Khamis, November 08, 2012

Apabila antibiotik tidak berkesan

Sudah lapan dekad, antibiotik dan antimikrob digunakan dengan meluas untuk merawat mereka yang menghidap penyakit berjangkit.

Sejak 1940-an, ubat-ubatan ini terbukti berkesan dalam merawat dan mengurangkan dengan ketara kadar kematian akibat penyakit seperti itu.

Bagaimanapun, pengamal perubatan berkata antibiotik hanya berkesan sekiranya diberi preskripsi dan digunakan secara betul.

Namun, oleh kerana digunakan secara meluas sejak sekian lama, mikroorganisme membentuk strain baharu yang mampu merintang kesan antibiotik dan ini menjadikan antibiotik kurang berkesan.

Ketua Penolong Pengarah (Kawalan Jangkitan) Kementerian Kesihatan, Dr. Suraya Amir Husin berkata, penggunaan antibiotik secara tidak betul dan tidak rasional boleh menyebabkan munculnya mikroorganisme yang kebal.

"Keadaan ini dikenali dalam dunia perubatan sebagai Rintangan Antimikrob (AMR)," katanya.

AMR merujuk kepada kekebalan sesuatu mikroorganisme terhadap sesuatu agen antimikrob yang sebelumnya begitu sensitif terhadap antimikrob berkenaan.

Organisme perintang (bakteria, virus dan sesetengah parasit) mampu bertahan terhadap tindakan antimikrob seperti antibiotik dan antivirus yang menjadikan rawatan standard tidak berkesan.

Natijahnya, jangkitan terus wujud dan boleh merebak kepada orang lain.

Dr. Suraya berkata, AMR wujud akibat penyalahgunaan antimikrob dan keadaan ini berlaku apabila sesuatu mikroorganisme memutat atau menjadi kebal.

Kesedaran

Dr. Mohamed Azmi Hassali dari Universiti Sains Malaysia berkata, mengubah sikap dan meningkatkan pengetahuan orang ramai tentang penggunaan antibiotik merupakan langkah yang boleh memulihara keberkesanan antibiotik.

"Perlu difahami bahawa isu berkaitan AMR tidak hanya terhad kepada penggunaan antibiotik secara tidak rasional untuk rawatan, tetapi lebih jauh daripada itu.

"Sebagai contoh, penggunaan antibiotik secara tidak rasional dalam makanan haiwan turut menyumbang kepada kemunculan patogen dalam ekosistem kita," katanya.

Ketahanan antibiotik perlu dikaji melampaui tempat yang diinstitusikan seperti hospital kerana kebanyakan amalan paling tidak rasional dalam pemberian preskripsi dan antibiotik turut berlaku dalam masyarakat, katanya.

Kesan Jangkitan berpunca daripada mikroorganisme perintang selalunya tidak memberi respons kepada rawatan standard dan ini mengakibatkan kesakitan berpanjangan serta meningkatnya risiko kematian.

AMR mengurangkan keberkesanan rawatan kerana pesakit akan terdedah kepada jangkitan lebih lama dan berpotensi menyebarkan mikroorganisme perintang kepada orang lain. Sekali gus, ia boleh mewujudkan kembali keadaan pra-antibiotik.

Kewujudan AMR menyebabkan kebanyakan risiko jangkitan menjadi tidak boleh dikawal dan boleh memusnahkan kemajuan ke arah mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa Bersatu berkaitan kesihatan menjelang 2015.

Apabila jangkitan menjadi kebal terhadap ubat-ubatan barisan awal, terapi lebih mahal perlu digunakan. Peningkatan tempoh sakit dan rawatan akan meningkatkan kos penjagaan kesihatan dan memberi beban kewangan kepada keluarga terbabit serta masyarakat.

Sesungguhnya, kemunculan AMR mencabar kemajuan dalam bidang perubatan moden.

Tanpa wujudnya antimikrob berkesan dalam pemberian penjagaan kesihatan dan pencegahan jangkitan, kejayaan kaedah rawatan seperti pemindahan organ, kemoterapi kanser dan pembedahan, sudah pasti akan terjejas.

Justeru, satu kaji selidik untuk menilai pengetahuan asas masyarakat tentang antibiotik dijalankan di Jelutong, Pulau Pinang dari 18 hingga 20 Jun tahun ini.

Ia merupakan kerjasama antara Yayasan Bina Ilmu Pulau Pinang (sebuah NGO di daerah Jelutong) dan para penyelidik dari USM yang melibatkan 64 responden.

Hasil kaji selidik ini mendedahkan tahap kesedaran orang ramai tentang antibiotik yang sungguh membimbangkan.

Kekurangan pengetahuan dalam kalangan majoriti responden menunjukkan langkah perlu diambil agar mereka lebih berpengetahuan tentang penggunaan antibiotik.

Kaji selidik itu juga menunjukkan wujudnya kaitan antara tahap pendidikan dan pengetahuan tentang rintangan antibiotik.

Responden yang berpendidikan hingga sekolah menengah nampaknya lebih sedar tentang ketahanan antibiotik dan ini membayangkan bahawa mereka yang mendapat pendidikan tinggi, lebih faham tentang penggunaan antibiotik.

Respons tentang bahaya yang ada kaitan dengan penggunaan antibiotik (rintangan antibiotik, kesan sampingan) didapati mempunyai perbezaan besar antara tahap pendidikan, status pekerjaan dan jumlah lawatan ke klinik atau farmasi.

Data yang dikumpul juga menunjukkan majoriti responden dalam kaji selidik ini memiliki pengetahuan berkadar sederhana tentang antibiotik dan mempunyai sikap yang betul tentang penggunaan antibiotik.

Ini menunjukkan bahawa pendidikan secara terancang tentang penyalahgunaan antibiotik perlu diberi untuk meningkatkan pengetahuan anggota masyarakat mengenai penggunaan antibiotik secara betul.

- BERNAMA

Majikan perlu terbuka soal penawaran gaji

Oleh Pegawai Penyelidik,
Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

PADA tahun 2009 sahaja lebih 49.6 peratus (%) pendapatan isi rumah dikuasai oleh golongan yang berpendapatan 20% tertinggi di negara kita. Golongan 80% lagi yang terdiri daripada kumpulan berpendapatan sederhana dan kumpulan yang berpendapatan rendah, berkongsi lebihan pendapatan isi rumah yang berbaki 50% tersebut. Bumiputera yang mewakili 64.9% daripada isi rumah pada tahun yang sama, 74.7% daripadanya berpendapatan di bawah RM2,000.

Persepsi makan gaji yang dilihat ideal bagi sebilangan besar masyarakat berbanding dengan bidang keusahawan dikatakan menyumbang kepada jumlah yang menerima pendapatan kurang dari RM2,000 ini.

Salah satu aspek yang sama pentingnya untuk ditangani ialah sejauh mana sebenarnya kesediaan majikan untuk menawarkan gaji atau upah yang tinggi kepada pekerja mereka pada konteks hari ini. Selama ini kita sering mendengar ramai majikan mengeluh bahawa kebanyakan calon pekerja tidak memiliki kriteria atau kemahiran tertentu yang diperlukan dalam organisasi,

Dengan kadar keluaran graduan yang meningkat saban tahun, adakah kita masih lagi tidak dapat menyediakan tenaga kerja yang mahir dan berkemahiran tinggi? Jika benar perkara ini berlaku maka dapat disimpulkan bahawa sistem pendidikan yang sedia ada hari ini adalah tidak menepati keperluan negara.

Tidak dinafikan semakin ramai tenaga kerja mahir dalam sesuatu bidang akan menekan pasaran buruh seterusnya mewujudkan satu garisan penawaran gaji yang dilihat kompetitif oleh pihak majikan. Akan tetapi apabila wujud unsur-unsur lain seperti peluang bidang pekerjaan yang sangat tidak seimbang, kemasukan tenaga kerja asing secara besar-besaran boleh menyebabkan tenaga kerja tempatan ini dinilai dengan lebih rendah.

Kecenderungan majikan yang mengambil kesempatan atas kekurangan ini juga tidak membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk sama-sama memacu ekonomi negara dengan pendapatan dimiliki mereka.

Sememangnya faktor keuntungan menjadi punca kepada mengapa sebahagian majikan tidak mahu menawarkan pendapatan yang sepadan kepada pekerja. Memaksimakan keuntungan tidak salah akan tetapi usaha ke arah penguntungan tersebut tidak boleh sehingga menzalimi pihak lain.

Islam sendiri tidak pernah mengehadkan nisbah keuntungan yang dingini oleh majikan mahupun peniaga. Akan tetapi keuntungan sehingga membawa kepada penindasan adalah dilarang sama sekali.

Kekurangan dan ketidakseimbangan dalam perolehan pendapatan isi rumah menjerat orang ramai ke arah pembentukkan masyarakat berhutang. Individu tidak lagi bekerja untuk mendapatkan pendapatan sebaliknya bekerja bagi melangsaikan hutang. Ini kerana pendapatan yang diterima hampir keseluruhannya digunakan bagi membayar kembali pinjaman dan kos penggunaan utiliti.

Faktor kurang kemahiran bukanlah satu-satunya penyebab mengapa ramai di kalangan rakyat tidak mampu memacu ekonomi negara akibat daripada pendapatan yang rendah. Meletakkan tanggungjawab kepada pihak pemerintah semata-mata untuk menyelesaikan permasalahan agihan pendapatan isi rumah yang tidak seimbang juga bukanlah satu tindakan yang tepat.

Sebagai majikan, kita juga bertanggungjawab untuk sama-sama mengurangkan ketaksamaan jurang pendapatan dengan bersikap lebih terbuka dan bersedia untuk menawarkan gaji dan upah yang sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pekerja juga berdasarkan prestasi organisasi semasa.

Dalam Islam, meletakkan sesuatu pada tempatnya atau 'adil yakni dalam konteks menawarkan pendapatan yang setimpal adalah lawan kepada zalim yakni penindasan terhadap pekerja dari aspek penawaran gaji adalah dituntut.

- UTUSAN

Menutup aurat elak fitnah

Oleh Noraini Ismail

Senangkah mendedahkan aurat? Jawapannya susah kerana setiap kali seseorang wanita itu hendak berpakaian, dia akan pastikan baju yang dipakai sedondon dengan beg dan kasut. Begitu juga jika ditanya lagi senangkah seseorang wanita itu menutup aurat? Jawapannya juga sama iaitu susah.

Wanita yang berpakaian menutup aurat tidak lari daripada berdepan masalah memastikan tudung yang dipakai bersesuaian dengan baju. Bagi yang terikut perkembangan fesyen tudung terkini, sanggup bersusah payah melilit tudung mengikut kreativiti masing-masing.
Kesusahan menutup aurat berbaloi


Semua itu pastinya mengambil masa untuk wanita berdandan. Walaupun memakai pakaian menutup aurat juga menyusahkan, tetapi kesusahan yang dilalui berbaloi kerana berpakaian menutup aurat dituntut oleh agama.

Sebaliknya bagi golongan yang bersusah payah mendedahkan aurat, terpaksa pula menanggung dosa kerana kekhilafan itu menyebabkan mereka terdedah kepada perbuatan mungkar seperti maksiat, perzinaan dan dirogol.

Itulah antara inti pati ceramah Indahnya Menutup Aurat yang disampaikan Perunding Motivasi, Mohd Zamri Mohd Zainuldin yang juga Pengarah Urusan Mantop Training and Consultancy di Masjid Amru Al-Ass, Bandar Baru Sentul, baru-baru ini.

Program ceramah itu sempena kempen Sayangi Diri anjuran Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH) dan Biro Muslimah Masjid Amru Al-Ass, Bandar Baru Sentul.
Mohd Zamri yang juga pengacara Adik dan Al-Quran terbitan TV9 memetik firman Allah SWT: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuan dan perempuan-perempuan beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha mengasihani,” (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Mohd Zamri berkata, berdasarkan perkembangan sekarang, ramai wanita berpakaian sopan, tetapi belum menepati ciri-ciri menutup aurat yang ditetapkan Islam. Ada yang memakai tudung, tetapi tudung tidak menutupi dada, pakai baju berlengan pendek serta berkain singkat.

Katanya, walaupun tiada penetapan khusus bentuk atau rekaan pakaian untuk wanita Islam, tetapi ia hendaklah selari dengan kehendak Islam iaitu tudung melebihi dada, baju tidak menampakkan susuk tubuh dan kaki ditutupi sarung kaki.

Punca zina

Beliau turut membahaskan ayat membicarakan mengenai zina yang mana penzina wanita disebut terlebih dulu diikuti penzina lelaki sebagai menunjukkan bahawa kejadian zina berpunca daripada wanita kerana tidak menutup aurat.

Seseorang wanita yang tidak menutup aurat, kecantikannya menjadi sajian mata lelaki dan ini mendorong nafsu lelaki meluap untuk melakukan maksiat.

Justeru, wanita dinasihatkan supaya sentiasa memelihara aurat mereka supaya tidak menjadi fitnah kepada diri sendiri terutama bagi wanita yang menutup aurat, tetapi tidak menepati kehendak syarak.

- BERITA HARIAN

Ulang Siar Rancangan Di Stesen Penyiar Berbayar Amalan Biasa

Ulang siaran rancangan di stesen penyiar berbayar merupakan amalan biasa bagi semua penyedia perkhidmatan tersebut di dunia, Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph SalangGandum berkata ulang siaran rancangan di stesen penyiar berbayar berlaku keranabeberapa faktor antaranya bagi memenuhi kehendak dan minat penonton.

"Selain itu faktor aspek penjadualan rancangan yang pelbagai untuk memastikan setiap rancangan dapat ditonton pelanggan pada masa yang dikehendaki mereka turut diambil kira," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) berkenaan tindakan stesen berbayar Astro yang sering menyiarkan rancangan berulang.

Mengenai soalan penyiaran iklan komersil yang semakin banyak di Astro pula Joseph berkata sepanjang suku pertama dan kedua 2012, Astro didapati tidak menyiarkannya melebihi jumlah masa yang ditetapkan.

"Syarat lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (Individu) (CASPI) yang terpakai ke atas badan penyiar berhubung iklan komersil menghendaki para pemegang lesen untuk menghadkan penyiaran kandungan iklan komersil mengikut jumlah masa yang telah ditetapkan.

"Ketidakpatuhan para pemegang lesen terhadap syarat ini akan menyebabkanpelanggaran lesen yang membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil di bawah AktaKomunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kini kementerian mengeluarkan 11 lesen CASPI kepada perkhidmatan stesen televisyen berbayar dengan tiga daripadanya telah beroperasi, satu pemegang lesen sedang dalam tempoh percubaan manakala tujuh lagi masih belum memulakan operasi.

"Dimaklumkan juga mana-mana pelabur yang berminat boleh memohon untuk mendapatkan lesen CASPI daripada kementerian ini," tambahnya.

- BERNAMA

Ahad, November 04, 2012

Farid Kamil - Diana Danielle Selamat Bernikah

\


Aktor dan pengarah filem Farid Kamil tidak menetapkan sebarang syarat atau halangan kepada isterinya aktres Diana Danielle untuk terus berlakon selepas mendirikan rumah tangga pada Sabtu.

Sebaliknya, Farid, 31, berkata perkara yang ditekankan dalam melayari alam perkahwinan adalah Diana perlu pandai menjaga diri dan batas, menguruskan hal ehwal suami dengan baik dan meningkatkan pengetahuan agama.

“Saya tidak tetapkan sebarang syarat untuk dia berhenti berlakon. Apa yang lebih penting, dia perlu tahu menjaga diri sebagai isteri.

"Dia perlu menjaga hal ehwal saya sebagai suami dan meningkatkan pengetahuan dalam ilmu agama,” katanya yang sudah terfikir untuk menyunting Diana sejak tahun pertama mereka berkawan.

Farid berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pernikahan mereka di Hotel Flamingo by the Lake di sini, pagi Sabtu.

Pada 15 Oktober lalu, Farid mengumumkan berita pernikahan mereka pada majlis tayangan filem arahannya berjudul Pe3 di TGV Sunway Pyramid, di sini.

Sebelum itu, pasangan tersebut membuat kejutan apabila bertunang dalam diam pada 2 September lalu selepas tiga tahun bercinta.

Pengarah filem itu berkata, kematangan dan sikap Diana yang berbeza dan ringkas membuatkan dia tertarik untuk memperisterikan wanita berdarah kacukan itu.

“Saya tertarik dengan kematangan dan sikap dia yang berbeza. Walaupun dia masih muda dan hanya berusia 18 tahun ketika kami mula-mula berkawan dulu, dia sungguh matang dan mahu belajar banyak perkara dalam kehidupan.

“Sepanjang berkawan, saya lebih selesa untuk tidak menggembar-gemburkan hubungan kami sehingga pada hari ini akhirnya saya dapat duduk dan bergambar bersebelahan untuk khalayak,” ujarnya dalam nada bergurau.

Diana pula berkata, sikap tenang dan memahami yang dimiliki lelaki itu membuatkan dia selesa dan gembira untuk hidup bersama.

“Dia banyak mengajar saya untuk lebih bersabar dan menyokong aspek mental dan emosi saya dalam apa juga situasi,” katanya yang merancang untuk berbulan madu sambil menunaikan umrah di Mekah.

Mengenai ketiadaan bapa kandungnya Danny Beeson yang gagal dijejaki, Diana berkata, ia bukan perkara penting yang menjejaskan majlis berkenaan.

“Ia bukan perkara penting. Dalam hidup ini apa juga kekurangan kita akan Allah tambahkan dalam bentuk lain.

“Jangan fikirkan apa yang kita tiada, fikirlah apa yang kita ada. Saya bersyukur kerana ibu dan ramai keluarga yang datang merestui hubungan saya dengan Farid.

“Bagi saya, itu yang lebih penting daripada apa yang saya tiada,” katanya yang belum terfikir mengenai soal anak dalam waktu terdekat.

Dalam pada itu, ibu Diana iaitu Norsiah Ramli berkata, dia belum bersedia memberikan sebarang komen mengenai pernikahan itu kerana masih bersedih kerana terpaksa melepaskan anak tunggalnya itu kepada Farid.

“Saya masih bersedih dan tersentuh kerana harus akur untuk melepaskan Diana yang merupakan satu-satunya anak saya ke tangan Farid.

“Saya berharap Farid akan menjaga Diana sebaik mungkin dan semoga Diana tidak akan melupakan saya selepas bergelar isteri dan ibu pada masa akan datang,” katanya.

Majlis resepsi sebelah pengantin perempuan dijangka berlangsung pada 30 November ini di lokasi yang akan diumumkan kelak.

Upacara sambut menantu bagi keluarga Farid pula akan diadakan pada 12 Disember depan di Darul Aman Park, Alor Setar, Kedah.

- MSTAR

Pameran Magis Perubatan Tradisional di Muzium Negara

PENYAKIT dalaman sering dikaitkan dengan amalan sihir dan santau. Dua perkataan itu yang berkaitan antara satu sama lain merupakan tindak tanduk perbuatan syaitan untuk menyesatkan dan berhasrat merosakkan kehidupan manusia.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail, pada mulanya sihir diwujudkan untuk mengejar kebaikan tetapi akhirnya ia bertukar menjadi kejahatan apabila manusia mengejar ketamakan dunia dan mempunyai sikap hasad dengki.

Tambah beliau, sihir yang disamakan dengan kegelapan dan mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermaksud, ilmu guna-guna atau mantera yang ditujukan untuk menyakiti atau mempersonakan seseorang.

"Ia dihantar dalam bentuk dalaman dengan menyakiti anggota badan atau mempengaruhi hati dan fikiran manusia melalui perantaraan iblis dan syaitan. Sebagai contoh, santau yang dihantar kepada seseorang bagi membinasakan mangsa secara perlahan atau cepat.

"Peralatan digunakan berbentuk senjata tajam iaitu keris dan pisau, tanduk, tulang binatang dan sebagainya. Bagaimanapun kedua-dua amalan sihir dan santau berkait dengan pemujaan terhadap syaitan dan bertentangan dengan syariat Islam," katanya dalam program Sembang Santau bersempena Pameran Magis Perubatan Tradisional anjuran Jabatan Muzium Negara, baru-baru ini.

Sehubungan itu, ujar beliau, tujuan pihaknya mengadakan program berkenaan untuk mendedahkan kepada orang ramai khususnya para pelajar untuk menyebarkan keburukan amalan sihir dan khurafat yang akhirnya bertujuan untuk merosakkan akidah manusia.

Pameran Magis Perubatan Tradisional yang bermula dari 15 September lalu dan akan berakhir pada 15 November ini diselitkan dengan pelbagai program dalam usaha menarik perhatian masyarakat terhadap kaedah rawatan perubatan alternatif termasuk perubatan Islam.

Selain pameran dan demonstrasi kaedah rawatan perubatan Islam oleh pelakon Ashraff Muslim dari Pusat Rawatan Islam al-Hidayah, program selama dua bulan itu turut disertai oleh rawatan tradisional lain seperti ayuverda, bekam dan penjualan herba serta akar kayu.

Orang ramai yang berminat boleh kunjungi Muzium Negara, Jalan Damansara, Kuala Lumpur bermula 9 pagi sehingga 6 petang setiap hari atau boleh layari laman www.jmm.gov.my untuk maklumat lanjut.


Pendaftaran BR1M 2.0 Dalam Talian Di Luar Jangkaan - Ahmad Husni

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pendaftaran secara dalam talian untuk BR1M 2.0 mendapat sambutan di luar jangkaan.

“Hanya dalam tempoh dua hari dari 1 November hingga 2 November, kami menerima 148,000 permohonan secara dalam talian.

“Sambutan ini menunjukkan bahawa sistem dalam talian (online) memudahkan orang ramai,” katanya selepas majlis pecah tanah di tapak kompleks bangunan baru Asrama Anak-Anak Yatim dan Warga Miskin Budi Mulia Nurul Huda di Chemor pada Sabtu.

Ahmad Husni berkata, permohonan itu menumpukan individu bujang yang berhak untuk mendapat bantuan sebanyak RM250, dan keluarga yang tidak menerima bantuan BR1M RM300 pada awal tahun ini.

“Bagi mereka yang menerima bantuan pada tahun ini, mereka tidak perlu memohon lagi kerana nama mereka sudah berada dalam sistem.

“Mereka hanya perlu memaklumkan kepada kita sekiranya terdapat perubahan pada alamat atau ketua keluarga sudah meninggal dunia,” kata beliau, sambil menambah bahawa para pemohon juga boleh menggunakan borang permohonan daripada agensi kerajaan selain pendekatan secara dalam talian.

- MSTAR

AKPK beri nasihat urus hutang

Kes muflis yang kini semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia boleh diatasi dengan mendapatkan bimbingan dan panduan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Berpegang kepada konsep cegah sebelum parah, agensi yang ditubuhkan pada 2006 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) itu, menawarkan perkhidmatan percuma untuk individu bermasalah menguruskan aspek kewangan mereka dengan baik.
Kikis stigma hutang

    Jika malu masalah mereka diketahui umum, perkara itu saya jamin tidak akan berlaku di sini. Butiran dan aduan pelanggan adalah rahsia sulit yang hanya diketahui setiap kaunselor," Nor Fazleen Zakaria, Pengurus Besar AKPK


Pengurus Besar AKPK, Nor Fazleen Zakaria, berkata sikap malu dan menganggap isu hutang sebagai taboo (perkara larangan) untuk dikongsi dengan pihak lain dikesan punca utama keengganan orang ramai mendapatkan khidmat nasihat di AKPK.

Stigma itu, katanya, sering menyebabkan masalah kewangan mereka menjadi semakin meruncing hingga diisytiharkan muflis oleh mahkamah.

“Perkara pertama yang orang ramai perlu tahu, khidmat kami percuma. Ada pula beranggapan kami hanya menyelesaikan masalah kad kredit. Itu juga tidak benar kerana AKPK menangani segala permasalahan dan aduan berkaitan kewangan, termasuk merangka pelan perbelanjaan mengikut keperluan pelanggan.

“Kami adalah agensi yang dinaungi Bank Negara Malaysia dengan matlamat membantu setiap rakyat mengamalkan pengurusan kewangan bijak,” katanya kepada BH.
Nor Fazleen berkata, pelanggan tidak perlu bimbang masalah mereka didedahkan kepada umum kerana setiap aduan ditangani kaunselor berlainan yang ditempatkan di bilik khas.

“Jika malu masalah mereka diketahui umum, perkara itu saya jamin tidak akan berlaku di sini. Butiran dan aduan pelanggan adalah rahsia sulit yang hanya diketahui setiap kaunselor,” katanya.

Bantu 198,970 pelanggan

Dibahagikan kepada tiga cabang utama perkhidmatan iaitu kaunseling, pengurusan hutang dan pendidikan kewangan, AKPK sehingga 30 September lalu sudah membantu 198,970 pelanggan dengan 81,596 daripada mereka menjalani Program Pengurusan Kredit.

Hampir semua kes berkenaan, katanya, berpunca daripada kelemahan aspek pengurusan kewangan.

“Boleh dikatakan ibu kepada masalah kewangan ialah kelemahan pengurusan kewangan.

“Gaji tinggi tidak akan bermakna jika anda menguruskan kewangan dan berbelanja lebih daripada sepatutnya,” katanya.

“Sekiranya 40 peratus daripada gaji anda setiap bulan digunakan untuk menyelesaikan hutang, ini bermakna anda tergolong sebagai individu yang mempunyai masalah kewangan,” katanya.

Perkhidmatan AKPK bagaimanapun, katanya, hanya terhad kepada individu yang bermasalah kewangan, bukan in yang sudah diisytiharkan muflis.

Mengulas lanjut, Nor Fazleen berkata, individu muflis boleh menghubungi Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) kerana jabatan itu menawarkan pelbagai bentuk program dan bantuan untuk golongan terbabit.

“Jangan segan untuk datang ke hadapan kerana bantuan yang diberikan boleh membina semula kehidupan anda.

“Begitu juga AKPK, jangan segan untuk datang berjumpa kami sementara masih ada ruang untuk kami membantu anda,” katanya.

- BERITA HARIAN

Sabtu, November 03, 2012

PERMOHONAN BR1M 2.0 UNTUK ISIRUMAH & REMAJA TAHUN 2013 DIBUKA

PERMOHONAN BR1M 2.0 UNTUK ISIRUMAH & REMAJA TAHUN 2013

Pendaftaran pemohonan BR1M 2.0 sudah dibuka. Penerima BR1M sebelum ini sudah tidak perlu mengisi borang baru.

1. Lelaki atau perempuan yang menjadi ketua kepada isi rumah / ahli yang tinggal serumah dengan jumlah pendapatan kasar bulanan isi rumah RM3,000 dan ke bawah.

2. Warga emas sebatang kara (berumur 60 tahun dan ke atas) dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM3,000 dan ke bawah.

3. Bujang yang berumur 21 tahun dan ke atas dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM2,000 dan ke bawah. pelajar yang menerima Baucar Buku 1Malaysia tidak layak memohon.

Pemohon baru boleh mengisi borang secara dalam talian (on-line) di : https://ebr1m.hasil.gov.my/

Pemohon juga boleh mengisi borang secara manual dengan mencetak borang di : https://ebr1m.hasil.gov.my/manualpengguna/borangbr1m2.pdf

Borang permohonan BR1M 2.0 juga boleh didapati secara percuma di Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Penerangan serta agensi-agensi Kerajaan.

Sebarang persoalan boleh dikemukakan kepada email : br1m2@treasury.gov.my atau menghubungi talian hotline 1-800-222-500 yang beroperasi dari jam 9 hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat. 

Maklumat Lanjut : http://www.hasil.gov.my/


Selidik pasaran dahulu sebelum berniaga

TEMUBUAL DENGAN MD. ZULFADLI (SMARTZUL)

APAKAH kelebihan serta risiko dalam melakukan perniagaan dalam Internet?

Lazimnya ramai yang mengetahui kelebihan menjalankan bisnes melalui Internet iaitu kita dapat menjimatkan kos sewa kedai, boleh mencapai sasaran pelanggan di serata lokasi, boleh dijalankan secara 24 jam, kos permulaan yang minimum dan kita juga boleh menjual pelbagai jenis produk mahupun servis.

Selain itu, risiko yang ditanggung juga adalah lebih rendah dan mempunyai kebebasan masa bekerja, menarik pelanggan tanpa had serta peluang menjana pendapatan pasif.

Apakah perkara utama yang perlu ada kepada mereka yang ingin memulakan bisnes Internet? Rata-rata sekarang ini ramai begitu ghairah menjalankan perniagaan, malah pada asasnya apa saja produk pun boleh dijual di Internet dan tiada syarat tertentu. Tetapi ia bertitik tolak kepada kemampuan. Adakah kita mampu menjualnya, modal, pekerja, ruang simpanan, kos penghantaran dan lain-lain faktor, adakah kita mampu menyediakannya? Kalau tidak mampu, maka apa yang perlu kita lakukan? Maka atas sebab itulah kalau kita perhatikan, kebanyakan usahawan kecil dan sederhana hanya menjual produk yang biasa saja atau beberapa jenis saja dalam jumlah kuantiti yang tidak besar. Contohnya, pakaian (kanak-kanak, lelaki, perempuan, Muslimah), makanan tambahan, kosmetik, gajet dan pelbagai lagi.

Paling penting jika boleh, utamakan ciri produk sebelum memutuskan menjual barangan melalui Internet. Antaranya ialah tidak terlalu berat (ini untuk jimatkan kos penghantaran), elakkan barangan yang salah di sisi undang-undang seperti barangan tiruan, cetak rompak dan lain-lain, stok mudah diperoleh atau mudah dihasilkan sendiri.

Itu beberapa ciri boleh kita jadikan sebagai kayu ukur terhadap produk yang berada dalam fikiran kita. Kalau kita mampu dan selaras dengan ciri di atas, maka mungkin produk itu boleh dijual.

Bagaimanakah tips memulakan bisnes Internet? Langkah pertama yang perlu diambil terutama mereka yang baru memulakan perniagaan adalah mengenal pasti masalah pelanggan yang mahu diselesaikan dan siapakah mereka (umur, jantina, lokasi dan lain-lain). Ini langkah pertama.

Seterusnya, kenal pasti sejauh mana saiz pasaran dan sebolehnya kita tidak mahu menjual kepada pasaran yang terlalu kecil dan paling utama tentukan produk sesuai untuk dijual sama ada produk fizikal, digital atau servis.

Selain itu, sediakan medium jualan yang betul seperti menggunakan facebook page ataupun laman web jualan. Bayaran pula boleh melalui akaun bank, kad kredit atau debit (boleh guna paypal).

Gunakan mesej dan ayat jualan yang betul di mana usahawan boleh merujuk ‘copywriting’ yang banyak di Internet. Langkah akhir, lakukan pemasaran kepada sasaran pelanggan dengan menggunakan pengiklanan melalui facebook dan langkah ini akan menjadi mudah jika langkah pertama dilakukan dengan sempurna. Untuk maklumat lanjut boleh melayari blog.smartusaha.com.

Adakah perniagaan yang dilakukan secara online juga boleh gagal? Sesiapa pun mahu berjaya dalam usaha perniagaan Internet dan tidak mahu gagal dan kegagalan pasti akan berlaku apabila kita leka, kurang ilmu dan tidak melakukan sesuatu itu dengan perancangan.

Antara sebab yang boleh menggagalkan perniagaan usahawan itu sendiri adalah tidak membuat perancangan perniagaan jelas di mana mereka hanya membuat perniagaan Internet secara ala kadar dan tiada matlamat. Selain itu, tiadanya promosi dan pemasaran agresif, terancang, efektif dan konsisten. Faktor lain ialah pengurusan kewangan yang teruk dengan hanya mementingkan wang masuk, tetapi wang itu tidak diuruskan dengan baik tanpa merekodkan pengaliran wang masuk atau wang keluar. Selain itu, mereka juga tidak melakukan kajian pasaran sebelum menentukan produk yang perlu dihasilkan atau dijual.

- HARIAN METRO

Khamis, November 01, 2012

Kerajaan Kaji Semula Skim Gaji Penjawat Awam Mulai Tahun 2013

Kerajaan akan mengkaji semula skim gaji penjawat awam termasuk kenaikan tahunan sehingga lima peratus bermula tahun depan.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, kajian itu bagi membantu penjawat awam menangani masalah kos hidup yang semakin meningkat.

"Kita akan mengambil kira mungkin mengikut kategori, kalau lima peratus itu untuk kategori yang teratas terlalu tinggi dan kita akan menyelaraskan semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama 500 penjawat awam dan Anugerah Inovasi Sektor Awam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Melaka, Rabu.

Hadir sama Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Mohamad Zaidi Zainal dan Setiausaha Kerajaan NegeriMelaka, Datuk Wira Omar Kaseh.

Beliau berkata, kajian berkenaan juga akan meneliti segala aspek bagi memastikan setiap penjawat awam mendapat manfaat daripada pelaksanaan skim gaji berkenaan termasuk isu penjawat awam yang menerima tangga gaji maksimum.

Ali berkata, pihaknya turut mengambil kira kajian yang dibuat Suruhanjaya Khas Tranformasi Perkhidmatan Awam yang akan membentangkan laporan penuh kepadakerajaan pada akhir tahun ini.

"Buat masa ini suruhanjaya berkenaan sedang membuat kajian menyeluruh berhubung sektor awam di negara ini, kita akan ambil isu kenaikan gaji ini jika ia ada termaktub dalam kajian itu, namun jika tidak ada isu (kenaikan gaji) dalam laporan itu, kita akan mulakan kajian mengenainya pada tahun depan," katanya.

Terdahulu pada majlis tersebut, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka memenangi anugerah Inovasi Sektor Awam dalam kategori Teknologi Maklumat dan Teknologi ICT manakala Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajahmenerima Anugerah dalam kategori Pentadbiran Daerah dan Tanah.

Semua pemenang anugerah menerima sebuah Trofi dan juga cek bernilai RM300,000.

- BERNAMA

Recent Posts