Sabtu, Mac 30, 2013

Ramai abai pengurusan makanan

Makan  kena pantang. Tak boleh makan nasi biasa, yang berkanji dan tinggi karbohidrat, tak boleh ambil banyak makanan manis, tinggi kandungan protein dan garam.

"Jangan sampai terlebih ayam, ikan, daging, hati dan soya. Semuanya kena hati-hati kalau nak makan." "Kalau dah semua tak boleh, habis saya nak makan apa?" Itu antara keluhan yang sering ditimbulkan oleh kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan dialisis. Malah kebanyakan pesakit mengakui mereka lebih ditekankan mengenai apa yang tidak boleh dimakan berbanding apa yang boleh dimakan.

Seharusnya panduan pemakanan yang sihat boleh membawa keseronokan dalam kehidupan pesakit dialisis untuk diamalkan dalam pengurusan pemakanan dan diet mereka.

Atas keprihatinan itu membawa kepada pelancaran buku Resipi Pesakit Dialisis 2013" - buku resepi pertama HKL untuk pesakit yang menjalani rawatan dialisis, baru-baru ini.

Pengurusan makanan

"Antara isi kandungan buku ini ialah mengamalkan pemakanan yang sihat dan menjalani gaya hidup sihat. Diharapkan dengan pelancaran buku ini dapat membantu meningkatkan pemahaman dan kepentingan pengurusan pemakanan kepada pesakit dialisis", kata Ketua Jabatan Nefrologi HKL dan Ketua Perkhidmatan Nefrologi bagi Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Ghazali Ahmad.

Di Malaysia, penyakit buah pinggang kronik adalah masalah kesihatan yang serius yang memerlukan perawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang agar pesakit boleh meneruskan kehidupan.

Menurut statistik terbaru Hospital Kuala Lumpur (HKL), negara mempunyai 25,688 pesakit dialisis dan 1,884 penerima buah pinggang berdaftar pada tahun 2011.

Penyakit buah pinggang kronik secara umumnya mempengaruhi semua aspek kehidupan pesakit dan secara tidak langsung kepada anggota keluarga terdekat.

Kebanyakan orang menganggap hanya perawatan dialisis dan pemindahan buah pinggang adalah jalan terbaik bagi mengawal penyakit ini dan mengabaikan peranan penting pengurusan pemakanan dan diet.

Pelbagai masalah dialami pesakit yang menjalani rawatan adalah berkaitan dengan pengambilan makanan dan minuman yang berlebihan atau tidak sesuai dengan keadaan penyakit mereka. Apatah lagi dengan budaya pemakanan yang pelbagai dan menyelerakan di negara ini.

Dr. Ghazali berkata, jumlah penghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) kian bertambah dan boleh berada di tahap yang membimbangkan sekiranya orang ramai tidak mengambil sebarang langkah pencegahan awal.

Kandungan nutrien

Secara umumnya fungsi buah pinggang adalah untuk menapis bahan buangan dalam badan. Namun untuk pesakit CKD, fungsi buah pinggang mereka adalah terhad.

Oleh itu kandungan nutrien makanan yang dimakan oleh pesakit perlu diberi pertimbangan khusus.

Apabila buah pinggang gagal berfungsi, pesakit yang menjalani dialisis perlulah mengawal kandungan air dan garam bagi mengelakkan bengkak terutama di bahagian kaki dan paru-paru berair.

Buku resipi ini menyediakan satu panduan masakan sesuai untuk buah pinggang yang komprehensif untuk pesakit dialisis berdasarkan cadangan daripada pakar pemakanan.

"Pesakit dialisis perlu mengawasi diet mereka dengan teliti di samping mengetahui jumlah protein, kalori, cecair, vitamin dan mineral yang diambil pada setiap hari," jelas Dr. Ghazali.

Bagi mencapai hasil dialisis yang baik, penting bagi pesakit mempunyai kandungan protein dan khasiat yang seimbang setiap hari.

Ini kerana pesakit akan mengalami kehilangan protein ketika menjalani rawatan dialisis menyebabkan mereka perlu mengoptimum pengambilan diet.

Menurut Pakar Pemakanan HKL (Pakar Diet), Datin Nor Sharita Mohd Saad, buku resipi ini bukan sahaja memaparkan pelbagai jenis hidangan dan masakan yang boleh dicuba oleh pesakit malah turut menyatakan jumlah dan sukatan yang bersesuaian untuk satu hidangan empat orang.

Turut disediakan ialah panduan sukatan yang betul mengikut sukatan peralatan yang sedia ada di dapur biasa (ukuran rumahtangga).

Jika panduan itu diikuti dengan betul, pesakit dialisis akan terus dapat menikmati masakan seperti asam pedas, daging masak halia, ayam goreng berempah, nasi goreng Cina, asam laksa, cendol, samosa dan karipap.

"Resipi yang tersedia dalam buku ini adalah hasil yang diubahsuai berdasar komen daripada pesakit dan Pegawai Perubatan setelah sesi ujirasa dijalankan," jelas Nor Sharita.

Manakala resipi yang dimuatkan mematuhi jumlah garam (sodium) yang dibenarkan. Selain turut mengandungi analisis makanan yang menunjukkan jumlah sebenar kandungan kalori, protein, potasium dan fostat dalam makanan itu.

Malah cara penyediaannya mudah dan boleh dimasak sama ada oleh pesakit ataupun penjaga.

Buku resipi dialisis berbahasa Melayu yang diterbitkan oleh Jabatan Nefrologi dan Jabatan Dietetik & Sajian HKL dengan usahasama AbbVie Sdn Bhd ini juga bakal diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin dan boleh dimuat turun di www.hkl.gov.my.

- BERNAMA



Empat asas utama lahirkan umat bersifat mulia

Undang-undang dicipta untuk menjadikan kehidupan manusia sentiasa dalam keadaan tersusun dan sistematik. Diciptakan undang-undang jalan raya, pusat pengajian, perniagaan, hiburan, jabatan awam dan swasta adalah untuk mencorakkan sistem kehidupan yang stabil.

Namun, segala undang-undang ini tidak memadai untuk mendidik tabiat manusia yang sering melanggar peraturan ditetapkan. Segala undang-undang dicipta tidak dapat mencapai matlamat secara menyeluruh kerana ia bersifat luaran semata-mata tanpa didikan dalaman.

Undang-undang ini hanya berperanan kepada masyarakat umum saja, manakala peranan individu penting untuk merealisasikannya. Kita mendapati kekuatan yang ada hanyalah hukuman dikenakan kepada pesalah berdasarkan sistem keadilan sedia ada.

Bagi mereka yang bebas daripada kesalahan, tidak mendapat apa-apa ganjaran di dunia. Apa yang perlu adalah wujudnya kefahaman bahawa mereka tetap mendapat ganjaran di akhirat.

Syekh Jamaluddin Al-Afghani berkata: “Tidak cukup untuk kita menghukum pesalah semata-mata kerana di sana masih ada yang rosak dalaman mereka sehingga sanggup menipu, melakukan maksiat, rasuah, pecah amanah, khianat, hasad dengki, penganiayaan dan banyak kerosakan di muka bumi ini. Terkadang ia tidak dapat dikesan dan mereka terselamat daripada hukuman.”

Kebaikan zahir, jiwa

Dr Abdullah Darraz dalam bukunya Addin menyebut: “Tiada kehidupan dalam masyarakat yang hanya menumpukan kebaikan pada zahir tanpa menghiraukan urusan jiwa yang tersembunyi.”
Allah SWT berfirman: “Mereka hanya mengetahui perkara zahir nyata daripada kehidupan dunia dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu mengenai hari akhirat.” (Surah Ar-rum, ayat 7)

Ini contoh mereka yang hanya memandang dari sudut duniawi semata-mata tanpa melihat ganjaran pahala yang disediakan Allah SWT. Sifat ini akan merugikan seseorang kerana habuan dunia hanyalah sementara.

Imam Ghazali meletakkan empat asas utama sifat mulia di sisi Allah SWT iaitu kebijaksanaan yang dapat membezakan benar dan salah; keberanian menahan atau mengarahkan kemarahan dengan menggunakan akal; kebersihan jiwa bagi menahan keinginan syahwat dengan mendidiknya untuk tunduk kepada akal dan syarak serta keadilan iaitu kekuatan jiwa yang boleh mengatasi sifat marah dan keinginan syahwat lalu membimbingnya ke arah kebijaksanaan.

Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang kasihkan dunia, maka dia membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia membahayakan dunianya. Justeru, ingatlah utamakan suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia).” (Riwayat Ahmad dan Hakim)

Jika diperhatikan maksud kasih di sini ialah cenderung dan gemar terhadap dunia, bukanlah meninggalkan dunia secara keseluruhan kerana kita dituntut untuk mendapatkan kedua-duanya.

Firman Allah SWT: “Katakanlah wahai Muhammad: Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barang siapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalas melainkan sebanding dengan kejahatan itu.” (Surah Ghafir, ayat 39)

Hati dan jiwa dalaman adalah pusat yang menggerakkan tubuh untuk melakukan kebaikan. Hati adalah perkara utama untuk memperbaiki akhlak manusia. Nabi SAW menganggapnya sebagai perkara utama dalam diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruh anggota manusia.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Sesungguhnya beruntunglah yang menyucikan jiwa itu. Dan rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah As-Syams, 9-10)

Realisasi matlamat

Manusia bergerak melalui urusan dalaman jiwa berteraskan agama yang mana terletaknya kekuatan sebenar. Kekuatan ini akan mencetuskan disiplin kuat untuk melaksanakan undang-undang seterusnya merealisasikan matlamat diciptakan undang-undang itu.

Undang-undang yang baik akan berkesan jika manusia bertindak mengikut landasan agama.

Imam al-Ghazali berkata: “Saya hairan dengan manusia yang sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan daripada kotoran batin.”

Firman Allah SWT: “Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya) maka Allah SWT mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang mengotorinya.” (Surah asy-Syams, ayat 7-10)

- BERITA HARIAN

Misi mengurangkan mangsa jenayah siber - PDRM

Tiada siapa mampu menyangkal teknologi dan kemajuan Internet hari ini memberi kemudahan kepada semua pihak.

Bagaimanapun bagi pihak tidak bertanggungjawab, teknologi itu menjadi alat efektif untuk melakukan jenayah penipuan.

Maka sebab itulah, jenayah siber kini muncul sebagai cabaran yang paling sukar untuk ditangani oleh pihak berkuasa di seluruh dunia di abad ini termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Malah nilai kerugian direkodkan pula oleh mangsa bukanlah kecil tetapi boleh mencecah sehingga berbilion ringgit.

Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, sebanyak RM1.6 bilion kerugian akibat jenayah siber dicatatkan di Malaysia pada tahun lalu, iaitu peningkatan daripada 1.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Perkara berkenaan diakui Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan yang berkata, populariti Internet menjadi penyumbang besar berlakunya jenayah siber di negara ini berikutan kemudahan dan kemajuan yang dicapai Malaysia pada hari ini.

"Jenayah siber berlaku di seluruh dunia dan di Malaysia, jenayah seperti ini semakin rancak berikutan kemudahan dan infrastruktur yang baik menyebabkan banyak sindiket menyasarkan kita.

"Malah rakyat juga semakin menerima kehadiran teknologi dan Internet kini menjadi sebahagian keperluan yang melengkapi kehidupan mereka," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Syed Ismail berkata, warga daripada benua Afrika dikesan cenderung terlibat dalam jenayah itu dan modus operandi mereka juga sama, iaitu datang ke Malaysia atas tiket pelajar tetapi menjalankan penipuan dalam talian.

"Gerak kerja warga asing ini juga sama iaitu menyasarkan penduduk negara atau luar negara menyalurkan wang dalam jumlah yang banyak dengan menggunakan identiti individu yang tidak wujud. Kes-kes sebegini walaupun kerap kali dilaporkan namun masih tiada kesudahan hingga kini," jelasnya.

Kata Syed Ismail, selain jenayah membabitkan Internet, warga Afrika dikesan turut aktif melakukan pelbagai jenayah lain seperti pemalsuan wang, penipuan, sindiket bungkusan serta cakera video digital (DVD) haram di negara ini.

Perangkaan pada 2012 menyaksikan sebanyak 434 warga Afrika ditahan JSJK dan daripada jumlah itu, warga Nigeria mendominasi tangkapan iaitu 378 orang.

Selebihnya adalah dari beberapa buah negara Afrika Selatan, Cameroon, Sudan, Congo, Ghana, Guinea, Uganda, Sudan, Somalia, Zambia, Liberia dan Tanzania.

Sepanjang hampir 3 bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 61 orang ditahan dengan 50 daripadanya warga Nigeria manakala bakinya Guinea (4), Afrika Selatan (2), dan masing-masing satu dari Nigeria, Congo, Ghana, Zambia dan Liberia.

"Kita sentiasa melakukan pelbagai usaha untuk memerangi jenayah penipuan yang dilakukan warga Afrika kerana kita tidak boleh menyekat kemasukan mereka ke dalam negara ini sebagai pelajar.

"Ini kerana dasar kerajaan Malaysia adalah untuk menjadikan negara ini sebagai satu hab pengajian terkemuka. Kita tidak boleh menentang usaha dan dasar kerajaan kerana kelebihan yang diperolehi akan dinikmati oleh semua rakyat negara.

"Tetapi kita juga harus sedar kemudahan itu ternyata diambil kesempatan oleh warga asing untuk melakukan pelbagai aktiviti penipuan sekali gus menjejaskan banyak pihak," katanya.

Dalam usaha memerangi jenayah siber ini, Syed Ismail berkata, JSJK sentiasa memastikan anggota dan pegawai mereka bersiap-sedia sepenuhnya dalam menempuh cabaran semasa terutama sekali berkaitan perkembangan teknologi.

"Dengan kepantasan teknologi dan kemampuan setiap manusia untuk melangkaui pemikiran satu-sama lain, JSJK perlu bergerak bukan sahaja seiringan tetapi beberapa langkah ke hadapan bagi memastikan jenayah siber ini boleh diatasi.

"Oleh sebab itu, kita sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi dan institusi profesional yang akan membantu meningkatkan ilmu pengetahuan setiap anggota dan pegawai JSJK, terutama sekali ketika menjalankan siasatan," katanya.

Tambah beliau, pegawai JSJK yang berkebolehan dan memiliki integriti mampu meningkatkan perkhidmatan dalam penyiasatan kes.

"Apa yang kita mahu adalah setiap elemen jenayah dikenal pasti dan siasatan dipercepatkan supaya setiap pertuduhan di mahkamah akan dapat ditingkatkan.

"Oleh sebab itu juga, kita memilih pegawai-pegawai yang mempunyai pelbagai latar belakang pengajian bersesuaian sebagai nilai tambah dalam pasukan. JSJK kini mempunyai pegawai berkelulusan dalam perbankan, perakaunan, jenayah komputer dan pelbagai lagi," ujarnya.

Ditanya tentang harapan JSJK sempena sambutan Hari Polis yang disambut kali ke-206 ini, Syed Ismail memberitahu, pihaknya berharap aduan (mangsa) jenayah komersial akan berkurangan dari semasa ke semasa.

Ini berikutan, berbanding 2011, jumlah kes pada tahun lalu berkurangan sebanyak 36.21 peratus dan sebanyak 6,657 individu telah didakwa.

"Tahun lepas, kami menerima sebanyak 22,033 aduan tetapi berkurangan kepada 18,381 pada 2012. Ini ternyata membanggakan kita malah kita telah melepasi 10 peratus daripada sasaran pengurangan jenayah siber yang ditetapkan PDRM.

"Kami gembira jika orang ramai kurang membuat aduan sekali gus jenayah komersial turut berkurangan," katanya.

- UTUSAN


Jumaat, Mac 29, 2013

Jawatan Kosong Kerajaan Negeri Perak - Tarikh Tutup : 12 April 2013

JAWATAN:
1. PEMBANTU AM PEJABAT (Gred N1)
2. PEKERJA AWAM (Gred R1)
3. PENGAWAS HUTAN (Gred G11)
4. TUKANG K2 (Gred R11)
5. PEMBANTU MUZIUM (Gred S17)
6. PEMBANTU HAL EHWAL ISLAM (Gred S17)
7. PEMBANTU TADBIR (KEW) / PEMBANTU AKAUNTAN (Gred W17)
8. JURUAUDIO VISUAL (Gred N17)
9. PEGAWAI KHIDMAT PELANGGAN (Gred N17)
10. RENJER HUTAN (Gred G17)
11. PEMBANTU LAUT (Gred A17)
12. PEMBANTU TADBIR (P/O) (Gred N17)
13. JURUBAHASA (Gred L17)
14. PEMBANTU PERTANIAN (Gred G17)
15. JURUTEKNIK (AWAM) (Gred J17)
16. PENYELIA ASRAMA (Gred N17)
17. PENOLONG PEGAWAI PERTANIAN (Gred G27)
18. PENOLONG PEGAWAI VETERINAR (Gred G27)
19. PENGHANTAR NOTIS (Gred N3)
20. PEKERJA AWAM KHAS (Gred R3)
21. PEMANDU KENDERAAN (Gred R3)
22. OPERATOR LOJI (Gred R3)
23. PEGAWAI HAL EHWAL ISLAM (Gred S41)
24. TUKANG K3 (Gred R9)
25. PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (Gred DG41)
26. PEMBANTU SYARIAH (Gred LS17)
27. PEGAWAI SYARIAH (Gred LS41)

IKLAN JAWATAN DAN BORANG PERMOHONAN ONLINE:
http://spaonline.perak.gov.my/spasuk/index.php

Tarikh Tutup : 12 April 2013


Dapatkan Kit Jom Bertindak sempena PRU13



Menjelang pilihan raya umum ke-13, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan 'Kit Jom Bertindak' bagi membantu rakyat Malaysia menunaikan hak mengundi mereka dengan betul.

Kit yang diperkenalkan melalui laman Facebook perdana menteri pada 18 Mac itu antara lain mengandungi buku panduan mengundi dengan maklumat ringkas dan mudah berkaitan proses itu.

Buku setebal 12 halaman itu memberi panduan langkah demi langkah bagaimana seseorang pengundi perlu menyiapkan diri untuk menunaikan hak mereka dengan cara yang teratur.

Ia mengandungi 10 tajuk berkaitan pengundian termasuk syarat kelayakan mengundi serta cara menyemak status daftar pemilih di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Turut dimuatkan beberapa tips berguna pada hari mengundi termasuk membawa kad pengenalan, hadir di tempat mengundi mengikut masa yang ditetapkan dan memeriksa saluran khas untuk warga emas, orang kurang upaya dan wanita hamil.

Pemilih juga diberi gambaran melalui ilustrasi pelan tempat mengundi serta penerangan ringkas apa yang perlu dilakukan agar proses pengundian berjalan lancar.

Buku itu turut menjawab beberapa persoalan popular berkaitan peraturan baharu yang diperkenalkan SPR seperti status dakwat kekal yang akan digunakan dan kelayakan undi pos selain tindakan lanjut yang perlu diambil jika kad pengenalan hilang sebelum mengundi.

Tata cara menanda kertas undi dengan betul turut diperjelas melalui ilustrasi ringkas kerana cara penandaan yang salah boleh mengakibatkan sesuatu undi itu menjadi undi rosak.

'Kit Jom Bertindak' sedang diedarkan secara percuma dan mana-mana individu berminat boleh memohon melalui laman web www.1Malaysia.com.my.

Selain buku panduan, kit itu turut mengandungi pelekat, pelekat kereta, pen dan pin kolar Jom Bertindak.

- BERNAMA


Google lancar laman pilihan raya PRU13 Malaysia


Gergasi Internet Google melancarkan laman web baru Rabu lalu, yang direka khusus untuk membantu rakyat Malaysia membuat pilihan apabila sampai waktu pengundian dalam pilihan raya umum ke-13.

Jurucakap Google Malaysia Zeffri Yusof (kanan) berkata, langkah ini diambil ekroan fakta terdapat ramai pengundi muda dan pengundi baru terlibat dalam pilihan raya akan datang dan bergantung kepada Internet untuk sumber maklumat.

"Kami cuba lakukannya di setiap negara yang kami beroperasi sebab kami mahu menyokong pilihan rara secara demokratik," katanya dalam taklimat tertutup bersama media pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Asia Tenggara Google Goh Lih Shiun berkata, projek ini akan menjadi laman web "penuh" untuk rantau ini.

Google sebelum ini melancarkan laman web mini untuk laman web pilihan raya gabenor Bangkok.

Pengguna boleh melayari laman web : http://www.google.com.my/elections/ed/my


 

Anggota keselamatan terbunuh syahid akhirat - Mufti Kedah

Anggota keselamatan beragama Islam yang terbunuh dalam Operasi Daulat di Sabah kerana mempertahankan negara adalah syahid akhirat dan bukan syahid dunia, kata Mufti Kedah Datuk Sheikh Mohamad Baderuddin Ahmad.

Beliau berkata mempertahankan negara adalah fisabilillah yang wajib bagi umat Islam kerana ia sama seperti berjuang menegakkan agama.

Katanya anggota polis dan tentera yang terbunuh bagi membanteras kumpulan pengganas di Lahad Datu dan Semporna, Sabah tidak wajib dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

"Dalam kes ini tidak kira penyerang penganut Islam atau kafir, anggota pasukan keselamatan yang terbunuh tetap syahid akhirat," kata Mohamad Baderuddin ketika menyampaikan tazkirah pada majlis Istighazah Al-Kubra di Masjid An-Naim Markas 6 Briged Kem Lapangan Terbang di Sungai Petani hari ini.

Program anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan kerjasama Markas 6 Briged itu dihadiri kira-kira 1,500 orang anggota tentera, polis dan awam termasuk Timbalan Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan Ketua Umno Bahagian Merbok Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Mufti itu turut mengingatkan masyarakat supaya menghargai keamanan kerana dalam suasana aman sahaja ekonomi negara berkembang menjadi mantap, negara berupaya membangun dan rakyat tidak berada dalam ketakutan.

"Golongan yang menolak perpaduan dan enggan bersatu atas nama Islam dianggap kufur dan mereka pasti menerima azab Allah SWT kelak," katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata langkah MPM sebagai badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan program agama seumpama itu merupakan tindakan tepat untuk menyatupadukan umat Melayu dan Islam yang dilihat telah berpecah.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah itu berkata perpecahan orang Melayu berlaku kerana mereka terlalu banyak berpolitik sehingga isu pencerobohan pengganas di Sabah yang mengancam keselamatan negara turut dipolitikkan.

"Kerana mahu melihat perpaduan orang Melayu kembali utuh...saya yakin usaha berterusan MPM dengan membabitkan masyarakat secara menyeluruh akan mengubah minda orang Melayu untuk menerima Islam sebagai agenda bersama," katanya.

Program Istiqhazah Al-Kubra yang bermaksud 'memohon pertolongan Allah SWT' itu bermula dengan solat sunat tahajud, hajat, witir dan bacaan Yassin dan tahlil untuk wira negara yang terkorban di Lahad Datu sebelum solat Subuh dan diikuti tazkirah dan membaca doa Istiqhazah.

- BERNAMA


Mengapa Tarikh Angkat Sumpah ADUN Setiap Negeri Berbeza?

Kali pertama menjadi kerajaan negeri, penyingkiran calon Menteri Besar merupakan antara sebab mengapa Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai tarikh angkat sumpah berbeza bagi wakil rakyatnya.

Di Negeri Sembilan, terdapat desakan bagi memastikan majlis angkat sumpah dibuat dengan cepat pada 28 Mac kerana kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) hanya mencatatkan majoriti tipis.

Sebaliknya di Pahang, BN mencatatkan kemenangan besar dan tidak banyak perubahan di kalangan barisan exco kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengangkat sumpah pada 7 April, kira-kira sebulan selepas pilihan raya diadakan pada 8 Mac.

Di Johor juga satu kejadian pelik berlaku, apabila Adun mengangkat sumpah bukan di hadapan Sultan dan sidang pertama DUN.

Namun tidak ada desakan untuk majlis akan sumpah diadakan, dan ia diselesaikan pada 21 April.

Pakatan Rakyat merupakan kerajaan negeri kali pertama bagi Selangor, walaupun mereka menang di negeri itu, mereka tidak dapat mencari calon bagi jawatan Menteri Besar.

Ia menjadi keadaan sedikit kecoh apabila pihak Istana dikatakan tidak merestui senarai awal calon Menteri Besar dan menyebabkan tarikh angkat sumpah hanya berlangsung pada 22 April.

Perak turut berhadapan dengan situasi yang sama, di mana DAP merupakan parti yang memenangi kerusi paling banyak.

Parti itu cuba meletakkan calon mereka sebagai Menteri Besar namun sekali lagi, Sultan campurtangan dan menitahkan hanya orang Islam boleh menjadi Menteri Besar.

Akhirnya, Pakatan Rakyat memilih calon PAS, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak.

Bagaimanapun, kedua-dua parti DAP dan PKR tidak selesa calon PAS menjadi Menteri Besar Pakatan kerana mereka menang atas dasar undi bukan Melayu.

Bagaimanapin Nizar berjaya meredakan kebimbangan itu dan membuktikan kemampuannya kepada rakyat Perak.

Ini juga dikatakan sebagai petanda DAP akan meletakkan calon Melayu di Perak pada pilihan raya umum kali ini.

Adun Melaka mengangkat sumpah pada 26 April, tanpa sebarang masalah.

Bagaimanapun di Perlis, situasinya berbeza, BN mempunyai calon mereka sebagai Menteri Besar namun pihak Istana memikirkan calon lain, ia menyebabkan tempoh seminggu untuk berunding mengenai isu berkenaan.

Di Perlis, 90 peratus kerusi dikuasai BN, oleh itu ia mengambil sedikit masa untuk menyelesaikan isu pemilihan menteri besar. Penyandangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim digugurkan dan digantikan dengan Datuk Dr Md Isa Sabu. Majlis angkat sumpah diadakan pada 28 April.

Di Kelantan, penyandang jawatan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mengambil sedikit masa menyebabkan majlis angkat sumpah hanya berlangsung pada 28 April.

Di Sabah, kerajaan negeri pimpinan BN yang terdiri daripada beberapa parti komponen menyebabkan banyak rundingan dijalankan bagi pembahagian kerusi. Adun hanya mengangkat sumpah pada 29 April.

Sementara majlis angkat sumpah Pulau Pinang berlangsung pada 2 Mei.

Di Kedah, PR turut berhadapan dengan masalah kerana tidak mempunyai calon bukan Melayu. Satu-satunya calon Bebas diajak menyertai DAP dan akhirnya majlis angkat sumpah diadakan pada 6 Mei.

Bagi Terengganu, pengguguran Datuk Seri Idris Jusoh sebagai calon Menteri Besar menimbulkan banyak kontroversi kerana pihak istana memilih Datuk Seri Ahmad Said bagi jawatan berkenaan.

Majlis akan sumpah Adun hanya berlangsung pada 6 Mei, sekaligus menjadikan Terengganu sebagai negeri terakhir berbuat demikian.

Sarawak tidak berhadapan dengan situasi berkenaan kerana pilihan raya negeri diadakan pada 2011, dengan sidang DUN pertama diadakan pada 20 Jun tahun yang sama.

- mSTAR

PERMOHONAN KEMASUKAN KE POLITEKNIK SESI JUN 2013

 

Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mempelawa calon-calon yang berkelayakan untuk memohon untuk mengikuti program pengajian peringkat diploma  dan diploma lanjutan di Politeknik KPT bagi sesi Jun 2013.

Politeknik KPT menyediakan tempat pengajian untuk lulusan Diploma Politeknik KPT, lulusan SPM, lulusan Sijil Politeknik KPT, lulusan Sijil Kolej Komuniti KPT, lulusan Sijil Institut Kemahiran Tinggi PERDA, lulusan Matrikulasi KPM dan lulusan Institut Pertanian Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Laman Web : https://upu.mohe.gov.my (Lepasan SPM) dan www.politeknik.com.my (Lepasan Politeknik dan Kolej Komuniti)

Iklan Kemasukan : Klik sini 

Tarikh Tutup :
- Lepasan SPM : 15 April 2013
- Lepasan Diploma Politeknik : 30 Mac 2013
- Lepasan Sijil Politeknik : 15 April 2013




 

Tarikh Akhir Pembubaran Parlimen 30 April 2013 - SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis memperjelaskan bahawa tarikh sebenar pembubaran Dewan Rakyat secara automatik ialah pada 30 April dan bukan 28 April seperti yang banyak dilaporkan sebelum ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini berikutan tarikh 28 April itu jatuh pada hari Ahad.

Beliau berkata tempoh matang dibawa ke hari Isnin, 29 April dan Dewan Rakyat akan terbubar secara automatik pada tengah malam hari itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

"Perubahan tarikh itu adalah berdasarkan peraturan yang ditetapkan SPR dan disahkan oleh bahagian undang-undang suruhanjaya ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

"Ini adalah pengiraan yang dibuat oleh bahagian undang-undang SPR di mana ada tarikh-tarikh cuti yang tidak boleh dikira," katanya.

Sebelum ini, banyak pihak membuat andaian bahawa Dewan Rakyat sepatutnya terbubar sendiri pada 9 Mac lepas berikutan PRU ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, tarikh cukup tempoh satu penggal atau lima tahun pilihan raya umum dikira berdasarkan tarikh hari pertama Dewan Rakyat bersidang selepas pilihan raya umum diadakan, bukan berdasarkan tarikh pilihan raya berlangsung.

Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama pada 28 April 2008, iaitu 51 hari selepas tarikh PRU ke-12.

- BERNAMA



Penjawat awam sementara dan kontrak terima faedah Perkeso mulai 1 Mei 2013

Seramai 63,000 anggota perkhidmatan awam berstatus sementara dan kontrak akan turut menikmati pelbagai faedah di bawah Skim Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai 1 Mei ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kerajaan mengambil keputusan itu bagi memastikan kebajikan pekerja dan anggota keluarga mereka turut dijamin di bawah Skim Perlindungan Bencana Pekerjaan dan Pencen Ilat seperti pekerja di sektor swasta.

"Keputusan ini memberi faedah kepada semua pekerja sementara dan kontrak di dalam perkhidmatan awam, termasuk 15,000 pekerja yang sedang berkhidmat di Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan taraf sementara dan kontrak sekian lama," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.

Dr. Subramaniam berkata, Perkeso akan mengambil tindakan serta-merta untuk mendaftar semua pekerja bertaraf sementara dan kontak yang sedang berkhidmat dalam perkhidmatan awam persekutuan/negeri, badan berkanun persekutuan/negeri dan pihak berkuasa tempatan.

"Jemaah Menteri membuat keputusan itu minggu lalu...Dengan ini semua pekerja terbabit secara automatik akan didaftarkan di bawah Perkeso. Perkeso akan menghubungi jabatan dan agensi berkenaan untuk menguruskan pendaftaran ini," katanya.

Dr. Subramaniam berkata, kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM30 juta setiap tahun dengan perluasan skim itu.

Katanya, skim bencana pekerjaan akan melindungi pekerja ditimpa kemalangan semasa waktu kerja, kemalangan dalam perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja dan juga penyakit khidmat.

Skim ilat pula akan memberi perlindungan 24 jam akibat daripada keuzuran atau penyakit dan pencen penakat pula disebabkan oleh kematian kepada pekerja yang menikmati keilatan atau disebabkan oleh penyakit.

Faedah-faedah lain yang turut dinikmati ialah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, pengurusan mayat dan kemudahan pemulihan untuk pekerja kembali bekerja.

Semua faedah ini akan diterangkan oleh Perkeso dalam taklimat kepada pekerja terlibat di jabatan dan agensi berkenaan, katanya.

Dalam pada itu Dr. Subramaniam berkata, sebanyak 1,912 majikan, dikesan gagal mendaftar pekerja mereka di bawah Perkeso, tahun lalu.

"Mereka dikenal pasti di bawah Ops Kesan yang dilakukan terhadap 20,003 majikan tahun lalu, dan majoriti daripada mereka ialah majikan sederhana dan kecil.

"Daripadanya sebanyak 1,802 kes didakwa di mahkamah (sivil) kerana gagal mencarum, gagal mendaftar, lewat daftar atau kesalahan-kesalahan berkaitan," jelasnya.

Menurutya bagi kesalahan itu majikan boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

- BERNAMA