Rabu, April 03, 2013

Kanser kolon ancam wanita

Wanita perlu peka dengan perubahan seperti buang air besar yang disertai darah, perubahan dalam corak pembuangan air besar seperti ada rasa tidak puas dan kesakitan di bahagian perut.

Fakta ini diberitahu oleh Pakar Perunding Kanan Gastroenterologi dari Kumpulan Pakar Perubatan Sime Darby, Datin Dr. Sharmila Sachitananadan, yang menjelaskan, di negara ini kanser kolon merupakan kanser nombor satu bagi lelaki dan nombor dua bagi wanita.

Biarpun nombor dua untuk wanita iaitu selepas kanser payu dara, ini merupakan satu penyakit yang semakin mengancam nyawa golongan tersebut.

“Memang ini satu masalah besar, namun orang ramai masih belum begitu sedar mengenainya.

“Perlu diberitahu kepada wanita bahawa kanser kolon adalah satu penyakit yang boleh diubati dan boleh dicegah.

“Sebab itu saya amat menyarankan wanita yang berusia 50 tahun ke atas menjalani saringan secara berkala.

“Kalau dilihat di negara maju, saringan awal penyakit ini berupaya menyelamatkan nyawa lebih 50 peratus wanita di Eropah," ujar Dr. Sharmila yang ditemui di Pusat Kanser Sime Darby Medical Centre, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, di Malaysia hanya kira-kira 10 peratus sahaja wanita menjalani saringan bagi mengesan kanser kolon.

Golongan wanita perlu sedar bahawa ketika usia mereka menginjak ke 40dan 50 tahun banyak perubahan yang berlaku dan jangan terlalu bersangka baik dengan mengatakan adalah sesuatu yang normal untuk mengalami ketidakselesaan pada usia tersebut.

“Memang wanita sudah biasa menanggung pelbagai simptom kesakitan dan stigma pada wanita yang lebih risau kanser payu dara kanser servik ‘mematikan’ pemikiran mereka bahawa mereka turut boleh terkena kanser kolon.

“Selain itu, masih ramai beranggapan kanser ini hanya dihidapi oleh lelaki.

“Berdasarkan kajian, saya mendapati 30 peratus wanita malu untuk mendapatkan rawatan, manakala 20 peratus lagi takut dan selebihnya tidak mempunyai maklumat secukupnya tentang penyakit ini," ujar beliau yang juga merupakan pensyarah perubatan.

- UTUSAN

Politik baru lepas PRU ke-13 - Dr Maza

Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin Saya teringatkan keadaan Saidina ‘Ali bin Abi Talib RA yang menjadi khalifah selepas krisis paling besar dalam sejarah umat Islam iaitu peristiwa pembunuhan khalifah ketiga, Saidina ‘Uthman bin ‘Affan. Umat Islam terpinga-pinga dengan keadaan politik baru ketika itu. Suatu pengalaman yang cukup baru, khalifah dibunuh dan pemberontak menguasai negara. Dalam celahan itu, dengan desakan pemberontak dan umat Islam juga sebahagiannya bersetuju maka terlantiknya ‘Ali bin Abi Talib memegang jawatan khalifah. Gawat Suasana prasangka memenuhi dunia Islam ketika itu. Ini persis kata-kata Abu al-Hassan ‘Ali al-Nadwi: "Pelantikan Saidina ‘Ali sebagai khalifah dibuat dalam keadaan yang paling gawat dan penuh dengan ujian getir dalam sejarah. Ini kerana apabila ‘Ali dilantik sebagai pimpinan kerajaan dan masyarakat atau dibai'ah sebagai khalifah dalam keadaan peristiwa syahidnya Khalifah al-Muslimin ‘Uthman ibn ‘Affan RA baharu sahaja berlaku dengan cara yang paling keji, kejam dan ganas. "Pada zaman itu terkumpul faktor-faktor negatif seperti ketidakpuasan hati, sentuhan perasaan dan jiwa. Banyak pula khabar angin, persoalan dan salah faham yang timbul. Perasaan ingin tahu dan meminta penjelasan semakin melonjak-lonjak. Berita syahidnya ‘Uthman menjadi tajuk perbualan di mana-mana. "Suara orang ramai kedengaran di sana-sini meminta pelaksanaan hukuman bunuh balas terhadap pembunuh ‘Uthman. Begitulah keadaan masyarakat manusia pada setiap masa dan zaman apabila berlakunya kejadian yang asing bagi mereka. Maka hilanglah ketenteraman dan ketenangan". (Al-Nadwi, Al-Murtadha, ms 141. Dar al-Qalam: Damsyik) 'Ali menerima jawatan tersebut dalam keadaan yang demikian. Hasilnya, berlakulah pergolakan politik yang dahsyat. Perpecahan rakyat, kemunculan pelbagai aliran mazhab, pertumpahan darah dan seumpamanya. Saya tertarik dengan jawapan Abdullah bin ‘Abbas apabila ‘Ali bertanya pandangannya tentang keadaan polisi-polisi yang ‘Ali ambil pada masa tersebut. Antaranya, Abdullah bin ‘Abbas berpendapat sepatutnya semasa pembunuhan ‘Uthman, ‘Ali keluar ke Mekah dan tinggal di sana. Apabila orang ramai tidak dapat mencari pengganti khalifah mereka akan mencari ‘Ali dan menjemputnya ke Madinah lalu melantiknya sebagai khalifah. Ini tentu tidak akan menimbulkan sebarang sangkaan buruk Bani Umayyah. Namun apa yang berlaku sekarang ialah ‘Ali menggantikan jawatan khalifah yang dibunuh ketika beliau sendiri berada di Madinah. Sudah tentu ada pihak yang menganggap ‘Ali perlu dipertanggungjawabkan (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/438-439. Rawa‘i al-Turath al-Islami: Beirut). Tempoh perubahan Pandangan Ibn ‘Abbas itu ada benarnya. Ketika negara dalam krisis kepimpinan, pemimpin yang selamat ialah pemimpin yang berkemampuan yang digesa oleh rakyat untuk memimpin mereka. Ini lebih baik dari pemimpin yang mengambil kedudukan dalam keadaan rakyat masih terpinga-pinga. Ya, walaupun pemimpin penyelamat semasa gawat juga diperlukan, namun sangat terdedah kepada pelbagai fitnah dan ketidakpuasan hati rakyat. Hal yang sama kita lihat berlaku kepada Presiden Morsi di Mesir sekarang. Oleh kerana banyak dan tingginya ‘expectation' rakyat, di samping kekangan pelaksanaan yang ada disebabkan saki baki regim yang lepas dan pengalaman yang belum cukup baik, maka ia merupakan saat yang paling mencabar dan mudah disalahfahami. Dr Morsi akhirnya dilihat terpaksa bertindak dengan gaya yang sedikit sebanyak ada persamaan dengan regim Mubarak yang lepas. Di samping al-Ikhwan al-Muslimin yang berpecah dan mempunyai beberapa pendekatan yang kontraversi dalam politik perubahan. Keadaan ini kadang-kala menunjukkan ada baiknya tokoh-tokoh gerakan Islam dan ilmuwan dalam masa transisi politik berjalan hendaklah bersabar dengan memberi laluan kepada pihak lain terlebih dahulu. Apa yang penting hendaklah dipastikan pihak lain tersebut mendokong hasrat perubahan kepada yang lebih baik. Selepas tempoh yang rumit dan mood rakyat hendakkan perubahan yang seterusnya, maka di situ mungkin peranan tokoh-tokoh yang berwibawa akan lebih berkesan. Mungkin laluan terpaksa diberikan kepada orang yang kurang kualiti tetapi mampu menjayakan perubahan yang seterusnya. Nabi menyatakan kadang-kala orang yang jahat secara tidak langsung dapat membantu agama. Sabda Nabi SAW: "Tidak akan masuk syurga melainkan orang yang beriman, dan sesungguhnya Allah (kadang-kala) menolong agama ini dengan lelaki jahat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Cabaran Keadaan dalam masa transisi mungkin banyak perkara tidak dapat dilaksanakan. Suasana yang tidak kondusif akan menggagalkan banyak idea-idea yang baik. Hal ini dirasai oleh Khalifah ‘Ali bin Abi Talib apabila dia dipersoalkan tentang kegagalan melaksanakan undang-undang ke atas pembunuh khalifah ‘Uthman bin ‘Affan. Para sahabat Nabi SAW termasuk Talhah dan al-Zubayr telah menemui ‘Ali meminta kepadanya: "Wahai ‘Ali! Kami mengisyaratkan agar engkau menegakkan hukum bunuh balas. Mereka adalah kaum yang terlibat dalam konspirasi pembunuhan ‘Uthman dan menghalalkannya. Jawab ‘Ali: "Wahai saudaraku! Sesungguhnya aku bukannya jahil tentang apa yang kamu semua tahu. Namun apa yang boleh aku lakukakn terhadap suatu kaum yang menguasai kita dan kita tidak mampu menguasai mereka. "Hamba kamu dan golongan badawi yang ada telah menyertai mereka. Hamba kamu dan golongan badawi yang ada telah menyertai mereka. Mereka berada di tengah-tengah kamu dan bertindak apa sahaja yang mereka suka. Apakah kkamu melihat adanya kemampuan terhadap apa yang kamu mahu?" (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/ 437). Akhirnya, Ali yang diheret ke dalam kancah perbalahan sesama sahabah Nabi SAW yang padahal kesemua mereka mempunyai hasrat baik yang sama. Proses perubahan yang paling mencabar ialah setelah sesuatu regim ataupun kuasa yang dinyahkan rakyat itu tumbang. Seringkali mengisi kemenangan jauh lebih sukar dan mencabar dibandingkan merebahkan sesuatu kuasa. Saki-baki kesan kuasa yang lepas, mentaliti rakyat, mentaliti dan sikap pendokong perubahan itu sendiri setelah mencapai kemenangan, kemampuan idealisme dan kewibawaan kepimpinan menjadi cabaran bagi sesebuah kerajaan baru. Congakan politik hendaklah kemas kepada sesiapa yang membuat keputusan yang menjadi pemimpin utama sebaik sahaja mana-mana regim ataupun kuasa ditukar. Al-Rabi' al-‘Arabi (Arab Spring) memberi banyak pengajaran kepada pejuang perubahan. Pasca PRU-13 Kita inginkan landskap baru politik bagi negara ini setelah nanti berlangsungnya ibu segala pilihan raya bagi negara ini iaitu PRU-13. Kita ingin melihat tamatnya krisis politik warisan kepada kemunculan urus tadbir yang sangat baik sebuah kerajaan (good governance). Bermula dari kita tidak ingin lagi mendengar kisah pertarungan politik Mahathir-Anwar yang tidak habis-habis dan memakan korban pelbagai pihak, kepada tamatnya monopoli kerajaan terhadap harga diri rakyat, kronisme, rasuah, penyalah gunaan kuasa seperti di Sarawak dan seumpamanya. Kita tidak ingin lagi memilih pemimpin yang kurang buruk secara perbandingan, tetapi ingin memilih pemimpin yang terbaik antara yang terbaik. Era dan warisan krisis politik Mahathir-Anwar mestilah diakhirkan kepada nafas politik baru yang lebih segar. Kita mesti pencenkan dinasour-dinasour politik yang sedia ada samada di pihak BN ataupun Pakatam. Di samping semua mereka ada sumbangan tersendiri dan kita menghargainya, tetapi mereka telah membawa dendam warisan, politik era lama yang tidak sesuai lagi bagi generasi yang mahu ke hadapan. Kita mahu politik yang lebih segar bukan politik selak kain, tetapi politik telus dan idea yang bernas. Ini harapan kita. Masih banyak kerja yang perlu dibuat selepas PRU-13. Masih banyak ruang untuk diisi dan perjuangan yang mesti dilangsungkan. Kita ingin melihat Malaysia baru yang segar dan bebas dari mimpi-mimpi buruk semalam. Namun kita sedar semua itu tidak boleh berlaku melainkan PRU13 mesti mencetus satu perubahan besar yang memberi ruang dan peluang untuk perubahan seterusnya dapat dilakukan. - MALAYSIAKINI

Kelainan Samsung Galaxy S4


Peneraju  global dalam media dan teknologi digital, Samsung Electronics Co. Ltd. baru-baru ini mengumumkan pelancaran Galaxy S4, generasi keempat dalam rangkaian Galaxy S.

Gajet terbaharu itu dibangun bagi melengkapkan keperluan pengguna masa kini yang melihat pembangunan teknologi memainkan peranan penting dalam memaksimumkan perlaksanaan kehidupan harian.

Menariknya mengenai generasi keempat berkenaan, mempunyai paparan Super AMOLED berdefinisi penuh (HD) yang pertama di dunia dan dilengkapi dengan kamera belakang 13 mega piksel.

Selain itu, reka bentuknya lebih kukuh dengan skrin bersaiz lima inci, bateri seberat 170 gram yang menjadikannya tampak nipis sekali gus lebih mudah dipegang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Samsung, Galaxy S4 merupakan telefon bimbit pintar dengan hanya berukuran 7.9 milimeter serta dibangunkan berdasarkan kepada keperluan dan harapan pengguna seluruh dunia.

Menurut Presiden dan juga Ketua Bahagian Teknologi Maklumat (IT) dan Komunikasi Mudah Alih Samsung, JK Shin, pihaknya akan terus menaiktaraf inovasi yang diperoleh daripada bayangan pengguna dan dalam masa yang sama akan menjadikan keinginan mereka sebagai satu kenyataan.

“Galaxy S4 juga dilengkapi dengan teknologi Gorilla Glass Corning 3 yang tahan lasak dan setiap gambar yang dirakam mampu merekod bunyi yang mampu membuatkan anda mengingati kenangan indah serta berkongsi setiap saat dalam setiap gambar lebih dengan jelas," katanya.

Pada edisi pengenalan sempena majlis pelancarannya baru-baru ini, gajet itu ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu hitam dan putih dengan pilihan warna tambahan bakal menyusul akhir tahun ini.

Samsung masih mengekalkan rekaan sama seperti rangkaian Galaxy S terdahulu, S3 dengan bahan plastik premium yang menjadikan model terbabit berjaya dinipiskan dengan resolusi skrin 441 pixel per inchi (ppi).

Selain itu, teknologi Airview juga membolehkan operasi sentuh skrin menumpukan speed dial dengan mengeluarkan gambar dari nombor satu hingga sembilan.

Pada masa sama, fungsi WatchON diperkemas menjadi alat kawalan televisyen manakala album foto memungkinkan pengguna memasukkan audio dalam setiap rakaman yang diambil.

Terdapat dua ciri menarik pada inovasi Group Play yang mana pengguna boleh berkongsi muzik menggunakan pelbagai jenis telefon sebagai pembesar suara selain bermain permainan dalam talian bersama telefon lain tanpa sambungan data, Wi-Fi atau Bluetooth.

Bagi sesetengah pengguna telefon bimbit pintar, kekangan bahasa amat merumitkan namun aplikasi

S Translator yang terdapat pada Galaxy S4 mampu memberi terjemahan segera dengan hanya menggunakan teks atau menyuarakan terjemahan atas permohonan termasuk e-mel, pesanan teks dan ChatON.

Samsung Galaxy S4 kini boleh didapati bermula suku kedua tahun ini secara global dan bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan informasi tambahan mengenai gajet ini boleh layari laman web www.samsungmobilepress.com

- UTUSAN

 

Mimpi buruk gangguan syaitan

TIDUR merupakan perkara penting yang selalu dibincangkan dalam cara hidup seorang muslim. Malah al-Quran dan hadis menggariskan amalan tidur dan kepentingannya untuk dijadikan panduan.

Al-Quran dan hadis menyentuh beberapa garis panduan dan jenis tidur yang diperlukan oleh setiap makhluk yang bernyawa.

Pelbagai kajian sains moden telah dijalankan dan mendapati kandungan al-Quran selari dengan peringkat tidur yang dibuktikan melalui penyelidikan sains.

Selain itu, al-Quran turut membincangkan tentang manfaat yang diperoleh daripada tidur dan menekankan kepentingan mengekalkan corak cahaya ketika tidur.

Bagaimanapun, kebanyakan masyarakat sering mengalami gangguan tidur sehingga menyebabkan prestasi kerja dan kehidupan seharian turut terjejas.

Jenis gangguan tidur

Presiden Gabungan Persatuan Pengamal Pengubatan Islam, Mohd. Fauzi Mustaffa berkata, terdapat tiga bentuk gangguan tidur yang biasa dialami oleh manusia.

"Jenis gangguan tidur boleh dikategorikan kepada penyakit fizikal, mengigau disebabkan aktiviti yang dilakukan sebelum tidur contohnya menonton filem seram dan ketiga gangguan daripada syaitan.

"Mereka yang mengalami mimpi buruk seperti terjun bangunan atau terperangkap dalam situasi mencemaskan dinasihatkan agar lekas bangun daripada tidur dan membuat isyarat seakan-akan ingin meludah ke kiri sebanyak tiga kali," jelasnya.

Isyarat meludah itu merupakan sunnah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika baginda mengalami mimpi buruk.

Menurutnya, mimpi buruk datang daripada syaitan dan kita ditegah untuk menceritakan perihal mimpi buruk tersebut kepada orang lain kerana bimbang ia mendatangkan fitnah seperti dituduh memiliki saka.

"Apabila seseorang tidur, dia telah masuk ke alam roh dan ketika itulah rohnya dikejar oleh syaitan. Jika mimpi buruk dibiarkan berterusan tanpa dirawat boleh memudaratkan dan menghilangkan keyakinan diri seseorang.

"Oleh itu, orang Islam dinasihatkan agar membaca doa sebelum tidur dan ayat Kursi bagi mengelakkan gangguan syaitan," ujar Mohd. Fauzi.

Bagi meningkatkan kecerdasan badan selepas bangun daripada tidur, setiap individu perlu mengamalkan bacaan doa bangun tidur, surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas.

Usai membaca ayat suci tersebut, pengamal dikehendaki menghembus kepada tapak tangan kemudian disapu pada keseluruhan anggota badan dan disusuli dengan solat Subuh atau sunat.

Tambah Mohd. Fauzi, tubuh dan roh manusia diikat sebanyak tiga ikatan oleh syaitan pada setiap kali hendak tidur untuk menghalang mereka melaksanakan amalan kebajikan.

Setiap ikatan tersebut akan terputus selepas individu itu membaca doa bangun tidur, mengambil wuduk dan solat Subuh.

"Ketiga-tiga amalan tersebut mesti dilakukan bagi memutuskan tiga ikatan syaitan yang membuatkan badan kita lemah. Jika salah satu amalan itu ditinggalkan, badan kita mudah lesu.

"Petua untuk mendapatkan tidur lena pula adalah dengan membaca doa tidur, surah tiga Kul, ayat Kursi, minum susu kambing, cuka epal yang dicampur dengan segelas air suam dan madu serta basuh kaki sebelum tidur," ujarnya yang berkongsi tip tidur kepada orang yang mengalami masalah imsonia.

Dalam pada itu, masyarakat beragama Islam juga digalakkan agar tidur sejenak sebelum waktu Zuhur bagi mengecas tenaga yang diperlukan badan untuk kekal cergas.

- KOSMO!

Selasa, April 02, 2013

Mewujudkan sikap saling memahami

Oleh Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir
Yang DiPertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Sejarah kehidupan manusia kadang-kadang menampilkan fakta muram dalam penerapan kehendak Ilahi. Ada pihak mengeksploitasi nama agama untuk menindas sesama manusia, melahirkan keganasan dan sikap radikal. Pada hal, hukum Ilahi itu untuk kesejahteraan dan kebahagiaan manusia.

Namun manusia atas nama hukum Tuhan ketika melaksanakan hukum itu, merosakkan keadilan pada manusia lainnya.

Meskipun al-Quran menekankan bahawa umat Islam mesti melawan orang yang memerangi mereka, al-Quran juga menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh melampaui batas.

Kita harus mewujudkan sikap saling memahami dalam melaksanakan apa yang kita yakini. Kita tidak dapat memaksa pandangan kita diterima melalui kekerasan, tetapi kita dapat menyampaikan pandangan kita dengan berdebat dan ikhlas.

Penjelasan masuk akal

Penjelasan yang masuk akal akan memberikan kepuasan akal dan kerelaan untuk mempercayai apa yang disampaikannya, sedangkan penjelasan yang dipaksakan akan menimbulkan tekanan dan saling tidak percaya.

Dialog yang penuh dengan saling memahami menjadi tali penghubung persaudaraan manusia.
Tindakan pelampau di kalangan orang Islam bukanlah disebabkan agama itu sendiri, melainkan disebabkan oleh eksploitasi politik atas simbol Islam serta krisis sosial, ekonomi dan politik yang dialami masyarakat Islam.

Krisis itu mendorong lahirnya kelompok Islam tertentu yang cuba mentafsirkan ayat al-Quran yang berkaitan peristiwa keganasan secara literal dan sejarah.

Bagi golongan ini jihad menurutnya, tidak memiliki dasar, baik dalam teks al-Quran mahupun teologi Islam, sebaliknya ditekankan pembawaan konsep jihad disebabkan konflik sosial dan politik.

Kelompok yang lebih militan ini meyakini perbuatan ini direstui Allah SWT dengan merujuk kepada nas al-Quran yang menghalalkan perbuatannya atau mendukung orientasi teologi tidak bertoleransi dan sifat eksklusif mereka sendiri.

Mereka kerap mengungkapkan ayat al-Quran yang menyatakan bahawa: Barang siapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) darinya, dan dia di akhirat akan termasuk orang-orang yang rugi. (Surah Ali Imran ayat 85)

Ayat ini diungkapkan untuk mendukung pendapat bahawa teologi dan amalan Islam adalah satu-satunya jalan menuju keamanan.

Lebih daripada itu, pengakuan keimanan semata-mata atau sekadar melakukan kepatuhan kepada Tuhan secara umum tidaklah cukup untuk mendapatkan keselamatan di akhirat, tetapi seseorang harus tunduk patuh pada hukum Tuhan supaya dapat digolongkan sebagai penganut Islam `sejati'.

Militan tolak semua bentuk kepercayaan

Oleh kerana itu, gerakan militan dengan keras menolak semua bentuk kepercayaan dan amalan yang tidak dapat digolongkan sebagai agama Tuhan yang sejati.

Menyentuh prinsip yang harus digunakan dalam interaksi antara orang Islam dan bukan Islam, doktrin militan menggunakan ayat al-Quran yang memerintahkan kaum Islam untuk memerangi kaum kafir, hingga tidak ada kekacauan dan penindasan, dan hingga agama itu semata-mata untuk Allah. (Surah al-Anfal ayat 39)

Selain itu, untuk membenarkan pandangan yang menyatakan adanya kepimpinan terhadap bukan Islam, pendukung militan ini sering menggunakan perintah al-Quran: Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman pada hari kemudian dan mereka tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan Allah dan Rasul-Nya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (iaitu orang-orang) yang diberikan al-Kitab kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sampai mereka membayar pajak (jizyah) dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk. (Surah At-Taubah ayat 29).

Al-Quran terus-menerus memerintahkan kepada orang Islam untuk menganjurkan kebaikan. Kata yang digunakan untuk `kebaikan' adalah makruf, yang bererti sesuatu yang secara umum dianggap baik.

Gagasan bahawa kaum Muslim harus menjadi penegak keadilan meskipun bertentangan dengan kepentingan peribadi mereka, berdasar pada pandangan bahawa manusia mampu menjadi pelaksana moral yang tinggi.

Pelaksana moral

Melalui pelaksanaan moral, umat Islam diharapkan mencapai tingkat kesedaran moral yang akan mereka bawa pada hubungan mereka dengan Tuhan.

Wacana al-Quran, misalnya dengan mudah dapat mendukung etika perbezaan dan toleransi. Al-Quran tidak hanya mengharapkan tetapi juga menerima kenyataan perbezaan dan keragaman dalam masyarakat manusia:
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. (Surah Al-Hujurat ayat 13)

Al-Quran sendiri sangat jelas melarang setiap bentuk paksaan dalam memeluk Islam. Al-Quran menyatakan bahawa kebenaran dan kesesatan adalah jelas dan nyata sehingga siapa pun yang ingin beriman akan beriman, tetapi tidak ada paksaan dalam agama: Tidak ada paksaan dalam persoalan iman. (Al-Baqarah ayat 256; Yunus ayat 99; Al-Kahfi ayat 29)

Menariknya, tradisi Islam tidak mempunyai pandangan mengenai perang suci. Jihad ertinya hanya berjuang untuk mencari keadilan, dan menurut Nabi Muhammad SAW, jihad paling utama adalah perjuangan yang dilakukan seseorang untuk membersihkan hawa nafsu dari hatinya. Perang suci (al-harb al-Muqaddasah) bukan istilah yang digunakan oleh teks al-Quran.

Dalam teologi Islam, perang tidak pernah suci, baik sah mahupun tidak. Teks al-Quran tidak mengenal gagasan perang tak terbatas dan tidak mempertimbangkan adanya fakta sederhana tentang identiti Islam yang agresif dalam menegakkan keadilannya sendiri.

Lebih daripada itu, meskipun al-Quran menekankan bahawa umat Islam mesti melawan orang yang memerangi mereka, al-Quran juga menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh melampaui batas.

- BERITA HARIAN

Cuaca Panas : Nasihat Kepada Orang Ramai

 

1. Cuaca panas memberi tekanan fizikal kepada tubuh manusia. Kesan terhadap kesihatan boleh jadi dari tahap sederhana (mild) kepada yang boleh menyebabkan maut contohnya akibat strok haba.

2. Semua orang berisiko menjadi mangsa cuaca panas. Walau bagaimanapun, terdapat kumpulan yang lebih berisiko:

>>Mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti fizikal di luar seperti buruh, peladang, ahli sukan, tentera, polis dan lain-lain.
>>Orang dewasa (berumur 40 tahun ke atas mempunyai risiko 10 kali ganda berbanding dengan mereka yang lebih muda).
>>Kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah.
>>Penghidap penyakit sistem pernafasan.
>>Penghidap penyakit darah tinggi, jantung, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid.

Risiko bertambah jika mereka memakai pakaian yang tebal dan ketat yang menghalang haba keluar daripada penyejatan/ pengeringan peluh.

3. Gejala cuaca panas melampau adalah :

Sakit kepala
Keletihan
Lemah tumpuan
Pening
Lemah otot–otot atau kekejangan
Mual dan muntah
Keadaan yang terlalu teruk boleh menyebabkan dehidrasi (kekeringan), kekeliruan dan tidak sedarkan diri (koma).

4. Cara mencegah atau mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas melampau:

4.1 Anda Perlu :

>>Minum air kosong dengan banyak tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang anda lakukan. Jangan tunggu sehingga anda dahaga.
>>Minum minuman isotonik kerana ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.
>>Sejauh yang mana yang boleh, anda perlu berada di dalam rumah/bangunan
>>Hadkan aktiviti luar
>>Kerap berehat
>>Mandi atau gunakan kipas angin untuk menyejukkan tubuh badan anda
>>Pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang dan longgar.
>>Pakai topi atau payung yang besar

4.2 Elakkan:

>>Minum minuman yang mengandungi kafein, alkohol, atau kandungan gula yang tinggi.
>>Membiarkan seseorang di dalam kereta yang tertutup.
>>Bersenam dalam cuaca panas

5. Jika anda mempunyai tanda-tanda masalah berkaitan dengan suhu panas, ingat tip-tip di bawah;

>>Keluar dari kawasan yang panas
>>Tanggalkan pakaian yang ketat
>>Letakkan kain yang basah dan sejuk pada badan
>>Gunakan kipas untuk sejukkan badan
>>Minum air setiap 15 minit
>>Dapatkan bantuan jika keadaan tidak dapat dikawal

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia


 

Lahad Datu: Lokasi persembunyian penceroboh Sulu kini bersih

Sembilan kampung yang menjadi lokasi pertempuran dan persembunyian militan dari selatan Filipina sepanjang Operasi Daulat telah digeledah dan disahkan bersih daripada ancaman pengganas.
   
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata proses pemindahan penduduk yang mendiami pusat penempatan sementara ke kampung berkenaan giat dijalankan, kecuali Kampung Tanduo yang ditutup.
   
"Penduduk dari Kampung Sungai Nyamuk, Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Tanagian yang ditempatkan di pusat penempatan sementara telah mula dipindahkan ke kampung masing-masing.
   
"Malah kawasan Sungai Bilis, Lok Sembuang dan Lok Buani juga telah selesai digeledah dan dibersihkan, dengan itu, boleh dikatakan seluruh kawasan Operasi Daulat telah bersih dan orang kampung juga telah dibenar untuk kembali ke rumah masing-masing," katanya dalam sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat
16 hari ini.
   
Beliau berkata tiga daripada empat dewan serba guna di Felda Sahabat yang dijadikan pusat penempatan sementara iaitu Fajar Harapan, Cenderawasih dan Gemala Pura juga telah ditutup kecuali Embara Budi disebabkan ada rumah penduduk yang mendiami pusat itu rosak sepenuhnya.
   
Beliau berkata walaupun pusat pemindahan sementara di kawasan Felda akan ditutup sepenuhnya, Operasi Daulat tetap diteruskan kerana fokus utama operasi ialah memastikan seluruh kawasan Lahad Datu, Semporna dan Sandakan benar-benar selamat.
   
Dalam perkembangan berkaitan, Hamza berkata lapan lagi individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 didakwa di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu yang dijadikan mahkamah sementara.
   
"Sehingga kini, 16 orang yang ditahan di bawah Sosma telah dituduh di mahkamah," katanya.
   
Mengulas laporan media Filipina bahawa 100 orang memasuki perairan Sabah untuk membantu saki-baki pengganas, Hamza berkata: "Mereka boleh mengatakan apa sahaja tetapi saya telah nyatakan bahawa keselamatan di negeri Sabah adalah terjamin".
   
Dalam pada itu, Hamza berkata pasukan keselamatan mempunyai kepakaran tersendiri dalam menangani taktik pengganas yang mungkin cuba menyamar sebagai orang tempatan dengan berpakaian seperti penduduk kampung.

- BERNAMA

AirAsia tawar 2 juta tempat duduk percuma untuk 2014


Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd menawarkan 2  juta tempat duduk percuma ke pelbagai destinasi domestik dan antarabangsa, tidak termasuk cukai lapangan terbang dan surcaj bahan api mulai jam 12.01 pagi ini. 

Promosi itu ditawarkan untuk tempahan bermula 2 hingga 7 April 2013 bagi tempoh perjalanan bermula 1 Januari 2014 hingga 30 April 2014.  

Antara destinasi ditawarkan adalah Singapura, Krabi, Hatyai, Phnom Penh, Yangon, dan Jakarta di samping destinasi tempatan seperti Pulau Pinang, Alor Setar, Johor Bahru, Kota Bahru, Terengganu dan lain-lain.

Sempena promosi itu, AirAsia X turut menawarkan tambang rendah ke destinasi jarak jauh dari Kuala Lumpur ke lokasi seperti Taiwan, China, Jepun, Korea Selatan, Nepal dan Australia.

"Penumpang yang menempah penerbangan untuk perjalanan tahun depan boleh menikmati kemudahan tambahan melalui peningkatan frekuensi penerbangan ke destinasi seperti Chengdu, Sydney, Perth, Melbourne dan Taiwan. 

"Selain itu, penumpang berpeluang menempah penerbangan Fly-thru jarak jauh AirAsia X termasuk dari Australia (Sydney, Perth, Melbourne, Gold Coast) ke Nepal (Kathmandu), Jepun (Osaka) dan China (Chengdu, Hangzhou, Beijing, Shanghai) dan
lain-lain," menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Menurut AirAsia, tempahan boleh dibuat melalui laman web www.airasia.com atau di mobile.airasia.com dan aplikasi AirAsia untuk peranti iPhone dan Android.

 

 

Isnin, April 01, 2013

Jawatan Kosong Kementerian Luar Negeri (KLN) - Tarikh Tutup : 15 April 2013

JAWATAN:
- PEGAWAI TADBIR GRED N41

IKLAN JAWATAN DAN CARA MEMOHON:
http://www.kln.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=a99215f3-c1f5-44e3-b3ae-90e6894d8320&groupId=10136

Tarikh Tutup : 15 April 2013



Jawatan Kosong Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) - Tarikh Tutup : 10 April 2013

JAWATAN:
1. Juruukur Bahan Gred J41
2. Pegawai Kebudayaan Gred B11
3. Penghantar Notis Gred N3
4. Pegawai Tadbir Gred N41
5. Penolong Pegawai Tadbir Gred N27
6. Pembantu Tadbir Gred N17

MAKLUMAT LANJUT:
http://www.mbpj.gov.my/web/guest/job_vacancies

IKLAN JAWATAN:
http://www.mbpj.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=4dd877ea-b43e-4195-a45e-5c245d4aaea4&groupId=21857

BORANG PERMOHONAN ON-LINE:
http://myjob.mbpj.gov.my/home/login_aduan

Tarikh Tutup : 10 April 2013

Recent Posts