Rabu, April 03, 2013

Penduduk Malaysia dijangka 31.6 juta pada 2020

Jumlah penduduk di Malaysia dijangka mencecah 31.6 juta orang pada 2020 berbanding 28.9 juta sekarang, hasil daripada kemajuan dan kemudahan sektor kesihatan di negara ini.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron (gambar) berkata, jangkaan itu berdasarkan unjuran peningkatan hampir tiga kali ganda sejak empat dekad lalu iaitu daripada 10.4 juta kepada 28.9 juta orang dengan kadar pertumbuhan purata 2.5 peratus.

Jelasnya, keadaan itu berlaku kerana Kadar Kematian Kasar (CDR) dan Kadar Kematian Bayi (IMR) mengalami penurunan dramatik bagi tempoh 1947 hingga 1980, sebaliknya pada 1980 sehingga 2009, CDR menunjukkan satu trend yang stabil manakala IMR semakin menurun.

“CDR menurun daripada 19.4 peratus (1949) kepada 4.8 peratus (2011) manakala IMR menurun dari 102.2 peratus kepada 6.3 peratus bagi tempoh yang sama.

“Keadaan ini adalah kerana kemajuan taraf kesihatan dan kemudahan penjagaan kesihatan yang mencukupi, seterusnya menyumbang kepada peningkatan jangka hayat penduduk Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Malaysia dalam Forum Ahli Parlimen Negara Asia Mengenai Populasi dan Pembangunan (AFPPD) di Bali, Indonesia baru-baru ini.

Mengulas lanjut Idris memberitahu, pada 1970-an, kadar kelahiran meningkat manakala kematian agak rendah, menyebabkan penduduk bertambah secara berterusan, sekali gus menyumbang kepada nisbah golongan muda yang tinggi.

- UTUSAN

Kedai Online Pakaian Lawa-Lawa


Apabila nama Stylo Queen dirasakan tidak sesuai dengan konsep dan produk yang dijual, Wan Rizazurina Abdul Rahim, 34, mula mencari-cari nama yang lebih bersesuaian.

Stylo Queen itu kata Wan Rizazurina nampak terlalu besar dan gagah. Beliau bimbang jika pelanggan takut untuk memasuki butiknya kerana disangka terlalu eksklusif dan mahal.

Beliau mahukan nama yang lebih mudah disebut dan diingati oleh pelanggan. Lantas nama Lawa-Lawa terlintas di fikiran dan nama itulah yang dipilih untuk butiknya yang terletak di Ukay Boulevard, Jalan Hulu Klang, Kuala Lumpur.

Ditemui di butik yang ringkas namun cukup selesa bagi setiap pengunjung, Wan Rizazurina berkata, butik yang dibuka pada September 2011 itu sebenarnya bermula dengan perniagaan secara dalam talian sejak tahun 2008.

''Saya bermula dengan RM500 dan waktu itu saya masih bekerja. Bagaimanapun saya tidak pernah merasakan kepuasan diri kerana minat saya lebih kepada berniaga pakaian dan fesyen.

''Tidak mahu menipu diri dan berlaku tidak jujur semasa menjalankan tugas kerana sambil bekerja melayan pesanan pelanggan melalui Internet, saya mengambil keputusan meletakkan jawatan.

''Waktu itu saya baharu sahaja habis tempoh berpantang. Nekad dengan keputusan, saya menghantar surat berhenti kerja biarpun sudah lapan tahun bekerja makan gaji,'' kata bekas pengurus akaun sebuah syarikat telekomunikasi tempatan itu.

Menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, kini masanya begitu fleksibel dan boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan.

Pun begitu, beliau tetap mengutamakan keluarga dan anak-anak yang masih memerlukan perhatian dan tumpuannya.

Tambah Wan Rizazurina, koleksi pakaian yang terdapat di butiknya diperoleh dari Bangkok kerana trend fesyen di sana lebih cepat bertukar dan setiap tiga minggu pasti terdapat fesyen terbaru.

Begitu juga dengan baju-baju yang terdapat di Lawa-Lawa. Setiap tiga atau empat minggu pasti terdapat koleksi terbaru yang lebih cantik dan menarik.

''Biasanya setiap tiga atau empat minggu saya akan ke Bangkok bagi membeli pakaian untuk butik saya. Sekali pergi, saya akan membeli sehingga 800 helai baju.

''Sebelum ke sana, saya akan membuat kajian dahulu pasaran yang disukai di Malaysia. Saya banyak mendapatkan idea daripada majalah tempatan dan luar negara tentang fesyen-fesyen terkini.

''Bagaimanapun saya banyak mendapatkan koleksi fesyen yang ringkas dan tidak keterlaluan kerana lebih mudah dijual.

''Selain itu rekaan yang trendy turut digemari kerana mudah disuai-padan,'' ujar isteri kepada Hazree Hashim ini.

Wan Rizazurina berkata, warna hitam putih, warna terang atau neon, corak polka dot dan belang dilihat amat disukai oleh pelanggan yang datang ke butiknya.

Namun demikian warna-warna blok masih lagi menjadi ikutan pada hari ini.

Daripada segi harga, tambahnya, koleksi pakaian Lawa-Lawa dijual pada harga yang amat berpatutan. Paling mahal pun berharga RM90 bagi sehelai dres labuh sementara bagi sehelai baju berharga di bawah RM70.

Kini Lawa-Lawa sudah pun menambahkan koleksi bajunya untuk wanita yang berbadan besar kerana mendapat permintaan ramai. Turut disediakan ialah sudut untuk baju muslimah.

Selain pakaian, dia turut melengkapkan butiknya dengan koleksi aksesori, beg kain dan sebagainya.

Beliau turut membantu rakan-rakan niaga dengan meletakkan produk mereka seperti tudung, selendang, lukisan dan baju muslimah.

Jika anda ingin melihat koleksi terbaru Lawa-Lawa boleh layari facebook www.facebook.com/lawalawalah
 
 

PRU13 : PAS bertanding 237 kerusi DUN, 76 parlimen



Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap agihan  kerusi antara PAS dengan parti-parti komponen Pakatan Rakyat telah selesai dan "kalau ada pun telalu kecil sangat yang melibatkan masalah teknikal".

Sehubungan itu, katanya, PAS akan bertanding 76 kerusi parlimen - bertambah 10 kerusi berbanding pilihan umum lalu dan 237 kerusi DUN.

Hadi menyatakan demikian ketika menjawab soalan dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat parti itu pagi ini untuk mengumumkan calon-calon kerusi Parlimen.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang hadir dalam sidang media itu turut mencelah ada "dua atau tiga" kerusi DUN berkurangan berbanding pilihan raya lalu.

Abdul Hadi juga berkata parti itu juga akan meletakkan calon dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan lebih 20 calon dari Dewan Muslimat.

Ahli parlimen Marang itu juga berkata calon parti juga akan bertanding di kawasan yang dianggap kerusi dengan pengundi campuran dan menegaskan PAS berjaya memecahkan benteng perkauman sehingga pengundi Cina boleh menolak calon komponen BN.

"Dan (mereka) mengundi calon PAS dan PKR yang bukan Cina dan India dan dalam keadaan fanatik Umno menyokong calon MCA, MIC dan Gerakan," katanya. 

Sementara itu dalam sidang media itu juga, Abdul Hadi turut mengumumkan kemasukan bekas Duta Besar Arab Saudi dan Iran Datuk Adnan Othman ke dalam parti itu.

Adnan juga pernah berkhidmat secara kontrak sebagai pesuruhjaya tinggi Cranberra, Australia pada 2001.

- MALAYSIAKINI
 

Tip Jimat Bil Elektrik

Pengguna yang terasa beban kos kehidupan sebenarnya, mempunyai dua pilihan untuk mengatasi keadaan itu iaitu berusaha mendapatkan lebih wang atau kurangkan perbelanjaan.

Kekangan masa, bagaimanapun, menjadikan pilihan kedua sebagai lebih mudah dan praktikal untuk dilakukan.

Ini boleh dimulakan dari rumah, antaranya dengan memastikan penggunaan elektrik secara berhemah yang seterusnya mampu mengurangkan perbelanjaan bil elektrik.

Kemampuan mengurangkan bil elektrik dengan penggunaan berhemah misalnya dibuktikan melalui satu projek pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Marudi, Baram, Sarawak.

Projek tersebut berjaya memenangi pertandingan kecekapan tenaga anjuran Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam), sekali gus membuktikan kadar penggunaan elektrik dapat dikurangkan sehingga 70 peratus dalam tempoh dua bulan.

Cara tersebut dianggap satu penjimatan wang yang ketara, malah Setiausaha Agung Wecam, Foon Weng Lian amat teruja menyaksikan kejayaan penjimatan yang sebenarnya lebih tinggi berbanding 50 peratus sasaran penjimatan.

Kesatuan Wecam ditubuh oleh Persekutuan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan penggerak lain industri air dan tenaga bagi melindungi kepentingan setiap lapisan pengguna berhubung kitar air dan tenaga negara.

Menariknya, projek pelajar SMK Marudi hanya mengubah beberapa tabiat biasa tetapi amat praktikal termasuk meninggikan suhu penyaman udara di bilik guru dan sebagainya kepada 24 darjah Celsius.

"Banyak pejabat tidak melaraskan suhu penyaman udara mengikut keperluan sebaliknya ditetapkan kepada 16 darjah Celsius sepanjang masa sedangkan tabiat itulah yang banyak merugikan tenaga," tegas Foon.

Terkini, kerajaan juga mengambil inisiatif mengeluarkan pekeliling yang mewajibkan pejabat kerajaan menaikkan suhu penyaman udara antara 23 dan 24 darjah Celsius.

Beliau mengajak orang ramai mencontohi projek pelajar berkenaan termasuk mematikan penyaman udara dan sebaliknya menghidupkan kipas pada hari hujan, serta kerap membuka tingkap untuk meningkatkan peredaran udara.

Lampu juga jarang digunakan pada waktu siang sebaliknya sekolah itu memilih untuk menghias bilik menggunakan warna terang yang membenarkan pantulan cahaya semulajadi menerangi bilik.

Weng Lian kagum dengan komitmen pelajar yang berjaya membuktikan bil elektrik boleh dijimatkan dengan banyak melalui transformasi tingkah laku dan tabiat harian.

Oleh itu, Foon menyeru agar pengguna khususnya ibu bapa dapat belajar daripada pengalaman pelajar sekolah itu dan dapat mengubah beberapa tabiat dalam kehidupan seharian bagi membantu mengurangkan perbelanjaan.

Beliau memberi contoh satu tabiat pembaziran universal iaitu tidak mematikan suis televisyen dan dekoder televisyen kabel apabila tidak digunakan.

"Dekoder yang berada pada mod bersedia sebenarnya masih menggunakan sekitar 85 hingga 90 peratus tenaga elektrik, bayangkanlah berapa banyak tenaga elektrik yang dibazirkan sekiranya ia tidak ditutup sepanjang malam atau 24 jam sehari," tanya Foon.

Arus pendam

Selain menutup suis perkakas elektrik yang tidak digunakan, pengguna juga digesa menanggalkan terus palam perkakas daripada punca kuasa elektrik.

Tegas Foon, masih terdapat arus tenaga pendam yang mengalir merentasi palam ke peralatan elektrik berkenaan jika tidak dicabut meskipun suis telah dimatikan.

Malahan, amalan menanggalkan plak sebenarnya menyelamatkan perkakas elektrik, apabila berlakunya arus limpah ekoran ribut petir yang boleh menyambar litar elektrik dan merosakkan perkakas.

Antara tip mudah yang boleh menjadi amalan sekeluarga di rumah adalah memastikan lampu dan kipas dipadam jika tidak digunakan, jangan sesekali meninggalkan komputer dan alatan elektrik lain selama lebih 30 minit tanpa dimatikan dan palamnya ditanggal daripada punca kuasa.

Pilih dengan teliti barangan elektrik yang lebih menjimatkan tenaga seperti TV yang menggunakan monitor paparan cecair kristal (LCD), pemanas air segera berbanding pemanas air dalam tong dan lampu kalimantang berbanding lampu mentol bulat.

- BERNAMA

Morfem sebagai unsur perkataan

MORFEM ialah kata istilah dalam bidang morfologi. Morfem ditakrifkan sebagai unsur perkataan. Maknanya, setiap bentuk perkataan akan mengandungi morfem.

Perkataan merah, misalnya, terdiri daripada satu morfem tetapi perkataan merahkan (merah + kan) terdiri daripada dua morfem, iaitu kata dasar merah dan akhiran -kan. Oleh itu, dalam bahasa Melayu, baik kata dasar (perkataan) mahupun imbuhan (ter-, me-, -kan) ialah morfem.

Dengan berdasarkan huraian di atas, maka morfem dapat ditakrifkan sebagai unit tatabahasa terkecil yang mempunyai makna, atau sekurang-kurangnya mempunyai fungsi tatabahasa.

Contohnya perkataan abang, Hanis, tidur, kurus mempunyai makna. Abang ialah saudara lelaki yang tua dalam keluarga, Hanis nama perempuan, tidur perbuatan melelapkan mata (tanpa sedar) sama ada dalam keadaan baring atau duduk, dan kurus ialah bentuk tubuh manusia/haiwan yang kurang berdaging.

Imbuhan seperti di-, me-, ter-, -kan, -i dan seumpamanya juga morfem. Kesemua bentuk imbuhan ini tidak mandiri dan tidak mempunyai makna tatabahasa seperti morfem abang, Hanis, tidur dan kurus; namun apabila imbuhan ini dirangkaikan dengan perkataan (morfem) baca, misalnya, terbentuklah morfem yang mengandungi makna.

Contoh dibaca, membaca, terbaca, bacakan mendukung maksud melakukan perbuatan "baca". Oleh sebab itulah imbuhan dikatakan mempunyai fungsi tatabahasa yang membentuk sesuatu makna apabila diimbuhi dengan sesuatu kata dasar, walaupun sebagai satu unit yang tersendiri imbuhan tidak mempunyai makna.

Terdapat beberapa jenis-jenis morfem, iaitu morfem bebas, morfem terikat, morfem kosong, morfem fleksi. Apakah morfem-morfem itu? Adakah kesemua morfem itu wujud dalam bahasa Melayu?

Morfem bebas ialah unit tatabahasa yang terkecil yang mempunyai makna dan wujud secara bersendirian. Morfem bebas ini dapat disamakan dengan kata tunggal, iaitu bentuk kata yang mempunyai makna serta dapat mandiri (berdiri sendiri) tanpa imbuhan.

Contohnya pejabat, pegawai, cerdik, Aiman. Morfem terikat pula ialah unit tatabahasa yang terkecil dan mempunyai fungsi tatabahasa hanya apabila bentuk tersebut bergabung dengan, sekurangnya, satu morfem bebas, yang dikenal sebagai kata tunggal.

Oleh itu, morfem terikat dapat disamakan dengan imbuhan. Imbuhan me- misalnya, dengan sendirinya tidak mempunyai fungsi, namun dalam bentuk melihat, imbuhan me- mempunyai fungsi tatabahasa; maka imbuhan me- ialah contoh morfem terikat.

Sama seperti awalan me-, bentuk morfem terikat yang lain ialah, ber-, ter-, di. Ke-, -kan, -i, -an, ke-...-kan, memper-...-kan dan seumpamanya.

Dalam morfologi, terdapat fungsi tatabahasa sesuatu morfem itu boleh berubah tetapi tidak berubah bentuknya. Dalam bahasa Melayu, bentuk morfem begini tidak wujud.

Contoh bahasa yang terdapat morfem ini ialah bahasa Inggeris. Dalam bahasa Inggeris, perkataan seperti boy (seorang budak) ialah bentuk mufrad/tunggal (singular). Bentuk jamak (plural), ialah boys (banyak budak); iaitu ditambah dengan akhiran -s.

Tetapi untuk perkataan sheep (seekor kambing biri-biri), bentuk jamaknya tetap sheep (banyak kambing biri-biri); iaitu tiada penambahan morfem (akhiran) -s. Bentuk jamak seperti sheep inilah yang dimaksudkan mengandungi morfem kosong.

Satu lagi contoh, juga diambil daripada bahasa Inggeris, ialah akhiran -ed bagi menandakan kala lampau pada kata kerja. Contohnya perkataan kick - kicked (tendang), dan borrow - borrowed. Tetapi bagi kata kerja, seperti put (meletakkan), bentuk kala lampaunya tetap put juga. Contoh:

I put the book on the table (saya meletakkan buku itu di atas meja) - kala kini

I put the book on the table (saya telah meletakkan buku itu di atas meja) - kala lampau

Bentuk kala lampau put ini juga dikatakan mengandungi morfem kosong. Dalam bahasa Melayu, tidak ada bentuk morfem kosong.

Selain ketiga-tiga bentuk morfem yang dinyatakan terdahulu, terdapat juga morfem bentuk kleksi (inflection). Bentuk ini berbeza dengan imbuhan, yang dikenal dalam bahasa Inggeris sebagai derivasion.

Namun demikian, kedua-duanya wujud sebagai proses pembentukan perkataan. Bentuk fleksi dikaitkan dengan fungsi tatabahasa, seperti misalnya bentuk jamak dan bentuk kala.

Dalam bahasa Inggeris, bentuk perkataan seperti run, runs dan runned, yang bentuk asalnya serupa, iaitu run dibezakan melalui imbuhan -s (penanda jamak) dan -d penanda lampau). Bentuk seperti inilah dikatakan bentuk fleksi.

Begitu juga dalam bahasa Arab, terdapat bentuk fleksi, seperti yang wujud dalam bentuk perkataan ktaba (telah menulis), kutiba (ditulis) dan maktabun (tempat menulis) serta kaatibun (penulis), dan sebagainya. Kendatipun begitu, gejala bentuk fleksi ini tidak wujud dalam bahasa Melayu.

Sebagai kesimpulan, terdapat bahawa ada perbezaan antara bentuk morfem dengan perkataan. Semua perkataan dapat berdiri sendiri dengan bebas dan mempunyai makna khusus, manakala bentuk morfem dapat terdiri daripada morfem bebas.

Jelas juga bahawa, dalam bahasa Melayu, tidak terdapat bentuk morfem kosong dan morfem fleksi.

- UTUSAN


Beli barang runcit secara online di tesco.com.my

Selepas penat sehari­an di tempat kerja, beratur panjang di pasar raya semata-mata untuk membeli sekilo bawang pasti mengecewakan.

Itupun jika dapat ke pasar raya sejurus meninggalkan pejabat sebelum terkandas dalam kesesakan jalan raya.

Majoriti kalangan kita gemar membeli-belah hampir setiap hari tapi apabila membabitkan barangan runcit, ramai yang lebih suka melakukannya pada hari cuti atau hujung minggu kerana suasana santai dan lebih mudah untuk memilih produk.

Tapi dengan hanya lima minit di depan komputer, kita sudah boleh membeli beras, ikan dan sayur tanpa perlu bersusah payah memandu ke kedai, berebut mendapatkan parkir dan beratur lama di kaunter pembayaran.

Dengan hanya beberapa klik di tetikus, segala barangan runcit yang diperlukan akan tiba terus di depan pintu rumah kita. Mudah, bukan?

Segalanya mungkin dengan kepesatan teknologi maklumat ketika ini. Bukan hanya baju, kasut, aksesori, buku atau barangan rumah boleh didapati dalam talian malah hampir semua keperluan runcit juga kini boleh diperoleh dengan melayari Internet.

Atas kesedaran itu, Tesco muncul selaku peneraju jualan barangan runcit dalam talian di Malaysia yang menawarkan kemudahan terbabit di laman sesawang www.tesco.com.my.

Menurut Pengarah Grocery Home Shopping, Tesco Malaysia, John Lee, sudah tiba masanya masyarakat di negara ini didedahkan dengan pembelian barangan runcit secara dalam talian susulan perkembangannya di beberapa negara Asia lain seperti Korea Selatan dan Thailand.

“Berjuta penduduk Malaysia kini menggunakan perkhidmatan belian dalam talian, justeru satu langkah tepat untuk memulakan kaedah yang sama dalam jualan barangan runcit.

“Objektif utama pembelian barangan runcit dalam talian ini adalah untuk memudahkan pembeli yang sukar ke pasar raya dan cara ini juga dapat menjimatkan masa berbanding membeli-belah secara konvensional,” katanya.

Di peringkat permulaan, Tesco menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah sehingga 20km dari Tesco Mutiara Damansara dan bakal dikembangkan lagi ke beberapa cawangan Tesco seluruh negara.

“Laman sesawang itu dibina dengan paparan ringkas bagi memudahkan pencarian produk dan menyatakan waktu penghantaran yang dikehendaki mereka. Ia intuitif dan komprehensif.

“Sepanjang tempoh percubaan baru-baru ini, kami mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pengguna. Kini, kami dalam proses membawakan perkhidmatan ini secara menyeluruh kepada masyarakat Malaysia,” ujarnya.

Faktor segar dan berkualiti pasti menjadi isu apabila membeli barangan runcit secara dalam talian. Jelas John, daripada pemilihan produk sehinggalah ke pembungkusan dan penghantaran, ia perlu melalui proses kawalan bagi memastikan kualitinya terjamin.

Selepas pesanan dibuat, barangan akan dipilih oleh staf bertugas (personal shopper) yang kemudian akan mengasingkannya mengikut jenis.

Contohnya jika pesanan itu tertera epal, aiskrim dan Milo, tiga produk itu akan diletakkan di bahagian dingin (epal), beku (aiskrim) dan kering (Milo) sebelum dimuatkan ke dalam van penghantaran.

Apabila dibawa ke van pula, tiga produk terbabit sekali lagi diasingkan mengikut bahagian sama dingin, beku dan kering yang masing-masing mempunyai suhu tertentu.

Ruangan beku ditetapkan kepada -16∞C, dingin pula antara 5∞C hingga paling rendah 1∞C manakala kering sekitar 26∞C.

Setiap staf bertugas itu juga dilengkapi dengan latihan lengkap cara memilih produk yang berkualiti.

“Kami latih setiap ‘personal shopper’ ini memilih barangan seperti mereka memilih produk untuk diri sendiri. Jika mereka rasakan satu-satu produk itu tidak segar atau kurang kualiti, kami tidak akan menjualnya.

“Ia akan digantikan dengan produk yang hampir sama dan jika pembeli tidak bersetuju dengan pilihan itu, mereka berhak menolaknya dan hanya perlu membayar produk yang diingini.

“Selain itu, pembantu penghantaran kami juga bersedia menjawab segala persoalan mengenai produk sejurus ia tiba di rumah.

“Tugas mereka bukan semata-mata menghantar produk tapi berinteraksi dengan pembeli agar dapat membantu pembeli memahami mengenai produk pilihan mereka,” katanya.

Buat masa ini, pembayaran hanya menggunakan kad kredit dan dilakukan apabila produk tiba di rumah. Atas faktor keselamatan kepada pembantu penghantaran, wang tunai tidak diterima dan pembayaran menerusi bank dalam talian pula bakal menyusul tidak lama lagi.

- HARIAN METRO


Kanser kolon ancam wanita

Wanita perlu peka dengan perubahan seperti buang air besar yang disertai darah, perubahan dalam corak pembuangan air besar seperti ada rasa tidak puas dan kesakitan di bahagian perut.

Fakta ini diberitahu oleh Pakar Perunding Kanan Gastroenterologi dari Kumpulan Pakar Perubatan Sime Darby, Datin Dr. Sharmila Sachitananadan, yang menjelaskan, di negara ini kanser kolon merupakan kanser nombor satu bagi lelaki dan nombor dua bagi wanita.

Biarpun nombor dua untuk wanita iaitu selepas kanser payu dara, ini merupakan satu penyakit yang semakin mengancam nyawa golongan tersebut.

“Memang ini satu masalah besar, namun orang ramai masih belum begitu sedar mengenainya.

“Perlu diberitahu kepada wanita bahawa kanser kolon adalah satu penyakit yang boleh diubati dan boleh dicegah.

“Sebab itu saya amat menyarankan wanita yang berusia 50 tahun ke atas menjalani saringan secara berkala.

“Kalau dilihat di negara maju, saringan awal penyakit ini berupaya menyelamatkan nyawa lebih 50 peratus wanita di Eropah," ujar Dr. Sharmila yang ditemui di Pusat Kanser Sime Darby Medical Centre, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, di Malaysia hanya kira-kira 10 peratus sahaja wanita menjalani saringan bagi mengesan kanser kolon.

Golongan wanita perlu sedar bahawa ketika usia mereka menginjak ke 40dan 50 tahun banyak perubahan yang berlaku dan jangan terlalu bersangka baik dengan mengatakan adalah sesuatu yang normal untuk mengalami ketidakselesaan pada usia tersebut.

“Memang wanita sudah biasa menanggung pelbagai simptom kesakitan dan stigma pada wanita yang lebih risau kanser payu dara kanser servik ‘mematikan’ pemikiran mereka bahawa mereka turut boleh terkena kanser kolon.

“Selain itu, masih ramai beranggapan kanser ini hanya dihidapi oleh lelaki.

“Berdasarkan kajian, saya mendapati 30 peratus wanita malu untuk mendapatkan rawatan, manakala 20 peratus lagi takut dan selebihnya tidak mempunyai maklumat secukupnya tentang penyakit ini," ujar beliau yang juga merupakan pensyarah perubatan.

- UTUSAN

Politik baru lepas PRU ke-13 - Dr Maza

Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin Saya teringatkan keadaan Saidina ‘Ali bin Abi Talib RA yang menjadi khalifah selepas krisis paling besar dalam sejarah umat Islam iaitu peristiwa pembunuhan khalifah ketiga, Saidina ‘Uthman bin ‘Affan. Umat Islam terpinga-pinga dengan keadaan politik baru ketika itu. Suatu pengalaman yang cukup baru, khalifah dibunuh dan pemberontak menguasai negara. Dalam celahan itu, dengan desakan pemberontak dan umat Islam juga sebahagiannya bersetuju maka terlantiknya ‘Ali bin Abi Talib memegang jawatan khalifah. Gawat Suasana prasangka memenuhi dunia Islam ketika itu. Ini persis kata-kata Abu al-Hassan ‘Ali al-Nadwi: "Pelantikan Saidina ‘Ali sebagai khalifah dibuat dalam keadaan yang paling gawat dan penuh dengan ujian getir dalam sejarah. Ini kerana apabila ‘Ali dilantik sebagai pimpinan kerajaan dan masyarakat atau dibai'ah sebagai khalifah dalam keadaan peristiwa syahidnya Khalifah al-Muslimin ‘Uthman ibn ‘Affan RA baharu sahaja berlaku dengan cara yang paling keji, kejam dan ganas. "Pada zaman itu terkumpul faktor-faktor negatif seperti ketidakpuasan hati, sentuhan perasaan dan jiwa. Banyak pula khabar angin, persoalan dan salah faham yang timbul. Perasaan ingin tahu dan meminta penjelasan semakin melonjak-lonjak. Berita syahidnya ‘Uthman menjadi tajuk perbualan di mana-mana. "Suara orang ramai kedengaran di sana-sini meminta pelaksanaan hukuman bunuh balas terhadap pembunuh ‘Uthman. Begitulah keadaan masyarakat manusia pada setiap masa dan zaman apabila berlakunya kejadian yang asing bagi mereka. Maka hilanglah ketenteraman dan ketenangan". (Al-Nadwi, Al-Murtadha, ms 141. Dar al-Qalam: Damsyik) 'Ali menerima jawatan tersebut dalam keadaan yang demikian. Hasilnya, berlakulah pergolakan politik yang dahsyat. Perpecahan rakyat, kemunculan pelbagai aliran mazhab, pertumpahan darah dan seumpamanya. Saya tertarik dengan jawapan Abdullah bin ‘Abbas apabila ‘Ali bertanya pandangannya tentang keadaan polisi-polisi yang ‘Ali ambil pada masa tersebut. Antaranya, Abdullah bin ‘Abbas berpendapat sepatutnya semasa pembunuhan ‘Uthman, ‘Ali keluar ke Mekah dan tinggal di sana. Apabila orang ramai tidak dapat mencari pengganti khalifah mereka akan mencari ‘Ali dan menjemputnya ke Madinah lalu melantiknya sebagai khalifah. Ini tentu tidak akan menimbulkan sebarang sangkaan buruk Bani Umayyah. Namun apa yang berlaku sekarang ialah ‘Ali menggantikan jawatan khalifah yang dibunuh ketika beliau sendiri berada di Madinah. Sudah tentu ada pihak yang menganggap ‘Ali perlu dipertanggungjawabkan (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/438-439. Rawa‘i al-Turath al-Islami: Beirut). Tempoh perubahan Pandangan Ibn ‘Abbas itu ada benarnya. Ketika negara dalam krisis kepimpinan, pemimpin yang selamat ialah pemimpin yang berkemampuan yang digesa oleh rakyat untuk memimpin mereka. Ini lebih baik dari pemimpin yang mengambil kedudukan dalam keadaan rakyat masih terpinga-pinga. Ya, walaupun pemimpin penyelamat semasa gawat juga diperlukan, namun sangat terdedah kepada pelbagai fitnah dan ketidakpuasan hati rakyat. Hal yang sama kita lihat berlaku kepada Presiden Morsi di Mesir sekarang. Oleh kerana banyak dan tingginya ‘expectation' rakyat, di samping kekangan pelaksanaan yang ada disebabkan saki baki regim yang lepas dan pengalaman yang belum cukup baik, maka ia merupakan saat yang paling mencabar dan mudah disalahfahami. Dr Morsi akhirnya dilihat terpaksa bertindak dengan gaya yang sedikit sebanyak ada persamaan dengan regim Mubarak yang lepas. Di samping al-Ikhwan al-Muslimin yang berpecah dan mempunyai beberapa pendekatan yang kontraversi dalam politik perubahan. Keadaan ini kadang-kala menunjukkan ada baiknya tokoh-tokoh gerakan Islam dan ilmuwan dalam masa transisi politik berjalan hendaklah bersabar dengan memberi laluan kepada pihak lain terlebih dahulu. Apa yang penting hendaklah dipastikan pihak lain tersebut mendokong hasrat perubahan kepada yang lebih baik. Selepas tempoh yang rumit dan mood rakyat hendakkan perubahan yang seterusnya, maka di situ mungkin peranan tokoh-tokoh yang berwibawa akan lebih berkesan. Mungkin laluan terpaksa diberikan kepada orang yang kurang kualiti tetapi mampu menjayakan perubahan yang seterusnya. Nabi menyatakan kadang-kala orang yang jahat secara tidak langsung dapat membantu agama. Sabda Nabi SAW: "Tidak akan masuk syurga melainkan orang yang beriman, dan sesungguhnya Allah (kadang-kala) menolong agama ini dengan lelaki jahat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Cabaran Keadaan dalam masa transisi mungkin banyak perkara tidak dapat dilaksanakan. Suasana yang tidak kondusif akan menggagalkan banyak idea-idea yang baik. Hal ini dirasai oleh Khalifah ‘Ali bin Abi Talib apabila dia dipersoalkan tentang kegagalan melaksanakan undang-undang ke atas pembunuh khalifah ‘Uthman bin ‘Affan. Para sahabat Nabi SAW termasuk Talhah dan al-Zubayr telah menemui ‘Ali meminta kepadanya: "Wahai ‘Ali! Kami mengisyaratkan agar engkau menegakkan hukum bunuh balas. Mereka adalah kaum yang terlibat dalam konspirasi pembunuhan ‘Uthman dan menghalalkannya. Jawab ‘Ali: "Wahai saudaraku! Sesungguhnya aku bukannya jahil tentang apa yang kamu semua tahu. Namun apa yang boleh aku lakukakn terhadap suatu kaum yang menguasai kita dan kita tidak mampu menguasai mereka. "Hamba kamu dan golongan badawi yang ada telah menyertai mereka. Hamba kamu dan golongan badawi yang ada telah menyertai mereka. Mereka berada di tengah-tengah kamu dan bertindak apa sahaja yang mereka suka. Apakah kkamu melihat adanya kemampuan terhadap apa yang kamu mahu?" (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/ 437). Akhirnya, Ali yang diheret ke dalam kancah perbalahan sesama sahabah Nabi SAW yang padahal kesemua mereka mempunyai hasrat baik yang sama. Proses perubahan yang paling mencabar ialah setelah sesuatu regim ataupun kuasa yang dinyahkan rakyat itu tumbang. Seringkali mengisi kemenangan jauh lebih sukar dan mencabar dibandingkan merebahkan sesuatu kuasa. Saki-baki kesan kuasa yang lepas, mentaliti rakyat, mentaliti dan sikap pendokong perubahan itu sendiri setelah mencapai kemenangan, kemampuan idealisme dan kewibawaan kepimpinan menjadi cabaran bagi sesebuah kerajaan baru. Congakan politik hendaklah kemas kepada sesiapa yang membuat keputusan yang menjadi pemimpin utama sebaik sahaja mana-mana regim ataupun kuasa ditukar. Al-Rabi' al-‘Arabi (Arab Spring) memberi banyak pengajaran kepada pejuang perubahan. Pasca PRU-13 Kita inginkan landskap baru politik bagi negara ini setelah nanti berlangsungnya ibu segala pilihan raya bagi negara ini iaitu PRU-13. Kita ingin melihat tamatnya krisis politik warisan kepada kemunculan urus tadbir yang sangat baik sebuah kerajaan (good governance). Bermula dari kita tidak ingin lagi mendengar kisah pertarungan politik Mahathir-Anwar yang tidak habis-habis dan memakan korban pelbagai pihak, kepada tamatnya monopoli kerajaan terhadap harga diri rakyat, kronisme, rasuah, penyalah gunaan kuasa seperti di Sarawak dan seumpamanya. Kita tidak ingin lagi memilih pemimpin yang kurang buruk secara perbandingan, tetapi ingin memilih pemimpin yang terbaik antara yang terbaik. Era dan warisan krisis politik Mahathir-Anwar mestilah diakhirkan kepada nafas politik baru yang lebih segar. Kita mesti pencenkan dinasour-dinasour politik yang sedia ada samada di pihak BN ataupun Pakatam. Di samping semua mereka ada sumbangan tersendiri dan kita menghargainya, tetapi mereka telah membawa dendam warisan, politik era lama yang tidak sesuai lagi bagi generasi yang mahu ke hadapan. Kita mahu politik yang lebih segar bukan politik selak kain, tetapi politik telus dan idea yang bernas. Ini harapan kita. Masih banyak kerja yang perlu dibuat selepas PRU-13. Masih banyak ruang untuk diisi dan perjuangan yang mesti dilangsungkan. Kita ingin melihat Malaysia baru yang segar dan bebas dari mimpi-mimpi buruk semalam. Namun kita sedar semua itu tidak boleh berlaku melainkan PRU13 mesti mencetus satu perubahan besar yang memberi ruang dan peluang untuk perubahan seterusnya dapat dilakukan. - MALAYSIAKINI

Kelainan Samsung Galaxy S4


Peneraju  global dalam media dan teknologi digital, Samsung Electronics Co. Ltd. baru-baru ini mengumumkan pelancaran Galaxy S4, generasi keempat dalam rangkaian Galaxy S.

Gajet terbaharu itu dibangun bagi melengkapkan keperluan pengguna masa kini yang melihat pembangunan teknologi memainkan peranan penting dalam memaksimumkan perlaksanaan kehidupan harian.

Menariknya mengenai generasi keempat berkenaan, mempunyai paparan Super AMOLED berdefinisi penuh (HD) yang pertama di dunia dan dilengkapi dengan kamera belakang 13 mega piksel.

Selain itu, reka bentuknya lebih kukuh dengan skrin bersaiz lima inci, bateri seberat 170 gram yang menjadikannya tampak nipis sekali gus lebih mudah dipegang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Samsung, Galaxy S4 merupakan telefon bimbit pintar dengan hanya berukuran 7.9 milimeter serta dibangunkan berdasarkan kepada keperluan dan harapan pengguna seluruh dunia.

Menurut Presiden dan juga Ketua Bahagian Teknologi Maklumat (IT) dan Komunikasi Mudah Alih Samsung, JK Shin, pihaknya akan terus menaiktaraf inovasi yang diperoleh daripada bayangan pengguna dan dalam masa yang sama akan menjadikan keinginan mereka sebagai satu kenyataan.

“Galaxy S4 juga dilengkapi dengan teknologi Gorilla Glass Corning 3 yang tahan lasak dan setiap gambar yang dirakam mampu merekod bunyi yang mampu membuatkan anda mengingati kenangan indah serta berkongsi setiap saat dalam setiap gambar lebih dengan jelas," katanya.

Pada edisi pengenalan sempena majlis pelancarannya baru-baru ini, gajet itu ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu hitam dan putih dengan pilihan warna tambahan bakal menyusul akhir tahun ini.

Samsung masih mengekalkan rekaan sama seperti rangkaian Galaxy S terdahulu, S3 dengan bahan plastik premium yang menjadikan model terbabit berjaya dinipiskan dengan resolusi skrin 441 pixel per inchi (ppi).

Selain itu, teknologi Airview juga membolehkan operasi sentuh skrin menumpukan speed dial dengan mengeluarkan gambar dari nombor satu hingga sembilan.

Pada masa sama, fungsi WatchON diperkemas menjadi alat kawalan televisyen manakala album foto memungkinkan pengguna memasukkan audio dalam setiap rakaman yang diambil.

Terdapat dua ciri menarik pada inovasi Group Play yang mana pengguna boleh berkongsi muzik menggunakan pelbagai jenis telefon sebagai pembesar suara selain bermain permainan dalam talian bersama telefon lain tanpa sambungan data, Wi-Fi atau Bluetooth.

Bagi sesetengah pengguna telefon bimbit pintar, kekangan bahasa amat merumitkan namun aplikasi

S Translator yang terdapat pada Galaxy S4 mampu memberi terjemahan segera dengan hanya menggunakan teks atau menyuarakan terjemahan atas permohonan termasuk e-mel, pesanan teks dan ChatON.

Samsung Galaxy S4 kini boleh didapati bermula suku kedua tahun ini secara global dan bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan informasi tambahan mengenai gajet ini boleh layari laman web www.samsungmobilepress.com

- UTUSAN

 

Mimpi buruk gangguan syaitan

TIDUR merupakan perkara penting yang selalu dibincangkan dalam cara hidup seorang muslim. Malah al-Quran dan hadis menggariskan amalan tidur dan kepentingannya untuk dijadikan panduan.

Al-Quran dan hadis menyentuh beberapa garis panduan dan jenis tidur yang diperlukan oleh setiap makhluk yang bernyawa.

Pelbagai kajian sains moden telah dijalankan dan mendapati kandungan al-Quran selari dengan peringkat tidur yang dibuktikan melalui penyelidikan sains.

Selain itu, al-Quran turut membincangkan tentang manfaat yang diperoleh daripada tidur dan menekankan kepentingan mengekalkan corak cahaya ketika tidur.

Bagaimanapun, kebanyakan masyarakat sering mengalami gangguan tidur sehingga menyebabkan prestasi kerja dan kehidupan seharian turut terjejas.

Jenis gangguan tidur

Presiden Gabungan Persatuan Pengamal Pengubatan Islam, Mohd. Fauzi Mustaffa berkata, terdapat tiga bentuk gangguan tidur yang biasa dialami oleh manusia.

"Jenis gangguan tidur boleh dikategorikan kepada penyakit fizikal, mengigau disebabkan aktiviti yang dilakukan sebelum tidur contohnya menonton filem seram dan ketiga gangguan daripada syaitan.

"Mereka yang mengalami mimpi buruk seperti terjun bangunan atau terperangkap dalam situasi mencemaskan dinasihatkan agar lekas bangun daripada tidur dan membuat isyarat seakan-akan ingin meludah ke kiri sebanyak tiga kali," jelasnya.

Isyarat meludah itu merupakan sunnah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika baginda mengalami mimpi buruk.

Menurutnya, mimpi buruk datang daripada syaitan dan kita ditegah untuk menceritakan perihal mimpi buruk tersebut kepada orang lain kerana bimbang ia mendatangkan fitnah seperti dituduh memiliki saka.

"Apabila seseorang tidur, dia telah masuk ke alam roh dan ketika itulah rohnya dikejar oleh syaitan. Jika mimpi buruk dibiarkan berterusan tanpa dirawat boleh memudaratkan dan menghilangkan keyakinan diri seseorang.

"Oleh itu, orang Islam dinasihatkan agar membaca doa sebelum tidur dan ayat Kursi bagi mengelakkan gangguan syaitan," ujar Mohd. Fauzi.

Bagi meningkatkan kecerdasan badan selepas bangun daripada tidur, setiap individu perlu mengamalkan bacaan doa bangun tidur, surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas.

Usai membaca ayat suci tersebut, pengamal dikehendaki menghembus kepada tapak tangan kemudian disapu pada keseluruhan anggota badan dan disusuli dengan solat Subuh atau sunat.

Tambah Mohd. Fauzi, tubuh dan roh manusia diikat sebanyak tiga ikatan oleh syaitan pada setiap kali hendak tidur untuk menghalang mereka melaksanakan amalan kebajikan.

Setiap ikatan tersebut akan terputus selepas individu itu membaca doa bangun tidur, mengambil wuduk dan solat Subuh.

"Ketiga-tiga amalan tersebut mesti dilakukan bagi memutuskan tiga ikatan syaitan yang membuatkan badan kita lemah. Jika salah satu amalan itu ditinggalkan, badan kita mudah lesu.

"Petua untuk mendapatkan tidur lena pula adalah dengan membaca doa tidur, surah tiga Kul, ayat Kursi, minum susu kambing, cuka epal yang dicampur dengan segelas air suam dan madu serta basuh kaki sebelum tidur," ujarnya yang berkongsi tip tidur kepada orang yang mengalami masalah imsonia.

Dalam pada itu, masyarakat beragama Islam juga digalakkan agar tidur sejenak sebelum waktu Zuhur bagi mengecas tenaga yang diperlukan badan untuk kekal cergas.

- KOSMO!

Selasa, April 02, 2013

Mewujudkan sikap saling memahami

Oleh Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir
Yang DiPertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Sejarah kehidupan manusia kadang-kadang menampilkan fakta muram dalam penerapan kehendak Ilahi. Ada pihak mengeksploitasi nama agama untuk menindas sesama manusia, melahirkan keganasan dan sikap radikal. Pada hal, hukum Ilahi itu untuk kesejahteraan dan kebahagiaan manusia.

Namun manusia atas nama hukum Tuhan ketika melaksanakan hukum itu, merosakkan keadilan pada manusia lainnya.

Meskipun al-Quran menekankan bahawa umat Islam mesti melawan orang yang memerangi mereka, al-Quran juga menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh melampaui batas.

Kita harus mewujudkan sikap saling memahami dalam melaksanakan apa yang kita yakini. Kita tidak dapat memaksa pandangan kita diterima melalui kekerasan, tetapi kita dapat menyampaikan pandangan kita dengan berdebat dan ikhlas.

Penjelasan masuk akal

Penjelasan yang masuk akal akan memberikan kepuasan akal dan kerelaan untuk mempercayai apa yang disampaikannya, sedangkan penjelasan yang dipaksakan akan menimbulkan tekanan dan saling tidak percaya.

Dialog yang penuh dengan saling memahami menjadi tali penghubung persaudaraan manusia.
Tindakan pelampau di kalangan orang Islam bukanlah disebabkan agama itu sendiri, melainkan disebabkan oleh eksploitasi politik atas simbol Islam serta krisis sosial, ekonomi dan politik yang dialami masyarakat Islam.

Krisis itu mendorong lahirnya kelompok Islam tertentu yang cuba mentafsirkan ayat al-Quran yang berkaitan peristiwa keganasan secara literal dan sejarah.

Bagi golongan ini jihad menurutnya, tidak memiliki dasar, baik dalam teks al-Quran mahupun teologi Islam, sebaliknya ditekankan pembawaan konsep jihad disebabkan konflik sosial dan politik.

Kelompok yang lebih militan ini meyakini perbuatan ini direstui Allah SWT dengan merujuk kepada nas al-Quran yang menghalalkan perbuatannya atau mendukung orientasi teologi tidak bertoleransi dan sifat eksklusif mereka sendiri.

Mereka kerap mengungkapkan ayat al-Quran yang menyatakan bahawa: Barang siapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) darinya, dan dia di akhirat akan termasuk orang-orang yang rugi. (Surah Ali Imran ayat 85)

Ayat ini diungkapkan untuk mendukung pendapat bahawa teologi dan amalan Islam adalah satu-satunya jalan menuju keamanan.

Lebih daripada itu, pengakuan keimanan semata-mata atau sekadar melakukan kepatuhan kepada Tuhan secara umum tidaklah cukup untuk mendapatkan keselamatan di akhirat, tetapi seseorang harus tunduk patuh pada hukum Tuhan supaya dapat digolongkan sebagai penganut Islam `sejati'.

Militan tolak semua bentuk kepercayaan

Oleh kerana itu, gerakan militan dengan keras menolak semua bentuk kepercayaan dan amalan yang tidak dapat digolongkan sebagai agama Tuhan yang sejati.

Menyentuh prinsip yang harus digunakan dalam interaksi antara orang Islam dan bukan Islam, doktrin militan menggunakan ayat al-Quran yang memerintahkan kaum Islam untuk memerangi kaum kafir, hingga tidak ada kekacauan dan penindasan, dan hingga agama itu semata-mata untuk Allah. (Surah al-Anfal ayat 39)

Selain itu, untuk membenarkan pandangan yang menyatakan adanya kepimpinan terhadap bukan Islam, pendukung militan ini sering menggunakan perintah al-Quran: Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman pada hari kemudian dan mereka tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan Allah dan Rasul-Nya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (iaitu orang-orang) yang diberikan al-Kitab kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sampai mereka membayar pajak (jizyah) dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk. (Surah At-Taubah ayat 29).

Al-Quran terus-menerus memerintahkan kepada orang Islam untuk menganjurkan kebaikan. Kata yang digunakan untuk `kebaikan' adalah makruf, yang bererti sesuatu yang secara umum dianggap baik.

Gagasan bahawa kaum Muslim harus menjadi penegak keadilan meskipun bertentangan dengan kepentingan peribadi mereka, berdasar pada pandangan bahawa manusia mampu menjadi pelaksana moral yang tinggi.

Pelaksana moral

Melalui pelaksanaan moral, umat Islam diharapkan mencapai tingkat kesedaran moral yang akan mereka bawa pada hubungan mereka dengan Tuhan.

Wacana al-Quran, misalnya dengan mudah dapat mendukung etika perbezaan dan toleransi. Al-Quran tidak hanya mengharapkan tetapi juga menerima kenyataan perbezaan dan keragaman dalam masyarakat manusia:
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. (Surah Al-Hujurat ayat 13)

Al-Quran sendiri sangat jelas melarang setiap bentuk paksaan dalam memeluk Islam. Al-Quran menyatakan bahawa kebenaran dan kesesatan adalah jelas dan nyata sehingga siapa pun yang ingin beriman akan beriman, tetapi tidak ada paksaan dalam agama: Tidak ada paksaan dalam persoalan iman. (Al-Baqarah ayat 256; Yunus ayat 99; Al-Kahfi ayat 29)

Menariknya, tradisi Islam tidak mempunyai pandangan mengenai perang suci. Jihad ertinya hanya berjuang untuk mencari keadilan, dan menurut Nabi Muhammad SAW, jihad paling utama adalah perjuangan yang dilakukan seseorang untuk membersihkan hawa nafsu dari hatinya. Perang suci (al-harb al-Muqaddasah) bukan istilah yang digunakan oleh teks al-Quran.

Dalam teologi Islam, perang tidak pernah suci, baik sah mahupun tidak. Teks al-Quran tidak mengenal gagasan perang tak terbatas dan tidak mempertimbangkan adanya fakta sederhana tentang identiti Islam yang agresif dalam menegakkan keadilannya sendiri.

Lebih daripada itu, meskipun al-Quran menekankan bahawa umat Islam mesti melawan orang yang memerangi mereka, al-Quran juga menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh melampaui batas.

- BERITA HARIAN

Cuaca Panas : Nasihat Kepada Orang Ramai

 

1. Cuaca panas memberi tekanan fizikal kepada tubuh manusia. Kesan terhadap kesihatan boleh jadi dari tahap sederhana (mild) kepada yang boleh menyebabkan maut contohnya akibat strok haba.

2. Semua orang berisiko menjadi mangsa cuaca panas. Walau bagaimanapun, terdapat kumpulan yang lebih berisiko:

>>Mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti fizikal di luar seperti buruh, peladang, ahli sukan, tentera, polis dan lain-lain.
>>Orang dewasa (berumur 40 tahun ke atas mempunyai risiko 10 kali ganda berbanding dengan mereka yang lebih muda).
>>Kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah.
>>Penghidap penyakit sistem pernafasan.
>>Penghidap penyakit darah tinggi, jantung, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid.

Risiko bertambah jika mereka memakai pakaian yang tebal dan ketat yang menghalang haba keluar daripada penyejatan/ pengeringan peluh.

3. Gejala cuaca panas melampau adalah :

Sakit kepala
Keletihan
Lemah tumpuan
Pening
Lemah otot–otot atau kekejangan
Mual dan muntah
Keadaan yang terlalu teruk boleh menyebabkan dehidrasi (kekeringan), kekeliruan dan tidak sedarkan diri (koma).

4. Cara mencegah atau mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas melampau:

4.1 Anda Perlu :

>>Minum air kosong dengan banyak tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang anda lakukan. Jangan tunggu sehingga anda dahaga.
>>Minum minuman isotonik kerana ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.
>>Sejauh yang mana yang boleh, anda perlu berada di dalam rumah/bangunan
>>Hadkan aktiviti luar
>>Kerap berehat
>>Mandi atau gunakan kipas angin untuk menyejukkan tubuh badan anda
>>Pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang dan longgar.
>>Pakai topi atau payung yang besar

4.2 Elakkan:

>>Minum minuman yang mengandungi kafein, alkohol, atau kandungan gula yang tinggi.
>>Membiarkan seseorang di dalam kereta yang tertutup.
>>Bersenam dalam cuaca panas

5. Jika anda mempunyai tanda-tanda masalah berkaitan dengan suhu panas, ingat tip-tip di bawah;

>>Keluar dari kawasan yang panas
>>Tanggalkan pakaian yang ketat
>>Letakkan kain yang basah dan sejuk pada badan
>>Gunakan kipas untuk sejukkan badan
>>Minum air setiap 15 minit
>>Dapatkan bantuan jika keadaan tidak dapat dikawal

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia


 

Lahad Datu: Lokasi persembunyian penceroboh Sulu kini bersih

Sembilan kampung yang menjadi lokasi pertempuran dan persembunyian militan dari selatan Filipina sepanjang Operasi Daulat telah digeledah dan disahkan bersih daripada ancaman pengganas.
   
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata proses pemindahan penduduk yang mendiami pusat penempatan sementara ke kampung berkenaan giat dijalankan, kecuali Kampung Tanduo yang ditutup.
   
"Penduduk dari Kampung Sungai Nyamuk, Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Tanagian yang ditempatkan di pusat penempatan sementara telah mula dipindahkan ke kampung masing-masing.
   
"Malah kawasan Sungai Bilis, Lok Sembuang dan Lok Buani juga telah selesai digeledah dan dibersihkan, dengan itu, boleh dikatakan seluruh kawasan Operasi Daulat telah bersih dan orang kampung juga telah dibenar untuk kembali ke rumah masing-masing," katanya dalam sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat
16 hari ini.
   
Beliau berkata tiga daripada empat dewan serba guna di Felda Sahabat yang dijadikan pusat penempatan sementara iaitu Fajar Harapan, Cenderawasih dan Gemala Pura juga telah ditutup kecuali Embara Budi disebabkan ada rumah penduduk yang mendiami pusat itu rosak sepenuhnya.
   
Beliau berkata walaupun pusat pemindahan sementara di kawasan Felda akan ditutup sepenuhnya, Operasi Daulat tetap diteruskan kerana fokus utama operasi ialah memastikan seluruh kawasan Lahad Datu, Semporna dan Sandakan benar-benar selamat.
   
Dalam perkembangan berkaitan, Hamza berkata lapan lagi individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 didakwa di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu yang dijadikan mahkamah sementara.
   
"Sehingga kini, 16 orang yang ditahan di bawah Sosma telah dituduh di mahkamah," katanya.
   
Mengulas laporan media Filipina bahawa 100 orang memasuki perairan Sabah untuk membantu saki-baki pengganas, Hamza berkata: "Mereka boleh mengatakan apa sahaja tetapi saya telah nyatakan bahawa keselamatan di negeri Sabah adalah terjamin".
   
Dalam pada itu, Hamza berkata pasukan keselamatan mempunyai kepakaran tersendiri dalam menangani taktik pengganas yang mungkin cuba menyamar sebagai orang tempatan dengan berpakaian seperti penduduk kampung.

- BERNAMA

Recent Posts