Isnin, September 03, 2012

Hukum menyokong ‘syaitan merah


Bersama DR. FADLAN MOHD. OTHMAN

SOALAN:

Saya merupakan penyokong setia kelab bola sepak Manchester United. Masalahnya sekarang ialah pada lambang kelab itu terdapat seakan-akan gambar syaitan. Gelaran bagi pasukan mereka juga ialah ‘The Red Devil yang bermaksud syaitan merah. Apa hukumnya di dalam Islam tentang perkara ini. Adakah saya boleh terus menyokong Manchester United atau tidak?

JAWAPAN:

Saudara, soalan ini menggambarkan keprihatinan saudara. Semoga Allah meneguhkan lagi jati diri Islamik saudara dan seluruh umat Islam.

Apa yang saya faham khusus berkenaan hukum-hakam yang berkaitan dengan kelab bolasepak Manchester United ialah seperti berikut:

Pertama, tidak boleh bagi penyokong muslim kelab ini memakai atau memiliki apa sahaja produk yang memperagakan syaitan merah yang memegang tombak dan memakai mahkota itu.

Kedua, apabila pergi untuk menyokong, pastikan solat tidak ditinggalkan.

Ketiga, apabila memberi sokongan, pastikan tiada lafaz kufur mahupun maksiat yang diungkap.

Keempat, pastikan keghairahan menyokong tidak menjadikan kita bercampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batasan.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak seluruh umat Islam agar membuat pilihan yang sewajarnya dalam setiap detik kehidupan kita.

Memang tidak mengapa memberi sokongan, akan tetapi perlulah sentiasa menepati etika Islam. Satu perkara lagi, hendaklah kehidupan kita sebagai umat Islam disinari dengan perseimbangan atau wasatiyyah.

Seimbangkanlah antara ketekunan dalam melakukan ibadah dengan masa yang diberikan untuk urusan manusiawi seperti riadah, sukan dan sebagainya.

Janganlah terlalu terikut-ikut dengan budaya kufur Barat atau Timur yang seringkali menekankan kebebasan daripada segala unsur-unsur keagamaan dan ketuhanan.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts