Rabu, Jun 05, 2013

Peluk tanda penghargaan

Sudahkah anda berdakapan dengan pasangan anda hari ini? Dalam sehari berapa kali sebenarnya anda berdakapan dengan pasangan? Atau langsung tidak pernah.

Memberikan dakapan kepada pasangan sama ada secara spontan atau berbentuk penghargaan sebenarnya memberikan satu sentuhan fizikal yang paling rapat di antara anda berdua.

Pakar terapi kekeluargaan, Virginia Satir dalam artikel yang ditulis oleh Parveen Chopra berkata, setiap pasangan memerlukan sekurang-kurangnya empat dakapan sehari untuk meneruskan kelangsungan hidup, lapan dakapan sehari untuk memperbaiki rasa kejiwaan dalam diri dan 12 dakapan sehari untuk cinta terus mekar.

"Dua belas dakapan sehari?" Mungkin itu terlalu banyak tetapi sebenarnya amalan untuk memeluk pasangan bukanlah sesuatu yang sukar - semudah memakai tali pinggang keledar, tidak sampai pun lima saat.

Anda hanya perlu lingkarkan tangan kepada tubuh pasangan anda, erat dan mesra dan rasailah perbezaan perasaan ketika anda berdua sedang berdakapan.

Bukanlah satu yang keterlaluan sekiranya anda mengamalkan tatacara berdakapan dengan pasangan. Cuma lakukan dengan tertib, jangan pula keterlaluan ketika di khalayak awam.

Mungkin boleh lakukannya pada waktu pagi sebelum anda berpisah ke tempat kerja, ketika bertemu pada waktu makan tengah hari, pada minum petang, sebelum makan malam atau selepas makan malam (menyatakan keterujaan anda memakan makanan hasil masakan isteri anda).

Anda juga boleh berdakapan seketika ketika sedang membasuh pinggan bersama-sama. Mungkin ketika menonton rancangan kegemaran anda berdua, sebelum waktu tidur dan ketika waktu pagi apabila bangun dari tidur.

Mungkin ada yang mengatakan ini sudah keterlaluan. Pasangan tidak akan berdakapan terlalu banyak dalam sehari seperti mana pasangan pengantin yang baru berkahwin.

Malah mungkin ada yang menggambarkan perbuatan itu akan menjadi satu rutin yang memenatkan. Kita mungkin setuju dengan pandangan ini, jadi kita kurangkan jumlah dakapan.

Seorang doktor dari United Kingdom, Dr. Miriam Stoppard berkata, rahsia kebahagiaan rumah tangga adalah sekiranya anda mendakap pasangan sekurang-kurangnya empat kali sehari.

Sebenarnya, berapa kali pun anda mendakap pasangan, dakapan sebenarnya merupakan satu penawar bagi mengubati hubungan suami isteri yang sedang 'sakit', menjadi penggalak kepada jiwa untuk meneruskan hubungan cinta antara suami dan isteri.

Pakar sains telah menggariskan, sejak berabad lalu sentuhan menerusi dakapan mengundang kepada kepercayaan dan kejujuran individu.

Apabila anda mendakap pasangan secara tidak langsung anda sebenarnya sedang melakukan komunikasi tanpa suara sambil menyalurkan perasaan kepada si dia.

Antara perasaan yang anda ingin sampaikan - dialah insan yang paling penting dalam hidupnya, dialah insan yang paling istimewa dan sebagainya.

Dakapan boleh mengembalikan pemikiran pasangan ke arah yang positif, mengurangkan stres, menstabilkan tekanan dan rasa kurang keyakinan.

Lagipun perbuatan ini percuma dan mudah dilakukan.

Namun, jangan disalahertikan dakapan sebagai dorongan untuk melakukan seks.

Sebagai contoh, jangan anda merasakan, kemahuan isteri anda untuk minta dipeluk atau didakap sebagai satu dorongan permintaan seks.

Golongan ini sebenarnya memerlukan dakapan di saat mereka merasakan kesedihan dan rasa tidak selamat dan perlukan jaminan anda sebagai seorang suami.

Perasaan cinta sebenarnya tidak diukur sebanyak mana anda menyentuh pasangan anda, tetapi berapa kali anda cuba merapatkan diri anda dengan pasangan.

- UTUSAN

http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130604/kn_03/Peluk-tanda-penghargaan


Pentingnya Menulis Nota Wasiat

Sejak  ibunya meninggal dunia lima tahun lalu, Masyitah Mohamed, 54, masih buntu memikirkan urusan hal tanah pusaka milik ibunya. Meskipun hal tersebut sudah diketengahkan kepada adik-beradiknya untuk mencari penyelesaian, Masyitah pula dituduh yang tamakkan harta.

Hakikatnya, beliau mahu meringankan beban yang ditanggung arwah ibu. Lebih malang, isu tersebut menyebabkan dia dan adik-beradiknya tidak bertegur sapa.

"Sejak itu saya tidak lagi membangkitkan isu tanah tersebut. Mereka sukar dibawa berunding. Saya sedar bahawa masalah akan menjadi semakin rumit jika seorang demi seorang daripada kami meninggal dunia," katanya yang mempunyai lapan beradik.

Masyitah mungkin merupakan salah seorang daripada ribuan masyarakat Islam yang berdepan dengan masalah tersebut.

Hakikat ini diakui sendiri oleh Md. Ghazali Ibrahim, 41, yang berpengalaman menyiapkan lebih 5,000 surat wasiat secara sukarela sebelum ini.

Menurut adik kepada bekas penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani, arwah Ustaz Asri Ibrahim itu, orang- orang dahulu mereka lebih gemar berwasiat dengan mulut sahaja tanpa dokumen yang akhirnya menimbulkan masalah.

Sebab itulah, kata Md. Ghazali, apabila berlaku kematian, adik-beradik perlu duduk berbincang dan dokumenkan apa yang pernah disuarakan oleh ibu bapa.

"Buat surat persetujuan sebelum ke pejabat pusaka dan mahkamah. Orang kita tidak faham, apabila sebut sahaja faraid, ia jadi wajib.

"Memang faraid wajib jika menemui jalan buntu. Kita perlu juga ingat wasiat si ayah ketika masih hidup, sepakatlah adik-beradik," saran beliau ketika ditemui di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Tuntutan membuat wasiat ini, ujar panel program kuliah Solat di TV AlHijrah itu turut termaktub dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 180 hingga 182, "Diwajibkan ke atas kamu membuat wasiat apabila datang tanda-tanda kematian."

Hampir sedekad berkecimpung dalam bidang faraid, wasiat dan pusaka, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Hishamuddin Sungai Bertih, Klang, Selangor itu kemudiannya mengambil keputusan membukukan pengalaman beliau dalam hal ehwal faraid dan wasiat.

Beliau membukukan pengalamannya itu selepas hampir dua tahun berkecimpung dalam bidang tersebut. Sebelum itu, beliau aktif mengadakan ceramah ke seluruh Malaysia, bersiaran di radio dan televisyen.

Rujukan orang ramai

Alasan beliau mudah dan ada logiknya. "Lazimnya, orang mudah terlupa jika sekadar mendengar ceramah, jadi apabila dibukukan, mereka bukan sahaja boleh simpan buat rujukan, malah boleh dihadiahkan kepada rakan-rakan," kata Md. Ghazali yang tampil dengan buku pertamanya iaitu Kenapa Mesti Merancang Pusaka yang diterbitkan pada tahun 2006 dan 2007.

Selepas tamat pembelajaran di peringkat menengah, Md. Ghazali melanjutkan pengajian dalam bidang al-Quran dan Tahfiz di Karachi, Pakistan. Beliau kemudiannya menyambung pengajian Bahasa Arab di Kaherah, Mesir.

Ketika meneruskan pengajiannya di Baghdad, Iraq selama enam tahun untuk ijazah syariah pengajian Islam, Md. Ghazali berkesempatan bertalaqi dengan beberapa ulama di Baghdad.

Hari ini, banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan menulis wasiat pada harga antara RM300 sehingga RM5,000.

Namun, Md. Ghazali menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati kerana ada pelanggan yang tidak pernah melihat surat-surat wasiat yang dibuat oleh syarikat-syarikat berkenaan.

"Buku Nota Wasiat hasil tulisan saya boleh dijadikan rujukan orang ramai jika ingin menulis wasiat sendiri.

"Sebenarnya semua orang boleh tulis wasiat tetapi mereka tidak tahu gaya bahasanya. Jadi, di dalam buku tersebut ada disertakan contoh surat-surat wasiat dan hibah," kata bapa kepada enam anak itu yang turut menulis beberapa buku lain.

Antaranya termasuklah Bahagi Biar Adil, Urus Harta Sebelum Mati dan RM42 Bilion Pusaka Belum Dituntut? dengan pengisian santai serta mudah difahami.

Apabila membuat wasiat, seseorang itu perlu mendokumentasikan aset seperti membuat senarai harta, hutang dan sebagainya selain melampirkan salinan buku bank atau geran yang diperlukan sebagai rujukan kepada waris.

Anak kelahiran Kampung Bukit Naga, Klang, Selangor itu menjelaskan, waris yang tidak tahu menguruskan harta pusaka selepas kematian kedua-dua ibu bapa antara punca utama mengapa pusaka jadi bertimbun-timbun sehingga hari ini. Dianggarkan, pusaka yang tidak dituntut berjumlah RM42 bilion.

Menurut Md. Ghazali yang juga moderator program Dikir Zikir di TV AlHijrah, penyediaan sesebuah wasiat itu perlu betul, jika tidak ia boleh dicabar dan tidak boleh dilaksanakan.

Misalnya, sesuatu wasiat itu tidak boleh melarang waris daripada mengambil harta. Apabila wasiat tidak betul, ia boleh menimbulkan perselisihan.

Beliau menegaskan, setiap umat Islam wajib memandang serius isu wasiat. "Wasiat yang tidak ditunaikan boleh memberi kesan kepada si mati (merana) dan waris pula menanggung dosa," jelasnya sambil memberitahu kesedaran wasiat dalam kalangan orang Islam sangat rendah berbanding bukan Islam. Ia berlaku kerana tidak faham dan kurang ilmu.

Pentingnya dokumen

Md. Ghazali yang banyak membuat lawatan ke Jordan, Syria dan Palestin mengakui bahawa ramai masyarakat Islam masih kabur lagi tentang wasiat, hibah dan harta sepencarian.

"Wasiat tidak wajib tetapi kalau kita nak beri lebih kepada isteri, perlulah buat dokumen atau deklarasi harta sepencarian kerana kita tidak boleh wasiatkan separuh daripada harta kepada isteri melalui wasiat kerana ia tidak boleh melebihi satu per tiga.

"Wasiat juga tidak boleh diberikan kepada waris kerana anak-anak ada bahagian dalam faraid. Ia perlu diberikan kepada orang lain, anak tiri, anak angkat dan sebagainya," kata graduan yang berkelulusan Ijazah Syariah dari Universiti Saddam For Islamic Studies, Baghdad, Iraq itu.

Jika seseorang mahu memberikan harta kepada anak-anak, contohnya rumah, mereka boleh hibahkan harta tersebut dengan membuat dokumen persetujuan hibah.

Bagi memudahkan orang ramai, Md. Ghazali turut menawarkan perkhidmatan menyediakan wasiat. Syarikat yang dinamakan Wasiyyah.com Sdn. Bhd. itu beroperasi di Shah Alam.

Beliau menyeru orang ramai supaya tidak menangguhkan isu pembahagian harta pusaka bagi mengelakkan masalah pada kemudian hari.

"Jika tiada masalah pusaka, buatlah sesuatu untuk waris kita. Rancang pusaka, buat wasiat atau hibah kerana mungkin esok lusa kita meninggal dunia," ujarnya.

- KOSMO!



Hampir 100 Petisyen Pilihan Raya Umum Ke-13 Difailkan

Malaysia akan dapat melihat rekod petisyen pilihan raya yang menghampiri jumlah 100 yang difailkan sebelum tarikh akhir pada 12 Jun 2013 ini.

Dalam usaha terakhir ini, kedua-dua parti, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat berharap untuk mengubah keputusan pilihan raya umum ke-13 melalui petisyen.

Pakatan Rakyat ketinggalan 23 kerusi untuk membentuk kerajaan manakala Barisan Nasional (BN) kekurangan 15 kerusi untuk mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

BN memperoleh 133 daripada 222 kerusi Parlimen manakala DAP menang 38 kerusi, PKR 30 dan PAS 21.

PKR paling banyak mengemukakan petisyen pilihan raya dalam Pakatan Rakyat dengan hampir 20 kes manakala DAP optimis memfailkan lima kes.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu akan memfailkan "empat atau lima" petisyen pilihan raya untuk kerusi negeri di Terengganu, di mana Pakatan Rakyat hanya kekurangan dua kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Parti itu dijangka memfailkan hampir 15 kes di seluruh negara.

"Kita tahu bahawa rekod dalam petisyen pilihan raya tidak begitu baik. Malah, kita tidak pernah memenangi apa-apa setakat ini, tetapi kita lihat pada kali ini," kata Mustafa, Selasa.

Sebanyak 29 petisyen pilihan raya difailkan selepas pilihan raya umum 2008 tetapi hanya satu yang berjaya.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata parti itu akan memfailkan petisyen pilihan raya di lebih daripada 50 kerusi parlimen dan negeri sebelum tarikh akhir, tetapi dia tidak menyatakan kerusi berkenaan.

Beliau berkata Umno juga telah mengkaji sama ada untuk memfailkan petisyen di 37 kerusi yang lain.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata petisyen pilihan raya parti itu adalah di semua di kerusi di mana mereka kalah tipis, seperti Bentong (379 undi), Cameron Highlands (462 undi), Labis (353 undi) dan kerusi DUN Paloh di Johor (103 undi).

Beliau mengakui ia akan menjadi satu perjuangan yang sengit untuk memenangi pilihan raya kecil jika keputusan pilihan raya telah dibatalkan.

"Menyediakan bukti dan dokumentasi tidak mudah, tetapi pilihan raya umum ini adalah berbeza. Permintaan daripada pengundi dan tekanan awam begitu besar dan menjadi tanggungjawab kita untuk menggunakan setiap saluran yang boleh," kata Loke.

Dilaporkan bahawa Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria telah memberi jaminan bahawa petisyen boleh diselesaikan dalam tempoh setahun jika segala-galanya berjalan dengan lancar.

- mSTAR

Isnin, Jun 03, 2013

Jawatan Kosong Kerajaan Negeri Terengganu - Tarikh Tutup : 18 Jun 2013

JAWATAN:
1. PENOLONG PEGAWAI PERIKANAN GRED G27
2. PENOLONG PEGAWAI PERTANIAN GRED 27

IKLAN JAWATAN:
http://spn.terengganu.gov.my/v4/index.php?option=com_content&view=category&id=69&Itemid=265&lang=bm

BORANG PERMOHONAN ONLINE:
http://spn.terengganu.gov.my/eSUPERNET/online1.php

Tarikh Tutup : 18 Jun 2013

Harga Rokok Naik 3 Peratus

British American Tobacco Malaysia (BAT Malaysia) mengumumkan kenaikan tiga peratus bagi harga semua jenama rokoknya berkuat-kuasa Isnin, 3 Jun 2013.

Mengulas mengenai kenaikan harga tersebut, Datuk William Toh, Pengarah Urusan, BAT Malaysia berkata, "Sama seperti semua syarikat lain, BAT Malaysia berdepan dengan tekanan inflasi, kos buruh dan kos input, yang membawa kepada peningkatan kos operasi".

Selain itu, kuantiti industri tembakau sah juga terjejas akibat peningkatan berterusan perdagangan rokok haram (pada 2012 berada pada 34.5 peratus), katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

"Bagi menangani peningkatan kos dan tekanan perdagangan rokok haram kami memutuskan untuk menaikkan sedikit harga sebanyak tiga peratus bagi semua jenama rokok kami," kata Toh.

Harga baharu rokok yang berkuat kuasa pada Isnin, 3 Jun adalah seperti berikut:

DUNHILL range RM10.50

KENT range RM10.50

BENSON & HEDGES RM10.50

PETER STUYVESANT range RM9.00

PALL MALL range RM9.00

PALL MALL Plain RM10.90

LUCKY STRIKE PLAIN RM10.90

ROTHMANS INTERNATIONAL RM10.90.

BAT Malaysia merupakan sebahagian daripada kumpulan British American Tobacco, kumpulan tembakau terkemuka dunia.

- BERNAMA


Apa yang anda perlu ketahui tentang kad kredit

Sebelum menggunakan kad kredit, anda perlu memahami terma dan syarat yang diberikan seperti berikut:

Had kredit

Ini adalah had maksimum ditetapkan bagi setiap kad. Jika had ini habis digunakan, anda tidak boleh menggunakan kad sehingga anda menjelaskan sebahagian daripada bayarannya.

Lazimnya, had kad kredit adalah 2 hingga 3 kali ganda pendapatan bulanan anda. Sekiranya anda menggunakan had maksimum, ini bermakna anda telah membelanjakan 2 hingga 3 bulan pendapatan masa depan anda!

Yuran dan caj

Terdapat pelbagai jenis yuran dan caj yang anda perlu fahami, termasuk:
• Yuran penyertaan – Pengeluar kad kredit mungkin akan mengenakan yuran penyertaan sekali sahaja. Yuran ini mungkin berbeza antara satu pengeluar kad dengan yang lain
• Yuran tahunan – Ini adalah yuran yang perlu dibayar apabila anda telah menerima kad kredit. Terdapat juga pengeluar kad kredit yang mengecualikan yuran ini jika anda memenuhi syarat penggunaan kad kredit anda
• Caj kewangan – Ini adalah caj yang dikenakan keatas baki yang belum dijelaskan selepas tarikh akhir pembayaran dan dikira berdasarkan baki harian.

Pada masa ini pemegang kad kredit dikenakan faedah secara bertingkat. Ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kad kredit secara berdisiplin.
• Yuran pendahuluan wang tunai – Yuran ini dikenakan setiap kali pendahuluan wang tunai dilakukan dan biasanya antara 3% hingga 5%. Yuran ini merupakan caj kewangan tambahan dan dikira dari tarikh wang tunai tersebut diambil
• Caj bayaran lewat – Ini adalah caj yang dikenakan jika anda gagal menjelaskan jumlah minimum bulanan sebelum tarikh akhir pembayaran yang ditetapkan. Jika anda membayar selepas tarikh ini, anda akan dikenakan caj kewangan (faedah ke atas baki belum jelas) dan juga caj bayaran lewat
• Cukai perkhidmatan – Bermula tahun 2010, setiap kad kredit akan dikenakan cukai perkhidmatan tahunan sebanyak RM50 ke atas pemegang kad utama dan RM25 ke atas pemegang kad sampingan. Bayaran ini akan dimasukkan dalam penyata kad kredit anda

Tempoh tanpa faedah

Anda boleh menikmati tempoh tanpa faedah, kebiasaannya antara 20 hingga 50 hari dari tarikh urus niaga mula direkodkan, sekiranya anda tidak mempunyai sebarang jumlah tertunggak dari bulan sebelumnya.

Oleh itu, sekiranya anda hanya membayar sebahagian atau jumlah minimum baki yang perlu dibayar, anda akan dikenakan faedah ke atas semua pembelian yang dibuat melalui kad kredit dari tarikh urus niaga direkodkan. Ini bermaksud jika bil kad kredit anda tidak dijelaskan dengan sepenuhnya pada tarikh akhir pembayaran dan baki dibawa ke bulan berikutnya, anda tidak akan menikmati tempoh tanpa faedah. Faedah akan dikenakan ke atas urus niaga yang seterusnya dan faedah ini akan dikompaunkan pada kadar harian sehingga baki dibayar sepenuhnya.

Kemudahan Pemindahan Baki

Pemindahan baki membolehkan pemegang kad kredit memindahkan semua atau sebahagian daripada baki kad kredit dari satu bank ke bank lain untuk tujuan menjimatkan caj faedah. Biasanya, bank akan menawarkan kemudahan ini pada kadar ‘promosi’ untuk menggalakkan anda memindahkan baki kad kredit kepada mereka. Ini mungkin cadangan yang baik kerana anda dapat menjimatkan kos faedah. Walau bagaimanapun, sebelum memutuskan pemindahan baki, tanya diri anda soalan berikut:
• Berapa lamakah kadar ‘promosi’ ini ditawarkan?
• Apakah kadar efektif selepas tamat tempoh kadar promosi tersebut?
• Adakah kadar promosi ini juga untuk pembelian baru?
• Adakah anda akan dikenakan yuran pemindahan baki?
• Adakah anda akan dikenakan yuran pembatalan atau penyelesaian awal?

Walaupun ini mungkin strategi yang baik untuk mengurangkan caj faedah ke atas baki kad kredit yang belum dibayar, anda perlu juga meneliti terma dan syarat kemudahan seperti ini.

Contohnya, ada syarat yang menyatakan anda hanya boleh membuat bayaran minimum 5% ke atas jumlah yang dipindahkan sewaktu tempoh promosi dan anda dilarang membayar lebih atau melangsaikan sepenuhnya. Selain itu, mungkin ada tempoh ‘lock-in’ yang melarang anda memindahkan baki ke bank lain tanpa membayar penalti terlebih dahulu. Sekiranya anda masih menggunakan kad yang telah dipindahkan bakinya, pastikan anda menggunakan baki had kad tersebut secara berhemah. Ini adalah untuk mengelakkan anda daripada berbelanja melebihi kemampuan anda.

Anda juga perlu mematuhi jumlah dan jadual pembayaran yang telah dipersetujui. Jika anda gagal membuat bayaran, kadar promosi akan bertukar kepada kadar biasa atau 17.5% berserta dengan caj bayaran lewat dan penalti yang lain. Syarat di atas juga merangkumi ‘skim bayaran ansuran fleksibel’ yang ditawarkan.

Skim bayaran fleksibel / Skim tanpa faedah

Kemudahan ditawarkan oleh pengeluar kad kredit dan peniaga terpilih di mana pemegang kad boleh membayar pembelian secara ansuran antara 3 hingga 24 bulan tanpa faedah bergantung kepada had kredit pemegang kad.

Liabiliti pemegang kad sampingan

Pemegang kad utama akan dipertanggungjawabkan untuk menanggung semua pembayaran ke atas pembelian yang dibuat oleh pemegang kad sampingan. Walau bagaimanapun, kebanyakan pengeluar kad kredit memerlukan pemegang kad sampingan menanggung liabiliti sekiranya pembayaran tidak dibuat.


- AKPK


http://www.akpk.org.my/learning/articles-and-tips/id/535/categoryid/3/apa-yang-anda-perlu-ketahui-tentang-kad-kredit


Buku sifat solat Nabi


Apabila memperkatakan tentang sifat solat Rasulullah SAW, terdapat banyak pendapat yang mungkin bercanggah antara satu sama lain memandangkan wujudnya perbezaan mazhab dalam Islam.

Justeru, bagi mengelakkan salah faham berlaku dalam kalangan umat Islam di Malaysia, pendakwah bebas, Muhammad Abdullah tampil dengan buku bertajuk Sifat Solat Nabi Mengikut Mazhab As-Syafie.

Muhammad berkata, buku itu merupakan hasil rangkuman daripada kursus-kursus solat yang pernah diadakan sebelum ini.

“Ia diterbitkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai salah satu usaha memupuk kefahaman yang jitu mengenai kesempurnaan ibadah solat yang merupakan Rukun Islam kedua.

“Buku ini ditulis bagi menjelaskan mengenai cara solat dan perkara-perkara yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad mengikut mazhab Imam Syafie yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia. Ia turut disertakan dengan dalil-dalil daripada hadis-hadis sebagai hujahnya,” ujar beliau yang turut dikenali sebagai Ustaz Amin.

Menurut beliau, sebagai seorang Muslim, kita harus memahami bahawa solat itu merupakan tiang agama. Ia adalah satu ibadah yang dianugerah oleh Allah SWT terus kepada Rasulullah tanpa perantaraan Jibril a.s.

“Nabi sendiri menyatakan bahawa sesiapa yang mendirikan solat, maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya, maka dia telah meruntuhkan agama.

“Malah, baginda juga pernah bersabda bahawa sesungguhnya sempadan antara seseorang dengan kekafiran adalah meninggalkan solat. Ini menunjukkan betapa pentingnya solat dalam kehidupan kita sehari-hari,” terang Muhammad.

Tambahnya, dengan memperbaiki solat bermakna kita akan menyempurnakan ibadah tersebut seterusnya menggapai reda Ilahi.

“Keberhasilan daripada kesempurnaan solat itu akan menyelamatkan kita daripada dua perkara. Pertama solat menjadi penghalang melakukan kemungkaran di dunia dan kedua terhindar daripada azab api neraka di akhirat kelak.

“Justeru, saya berharap para pembaca termasuk saya sendiri dapat menunaikan solat dengan sempurna melalui panduan yang diberikan dalam buku ini,” ujar beliau.

Buku itu juga dilengkapi dengan teori yang secukupnya berasaskan nas-nas serta dalil mengikut pandangan mazhab Syafie di samping contoh-contoh gambar yang tepat dan padat.

Panduan bergambar turut disertakan dalam contoh-contoh pelaksanaan solat yang betul, salah dan kurang tepat sebagai rujukan kepada masyarakat Islam melaksanakan ibadah ini.

Terdapat lapan bab yang disusun mengikut tertib bagi memudahkan pembaca. Ia dimulai dengan pengenalan umum mengenai solat, tujuh kesempurnaan solat, rukun solat serta sifat solat Nabi dari takbir sehingga salam meliputi perkara rukun, sunat dan makruh.

Tidak ketinggalan menjaga 10 perkara yang berkaitan dengan sembahyang, lain-lain berkaitan, khusyuk dalam sembahyang dan perbahasan kesalahan dalam solat.

“Solat yang baik apabila dapat disempurnakan dengan sebaik-baiknya. Bagi orang yang beriman, solat merupakan penyejuk hati dan antara sumber ketenangan serta kebahagiaan.

“Ini kerana solat yang disempurnakan dengan jiwa tauhid yang mendalam akan menjadikan rasa kehambaan melekat kuat di hati. Kecintaan pada Allah itu disulami dengan perasaan takut dan harap kepada-Nya.

“Oleh itu, orang yang beriman akan menjaga solat wajibnya dan memperbanyakkan solat sunat, bahkan rindu serta terhibur dengan ibadah ini,” ungkap Muhammad mengakhiri bicara.

- KOSMO

 

Ramai tidak sedar fibroid rahim

Kekerapan ketumbuhan fibroid di rahim dan pangkal rahim biasanya 40 peratus pada wanita terutama pada usia subur atau boleh hamil. Seramai 40 peratus wanita dengan fibroid tidak menghadapi sebarang masalah dan tiga perempat wanita yang mempunyai fibroid tidak menyedarinya kerana tidak mempunyai sebarang tanda atau kesakitan.

Pakar Runding Obsetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Dharmini Veerakumaran berkata, biasanya doktor hanya dapat mengesan melalui ujian pelvik atau ultrasound.

“Ini berlaku apabila pesakit mengadu kedatangan haid yang luar biasa banyak atau berterusan lama," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut beliau, fibroid boleh berlaku di pelbagai tempat seperti dalam rahim, luar rahim serta pangkal rahim.

“Fibroid bukan kanser dan hanya satu dalam 3,000 kes yang menjadi penyebab kanser kecuali ia sememangnya kanser," katanya.

Fibroid boleh berlaku sama ada dalam satu biji yang besar atau beberapa biji yang kecil tetapi dalam bilangan yang banyak.

Biasanya fibroid yang tidak mengganggu pesakit akan dibiarkan saja tetapi saiznya yang semakin membesar dan keras seperti guli kapur menyebabkan pesakit tidak selesa.

Dr. Dharmini berkata, simptom fibroid bergantung kepada kedudukannya.

“Misalnya terdapat pesakit yang mengalami darah haid yang banyak dan berterusan lebih daripada tujuh hari, sakit di bahagian ari-ari, kerap kencing, sukar kencing, sembelit dan sakit pinggang.

“Fibroid di bahagian luar rahim biasanya menyebabkan haid yang berpanjangan," katanya.

Pesakit yang mengalami sakit di bahagian ari-ari, haid yang banyak dan sakit apabila melakukan hubungan intim sepatutnya mendapatkan rawatan doktor.

Ini kerana biasanya wanita yang mengalami fibroid rahim tidak mengalami sebarang kesakitan dan 75 peratus daripada mereka tidak mengetahuinya.

“Biasanya fibroid akan mengecut apabila wanita mengalami fasa menopaus mungkin kerana pada peringkat itu hormon tidak aktif," katanya.

Wanita yang hamil dengan fibroid akan mengalami sakit di bahagian rahim menyebabkan keguguran atau bersalin bayi tidak matang kerana rahim mereka tidak boleh berkembang.

Biasanya ibu yang mempunyai fibroid di rahim biasanya dinasihatkan bersalin secara pembedahan kerana bayi akan bersaing untuk ruang dengan fibroid.

“Pakar perubatan biasanya akan memberikan penerangan terperinci kepada pasangan yang mempunyai fibroid.

“Ibu akan dinasihatkan agar berehat di rumah hingga cukup bulan," katanya.

Bagaimanapun pembedahan membuang fibroid tidak boleh dilakukan semasa proses bersalin tetapi enam bulan selepas itu.

Ini kerana ketika proses bersalin, keadaan rahim yang kembang dan kaya dengan salur darah menyebabkan risiko pendarahan.

“Ini akan menyebabkan risiko rahim rosak dan perlu dibuang," katanya.

Mengenai rawatan, Dr. Dharmini berkata, tidak terdapat ubat untuk mencairkan fibroid seratus peratus.

Bagaimanapun terdapat ubat suntikan untuk mengecutkan fibroid sementara dengan memberikan ubat untuk menyebabkan menopaus sementara biasanya selama enam bulan.

Biasanya pesakit mendapat rawatan kerana pendarahan yang teruk akibat fibroid yang besar dan mereka yang memerlukan pemindahan darah.

“Pesakit akan diberikan ubat untuk menopaus sementara selama enam bulan dan ubat menambah hemoglobin dalam darah," katanya.

Bagaimanapun fibroid yang besar memerlukan pembedahan antara 10 hingga 20 sentimeter.

“Jika fibroid bersaiz kecil ia boleh dikeluarkan melalui pembedahan kecil," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan fibroid tumbuh kembali, katanya, benih yang ada menyebabkan risiko tumbuh memang ada.

Dr. Dharmini berkata, kini banyak penyelidikan sedang dijalankan untuk mengecutkan fibroid tanpa memberikan kesan sampingan kepada rahim.

- UTUSAN

Tradisi minum teh negara Matahari Terbit

Di sebalik kemegahan budaya teh Cina yang tersohor seantero dunia, siapa sangka teh turut sinonim dalam budaya masyarakat di Jepun.

Malah, setiap tiga tahun sekali ribuan peminat teh di negara itu akan berkumpul bagi meraikan Festival Teh Dunia yang disambut pada setiap bulan Mei.

Sepanjang festival itu, pengunjung bukan sahaja berpeluang mengetahui pelbagai sejarah mengenai teh, malah berpeluang melihat sendiri keunikan tradisi dan teknik menghidangkan teh dari seluruh dunia.

Sebut apa sahaja, daripada teknik menghidangkan teh menggunakan cerek tembikar seperti di Jepun atau teh ala Inggeris yang dihidangkan menggunakan cawan atau piring porselin kepada penggunaan bekas aluminium yang dikenali sebagai 'samovar' di Rusia.

Tidak ketinggalan teh Turki yang dihidangkan di dalam gelas kecil unik, semuanya boleh dilihat sepanjang festival tersebut.

Di samping itu, pengunjung boleh merasai sendiri aneka rasa teh ketika menyertai lawatan berpandu yang diketuai pakar-pakar teh ke kawasan ladang teh yang terdapat di sekitar lereng bukit di Shizuoka, Jepun.

Jangan terkejut, ada teh yang mempunyai rasa manis, kelat serta seakan-akan citrus dan harganya pula mampu mencecah 300,000 yen sekilogram (RM8,812).

Walaupun, kebanyakan harga runcit teh lebih rendah, namun harga yang ditetapkan oleh Kesatuan Industri Teh Kakegawa Jonan merupakan satu insentif kepada golongan pekerja.

Ini kerana untuk mendapatkan kira-kira empat kilogram daun teh terpilih, ia memerlukan seramai 50 pekerja yang terpaksa bekerja sepanjang hari.

Terdapat juga upacara yang menggunakan serbuk teh Jepun yang berwarna hijau yang dikacau dengan menggunakan sudu khas yang dibuat daripada buluh.

Dikenali sebagai 'sado', teknik menghidangkan teh yang unik itu sarat dengan pelbagai simbolik.

Paling penting adalah pergerakan tangan yang mengacau debu-debu halus teh di dalam cawan selain kek gula berwarna-warni yang dihidangkan bersama.

Menjadi hidangan wajib setiap hari sama ada dalam bentuk teh asli atau teh hijau yang jernih, teh menjadi pilihan jutaan masyarakat di Jepun. Ia dinikmati di mana-mana sahaja sama ada di rumah, di pejabat atau di dalam botol yang dijual di kedai-kedai runcit.

Teh satu budaya

Mitsuru Shirai yang mengetuai kilang pertanian dan pengeluaran teh Shizuoka berkata, di sesetengah tempat di Jepun, teh merupakan satu perniagaan yang dijalankan secara serius.

"Teh sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat di negara ini," katanya, sambil menyatakan festival tiga tahun sekali itu merupakan gabungan antara budaya dan industri.

Penanaman teh telah bermula di negara itu sejak 800 tahun lalu. Pada hari ini, industri itu disokong kira-kira 15,000 petani dan 800 kilang.

Ia menawarkan lebih 100,000 peluang pekerjaan dalam industri yang bernilai lebih RM1.32 bilion.

Shizuoka merupakan antara pengeluar teh terbesar di Jepun dengan mengeluarkan kira-kira 40 peratus teh kepada 128 juta penduduknya.

Seperti petani, penanam-penanam teh juga tidak dapat lari daripada berkongsi masalah mereka.

Pakar teh, Hidehiro Inagaki berkata, sejak tiga tahun yang lalu kira-kira 60 peratus ladang teh di Shizuoka terjejas teruk akibat musim sejuk yang melampau.

"Sekiranya cuaca terlalu sejuk, pucuk daun teh tidak akan tumbuh kerana tumbuhan itu lazimnya menyimpan tenaga untuk memanaskan diri," katanya

Disebabkan itu, penanam-penanam teh sanggup meletakkan kipas-kipas elektrik yang besar bagi menyalurkan udara panas ke ladang mereka. Ia nyata mencacatkan pemandangan, bagaimanapun dalam kalangan penanam teh, ia terpaksa dilakukan.

Penyelidikan

Beberapa minggu selepas tragedi di Fukushima pada 2011, apabila reaktor nuklear di situ mula mencair selepas dilanda tsunami, kepulan awan radiasi berselerakan di seluruh Jepun.

Sebahagian kawasan ladang teh di sini dikatakan turut terkena tempiasnya. Satu kes membabitkan kira-kira 162 kilogram daun teh kering yang dibawa ke Paris, Perancis ditahan di lapangan terbang negara itu kerana dikesan mempunyai paras radiasi yang tinggi.

Dua tahun selepas tragedi itu, Institut Penyelidikan Teh berterusan membuat analisis sampel tanah bagi mengesan tanda-tanda pencemaran.

"Pada tahun ini kerajaan persekutuan tidak lagi melakukan ujian, tetapi kami tetap melakukannya untuk memastikan ia berada pada tahap terbaik," kata Kazuo Mochizuki, ketua institut berkenaan yang ditubuhkan pada 1908 bagi melaksanakan kajian dan penyelidikan mengenai variasi teh secara berterusan.

Biarpun teknologi yang digunakan pada hari ini memudahkan proses tuaian daun teh di samping baka teh yang tahan lasak dan mengeluarkan hasil yang tinggi, tetapi bagi penanam teh veteran, Toshiharu Suguira, sifat semula jadi teh adalah seperti yang berada di depan matanya.

Selepas 40 tahun mengusahakan ladang teh seluas 1.2 hektar itu yang diwarisi daripada bapanya, kawasan lereng bukit yang subur dengan daun teh masih kekal seperti sebelumnya. - AFP

- KOSMO!


Sabtu, Jun 01, 2013

Kelewatan Keputusan Pertukaran Guru Sesi Jun 2013


Seperti sedia maklum, Permohonan Pertukaran Guru Antara Bahagian / Negeri, Antara Daerah dan Dalam Daerah bagi pertukaran sesi Jun 2013, telah dibuka secara atas talian melalui aplikasi Sistem Pertukaran Guru (e-GTukar) bermula dari 1 April 2013 sehingga 30 April 2013 yang lalu.

Namun begitu, buat masa ini masih belum terdapat sebarang tarikh rasmi berkenaan dengan keputusan permohonan pertukaran guru tersebut akan dikeluarkan.

Sehubungan dengan itu, adalah disarankan untuk sentiasa melayari dan membuat semakan dari semasa ke semasa melalui laman sesawang KPM (http://www.moe.gov.my/) dan juga melalui aplikasi e-GTukar, bagi mendapatkan sebarang makluman dan pemberitahuan terkini berkenaan dengan perkara tersebut.


- KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (KPM)
(Dahulunya Kementerian Pelajaran Malaysia)



* Berlaku kelewatan keputusan dari jadual asal disebabkan perubahan struktur pentadbiran Kementerian Pelajaran yang kini bertukar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia. Setakat ini KPM belum adakan Mesyuarat Pertukaran Guru Secara Berpusat lagi. Jadi, tiada tarikh rasmi keputusan pertukaran guru selagi belum diadakan mesyuarat. Kemungkinan tarikh lapor diri juga akan lewat dari jadual asal. Tunggu pengumuman selanjutnya dari semasa ke semasa.


Recent Posts