambil tahu kepentingan membayar zakat harta," kata Nor Mukshar ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Sebenarnya, zakat mempunyai banyak cabang, tidak terhad kepada zakat fitrah sahaja. Jenis zakat yang lain ialah zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat wang simpanan, zakat saham, zakat KWSP, zakat emas, zakat perak, zakat pertanian dan zakat ternakan.

Sehubungan itu, masyarakat perlu menjalankan tanggungjawab dengan membayar zakat setiap tahun. Hakikatnya, zakat tidak membebankan pembayar kerana jumlahnya bergantung kepada kemampuan mereka.

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam. Hasil kutipan tersebut akan diagih-agihkan kepada lapan golongan asnaf termasuklah fakir, miskin, amil dan mualaf.

Cukup syarat

Zakat pendapatan merupakan salah satu daripada zakat harta yang dikenakan berdasarkan pendapatan yang diperoleh seseorang.

Apabila cukup syaratnya, mereka perlu membayar dalam satu amaun mengikut perkiraan yang telah ditetapkan.

Secara umum, kadar bayaran zakat pendapatan ialah 2.5 peratus daripada pendapatan yang wajib zakat. Sebagai contoh, jika pendapatan yang layak dizakat ialah RM24,000, nilai zakat yang wajib dikeluarkan ialah sebanyak RM600.

Sementara zakat fitrah pula hanya dibayar pada bulan Ramadan.

Kewajipan itu berpandukan kepada firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 60 yang bermaksud:

"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil dan mualaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan."

Kutipan zakat tersebut secara tidak langsung dapat menjana ekonomi umat Islam dengan memberi bantuan kewangan kepada perniagaan di samping sebagai kelangsungan hidup golongan penerima.

"Saya mengibaratkan pembayaran zakat ini seperti lalang yang tumbuh di celah-celah tanaman. Jika tidak ditebas, pokok-pokok lain tidak dapat hidup untuk membuahkan hasil," ujar penceramah bebas, A. Ubaidillah Alias ketika dihubungi Kosmo!.

Jelasnya, zakat merupakan satu cara untuk memupuk sifat dermawan dalam diri umat Islam. Ia mentarbiah seseorang untuk membudayakan zakat dalam kehidupan mereka.

"Hikmah zakat ini sangat halus. Ia dapat mengajar kita untuk memberi walaupun sedikit," kata Ubaidillah.

Menurut pandangan penulis novel berciri Islam itu, kefahaman orang ramai terhadap pecahan zakat harta sebenarnya amat jelas, tetapi mereka mengelak kerana tidak mahu melunaskan tanggungjawab.

"Saya yakin semua orang tahu mengenai zakat, tidak kira fitrah atau harta. Ia mempunyai konsep yang sama seperti cukai pendapatan.

"Sikap tidak ambil peduli segelintir masyarakat kita menyebabkan peratusan pembayar zakat harta agak rendah berbanding zakat fitrah," tambah Ubaidillah.

Perkara itu turut diperakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ, Mohd. Rais Alias.

"Boleh dikatakan hampir 99 peratus umat Islam membayar zakat fitrah tetapi ramai yang tidak memberi perhatian terhadap zakat harta," kata Mohd. Rais.

Perbezaan ketara antara kedua-dua zakat itu ialah jumlah bayaran. Zakat fitrah dibayar mengikut jumlah yang telah ditetapkan manakala zakat harta bergantung kepada pendapatan individu tersebut selain menepati syarat-syarat utama.

Kutipan zakat harta oleh PPZ jauh lebih banyak berbanding zakat harta iaitu RM402.8 juta pada tahun lalu. Zakat fitrah pula hanya antara RM8 juta hingga RM9 juta.

"Jumlah yang besar itu dapat membantu lebih ramai umat Islam. Justeru, penekanan terhadap zakat harta sangat penting tanpa menolak kepentingan zakat fitrah," jelas Mohd. Rais.

Pendekatan baharu

Sehubungan itu, PPZ mengambil pendekatan baharu dalam memberi informasi mengenai zakat antaranya menggunakan selebriti sebagai pengantara.

"Beberapa bulan lalu, kami mengadakan ceramah agama di kawasan tumpuan ramai dengan menjemput selebriti seperti Diana Amir, Sham Kamikaze dan Yatt Hamzah. Dalam bercerita perihal kehidupan mereka, panel turut menyelitkan kepentingan zakat dalam kehidupan.

"Walaupun ia tidak menyeluruh, tetapi objektifnya sampai kepada pendengar. Kaedah konvensional tidak sesuai dengan situasi sekarang," jelasnya.

Dalam masa sama, kemajuan teknologi turut diselarikan dengan mewujudkan laman web www.zakat.com.my yang kemas kini. Pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini, cara pembayaran dan menyelesaikan perkara berbangkit dengan mudah.

Bagi mereka yang masih ragu-ragu sama ada perlu atau tidak membayar zakat, laman web tersebut juga menyediakan sistem taksiran peribadi yang hanya memerlukan pengguna memasukkan maklumat kewangan. Ia akan membuat pengiraan jumlah zakat yang perlu dijelaskan.

"Di samping itu, mereka boleh memuat turun aplikasi iZakat dalam telefon pintar untuk mengakses informasi berkaitan zakat," kata Mohd. Rais.

- KOSMO!





Rabu, Julai 17, 2013

Jawatan Kosong Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) - Tarikh Tutup : 31 Julai 2013

JAWATAN:
1. PEGAWAI UNDANG-UNDANG
2. PEGAWAI TADBIR
3. PEGAWAI KEWANGAN
4. PENOLONG PEGAWAI KESELAMATAN
5. PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN
6. PEMBANTU KESIHATAN AWAM

IKLAN JAWATAN:
http://e1.uthm.edu.my/pp/perjawatan/

Tarikh Tutup : 31 Julai 2013




Jawatan Kosong Universiti Teknologi Malaysia (UTM) - Tarikh Tutup : 25 Julai 2013

JAWATAN:
1. PEGAWAI SAINS (CA41)
2. PELUKIS PELAN (JA17)
3. PENGAWAL KESELAMATAN (KP11)
4. PEMBANTU TADBIR (P/O) (NA17)
5. PEMANDU KENDERAAN (RA03)
6. PEGAWAI PERPUSTAKAAN (SA41)

IKLAN JAWATAN:
https://hrfin.utm.my/smuhr/portaliklan/portaliklan.do?action=displaySenaraiIklan

Tarikh Tutup : 25 Julai 2013


Jawatan Kosong Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang - Tarikh Tutup : 31 Julai 2013

Wajah komersial Muslihah


Tidak sukar menzahirkan apa yang terniat di hati dengan Muslihah Hassan. Gadis berusia 19 tahun ini seakan bijak 'membaca' fikiran penulis dalam menterjemahkan apa yang dimahukan menerusi liuk lentok gerak gaya persis seorang model profesional.

Lalu segala arahan tidak perlu diperincikan kerana dia memahami apa yang dikehendaki jurugambar, Mohd Najib Mohd Nor. Malah dia turut membuktikan bahawa dirinya bukan sekadar model yang ibarat patung membiarkan diri dihias seadanya.

Muslihah menyerlahkan lagi kebijaksanaannya dalam meneroka gaya pemakaian selendang dengan caranya tersendiri.

Gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, sebenarnya tidak asing dalam dunia peragaan busana muslimah, walau baru melangkah ke dunia fesyen kira-kira dua tahun lalu.

Muslihah ternyata mempunyai bakat dan masa depan yang cerah dalam bidang tersebut.

Membahasakan diri sebagai Iha, dia cukup berterima kasih kepada pemilik Sesuci Bridal Boutiqe, pasangan isteri yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Aza dan Abang Amer, yang membawanya ke dunia peragaan.

"Mereka yang bertanggung jawab membawa Iha ke dunia peragaan . Sudah tentu pertama kali Iha menggayakan pakaian dari butik mereka iaitu.

"Perasaan ketika itu sungguh teruja maklum saja baru habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan dapat pula peluang menjadi model.

"Kak Aza yang mengenal pasti kebolehan Iha selepas melihat Iha yang ketika itu menolong kakak di sebuah restoran di Johor Bahru. Kami bertukar nombor telefon dan itulah titik permulaan Iha bergelar model.

"Memang Iha tak sangka dapat peluang itu kerana sejak kecil suka tengok peragawati bergaya dan suka disolek dan bergambar. Akhirnya tak sangka dunia peragaan menjadi sebahagian daripada diri Iha sekarang," jelasnya panjang lebar.

Sejak itu Iha makin dikenali dan sering dijemput untuk memperagakan pakaian atau hijab dari butik-butik terbaru di pasaran.

Iha tidak menafikan berasa amat bertuah kerana dapat memberikan yang terbaik buat perniagaan usahawan Melayu sendiri.

"Walaupun Iha biasa bergambar, tetap ada cabarannya yang tersendiri apatah lagi jurugambar mempunyai cita rasa mereka masing-masing.

" Memang adakalanya penat, namun pengalaman mengajar Iha mengetahui apa yang dimahukan setiap jurugambar yang bekerjasama dengan Iha. Tidak dapat dinafikan, dunia peragaan menyerlahkan lagi keyakinan diri Iha dan menjadikan Iha seorang yang peka dengan perubahan semasa dunia fesyen," katanya.

Ramadan orang bujang

Sementelah sesi fotografi berlangsung di awal Ramadan, tidak lengkap rasanya temu bual dibuat tanpa menyentuh tentang bulan mulia ini.

"Ramadan Iha pada tahun ini bersama rakan-rakan serumah. Seperti biasa kami akan berebut-rebut untuk memasak untuk juadah berbuka," ujar Muslihah penuh teruja.

Muslihah juga akan pulang ke rumah kakaknya yang terletak di Gombak, Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu untuk berpuasa bersama kakak dan keluarganya.

"Sejujurnya, Iha sangat rindu untuk bersahur dan berbuka bersama mama dan abah di kampung, begitu juga dengan kuih-muih di Kelantan. Sambutan Hari Raya Aidilfitri pula akan di sambut beramai-ramai bersama keluarga di kampung halaman Iha iaitu di Kota Bharu, Kelantan. Semoga sambutan hari raya pada kali ini lebih seronok berbanding sebelum ini," ujar anak keempat daripada lima beradik ini.

Facebook Muslihah Hassan : http://www.facebook.com/siti.muslihahii
 
- UTUSAN



Selasa, Julai 16, 2013

Teliti memilih kawan

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

Adakah kita sedar betapa besarnya pengaruh kawan dalam hidup kita? Pengaruh ini sangat besar, jika tidak berhati-hati dan kukuh jati diri, tidak mustahil kita boleh terikut-ikut budaya yang dibawa oleh kawan. Inilah sebabnya bekas penagih yang tamat latihan di pusat Serenti kembali mengambil dadah apabila tidak mampu menepis godaan kawan lama.

Berapa ramai anak remaja kita yang terjerumus ke kancah gejala sosial sehingga ada ponteng sekolah, terlanjur mengandung anak luar nikah, terbabit dalam pelbagai kes jenayah baik kecil mahupun besar dan tidak sedikit lari dari rumah akibat pengaruh seseorang yang dipanggil kawan.

Dalam mencari kawan, kita memang perlu berhati-hati dan menjadi sedikit ‘pemilih’. Memang benar kita tidak sepatutnya ‘pilih bulu’ dalam berkawan, tetapi sebaiknya carilah kawan yang boleh bersama-sama membawa kita kepada kebaikan.

Rasulullah SAW sendiri banyak memberi pesanan berkaitan mencari kawan seperti yang berbunyi: “Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” (Hadis riwayat al-Hakim).


Dalam satu riwayat lain, Rasulullah bersabda: “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.” (Hadis riwayat Abu Daud).


Hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dari pada Abu Musa al-Asy’ari pula bermaksud: “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”

Namun dalam memilih kawan, ada kalanya kita terkeliru untuk mengenal peribadinya. Antara beberapa panduan mengenali jenis kawan ialah:


1. Bijak mengambil kesempatan.

Kawan seperti ini bijak menggunakan kita untuk kepentingannya sama ada membabitkan harta benda, adik-beradik, kelebihan kita ataupun kawan lain yang dianggap boleh memberi manfaat kepadanya. Orang seperti ini biasanya agak berkira jika kita memerlukan bantuannya - baik daripada segi kudrat atau material. Mereka secara halus atau terang-terangan tidak menghormati kita.

Kawan seperti ini memang menyakitkan hati yang membuatkan ramai orang berasa kecewa dan sedih kerana terasa dipergunakan. Namun dalam satu bual bicara, penceramah motivasi Prof Muhaya Mohammad pernah berkata, untuk menenangkan diri, kita perlu ubah persepsi supaya tidak menganggap kawan ini mengambil kesempatan, sebaliknya dia memberi peluang kepada kita membuat kebajikan (pahala). Dengan itu kita tidak akan rasa sakit hati atau dipergunakan.

Apabila ada peluang, cubalah menasihatinya dengan berhemah dan lembut supaya dia tidak terasa. Doakan supaya Allah melembutkan hatinya untuk memperbaiki diri. Sekiranya dia masih tidak berubah, rasanya tidak salah untuk menjarakkan diri daripada kawan begini (bukan terus meninggalkannya) supaya kita tidak terjerat dan terpengaruh dengan tingkah lakunya pula. Atau setidak-tidaknya kita terhindar daripada berasa syak wasangka kepada rakan sebegini.


2. Mementingkan diri sendiri.

Apabila mereka bercakap, sentiasa mengenai ‘aku, aku dan aku’. Mereka juga kurang prihatin dan berminat untuk mengetahui mengenai kawan termasuklah bertanya kesihatan kita. Percakapan mereka biasanya berbaur rasa bangga dan ingin menunjuk-nunjuk. Mungkin ini disebabkan tidak mahu meletakkan diri di tempat orang lain dan beranggapan semua orang akan menerima pendapat atau pandangan mereka.

Kawan sebegini memang sukar dinasihat kerana sentiasa beranggapan mereka betul dan lebih baik. Namun tidak salah untuk kita memberi teguran, mungkin secara bergurau atau tidak langsung dengan mengambil contoh perkara yang berlaku di depan mata.


3. Hanya datang kepada kita apabila menghadapi masalah dan memerlukan bantuan.

Orang begini biasanya akan mencari kita apabila dia dalam keadaan terdesak tetapi sekiranya kita yang memerlukan bantuannya, dia akan menjauhkan diri.

Persahabatan ini bersifat berat sebelah kerana mereka bukan saja berkira dalam hal wang ringgit malah tidak sanggup meluangkan masa dan menemani kita ketika kehadirannya diperlukan. Jika bertengkar, mereka akan menyimpan rasa tidak puas hati dan mungkin menjadikannya sebagai ‘modal’ untuk menjauhi kita.

Jika mahu terus berkawan, kita memang perlu banyak bersabar selain mendoakan dia berubah. Bagaimanapun, rasanya tidak salah jika sesekali kita ‘memulangkan paku buah keras’ kepadanya dengan cara yang lembut supaya dia tidak berdendam.


4. Terlalu mengongkong.

Jika berkawan dengannya, kita tidak boleh bersahabat dengan orang lain terutama yang dianggap ‘tidak sekufu’ atau tidak menepati cita rasanya sedangkan mereka bebas berbuat demikian. Mereka sukar untuk menerima hakikat bahawa kita juga berhak untuk berkawan dengan sesiapa saja. Mereka mahu kita hanya memberi perhatian kepadanya saja.

Persahabatan seperti ini amat memeningkan kepala dan kita akan terdorong untuk menjadi insan yang berpura-pura atau bermuka-muka kerana jika dia tiada, barulah kita berbual dengan orang lain. Kawan seperti ini ada kebarangkalian tinggi untuk meninggalkan kita apabila dia menemui alasan yang kukuh untuk berbuat demikian, walaupun kadang kala puncanya amat kecil dan remeh.

Kawan jenis ini sangat sensitif dan mudah terasa. Jadi kita perlu bijak memilih kata-kata jika mahu memberi teguran kepadanya. Jika sayangkan persahabatan, berterus teranglah dengannya bahawa anda kurang senang dengan sikapnya itu. Ada kemungkinan dia tidak sedar bahawa sikapnya boleh menyebabkan orang yang berkawan dengannya terasa terkongkong dan tidak selesa.


5. Berpura-pura.

Di depan kita, dia tersenyum manis, tetapi apabila berpaling kita menjadi sasaran umpatannya. Perlu berhati-hati dengan kawan seperti ini kerana ia umpama virus yang menyerang secara diam. Kita mungkin boleh bersemuka dengannya untuk meminta penjelasan dan bersedialah, dia mungkin akan tampil dengan seribu satu alasan atau cerita baru. Namun ada kemungkinan juga dengan berbuat demikian memberi kesedaran kepadanya untuk berubah. Apa pun berdoalah kepada Allah supaya kita sama-sama diberikan hidayah.


6. Kaki sibuk.

Mereka sibuk mahu tahu harta benda yang kita ada dan mungkin mengupah orang lain untuk menyiasatnya. Ia dilakukan kerana cemburu atau mahu mendekati kawan-kawan anda yang lain. Mereka bukannya benar-benar berminat atau ikhlas untuk berkawan dengan kita. Jadi kena berhati-hati dengan kawan yang ‘busy body’ kerana dikhuatiri akan mendatangkan keburukan di kemudian hari.


7. Tidak mempedulikan kita terutama jika berada di tengah kelompok kawannya.

Dia boleh bergaul dengan kawan kita tetapi apabila bersama rakan yang dianggap lebih berprestij atau seangkatan dengannya, kita akan diketepikan.

Berkawan dengan orang begini akan membuatkan kita selalu terasa hati. Jika tidak sanggup menyatakan rasa kecil hati secara terbuka, gunakanlah saluran lain seperti e-mel, pesanan ringkas atau kad supaya kita boleh menyusun perkataan dengan baik. Biasanya pernyataan hati yang diluahkan secara bertulis akan lebih menyentuh perasaan dan ia mungkin boleh membawa kepada perubahan positif seperti diharapkan.


8. Kawan parasit.

Kawan yang suka menipu, bersaing dan meniru. Antara kawan yang suka menipu biasanya bermulut manis, bijak berkata-kata sehingga kita boleh terpedaya dengan kata-katanya. Mereka juga suka bersaing walaupun dalam hal yang kecil dan remeh. Memang dalam sesetengah keadaan persaingan itu baik khususnya jika ia membabitkan perkara positif dan bermanfaat seperti menuntut ilmu, membuat kerja kebajikan dan memperbaiki mutu pekerjaan.


9. Tidak menepati janji.

Kawan begini amat sukar untuk diharapkan kerana mereka ada kebarangkalian tinggi untuk membatalkan janji pada saat akhir. Mereka akan memberikan seribu satu alasan untuk membatalkan atau memungkiri janjinya. Kawan begini memang boleh membuatkan kita berasa sakit hati.

Jika mampu, tegurlah secara bersemuka akan perbuatannya itu yang boleh menyusahkan orang lain. Sekiranya dia sukar menerima teguran, doakan dia diberikan hidayah untuk berubah.


10. Kaki gosip.

Jika kita berkawan dengan orang yang suka bergosip (mengumpat), tekadkan dalam hati untuk menegur perbuatannya. Mengumpat hanya akan mencetuskan salah faham terhadap seseorang. Mengumpat adalah racun dalam persahabatan, berdosa besar dan tanpa disedari ia akan memberikan aura negatif kepada fikiran dan perasaan kita.

Sekiranya rakan kita itu mempunyai keegoan yang tinggi dan berhari-hari bermasam muka selepas ditegur atau bertindak memutuskan persahabatan yang sudah terjalin sekian lama, ini bermakna sudah sampai masa untuk mencari kawan baru. Apapun sentiasalah mendoakan kebaikannya dan jangan berkira menghadiahkan senyuman setiap kali berselisih dengannya. Moga-moga dengan keberkatan Ramadan yang mulia ini, kita sama-sama mendapat kasih sayang Allah dan berubah menjadi insan yang lebih baik.

- HARIAN METRO

Teleskop NASA kesan bulan Neptune yang baru



NASA mengesahkan teleskop angkasa Hubble menemui bulan baru yang mengorbit di planet Neptune.

Bulan ini merupakan planet yang ke-14 mengelilingi planet berkenaan.

Ia juga muncul sebagai bulan paling kecil dalam sistem yang berukuran hanya 20 kilometer dan melengkapkan satu putaran di Neptune setiap 23 jam.

NASA menambah, bulan itu juga adalah 100 juta kali lebih malap berbanding bintang lain yang mampu dilihat dengan mata kasar.

- SINAR HARIAN


Tidak boleh keluar wang KWSP untuk langsai hutang kad kredit

Kerajaan tiada cadangan untuk membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menyelesaikan kes bankrap akibat hutang kad kredit.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, pengeluaran wang KWSP hanya dibenarkan untuk tujuan persaraan atau untuk tujuan tambahan nilai simpanan itu.

Sehubungan itu, katanya, pengeluaran untuk tujuan melangsaikan hutang kad kredit atau hutang-hutang lain adalah tidak selaras dengan prinsip KWSP sebagai organisasi keselamatan yang menyediakan wang jaminan untuk persaraan.

“Pengeluaran seumpama itu akan mengurangkan jumlah simpanan dan menjejaskan kecukupan jumlah simpanan apabila bersara kelak,” katanya ketika menjawab soalan Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.

- KOSMO!



Isnin, Julai 15, 2013

Karnival Kerjaya Belia BN 2013 Tawar 30,000 Peluang Pekerjaan

Karnival Kerjaya Belia Barisan Nasional (BNYJF) 2013 yang masuk tahun ketiga penganjurannya kali ini menawarkan lebih 30,000 peluang pekerjaan dan beberapa nilai tambah kepada golongan belia.

Bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur dari 27 hingga 29 September ini, pameran kerjaya terbesar di Malaysia ini dapat dijadikan platform bagi golongan belia yang terdiri daripada siswazah, graduan muda atau mereka yang kurang serta tidak mempunyai pengalaman kerja mendapatkan peluang pekerjaan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata pada tahun ini lebih 300 syarikat akan mengambil mengambil bahagian dalam karvival ini.

"Kita juga menambah sebanyak 120 syarikat yang menjalankan perniagaan secara 'online dan menyediakan sebanyak 30,000 peluang pekerjaan," katanya pada sidang media BNYJF 2013, di PWTC, baru-baru ini.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN berkata, bagi melicinkan proses dan persiapan karnival ini, jawatan-jawatan yang ditawarkan akan diiklankan di Facebook BNYJF dan aplikasi telefon pintar sebelum acara bermula.

"Melalui Facebook atau aplikasi yang disediakan, sesiapa yang mahu datang boleh merujuk dahulu atau menyemak kekosongan serta kelayakan yang diperlukan.

"Ini bermakna, sebelum mereka datang, mereka sudah tahu ke mana mahu pergi, boleh mendaftar awal atau membuat persiapan awal dari beberapa segi," katanya.

Bagaimanapun Khairy berkata buat masa ini pemohon tidak dibenarkan menghantar resume terlebih dahulu kepada syarikat-syarikat yang mengambil bahagian.

"Tujuan karnival diadakan supaya pemohon dapat bertemu majikan dan majikan dapat melihat sendiri kualiti pemohon.

"Tetapi proses kali ini berbeza kerana pemohon boleh membuat 'homework' mengenai kerjaya atau syarikat yang mereka pilih melalui maklumat yang diperolehi sama ada melalui Facebook atau aplikasi khas," katanya.

Khairy berkata karnival kali ini menyaksikan banyak penambahbaikan dilakukan terutama dari segi teknologi dan aplikasi yang memberikan lebih banyak informasi kepada golongan belia.

Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian termasuklah CIMB Group, My E.G Services Berhad, Talent Corp, Bank Islam, Agrobank, Bank Pembangunan, Honda, Mazda, Royal Selangor, Habib Jewels dan banyak lagi.

BNYJF pada tahun-tahun terdahulu telah berjaya menawarkan sebanyak 160,000 pekerjaan kepada pelawat yang hadir.

- mSTAR


Recent Posts