Ahad, Mac 31, 2013

Sejarah April Fool 1 April



Sebenarnya April Mop adalah sebuah perayaan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib yang dilakukan melalui cara-cara penipuan. Oleh sebab itulah mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun ia dikaburi dengan alasan kononnya ia hanya sekadar suatu hiburan atau gurauan belaka.

Kebiasaannya orang akan mengatakan bahawa April Fool (yang hanya berlaku pada tanggal 1 April) adalah hari di mana kita boleh menipu kawan, orang-orang tua, saudara-mara atau sesiap sahaja, dan mangsa gurauan itu pula tidak boleh marah atau beremosi apabila sedar bahawa dirinya telah menjadi sasaran April Fool. Biasanya si mangsa, jika sudah sedar terkena April Fool, maka dirinya juga akan ketawa bersama-sama atau hanya sekadar pada bengang, bukan betul-betul marah.

Walaupun ia tidak sehebat perayaan tahun baru atau Valentine's Day, budaya April Fool dalam dua dekad ini telah menggambarkan kecenderungan yang semakin menyatu dalam masyarakat ketika ini terutamanya di kalangan anak-anak muda. Tidak mustahil jika pada masa akan datang ia akan merebak ke masyarakat perkampungan. Ironinya, masyarakat dengan sangat mudah terikut-ikut budaya Barat ini tanpa kajian dan kritikan terlebih dahulu, sama ada adakah budaya itu baik ataupun tidak, atau adakah ia bermanfaat atau sebaliknya.

Perayaan April Fool bermula daripada suatu tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan. Perayaan April Fool atau dikenali sebagai The April's Fool Day, bermula daripada satu episod sejarah tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan yang menimpa kaum Muslimin di Sepanyol pada tahun 1487 M, atau bertepatan dengan 892 H.

Sejak Sepanyol dibebaskan oleh Islam pada abad ke-8 M oleh Amirul Jihad, Thariq bin Ziyad, Sepanyol beransur-ansur tumbuh menjadi negeri yang makmur. Tentera-tentera Islam bukan hanya berhenti di Sepanyol, malah terus-menerus melakukan pembebasan di kawasan-kawasan dalam Perancis. Perancis Selatan dengan sangat mudah dibebaskan. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan kawasan-kawasan yang lain telah dibebaskan oleh Islam. Walaupun tentera Islam kuat, pasukan Islam masih memberi peluang kepada suku Goth dan Navaro di daerah yang berada di sebelah barat di kawasan pergunungan. Islam tela hmemberikan kemakmuran di Sepanyol.

Oleh kerana sikap para penguasa Islam yang begitu baik dan rendah hati, ramai orang-orang Sepanyol yang kemudiannya dengan tulus dan ikhlas memeluk Islam. Umat Islam Sepanyol bukan sahaja beragama Islam, namun bersungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islami. Bukan sekadar membaca Al-Qur'an, namun bertingkah-laku berdasarkan Al-Qur'an. Mereka sentiasa mengatakan ‘tidak’ untuk arak, pergaulan bebas dan semua perkara yang dilarang oleh Islam. Keadaan yang harmoni ini berlangsung selama hampir 6 abad.

Selama itu juga, pihak kafir yang masih berada di sekeliling Sepanyol tanpa kenal penat lelah terus berusaha untuk menghancurkan Islam dalam Sepanyol. Namun, mereka sentiasa menemui kegagalan. Maka dihantarlah sejumlah mata-mata untuk memerhati kelemahan umat Islam di Sepanyol.

Akhirnya mereka menemui cara untuk menakluk Islam, iaitu dengan melemahkan iman mereka melalui serangan pemikiran dan budaya. Maka dalam diam mereka mula menyeludup masuk minuman keras dan rokok secara percuma ke dalam wilayah Sepanyol. Muzik-muzik dipersembahkan bagi melalaikan para pemuda Islam Sepanyol agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca Al Qur'an. Mereka juga mengirim beberapa ulama’ palsu untuk meniupkan idea perpecahan ke dalam tubuh umat Islam di Sepanyol. Lama-kelamaan usaha ini membuahkan hasil.

Akhirnya Sepanyol jatuh dan dikuasai tentera salib. Serangan tentera salib dilakukan dengan kejam tanpa mengenal perikemanusiaan. Bukan hanya tentera-tentera Islam yang dibunuh, malah termasuk masyarakat awam, wanita-wanita, anak-anak kecil dan orang-orang tua. Satu demi satu daerah di Sepanyol ditakluk oleh tentera salib.

Granada adalah daerah terakhir yang ditakluk. Penduduk Islam di Sepanyol ( yang juga dikenali sebagai orang Moor) terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera salib terus menerus mengejar mereka. Apabila jalan-jalan dalam keadaan sunyi sepi, yang tinggal hanyalah sisa-sisa ribuan mayat yang bergelimpangan yang bermandikan darah. Tentera salib mengetahui bahawa masih ramai umat Islam di Granada yang masih bersembunyi dalam rumah masing-masing. Dengan lantang tentera-tentera salib meneriakkan pengumuman bahawa umat Islam di Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman dan dibenarkan untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang-barang keperluan mereka.

Orang-orang Islam pada mulanya masih curiga dengan tawaran tersebut. Beberapa orang Muslim diizinkan untuk melihat sendiri kapal-kapal layar yang sudah disiapkan di pelabuhan. Setelah benar-benar melihat terdapat kapal yang sudah disediakan untuk mereka, mereka pun segera bersiap untuk meninggalkan Granada dan berlayar meninggalkan Sepanyol.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Islam Granada keluar dari rumah-rumah mereka dengan membawa seluruh barang-barang keperluan, berjalan beriringan menuju ke pelabuhan. Beberapa orang Islam yang tidak mempercayai pasukan salib memilih untuk bertahan dan terus bersembunyi di rumah-rumah mereka. Setelah ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentara salib menggeledah rumah-rumah yang telah ditinggalkan para penghuninya. Api dilihat menjulang-julang ke angkasa setelah mereka membakar rumah-rumah tersebut bersama-sama dengan orang-orang Islam yang masih bertahan bersembunyi di dalamnya.

Ribuan umat Islam yang lain terkandas di pelabuhan dan hanya mampu tergamam apabila melihat tentera salib membakar pula kapal-kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka untuk keluar dari Sepanyol. Kapal-kapal tersebut dengan cepat tenggelam ke dalam lautan. Ribuan umat Islam tidak dapat melakukan apa-apa kerana tidak mempunyai sebarang senjata. Mereka juga kebanyakannya terdiri daripada perempuan-perempuan dan anak-anak mereka yang masih kecil. Tentara salib telah mengepung mereka dengan pedang yang terhunus.

Dengan satu teriakan arahan dari pemimpin mereka, ribuan tentera salib segera membunuh umat Islam Sepanyol tanpa rasa belas kasihan. Jeritan, tangisan dan takbir memecah suasana. Seluruh kaum Muslimin Sepanyol di pelabuhan tersebut habis dibunuh dengan kejam. Mayat bergelimpangan di merata-rata tempat. Laut yang biru telah berubah menjadi merah kehitaman.

Tragedi ini bertepatan pada tanggal 1 April. Inilah yang kemudiannya diperingati oleh dunia Kristian apabila tibanya 1 April sebagai April Fool (The April's Fool Day). Pada tanggal 1 April, orang-orang dibolehkan untuk menipu dan berbohong terhadap orang lain. Bagi umat Kristian, April Fool merupakan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib melalui cara-cara penipuan. Oleh sebab itulah mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun diselaputi dengan alasan sekadar sebagai hiburan atau gurauan semata-mata.

Bagi umat Islam, April Fool merupakan tragedi yang sangat menyedihkan. Hari di mana ribuan saudara seiman mereka disembelih dan dibunuh oleh tentera salib di Granada, Sepanyol. Oleh sebab itu, adalah tidak patut bagi umat Islam untuk turut serta dalam merayakan tradisi ini. Sesiapapun orang Islam yang turut merayakan April Fool, maka ia sesungguhnya sedang meraikan ulang tahun pembunuhan kejam ribuan saudara mereka di Granada, Sepanyol pada 5 abad yang silam.

Jadi, perhatikanlah di sekeliling anda, anak-anak anda dan diri anda sendiri daripada terkena virus jahil April Fool tanpa kita sedari.


 
 

Parti politik perlu atur strategi pujuk pengundi baru

Oleh Jeniri Amir
Pensyarah, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

Golongan pengundi muda dan pengundi baru akan menjadi antara faktor penentu calon dan parti yang bakal memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Tujuh negeri menyaksikan peningkatan ketara dari segi pengundi baru berdaftar. Selangor mengalami peningkatan ketara sebanyak 29.06 peratus dari 1,565,498 pada 2008 kepada 2,020,500 pada tahun lalu. Peningkatan di Johor sebanyak 267,757 orang; Perak (201,117); Sabah sebanyak 161,635; Sarawak 157,204; Kelantan 154,604; dan Kedah seramai 152,262 orang. Mereka adalah antara 2.4 juta pengundi muda dan pengundi baru, yang bakal menentukan keputusan PRU nanti.
Berbanding pada 2008 yang mempunyai sebanyak 10.9 pengundi berdaftar, kali ini sejumlah 13.3 juta telah didaftarkan dan layak mengundi. Jumlah pengundi telah meningkat dari tahun ke tahun. Pada 1959, hanya terdapat 2.17 juta, 1964 sebanyak 2.76 juta dan 3.84 juta pada 1969. Jumlah itu terus meningkat kepada 4.48 juta pada 1974, kemudian mengukuh menjadi 5.06 juta pada 1978, 6.08 juta (1982), 6.96 juta (1986), 7.96 juta (1990), 9.1 juta (1995), 9.6 juta (1999) sebelum mencecah 10.28 juta pada 2004. Peningkatan yang ketara dari 2008 hingga tahun lalu mencerminkan kesedaran rakyat untuk membabitkan diri dalam pengundian. Mereka ini ikut serta dalam menentukan masa depan negara.

Dengan kesedaran politik yang semakin meningkat terutama selepas berlaku tsunami politik 2008, semakin ramai yang mahu mendaftar sebagai pengundi. Mereka bukan saja golongan muda dan baru mencecah usia 21 tahun, tetapi juga mereka yang bersikap endah tak endah selama ini. Selepas menyedari perubahan dalam PRU-12, mereka bagai tersedar daripada mimpi bahawa rupa-rupanya, satu undi begitu bermakna dalam menentukan nasib calon dan parti.

Tindakan pragmatik SPR

Selain itu, tindakan pragmatik yang diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan membenarkan parti politik mendaftar pengundi juga turut memainkan peranan dalam menyaksikan peningkatan ketara jumlah pengundi.

Persoalannya, parti manakah yang paling berjaya mendaftar undi? Adakah parti komponen Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang?
Perubahan sikap golongan ini merupakan berita baik untuk masa depan politik negara. Peningkatan kesedaran rakyat terutama dalam kalangan generasi muda mencerminkan keinginan mereka untuk ikut serta secara bermakna dalam menentukan mereka yang bakal memimpin negara ini. Golongan muda merupakan golongan yang terpelajar, kritis, malah bersikap sinis dan skeptis terhadap pihak berkuasa. Sebahagian daripada mereka cenderung mencabar dan meragui tindakan kerajaan. Mereka mempunyai keinginan untuk melihat negara dapat terus bergerak ke hadapan. Untuk memahami aspirasi dan kekecewaan mereka, baca saja media baru seperti Facebook.

Program dekati orang muda

Kerajaan BN sedar akan hakikat ini. Justeru, banyak transformasi dan program dilaksanakan untuk mendekati golongan ini. Kerisauan utama golongan muda adalah dari segi ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan dan perumahan. Mereka ingin memastikan diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran, seterusnya berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan. Apabila sudah bekerja, mereka ingin membeli kereta dan rumah. Sebenarnya, semua kerisauan dan keinginan mereka itu cuba ditangani oleh kerajaan BN melalui pelbagai program.

Benarkah sebahagian besar golongan muda dikatakan tidak memihak kepada BN dalam PRU nanti? Jika benar, mengapakah hal ini berlaku?
Bagi golongan muda dan pengundi baru, sebahagian pemimpin politik tidak lagi menjadi suri teladan. Mereka melihat sesetengah pemimpin politik lebih mengutamakan kepentingan diri, keluarga dan anak. Mereka melihat pemimpin politik tidak bersih tetapi mengamalkan rasuah, nepotisme dan kronisme. Sesetengah pemimpin politik dipersepsi sebagai rakus dan membolot kekayaan negeri.

Pemimpin negara sememangnya sedar pengaruh dan kesan kehadiran golongan ini. Justeru, golongan muda dan pengundi baru perlu memanfaatkan sebaik mungkin hak mengundi mereka dalam pilihan raya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui bahawa golongan muda adalah penentu kemenangan dalam pilihan raya akan datang. Jadi, parti politik bertanggungjawab untuk mendekati mereka secara bersungguh-sungguh melalui pelbagai mekanisme, strategi dan pendekatan sesuai. Selain menggunakan strategi dan pendekatan tradisional melalui kempen bersemuka dari rumah ke rumah serta melalui kegiatan sukan dan kebudayaan, media baru perlu digunakan dengan aktif.

Hal ini dibuktikan daripada bancian akhbar ini sehingga kelmarin apabila didapati hampir 40 peratus pembaca menyatakan bahawa media baru, iaitu blog, portal dan media sosial berupaya mempengaruhi pengundi berbanding media tradisional seperti akhbar, televisyen dan radio sebanyak 23.8 peratus.

Parti politik perlu menggunakan sayap pemuda mereka untuk memujuk golongan ini agar berbuat sesuatu sebelum terlewat. Jangan hairan, jika sayap pemuda parti bijak memujuk mereka, golongan ini akan akhirnya memihak kepada parti yang membantu mereka dalam pendaftaran.

- BERITA HARIAN

Bahaya kekurangan tidur

Deprivasi tidur atau kekurangan tidur boleh menjadi punca pelbagai masalah kesihatan. Ini termasuk mengurangkan keupayaan seseorang menangani stres dan ketahanan terhadap penyakit.

Seseorang yang bekerja di siang hari tanpa tidur secukupnya pada waktu malam tidak mampu berfikir atau fokus kepada tugasan dengan baik.

Mereka lambat memberi tindak-balas semasa menyelesaikan masalah. Emosi mereka juga tidak menentu dan mudah meradang.

Seorang pelajar kolej yang bekerja sambilan pada waktu malam misalnya akan mengalami masalah menumpukan perhatian kepada pembelajaran di dalam kelas.

Semasa peperiksaan, mereka mengalami kesukaran pula untuk mengingat kembali ilmu yang telah dipelajari.

Justeru, setiap orang perlu mengambil berat waktu dan jumlah jam tidur masing-masing. Bagi kebanyakan dewasa, tempoh tidur malam selama enam ke lapan jam sudah mencukupi untuk memulihkan tenaga dan mengganti sel-sel badan yang rosak.

Tempoh waktu tidur nyenyak pula perlulah serasi dengan jam biologi badan iaitu mesti merangkumi sekurang-kurangnya dari pukul 11 malam ke 2 pagi.

Keadaan ini berbeza bagi mereka yang terpaksa berjaga siang malam dan tidak mempunyai pilihan menentukan waktu tidur.

Contohnya, kepada anggota tentera yang berperang di perbatasan. Mereka terpaksa berjaga siang dan malam menyelesaikan tugasan operasi untuk tempoh waktu yang tidak menentu dan panjang. Deprivasi tidur boleh menghilangkan kewaspadaan dan mengundang bahana.

Begitu juga kepada ibu yang baru melahirkan anak. Kegembiraan menyambut kehadiran orang baru akan bertukar kepada kepenatan melampau selepas beberapa minggu.

Bayi perlu diberi susu setiap dua jam, ditukar lampin bila basah dan dipujuk bila menangis.

Dalam tempoh panjang, deprivasi tidur menjejaskan kewarasan dan mencetus pelbagai jenis penyakit mental terutamanya kepada mereka yang fragil atau lemah.

Bagi anggota tentera, mereka memang dilatih mengatasi situasi sebegini. Pelajar kolej, mahu tidak mahu sila dapatkan juga waktu tidur yang cukup supaya mereka dapat belajar dengan baik.

Bagi ibu-ibu pula, bagaimana sepatutnya mereka menghadapi masalah ini?

Mereka perlu mengekalkan kewarasan supaya dapat terus mengurus rumahtangga dan menjaga bayi dengan baik.

Tidur semasa bayi tidur

Mungkin ramai orang pernah mendengar nasihat ini. Walaupun agak janggal tetapi berbaloi mencubanya.

Yang penting tidurkan bayi di tempat tidurnya sendiri. Ini mengelakkan bayi lemas akibat ditindih oleh anda semasa tidur.

Walaupun untuk tempoh 20 minit, ia cukup untuk menyegarkan diri dan anda boleh menyambung semula tanggungjawab tersebut selepas itu.

Matikan telefon bimbit

Ibu yang baru melahirkan anak biasanya menerima banyak panggilan telefon daripada kawan dan keluarga bertanyakan soalan sama tentang diri atau bayi.

Ini mengganggu masa yang ada untuk tidur. Elakkan menjawab panggilan tersebut kecuali kecemasan.

Jika anda menggunakan perkhidmatan blackberry messenger (BBM), tinggalkan pesanan di profil peribadi yang mengatakan anda perlu tidur dan tidak mahu diganggu.

Elakkan gangguan

Gangguan seperti bunyi bising boleh mengganggu kualiti tidur. Jika anda tinggal di dalam hiruk-pikuk kebisingan kota, tidurlah dengan tingkap rumah ditutup.

Senyapkan bunyi televisyen sekiranya anda perlu menonton televisyen bagi mendapatkan mood mengantuk.

Ingatkan suami menutup televisyen tersebut selepas anda tidur supaya cahaya daripadanya tidak terus mengganggu.

Sindrom goncang bayi

Setiap orang mempunyai tahap kesabaran berbeza. “Shaken baby syndrome" atau sindrom goncang bayi boleh berlaku jika ibu bapa hilang kewarasan apabila terlalu penat akibat kekurangan tidur.

Ibu bapa menjadi terlalu marah dan melepaskan kemarahan tersebut kepada bayi tanpa sengaja.

Mereka tidak memukul tetapi akan menghempas bayi ke atas tilam atau menggoncangnya kuat sehingga menyebabkan kematian atau kecacatan otak.

Jika perasaan ini berlaku, jauhkan diri daripada bayi anda. Jangan rasa bersalah jika bayi tersebut menangis seorang diri selama beberapa minit.

Jangan malu meminta pertolongan ibu bapa, mertua atau rakan untuk tolong menjaga seketika.

Anda dan suami juga boleh mengambil giliran tidur secara bergilir-gilir pada waktu malam. Yang penting, jangan sia-siakan waktu rehat jika berkesempatan.

- MINGGUAN MALAYSIA



Senyuman bayi dalam rahim ibu


 FOTO jelas janin membolehkan ibu bapa melihat wajah bayi mereka sebelum dilahirkan.


Imej kabur pada skrin hospital adalah gambar pertama untuk kebanyakan bakal ibu bapa melihat anak mereka.

Bagaimanapun, perisian pengimejan terkini mampu untuk mempamerkan janin dengan maklumat yang lebih menakjubkan.

Perisian itu menjalankan pengimbasan ultra bunyi 3D konvensional dan menambah warna, tekstur kulit, pencahayaan dan bayangan. Teknologi itu menghasilkan imej yang sungguh jelas dan membenarkan ibu bapa melihat wajah anak mereka sebelum ia dilahirkan.

Terdapat juga versi 4D yang bermakna ibu bapa boleh melihat anak mereka tersenyum dan menendang dalam perut secara langsung. Ia boleh juga dirakam dan dijadikan dalam bentuk DVD.

Perisian itu membenarkan doktor mengesan masalah pada janin lebih pantas daripada sebelum ini.

Perisian itu dihasilkan oleh Dr Bernard Benoit dari Hospital Princes Grace, Monaco yang terkenal di seluruh dunia kerana komitmennya memperkenalkan teknologi imbasan ultra bunyi yang inovatif.

Beliau juga pakar dalam mengesan kecacatan pada janin pada peringkat awal kehamilan.

- Daily Mail

 

Dazrin & Hairul Menang Fear Factor Selebriti Malaysia


Pelakon Dazrin Kamarudin dan Hairul Azreen berjaya dinobatkan juara musim pertama program cabaran Fear Factor Selebriti Malaysia selepas berjaya menentang saingannya iaitu Hefny dan Hafizul.

Kemenangan itu melayakkan Dazrin dan Hairul membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM200,000.

Hadiah disampaikan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad di The Square, Publika, di sini seiring dengan Majlis Tayangan Episod Kemuncak Fear Factor Selebriti Malaysia yang turut dapat disaksikan menerusi saluran Astro Ria dan Astro Mustika HD pada malam Sabtu.

"Alhamdulillah atas kejayaan ini kerana memang kami sasarkan untuk menang.

"Tetapi tak sangka kemenangan ini benar-benar berpihak pada kami," kata Dazrin pada sidang media.

Selain Dazrin-Hairul, pasangan selebriti Hefny-Hafizul, Dafi-Zoey dan Elfira-Ajak Shiro turut bersaing pada peringkat akhir namun tersingkir pada cabaran terakhir.

Fear Factor Selebriti Malaysia yang dihoskan oleh pelakon Aaron Aziz mula menemui penonton sejak 29 Disember lalu.

Program sebanyak 13 episod itu disertai 30 artis tanah air dengan masing-masing dibahagikan kepada 15 kumpulan diuji dengan pelbagai tugasan mencabar. Program berkenaan menjalani penggambaran selama lebih tiga minggu di Cape Towin, Afrika Selatan.

Turut menyertai program ini ialah Didie Alias, Jehan Miskin, Kaka Ashraff, Farish Aziz, Azam Pitt, Gabit Saifullah, Ezlynn, Nik Michael (Masterchef 1), Mejar Dr Faiz, Celina Khor, Akim Ahmad, Arja lee dan Johan As’ari.

- MSTAR

 

Berusaha elak laku dosa besar mengumpat

Banyak orang secara terang-terang melakukan perbuatan mengumpat. Perbuatan itu dianggap seperti perkara biasa yang tidak menimbulkan kesan buruk akibatnya. Sebab itu, sekarang sukar untuk mencari contoh orang yang tidak mengumpat.
Seorang Islam yang beriman tidak akan berusaha atau sengaja mencari kelemahan saudara Muslim lain. Rasulullah SAW bersabda: “Orang Islam ialah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam daripada (bahaya ancaman) lidah dan tangannya.” (Riwayat Bukhari)

    “Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan Dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri” (Riwayat Abu Daud)

Usaha dan niat menjauhkan sikap mengumpat perlu ditanam dalam diri. Kesedaran itu diharapkan dapat menghalang perbuatan mengumpat berlaku dengan sewenang-wenang atau dianggap satu kebanggaan melakukannya.

Sifat manusia jadi bahan lawak

Satu kategori mengumpat yang banyak tidak disedari ialah berkaitan bahan lawak. Gurauan menggunakan perkataan atau perbuatan yang melambangkan keburukan seseorang juga dikira mengumpat.

Rasulullah SAW pernah menegur Aisyah kerana berkata, “Alangkah pendeknya perempuan itu” kepada seorang perempuan tua yang datang berjumpa baginda. Kata-kata sedemikian turut dianggap mengumpat kerana menyebut satu kelemahan sifat orang lain dengan memperkecil-kecilnya.
Masyarakat kita sering menggunakan lambang fizikal seseorang sebagai panggilan untuk melawak seperti gelaran botak, buncit dan hitam. Ada juga menyebut perkataan itu dengan alasan panggilan ‘mesra’.

Gelaran singgung perasaan

Memang kita boleh memanggil seseorang dengan gelaran itu jika orang itu bersetuju atau tidak marah. Tetapi fikirkan, elokkah kita memanggil seseorang dengan gelaran melambangkan kekurangannya, walaupun dia tidak marah dengan panggilan itu?

Cuba andaikan kita dipanggil dengan gelaran itu. Tentulah kita tidak suka. Jadi, kenapa mesti berlawak dengan menyebabkan orang lain menanggung malu.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudaranya) pada hari kiamat.” (Riwayat Muslim)

Perbuatan mengumpat memang sukar untuk dihindarkan sepenuhnya. Sebab itu kita perlu berhati-hati apabila bercakap. Sebenarnya, banyak orang tidak sedar perbuatannya dikira mengumpat apabila terlepas cakap atau terlalu ghairah memperkatakan sesuatu mengenai orang lain.

Malah ada mengatakan apa yang diceritakan bukan hendak mengumpat, sedangkan itu sebenarnya mengumpat. Disebabkan mengumpat sudah terlalu biasa dilakukan, maka tidak dirasakan lagi dirasakan sebagai satu perbuatan dosa.

Hakikat inilah perlu direnungkan secara mendalam. Jangan pandang mudah perkara ini. Berusahalah mengelak dosa mengumpat seperti mana kita mengelak daripada melakukan dosa besar lain.

Perbanyakkan berzikir

Mengumpat boleh diumpamakan seperti penyakit dan setiap penyakit ada ubatnya. Ubat bagi mengumpat ialah zikir. Perbanyakkan zikir dapat menghindarkan diri daripada perbuatan mengumpat kerana hati yang bersih akan terhindar melakukan perkara buruk.

Perbuatan mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya menjadi bahan umpatan. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan dirinya.

Sabda Rasulullah SAW: “Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan Dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri.” (Riwayat Abu Daud)

Orang mengumpat akan mendapat kerugian besar di akhirat. Pada rekod amalan mereka dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mana mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Tentulah tiada siapa yang mahu muflis di akhirat nanti. Kebaikan yang dilakukan di dunia diharapkan dapat menjadi bekalan di akhirat. Malang sekali akibat perbuatan mengumpat, amalan kebajikan itu menjadi rosak kerana pahalanya diserahkan kepada orang yang diumpat.

- BERITA HARIAN

Hati-hati guna SMS sebut cerai

Dubai: Pesanan ringkas (SMS) dihantar seorang suami kepada isteri mengandungi satu perkataan ‘cerai’ sudah cukup menjadikan perceraian itu sah, menurut satu fatwa Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Kebajikan Dubai.

Satu laporan dalam akhbar bahasa Arab Al Ittihad menyatakan, fatwa itu sebagai maklum balas terhadap pertanyaan seorang lelaki.
Dia ingin tahu sama ada mesej SMS yang dihantar kepada isteri yang memberitahu dia menceraikannya adalah sah menurut undang-undang Syariah.

Pertengkaran

Wanita itu kemudian meninggalkannya dan pergi ke rumah bapanya selepas bertengkar dengannya.

Lelaki itu kemudian pergi ke rumah bapa mentua dan memberitahu dia sudah menceraikannya.

Satu lagi pertengkaran berlaku selepas itu dan dia sekali lagi memberitahu isterinya yang dia mahu menceraikannya.
Kemudian dia menghantar satu lagi SMS memaklumkan menceraikannya, menjadikannya tiga semuanya.

Seorang ulama memutuskan, walaupun pengisytiharan cerai ketika marah tidak sah, bagaimanapun dalam kes lain, mesej SMS adalah sah.

- AGENSI


Sabtu, Mac 30, 2013

Gambar foto nyalaan api matahari dirakamkan NASA


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat semalam mendedahkan gambar nyalaan api di permukaan matahari.

Gambar itu dirakamkan pada 16 Mac 2013 lalu.

Ia menunjukkan terdapat percikan api yang terkeluar dari permukaan matahari.

- AFP


 

Irma Hasmie timang anak lelaki


Kuala Lumpur - 29 Mac 2013: Pelakon dan pengacara TV, Irma Hasmie selamat melahirkan anak sulungnya di Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur, pagi Jumaat.

Bayi lelaki seberat 3.93 kilogram, yang dilahirkan pada jam 8.51 pagi itu dimaklumkan sendiri suami Irma, Redza Syah Azmeer di laman Twitter dan akaun Instagram miliknya.

Cubaan menghubungi pasangan suami isteri terbabit bagi mendapatkan maklumat lanjut gagal.

Lahir cara pembedahan

Bagaimanapun, teman baik Irma, Ezuwan Ismail yang juga pereka fesyen terkenal ketika dihubungi berkata, pasangan suami isteri terbabit menamakan anak mereka, Redza Syah Irfhan.

“Bayi terbabit dilahirkan secara pembedahan,” katanya.

Irma dan Redza bernikah pada 29 Jun tahun lalu.

- MSTAR
 

 

Ayu Raudhah lahirkan bayi lelaki


KUALA LUMPUR 29 MAC 2013 – Pelakon Ayu Raudhah Che Wan, 28, telah selamat melahirkan anak lelaki sulungnya pada pukul 2.17 petang di Hospital Columbia, Johor Bahru. Menurut suami kepada pelakon itu, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak, 26, yang juga pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim, isterinya telah melahirkan bayi seberat 2.79 kilogram dalam keadaan normal. “Saya sangat bersyukur semuanya berjalan lancar dan selamat. Tiada apa yang saya harapkan selain isteri dan anak saya sihat,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Tambahnya, perasaannya bercampur antara gembira dan berdebar menanti kelahiran bayi sulungnya. “Isteri saya mengadu sakit-sakit dan telah masuk ke hospital pada pukul 11 malam semalam (kelmarin). Sebenarnya memang tarikh 29 Mac dijangka oleh doktor untuk isteri saya melahirkan anak,” ujarnya yang turut ditemani keluarga terdekat ketika berada di hospital tersebut.

Bagaimanapun, Zaquan menjelaskan, dia dan Ayu masih belum memutuskan nama yang ingin diberikan. Ayu Raudhah, adik kepada pelakon Rozita Che Wan dan Zaquan Adha mendirikan rumah tangga pada 20 Januari 2011. Ayu pernah mengalami keguguran ketika usia kandungannya enam minggu dua tahun lalu.

- KOSMO!
 

 

Recent Posts