Isnin, Julai 08, 2013

Mas kahwin Pahang naik daripada RM22.50 kepada RM150

KUANTAN 8 Julai - Kadar mas kahwin di Pahang berjumlah RM22.50 yang diamalkan sejak hampir 100 tahun lepas, dicadang dinaikkan kepada RM150.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Dan Adat Resam Melayu sedang meneliti perkara itu.

"Pihak kerajaan melalui Jaip (Jabatan Agama Islam Pahang) sedang meneliti perkara itu dan membuat cadangan dengan kadar baharu iaitu sebanyak RM150.

"Bagaimanapun perkara ini perlu dipersembahkan terlebih dahulu kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bagi mendapat perkenan baginda selaku Ketua Agama Negeri Pahang," katanya hari ini.

Beliau ditemui pemberita di luar dewan selepas menghadiri Persidangan Pertama Penggal pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini.

Menurutnya, dengan mas kahwin RM22.50, pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga pada tahun-tahun 1920-an hingga 1930-an mampu membeli seekor kerbau yang berharga sekitar RM16 serta dua ekor anak kerbau berusia sebulan pada ketika itu.

Ini membolehkan pasangan berkenaan menggunakan haiwan berkenaan untuk menyara keluarga, katanya.

- BERNAMA



Isu pertukaran guru: Diselesai cara baik - Menteri Pendidikan

PUTRAJAYA 8 Julai - Kementerian Pendidikan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyelesaikan isu permohonan pertukaran guru sekolah, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, kementerian memandang serius isu berkenaan dan cuba menyelesaikannya dengan cara terbaik.

"Kementerian telah mengadakan satu jawatankuasa untuk menyiasat, menambah baik dan memastikan perkara ini diselesaikan dengan baik. Kita cuba cari cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pra pelancaran kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) ke-5, 2013 di sini hari ini.

Menurutnya, masalah itu berlarutan kerana permohonan pertukaran guru-guru mencecah sehingga 16,000 setahun sedangkan kekosongannya hanya setakat 2,000 hingga 3,000 tempat sahaja.

Menyentuh, keselamatan pelajar Malaysia di Mesir, beliau berkata, mereka dalam keadaan selamat dan setakat ini masih belum ada keperluan membawa mereka pulang ke tanah air.

"Kerajaan belum buat keputusan sama ada mereka perlu balik atau tidak," katanya.

"Kita masih mendapat berita mengatakan keadaan tidak begitu tegang sangat.

"Kalau pelajar-pelajar kita tak keluar, duduk dalam keadaan selamat, mereka masih selamat," katanya.

- BERNAMA


100,000 unit rumah PPA1M akan dibina

Sebanyak 100,000 unit rumah di bawah Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) akan dibina di seluruh negara bagi menampung keperluan penjawat-penjawat awam di negara ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, jumlah tersebut termasuk projek PPA1M membabitkan pembinaan sebanyak 10,366 unit rumah di Putrajaya yang sebelum ini telah pun dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, April lalu.

Beliau berkata, untuk itu, pihak kerajaan akan mencari kawasan-kawasan strategik khususnya di ibu kota dan bandar-bandar besar bagi membolehkan skim PPA1M diperluaskan.

"Selain di Putrajaya, kerajaan akan mencari kawasan-kawasan strategik di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar termasuk di Sabah dan Sarawak bagi pembinaan projek ini.

"Insya-Allah projek ini akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat kelulusan pihak berkaitan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival PIBG, Bangunan Pentadbiran dan Kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama di sini hari ini.

Harga seunit rumah yang ditawarkan di bawah skim PPA1M adalah antara RM150,000 dan RM300,000 manakala keluasannya pula daripada 1,000 hingga 1,500 kaki persegi.

Beliau mengulas gesaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang meminta Kerajaan Pusat serta kerajaan negeri menyegerakan pembinaan perumahan kos sederhana di bawah RM250,000 kepada golongan penjawat awam yang tidak berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, gesaan itu dibuat setelah mengambil kira bilangan penjawat awam yang tidak mampu memiliki kediaman sendiri masih tinggi iaitu pada kadar 45 peratus atau 600,000 daripada jumlah keseluruhan iaitu seramai 1.5 juta orang.

Terdahulu di dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada penyumbang seperti Yayasan Usima dipengerusikan Datuk Mohd. Yusof Ismail yang memberi sumbangan pembinaan bangunan pejabat pentadbiran dan kantin sekolah.

"Syarikat Rafulin Holdings Sdn. Bhd. dipengerusikan Datuk Muhammad Razali Othman kerana melengkapkan bangunan kantin baharu dengan kerusi dan meja makan pelajar yang begitu selesa, saya ucapkan terima kasih," ujarnya.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan turut mengucapkan penghargaan kepada Cypark Resources Bhd. atas sumbangan 20 panel solar bagi projek solar panel sekolah.

- UTUSAN

Selangor Juara SUKMA 2013


Tirai  temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2013 ditutup secara rasmi di Stadium Mini, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Bagi edisi ke-16 itu, Selangor dinobat selaku juara keseluruhan apabila berjaya meraih 70 pingat dengan 23 emas, 17 perak dan 30 gangsa.

Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan Selangor mengakhiri dominasi Terengganu yang sebelum ini bertekad memburu kejuaraan buat kali kelima berturut-turut.

Terengganu terpaksa berpuas hati berada di tangga kedua pada Sukma kali ini selepas mengumpul 19 pingat emas, 13 perak dan 13 gangsa.

Wilayah Persekutuan juga boleh tersenyum bangga apabila muncul kontinjen ketiga terbaik apabila merekodkan 15 pingat emas, 20 perak dan 27 gangsa.

Selangor turut berpesta apabila atlet gimnastik artistik mereka, Daniel Iskandar Richard, 19, dinobat sebagai Olahragawan Sukma 2013 apabila merangkul tiga emas dan dua perak.

Olahragawati Sukma 2013 pula menjadi milik gimnas cilik dari Sarawak, Esmelda Arecia Menti Alfred Geling, 13, yang berjaya membawa pulang dua emas dan tiga perak.

"Ia satu kemenangan terbaik buat kami apabila berjaya merampas kembali gelaran juara keseluruhan daripada Terengganu. Ia membuktikan kerja keras yang dilakukan oleh kontinjen Selangor selama ini berbaloi.

"Kejayaan Daniel juga membuktikan Selangor mempunyai atlet berbakat besar serta strategi yang diterapkan sepanjang temasya Sukma sangat efektif," ujar Timbalan Ketua Kontinjen Selangor, Aminudin Shari.

Apa yang pasti, senyuman atlet Selangor yang meraih kilauan emas pada temasya kali ini semakin lebar.

"Selain insentif RM3,500 bagi setiap emas yang diraih, atlet Selangor turut menerima insentif tambahan berjumlah RM300 dalam bentuk tunai sebaik sahaja menerima pingat," tambahnya.

Di sebalik kejayaan Selangor itu, Sukma kali ini digemparkan dengan dakwaan seorang atlet bola baling dirogol di Perkampungan Sukan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dakwaan itu juga telah menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan setiap kontinjen bertanding selain peminat sukan tanah air.

Pastinya berita itu telah mencacatkan temasya Sukma kali ini kerana ia adalah insiden pertama berlaku dalam sejarah penganjuran temasya tersebut.

- KOSMO!



 

Ahad, Julai 07, 2013

AirAsia Perkenal "Raya Meal" Sempena Ramadan & Syawal


Syarikat penerbangan tambang murah iaitu AirAsia telah memperkenalkan menu 'Raya Meal' dalam katalog makanan penerbangannya sepanjang bulan Ramadan dan Syawal bermula 7 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar berkata, menu Nasi Hujan Panas (Rainbow Rice) bersama Rendang Daging dan Acar itu dipilih berdasarkan citarasa masyarakat Malaysia selain ia sesuai untuk dijadikan menu berbuka puasa pada bulan Ramadan.

"Pembaharuan menu yang dilakukan oleh AirAsia bersempena kedatangan Ramadan dan Syawal nanti disediakan berdasarkan citarasa masyarakat Malaysia dan paling penting ia telah disahkan halal oleh Jakim.

"Penerbangan bukan lagi tentang untuk menuju ke sesuatu destinasi sahaja sebaliknya untuk merasai pengalaman itu sendiri. Kami di AirAsia berharap semua pelanggan akan teruja dan menyukai menu terbaharu yang disediakan," katanya.

Hidangan istimewa tersebut turut dihidangkan bersama manisan tradisional iaitu wajik sebagai pencuci mulut.

Ia boleh ditempah menerusi laman web www.airasia.com dengan harga RM15 termasuk sebotol air mineral (100ml) manakala pembelian dalam penerbangan dijual pada harga RM19 dengan pilihan bersama kopi, teh atau pun jus oren.

Sementara itu, antara hidangan lain yang turut disediakan kepada pelanggan AirAsia adalah Nasi Ayam Masam Manis Uncle Chin (Uncle Chin’s Sweet and Sour Chicken Rice), Nasi Goreng Ikan Pedas (Spicy Fish Fried Rice) dan Nasi Sayuran Manchurian (Vegetable Manchurian Rice) dengan harga serendah RM15 setiap satu.

Tidak ketinggalan kata Aireen, hidangan kegemaran penumpang AirAsia iaitu Nasi Lemak Pak Nasir, Briyani Sayuran akan tetap ditawarkan kepada pelanggan sepanjang bulan Ramadan dan Syawal nanti.

"Pihak AirAsia juga turut memperkenalkan seleksi snek iaitu 'Quick Bites' seperti Kek Keladi (Yam Cakes), Samosa (Samosa with Mint Chutney), Bungkusan Bayam bersama Keju dan Avokado (Spinach Wrap with Cream Cheese and Avocado), Kebab kambing (Lamb Kathi Kebab Wrap), dan Sandwic Ayam dengan Epal (Chicken Mayo with Apple Sandwich).

"Semua menu tersebut boleh dibeli semasa penerbangan bersama semua kapal terbang dengan kod AK," katanya.

Pelanggan juga digalakkan untuk membuat tempahan awal bersama tiket kapal terbang bagi mengelakkan sebarang masalah ketika di dalam penerbangan.

Malah mereka akan menerima diskaun sebanyak 20 peratus jika pembelian dibuat menerusi laman web AirAsia.

Untuk informasi lanjut mengenai promosi dan aktiviti AirAsia boleh layari laman Twitter (twitter.com/AirAsia) atau Facebook (facebook.com/AirAsia).

 

Risiko puasa ketika hamil

Selain wanita mengandung yang mengalami alahan kronik, terdapat beberapa faktor membuatkan ibu mengandung tidak perlu berpuasa.

Antaranya ialah mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes mellitus, hipertensi, penyakit buah pinggang dan anemia semasa mengandung.

Sesetengah penyakit seperti diabetes mellitus memerlukan pesakit mengambil ubat pada waktunya.

Pesakit jantung, tumbesaran bayi yang terencat dan mengalami perdarahan semasa hamil juga tidak digalakkan berpuasa.

Begitu juga mereka yang berat badan tidak mencukupi atau tidak bertambah.

"Mereka yang tidak dapat mematuhi arahan meminum air yang mencukupi iaitu sehingga 2 liter sehari turut dinasihatkan untuk tidak berpuasa.

"Juga mereka yang tidak dapat mengambil makanan yang menyihatkan," terangnya.

Mereka yang kekurangan air di dalam badan juga digalakkan berbuka puasa segera kerana khuatir menjejaskan kandungan.

Ia boleh dilihat daripada air kencing ibu mengandung. Jika ia sikit dan pekat seperti warna teh o, ia menunjukkan badan kekurangan air yang diperlukan.

Ujarnya, mereka diberi pilihan dan perlu mengawasi badan sendiri selain mendapat konsultasi daripada doktor.

Berjumpa dengan doktorTegas Dr. Nurhazinat, ibu mengandung perlu mematuhi jadual janji temu dengan doktor supaya dapat mengawasi keadaan ibu dan anak.

Terang kepada doktor sejarah penyakit selain tahap alahan agar doktor dapat menentukan mereka sesuai atau tidak untuk berpuasa.

Selain itu, doktor juga akan mengawasi saiz kandungan selain kesihatan ibu mengandung.

Berat badan ibu mengandung hendaklah sentiasa menaik, jika ia tidak berubah dan menurun semasa puas, ia bukan tanda yang baik.

Jika anda tidak mempunyai tanda-tanda risiko kehamilan, dapatkan nasihat doktor cara pemakanan yang sihat untuk ibu dan kandungan.

"Ada juga kajian menunjukkan risiko bersalin awal akibat tekanan ketika puasa yang menyebabkan hormon seseorang berubah.

"Sebab itu amat penting untuk sentiasa melakukan pemeriksaan dan memberitahu doktor sebarang perubahan," ujarnya.

Banyakkan air Terangnya, paling penting bagi ibu mengandung ialah mematuhi jumlah air yang diperlukan dalam sehari iaitu sekurang-kurangnya 1.5 hingga 2 liter.

Ini kerana air ketuban berkurangan yang disebut oligohidramnios.

Walaupun berpuasa, ada cara untuk melengkapkan lapan hingga 10 gelas air dalam sehari itu.

Pastikan anda mengambil air ynag diperlukan sepanjang waktu berbuka hinggalah sahur.

"Cadangan saya, cuba minum tiga gelas air ketika berbuka, 3 gelas sebelum tidur dan tiga gelas lagi termasuk air susu sewaktu sahur," terangnya.

Juga kurangkan aktiviti yang memenatkan ketika berpuasa seperti beriadah dan membeli-belah serta rancang jadual kerja dengan baik.

Elakkan tempat yang panas supaya kurang mengalami dinyahhidratkan.

MakananKebiasaannya, makanan manis seperti kuih-muih Melayu menjadi pembuka juadah berbuka puasa membuatkan kita berasa kenyang.

Namun sebenarnya makanan manis sebegitu tidak memberikan sumber tenaga dan nutrien yang mencukupi serta diperlukan.

"Makanan yang paling baik ketika berbuka puasa ialah makanan yang berprotein tinggi seperti ikan dan telur.

"Cuba kurangkan makanan manis sangat terutama ketika berbuka kerana ia akan menyebabkan paras gula naik dan kemudian turun mendadak lalu menyebabkan rasa pening.

"Selain itu, karbohidrat kompleks seperti kurma dan bijirin amat bagus untuk sahur," terang Dr. Nurhazinat.

Makanan terbaik untuk bersahur ialah makanan yang membekalkan tenaga seperti nasi dan roti,

Tambahnya, makanan tambahan yang biasa diperlukan oleh ibu mengandung perlu diamalkan dengan disiplin iaitu multivitamin dan susu.

- MINGGUAN MALAYSIA


Selasa, Julai 02, 2013

MAS Tawar Diskaun Bagi 4 Juta Tempat duduk Dalam Promosi Jualan


Malaysia Airlines (MAS) menawarkan empat juta tempat duduk pada diskaun sehingga 70 peratus daripada tambang biasa dalam promosi jualan seluruh negaranya.

Promosi itu yang bermula Isnin dan berakhir pada 15 Julai, 2013, adalah bagi perjalanan pada masa terdekat sehingga 31 Mac, 2014, kata syarikat penerbangan nasional itu dalam satu kenyataan, Isnin.

Naib Presiden Kanan Serantau Malaysianya, Muzammil Mohamad menjangkakan sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang tahu ia satu tawaran yang baik apabila mereka melihatnya.

"Inisiatif jualan ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan untuk menyokong inisiatif rakan kongsi perdagangan pelancongan kami, kerana kempen kami akan serentak dengan beberapa pameran pelancongan yang dianjurkan oleh persatuan ejen-ejen pelancong bulan ini," katanya.

Tambang rendah itu termasuk ke Dubai, New Delhi, Mumbai dan Hyderabad.

Tambang menarik itu juga ditawarkan ke destinasi negara-negara Timur dan destinasi menarik seperti London, Paris dan Melbourne dengan lebih 50 destinasi perikatan oneworld termasuk New York, Chicago dan Houston, kata MAS.

Pada masa yang sama, tambang khas itu ditawarkan bagi perjalanan Kelas Ekonomi antara 10 hingga 31 Julai, 2013, semasa bulan Ramadan, bagi perlepasan dari Kuala Lumpur ke destinasi domestik, Asean dan destinasi negara-negara Timur.

Selain tawaran istimewa ini, pelanggan yang melancong menggunakan MAS juga dapat menikmati peningkatan kebenaran bagasi kabin bermula hari ini.

Syarikat penerbangan itu membenarkan satu bagasi kabin dalam Kelas Ekonomi dengan berat maksimum tujuh kilogram berbanding lima kilogram.

Pelanggan di Kelas Pertama dan Kelas Perniagaan dibenarkan membawa dua bagasi kabin dengan berat sehingga maksimum tujuh kilogram setiap satu, dengan setiap bagasi tidak melebihi ketinggian 56 sentimeter, kepanjangan 36 sentimeter dan kelebaran 23 sentimeter, kata MAS.

Pelanggan boleh menempah tawaran istimewa ini menerusi dalam talian di www.malaysiaairlines.com, pusat panggilan bebas tol 24 jam MAS di 1-300-88-3000 dan pejabat tiketnya di seluruh negara serta ejen-ejen dilantiknya.


60 Peratus Graduan Universiti Dapat Kerja Dalam 6 Bulan Selepas Tamat Pengajian

Sebanyak 60 peratus graduan universiti mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sebanyak 15 peratus graduan pula sedang menyambung pengajian manakala 25 peratus lagi mengambil sedikit masa untuk mendapat pekerjaan.

Beliau berkata, berdasarkan kajian susulan yang dilakukan kerajaan terhadap graduan pada 2012, hampir kesemua siswazah mendapat pekerjaan dalam tempoh dua tahun selepas tamat pengajian.

"Kita juga berjaya mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 385,000 pekerjaan pada 2011 dengan perkembangan ekonomi sebanyak 5.1 peratus. Malah jumlah itu terus meningkat kepada 438,800 dengan pertumbuhan ekonomi pada 2012.

"Ini bermakna kadar pengangguran telah menurun daripada 3.1 peratus kepada 3 peratus pada 2012. Ia merupakan kadar yang amat rendah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ketika mengemukakan soalan tambahan, Anwar berkata kadar pengangguran siswazah mencecah kira-kira 80,000 orang dan kadar pengangguran tiga peratus itu tidak termasuk dalam kategori tidak mendapat pekerjaan.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu, Abdul Wahid berkata, kerajaan telah menawarkan pelbagai program seperti Jobs Malaysia dan Skim Latihan 1Malaysia untuk memadankan pekerja dengan majikan.

"Program itu berjaya melatih graduan untuk mendapat pekerjaan sesuai dan meningkat kebolehpasaran kerja di kalangan mereka," katanya.

- mSTAR


Isnin, Julai 01, 2013

Kaji Naik Had Pendapatan Layak Terima BR1M

Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk menaikkan syarat kelayakkan pendapatan isi rumah bagi permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, kementeriannya sedang meneliti pelbagai cadangan yang diterima semasa konsultasi Bajet 2014 termasuk untuk menaikkan had pendapatan isi rumah bagi meluaskan penerima bantuan berkenaan.

"Cadangan untuk naikkan syarat pendapatan itu sedang diteliti oleh Kementerian Kewangan, tapi kita belum lagi buat keputusan mengenai perkara ini," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang menaikkan jumlah syarat tersebut.

Menurut Nawawi, kenaikkan syarat pendapatan isi rumah daripada RM3,000 sebulan perlu dinaikkan sehingga RM5,000 bagi memastikan lebih ramai rakyat menikmati faedah itu.

Jumlah penerima BR1M 2.0 yang diagihkan pada Februari lalu meningkat hampir sekali ganda berbanding tahun lepas.

Pada 2012 hanya 245,000 orang terima BR1M dan melibatkan perbelanjaan RM122.4 juta.

Bagi 2013, tujuh juta isi rumah dan individu bujang memperoleh BR1M 2.0 yang melibatkan peruntukan RM3 bilion.

Pemberian BR1M 2.0 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2013.

- mSTAR



Tokoh Akademik Awang Had Salleh Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR: Tokoh akademik Tan Sri Dr Awang Had Salleh, 79,menghembuskan nafas terakhir awal pagi Isnin.

Menurut anaknya Nazman, Allahyarham meninggal dunia pada pukul 3.03 pagi Isnindi Hospital Putrajaya.

Katanya, jenazah akan dibawa ke rumah seorang lagi anaknya di Presint 10, Putrajaya sebelum dikebumikan di Presint 20, pada Isnin.

Sementara itu, menantu Allahyarham yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, bapa mertuanya meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru.

- mSTAR

 

MODENAS lancar model 118EFI motor enjin 120cc


Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) menyasar purata jualan keseluruhan bagi motosikal keluarannya yang terkini, MODENAS 118EFI sehingga 7,000 unit setiap bulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Halim Ismail, berkata sasaran berkenaan membolehkan MODENAS memperbaiki penguasaan pasaran motosikal di negara ini sebanyak 15 peratus pada akhir tahun ini.
Memiliki motosikal adalah satu pelaburan yang penting untuk kegunaan seharian dan MODENAS memang berhasrat untuk menjadi peneraju dalam menyediakan produk yang dijamin berkualiti.


Model motosikal baru ini dilengkapi dengan tayar tanpa tiub, brek cakera hadapan dwipiston untuk kuasa brek yang lebih cekap dan tangki minyak berukuran 4.3 liter yang mampu mencatat perjalanan sehingga 250 kilometer, katanya dalam satu kenyataan di Georgetown.

Kenyataan Abdul Halim itu dikeluarkan sempena pelancaran MODENAS 118EFI, yang disempurnakan Pengarah Urusan DRB-HICOM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil pada DRB-Hicom Autofest 2013 di Pusat Arena Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) semalam.

Ciri istimewa

Abdul Halim berkata, MODENAS 118EFI dijual pada harga RM4,755 seunit tidak termasuk insurans serta cukai jalan dan dikuasakan dengan enjin 120cc teknologi Kawasaki serta dilengkapi sistem pancutan bahan api yang dibekalkan firma automotif antarabangsa, Synerject.
Katanya, model baru itu mempunyai ciri istimewa seperti transmisi empat kelajuan dengan sistem gear berputar dan didatangkan dengan dua warna iaitu hijau alam dan biru semesta, menepati cita rasa semua golongan pengguna.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, bersempena dengan pelancaran model baru itu, MODENAS melanjutkan jaminan untuk motosikal itu kepada dua tahun atau 25,000 kilometer membabitkan beberapa variasi model berkenaan.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, DRB-Hicom Autofest 2013 adalah acara kedua tahun ini yang bertujuan meningkatkan imej kumpulan itu sebagai peneraju automotif menerusi jenama yang pelbagai dan disegani di negara ini.

Katanya, acara itu disambut selama tiga hari, bermula Jumaat lalu dan menarik lebih 15,000 pelawat, dengan tawaran dan promosi yang menarik terhadap kenderaan, pacuan empat roda dan motosikal serta cabutan bertuah.

- BERITA HARIAN

Recent Posts