Rabu, Disember 05, 2012

Gunung di Perancis dipercayai tempat UFO muncul pada 'hari kiamat' 21 Disember 2012


Gunung Pic de Bugarach setinggi 1,230 meter di selatan Perancis dipercayai merupakan satu-satunya tempat di dunia yang akan selamat daripada 'hari kiamat' pada 21 Disember depan, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.

Tarikh 21 Disember itu merupakan ramalan yang dibuat berdasarkan kalendar penduduk Maya yang bermula pada 3114 Sebelum Masihi.

Beberapa filem dokumentari dan laman web meramalkan bahawa berdasarkan kalendar penduduk Maya di Amerika Tengah itu, 'hari kiamat' akan berlaku pada 21 Disember depan.

Ramalan itu dibuat kerana kalendar Maya itu berakhir pada tarikh tersebut.

Menurut pihak yang percaya tentang 'hari kiamat' itu, sejumlah makhluk asing dan sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) akan muncul.

Golongan itu percaya 'garaj kapal angkasa' terdapat di kawasan pergunungan itu dan menyelamatkan golongan yang mempercayainya.

Pekan Bugarach kini menjadi popular dalam kalangan orang yang mempercayai bahawa kiamat akan berlaku pada tarikh tersebut.

Datuk Bandar Bugarach, Jean Pierre Delord bimbang ramai orang akan tiba di bandar kecil itu.

Kawasan di sekitar Bugarach hanya didiami seramai 180 orang.

Polis dan tentera telah dimaklumkan untuk berdepan dengan bilangan orang yang ramai yang dijangka tiba di bandar berkenaan.

Menurut kalendar Maya itu, sebuah planet akan merempuh Bumi pada 21 Disember depan dan dipercayai akan menyebabkan 'hari kiamat' berlaku.

- Agensi

Nota : Ini hanyalah kepercayaan orang Barat. Orang Islam tidak boleh mempercayai dan terlalu taksub dengan kepercayaan tersebut.

Kardashian paling dicari di Yahoo!

Pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) merupakan item yang paling dicari manakala selebriti Kim Kardashian dari AS ialah orang paling dicari di Yahoo! untuk tahun ini, kata enjin carian internet berkenaan semalam.

Perkataan pilihan raya mengungguli senarai pencarian di Yahoo! hasil liputan besar-besaran oleh pihak media di samping perbincangan meluas topik tersebut di platform-platform media sosial.

Perkataan 'pengundian politik' berada di tempat kelapan senarai 10 teratas pencarian Yahoo$21 sepanjang tahun ini.

"Pilihan raya 2012 mendominasi carian di internet dan ia menakjubkan kerana jika sesuatu itu menjadi tajuk berita, orang ramai tentu sudah maklum mengenainya tetapi topik tersebut terus menjadi perkataan utama yang ditaip di laman web Yahoo! sepanjang tahun ini," kata penganalisis trend Yahoo!, Vera Chan dalam satu persidangan video.

Menurutnya, hanya dua laporan berita lain pernah pengungguli senarai tersebut sejak sedekad lalu iaitu laporan kematian Michael Jackson pada 2009 dan tumpahan minyak BP pada 2010.

iPhone 5 berada di tempat kedua senarai berkenaan yang disifatkan oleh Chan sebagai satu keputusan menarik.

Katanya, walaupun iPhone sentiasa berada dalam kedudukan utama senarai carian Yahoo! sejak 2007, ia adalah kali pertama sesuatu model spesifik seperti iPhone 5 menduduki antara tempat teratas senarai itu.

Menurutnya, ia berlaku selepas kematian pengasas bersama Apple, Steve Jobs.

Berada di tempat ketiga senarai yang sama ialah Kardashian yang juga merupakan orang paling dicari di laman web Yahoo!.

Kardashian mengungguli enam wanita popular yang berada dalam 10 teratas senarai tersebut termasuk model Kate Upton, anggota keluarga diraja Britain, Kate Middleton, penyanyi Whitney Houston dan Lindsay Lohan.

Ujar Chan 'kenakalan' Kardashian yang antara lain melibatkan kisah perceraian dengan bekas suaminya, Kris Humphries dan hubungan cinta selebriti itu bersama bintang rap, Kanye West telah membantu mengekalkannya sebagai orang paling dicari menerusi Yahoo!

- Reuters


Sebanyak 241,740 individu diisytihar bangkrap

KUALA LUMPUR 3 Dis. 2012 - Seramai 169,218 individu lelaki di negara ini telah diisytiharkan bankrap sejak tahun 2005 hingga April tahun ini disebabkan sikap buruk mereka sendiri yang liat untuk membayar balik hutang.

Jumlah tersebut meliputi 70 peratus daripada jumlah keseluruhan individu yang telah diisytiharkan bankrap dalam tempoh sama iaitu seramai 241,740 orang.

Ketua Jabatan Korporat dan Komunikasi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohd. Khalil Jamaldin berkata, fakta tertersebut menunjukkan golongan lelaki di negara ini lebih suka berhutang berbanding golongan wanita.

Beliau berkata, jumlah golongan wanita yang diisytiharkan bankrap dalam tempoh sama adalah seramai 72,522 orang.

Katanya, punca utama golongan Adam menjadi liat untuk membayar hutang adalah disebabkan sikap mereka yang gemar melangsaikan hutang sedia ada dengan membuat pinjaman baharu.

Beliau menegaskan, tindakan tidak berhemah golongan lelaki membuat hutang baharu itu ibarat menutup lubang hutang lama dan kemudian menggali lubang hutang yang baharu.

“Hutang yang baharu itu tidak akan selesai malah semakin bertambah.

“Apabila sudah tidak mampu bayar, tanggungjawab untuk membayar hutang itu turut hilang.

“Jadi akhirnya dia biarkan saja hutang itu macam orang malas nak bayar hutang,” katanya.

- KOSMO!

Genneva Malaysia rugi besar

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Hasil serbuan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama beberapa agensi penguatkuasa terhadap syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas mendapati satu daripada syarikat itu iaitu Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva Malaysia), merupakan syarikat yang bermasalah.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan BNM bersama Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, laporan awal perakaunan menunjukkan operasi Genneva Malaysia mengalami kerugian besar tahun ini dan mempunyai liabiliti melebihi 10 kali asetnya.

Syarikat itu sebenarnya tidak akan dapat mengekalkan cara operasinya iaitu menjual emas pada kadar 20 hingga 25 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran, membayar pulangan dua hingga tiga peratus sebulan dan membeli balik emas pada harga asal belian, kata kenyataan itu di sini hari ini.

Sehubungan itu, aliran tunai untuk membolehkan syarikat itu meneruskan operasinya adalah bergantung daripada wang pelaburan pelanggan baharu.

"Dokumentasi yang disita menunjukkan lebih daripada 8,000 pelabur syarikat tersebut yang telah membuat pembayaran untuk pelaburan emas juga masih belum menerima emas mereka yang jumlahnya melebihi 4,000 kilogram.

"Selain itu, didapati terdapat pelabur yang telah menyerahkan emas mereka kepada syarikat tersebut tetapi masih belum menerima bayaran balik tunai yang jumlahnya melebihi RM80 juta,'' kata kenyataan bersama tersebut.

Agensi-agensi penguatkuasaan itu juga menyatakan mereka menerima banyak rayuan daripada pihak yang terlibat dengan perniagaan Genneva Malaysia untuk melepaskan wang yang dibekukan dalam akaun bank sebanyak RM99.8 juta dan emas yang disita sebanyak 126 kilogram yang disimpan sebagai bukti bagi kesalahan yang disyaki.

Bagaimanapun, BNM dan agensi-agensi itu menyatakan, wang dan emas tersebut dikehendaki untuk tujuan penyiasatan dan hanya akan dilepaskan dengan arahan mahkamah dan usaha sedang dilakukan bagi mempercepatkan siasatan untuk mencapai penyelesaian awal.

Orang ramai dinasihatkan supaya merujuk kepada laman web BNM di www.bnm.gov.my untuk maklumat lanjut.

- UTUSAN

Akhlak usahawan berjaya

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

APABILA kita menyelusuri sirah Nabi SAW, kita akan dapati bahawa baginda pernah menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya. Kehebatan baginda dalam menguruskan perniagaannya menyebabkan Khadijah r.ha terpikat dan terpaut hati kepada baginda.

Rasulullah SAW dapat meningkatkan penghasilan dan keuntungan perniagaannya dek kerana akhlak baginda yang terpuji yang dapat meyakinkan pelangan-pelanggan ketika itu, di samping strategi perniagaan yang mantap.

Maka tidak hairanlah baginda SAW bukan sahaja dikagumi oleh orang Islam, tetapi juga orang bukan Islam. Michael Hart menulis dalam bukunya, The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History (100 orang paling berpengaruh dalam sejarah), beliau memilih Nabi Muhammad SAW sebagai orang yang paling berpengaruh dalam sejarah. Buku berkenaan telah terjual sebanyak 500,000 naskhah dan diterjemahkan dalam 15 bahasa.

Beliau memberikan ulasan: My choice of Muhammad to lead the list of the world's most influential persons may surprise some readers and may be questioned by others, but he was the only man in history who was supremely successful on both the religious and secular levels. Of humble origins, Muhammad founded and promulgated one of the world's great religions, and became an immensely effective political leader. Today, thirteen centuries after his death, his influence is still powerful and pervasive.

Kejayaan hakiki sebagai ahli perniagaan adalah apabila mereka boleh menghasilkan sesuatu dalam bentuk better than best di mana mereka mampu menikmati 'senang' dan 'tenang' dalam pekerjaannya. Untuk memperoleh kedua-dua pencapaian ini, mereka perlu menjadi seorang "mukmin yang profesional" sebagaimana firman Allah yang bermaksud: ...Sesungguhnya orang yang paling baik untuk engkau berikan kerja ialah orang yang kuat lagi amanah. (al-Qasas: 26)

Contoh Mukmin yang profesional tidak lain tidak bukan adalah baginda SAW. Justeru, apabila kita menyelusuri peribadi Rasulullah SAW, terdapat sekurang-kurangnya empat akhlak utama yang perlu diamalkan oleh setiap ahli perniagaan.

Sifat siddiq

Pertama, seorang ahli perniagaan perlu mempunyai sifat siddiq (benar). Setiap transaksi yang dibuat dan bayaran yang diambil perlu dilaksanakan secara telus dan mengikut perjanjian yang telah dipersetujui bersama.

Sekiranya terdapat caj-caj tambahan yang ingin diambil, syarikat perlu memaklumkannya kepada pelanggan-pelanggan sebelum mereka menandatangani sebarang kontrak.

Oleh sebab itu, sekiranya perniagaan tersebut dilaksanakan oleh syarikat, maka sebaik-baiknya syarikat tersebut perlu mempunyai anggota-anggota penasihat syariah yang diiktiraf.

Mereka perlu sentiasa berperanan dalam memastikan operasi syarikat tersebut menepati prinsip dan kehendak syariah, sekali gus mengelakkan daripada sebarang salah laku dalam pentadbiran dan untuk menjamin ketelusan dalam perniagaan mereka.

Mereka juga perlu peka dan sensitif terhadap segala perkembangan syarikat termasuklah pentadbiran, aktiviti, operasi dan produk-produk yang dikeluarkan.

Pihak pengurusan syarikat juga perlu telus dan jujur dalam memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Syariah supaya maklumat-maklumat yang penting tidak tercicir daripada pengetahuan mereka.

Ketika mempromosikan produk, syarikat perlu benar dalam menyatakan ciri-ciri yang ada pada produk-produk tersebut. Jangan berlebih-lebihan dalam berkata-kata sehingga sampai ke tahap berbohong demi menarik minat masyarakat terhadap produk berkenaan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Peniaga yang benar dan beramanah akan ditempatkan bersama-sama para nabi, golongan orang-orang yang benar dan para syuhada". (riwayat Tirmidzi)

Amanah

Akhlak kedua yang perlu dihayati oleh ahli atau syarikat perniagaan adalah amanah. Dalam hal ini, setiap warga kerja syarikat termasuklah ahli lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan perlu menyedari bahawa setiap tindakan yang dilakukan oleh pihak syarikat pasti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Jangan sekali-kali melakukan penipuan dan penyelewengan sehingga menjejaskan reputasi syarikat di mata masyarakat.

Sifat amanah ini perlu dalam memastikan nilai integriti di kalangan pekerja dapat dipertingkatkan dan sekali gus ia tidak menganiaya para pelanggan.

Janganlah disebabkan ingin mengejar keuntungan yang disasarkan menyebabkan kita menzalimi para pelanggan.

Menyampaikan

Akhlak ketiga yang perlu disematkan adalah tabligh (menyampaikan). Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "… Allah memberikan cahaya (menyinari) kepada seseorang yang mendengar percakapanku, maka dia menerimanya dan memeliharanya (menghafalnya) dan menyampaikannya…." (riwayat Tirmidzi)

Ahli atau syarikat perniagaan perlu menggunakan wadah perniagaannya tersebut untuk menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat. Inilah masanya mereka dapat membuktikan kebaikan yang ada pada sistem kewangan Islam yang berteraskan al-Quran dan sunnah.

Inilah detiknya mereka ingin menyelamatkan manusia daripada elemen-elemen yang bercanggah dengan syariah Islam seperti gharar (ketidaktentuan), maisir (perjudian) dan riba.

Dalam menyampaikan kebenaran ini, mereka perlu menggunakan kaedah yang paling berhikmah.

- UTUSAN

Carilah penerang hati ubati kesihatan mental

Oleh DR. JESSICA ONG HAI LIAW
Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

TEKANAN atau stress yang sering kita dengar secara umumnya merupakan tekanan terhadap kehidupan yang mencabar dan pelbagai masalah yang perlu dihadapi setiap hari.

Masalah silih berganti dan cabaran datang tanpa henti. Setiap perkara perlu diselesaikan segera menyebabkan jiwa dan perasaan terganggu.

Kadang kala tekanan muncul apabila perlu ditentukan yang mana perlu diletakkan sebagai prioriti apabila semua tugasan datang serentak. Kerja di pejabat, keluarga di rumah dengan kos sara hidup yang tinggi semuanya perlu dihadapi dengan tenang dan mental yang sihat.

Tekanan perasaan boleh dihindari jika kita berupaya meningkatkan kemampuan dan keyakinan diri untuk mengatasinya. Puncanya perlu dicari dan cara mengatasi perlu penawarnya. Masing-masing mempunyai cara yang tersendiri untuk menghilangkan stress.

Walaupun kita tidak mungkin dapat menyelesaikan keseluruhan stress, namun dengan rehat seketika di antara waktu kerja boleh melegakan ketegangan emosi, kekusutan fikiran dan ketegangan fizikal.

Memendam rasa merupakan salah satu puncanya atau dikatakan makan hati berulam jantung sama ada tersurat dan tersirat yang melibatkan akal, pemikiran atau proses intelektual. Jika tekanan perasaan dijuruskan kepada perasaan dan fikiran yang negatif, ia berkemungkinan akan mengakibatkan mental menjadi tidak siuman, sakit otak atau gila.

Seseorang yang mengalami masalah apabila jiwanya senipis bawang, dan apabila jiwanya sekeras besi tetapi mentalnya tetap lemah dan jika tidak dikawal dengan betul maka pelbagai perkara akan terjadi.

Masyarakat yang mempunyai mental yang terganggu boleh merencatkan pembangunan jati diri dan negara. Jiwa kosong, hati menjadi kering tanpa pegangan agama yang kuat dan kurangnya kasih sayang adalah sebahagian daripada puncanya.

Dalam sebahagian kes jenayah sosial pula, adakala penjenayah dibebaskan jika dikatakan mempunyai rekod masalah kesihatan mental. Adilkah keputusan itu? Lantaran masalah mental dan perbuatan dilakukan tanpa sedar maka mereka tidak boleh dihukum.

Jenayah-jenayah sosial semuanya dilakukan oleh mereka yang imannya lemah, mengikut hawa nafsu tanpa memikirkan akibatnya. Adakah penjenayah itu mempunyai masalah mental atau iman mereka terlalu rapuh sehingga terlibat dalam gejala negatif seperti pengambilan dadah, arak, pil khayal yang dikatakan dapat menyelesaikan segala kebuntuan. Akhirnya ia menjadi punca mereka melakukan jenayah sosial.

Hari ini, masyarakat Malaysia dikatakan menghadapi masalah sakit mental yang serius dengan 12 peratus rakyat negara ini atau 3.5 juta orang menghidap penyakit mental. Tinjauan Kesihatan Morbiditi dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental.

Tinjauan juga menunjukkan wanita dua kali ganda lebih ramai mengalami sakit mental berbanding lelaki. Adakah wanita lebih stress dengan memikul pelbagai tanggungjawab dan beban?

Statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan peningkatan masalah kesihatan mental golongan remaja daripada 13 peratus pada 1996 kepada 20 peratus pada 2011 kerana pengaruh Internet dan teknologi komunikasi dan kesibukan ibu bapa.

Berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006, masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa pula ialah 11.2 peratus berbanding 10.6 peratus pada 1996. Bilangan pesakit mental di negara ini dijangka terus meningkat dalam masa 10 tahun akan datang.

Semua rakyat menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan mengadakan ujian kesihatan mental terhadap pelajar sekolah menengah tahun ini sebagai kaedah menangani tekanan perasaan atau isu disiplin. Projek mengesan kesihatan mental pelajar sekolah menunjukkan tahap keresahan, kemurungan dan stress mereka berada pada tahap yang disifatkan sebagai 'tinggi'.

Daripada 6,540 murid yang disaring dalam projek perintis dikenali 'Program Minda Sihat Menangani Stress Dalam Kalangan Murid Sekolah' itu, 17.1 peratus daripadanya mengalami tanda-tanda keresahan yang teruk, 5.2 peratus mengalami tanda kemurungan teruk dan 4.8 peratus mengalami stress teruk.

Pada November lalu, kita dikejutkan dengan berita seorang bapa yang dipercayai sedang khayal akibat mengambil dadah menyembelih bayinya yang berusia 11 bulan di Felda Panching Selatan. Suspek didapati positif dadah metamphetamine dan amphetamine selepas ujian air kencing. Pengaruh dadah menyebabkan kesihatan mental terganggu dan mendorong melakukan perbuatan tanpa disedari. Apabila sedar semuanya telah terlambat.

Jika kita imbas kepada satu lagi kejadian, seorang pemuda bertindak menyimbah sebaldi cuka getah melalui tingkap terbuka kerana berang cintanya dihalang. Sikap yang terlalu mengikut perasaan kepada keluarga teman wanitanya boleh kita kaitkan dengan masalah jiwa yang rapuh atau kesihatan mental? Tergamak melakukan perbuatan yang sekejam ini menceroboh dan turut mencederakan seorang bayi yang berusia enam bulan sehingga maut manakala kakak dan ibu bayi parah.

Selain itu, berita seorang guru yang menggigit lengan muridnya hingga cedera hanya kerana tidak dapat menyebut perkataan "boy's" dengan betul menyebabkan murid berkenaan Farhan mengalami tekanan perasaan dan trauma. Kajian menunjukkan golongan guru ialah kumpulan keempat tertinggi dalam menghadapi tekanan dengan 45.8 peratus dan golongan tertinggi ialah kumpulan polis dengan 53.7 peratus.

Dalam menangani kes mental ini, institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan lain-lain juga dilihat perlu mengambil peranan selain badan-badan sosial lain.

Tanggungjawab merawat pesakit mental ini tidak seharusnya diserahkan sahaja bulat-bulat kepada Kementerian Kesihatan. Institusi agama boleh memainkan peranan yang berkesan dalam membantu Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan demi menangani masalah yang serius ini. Carilah penerang hati bukan pil penenang dengan kuatkan jiwa dengan cahaya keimanan. Salam 1Hati.

- UTUSAN

Isnin, Disember 03, 2012

Lebih ramai anggota PDRM diperlukan 2013

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan memerlukan lebih ramai anggota menjelang 2013 selaras dengan pertambahan penduduk dan pembangunan negara khususnya di tempat awam dan perumahan yang semakin pesat berkembang.

Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, bilangan keanggotaan yang besar itu diperlukan bagi membuat rondaan di kawasan terlibat seterusnya mengurangkan kadar jenayah yang berlaku.

"Langkah itu juga mampu mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah dan rasa selamat untuk menjalankan aktiviti seharian," katanya selepas perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Konstabel Lelaki di Pulapal Air Hitam.

Dalam majlis tersebut, seramai 996 pelatih berjaya menamatkan latihan selama enam bulan yang bermula 9 Jun lalu dan akan berakhir 8 Disember ini.

Sementara itu, Konstabel Muhamad Aliff Mohd. Azhar 22, dari Selangor muncul sebagai Peserta Terbaik Keseluruhan Latihan Kursus Asas Konstabel Lelaki.

Muhamad Aliff yang meminati kerjaya sebagai polis sejak kecil lagi berkata, beliau terkejut apabila pihak pengurusan memanggilnya ke pejabat kerana bimbang ada melakukan sebarang kesalahan.

"Namun perasaan itu bertukar gembira apabila mereka memberitahu saya adalah peserta terbaik keseluruhan untuk siri ini," jelasnya yang berasal dari Shah Alam, Selangor.

Sementara itu Peserta Terbaik Akademik milik Konstabel Muhammad Farhan Rosli 22 manakala Peserta Terbaik Latihan Luar ialah Konstabel Ridzwan Abdul Rakman, 21.

- UTUSAN

Terapi melalui doa

Berdoa
Doa merupakan terapi perubatan yang sangat mujarab dan berkesan. Doa adalah medium komunikasi kita dengan Allah.

Semasa berdoa, kita sebenarnya sedang bercakap dan mengadu kepada Allah. Siapa lebih layak untuk kita mengadu selain Allah? Hanya Allah sahajalah sebaik-baik pendengar.

Dengan berdoa, hati dan jiwa kita akan lebih tenang. Seperti mana yang kita sedia maklum, ketenangan amat penting dalam proses penyembuhan kanser.

Ingat, kita berdoa, Allah pasti makbulkan, dengan syarat kita berdoa dengan penuh pengharapan dan keyakinan dan bukan kerana arahan atau suruhan sesiapa.

Berdoa daripada hati dan jiwa yang ikhlas, pintalah, Allah Maha mendengar. Sabda Nabi SAW ;

"Hai manusia, tenangkanlah diri kamu, sesungguhnya kalian bukanlah berdoa kepada yang tuli dan tidak pula kepada yang ghaib, sesungguhnya kamu sedang berdoa kepada Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat. Dia selalu bersama kamu.."

(Riwayat Bukhari dan Muslim melalui Abu Musa r.a.)

Berdoalah kepada Allah. Tidak semestinya doa di dalam bahasa Arab. Berdoalah dalam apa jua bahasa. Berdoalah dari hati dan lisan, serta tangan yang menadah mengharapkan perkenan dari Allah. Dalam sebuah hadis sahih nabi SAW bersabda.

"Sesungguhnya tuhan kalian itu adalah Dzat Yang Maha Pemalu dan Maha Pemurah, Dia merasa malu terhadap hamba-Nya yang menadahkan tangannya kepada-Nya kemudian Dia mengembalikannya dengan hampa"

(Hadis riwayat Ibnu Majjah)

Yakinlah kepada Allah, berdoalah kepada-Nya kerana kuasa mutlak penyembuh ada pada Allah.

Jika kita berusaha berubat ke seluruh dunia pun, tanpa doa daripada kita dan perkenan-Nya, maka penyakit tetap tidak akan sembuh.

Kerana itu, dalam rawatan kanser menggunakan ayat Al-Quran, doa adalah 'ubat' terpenting selepas bacaan rangkaian ayat syifa' kanser daripada Al-Quran.

l Solat Tahajud

Kajian menunjukkan, solat tahajud yang diamalkan secara konsisten, berupaya meningkatkan sistem pertahanan diri (imuniti) di mana kualiti oksigen yang sangat segar di waktu awal pagi yang dihirup khusus untuk hamba-Nya yang bangun untuk solat tahajud.

Amalan ini amat digalakkan untuk dilakukan oleh pesakit di samping mengamalkan ayat Quran yang telah diberikan.

Solat tahajud mampu membina sistem pertahanan tubuh daripada penyakit terus merebak dan pada masa sama, hati pesakit akan lebih tenang dan lebih positif terhadap ujian kanser tersebut.

Solat tahajud dilakukan waktu malam selepas pesakit tidur seketika. Aktiviti bangun malam dan membasahkan diri dengan wuduk, memberi kesan amat positif kepada kesihatan seseorang secara umum dan kepada pesakit itu sendiri secara khususnya.

Sememangnya, solat pada waktu malam dan awal pagi dalam waktu dan persekitaran tenang akan membawa jiwa hampir kepada Allah.

Bacaan pula akan lebih khusyuk dan hati kita hadir dengan setiap bacaan tersebut. Firman Allah ;

"Sesungguhnya bangun waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan waktu itu lebih berkesan.." (Al Muzammil, 6)

l Solat Taubat

Solat taubat dapat membersihkan jiwa dan rohani seseorang. Apabila kita bertaubat kepada Allah dan memohon kepada Allah dengan seikhlas hati dan penuh tawaduk dan rendah diri, insya-Allah taubat kita akan diterima.

Allah itu maha pengampun lagi maha penyayang. Maka bertaubatlah kepadanya, agar diri dan jiwa kita dibersihkan, lalu penyakit kita disembuhkan dengan doa dan amalan yang berterusan.

Amat penting untuk kita solat taubat memohon ampun kepada Allah kerana, musibah yang menimpa kita adalah sebagai kafarah dosa kita terdahulu. Justeru, pintalah keampunan kepada Allah dan segeralah melakukannya. Firman Allah;

"Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.."

(An Nasr, 3)

Maka, segeralah bertaubat, ingatlah, dosa-dosa kita ialah penghalang kepada doa-doa kita.

Dengan melakukan amalan ini, di samping mendapat keampunan Allah, dengan izin Allah doa kita akan dimakbulkan, serta Allah akan mendengar rintihan penyakit kita agar disembuhkan insya-Allah.

Amat penting untuk kita sedari bahawa penyakit datang daripada Allah dan penawar juga di sisi Allah, pintalah keampunani-Nya dan sujudlah!

Berdoa kepada Allah agar kanser kita disembuhkan dengan izin-Nya. Pesakit dinasihati agar melakukan solat taubat sebanyak termampu, lebih baik jika dapat diamalkan setiap malam.

Pada sujud yang terakhir, pesakit berdoalah kepada Allah di dalam hati, agar diampunkan segala dosa dan diangkat segala penyakit yang menimpa.

Percayalah, telah ramai pesakit saya yang melakukan amalan ini dan merasakan sendiri hasilnya.

Tidak perlu kita ragu kepada kuasa Allah kerana kuasa kesembuhan hak mutlak Allah, kita merancang dan berusaha, seterusnya kita pulangkan tawakal kepada-Nya. Insya-Allah pesakit akan merasai hasilnya.

"Dari Abu Hurairah r.a. katanya : "Adalah Rasulullah SAW membaca ketika sujud :

"Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosaku, baik yang kecil maupun yang, besar yang mula-mula dan yang penghabisan, yang terang-terangan dan yang tersembunyi."

(Hadis sahih riwayat Muslim)

l Solat Hajat

Solat ini dilakukan selepas solat taubat. Setelah menyesal dan mengakui segala dosa kita, maka selepas itulah kita pohon dan pinta kepada Allah agar disembuhkan sakit yang menimpa diri.

Sebaik-baik cara memohon, adalah bersolat hajat dan sebaik-baik masa memohon di dalam solat hajat adalah semasa sujud.

Pintalah kepada Allah dengan penuh keyakinan, Allah pasti akan kabulkan.

l Zikir tahlil (La Ila ha Illa Allah)

Kalimah mulia ini bermaksud tiada tuhan yang disembah selain Allah. Tiap kali berzikir tahlil ini, hati kita mengingati Allah dan menafikan tuhan yang lain, selain daripada Allah.

Kadangkala, musibah yang menimpa kita adalah sebagai cemeti, untuk memukul kita supaya kembali pulang kepada Allah.

Kerana itulah saya menekankan amalan zikir ini agar pesakit kembali menghampirkan diri dengan Allah seterusnya memohon agar penyakit itu disembuhkan.

Pesakit digalakkan berzikir sepanjang masa. Sebaik-baik zikir adalah didalam hati. Kajian sains turut mendapati dengan berzikir tahlil ini, perjalanan darah akan lebih lancar di dalam tubuh.

Jadikanlah hati kita ini sentiasa berzikir mengingati tuhan. Amalan itu akan membuatkan jiwa kita menjadi tenang. Ketenangan merupakan nilai paling berharga untuk seseorang pesakit kanser.

Kanser mampu pasif di dalam tubuh andai pesakit itu tenang, sebaliknya, kanser yang telah pasif mampu kembali aktif seandainya pesakit stres dan berada dalam tekanan emosi dan fikiran.

Jadi, sebagai seorang Islam, terapi paling baik untuk menjadikan hati kita tenang adalah dengan berzikir mengingati Allah setiap masa.

"Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah (zikirullah). Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.." (Ar Ra'ad, 28)

Dalam kaedah rawatan perubatan Al Hidayah, pesakit sendiri perlu membaca rangkaian ayat-ayat suci Al-Quran dan bukannya perawat.

Perawat hanya berperanan memeriksa pesakit dan memberikan rangkaian ayat-ayat yang perlu dibaca oleh pesakit, seterusnya pesakit sendiri yang perlu berusaha membacanya.

Kaedah ini tampak berbeza dengan kaedah rawatan alternatif lain di mana perawat yang membacakan ayat-ayat Ruqyah kepada pesakit dan pesakit hanya meminum air jampi atau tidak perlu berusaha sendiri.

Menerusi kaedah perubatan Al Hidayah ini, pesakit perlu berusaha membaca ayat-ayat suci Al-Quran yang diberikan dan memohon kesembuhan daripada Allah sendiri.

Seperkara lagi, jika kita membaca terjemahan ayat-ayat Al-Quran yang diberikan kepada pesakit, terjemahannya memang tidak ada kena-mengena dengan sakit yang sedang dihidapi atau berkaitan dengan mana-mana proses penyembuhan.

Akal fikiran kita tidak mampu untuk mengkaji secara ilmiah hubungan antara ayat-ayat ini dengan jenis-jenis kanser yang dihidapi.

Namun, inilah mukjizat Al-Quran. Hanya Allah yang tahu hikmahnya. Apa yang pasti, ramai pesakit yang mengamalkan ayat ini telah menemui jalan keluar dari belenggu kanser dengan izin Allah, ada di antara mereka yang telah sembuh dan ada juga yang sedang meniti jalan kesembuhan, berkat Al-Quran dan dengan Izin Allah.

Proses rawatan ini adalah sangat kritikal dan kerana itu saya galakkan pesakit berjumpa saya empat atau enam minggu sekali untuk meneruskan terapi agar dapat saya berikan ayat-ayat yang baru untuk dibaca dan diamalkan pesakit.

Keterangan lanjut mengenai perubatan ini boleh didapati daripada buku berjudul "Quranic Medicine in Healing Cancer" yang insya-Allah akan dipasarkan pada Januari 2013.

- UTUSAN

Kualiti hidup selepas menopaus

KURANGNYA pendedahan terhadap gejala menopaus dan bagaimana menanganinya menyebabkan masyarakat sukar menerima kehadirannya. Apatah lagi, anda tidak tahu bila menopaus akan tiba. Dan pastinya anda juga tidak mahu ia memberi kejutan kepada anda. Dalam hal ini, wanita harus bersikap positif dan menganggap kehidupan mereka akan bertambah baik selepas mengalami menopaus (putus haid).

Ini kerana sebagai wanita, anda perlu bersedia dengan beberapa siri perubahan biologi tubuh dalam meniti setiap fasa kehidupan.

Perubahan akan berlaku termasuklah pusingan haid yang menandakan kematangan tubuh wanita, konsepsi, kehamilan, kelahiran dan menopaus .

Apa yang pasti, setiap fasa perubahan ini membabitkan rasa tidak selesa sama ada secara emosi mahupun fizikal.

Perubahan ini menjadi kebimbangan kepada wanita yang sukar berhadapan dengan kehidupan selepas menopaus .

Ada pelbagai teori yang mungkin dapat menjelaskan kebimbangan wanita terhadap menopaus.

Pada masa lalu, keupayaan mendapat zuriat amat dipentingkan dan kehilangan upaya wanita untuk mengandungkan anak mungkin menjejaskan kepentingannya dalam masyarakat.

Malah penekanan hari ini terhadap awet muda memberi tekanan besar terhadap wanita untuk melengahkan dan menafikan proses penuaan termasuk menopaus .

Persepsi yang tidak tepat ini menimbulkan salah faham dan cara pengurusan menopaus yang tidak tepat, menjadikannya satu pengalaman perit, bukan sahaja bagi wanita bahkan orang tersayang.

- MINGGUAN MALAYSIA

J-QAF diperkenal di sekolah menengah

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Kementerian Pelajaran sedia memperkenalkan pengajaran subjek Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF) di sekolah menengah selepas masalah bekalan guru program itu di peringkat sekolah rendah diselesaikan sepenuhnya awal tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perkara itu mengambil kira keperluan program tersebut diteruskan di sekolah menengah terutama bagi murid-murid yang tidak berpeluang mengikuti pembelajaran tambahan di sekolah agama.

"Kementerian Pelajaran dimaklumkan sejak adanya J-QAF, pengetahuan dan kelancaran murid-murid membaca Jawi dan al-Quran semakin baik.

"Cuma buat masa ini, kementerian perlu menyelesaikan masalah kekurangan guru J-QAF di peringkat sekolah rendah sebelum dilanjutkan ke sekolah menengah," katanya.

- UTUSAN

Ancaman penggodam siber

Kira-kira tujuh juta pemilik telefon pintar di negara ini diancam penggodam siber yang menjadikan ia instrumen untuk menipu bagi mendapatkan wang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata kurangnya kesedaran terhadap risiko keselamatan telefon pintar, menjadikan pengguna gajet berkenaan sasaran mudah.

“Modus operandi antaranya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dikenali SMS Trojan kepada pengguna yang tanpa disedari, kos dikenakan ke atas pengguna dengan hanya membalas SMS berkenaan. Pengguna hanya sedar perkara itu apabila menerima bil telefon yang tinggi sedangkan mereka tidak menggunakannya,” katanya.

Katanya, penipuan juga dikesan menerusi aplikasi terdapat dalam peranti (telefon bimbit) seperti aplikasi Type-On yang sekiranya dimuat turun, akan menyebabkan pengguna menanggung kos kononnya dikenakan selepas memuat turun aplikasi terbabit walaupun mangsa sudah menghentikan penggunaannya.

Kerugian jutaan dolar

Lookout Mobile Security dipetik agensi berita AFP, menganggarkan pengguna di seluruh dunia mengalami kerugian jutaan dolar tahun lalu melalui virus malware dan toll fraud yang menyerang pengguna telefon pintar kerana mendapatkan aplikasi dari sumber tidak rasmi berbanding sumber dipercayai seperti Apple atau Google online shops.

Syed Ismail berkata, berdasarkan statistik polis, kerugian direkodkan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini bagi jenayah siber menggunakan modus operandi melalui SMS atau panggilan telefon, perbankan internet atau perbankan telefon, penggodaman dan salah guna rangkaian termasuk belian barangan, adalah kira-kira RM21.8 juta.

Katanya, kes belian barangan melalui internet mencatatkan kerugian tertinggi iaitu RM14.5 juta membabitkan 1,298 kes, diikuti SMS atau panggilan telefon sebanyak RM3.4 juta (412 kes), RM3.3 juta (24 kes penggodaman), perbankan internet atau perbankan telefon sebanyak RM590,000 (74 kes).

“Bagaimanapun, kes salah guna rangkaian tidak merekodkan sebarang kerugian harta benda, lebih kepada jenayah peras ugut terhadap mangsa seperti menggunakan gambar dan kata-kata mengugut yang mewakili 25 kes,” katanya sambil menambah pengguna internet mudah alih di Malaysia pula mencecah 7.7 juta orang.

Katanya, polis akan merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan lanjut dan bekerjasama rapat dengan agensi itu.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, pengguna yang mendapati bil telefon mereka melambung tinggi tanpa sebab munasabah, hanya akan melaporkan kepada syarikat telekomunikasi sekadar untuk membuat aduan dan mendapatkan penjelasan mengenainya, tetapi tiada tindakan susulan.

- BERNAMA

Recent Posts