Isnin, Mei 20, 2013

Lebih 20,000 Guru JQaf di seluruh negara

Lebih 20,000 orang guru terlibat dalam pelaksanaan Program Jawi, Quran dan Fardu Ain (JQaf) di semua sekolah rendah kerajaan termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran, Abdullah Md. Din berkata, setiap sekolah kini sudah mempunyai sekurang-kurangnya seorang guru JQaf yang bertanggungjawab mengajar pelajaran jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain kepada murid-murid beragama Islam dari tahun satu hingga tahun enam.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan untuk menempatkan sekurang-kurangnya tiga guru JQaf menjelang tahun 2016 di setiap sekolah rendah dengan kira-kira 2,470 lagi guru baru dari program itu bakal tamat latihan di beberapa Institut Pendidikan Guru (IPG) terpilih pada Jun ini.

Jelasnya lagi, biarpun menumpukan kepada pendidikan agama di sekolah rendah, guru JQaf menikmati taraf dan gred gaji yang sama seperti diperoleh warga pendidik lain yang berkelulusan ijazah sarjana muda.

"Mulai tahun ini kita sudah dapat memastikan setiap sekolah mempunyai seorang guru JQaf termasuk bagi sekolah kurang murid serta SJKC dan SJKT yang biasanya mempunyai jumlah murid Islam yang sedikit.

"Bagaimanapun bilangan guru yang ada sekarang masih belum mencukupi kerana jika mengikut modul yang digunakan, kita memerlukan tiga orang guru bagi mengendalikan pengajian tahsin al-Quran untuk membolehkan latih tubi yang berkesan kepada murid-murid dalam sesebuah kelas.

"Mengikut unjuran yang kita buat, menjelang tahun 2016 nanti kita berharap mampu mencapai sasaran sekurang-kurangnya tiga guru bagi setiap sekolah apabila lebih ramai kumpulan guru pelatih tamat pengajian program JQaf sejak ia diperkenal pada 2006," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Kesenian Warisan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Islah mewakili Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud di sini hari ini.

- UTUSAN


Lepasan Mara penuhi pasaran kerja

Permintaan pasaran kerja terhadap lulusan institusi pengajian tinggi Mara meningkat setiap tahun sekali gus melonjakkan pasaran tenaga kerja yang dihasilkan agensi itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Tinggi Mara, Khairul Izwan Ibrahim berkata, institusi pendidikan Mara adalah peneraju dalam bidang pendidikan teknikal manakala kursus pengurusan dijalankan secara hands-on.

"Ini menjadi lulusan institusi pengajian tinggi Mara sentiasa mendapat perhatian daripada pasaran kerja.

"Malah ramai di antara mereka yang ditawarkan kerja pada tahun akhir pengajian," katanya ketika ditemui di Festival Hari Guru 2013 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, Negeri Sembilan.

Menurutnya, Mara menawarkan pengajian tinggi di beberapa institusinya seperti Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Institut Jerman-Malaysia (GMI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Profesional Mara (KPM) dan Kolej Mara.

Katanya, agensi kerajaan itu sentiasa mengadakan kerjasama dengan sektor perindustrian bagi melahirkan pelajar yang memenuhi keperluan industri.

Beliau menarik perhatian, Mara turut menawarkan pendidikan percuma untuk pelajar diploma di KPM dan KKTM dengan yuran pengajian dibiayai oleh agensi tersebut.

"Malah mereka turut diberikan wang saku sepanjang tempoh pengajian tersebut," ujarnya.

- UTUSAN


Aprikot Vitamin B17 membunuh kanser

Umum mengetahui kanser adalah antara penyakit kronik yang amat digeruni oleh manusia seantero dunia. Terdapat lebih daripada 100 jenis kanser dan lima yang utama antaranya ialah kanser paru-paru, perut, hati, kolorektal dan tidak ketinggalan juga kanser payudara yang kekal sebagai pembunuh utama wanita apabila terdapat 1.05 juta kes setiap tahun di seluruh dunia. Menurut WHO, potensi untuk mendapat kanser boleh dicegah sebanyak 30% jika masyarakat memberhentikan penggunaan tembakau dan alkohol, mengamalkan diet yang seimbang dan menjalani gaya hidup aktif dan sihat.

Kita sering mendengar pepatah "mencegah lebih baik daripada mengubati." Namun realitinya, seringkali berlaku di mana pesakit kanser hanya menyedari bahawa mereka menghidap kanser apabila sudah berada di tahap 4. Gejala-gejala awal kanser sering diabaikan oleh pesakit kerana menganggap simptom tersebut akan hilang dengan sendirinya. Seharusnya, mereka perlu membuat pemeriksaan awal bagi mendapatkan kepastian seperti menjalani ujian kolonoskopi, mammogram, Prostate-Specific Antigen (PSA) dan sebagainya.

BAGAIMANA VITAMIN B17 MEMBANTU?

B17 boleh didapati pada 1200 jenis tumbuh-tumbuhan terutamanya biji aprikot. Nutrien terpenting dalam biji aprikot ialah Amygdalin atau Laetrile yang juga dikenali sebagai Vitamin B17. B17 bertanggungjawab memusnahkan sel asing dan mengeluarkannya melalui perkumuhan. Berdasarkan buku yang bertajuk "World without Cancer", tulisan G. Edward Griffin, biji aprikot mentah mempunyai kepekatan B17 yang tertinggi jika dibandingkan dengan biji-biji buah yang lain. Vitamin B17 mampu meningkatkan sistem imunisasi dan daya ketahanan badan serta meningkatkan tahap kecerdasan kesihatan seseorang individu. Malangnya, menurut Dr. Micheal Tait dari Australia, terdapat bukti kukuh bahawa berlaku pengurangan pengambilan vitamin B17 dalam makanan seharian kita yang merupakan penyebab utama seseorang berisiko mendapat kanser.

Vitamin B17 merupakan agen kimoterapi semulajadi. Ia terdiri daripada glukosa, sianida dan benzaldehyde. Sianida dan benzaldehyde adalah bersifat racun. Namun dalam Vitamin B17, ia terkunci rapat dan tidak membahayakan. Ikatan ini hanya boleh dipecahkan dengan kehadiran enzim Beta-Glucosidase. Enzim ini hanya boleh didapati pada sel kanser. Apabila Vitamin B17 berada dalam tubuh badan, ia akan meliputi sel-sel kanser dan seterusnya enzim ini akan menguraikan Vitamin B17 kepada elemen Sianida, Benzaldehyde dan Glukosa. Elemen Sianida dan Benzaldehyde ini akan membunuh sel kanser tersebut. Lebihan Vitamin B17 akan ditukar kepada elemen-elemen positif oleh enzim Rhodanese yang terdapat pada tubuh badan.

VITAMIN B17-KELEBIHAN KEPADA PENGAMALNYA

Kajian mengenai keberkesanan Vitamin B17 telah pertama kali dilakukan oleh seorang pakar Biokimia yang berdedikasi Dr. Ernest T. Krebs pada tahun 1950. Kajian susulan juga dilakukan oleh pakar kanser Jerman, Dr. Dean Burk di mana di dalam pemerhatian beliau di bawah mikroskop, Vitamin B17 telah dimasukkan ke dalam sel kanser dan mendapati sel-sel kanser tersebut mati dengan cepat sekali. Selain itu, penemuan ini turut mendapat perakuan daripada beberapa saintis perubatan yang lain. Antaranya, Dr. Hans Nieper iaitu seorang pakar kanser dari Jerman Barat. Melalui pengalaman beliau selama 20 tahun, beliau mendapati B17 sangat berkesan sebagai langkah pencegahan kanser dan beliau turut mengakui tiada vitamin lain melainkan B17 yang dapat mengawal semua jenis kanser.

Penaung kepada produk Farmas Health, Profesor Madya Dr. Syed Zainal Husin Wafa, seorang pakar perubatan berpengalaman dan bekas Ketua Jabatan Anatomi di Fakulti Perubatan UKM mengakui biji aprikot mengandungi kandungan Vitamin B17 paling tinggi berbanding dengan tumbuhan lain serta mampu meningkatkan tahap kesihatan dan seterusnya membantu dalam mengurangkan risiko mendapat penyakit-penyakit kronik metabolik. Walaubagaimanapun, beliau tidak menggalakkan pengambilan biji aprikot yang mentah kerana dikhuatiri terdedah kepada bakteria, kulat dan radikal bebas sewaktu proses penghantaran dan penyimpanan. Ini boleh menyebabkan keracunan terhadap tubuh badan. Beliau menggalakkan pengambilan biji aprikot yang telah diproses dan dikapsulkan daripada 100% biji aprikot terpilih mengikut piawaian teknologi farmaseutikal yang tinggi melalui penyelidikan klinikal dan telah mendapat kelulusan dari Biro Farmaseutikal Kebangsaan serta telah didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Kelebihan Vitamin B17 telah berjaya dibuktikan oleh masyarakat Hunza di Pakistan. Mereka juga menjadikan buah dan biji aprikot sebagai diet utama mereka. Dari bijinya, dihasilkan minyak masak dan losyen muka. Inilah faktor yang menyebabkan kaum ini mempunyai purata umur sehingga 100 tahun.

Pakar Kesihatan Awam yang juga Presiden Kelab Prostar Malaysia, Dr. Ismail Lasa berkata, "Aprikot yang kaya dengan vitamin B17 dapat membantu merencatkan perkembangan sel abnormal dan sekaligus mengekalkan perkembangan sel sihat di dalam tubuh badan." Salah seorang pesakit kanser iaitu Pn Nur Akhma Nordin, 67 tahun telah disahkan menghidap kanser kulit yang kronik pada 2004. Walaupun telah menjalani rawatan konvensional, namun tiada sebarang perubahan. Pada 2005, beliau akhirnya membuat keputusan untuk mengambil aprikot vitamin B17 sebagai langkah alternatif. Selang beberapa bulan, kanser pada muka beliau bertukar kemerahan serta beransur sembuh dan kesakitannya turut hilang.

- UTUSAN



Emosi marah dan benci perlu dikawal elak kesan buruk

 Allah menjadikan manusia sebaik-baik makhluk di muka bumi bertepatan firman Allah dalam surah At-Tiin, ayat 95. Kejadian sempurna ini merangkumi keindahan fizikal dan tarbiyah Islam yang membantu dalam pembangunan kecemerlangan emosi, intelek serta kecantikan akhlak mereka.

Setiap aspek itu saling berkait rapat, melengkapi dan mempengaruhi satu sama lain. Ini bermakna jika buruk sesuatu aspek itu, maka akan menjadi kurang, cacat dan tidaklah sempurna kejadian dalam diri seseorang individu itu.
Akhirnya, keburukan akan menjadi nyata dan diluahkan dalam bentuk pemikiran yang terpesong, perangai serta akhlak buruk, emosi tidak terkawal, menjurus kepada kehidupan tidak terpandu ke arah kebaikan.


Bagi mencapai kestabilan dalam kehidupan, Islam menuntut umatnya memelihara kesejahteraan akal, minda, pemikiran, emosi serta akhlak dan perbuatan. Namun, satu aspek yang sering tidak diberi perhatian sepenuhnya oleh umat Islam ialah memelihara kestabilan emosi.

Tak mampu kawal emosi

Wujud sebahagian besar umat Islam yang tidak mampu mengawal emosi berdasarkan beberapa fenomena yang berlaku dalam kehidupan mereka, lantas mengakibatkan beberapa kejadian serta gejala tidak sewajarnya seperti tunjuk perasaan, amuk, pergaduhan dan perceraian.

Pengawalan atau pengurusan emosi bermaksud seseorang individu itu mampu menyedari dan celik akal terhadap emosi atau perasaan yang sedang ia alami. Ia juga mampu mengenal pasti jenis emosi dan perasaan yang dialami serta memahami tahap atau darjah ketinggian emosi ditunjukkan itu.
Pada masa sama, mereka juga memahami bagaimana emosi dan perasaan akan menjadi tidak stabil, apakah tindakan yang sering atau biasa dilakukan apabila berdepan emosi tertentu serta bagaimana mengatasi kesukaran yang timbul akibat emosi itu.

Emosi adalah perasaan gembira, sedih, marah, suka, kecewa, takut, murung dan sebagainya. Terdapat dua jenis emosi, iaitu emosi negatif dan positif. Perasaan suka sering dilihat sebagai emosi positif kerana ia sering membawa keseronokan dan kegembiraan.

Manakala perasaan benci dan marah pula sering dilihat sebagai negatif, kerana ia membawa kepada kepayahan dan kesukaran. Emosi suka juga boleh menjadi negatif apabila ia ditunjukkan secara berlebihan dan tidak terkawal, begitu juga emosi benci dan marah berpotensi menjadi positif serta membawa kebaikan jika dibimbing secara lebih rasional.

Memahami jenis dan tahap emosi penting kerana Islam menuntut setiap umatnya membawa kehidupan dan tingkah laku mereka menuju kepada kebaikan. Tahap pengurusan atau pengawalan emosi yang rendah dan lemah akan membawa huru-hara serta kesan buruk dalam kehidupan.

Daya tahan

Kehidupan harmoni dan stabil dalam keluarga atau masyarakat memerlukan kepada daya tahan serta kekuatan pengawalan emosi. Bagi membina kehidupan yang baik dan soleh, perlu bijak menangani perubahan emosi.

Contoh pengurusan emosi ialah panduan diberi Rasulullah SAW kepada kita untuk mengawal perasaan ketika sedang marah. Justeru, hendaklah kita mengikut panduan yang diberi supaya bijak mengawal emosi seterusnya menghasilkan kehidupan yang sejahtera.

- BERITA HARIAN

Sabtu, Mei 18, 2013

Wawancara : Adakah saya gagal dalam PRU? - Anwar Ibrahim


Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menyaksikan pelbagai perkara termasuk insiden pengundi hantu menarik perhatian media. Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian tidak berpuas hati dan menganggap perikatan itu sepatutnya sudah menang.

Ikuti temu bual Anwar bersama wartawan Sinar Harian dan Sinar Harian Online SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN dan NOOR SHAZURA ZUKI.

SINAR HARIAN ONLINE: Datuk Seri, nampaknya berbanding 2008, Datuk Seri terima keputusan pilihan raya. Semalam (Ahad lalu), Datuk Seri memberikan pandangan yang sebaliknya walaupun bilangan kerusi Parlimen meningkat. Mengapa?
ANWAR: Kerana kita dah menang... kemudian dirompak kemenangan itu dari BN dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ini kita perkukuh dengan bukti kehadiran orang Bangladesh, Myanmar mengundi, pegawai SPR mengeluarkan kertas undi ke luar, pemadaman lampu. Kes di Lembah Pantai terpaksa di kawal begitu keras sekali, kalau tidak kita tewas. Ini hanya lambang penipuan dan politik samseng. Kalau tidak ada dukungan yang kuat, semangat anak-anak muda di Lembah Pantai, Nurul Izzah akan tewas.

Gerombolan yang terlibat dalam penipuan itu terlalu kuat dengan pengaruh dan kaya. Bukti lain yang besar ialah, undi awal, undi pos, termasuk yang dari media.

Saya sudah tahu kerana mereka mengundi... tak kan 12 peratus saja diberi kepada kita. Keduanya, undi itu diberi kepada pejabat pos, melalui pejabat pos. Bukannya SPR. SPR beri pejabat pos, pejabat pos kepada media.
Media undi, pos beri kepada SPR, baru kita boleh pantau. Jadi, pemantauan itu hanya berlaku pada peringkat akhir. Kita tengok pada undi-undi daripada luar negara, itu 70 hingga 80 peratus memilih PR yang dinyatakan.

Tetapi apabila buka undi semuanya, kita 12 hingga 15 peratus. Ini semua berapa undi media, 50,000. Undi pos, 230,000. Undi awal jumlah keseluruhan mungkin dalam 200,000. Jadi besar. Kalau tidak dipantau, maka kecurangan berlaku.

SINAR HARIAN ONLINE: Nampaknya, Datuk Seri menggunakan istilah kemenangan dirompak. Adakah Datuk Seri masih tidak mahu menerima keputusan PRU13 walaupun ada peningkatan bagi pihak PR?
ANWAR: Ya. Bukan soal peningkatan. PR sudah menang. Cuma pendekatan kita seperti yang kita tahu harus mengikut beberapa proses undang-undang, sama ada... saya bincang dengan Pas terutamanya dengan PKR, apakah kita buat petisiyen pilihan raya untuk beberapa kawasan. Tiap kali kalau kira semula, kita tewas semua. Atau keduanya, bantahan. Seperti mana yang dicadangkan oleh badan-badan bukan kerajaan.
Kemenangan dirompak

SINAR HARIAN ONLINE: Ke mana nak pergi selepas ini? Pilihan yang Datuk Seri ada bagi PR? Nampaknya kecurigaan itu (berterusan)...
ANWAR: Kalau hak kita dirompak, kita minta hak kita semula. Kalau tidak diberikan, maka ada cara-cara. Sepatutnya, bukan dibuat oleh SPR yang ada sekarang ini. Yang ini suruhanjaya cawangan Umno. Ia mesti suruhanjaya bebas dan adil.

Sebab ini hak dari Perlembagaan, sebagai seorang Muslim atau rakyat Malaysia ia tak boleh buat penipuan yang terang-terang bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan melanggar undang-undang. Tapi kalau tanya, semua dia kata tak ada. Ini dakwat kekal, tak boleh basuh.

Pembohongan yang ditertawakan oleh semua rakyat. Kalau dulu semasa undi pos, sebahagian orang saya tengok yang tergolong dalam 'social network' Umno ini yang diupah mengatakan tengok ini penipuan PR.

Sekarang apa jurucakap Umno cakap tentang dakwat kekal? Tidak ada jawapan. Kerana mereka boleh pulang dan basuh. Di Permatang Pauh, tak kurang dari puluhan orang yang tunggu saya, sebab saya akan melawat pusat mengundi, tunjuk tangan dia. Saya kata, bila nak undi. Dia kata dah undi. Dia boleh basuh. Tengok dalam Facebook tapi apa jawab SPR? Oh tidak mungkin. Ini semua alat pembangkang.

Saya beri 42 nama (warga) Bangladesh, Indonesia yang undi pos atas nama tentera dan polis. Seminggu sebelum pilihan raya, dari senarai sah 2013 SPR. Mahu bukti apa lagi? Sepatutnya SPR tidak perlu tanya bukti, tanya hati nurani mereka apakah mereka ini, perasuah atau penjenayah?

SINAR HARIAN ONLINE: PR akan hantar memo (memorandum) secara rasmi?
ANWAR: Memo apa? Mereka tak baca. Memo apa lagi yang perlu? Siapa yang tidak tahu bahawa dakwat kekal itu tak kekal? Siapa yang tidak tahu berlaku percanggahan dalam senarai pengundi? Siapa yang tidak tahu bahawa orang Bangladesh datang mengundi?


SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana desakan itu akan dibuat?
ANWAR: Petisyen pilihan raya itu adalah untuk proses penipuan. Tapi SPR ini, bagi saya ia perlu ditukar.  Kalau Datuk Najib kata sekarang ini kita harus ada penyatuan semula.

Bagi saya, kalau begitu, saya akan beri yang terbaik. Melainkan kempen kita ini secara sivil... anda bacalah Utusan. Sivil ke biadab? Tonton TV3, RTM. Nasib baik Sinar boleh tahan sedikit. Kadang-kadang kritik, tak apa. Kalau tak setuju, kritik. Kebebasan media. Tapi tidaklah sampai menghina orang, mengaibkan orang terus-menerus. Tak bagi ruang langsung. Ini kita kata pilihan raya bebas dan adil? Begitu bodoh kalau ada yang berpandangan sebegitu.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah PR akan boikot angkat sumpah, ahli-ahli Parlimen?
ANWAR: Yang itu kita sedang fikirkan sebab kita tak mahu ambil atau memilih cara yang saya nampak bukan menimbulkan keresahan. Jadi, kita kena timbang juga. Sebab itu, saya tidaklah menghalang kerajaan untuk meneruskan kerja, nanti kita tak ada kerajaan pula.

Tapi janganlah kerajaan itu boleh terus-menerus menipu dan rasuah macam sedia kala. Menghina orang dan menggunakan jentera kerajaan untuk mendera orang.

SINAR HARIAN ONLINE: Datuk Seri, komen sedikit tentang peningkatan kerusi DAP?
ANWAR: Itu yang disebut Datuk Seri Najib, tsunami politik. Ini saya rasa satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dari seorang pemimpin yang uar-uarkan 1Malaysia. Di Kelantan, Melayu semua dan Pas pertahankan dua pertiga kerusi. Di Terengganu Melayu, kawasan Melayu, dan Pas menambah kerusi dari satu kerusi Parlimen jadi empat. Kawasan saya (PKR, Azmin Ali), Gombak majoriti Melayu dan kita menang dengan mudah. Jadi, untuk mengatakan begitu...ya betul, etnik Cina ada suara dukungan yang ada juga etnik Melayu.

Yang ada kemungkinannya ialah jenis penipuan lebih itu banyak di kawasan yang dianggap campuran atau Melayu kerana majoriti yang diperoleh PR tidak besar. Agak lebih mudah untuk buat penipuan. Kalau nak dibuat penipuan di Bukit Bintang, dia kena bawa orang Bangladesh 10 kapal terbang pun tak cukup. Ini hanya dilakukan oleh SPR. Sebab itu kalau dilihat, orang yang marginal 6 itu, Bangladesh itu banyak muncul di kawasan marginal. Ada lah satu dua terselit masuk ke Bukit Bintang dan Permatang Pauh.

Tak wajar (dilabel tsunami cina). Maknanya pertentangan. Satu, dia kata kita rekonsiliasi, kemudian dia kata kita tsunami Cina, kenyataan ini tidak konsisten, tidak wajar. Kalau betul pun kemarahan orang Cina, tanyalah sebab apa. Sebab apa ada kebangkitan kemarahan masyarakat Cina?


SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana masa depan politik negara berdasarkan keputusan PRU13?
ANWAR: Ya, saya dukacita kerana masa depan negara itu tercemar. Sudah 50 tahun merdeka, kita gagal mengamalkan politik yang bersih dan pilihan raya yang bebas dan adil. Ia dijamin dalam perlembagaan ini merampas hak rakyat.


SINAR HARIAN ONLINE: Tahun lepas Datuk Seri pernah kata kalau Datuk Seri gagal dalam pilihan raya, Datuk seri mungkin akan berundur dari politik.
ANWAR: Adakah saya gagal dalam pilihan raya kali ini? Ada peningkatan kerusi, kita menang. Soal keputusan saya itu, seandainya pilihan raya itu bersih, malah saya sudah berbincang dengan teman-teman di beberapa universiti utama untuk, jawatan pun sudah sedia untuk saya, tak realistik.  Kalau pilihan raya itu okey dan kita tewas, nak pergi Uitm mereka tak boleh terima.
Buat masa sekarang tidak. Buat masa sekarang saya harus jalankan tanggungjawab untuk memastikan proses pilihan raya itu, kecurangan itu diperbetulkan.

SINAR HARIAN ONLINE: Pada tahun 2008, Datuk Seri menjadi Ketua Pembangkang tapi kali ini dari segi komposisi kerusi, DAP mengatasi PKR.
ANWAR: Dari dulu pun kerusi DAP mengatasi PKR. Saya memang menawarkan diri untuk undur tapi kedua-dua, DAP dan Pas minta saya teruskan.
Saya ada beritahu tadi... tidak ada masalah sebenarnya jika YB Kit Siang (Lim Kit Siang) menjadi ketua pembangkang. Kelayakan dia, pengalaman dia. Saya boleh tumpu pada kerja-kerja lain. Setakat ini, DAP dan Pas berpendirian saya harus teruskan tapi saya akan bincangkan lagi. Jangan pula tulis Anwar letak jawatan... belum belum.

Masa depan Pakatan Rakyat

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana masa depan Pakatan Rakyat selepas ini Datuk Seri?
ANWAR: Baik. Kita meningkat dan kerjasama baik. Semalam dengan pimpinan DAP, tadi kita jumpa Dap dan Pas, semalam pun jumpa Dap dan Pas. Saya hubungi Ustaz Hadi secara personal, berbincang panjang soal ini. Juga dengan Lim Guan Eng. Hubungan itu masih baik.


SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana kerusi MB Selangor?
ANWAR: Kerusi MB Selangor itu memang kita bagi sedikit masa dan kita runding dengan baik. Sebab itu saya dapatkan Lim Kit Siang, Ustaz Hadi. Tidak seperti mana yang berlaku pada tahun 2008, ada satu kelompok yang berebut dengan keadaan ini, saya syukur keadaan lebih baik. Tapi memang perkara ini dibincangkan. Hari ini atau esok kita selesaikan.


SINAR HARIAN ONLINE: Kemungkinan besar Tan Sri Khalid?
ANWAR: Saya tak ada masalah Tan Sri Khalid. Tapi masalahnya... bukan masalah tapi perlu satu perbincangan. Apakah ada calon lain, ke muka nama lain, nak teruskan?

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah Datuk Seri sedih kerana PR kehilangan satu negeri, di Kedah?
ANWAR: Ya, tapi kita nak tahu juga sejauh mana kecurangan itu menyebabkan kekalahan kerusi-kerusi di situ. Ataupun ada masalah-masalah lain. Macam kekalahan Kulim Bandar Baru, saya tidak percaya itu berlaku tanpa proses yang curang. Kerana sambutan yang kempen itu luar biasa.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah strategi PR itu sendiri silap apabila tak beri tumpuan pada kerusi-kerusi yang dimenangi?
ANWAR: Tidak juga. Kita menang kerusi-kerusi dengan baik. Fuziah, Azmin, Surendran. Cuma, apabila calon-calon dulu yang lompat dan tidak menjalankan tanggungjawab. Prestasi kawasan cukup lemah. Sedangkan sebab dia lompat itu sebab saya bagi isyarat bahawa kamu tidak boleh mempertahankan rekod dan prestasi kawasan itu lemah. Itu kadang-kadang ada menjejaskan. Tapi kalau kehadiran Saifuddin di Kulim, itu lain. Sebab saya tahu, Kulim itu kejiranan saya. Saya tidak fikir boleh kalah.

SINAR HARIAN ONLINE: Di sebalik serangan berterusan oleh musuh selama ini, adakah Datuk Seri mahu memberi mesej kepada penyerang-penyerang supaya berhenti semua itu?
ANWAR: Kita bagi mesej ini, hanya pada orang yang (tidak) tahu batas akhlak dan politik yang sivil. Jadi saya tidak peduli... tengok badan-badan yang Tibai lah, apa... mereka diupah untuk mencerca. Kadang-kadang kerana begitu lucah dan kotornya, dia tahu pimpinan Umno tak sanggup buat begitu, sebab itu akan buat orang tak suka. Dia upah. Saya selalu sebut.

Saya kata, saya boleh pilih nak buat begitu kerana saya pernah pimpin negara ini. Banyak maklumat sampai pada saya. Tapi saya tak sanggup aibkan orang kerana ia melibatkan orang lain. Itu tidak menjamin mereka menghentikan. Dalam ucapan saya sebut, peralihan kuasa ini juga peralihan nilai etika, sistem akhlak. Maknanya, kita tak boleh apabila ada kuasa ia sebagai sijil atau kesempatan untuk menyerang orang tanpa pertimbangan.

- SINAR HARIAN

 

Ustaz Kazim berhenti ceramah kerana kecewa difitnah


“Saya terpaksa berhenti berceramah kerana bimbang sesuatu buruk menimpa keluarga. Selain dimaki hamun dalam blog dan Facebook, ada yang datang ke rumah dan pusat pengajian memberi ugutan (mahu) memukul dan membunuh saya.

“Ya, saya akan berhenti berceramah 28 November depan kerana saya kecewa difitnah dan dicerca bukan-bukan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” kata penceramah bebas, Mohd Kazim Elias Al-Hafiz, 41, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim.

Beliau yang juga pengasas Pusat Pendidikan Al-Barakah bertekad tidak mahu lagi menerima undangan ceramah kerana kecewa dituduh ‘Ustaz Politik’.

Katanya, kesal dengan tuduhan yang dilemparkan beberapa pihak tertentu, beliau yang hampir 23 tahun berceramah di seluruh Malaysia memberi tumpuan terhadap pusat pengajiannya di Kampung Manjoi, Perak.

Selain itu, menurutnya, keputusan berhenti berceramah dibuat kerana ketika ini beliau tidak berapa sihat, selain baru-baru ini berlaku satu insiden rumahnya di Ipoh, Perak apabila ada pihak cuba menyimbah cuka.

- HARIAN METRO


 

Waspada pihak menyamar pekerja TNB

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap pihak yang menyamar sebagai pekerja atau kontraktor mereka seperti yang dilaporkan di dalam akhbar.
   
Menurut TNB, anggota kerja atau kontraktor TNB yang sebenar diwajibkan berpakaian seragam syarikat berupa kemeja-T bewarna merah, berjaket biru dengan logo serta nama, ketika menjalankan tugas di premis pengguna.
   
"Pemeriksaan hanya akan dibuat setakat di meter sahaja (iaitu di luar rumah) dan tidak dibenarkan membuat pemeriksaan pendawaian di dalam rumah kerana ia di luar bidang kuasa TNB," menurut kenyataannya hari ini.
   
Kakitangan TNB juga perlu menunjukkan kad kuasa (kad pengenalan diri sebagai pekerja TNB yang memaparkan gambar anggota kerja beserta nombor kad pengenalan dan nombor pekerja), ketika mahu memeriksa meter di halaman rumah penghuni.
   
Akhbar semalam melaporkan penjenayah menyamar sebagai pegawai TNB menyamun kediaman warga emas setelah berpura-pura memeriksa perkakasan elektrik di rumah mangsa.
   
- BERNAMA


Pelaksanaan GST tambah RM27b pada pendapatan Malaysia - Idris Jala

Malaysia akan dapat menambah pendapatan sebanyak hingga RM27 bilion jika cadangan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak tujuh peratus dilaksanakan seperti di negara jiran, Singapura.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata mekanisma pencukaian baru itu boleh menjamin pendapatan tambahan sebanyak RM20 bilion hingga RM27 bilion, apabila matang.

"Tahap matang ialah apabila setiap penduduk Malaysia mula menyumbang ke arah GST. Ia mestilah dilaksanakan sebaik sahaja penduduk Malaysia bersedia menerima mekanisma itu," tegas beliau.

Bercakap pada forum "GE13 - What it means for business? (PRU13 - Apa Ertinya bagi Perniagaan?)" di sini hari ini, Jala berkata pendidikan tentang GST dan bagaimana ia memberi faedah kepada ekonomi negara amat penting, dan juga agar warga Malaysia faham dan menerima mekanisma pencukaian itu nanti.

Beliau juga berkata GST akan menjana dana tambahan bagi kerajaan untuk dibelanjakan bagi kesejahteraan rakyat Malaysia, seperti apa yang dijanjikan dalam manifesto Barisan Nasional sebelum pilihan raya umum ke-13.

"Walaupun satu cukai baharu diperkenalkan, namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberikan komitmen untuk menurunkan cukai korporat dan juga cukai pendapatan peribadi.

"Ini menunjukkan kerajaan mahukan keseimbangan dalam setiap langkah yang diambilnya, sama ada dari sudut ekonomi mahupun politik," kata Jala yang menerajui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Sementara itu, beliau menafikan dakwaan bahawa janji-janji yang dibuat oleh kerajaan sebelum pilihan raya akan meningkatkan nisbah hutang berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK), daripada 53 peratus sekarang.

Beliau berkata kerajaan komited untuk mengekalkan hutangnya di bawah paras 55 peratus berbanding siling KDNK yang telah ditetapkannya sebelum ini.

"Pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, apabila saya mencadangkan mekanisma Malaysia yang menetapkan 55 peratus sebagai siling bagi nisbah hutang berbanding KDNK, ramai pakar ekonomi dan pemimpin dunia berkata itu mustahil.

"Ini adalah kerana Malaysia amat unik sebab hutangnya masih di bawah paras 55 peratus," kata Jala sambil menyebut contoh negara-negara seperti Singapura (nisbah hutang berbanding KDNK 100 peratus), United Kingdom (80 peratus) dan Perancis (81 peratus).

Di samping mendakwa matlamat negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 boleh dicapai malah dua tahun lebih awal, memandangkan usaha ekonomi kerajaan dan sektor swasta yang menyeluruh, Jala berkata Malaysia berada di landasan yang teguh untuk mencatatkan lebihan belanjawan menjelang 2020.

Kata beliau dalam empat tahun kebelakangan ini dengan Najib sebagai Perdana Menteri, defisit belanjawan negara menunjukkan penyusutan yang ketara tahun demi tahun, dan memberikan jaminan bahawa rekod pencapaian ini akan berterusan.

"Tahun lepas, defisit belanjawan ialah 4.5 peratus, dan tahun ini kita menjangka ia susut kepada empat peratus. Dengan segala usaha yang diambil, saya pasti harinya akan tiba apabila kita boleh mencapai lebihan belanjawan itu," tegas beliau.

Mengenai peranan kerajaan dalam perniagaan, Jala berkata ia akan beransur-ansur keluar dari lebih banyak perniagaan tahun ini dan pada masa akan datang.

Melalui Peranan Kerajaan dalam Perniagaan (GRIB), kata beliau, kerajaan telah pun mengurangkan, malah menarik keluar kepentingannya dalam 13 syarikat, daripada 33 entiti yang dikenal pasti oleh Pemandu.

"Kita mengadakan mesyuarat bulanan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dihadiri oleh semua ketua syarikat yang berkaitan mengenai perkara ini.

"Kerajaan berhasrat menghentikan peranannya dalam perniagaan. Tetapi ini tidak boleh dilakukan dalam masa sehari. Akan ada lagi perniagaan yang melibatkan peranan kerajaan, disebabkan kepentingannya dalam kehidupan harian rakyat Malaysia," tegas Jala.

- BERNAMA


Punca-punca ramai meminjam dari Along

Disebabkan sentiasa mahu kelihatan bergaya dan memikat teman wanita, semakin ramai golongan muda yang baharu tamat belajar dan belum mempunyai pekerjaan meminjam wang dengan ah long.

Tindakan itu akhirnya menyusahkan mereka dan keluarga apabila diburu oleh ah long setelah gagal menjelaskan wang yang dipinjam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Tajuddin Md. Isa berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat peningkatan kes membabitkan ah long di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) di seluruh negara pada setiap tahun.

Beliau berkata, sebagai contoh pada tahun lalu terdapat 448 kes APPW dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 67.8 peratus berbanding hanya 287 kes diterima pada 2011.

"Pelanggan-pelanggan ah long terdiri daripada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang seperti peguam, jurutera, doktor, kakitangan kerajaan, swasta dan sebagainya.

"Namun sejak kebelakangan ini, kita dapati terdapat peningkatan kes golongan lelaki muda berusia lingkungan 20-an yang belum bekerja meminjam wang dengan ah long untuk membawa teman wanita makan di restoran mewah dan membeli-belah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Kerajaan Bukit Perdana di sini hari ini.

Menurut Tajuddin, golongan paling ramai dikesan berhutang dengan ah long ialah kaki judi iaitu lebih 80 peratus diikuti pekerja kilang, kakitangan kerajaan dan golongan profesional.

Beliau berkata, antara faktor mendorong orang ramai berhutang dengan ah long ialah ingin memenuhi kehendak dan tuntutan nafsu untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu ditunaikan kecuali dengan berhutang.

Katanya, ada juga meminjam ah long kerana pengaruh rakan sebaya iaitu berbangga dengan apa yang dimiliki walaupun pada hakikat tidak memerlukannya.

"Sikap tidak pernah puas dan cukup dengan apa yang telah dimiliki dan sanggup berhutang demi memenuhi kehendak dan hajat tanpa memikirkan akibat yang mendatang.

"Ramai penjaja atau peniaga kecil terpaksa meminjam dengan ah long kerana sukar untuk mendapatkan kemudahan pinjaman yang disediakan oleh institusi kewangan dan perbankan disebabkan tidak memenuhi syarat setelah disenarai hitam, muflis, prosedur yang sukar dan tidak cukup dokumen seperti penyata bank serta lesen perniagaan," ujarnya.

Tajuddin berkata, perniagaan ah long didalangi oleh kumpulan kongsi gelap atau individu yang mengamalkan budaya samseng yang memperdagangkan mata wang tanpa lesen melalui konsep pinjaman, operasi bergerak secara berantai, berurusan secara lisan dan tanpa peraturan.

Beliau berkata, sebelum membuka perniagaan ah long, mereka terlibat melakukan kegiatan jenayah seperti pelacuran dan perjudian untuk mendapatkan modal.

Katanya, ah long menggunakan pelbagai cara untuk memaksa peminjam menjelaskan bayaran pinjaman seperti menyembur cat merah pada harta benda mangsa, mengantung kepala khinzir di luar kediaman mangsa, merampas barang daripada rumah atau premis perniagaan mangsa, menyediakan lokap atau tempat tahanan bagi mangsa yang tidak dapat membayar hutang.

"Ah long juga akan mempamerkan sepanduk besar identiti mangsa seperti kad pengenalan di kawasan yang mudah dilihat orang awam dan laman sosial Facebook dengan kata-kata yang memalukan mangsa sebagai contoh 'Tak tahu malu, sudah pinjam tidak mahu bayar'," katanya.

- UTUSAN

Bahaya ancaman asap rokok kelas ketiga

Rakyat negara ini berdepan ancaman asap rokok kelas ketiga iaitu asap yang ditinggalkan perokok pada setiap ruang di sesebuah premis termasuk pada langsir, permaidani dan baju.

Timbalan Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr. Mymoon Alias berkata, lebih 7,000 bahan kimia beracun yang melekat pada perkakasan sekitar premis berkenaan mengundang risiko penyakit berbahaya terutama kanser kepada mereka yang menghidunya.

Menurut beliau, berbeza dengan risiko perokok pasif yang hanya melibatkan sekurang-kurangnya dua individu, asap kelas ketiga tersebut mempunyai skop penghidu lebih luas sehingga mampu menjangkau puluhan penghidu.

Tambah beliau, perkara itu lazimnya berlaku di dalam kereta, bilik hotel, restoran dan lapangan terbang yang mana pihak bertanggungjawab gagal menukar langsir, kain atau permaidani selepas aktiviti merokok.

"Golongan yang tidak merokok selepas itu akan berada di premis berkenaan tanpa mengetahui mereka sebenarnya sedang menghidu asap kelas ketiga dan berisiko menghidap kanser," katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Unit Kawalan Tembakau Kementerian Kesihatan, Dr. Sukhvinder Singh dan Bendahari MCTC, Muhammad Shaani Abdullah.

Sementara itu, Mymoon menjelaskan, tabiat penggunaan rokok elektronik yang menjadi 'trend' golongan muda hari ini tidak digalakkan kerana mengundang risiko kesihatan.

Katanya, sehingga kini, tiada jaminan keselamatan terhadap alat itu dan perokok dinasihat mengelak menggunakannya seperti yang disaran oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, MCTC akan menganjurkan Persidangan Kawalan Tembakau Malaysia Kelima 2013 bertema "Haramkan Pengiklanan Promosi dan Tajaan Tembakau" di Menara Kuala Lumpur pada 19 dan 20 Jun ini.

"Dalam persidangan itu, kita akan membincangkan isu berkaitan kempen kesihatan antirokok terutama The Blue Ribbon yang akan dijalankan di pusat-pusat beli-belah dan hotel-hotel," katanya.

- UTUSAN



Guru mesti sanggup laksana perubahan

Para guru diajak untuk meningkatkan semangat profesionalisme masing-masing dalam menghadapi cabaran baharu alaf pendidikan negara.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud memberitahu, warga guru merupakan golongan profesional yang mesti sanggup menerima dan melaksanakan perubahan, responsif kepada perubahan dan seterusnya menjana serta menjuarai perubahan tersebut.

Jelasnya, bagi menjuarai perubahan ini, warga guru perlu peka kepada persekitaran pekerjaan selain tidak mudah berpuas hati dengan tahap pencapaian dan keberhasilan kerja, seterusnya menjadi pemecah paradigma dengan meneroka penyelesaian baharu kepada sebarang isu pendidikan.

"Guru-guru adalah pendidik yang inventif dan inovatif serta memiliki mentaliti boleh lakukannya dalam menyempurnakan visi dan misi pendidikan negara.

"Sumbangan paling bermakna dan tindakan paling berkesan dapat dicapai sekiranya tenaga kerja profesional dalam jentera pendidikan negara merupakan sepasukan profesional yang responsif terhadap fenomena, cabaran dan harapan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas berucap pada sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-42 di Stadium Tertutup Nilai dekat Seremban malam tadi. Perasmian majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pelajaran I, Datuk Mary Yap Kain Ching; Timbalan Menteri Pelajaran II, P. Kamalanathan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed.

Menyentuh mengenai tema sambutan Hari Guru tahun ini "Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda", Abdul Ghafar menjelaskan, ia menuntut semua guru dalam negara ini mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025.

Jelas beliau, menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi, iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.

Kata Abdul Ghafar lagi, 1Aspirasi adalah untuk memberi fokus kepada inisiatif yang berimpak tinggi kepada keberhasilan dan kemenjadian murid.

"Ia berpaksi ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi," katanya.

- UTUSAN


Recent Posts