Sabtu, Mac 30, 2013

Sentiasa tafakur dan muhasabah diri kunci ketenangan

Baginda SAW mengajar kita bagaimanakah usaha yang perlu bagi melahirkan hati yang bersih dan tenang, antaranya ialah tafakur dan muhasabah dengan merenung kehidupan serta memikirkan mengenai hubungan hati kita dengan Allah SWT.

  • Beristighfar dengan memohon ampun terhadap Allah SWT. Baginda SAW yang bersifat maksum daripada dosa beristighfar sebanyak 70 kali sehari semalam walaupun baginda bersifat maksum dan diampunkan dosanya oleh Allah SWT sebagai tanda bersyukur Baginda SAW.
    Firman Allah SWT: “Tiadalah Tuhan akan menyeksa mereka, sedangkan engkau berada di antara mereka dan tiadalah Tuhan hendak menyeksa mereka selama mereka beristighfar.” (Surah al-Anfal, ayat 33).

  • Berselawat kepada Nabi SAW sekadar bilangan yang termampu untuk mendapat syafaat baginda di hari akhirat nanti. Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang berselawat kepadaku sekali, nescaya Allah SWT akan membalasnya dengan selawat ke atasnya sepuluh kali.”

    Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi, wahai orang yang beriman, berselawatlah ke atasnya dan mengucap salamlah kepadanya dengan sepenuh kehormatan.” (Surah Ahzab, ayat 56)
  • Mengingati mati yang tetap akan mengunjungi kita pada bila-bila masa. Sabda Rasulullah SAW: “Perbanyakkan mengingati mati kerana yang demikian itu akan mengurangkan seseorang itu melakukan dosa dan tidak tamak pada dunia.”
    Zikir elak sifat riak
  • Berzikir secara tersembunyi bagi mengelakkan sifat menunjuk-nunjuk (riak). Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik zikir ialah yang dirahsiakan (dalam hati) dan sebaik-baik rezeki ialah apa yang mencukupi.”

    Firman Allah SWT: “Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan perasaan rendah hati dan perasaan takut.” (Surah al-A’raf, ayat 205)
  • Berdoa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh. Firman Allah SWT: “Dan Tuhan kamu berfirman: Mohonlah kepada-Ku nescaya Aku akan memperkenankan permohonan kamu.” (Surah al-Mukminin, ayat 180)

    Perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT setiap masa. Selepas solat fardu, membaca al-Quran, solat tahajud di tengah malam dan di tempat yang afdal doa kerana dengan banyaknya doa, hati akan menjadi bersih, lembut dan sejahtera.
- BERITA HARIAN

Minum Teh Boleh Elak Kanser


Amsterdam: Lelaki yang minum sekurang-kurangnya dua cawan teh sehari boleh mengurangkan risiko diserang barah prostat sehingga lebih satu pertiga.

Minum teh dengan kerap juga menurunkan risiko menghidap tumor sebanyak 37 peratus berbanding mereka yang minum kurang sekali seminggu.

Tahun lalu, sebagai contoh, kajian di Universiti Glasgow mendapati, peminum tegar teh lebih berisiko mendapat penyakit. Ia mengesan kesihatan lebih 6,000 sukarelawan lelaki sepanjang 37 tahun dan mendapati mereka yang minum teh lebih tujuh cawan sehari berisiko 50 peratus mendapat barah prostat berbanding yang minum secara sederhana dan tidak minum langsung.

Namun, faedah sama tidak diperoleh daripada kopi, menurut kajian saintis di Universiti Maastricht, Belanda.

Hampir 40,000 kes barah prostat dikesan setiap tahun di United Kingdom dan 10,000 lelaki maut akibatnya – bersamaan dengan lebih seorang dalam masa sejam.

Risiko itu meningkat dengan usia, dengan lelaki berusia lebih 50 tahun lebih berkemungkinan menghidap tumor dan ada elemen genetik padanya. Seperti juga jenis barah lain, diet menjadi faktor utama dalam perkembangan penyakit.

Minuman popular

Pada masa sama, ada juga percanggahan bukti mengenai peranan minuman popular itu.

Tahun lalu, sebagai contoh, kajian di Universiti Glasgow mendapati, peminum tegar teh lebih berisiko mendapat penyakit. Ia mengesan kesihatan lebih 6,000 sukarelawan lelaki sepanjang 37 tahun dan mendapati mereka yang minum teh lebih tujuh cawan sehari berisiko 50 peratus mendapat barah prostat berbanding yang minum secara sederhana dan tidak minum langsung.

Begitupun, penyelidik mengakui mereka tidak pasti jika teh benar-benar menjadi faktor risiko, atau peminum berada pada usia penyakit itu lebih kerap menyerang.

Dalam kajian terbaru, pengkaji Universiti Maastricht membandingkan 892 lelaki dikesan ada barah prostat dengan bilangan sama lelaki sihat, menilai tabiat pemakanan dan minuman mereka.

Kajian dilakukan ke atas penduduk lelaki di Amerika Syarikat, yang menyaksikan kopi lebih popular. Cuma satu dalam lima sukarelawan minum sekurang-kurangnya secawan teh sehari, berbanding hampir 60 peratus yang lebih gemar kopi.

Hasil kajian disiarkan jurnal Cancer Causes Control menunjukkan dua cawan atau lebih teh sehari seperti mempunyai kesan antibarah, manakala kopi tidak.

FAKTA NOMBOR
40,000 kes barah dikesan di Britain setiap tahun

- AGENSI
 

Kad Diskaun Rakyat 1Malaysia (KDR1M)

KUALA LUMPUR 29 Mac - Orang ramai berpeluang mendapat diskaun di lebih 5,000 premis perniagaan membabitkan sebanyak 74 jenis perkhidmatan menerusi Kad Diskaun Rakyat 1Malaysia (KDR1M) yang dilancarkan hari ini.

Pengerusi Informasi Malaysia (Info-Malaysia), Datuk Abd. Rahman Manan berkata, kad itu boleh diperoleh dengan yuran tahunan sebanyak RM30 di kios yang dibuka di KL Sentral bermula hari ini hingga 4 April ini serta di stesen minyak Shell dan Petronas hujung April ini.

Menurut beliau, KDR1M diperkenalkan bagi membantu kerajaan memberikan kemudahan dan meringankan beban rakyat menerusi potongan harga antara lima hingga 40 peratus bagi barangan serta perkhidmatan yang ditawarkan.

"Menerusi kad ini, orang ramai boleh mendapat diskaun rawatan kesihatan di 1,100 klinik panel, rebat teksi di Lembah Klang sebanyak 10 peratus, pakej umrah berharga RM3,999 dan diskaun saman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kini sedang menunggu kelulusan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pendaftaran KDR1M kepada orang ramai yang disempurnakan Penaung Kehormatnya, Tan Sri Abd. Mutalib di sini hari ini.

Info-Malaysia merupakan syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan KDR1M dengan sasaran lebih 150,000 pengguna mendaftar kad itu tahun ini.

Sementara itu, Abdul Mutalib berkata, kad tersebut dapat membantu orang ramai mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat terutamanya mereka yang tinggal di bandar.

"KDR1M juga didatangkan dengan kemudahan Touch 'n Go dan kemudahan serta perkhidmatannya akan diperluaskan lagi dari semasa ke semasa," katanya.

Menurut beliau, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan senarai premis perniagaan yang terlibat boleh melayari laman web http://www.informasimalaysia.com.my atau menghubungi talian 03-7785 7839 dan 03-7772 4711.

- UTUSAN

Ramai abai pengurusan makanan

Makan  kena pantang. Tak boleh makan nasi biasa, yang berkanji dan tinggi karbohidrat, tak boleh ambil banyak makanan manis, tinggi kandungan protein dan garam.

"Jangan sampai terlebih ayam, ikan, daging, hati dan soya. Semuanya kena hati-hati kalau nak makan." "Kalau dah semua tak boleh, habis saya nak makan apa?" Itu antara keluhan yang sering ditimbulkan oleh kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan dialisis. Malah kebanyakan pesakit mengakui mereka lebih ditekankan mengenai apa yang tidak boleh dimakan berbanding apa yang boleh dimakan.

Seharusnya panduan pemakanan yang sihat boleh membawa keseronokan dalam kehidupan pesakit dialisis untuk diamalkan dalam pengurusan pemakanan dan diet mereka.

Atas keprihatinan itu membawa kepada pelancaran buku Resipi Pesakit Dialisis 2013" - buku resepi pertama HKL untuk pesakit yang menjalani rawatan dialisis, baru-baru ini.

Pengurusan makanan

"Antara isi kandungan buku ini ialah mengamalkan pemakanan yang sihat dan menjalani gaya hidup sihat. Diharapkan dengan pelancaran buku ini dapat membantu meningkatkan pemahaman dan kepentingan pengurusan pemakanan kepada pesakit dialisis", kata Ketua Jabatan Nefrologi HKL dan Ketua Perkhidmatan Nefrologi bagi Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Ghazali Ahmad.

Di Malaysia, penyakit buah pinggang kronik adalah masalah kesihatan yang serius yang memerlukan perawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang agar pesakit boleh meneruskan kehidupan.

Menurut statistik terbaru Hospital Kuala Lumpur (HKL), negara mempunyai 25,688 pesakit dialisis dan 1,884 penerima buah pinggang berdaftar pada tahun 2011.

Penyakit buah pinggang kronik secara umumnya mempengaruhi semua aspek kehidupan pesakit dan secara tidak langsung kepada anggota keluarga terdekat.

Kebanyakan orang menganggap hanya perawatan dialisis dan pemindahan buah pinggang adalah jalan terbaik bagi mengawal penyakit ini dan mengabaikan peranan penting pengurusan pemakanan dan diet.

Pelbagai masalah dialami pesakit yang menjalani rawatan adalah berkaitan dengan pengambilan makanan dan minuman yang berlebihan atau tidak sesuai dengan keadaan penyakit mereka. Apatah lagi dengan budaya pemakanan yang pelbagai dan menyelerakan di negara ini.

Dr. Ghazali berkata, jumlah penghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) kian bertambah dan boleh berada di tahap yang membimbangkan sekiranya orang ramai tidak mengambil sebarang langkah pencegahan awal.

Kandungan nutrien

Secara umumnya fungsi buah pinggang adalah untuk menapis bahan buangan dalam badan. Namun untuk pesakit CKD, fungsi buah pinggang mereka adalah terhad.

Oleh itu kandungan nutrien makanan yang dimakan oleh pesakit perlu diberi pertimbangan khusus.

Apabila buah pinggang gagal berfungsi, pesakit yang menjalani dialisis perlulah mengawal kandungan air dan garam bagi mengelakkan bengkak terutama di bahagian kaki dan paru-paru berair.

Buku resipi ini menyediakan satu panduan masakan sesuai untuk buah pinggang yang komprehensif untuk pesakit dialisis berdasarkan cadangan daripada pakar pemakanan.

"Pesakit dialisis perlu mengawasi diet mereka dengan teliti di samping mengetahui jumlah protein, kalori, cecair, vitamin dan mineral yang diambil pada setiap hari," jelas Dr. Ghazali.

Bagi mencapai hasil dialisis yang baik, penting bagi pesakit mempunyai kandungan protein dan khasiat yang seimbang setiap hari.

Ini kerana pesakit akan mengalami kehilangan protein ketika menjalani rawatan dialisis menyebabkan mereka perlu mengoptimum pengambilan diet.

Menurut Pakar Pemakanan HKL (Pakar Diet), Datin Nor Sharita Mohd Saad, buku resipi ini bukan sahaja memaparkan pelbagai jenis hidangan dan masakan yang boleh dicuba oleh pesakit malah turut menyatakan jumlah dan sukatan yang bersesuaian untuk satu hidangan empat orang.

Turut disediakan ialah panduan sukatan yang betul mengikut sukatan peralatan yang sedia ada di dapur biasa (ukuran rumahtangga).

Jika panduan itu diikuti dengan betul, pesakit dialisis akan terus dapat menikmati masakan seperti asam pedas, daging masak halia, ayam goreng berempah, nasi goreng Cina, asam laksa, cendol, samosa dan karipap.

"Resipi yang tersedia dalam buku ini adalah hasil yang diubahsuai berdasar komen daripada pesakit dan Pegawai Perubatan setelah sesi ujirasa dijalankan," jelas Nor Sharita.

Manakala resipi yang dimuatkan mematuhi jumlah garam (sodium) yang dibenarkan. Selain turut mengandungi analisis makanan yang menunjukkan jumlah sebenar kandungan kalori, protein, potasium dan fostat dalam makanan itu.

Malah cara penyediaannya mudah dan boleh dimasak sama ada oleh pesakit ataupun penjaga.

Buku resipi dialisis berbahasa Melayu yang diterbitkan oleh Jabatan Nefrologi dan Jabatan Dietetik & Sajian HKL dengan usahasama AbbVie Sdn Bhd ini juga bakal diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin dan boleh dimuat turun di www.hkl.gov.my.

- BERNAMA



Empat asas utama lahirkan umat bersifat mulia

Undang-undang dicipta untuk menjadikan kehidupan manusia sentiasa dalam keadaan tersusun dan sistematik. Diciptakan undang-undang jalan raya, pusat pengajian, perniagaan, hiburan, jabatan awam dan swasta adalah untuk mencorakkan sistem kehidupan yang stabil.

Namun, segala undang-undang ini tidak memadai untuk mendidik tabiat manusia yang sering melanggar peraturan ditetapkan. Segala undang-undang dicipta tidak dapat mencapai matlamat secara menyeluruh kerana ia bersifat luaran semata-mata tanpa didikan dalaman.

Undang-undang ini hanya berperanan kepada masyarakat umum saja, manakala peranan individu penting untuk merealisasikannya. Kita mendapati kekuatan yang ada hanyalah hukuman dikenakan kepada pesalah berdasarkan sistem keadilan sedia ada.

Bagi mereka yang bebas daripada kesalahan, tidak mendapat apa-apa ganjaran di dunia. Apa yang perlu adalah wujudnya kefahaman bahawa mereka tetap mendapat ganjaran di akhirat.

Syekh Jamaluddin Al-Afghani berkata: “Tidak cukup untuk kita menghukum pesalah semata-mata kerana di sana masih ada yang rosak dalaman mereka sehingga sanggup menipu, melakukan maksiat, rasuah, pecah amanah, khianat, hasad dengki, penganiayaan dan banyak kerosakan di muka bumi ini. Terkadang ia tidak dapat dikesan dan mereka terselamat daripada hukuman.”

Kebaikan zahir, jiwa

Dr Abdullah Darraz dalam bukunya Addin menyebut: “Tiada kehidupan dalam masyarakat yang hanya menumpukan kebaikan pada zahir tanpa menghiraukan urusan jiwa yang tersembunyi.”
Allah SWT berfirman: “Mereka hanya mengetahui perkara zahir nyata daripada kehidupan dunia dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu mengenai hari akhirat.” (Surah Ar-rum, ayat 7)

Ini contoh mereka yang hanya memandang dari sudut duniawi semata-mata tanpa melihat ganjaran pahala yang disediakan Allah SWT. Sifat ini akan merugikan seseorang kerana habuan dunia hanyalah sementara.

Imam Ghazali meletakkan empat asas utama sifat mulia di sisi Allah SWT iaitu kebijaksanaan yang dapat membezakan benar dan salah; keberanian menahan atau mengarahkan kemarahan dengan menggunakan akal; kebersihan jiwa bagi menahan keinginan syahwat dengan mendidiknya untuk tunduk kepada akal dan syarak serta keadilan iaitu kekuatan jiwa yang boleh mengatasi sifat marah dan keinginan syahwat lalu membimbingnya ke arah kebijaksanaan.

Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang kasihkan dunia, maka dia membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia membahayakan dunianya. Justeru, ingatlah utamakan suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia).” (Riwayat Ahmad dan Hakim)

Jika diperhatikan maksud kasih di sini ialah cenderung dan gemar terhadap dunia, bukanlah meninggalkan dunia secara keseluruhan kerana kita dituntut untuk mendapatkan kedua-duanya.

Firman Allah SWT: “Katakanlah wahai Muhammad: Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barang siapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalas melainkan sebanding dengan kejahatan itu.” (Surah Ghafir, ayat 39)

Hati dan jiwa dalaman adalah pusat yang menggerakkan tubuh untuk melakukan kebaikan. Hati adalah perkara utama untuk memperbaiki akhlak manusia. Nabi SAW menganggapnya sebagai perkara utama dalam diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruh anggota manusia.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Sesungguhnya beruntunglah yang menyucikan jiwa itu. Dan rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah As-Syams, 9-10)

Realisasi matlamat

Manusia bergerak melalui urusan dalaman jiwa berteraskan agama yang mana terletaknya kekuatan sebenar. Kekuatan ini akan mencetuskan disiplin kuat untuk melaksanakan undang-undang seterusnya merealisasikan matlamat diciptakan undang-undang itu.

Undang-undang yang baik akan berkesan jika manusia bertindak mengikut landasan agama.

Imam al-Ghazali berkata: “Saya hairan dengan manusia yang sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan daripada kotoran batin.”

Firman Allah SWT: “Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya) maka Allah SWT mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang mengotorinya.” (Surah asy-Syams, ayat 7-10)

- BERITA HARIAN

Misi mengurangkan mangsa jenayah siber - PDRM

Tiada siapa mampu menyangkal teknologi dan kemajuan Internet hari ini memberi kemudahan kepada semua pihak.

Bagaimanapun bagi pihak tidak bertanggungjawab, teknologi itu menjadi alat efektif untuk melakukan jenayah penipuan.

Maka sebab itulah, jenayah siber kini muncul sebagai cabaran yang paling sukar untuk ditangani oleh pihak berkuasa di seluruh dunia di abad ini termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Malah nilai kerugian direkodkan pula oleh mangsa bukanlah kecil tetapi boleh mencecah sehingga berbilion ringgit.

Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, sebanyak RM1.6 bilion kerugian akibat jenayah siber dicatatkan di Malaysia pada tahun lalu, iaitu peningkatan daripada 1.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Perkara berkenaan diakui Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan yang berkata, populariti Internet menjadi penyumbang besar berlakunya jenayah siber di negara ini berikutan kemudahan dan kemajuan yang dicapai Malaysia pada hari ini.

"Jenayah siber berlaku di seluruh dunia dan di Malaysia, jenayah seperti ini semakin rancak berikutan kemudahan dan infrastruktur yang baik menyebabkan banyak sindiket menyasarkan kita.

"Malah rakyat juga semakin menerima kehadiran teknologi dan Internet kini menjadi sebahagian keperluan yang melengkapi kehidupan mereka," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Syed Ismail berkata, warga daripada benua Afrika dikesan cenderung terlibat dalam jenayah itu dan modus operandi mereka juga sama, iaitu datang ke Malaysia atas tiket pelajar tetapi menjalankan penipuan dalam talian.

"Gerak kerja warga asing ini juga sama iaitu menyasarkan penduduk negara atau luar negara menyalurkan wang dalam jumlah yang banyak dengan menggunakan identiti individu yang tidak wujud. Kes-kes sebegini walaupun kerap kali dilaporkan namun masih tiada kesudahan hingga kini," jelasnya.

Kata Syed Ismail, selain jenayah membabitkan Internet, warga Afrika dikesan turut aktif melakukan pelbagai jenayah lain seperti pemalsuan wang, penipuan, sindiket bungkusan serta cakera video digital (DVD) haram di negara ini.

Perangkaan pada 2012 menyaksikan sebanyak 434 warga Afrika ditahan JSJK dan daripada jumlah itu, warga Nigeria mendominasi tangkapan iaitu 378 orang.

Selebihnya adalah dari beberapa buah negara Afrika Selatan, Cameroon, Sudan, Congo, Ghana, Guinea, Uganda, Sudan, Somalia, Zambia, Liberia dan Tanzania.

Sepanjang hampir 3 bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 61 orang ditahan dengan 50 daripadanya warga Nigeria manakala bakinya Guinea (4), Afrika Selatan (2), dan masing-masing satu dari Nigeria, Congo, Ghana, Zambia dan Liberia.

"Kita sentiasa melakukan pelbagai usaha untuk memerangi jenayah penipuan yang dilakukan warga Afrika kerana kita tidak boleh menyekat kemasukan mereka ke dalam negara ini sebagai pelajar.

"Ini kerana dasar kerajaan Malaysia adalah untuk menjadikan negara ini sebagai satu hab pengajian terkemuka. Kita tidak boleh menentang usaha dan dasar kerajaan kerana kelebihan yang diperolehi akan dinikmati oleh semua rakyat negara.

"Tetapi kita juga harus sedar kemudahan itu ternyata diambil kesempatan oleh warga asing untuk melakukan pelbagai aktiviti penipuan sekali gus menjejaskan banyak pihak," katanya.

Dalam usaha memerangi jenayah siber ini, Syed Ismail berkata, JSJK sentiasa memastikan anggota dan pegawai mereka bersiap-sedia sepenuhnya dalam menempuh cabaran semasa terutama sekali berkaitan perkembangan teknologi.

"Dengan kepantasan teknologi dan kemampuan setiap manusia untuk melangkaui pemikiran satu-sama lain, JSJK perlu bergerak bukan sahaja seiringan tetapi beberapa langkah ke hadapan bagi memastikan jenayah siber ini boleh diatasi.

"Oleh sebab itu, kita sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi dan institusi profesional yang akan membantu meningkatkan ilmu pengetahuan setiap anggota dan pegawai JSJK, terutama sekali ketika menjalankan siasatan," katanya.

Tambah beliau, pegawai JSJK yang berkebolehan dan memiliki integriti mampu meningkatkan perkhidmatan dalam penyiasatan kes.

"Apa yang kita mahu adalah setiap elemen jenayah dikenal pasti dan siasatan dipercepatkan supaya setiap pertuduhan di mahkamah akan dapat ditingkatkan.

"Oleh sebab itu juga, kita memilih pegawai-pegawai yang mempunyai pelbagai latar belakang pengajian bersesuaian sebagai nilai tambah dalam pasukan. JSJK kini mempunyai pegawai berkelulusan dalam perbankan, perakaunan, jenayah komputer dan pelbagai lagi," ujarnya.

Ditanya tentang harapan JSJK sempena sambutan Hari Polis yang disambut kali ke-206 ini, Syed Ismail memberitahu, pihaknya berharap aduan (mangsa) jenayah komersial akan berkurangan dari semasa ke semasa.

Ini berikutan, berbanding 2011, jumlah kes pada tahun lalu berkurangan sebanyak 36.21 peratus dan sebanyak 6,657 individu telah didakwa.

"Tahun lepas, kami menerima sebanyak 22,033 aduan tetapi berkurangan kepada 18,381 pada 2012. Ini ternyata membanggakan kita malah kita telah melepasi 10 peratus daripada sasaran pengurangan jenayah siber yang ditetapkan PDRM.

"Kami gembira jika orang ramai kurang membuat aduan sekali gus jenayah komersial turut berkurangan," katanya.

- UTUSAN


Jumaat, Mac 29, 2013

Jawatan Kosong Kerajaan Negeri Perak - Tarikh Tutup : 12 April 2013

JAWATAN:
1. PEMBANTU AM PEJABAT (Gred N1)
2. PEKERJA AWAM (Gred R1)
3. PENGAWAS HUTAN (Gred G11)
4. TUKANG K2 (Gred R11)
5. PEMBANTU MUZIUM (Gred S17)
6. PEMBANTU HAL EHWAL ISLAM (Gred S17)
7. PEMBANTU TADBIR (KEW) / PEMBANTU AKAUNTAN (Gred W17)
8. JURUAUDIO VISUAL (Gred N17)
9. PEGAWAI KHIDMAT PELANGGAN (Gred N17)
10. RENJER HUTAN (Gred G17)
11. PEMBANTU LAUT (Gred A17)
12. PEMBANTU TADBIR (P/O) (Gred N17)
13. JURUBAHASA (Gred L17)
14. PEMBANTU PERTANIAN (Gred G17)
15. JURUTEKNIK (AWAM) (Gred J17)
16. PENYELIA ASRAMA (Gred N17)
17. PENOLONG PEGAWAI PERTANIAN (Gred G27)
18. PENOLONG PEGAWAI VETERINAR (Gred G27)
19. PENGHANTAR NOTIS (Gred N3)
20. PEKERJA AWAM KHAS (Gred R3)
21. PEMANDU KENDERAAN (Gred R3)
22. OPERATOR LOJI (Gred R3)
23. PEGAWAI HAL EHWAL ISLAM (Gred S41)
24. TUKANG K3 (Gred R9)
25. PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (Gred DG41)
26. PEMBANTU SYARIAH (Gred LS17)
27. PEGAWAI SYARIAH (Gred LS41)

IKLAN JAWATAN DAN BORANG PERMOHONAN ONLINE:
http://spaonline.perak.gov.my/spasuk/index.php

Tarikh Tutup : 12 April 2013


Dapatkan Kit Jom Bertindak sempena PRU13



Menjelang pilihan raya umum ke-13, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan 'Kit Jom Bertindak' bagi membantu rakyat Malaysia menunaikan hak mengundi mereka dengan betul.

Kit yang diperkenalkan melalui laman Facebook perdana menteri pada 18 Mac itu antara lain mengandungi buku panduan mengundi dengan maklumat ringkas dan mudah berkaitan proses itu.

Buku setebal 12 halaman itu memberi panduan langkah demi langkah bagaimana seseorang pengundi perlu menyiapkan diri untuk menunaikan hak mereka dengan cara yang teratur.

Ia mengandungi 10 tajuk berkaitan pengundian termasuk syarat kelayakan mengundi serta cara menyemak status daftar pemilih di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Turut dimuatkan beberapa tips berguna pada hari mengundi termasuk membawa kad pengenalan, hadir di tempat mengundi mengikut masa yang ditetapkan dan memeriksa saluran khas untuk warga emas, orang kurang upaya dan wanita hamil.

Pemilih juga diberi gambaran melalui ilustrasi pelan tempat mengundi serta penerangan ringkas apa yang perlu dilakukan agar proses pengundian berjalan lancar.

Buku itu turut menjawab beberapa persoalan popular berkaitan peraturan baharu yang diperkenalkan SPR seperti status dakwat kekal yang akan digunakan dan kelayakan undi pos selain tindakan lanjut yang perlu diambil jika kad pengenalan hilang sebelum mengundi.

Tata cara menanda kertas undi dengan betul turut diperjelas melalui ilustrasi ringkas kerana cara penandaan yang salah boleh mengakibatkan sesuatu undi itu menjadi undi rosak.

'Kit Jom Bertindak' sedang diedarkan secara percuma dan mana-mana individu berminat boleh memohon melalui laman web www.1Malaysia.com.my.

Selain buku panduan, kit itu turut mengandungi pelekat, pelekat kereta, pen dan pin kolar Jom Bertindak.

- BERNAMA