Isnin, September 03, 2012

Was-was status gaji

Bersama DR SALAM

SOALAN:

SAYA bekerja di syarikat telekomunikasi tempatan. Saya terfikir berkenaan prosedur syarikat jika pelanggan tidak membayar bil, pemotongan dijalankan, tetapi bil bulanan masih perlu dijelaskan seperti biasa.

Apakah hukum duit yang diambil daripada pengguna walaupun disekat menggunakan perkhidmatan. Bagaimana pula dengan faedah, caj tambahan atau denda yang dikenakan ke atas pembayaran lewat itu?

Saya bimbang dengan status gaji yang diperoleh daripada majikan sama ada halal atau haram.

JAWAPAN:

STATUS gaji yang diperoleh tetap halal kerana kita dibayar upah menurut terma pekerjaan yang dilakukan, contohnya kerani.

Bagaimanapun, prosedur syarikat telekomunikasi tempat bekerja dikira tidak betul apabila cara yang dibuat sememangnya untuk mengambil wang pelanggan tanpa hak.

Ia perlu dikaji supaya tidak berlaku kezaliman dan penganiayaan. Pihak syarikat dan kerajaan perlu melihat permasalahan itu serta diperbetulkan sedapat mungkin.

Islam sebenarnya berusaha supaya tidak berlaku perbuatan mengambil harta orang tanpa hak seperti yang anda nyatakan. Ia jelas dalam mesej Nabi Syuaib dalam al-Quran. Allah berfirman dengan maksud:

“Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Syuaib. Ia berkata: Wahai kaumku, sembahlah Allah, tiada Tuhan bagi kamu selain Dia. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhanmu.

Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia sesuatu yang menjadi haknya dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menjadikannya dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang yang beriman.” (Surah al-A’raf (7): 85)

- HARIAN METRO

Fenomena ala Gangnam Style pernah melanda Eropah seawal kurun ke-7


Fenomena tarian kuda yang dibawa oleh penyanyi rap Korea Selatan, Park Jae-sang atau Psy menerusi Gangnam Style bukan perkara baharu, malah pernah berlaku pada kurun ke-7 hingga ke-17 di Eropah.

Menurut Pensyarah Psikologi di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr. Mohd. Awang Idris, fenomena itu dikenali sebagai dance mania atau wabak menari, choreomania, tarian St. John dan tarian St. Vitus.

"Pada waktu itu, ia melibatkan sehingga ribuan orang yang menari dalam keadaan yang pelik, tidak terkawal sambil menjerit dan menunjukkan tanda-tanda halusinasi.

"Antara peristiwa besar yang pernah direkodkan ialah di Jerman pada tahun 1374 dan selain peristiwa di Strasbourg, Perancis pada tahun 1518 yang melibatkan seorang wanita menari sehingga diikuti lebih 400 orang sebelum ramai mati kerana sakit jantung," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai kegilaan puluhan juta terhadap tarian tersebut yang disiarkan menerusi laman YouTube.

Mohd. Awang menjelaskan, kejadian tersebut dilaporkan berlaku di England, Jerman dan Belanda dipercayai sejenis penyakit yang menyerang sistem saraf.

"Saintis pada ketika itu menggambarkan ia sebagai satu gangguan mental atau histeria secara beramai-ramai," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau menganggap fenomena tersebut tidak membimbangkan dan hanya bersifat sementara.

- KOSMO!

Gadis 16 tahun jadi datuk bandar di Palestin


Seorang gadis berusia 16 tahun, Bashaer Othman (gambar kecil) kembali semula ke sekolah selepas beliau menamatkan perkhidmatan sebagai datuk bandar selama dua bulan di sebuah bandar kecil di Tebing Barat, Palestin.

Beliau menjadi Datuk Bandar Allar yang mempunyai 8,000 penduduk.

Beliau menjadi datuk bandar pada 2 Julai lalu semasa usianya 15 tahun.

Bashaer menjadi datuk bandar menerusi program projek parlimen muda yang dikendalikan Forum Pemuda Sharek.

Tujuan program itu diperkenalkan adalah untuk melibatkan golongan muda dalam pentadbiran tempatan Palestin.

"Saya datang ke pejabat pada setiap pukul 8 pagi dan meneliti banyak fail, menandatangani dokumen selain bertemu dengan anggota-anggota majlis perbandaran.

"Saya juga melakukan banyak lawatan untuk menyelesaikan masalah dengan segera," katanya.

Menurutnya, dia berasa takut memegang tanggungjawab yang terlalu banyak namun menganggapnya sebagai satu cabaran.

Selepas enam jam bekerja, Bashaer pulang ke rumah dan melakukan rutin harian sebagai seorang gadis termasuk bermain permainan komputer.

Terdapat 11 anggota majlis perbandaran, enam daripadanya dari parti Fatah, lima lagi mewakili pergerakan Hamas yang menguasai Genting Gaza.

Menurut Bashaer, semua anggota majlis tersebut memberikan sokongan kepadanya.

Gadis itu diberikan kuasa penuh sebagai datuk bandar.

Bagaimanapun, dia hanya dibenarkan utnuk menandatangani kelulusan kewangan setakat AS$75 (RM52.92).

Menurutnya, dia berharap akan menjadi datuk bandar sekali lagi.

- AFP

Kuota Haji 2012 Kekal 28,000

Kerajaan Arab Saudi mengekalkan kuota 28,000 orang untuk jemaah Malaysia menunaikan haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Bagaimanapun, katanya permohonan untuk mendapatkan kuota tambahan akan diteruskan berikutan masih ramai jemaah Malaysia yang belum berpeluang menunaikan haji ekoran kuota yang terhad setiap tahun.

Sehingga kini seramai 936,000 rakyat Malaysia termasuk 4,000 daripadanya berusia lebih 75 tahun sudah berdaftar untuk menunaikan haji, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Masjid Putra.

Sebelum ini isu kuota haji untuk jemaah Malaysia menunaikan haji tahun ini menjadi kebimbangan banyak pihak dengan tindakan segelintir rakyat Malaysia yang mengadakan demonstrasi Bersih 3.0 di Makkah dan Madinah pada 26 April lepas.

Berikutan tindakan itu, kerajaan Arab Saudi menghantar nota diplomatik kepada Wisma Putra untuk melahirkan rasa kecewa dengan tindakan berkenaan.

Sehubungan itu Jamil Khir menasihati jemaah haji Malaysia supaya menjaga tingkah laku dan ketertiban sepanjang berada di tanah suci serta tidak mengadakan sebarang program atau perhimpunan yang tidak dibenarkan.

"Maka ini akan menjadi satu kekuatan untuk kerajaan Arab Saudi untuk sentiasa melihat Malaysia sebagai negara keutamaan apabila mereka ingin memberikan kuota tambahan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata penerbangan pertama untuk ke tanah suci tahun ini akan bermula pada 17 September melibatkan 400 jemaah dan penerbangan terakhir pada 29 Oktober.

Katanya kerajaan juga akan mengekalkan kos haji untuk 28,000 jemaah muassasah iaitu pada kadar RM9,980 seperti tahun lepas, manakala jemaah kali kedua atau seterusnya perlu membayar tambang mengikut kos sebenar tanpa subsidi.

Mengenai Kursus Perdana Haji yang dianjurkan serentak di seluruh negara, Jamil Khir berkata ia diharap akan memberikan gambaran dan panduan lengkap kepada bakal jemaah untuk melaksanakan ibadah kelak.

"Kursus ini adalah sebahagian daripada apa yang dirancangkan supaya Malaysia kekal menjadi negara ikon, contoh dan penanda aras kepada negara-negara dunia yang melihat Malaysia begitu tertib, berdisiplin dalam pengaturan dan penyusunan jemaah haji," katanya.

Katanya Tabung Haji juga sudah melancarkan e-Book supaya dapat dijadikan panduan untuk jemaah Malaysia merujuk mengenai sebarang masalah berkaitan ibadah itu.

- BERNAMA

Blogger Yuyu Zulaikha 'gila' muzik hard rock


Oleh LYNN / ABDUL RAZAK LATIF

MELIHATKAN raut wajahnya, pasti ramai tidak menyangka gadis kecil molek yang berasal dari Pulau Langkawi, Kedah ini begitu meminati muzik hard rock terutama dari kumpulan Oliver Side.

Jika ramai antara kita yang beranggapan muzik sebegitu membingitkan telinga, lain pula bagi Asmidayu Zulaikha Eswan atau lebih dikenali sebagai Yuyu Zulaikha, 23.

Akui pemilik blog http://kupukupukecik.blogspot.com itu, jika dia berada dalam keadaan tertekan dia gemar mendengar muzik sebegitu sebagai cara untuk menghilangkan bebanan yang ditanggungnya sebagai mahasiswa.

Jom ikuti temu bual bersama penuntut tahun akhir ijazah sarjana muda dalam jurusan Kewangan Islam (Perbankan) di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di Bangi, Selangor.

Perjalanan dunia blog Yuyu Zulaikha?

YUYU ZULAIKHA: Sebenarnya, sudah lama saya terlibat dalam dunia blog ini. Bagaimanapun, pada awal pembabitan tersebut sekitar tahun 2008 dan 2009, blog saya tidak begitu dikenali. Pada ketika itu, blog itu adalah ibarat diari kepada saya. Membaca blog-blog lain memberi inspirasi kepada diri saya. Bagaimanapun, saya percaya bahawa menjadi diri sendiri adalah penting dalam dunia blogging ini. Saya bertatih untuk membina nama dalam dunia blogging ini, bagaimanapun sokongan pengikut-pengikut 'kupukupukecik.blogspot.com' yang menjadikan Yuyu Zulaikha pada hari ini. Terima kasih juga kepada abang Ben Ashaari kerana mengajar saya untuk mencari duit poket lebih melalui blog.

Kenapa memilih untuk menggunakan nama Yuyu Zulaikha?

Di dunia nyata, sebenarnya ramai orang memanggil saya dengan panggilan Ayu. Tapi saya ada seorang kawan yang bernama Lulu. Dia kata nak panggil saya Yuyu. Entah bagaimana, lekat pula nama itu sehingga hari ini.

Siapa Yuyu Zulaikha yang sebenarnya?

Ramai pengikut-pengikut di blog mengetahui tinggi saya hanya 140 sentimeter sahaja tapi mungkin mereka tidak tahu berat saya 32 kilogram. Paling berat saya pernah capai adalah 38 kilogram itu pun semasa zaman persekolahan. Kalau keluar membeli-belah pula, saya ada satu perangai nak beli barang-barang murah sahaja. Jangan tak tahu, kebanyakan pakaian saya tidak berjenama dan dibeli pada harga kurang daripada RM30 sahaja. Pada masa lapang pula, saya suka membaca buku-buku motivasi terutama daripada penulis Paulo Coelho.

Bagaimana Yuyu Zulaikha mendapat parut di dahi?

Ketika kejadian itu, saya baru berusia lapan tahun. Masa itu, saya bersama tiga rakan lain hendak bermain masak-masak tetapi saya dan seorang lagi rakan berebut nak memegang watak emak. Maka, berlakulah pergaduhan antara kami kerana masing-masing tidak mahu mengalah. Dipendekkan cerita, nak mengelak daripada dibaling batu saya tidak sedar terdapat tiang di hadapan. Disebabkan saya tidak ke hospital, jadilah parut macam ini.

Kenapa Yuyu Zulaikha dah jarang kemaskini blog?

Memandangkan saya berada di semester akhir, jadi tumpuan penuh harus diberi kepada pelajaran. Walaupun bermacam-macam idea yang bermain-main di kepala, saya terpaksa mendisiplinkan diri. Walaupun begitu, saya sentiasa mengingati pengikut-pengikut blog kupukupukecik.blogspot.com yang tidak pernah jemu menantikan post terbaru daripada saya. Malah, dalam masa terdekat ini saya merancang ingin mengadakan pertemuan dengan pengikut-pengikut blog kerana saya juga ingin mengenali mereka yang banyak menyokong saya selama ini.

- UTUSAN

Keajaiban protein

SEBELUM ini anda mungkin sering mendengar bahawa protein adalah nutrien yang penting dan bermanfaat untuk kesihatan anak anda. Namun, tahukah anda bagaimana ia membantu pertumbuhan dan perkembangan?

Protein adalah sejenis nutrien yang melaksanakan pelbagai fungsi dalam tubuh kita. Ia membantu mata anak anda untuk melihat, mengecutkan otot dan pembekuan darah. Selain itu, ia membolehkan anak anda menjadi aktif dengan memudahkan tindak balas kimia melalui enzim dan melindunginya terhadap jangkitan. Tanpa protein, tulang, kulit dan rambut anak anda tidak akan mempunyai strukturnya.

Peranan penting protein

* Menggantikan sel-sel dan tisu yang mati atau rosak.

* Mengawal proses badan (sesetengah hormon tetapi bukan semuanya adalah protein).

* Mengekalkan jumlah dan komposisi cecair badan.

* Mengangkut bahan-bahan seperti lipid, vitamin, mineral dan oksigen ke seluruh badan.

* Melindungi badan terhadap penyakit melalui antibodi dan menguatkan sistem imun badan.

Sumber protein

Protein dalam diet kita boleh didapati daripada dua sumber utama iaitu protein haiwan (contohnya susu, telur, daging dan ikan) dan protein tumbuhan (contohnya bijirin, kacang, kekacang dan produk soya). Protein haiwan adalah lebih lengkap secara biologi daripada protein tumbuhan kerana protein haiwan mengandungi semua asid amino penting yang diperlukan oleh badan. Walaupun protein tumbuhan adalah protein yang tidak lengkap, ia adalah pengganti yang baik untuk daging atau protein haiwan. Tambahan pula, jika dua protein tumbuhan seperti kekacang dan bijian atau kekacang dan kacang/biji dicampur bersama, ia akan saling melengkapi dan membekalkan semua asid amino penting yang diperlukan untuk seseorang individu.

Panduan Diet Malaysia telah mengesyorkan bahawa anda:

1) Berikan anak anda ikan dengan lebih kerap, setiap hari jika boleh. Untuk mencapai matlamat ini, berikan anak anda satu hidangan ikan sehari. Kurangkan pengambilan kerang-kerangan berbanding dengan ikan.

2) Tingkatkan pengambilan susu dan produk tenusu anak anda. Susu bukan sahaja merupakan sumber protein yang penting, ia juga sumber yang kaya dengan kalsium dan vitamin. Satu gelas susu segar (250ml) mengandungi kira-kira 8.5 gram protein. Tambahkan susu yang kurang gula dalam oat dan bijirin anak anda. Yogurt dan keju juga merupakan sumber produk tenusu yang baik.

3) Berikan anak anda daging, ayam dan telur secara sederhana. Pilih pelbagai jenis daging dan gunakan kaedah yang berlainan untuk memasak hidangan ini. Berikan anak anda makan telur dalam jumlah yang sederhana, sebanyak sebiji telur sehari secara puratanya (sendirian atau dalam masakan). Elakkan daripada memberi telur putih kepada anak anda yang berumur 1 tahun atau ke bawah.

4) Amalkan cara memasak yang lebih sihat untuk ikan, daging, ayam dan telur. Kaedah memasak yang disyorkan termasuk mengukus, merebus, merenih, memanggang dan membakar. Lebihkan mengguna herba, rempah dan limau nipis atau lemon untuk menambah perisa kepada hidangan-hidangan ini daripada menggunakan garam atau sos pekat.

5) Pilih daging dan ayam yang rendah lemak dan kolesterol. Kurangkan pengambilan lemak tepu dengan memilih potongan daging dan ayam tanpa lemak. Buang kulit ayam dan lemak daging yang boleh kelihatan sebelum memasak.

6) Berikan anak anda kekacang setiap hari dan masukkan kacang dan bijian dalam dietnya setiap minggu. Kekacang seperti kacang pea, kacang dhal, kacang kuda, kacang soya dan kacang tanah mengandungi banyak protein dalam bijinya. Pilih pelbagai jenis kekacang serta produknya seperti tempe dan tofu untuk menyediakan makanan. Tambahkan kekacang dalam sup dan hidangan anak anda. Tambahkan kacang sebagai snek atau dalam hidangan utama seperti dalam sayuran tumis.

Berapa banyak protein yang anak anda perlukan?

Berdasarkan Saranan Pengambilan Nutrien Malaysia (RNI), jumlah pengambilan protein yang disyorkan untuk kanak-kanak berumur di antara 1 hingga 6 tahun ialah 17 hingga 23 gram setiap hari. Kanak-kanak di antara umur 7 hingga 12 tahun memerlukan kira-kira 32 hingga 46 gram protein setiap hari.

Keseimbangan

Walaupun protein adalah sangat penting dalam diet anak anda, anda perlu ingat bahawa keseimbangan nutrien (contohnya karbohidrat, lemak, vitamin, mineral dan protein) adalah penting untuk semua orang, terutamanya bagi kanak-kanak yang sedang membesar. Untuk membina kekuatan, sel otot anak anda memerlukan aktiviti fizikal dan kesemua nutrien yang penting. Jika terlalu mengutamakan protein, anda mungkin tertinggal makanan dan nutrien lain yang juga sama penting.

Terlalu banyak atau terlalu sedikit dalam apa-apa jua perkara adalah tidak baik. Amalkan keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian dalam menyediakan makanan untuk pertumbuhan dan perkembangan yang baik.

* Artikel ini adalah sumbangan Program Positive Parenting oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dan disokong oleh geran pendidikan daripada Wyeth Malaysia Sdn. Bhd. Semua pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Sila layari laman web www.mypositiveparenting.org

- MINGGUAN MALAYSIA

Tablet jendela, Surface


PENGALAMAN 30 tahun Microsoft Corp menghasilkan perkakasan dan sistem perkomputeran moden menjadi landasan utama kemunculan produk terbarunya iaitu tablet Surface untuk pasaran global.

Bagi Surface, Microsoft mengetengahkan tiga ciri utama iaitu reka bentuk menepati kehendak pengguna, pengalaman menggunakan windows yang mengasyikkan dan ekosistem perisian serta rakan niaga perkakasan yang diperluaskan.
Surface yang dihasilkan dalam dua versi iaitu Windows RT iaitu sistem yang menggunakan rekaan berasaskan cip sama seperti produk tablet lain di pasaran dan sistem operasi Windows 8 Pro, bertujuan menandingi komputer notebook ringan di pasaran.

Rekaan yang dihasilkan jurutera Microsoft itu mengetengahkan visi unik syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dengan menggabungkan fungsi hiburan dan kreativiti pada satu produk.

Pelaburan utama diketengahkan Microsoft dapat dialami pengguna khususnya penggunaan perisian yang mampu menyokong reka bentuk dan aplikasi terkini.

Tablet Surface didatangkan dengan port USB dan ciri nisbah 16:9, iaitu standard teknologi industri untuk Definisi Tinggi (HD).

Kasing Surface menggunakan bahan Vapor Magnesium, iaitu gabungan bahan bagi memudahkan ia dibentuk pada ukuran nipis 65 milimeter.
Selain itu, penggunaan Pelindung Sesentuh 3 milimeter mampu menepati keperluan antara muka berteraskan inovasi manusia dan komputer menerusi teknologi kepekaan tekanan.

Kepada peminat produk tablet, Surface dibangunkan dengan keupayaan binaan sokongan bagi membolehkannya berdiri sendiri.

Mengulas sistem operasi Surface, model Windows RT disokong prosesor ARM, manakala Windows 8 Pro dilengkapi dengan sistem prosesor generasi ketiga Intel Core.

Secara keseluruhan, Surface diperkenalkan berasaskan konsep pantas selain dilengkapi sistem antara muka yang lancar dan tangkas bagi tujuan navigasi optimum.

INFO:

Spesifikasi:

Surface Windows RT

# Sistem Operasi:
Windows RT

# Berat:
676 gram

# Ketebalan:
9.3 milimeter

# Paparan:
10.6 inci ClearType HD

# Sambungan:
microSD, USB 2.0, Micro HD Video, antena 2x2 MIMO

# Konfigurasi:
32 GB, 64 GB


Surface Windows 8 Pro

# Sistem Operasi:
Windows 8 Pro

# Berat:
903 gram

# Ketebalan:
13.5 milimeter

# Paparan:
10.6 inci ClearType HD

# Sambungan:
microSD, USB 2.0, Micro HD Video, antena 2x2 MIMO

# Konfigurasi:
64 GB, 128 GB

- BERITA HARIAN

CFM layan aduan jalur lebar


PENGGUNA telefon dan perkhidmatan jalur lebar pastinya mempunyai pelbagai kisah mengenai perkhidmatan yang mereka langgan, lebih-lebih lagi mengenai kekecewaan akibat perkhidmatan yang diterima tidak seperti yang diharapkan.

Justeru apakah tindakan yang diambil? Ternyata ramai pengguna hanya mendiamkan diri berbanding menuntut hak mereka kerana berpendapat ia sekadar isu kecil yang membabitkan kerugian sedikit.

Ada juga pengguna yang membuat aduan kepada penyedia perkhidmatan jalur lebar yang mereka langgan, tetapi tidak dapat mencari jalan penyelesaian terbaik.

Pengarah Eksekutif Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Azizan Mohd. Afandi memberitahu, pengguna mempunyai hak untuk mendapat pembelaan sekiranya masih tidak berpuas hati biarpun selepas membuat aduan kepada penyedia perkhidmatan jalur lebar.

"CFM merupakan medium yang jarang digunakan oleh pengguna dengan sewajarnya sedangkan setiap aduan yang diterima akan cuba diselesaikan membabitkan semua pihak yang terbabit.

"Pengguna mestilah mengetahui hak mereka dan yang paling penting, semak setiap bil yang dikenakan supaya mereka tidak teraniaya," katanya ketika ditemui di pejabat CFM di Straits Building, Lebuh Pasar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Azizan, Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai jumlah langganan telefon dan jalur lebar tertinggi di dunia dengan jumlah pelanggan sebanyak 37 juta, melebihi jumlah penduduk negara sendiri yang berjumlah kira-kira 28 juta.

"Ini bermakna, seorang pengguna melanggan lebih daripada satu perkhidmatan jalur lebar dan merupakan satu jumlah yang besar jika dibandingkan dengan jumlah aduan yang diterima sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Azizan memberitahu, pada tahun 2011 jumlah aduan yang diterima CFM adalah berjumlah 1,291 aduan, di mana 48 peratus daripadanya adalah berkenaan perkhidmatan jalur lebar dan 38 peratus lagi berkenaan perkhidmatan telefon.

"Pada tahun 2010 aduan berkenaan perkhidmatan telefon lebih tinggi iaitu berkenaan bil dan caj yang dikenakan, tetapi trend itu sudah berubah selepas beberapa kempen berkenaan hak pengguna dianjurkan CFM sepanjang tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu katanya, CFM dibangunkan oleh Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM) sebagai platform untuk menguruskan aduan-aduan pengguna berkenaan isu-isu yang lebih kecil.

"CFM berbeza dengan SKMM di mana CFM mengawal selia isu-isu berkenaan multimedia dan komunikasi tanpa membabitkan perundangan. Ia turut dianggotai oleh penyedia-penyedia perkhidmatan yang ada di Malaysia.

"Sekiranya pengguna membuka laman web penyedia-penyedia perkhidmatan jalur lebar seperti Celcom, Maxis dan DiGi, mereka akan dapati terdapat logo CFM dan nombor yang boleh dihubungi untuk membuat aduan yang berkenaan," katanya.

Bagaimanapun katanya, CFM tidak menolak apa sahaja aduan berkenaan perkhidmatan jalur lebar biarpun ia di bawah bidang kuasa SKMM.

"CFM akan membantu pengguna menyalurkan aduan mereka mengikut medium yang tepat.

"Sekiranya aduan tersebut memerlukan penyiasatan lanjut kami akan salurkan kepada SKMM, manakala sekiranya aduan membabitkan tuntutan, kami akan salurkan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)," katanya.

Tambah beliau, keputusan yang dicapai tidak semestinya menyebelahi pihak pengguna semata-mata, sebaliknya ia akan menyebelahi pihak yang sepatutnya apabila siasatan dibuat.

"Kepada pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai CFM dan melihat laporan tahunan dan statistik berkenaan boleh melayari laman web CFM di www.cfm.org.my," katanya.

- KOSMO!

Syarat bagi Zakat Pendapatan

Bersama DR. FADLAN MOHD. OTHMAN

SOALAN:

Adakah kita wajib membayar zakat pendapatan? Bolehkah ustaz menghuraikan perkara ini.

JAWAPAN:

Ya, zakat pendapatan wajib dibayar. Huraiannya ialah jika simpanan daripada pendapatan bulanan itu mencapai dua syarat asasi kewajipan zakat iaitu, pertama mencapai had atau bulugh al-nisab iaitu bersamaan dengan 85 gram emas, iaitu bersamaan dengan RM13,670.22 menurut harga emas semasa pada 18 Ogos 2012.

Syarat kedua ialah jumlah itu mestilah melepasi setahun dalam simpanan atau apa yang disebutkan oleh para ulama sebagai murur al-haul. Jumlah zakat yang perlu dikeluarkan pula ialah sebanyak 2.5% sahaja.

Sebagai contoh jika pada 18 Ogos 2012, wang yang disimpan ialah RM20,000.00 dan jumlah ini berkekalan sehingga 18 Ogos 2013, di mana harga emas pada hari itu ialah sekitar RM18,000.00 untuk 85 gram emas.

Maka jumlah yang perlu dizakatkan ialah RM500.00 bersamaan 2.5% daripada RM20,000.00.

Akan tetapi jika pada 18 Ogos, 2012 jumlah yang disimpan ialah RM13,670.22 dan jumlah ini berkekalan sehingga 18 Ogos 2013, di mana harga emas pada hari itu ialah sekitar RM18.000.00 untuk 85 gram emas; maka tidak perlu dikeluarkan zakat kerana tidak mencapai had atau nisab.

Harga emas bolehlah dirujuk di Bank Negara atau bank-bank lain yang menawarkan perkhidmatan simpanan emas.

- MINGGUAN MALAYSIA

Hukum menyokong ‘syaitan merah


Bersama DR. FADLAN MOHD. OTHMAN

SOALAN:

Saya merupakan penyokong setia kelab bola sepak Manchester United. Masalahnya sekarang ialah pada lambang kelab itu terdapat seakan-akan gambar syaitan. Gelaran bagi pasukan mereka juga ialah ‘The Red Devil yang bermaksud syaitan merah. Apa hukumnya di dalam Islam tentang perkara ini. Adakah saya boleh terus menyokong Manchester United atau tidak?

JAWAPAN:

Saudara, soalan ini menggambarkan keprihatinan saudara. Semoga Allah meneguhkan lagi jati diri Islamik saudara dan seluruh umat Islam.

Apa yang saya faham khusus berkenaan hukum-hakam yang berkaitan dengan kelab bolasepak Manchester United ialah seperti berikut:

Pertama, tidak boleh bagi penyokong muslim kelab ini memakai atau memiliki apa sahaja produk yang memperagakan syaitan merah yang memegang tombak dan memakai mahkota itu.

Kedua, apabila pergi untuk menyokong, pastikan solat tidak ditinggalkan.

Ketiga, apabila memberi sokongan, pastikan tiada lafaz kufur mahupun maksiat yang diungkap.

Keempat, pastikan keghairahan menyokong tidak menjadikan kita bercampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batasan.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak seluruh umat Islam agar membuat pilihan yang sewajarnya dalam setiap detik kehidupan kita.

Memang tidak mengapa memberi sokongan, akan tetapi perlulah sentiasa menepati etika Islam. Satu perkara lagi, hendaklah kehidupan kita sebagai umat Islam disinari dengan perseimbangan atau wasatiyyah.

Seimbangkanlah antara ketekunan dalam melakukan ibadah dengan masa yang diberikan untuk urusan manusiawi seperti riadah, sukan dan sebagainya.

Janganlah terlalu terikut-ikut dengan budaya kufur Barat atau Timur yang seringkali menekankan kebebasan daripada segala unsur-unsur keagamaan dan ketuhanan.

- MINGGUAN MALAYSIA

Bahasa Inggeris bukan ukuran tahap kemajuan

Oleh Teo Kok Siong

Indeks Kefasihan Berbahasa Inggeris yang diusahakan oleh sebuah syarikat pendidikan antarabangsa dari 2007 sehingga 2009 membabitkan dua juta responden dewasa di 44 negara yang bahasa Inggeris tidak menjadi bahasa negara, mendapati Malaysia menduduki tempat kesembilan dengan skor kefasihan tinggi.

Norway menduduki tempat pertama dengan skor kefasihan amat tinggi. Korea Selatan dan Jepun mendapat skor kefasihan sederhana, manakala China dan Russia memperoleh skor kefasihan rendah. Indonesia dan Thailand pula mencatatkan skor kefasihan amat rendah.

Indeks ini menunjukkan pengetahuan dan penguasaan bahasa Inggeris kita di Malaysia, tidaklah berada pada tahap yang begitu jelik sehinggakan kita perlu, antaranya mengembalikan persekolahan aliran Inggeris, dalam usaha kita memperbaiki sistem pendidikan negara mulai 2013.

Persoalan kefasihan adalah subjektif

Sesungguhnya persoalan kefasihan berbahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia adalah subjektif. Ia berlandaskan pelbagai cara penilaian. Ada kelompok yang mendapati kefasihan kita kini adalah jauh daripada memuaskan. Ini diasaskan perbandingan kecekapan ketika bahasa Inggeris pernah menjadi bahasa pengantar utama.

Dalam hal ini, kita harus menyedari bahawa bahasa Inggeris kini hanya satu mata pelajaran. Oleh itu, kecekapan kita tidak setinggi tahapnya seperti dulu. Ia fenomena linguistik biasa akibat perubahan dasar pendidikan bahasa.

Namun begitu, penekanan mengenai pendidikannya adalah istimewa kerana ia bahasa global, yakni penting di seluruh dunia. Ini antaranya dilakukan melalui Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris.
Indeks ini boleh dikatakan agak tepat dengan petunjuknya. Hakikat bahawa tahap kefasihan kita yang didapati jauh lebih baik daripada yang diperlihatkan oleh masyarakat Korea Selatan, Jepun, China, Russia, Indonesia dan Thailand, boleh diterima dengan mudah sekali oleh umum, baik di dalam dan luar Malaysia.

Bagaimanapun, percubaan indeks ini untuk mengaitkan hubung kait di antara tahap kefasihan berbahasa Inggeris dengan pendapatan negara kasar yang terbabit, bukan saja tidak tepat. Malah ia boleh dianggap sebagai usaha untuk memperjuang agenda kekuasaan bahasa Inggeris untuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara itu.

Kesalahan ini dapat dilihat apabila pendapatan negara kasar Korea Selatan dan Jepun yang menduduki tempat 13 dan 14, dengan hanya tahap kefasihan sederhana, dibandingkan dengan yang dicatatkan oleh Malaysia yang mempunyai tahap kefasihan tinggi. Sehubungan ini, beberapa perbandingan lain ikut memperlihat hubung kait yang dicuba dilakukan itu salah. Adakah pendapatan negara kasar Poland, Portugal dan Perancis yang juga memperlihat tahap sederhana, lebih rendah daripada yang dicatatkan oleh Malaysia?

Sesungguhnya kemahiran bahasa Inggeris tidak boleh diambil kira, sama ada secara langsung mahupun sebaliknya, dalam hal ini. Sehubungan ini, banyak faktor lain yang lebih penting terbabit dalam penjanaan pendapatan negara kasar ini.

Pihak yang kemaruk dan taksub terhadap bahasa Inggeris ini akan selalu mencari pelbagai jalan bukan saja untuk memperkukuh bahasa Inggeris, tetapi kalau boleh untuk memartabatkannya semula di negara ini. Sehubungan ini, banyak usaha mereka ini didapati membelakangkan bahasa Melayu yang juga bahasa negara. Tindakan begini sudah tentu boleh disamakan dengan sikap tidak menghormati bahasa negara ini.

Antaranya adalah dengan mengadakan ruang khas dalam media misalnya untuk mempromosikan bahasa Inggeris, sama ada sebagai mata pelajaran penting mahupun bahasa global utama. Caranya sering kali boleh ditafsirkan sebagai gerakan halus untuk memperkecil peranan bahasa Melayu, khususnya sebagai alat kemajuan.

Bahasa Melayu lambang kedaulatan

Sehubungan ini, ke mana perginya semangat nasionalisme kita yang antaranya perlu selalu melindungi bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara kita. Dalam konteks ini, bahasa Melayu bukan saja lambang kedaulatan kita, malah ia asas sejati kemerdekaan kita sebagai bangsa dan negara yang merdeka!

Untuk ini, bahasa Melayu perlu selalu dimanifestasikan dalam bentuk kuasa dan bukan saja lambang semata-mata. Dengan ini, kuasanya perlu direalisasikan dalam semua bidang dan sistem negara ini, baik politik, ekonomi ataupun sosial dan budaya.

- BERITA HARIAN