Jumaat, Jun 01, 2012

Himpunan Hijau PAS

Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Himpunan Hijau pada 1hb Jun adalah ijtimak terbesar PAS bagi menggarap gelombang mujahadah seluruh ahli dan jentera parti bagi memperkasakan persiapan menghadapi PRU ke 13.

Himpunan bagi menggantikan muktamar PAS Pusat yang ditangguh ini akan menyerlahkan satu penyataan persediaan jentera parti di semua peringkat.

Himpunan ini akan diadakan dalam suasana semua pihak menggembleng tenaga dan sokongan bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti yang bakal menerajui negara.

Himpunan ini juga satu medan mendekatkan diri sebagai makhluk Allah dengan rayuan, bermunajat dan menghambakan diri kepada Allah agar kemenangan Islam dapat dicapai dalam PRU ke 13.

Munajat kali ini adalah untuk agama, bukan bagi mencapai kepentingan diri dan peribadi. Munajat yang dapat diambil iktibar dari apa yang dipohon oleh Rasulullah dan para sahabat:

Al-Baqarah: 250

"Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir."

Himpunan atau ijtimak ini mampu menyerlah model himpunan paling baik untuk dinilai oleh rakyat. Rakyat boleh bandingkan dengan Himpunan Sejuta Belia yang dicemari dengan pelbagai perkara tidak senonoh, malah mengakibatkan kemalangan dan kecederaan akibat keghairahan manusia bagi menterjemahkan keegoan dan kesombongan.

Himpunan Hijau ini merupakan himpunan bagi rakyat membanding, meneliti, menilai dan membuat keputusan antara dua himpunan anjuran Umno dan PAS.

Himpunan Hijau ini tidak disediakan pengangkutan, tiada duit poket, tiada penyediaan tempat tinggal - semuanya atas keringat usaha peserta sendiri bagi menterjemahkan kewajipan kita kepada jamaah, pengorbanan kita bagi mendaulatkan Islam.

Majlis ini tidak dihidang dengan konsert, perlumbaan kereta, artis berpakaian menjolok mata, tiada tarian dan nyanyian, yang ada adalah tangisan takut akan azab Allah, merayu pertolongan Allah bagi memelihara agama dan umat ini.

Himpunan yang jauh dari elemen maksiat dan kemungkaran ini akan menyerlahkan ketinggian akhlak para pekerja parti dan penyokong serta dipenuhi dengan perkara yang bermanfaat kepada semua yang mengikutinya di sana dan juga siaran langsung di dalam pelbagai saluran media baru.

Himpunan Hijau terdiri dari pelbagai acara, bermula dengan mesyuarat khas pimpinan parti, taklimat tertutup kepada pimpinan seluruh negara, kuliah dan santai bersama Ustaz Azhar Idrus, disusuli dengan kuliah maghrib yang akan dipimpin oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Kemudian ia akan diikuti dengan Munajat Perdana dan berakhir dengan amanah khas pimpinan tertinggi PAS sebelum ditutupi dengan ikrar seluruh jentera dan ahli parti untuk tekad dan sedia mengharungi sebarang rintangan dan cabaran dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

Marilah kita hadir beramai ramai bagi menyatakan kasih kita kepada Allah, kerinduan kita kepada Rasulullah s.a.w, kesungguhan kita menyaksikan kemenangan Islam. Semoga himpunan ini akan menyerlahkan satu perbandingan bagi dinilai oleh rakyat.

- HARAKAH DAILY

Pengajaran daripada pilihan raya kecil Singapura

Oleh GeoStrategis Institut

KEPUTUSAN pilihan raya kecil Singapura yang baru selesai beberapa hari lalu menyaksikan calon pembangkang dari Parti Pekerja (WP) mengekalkan kerusi daerah Hougang adalah satu keputusan tidak diduga kerana Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah berkeyakinan tinggi merampas kembali kerusi tersebut.

Memang tidak dinafikan bahawa pengundi Hougang telah lama bersama-sama dengan pembangkang iaitu sejak dua dekad lepas. Tetapi memandangkan strategi yang disusun oleh pemimpin PAP untuk menambat hati pengundi adalah begitu rapi, keputusan pilihan raya tersebut seakan-akan memberi isyarat ada sesuatu yang masih tidak kena.

Semenjak keputusan pilihan raya umum tahun lepas yang menyaksikan kemerosotan undi popular PAP menyusut ke paras terendah 60 peratus, kerajaan PAP telah melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkan keluhan dan rasa tidak puas hati pengundi.

Bukan sahaja keputusan pilihan raya umum yang membuatkan PAP tersentak, tetapi juga pada pilihan raya presiden pada Ogos lalu yang hampir menyaksikan calon PAP, Tony Tan tewas telah memberi isyarat bahawa sesuatu yang drastik perlu dilakukan oleh mereka.

Selama ini kerajaan PAP hanya memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi republik tersebut tetapi strategi tidak disusun supaya limpahan nikmat dapat dikecapi oleh semua peringkat rakyat. Ini adalah kerana hanya golongan berpendapatan tinggi yang meraih keuntungan dari pertumbuhan pesat menyebabkan sebahagian besar rakyat Singapura lain tersepit kerana kos sara hidup yang melambung tinggi.

Begitu juga dengan kebanjiran pekerja asing sama ada yang berkemahiran atau tidak juga menjadi isu sensitif kerana sebahagian besar peluang pekerjaan dibolot oleh golongan ini. Walaupun hampir 123,000 peluang pekerjaan telah dibentuk pada tahun lepas, malangnya lebih 70 peratus pekerjaan tersebut disambar oleh pekerja asing.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong telah bekerja keras untuk merapatkan jurang di antara rakyat berpendapatan tinggi dan rendah dengan membina lebih banyak perumahan mampu milik, memperbaiki sistem pengangkutan awam dan mengurangkan kos perubatan. Beliau juga telah mengenakan cukai yang lebih tinggi kepada pekerja asing untuk memberi isyarat bahawa kesejahteraan rakyat Singapura sentiasa diutamakan.

Walaupun jumlah undi calon PAP telah meningkat sebanyak tiga peratus berbanding pilihan raya umum 2011, tetapi peningkatan tersebut adalah terlalu kecil berbanding dengan usaha yang telah dilakukan untuk memikat pengundi Hougang.

Sebab utama mengapa pengundi Hougang masih tidak mahu beralih kepada parti pemerintah adalah kerana persepsi serong bahawa PAP adalah sebuah organisasi yang begitu eksklusif dan ahli politik dalam Kabinet kerajaan adalah golongan istimewa. Walaupun gaji menteri telah dikurangkan tetapi secara puratanya jumlah pendapatan menteri Kabinet Singapura adalah antara yang tertinggi di dunia.

Kebanjiran pekerja asing yang merangkumi sehingga satu pertiga jumlah penduduk Singapura telah menyebabkan rakyat pulau tersebut merasa begitu tersisih dan keadaan menjadi lebih buruk apabila kepimpinan PAP ditafsir sebagai tidak menangani isu tersebut secara langsung, yakni kesan dari perlaksanaan dasar tidak dirasai oleh rakyat.

Memang benar kerajaan PAP telah menyediakan dasar peringkat nasional sebagai strategi menangani rungutan ekoran pengajaran keputusan pilihan raya umum 2011. Tetapi masalahnya adalah jika kesan pelaksanaan tersebut tidak dikecapi secara langsung oleh rakyat Singapura, maka keputusan yang telah dibuat oleh pengundi Hougang adalah tidak mengejutkan.

Bantuan kewangan perlu disalurkan secara langsung kepada golongan yang paling memerlukan. Umpamanya untuk mengurangkan kos sara hidup, dasar nasional diperlukan untuk menangani isu tersebut dalam jangka masa panjang. Tetapi dalam masa kini, bantuan kewangan atau rebat perlu juga disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Walaupun jumlah bantuan kewangan tersebut mungkin dianggap kecil dan tidak bermakna oleh golongan kaya, tetapi bagi mereka yang memerlukannya akan menghargai setiap bentuk bantuan yang dihulur.

Begitu juga kerajaan PAP perlu dilihat sebagai memberi layanan yang sama rata kepada semua rakyat Singapura. Daerah Ang Mo Kio mempunyai kemudahan awam yang begitu sempurna dan lengkap berbanding Hougang walaupun kedua-duanya adalah bersebelahan. Memang benar Ang Mo Kio telah diwakili oleh calon PAP buat sekian lama, tetapi perbezaan kemudahan fizikal yang begitu ketara membuatkan pengundi Hougang begitu tersisih dengan arus pembangunan perdana.

Persepsi bahawa pemimpin politik bekerja untuk rakyat dan bukan sebaliknya adalah kritikal dan sebab itu hubungan secara langsung dengan berbagai peringkat rakyat tidak kira sama ada yang tua atau muda, kaya atau miskin perlu dilangsungkan.

Senario politik Singapura telah menyerlahkan bahawa pertumbuhan ekonomi yang pesat jika tidak direncanakan supaya manfaatnya dapat dirasai oleh kumpulan sasaran, maka kesemua kemakmuran tersebut sebenarnya tidak memberi sebarang makna.

Kepimpinan PAP sebenarnya mempunyai masa yang agak panjang sebelum terpaksa menghadapi pilihan raya kerana mandat yang diperolehi hanya baru setahun digunakan. Masih belum terlambat untuk melakukan beberapa perubahan pendekatan yang perlu diamalkan.

Dalam hal ini tidak keterlaluan jika disarankan supaya strategi kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga diterokai oleh kepimpinan PAP kerana konsep mendekati dan merahmati semua lapisan rakyat secara langsung telah lama diamalkan.

- UTUSAN

Umur persaraan 16,000 kakitangan kontrak Kemas dilanjut

Umur persaraan wajib kira-kira 16,000 pegawai dan kakitangan kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kini dilanjutkan daripada 58 kepada 60 tahun selepas mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, JPA memaklumkan kelulusan itu menerusi surat yang dihantar kepada kementerian dua hari lalu dan berkuat kuasa serta-merta.

"Permohonan tersebut dibuat kementerian ini sejak dua bulan lalu dan JPA meluluskannya berdasarkan kepada Skim Saraan Malaysia (SSM).

"Ia juga dibuat kerana kementerian merasakan mereka terbabit lama berkhidmat dengan Kemas dan mempunyai pengalaman cukup luas memajukan anak bangsa, masyarakat dan menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat," katanya selepas menghadiri Majlis Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di pekarangan Sekolah Kebangsaan Tanjung Gahai, dekat Kuala Lipis.

- UTUSAN

Akhlak berinteraksi dengan bukan Islam

ISLAM adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Kebaikan daripada amalan Islam merentasi keturunan, jantina, pangkat dan bangsa. Allah SWT berfirman: Tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya': 107)

Apabila ajaran Islam diamalkan, kebaikannya akan dapat dirasai oleh orang Islam dan bukan Islam. Islam mengiktiraf hak orang bukan Islam yang bekerjasama dan berada di bawah pemerintahan orang Islam.

Orang bukan Islam yang dijaga haknya oleh Islam disebut sebagai kafir zimmi. Zimmi secara umumnya merujuk kepada orang-orang bukan Islam yang berada di bawah pemerintahan orang Islam dan memberikan taat setia kepada pemerintahan Islam, walaupun mereka tetap dengan agama mereka.

Kebebasan yang diberikan oleh kerajaan Islam untuk mereka menganut agama masing-masing tanpa dipaksa memeluk Islam. Mereka bebas beramal dengan anutan selagi mana tidak mengganggu amalan Islam.

Kebebasan beragama

Kebebasan beragama tanpa paksaan ini dapat dilihat dari peristiwa yang berlaku kepada Umar bin Al-Khattab ketika seorang perempuan musyrik datang menemui beliau untuk meminta pertolongan.

Lalu Umar menyerunya untuk memeluk agama Islam. Tetapi perempuan tersebut menolaknya. Kemudian, Umar memberikan pertolongan kepada perempuan tersebut dan menunaikan hajatnya.

Akan tetapi, beliau merasa bimbang kalau-kalau sikapnya itu boleh dianggap sebagai paksaan kepada perempuan tersebut.

Maka Umar beristighfar atas perbuatannya dan berkata: "Ya Allah, aku telah membimbingnya dan bukan memaksanya."

Beliau lantas membaca sepotong ayat al-Quran yang bermaksud: Tidak ada paksaan dalam agama. (al-Baqarah: 256)

Justeru, kita tidak boleh memaksa orang yang bukan Islam untuk memeluk agama Islam. Bahkan, Islam juga meletakkan kesamarataan kepada orang yang bukan Islam dalam persoalan hak dan tanggungjawab.

Pemerintahan dan masyarakat Islam perlu menjaga hak dan kehormatan mereka sebagaimana mereka juga perlu menjaga hak dan kehormatan masyarakat Islam.

Ini kerana, masyarakat Islam dan bukan Islam berkongsi aspek kemanusiaan yang menjamin hak masing-masing.

Larangan berbuat zalim

Nabi SAW melarang kita menganiayai orang bukan Islam dan berbuat zalim kepada mereka.

Baginda bersabda: "Sesiapa yang menyakiti ahli zimmah (orang kafir zimmi), maka aku (Nabi SAW akan menjadi pembelanya. Dan sesiapa yang memusuhi ahli zimmah, maka aku akan memusuhinya." (riwayat At-Tabrani)

Oleh itu, harta orang bukan Islam perlu dipertahankan sebagaimana kita mempertahankan harta orang Islam.

Orang Islam dilarang mencuri, merompak dan merosakkan harta orang bukan Islam. Demikian juga, orang Islam tidak dibenarkan sama sekali menipu ketika menjual barangan mereka kepada orang bukan Islam.

Jangan disebabkan berlainan agama menghalalkan segala penganiayaan dan kezaliman. Orang Islam juga wajib mempertahankan maruah orang bukan Islam sekiranya ia diancam.

Oleh itu, orang Islam tidak wajar sama sekali mendedahkan aib, memfitnah dan mencerca orang yang bukan Islam. Orang Islam dan orang bukan Islam tidak dilarang sama sekali untuk bekerjasama dan saling bantu-membantu selagi mana menghormati hak masing-masing.

Rasulullah SAW mengajar umat Islam supaya menghormati ajaran agama-agama lain walaupun mereka tidak mengakui akan kebenaran agama tersebut.

Hormati perayaan

Suatu ketika, Rasulullah SAW berdiri dengan penuh hormat apabila melihat jenazah seorang Yahudi di bawa di hadapan Baginda.

Para sahabat berkata: "Wahai Rasulullah, itu adalah jenazah orang Yahudi. Baginda lantas menjawab, Bukankah dia juga seorang manusia? (riwayat Bukhari)

Masyarakat Islam juga menghormati perayaan-perayaan yang disambut oleh masyarakat bukan Islam. Bahkan, mereka berhak untuk diberikan cuti bagi menyambut perayaan dalam agama mereka.

Pada zaman Nabi SAW, baginda tidak memanggil orang bukan Islam untuk perbicaraan pada hari perayaan mereka.

Nabi SAW bersabda: "Dan bagi kamu wahai sekalian Yahudi memiliki hari khusus, bahawa kamu tidak akan diganggu pada hari Sabtu." (riwayat Tirmidzi)

Demikianlah beberapa hak masyarakat bukan Islam yang perlu ditunaikan demi menjaga keharmonian hidup dalam masyarakat majmuk.

Ini membuktikan bahawa Islam tidak pernah melarang kita untuk memberikan pertolongan, bantuan dan bertolak-ansur terhadap masyarakat bukan Islam.

Islam mengutamakan kasih-sayang dan perdamaian daripada permusuhan dan peperangan.

Oleh itu, marilah kita menjaga hubungan perdamaian ini dengan mewujudkan suasana hidup yang dihiasi perasaan hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain, walaupun hidup dalam masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang agama.

- UTUSAN

Masuk IPTA bukan sekadar dapat ijazah

Oleh MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang

MENJELANG Jun dan sekitar Julai nanti, beribu-ribu anak muda kita, termasuk warga emas akan ditawarkan mengikuti pengajian di universiti awam di seluruh negara.

Tidak kurang juga yang kecewa kerana terpaksa menunggu lebih lama untuk mengambil semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau peperiksaan lain yang setaraf untuk memasuki universiti sama ada mengikuti pengajian diploma atau pada peringkat ijazah. Pilihan lain adalah dengan memasuki institusi pengajian tinggi swasta.

Namun tidak ramai yang sedar dan benar-benar menghargai peluang ini. Sesetengahnya memasuki dengan tangan kosong dan menyerahkan sepenuhnya kepada universiti untuk menentukan kejayaannya, tidak bersedia, tidak berusaha memanfaatkan peluang yang ada.

Idea dan persepsinya terhadap universiti tidak lebih daripada belajar di sekolah tinggi. Hanya pergi kuliah, buat tugasan dan menduduki peperiksaan, lulus, dapat ijazah dan mencari pekerjaan. Jika gagal mendapat pekerjaan, universiti dan kerajaan akan dipersalahkan serta dianggap gagal memainkan peranan.

Ramai juga yang beranggapan, jika seseorang itu cemerlang di sekolah maka ia akan diteruskan di peringkat universiti, menghafal sebahagian besar apa yang diterima dalam kuliah dan tutorial lalu kemudiannya meluahkan ia ketika menjawab soalan peperiksaan yang soalannya sebahagiannya sudah pun dapat diduga atau diberikan bayangan oleh pensyarah.

Kerana itu, terdapat segelintir yang menghabiskan masanya di universiti secara sia-sia. Sebahagian hanya mengejar ijazah dan berakhir dengan konvokesyen. Jika keputusannya cemerlang akan meneruskan pengajian pada peringkat sarjana dan pada peringkat seterusnya tanpa banyak belajar untuk menjadi seorang siswa atau siswi yang cintakan ilmu dan melakukan perubahan terhadap kehidupannya.

Jauh sekali untuk menjadi seorang perekacipta yang inovatif atau melakukan hal-hal yang boleh memberi faedah yang lebih besar dalam penggunaan ilmu pengetahuan dan fikiran untuk pembangunan diri mahu pun masyarakat dan negaranya. Apatah lagi untuk mencipta peluang pekerjaan baru dan tidak bergantung kepada orang lain. Segelintir lagi pula siswa-siswi menggunakan kampus sebagai pentas untuk eksperimen idealisme mereka yang melihat kehidupan dengan begitu 'ideal'.

Mereka belajar dan melihat segalanya dalam konteks yang serba serbi indah, membayangkan kejayaan-kejayaan dan keindahan hidup jika idealismenya dilaksanakan walau pun menggadaikan maruah bangsa, perjuangan mengekalkan kedamaian dan kesentosaan, malah ada ketikanya melanggar apa jua peraturan yang dibuat.

Mereka tidak peduli lagi tentang adab sopan dan kesusilaan sebagai orang berilmu, malah sesetengahnya tidak malu untuk menyertai aktiviti yang menyusahkan orang ramai, bertindak ganas dan apa jua untuk mencapai idealisme sehingga lupa yang pengajiannya dibiayai dari wang orang ramai melalui kerajaan yang membiayai pengajian tinggi negara.

Apa jua yang menghalang akan dianggap musuh dan anti kepada kepercayaan dan keyakinannya. Hatta menceroboh sekali pun dianggap betul untuk mencapai cita-cita dan keyakinannya, seolah-olah dia sahaja yang ada hak sedangkan orang lain tidak mempunyai hak yang serupa dengannya. Mereka kerap kali dipengaruhi oleh pihak tertentu yang sesetengahnya amat jelas menggunakan 'amarah' dan 'kegelisahan' anak-anak muda ini dalam melakukan perjuangan menegakkan idealismenya. Provokasi terhadap jiwa muda ini dilakukan berterusan yang bakal merosakkan masa hadapan mereka.

Hakikatnya universiti adalah tempat yang berupaya mendidik anak-anak muda dalam menseimbangkan antara idealisme dengan hakikat sebenar kehidupan. Universiti sepatutnya yang menjadi tempat yang memaknakan kebebasan yang ditunjukkan dalam autonominya dengan penuh tanggung jawab dan berhemah selaras dengan adab dan akal budi orang berilmu.

Universiti adalah tempat untuk mencari kebenaran dan berdebat tentang ilmu berasaskan fakta dan data, tetapi melihat juga kepada kepentingan masyarakat terbanyak tanpa menggadaikan apa yang sedia ada, kedamaian yang dinikmati dan kebebasan yang diberi.

Siswa-siswi perlu mengambil peluang berinteraksi dengan para ilmuan, mengkaji ilmu, melihat dengan pelbagai perspektif dan dimensi, saling hormat untuk meningkatkan darjah kematangan dalam perdebatan dan perbincangan sekali gus mendewasakan anak muda malah juga menjadikan ilmu pengetahuan sebagai teras yang berguna dalam memartabat dan mendaulatkan satu bangsa.

Ruang kebebasan digunakan untuk mereka yang dahagakan ilmu dengan menjadikan perpustakaan dan Internet untuk mendapat idea-idea dari buku dan bacaan sebagai asas memperkayakan diri. Pensyarah menjadi fasilitator bukan lagi sebagai guru yang memberikan segalanya, sebaliknya menjadi pembimbing yang akan mencabar daya fikir dan kreativiti siswa-siswi dalam mencari jawapan terhadap pelbagai persoalan yang dibangkitkan untuk dunia seluruhnya.

Cabaran dalam sains dan teknologi, malah juga seni, budaya, kemanusiaan, kemasyarakatan, sains politik, falsafah dan lain-lainnya dirungkai, dilihat bersepadu dan berkait rapat antara satu sama lain. Alam menjadi medan pengajaran berguna untuk menjadi lebih kreatif dan melahirkan inovasi baru untuk manusia dan masa hadapannya.

Kerana itu, sudah sampai masanya mereka yang ingin memasuki universiti berfikir sedalam-dalamnya matlamat penerokaan ilmunya. Mereka harus melihat dalam kerangka yang betul agar kehadirannya akan berupaya mengubah dirinya dalam membantu melakukan perubahan bermakna dalam masyarakat secara realistik.

Universiti yang dalam proses membuat pemilihan perlu juga melihat kualiti calon yang diinginkannya terutamanya bagi kursus yang mempunyai temuduga dan ujian tertentu. Walau pun kelulusannya di peringkat sekolah agak rendah, namun jika pandangannya terhadap dunia ilmu dengan matlamat masa depan yang betul, lebih wajar diberikan pertimbangan berbanding dengan mereka yang jelas terlalu cetek pemikirannya dan melihat dunia dalam perspektifnya semata-mata. .

Jika memasuki universiti dengan keinginan yang kuat untuk mengubah diri, peluang terbuka luas di sini.

Akhirnya, yang akan menentukan kejayaan di universiti ialah kebijaksanaan membuat pilihan, tidak tenggelam oleh idealisme tertentu atau keseronokan seketika serta kefahaman terhadap makna sebenar universiti. Kelekaan dan taksub terhadap sesuatu idealisme akan hanya menjadikan peluang yang diberi menjadi sia-sia.

Peluang memasuki universiti perlu dihargai atau sebaliknya buatlah pilihan lain yang sesuai jika ia hanya akan menimbulkan masalah kepada diri dan orang lain apatah mengecewakan ibu bapa, masyarakat terbanyak dan negara.

- UTUSAN

Bas elektrik beroperasi 2014

RapidKL akan memperkenalkan perkhidmatan bas elektrik menjelang 2014 bagi menyokong usaha kerajaan mewujudkan persekitaran hijau dan bebas pencemaran.

Pengarah Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) bagi Bahagian Bas, Zohari Sulaiman, berkata sebagai permulaan, sebanyak 15 hingga 20 bas elektrik menggunakan kuasa bateri itu dijangka beroperasi di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat analisis serta mengadakan lawatan ke China yang turut menggunakan teknologi sama dan mendapati ia jauh lebih baik daripada bas menggunakan diesel.

“Bagaimanapun, kos bas itu adalah 50 peratus lebih tinggi daripada bas menggunakan diesel. Contohnya jika di China, kos bas diesel adalah RM400,000, manakala bas elektrik mencapai R M1 juta kerana harga baterinya yang mahal.

“Pembelian ini juga adalah satu pelaburan kerana kos penyelenggaraan bas terbabit bagi tempoh 10 tahun jauh lebih murah berbanding enjin diesel,” katanya pada sidang media Kempen ‘Ride For Green’ oleh RapidKL, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Kumpulan Prasarana bagi Rel, Khairani Mohamed.

Sementara itu, Khairani berkata, jumlah penumpang perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) dan monorel meningkat lapan peratus pada suku tahun pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, Khairani berkata, sebanyak 2,000 kemeja-T edisi terhad berharga RM40 setiap satu akan dijual kepada orang ramai di stesen LRT, monorel dan bas terpilih sempena kempen ‘Ride For Green’ Rabu ini, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia.

Katanya, 20 penumpang yang dikesan memakainya pada hari berkenaan akan menerima hadiah Kad MyRapid bernilai RM100.

- BERITA HARIAN

Antara Ratu dan Rakyat


Oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Bekas Mufti Perlis dan kini felo Pusat Pengajian Islam Oxford

SAMBUTAN Jubli Intan sempena 60 tahun pemerintahan Queen Elizabeth II yang menaiki tahta sejak 1952 akan berlangsung UK beberapa hari lagi. Dikatakan beberapa negara yang masih mendaulatkan Monarki British itu seperti Australia, Canada, New Zealand dan lain-lain akan turut menyambutnya. Di UK, sambutan kelihatan agak besar. Masih nampak perasaan sayang rakyat pada Ratu.

Bangga

Saya sendiri merasakan, jika saya rakyat British yang asal, tentu saya juga akan berbangga dengan sumbangan yang pernah diberikan oleh keluarga diraja British itu. Di samping pelbagai sudut yang dikritik, British pernah menjadi empayar yang begitu hebat dan luas sehingga disebut ‘The Sun never sets on The British Empire’. Sebahagian kekayaan dan kemakmuran yang dirasai oleh rakyat British hari ini adalah hasil usaha ‘penjajahan’ yang dilakukan oleh keluarga diraja British.

Sama ada secara langsung ataupun tidak. Di sudut itu, keluarga diraja British memang menyumbang untuk negaranya. Ia bukan keluarga diraja yang hanya menghisap hasil rakyat dan meminta mereka disanjung tanpa satu catatan sejarah yang boleh dibanggakan. Mereka menjajah, ya! itu suatu yang negatfve bagi kita yang dijajah. Namun, untuk negaranya mereka telah membawa kekayaan pulang hasil ‘perahan’ negara lain. Maka, Keluarga Diraja British ada keluarga yang berjasa dan mencatatkan sejarah.

Sekalipun sebagai penjajah. Mereka bukan keluarga diraja yang menjemput penjajah sehingga sanggup menyerah tanah dan rakyat untuk kepentingan diri, tetapi mereka menakluki negara lain dan membawa hasilnya ke Britain kembali.

Kritikan

Pun begitu sambutan Jubli Intan yang akan berlangsung itu tidak sunyi dari kritikan. Akhbar dan orang ramai ada yang memprotes sambutan tersebut sebagai membazir wang negara dalam keadaan ekonomi Eropah yang tidak stabil sekarang. Ada yang membuat undian pendapat apakah sambutan itu membazir ataupun tidak. Ada pula yang mengira kos kerugian cuti disebabkan sambutan tersebut.

Hasrat Ratu untuk mendapat hadiah sebuah Yacht (kapal persiaran) daripada kerajaan sempena Jubli ini pun telah ditolak apabila survey menunjukkan 64 peratus rakyat tidak bersetuju.

Demikian ramai juga yang mengkritik sambutan Jubli ini disebabkan antara jemputan Queen ialah raja-raja yang dianggap tidak demokratik dan zalim dari pelbagai negara. Kritikan ditujukan kepada Queen sebagai tidak sensitive dengan isu kemanusiaan.

Apapun, kami di sini akan dapat cuti. Segala kritikan dan sokongan kepada Queen adalah asam garam kehidupan mereka di sini yang menghormati hak rakyat dalam bersuara. Setuju ataupun tidak satu hal.

Namun memberikan ruang rakyat bersuara adalah tanda pemerintah yang demokratik dan menghormati rakyat. Rakyat tidak dianggap derhaka hanya dengan memberikan pendapat yang berbeza.

Hanya kelompok ‘jakun’ yang cuba hidup dalam dalam kalangan manusia berakal sahaja yang menganggap memberi pendapat itu satu jenayah, sekalipun ia tidak diikuti dengan aktiviti yang mengancam dan merosakkan keselamatan rakyat. Ya, sudah pasti ada peraturan dan adabnya dalam setiap perkara.

Namun hak bersuara tidak boleh dinafikan. Kita patut ‘tabik’ kepada Monarki British di ‘sudut itu’. Mungkin perkembangan politik British juga tidak memberikan mereka pilihan melainkan demikian. Saya rasa itulah salah satu sebab Monarki British itu masih disayangi dan rakyat merasakan mereka patut terus berada di situ.

Isu Malaysia

Saya terlambat ikuti perkembangan isu di Malaysia. Saya dimaklumkan bahawa ada isu tentang istana tertentu membida number kereta sehingga lebih RM 500,000. Saya juga dimaklumkan bahawa ada yang telah kritik isu ini. Saya tidak tahu pendetilan isu tersebut. Saya tidak tahu siapa yang patut dipersoalkan.

Cuma, apabila ada yang bertanya dalam Twitter, saya jawab secara umum bahawa ‘JIKA’ golongan istana tidak boleh dipertikaikan bererti rakyat telah mempertuhankan mereka. Ini kerana hanya Tuhan sahaja yang tidak boleh dipertikaikan oleh manusia. Saya 'twit' hal itu secara umum tanpa ditujukan khusus kepada sesiapa. Ada yang cuba menjadikan 'twit' itu khusus kepada isu berkenaan.

Sebenarnya tidak. Ada pula yang menyunting rakaman ucapan saya dalam isu lain yang dah lama semasa saya masih di Malaysia, lalu dikaitkan dengan isu berkenaan. Itu pun tidak betul. Saya tidak tujukan kepada peribadi, tetapi kaedah yang umum.

Saya juga setuju, menegur pemerintah ataupun raja dalam isu peribadi memerlukan bahasa yang sesuai dan berkesan. Kritikan hendak membina. Namun hak menegur tetap ada.

Saya mungkin tidak bersetuju dengan isi sesuatu kritikan. Bahkan saya mungkin menentang pengkritik itu sendiri dalam isu-isu yang lain. Namun, saya berpegang bahawa seseorang rakyat itu selagi dia menggunakan bahasa yang wajar dan hujah yang betul, tidak wajar untuk dia dihukum kerana mengkritik. Mana-mana pihak yang menghalang orang mengkritik golongan bangsawan sekalipun dengan bahasa yang betul, adalah golongan feudal yang tidak wajar menguasai politik masa kini.

Adakah sesiapa dalam kalangan pemerintah kita yang lebih mulia, hebat dan gagah dari Saidina ‘Umar bin al-Khattab?! Beliau pernah ditegur, namun beliau tidak menghukum pengkritiknya. Khalifah Umar bin al-Khattab suatu hari pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu beliau naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai manusia dengarlah!” Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar”. Lantas Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya: Engkau berikan kamI semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai”. Kata ‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman”. Lalu Umar memanggil anaknya Abd Allah. Kata Umar: Aku menyerumu dengan nama ALLAH, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku”. Jawabnya: Ya!. Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar”. (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55).

Tiada hukuman pun sedangkan itu ‘Umar bin al-Khattab. Apakah kita merasakan bahawa ada pihak yang lebih mulia dari Nabi s.a.w dan para al-khulafa ar-Rasyidin. Nabi s.a.w sendiri pernah dipersoalkan beberapa tindakan baginda seperti tentang isi perjanjian Hudaibiyyah yang baginda meterai. Baginda tidak menghukum pengkritik. Sedangkan baginda seorang nabi. Siapakah yang merasakan lebih mulia dari baginda?!

Ulama

Ulama mestilah bersikap seperti tokoh ilmuwan agung mazhab al-Shafi’i iaitu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H). Saya telah petik kisah beliau dalam artikel saya semasa saya masih menjadi Mufti Perlis. Saya ketika itu mengkritik kenaikan harga barang. Artikel itu disiarkan oleh akhbar Utusan (Mingguan Malaysia). Saya petik kisah al-Imam al-Nawawi r.h (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar.

Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad. Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian ALLAH memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas.

Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu.

Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Inilah tokoh Mazhab al-Shafi’i yang sangat hebat dari segi ilmu dan akhlak. Di Malaysia, ada yang fanatik mazhab. Pantang dengar orang tidak berpegang dengan mazhab Shafi’i yang ‘dia faham’, terus hendak diadukan kepada sultan dan raja. Malang sekali, sikap dan budi tokoh-tokoh mazhab itu tidak diteladani.

Kita tidak meminta pemerintah supaya jadi seperti ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Kita minta jangan buat sesuatu yang menimbul persoalan dan kegelisahan rakyat. Kita ingin sayangkan pemerintah kita dengan ikhlas. Pihak istana akan lebih dihormati dan disayangi jika mereka mengikut perkembangan dan perasaan rakyat.

Hari ini dunia terbuka. Memaksa orang suka hanya membakar rasa kebencian. Namun, akhlak yang baik, teladan yang bagus dan kehidupan yang jujur akan menjadikan sesebuah institusi itu bertambah dekat di hati dan jiwa rakyat.

- SINAR HARIAN

85,435 layak ikuti kursus vokasional & kemahiran

Seramai 85,435 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dipilih mengikuti kursus peringkat sijil dan diploma Institusi Pendidikan Teknikal serta Latihan Vokasional (TEVT) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), tahun ini.

Jumlah ini peningkatan 8.4 peratus berbanding 78,780 pelajar ditawarkan ke TEVT dan ILKA pada sesi 2011/2012.
Pelajar termasuk orang kelainan upaya (OKU), Orang Asli, atlet dan pelajar cemerlang akan mengikuti program berkenaan di 11 TEVT dan ILKA di seluruh negara.
Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa, berkata pelajar boleh menyemak status permohonan masing-masing menerusi lawan web TEVT dan ILKA mulai jam 12 tengah hari, semalam.

Beliau berkata, semakan juga boleh dibuat menerusi laman web http://upu.mohe.gov.my; talian hotline 03-88706767; talian helpline 03-8870677 dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip UPU TEVTILKA (no. MyKad) dan SMS ke 15888.

“Unit Pusat Universiti (UPU) menerima 87,730 permohonan daripada lepasan SPM, SKM dan setaraf untuk mengikuti program sijil serta diploma di TEVT dan ILKA tahun ini.

“Seramai 87,263 atau 99.5 peratus calon mencapai kelayakan minimum serta memenuhi syarat am permohonan ke TEVT dan ILKA yang bermakna hanya 67 pemohon saja tidak layak,” katanya, di sini, semalam.
Tarikh pendaftaran pelajar baru ke TEVT dan ILKA bermula pada 25 Jun hingga 9 Julai bergantung kepada institusi terbabit.

Mereka yang tidak berjaya boleh terus mengemukakan rayuan kepada TEVT dan ILKA dalam tempoh 10 hari bekerja selepas keputusan rasmi diumumkan.

Dasar pengambilan dan pemilihan kemasukan adalah berasaskan meritokrasi mengguna pakai 75 peratus markah akademik, 10 markah kokurikulum dan 15 peratus markah sosioekonomi (pendapatan keluarga dan lokaliti) untuk menentukan nilai merit seseorang calon.

Rujhan berkata, dari segi jantina, 43,672 atau 51.1 peratus calon lelaki, manakala selebihnya iaitu 48.9 peratus atau 41,763 lagi wanita.

“Daripada aspek pendapatan keluarga, 70,625 atau 83.5 peratus berasal daripada keluarga berpendapatan kurang RM3,000 sebulan kerana kita memang sentiasa mengutamakan mereka yang berasal dari luar bandar,” katanya.

Selaras dasar kerajaan meningkatkan akses dan ekuiti dalam pengajian tinggi, kementerian juga menawarkan 1,093 tempat kepada OKU, Orang Asli dan atlet untuk mengikuti kursus diploma serta sijil di TEVT dan ILKA di seluruh negara.

Difahamkan, 10 kursus paling popular menjadi pilihan lepasan SPM dan SKM ialah diploma pengurusan perhotelan dan katering; pengurusan pelancongan; kewangan dan perbankan; perakaunan; pengajian perniagaan; kejuruteraan elektrik; automotif, pengurusan sistem maklumat (IT); kejuruteraan awam dan diploma sains kesetiausahaan.

- BERITA HARIAN

Kempen semak pemilih Jun 2012

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Kempen Bulan Semakan Daftar Pemilih 2012 mulai bulan Jun bagi membolehkan 12,658,803 pemilih mendaftar sehingga 31 Disember 2011 membuat semakan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata kempen 1 hingga 30 Jun itu bagi meningkatkan kesedaran pentingnya pemilih menyemak status masing-masing sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
“Kempen itu memberi lebih banyak ruang kepada pemilih membuat semakan dan mengemas kini maklumat pendaftaran masing-masing jika terdapat sebarang kesilapan dan ketidaktepatan,” katanya dalam kenyataan, di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata, kempen itu juga sebahagian usaha SPR dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membersihkan lagi daftar pemilih dan kerjasama pemilih amat diperlukan bagi memastikan segala maklumat pendaftaran mereka tepat dan betul.

“Hanya pemilih yang boleh memohon menukar butiran diri masing-masing dalam daftar pemilih. SPR tidak dapat membetulkan apa-apa kesilapan tanpa pemilih sendiri memaklumkannya kepada SPR mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, jika ada kesilapan data dalam senarai daftar pemilih seperti tiada nama dalam senarai, pertukaran alamat tidak diketahui dan sebagainya, pemilih boleh membuat aduan kepada SPR melalui Sistem Aduan pada laman web di www.spr.gov.my.

Katanya, mereka juga boleh menghubungi Pusat Panggilan SPR di 03-88856565 atau melalui faks di 03-8889112, menulis surat atau datang sendiri ke Ibu Pejabat SPR di Putrajaya atau mana-mana pejabat Pilihan Raya Negeri dengan segera.

Abdul Aziz berkata, SPR juga akan membuka kaunter pendaftaran pemilih untuk permohonan pendaftaran baru dan pertukaran alamat pusat mengundi di Ibu Pejabat SPR dan Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Beliau berkata, bagi pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin dan menukar alamat di kad pengenalan di JPN, mereka boleh membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi kepada SPR.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, berkata Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang bertugas memantau kempen pilihan raya akan ditubuhkan di setiap 222 kawasan Parlimen di seluruh negara bagi memastikan undang-undang berkempen dipatuhi.

“PP-KPR akan dianggotai pegawai SPR, pegawai polis berpangkat Inspektor, pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil setiap parti politik yang bertanding. Bidang tugas PP-KPR adalah memastikan garis panduan berkempen dipatuhi setiap parti politik,” katanya.

Katanya, karikatur wajah pemimpin atau calon dilarang dijadikan bahan kempen pilihan raya.

- BERITA HARIAN

Blogger Fesyen Wanita


MENULIS merupakan profesion impian Jezmine Zaidan, 28. Selepas tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor pada tahun 2008, beliau tidak menunggu lama untuk menggapai cita-cita tersebut.

Majalah fesyen dan kecantikan berbahasa Inggeris menjadi tapak kerjaya pertamanya. Namun, dalam kesibukan wanita yang berasal dari Kuching, Sarawak itu membina kerjaya baharunya beliau mula berjinak-jinak dengan dunia blog.

Daripada bertatih sehingga mampu berdiri, pengetahuan Jezmine terhadap bisnes blog berkembang pantas. Selepas hampir dua tahun berkecimpung sebagai penulis, beliau tekad melepaskan posisi itu demi meneruskan perniagaan dalam talian yang kian maju.

Pakaian yang dijual Jezmine ketika itu difokuskan pada konsep vintaj. Hampir 70 peratus pelanggannya merupakan wanita berketurunan Cina dan mereka yang meminati stail moden klasik.

Kesungguhan yang ditonjolkan Jezmine mendapat sokongan penuh ibu bapanya, malah mereka menyarankan beliau membuka butik.

“Pada mulanya berniaga menerusi blog ini hanya sampingan. Melihatkan pendapatan yang saya jana melebihi gaji yang saya terima sewaktu bekerja sebagai penulis sebelum ini membuatkan saya terfikir untuk pergi lebih jauh.

“Jadi selepas segala-galanya kukuh, saya membuka butik pada penghujung tahun 2009. Memiliki butik sendiri adalah impian hampir semua blogger.

“Alhamdulillah, berkat kerja keras dengan bantuan keluarga dan sahabat impian saya untuk memi sendiri menjadi kenyataan,” ujar Jezmine yang menamakan butiknya The Old Blossom Box Store.

Kemas kini blog

Walaupun sudah membuka butik, Jezmine tidak pernah berhenti mengemaskini blognya. Menurut beliau, rutin itu penting bagi berkomunikasi dengan sahabat blogger lain dan bertindak sebagai medium informasi dengan pelanggannya.

“Blog tempat paling mudah untuk mengumumkan sesuatu. Jika terdapat sebarang peraduan, aktiviti, diskaun, item baharu dan apa sahaja berkaitan butik saya akan sampaikan menerusi blog.

“Selain itu, saya juga memuat naik gambar-gambar saya bersama koleksi baharu dan menunjukkan cara-cara menyuaipadankannya,” tambah Jezmine.

Bagi Sara Shahnor, 30, pengalamannya dalam bidang perniagaan menerusi blog masih hijau. Lewat tahun 2010, beliau dan rakannya, Amalina Hanisah Mohd. Amin, 28, menubuhkan Ammara Hijabi.

Fasa awal perniagaan mereka amat sukar. Sara dan Amalina perlu bersaing dengan blogger-blogger lain yang turut menjual item yang hampir sama. Dalam kepayahan itu, mereka akhirnya mampu menyerlah berbekalkan rantaian formula yang berkesan.

“Ada orang menjadikan bisnes blog ini sebagai sampingan dan tidak memikirkan pelan jangka panjang. Kami berdua mahu perniagaan ini bertahan untuk tempoh yang lama, jadi perancangan rapi itu amat diperlukan.

“Pengetahuan tentang bajet, keusahawanan, rancangan kewangan dan pengurusan masalah perlu dikuasai. Formula paling utama ialah keaslian,” jelas Sara yang berasal dari Bangi, Selangor.

Amalina menyambung: “Keunikan dan keistimewaan menjadi pemisah antara kita dengan blogger lain. Dalam dunia blog, kita boleh mengesan siapa meniru idea orang dan siapa yang tampil dengan konsep tersendiri.

“Disebabkan itu, kami perlu sentiasa menawarkan elemen baharu kepada pelanggan dan menggunakan semua jenis laman sosial. Facebook, Twitter dan Tumblr antara ruang maya yang kami gunakan.”

Sejak awal penglibatan, Sara dan Amalina telah mengkhusus dalam perniagaan busana Muslimah. Wanita bertudung dan mereka yang mahukan gaya sopan menjadi sasaran utama.

Hampir 90 peratus pelanggan mereka ialah wanita berhijab. Item kegemaran pengikut blog dua wanita itu pula ialah turban segera. Dominasi penutup kepala itu dalam membentuk gaya Muslimah moden hari ini telah membuka dimensi berbeza.

Rombak konsep

Turban bertambah popular lebih-lebih lagi dengan adanya koleksi keluaran Ammara Hijabi. Selain mudah dipakai, ia juga menerbitkan aura glamor biarpun berciri kasual.

“Sesetengah turban kami dibawa dari Indonesia. Ia sesuai digayakan kaum Hawa yang berumur antara 19 sehingga 30 tahun. Pakaian Muslimah lain pula boleh ditempah mengikut cita rasa masing-masing. Kesemua barangan dijual pada harga antara RM30 sehingga RM250,” kata Amalina.

Sementara itu, kata Jezmine, seiring dengan usia butiknya yang hampir mencecah tiga tahun, beliau mula merombak konsep item jualannya. Dahulu sasaran hanya kepada wanita tidak bertudung, kini ia telah berubah.

Kelahiran pelbagai trend pakaian Muslimah menjurus Jezmine untuk berubah angin. Walaupun berdepan dengan risiko, namun hasilnya amat mengejutkan. Permintaan pakaian wanita berciri sopan melonjak secara drastik dan ia terus meningkat.

Menurut beliau, wanita bertudung kian bijak berfesyen dan berani bereksperimen dengan gaya moden. Baju kurung bukan lagi pakaian rasmi wanita Melayu Muslim, sebaliknya mereka mula menukar selera kepada seluar dan blaus yang sopan.

“Pakaian yang dijual masih menutup aurat dan saya menghormati pegangan itu. Tetapi tidak bermakna mereka tidak boleh melaram dengan blaus yang dilengkapi perincian menarik dan seluar panjang berona terang.

“Saya cuba menyuntik elemen humor dan ceria agar karakter si pemakai dapat diserlahkan. Corak polka dot pula menegaskan jiwa muda seorang perempuan. Tiada had umur ditetapkan, malah ia sesuai untuk kelompok pelajar sehingga golongan ibu.

“Material yang saya gunakan pula banyak daripada jenis sifon, kapas dan jersi. Mainan warna pula diutamakan pada palet pastel dan tidak lupa warna-warni,” ucap Jezmine yang ditemui bersama Sara dan Amalina di butiknya di Shah Alam baru-baru ini.

- KOSMO!

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Maimunah

Sirah Nabawi

BAGAIMANA agaknya Rasulullah SAW bertemu jodoh dan akhirnya berkahwin dengan Maimunah binti al-Harits sewaktu mengerjakan Umratul Qadha?

Maimunah yang bermakna orang yang bahagia merupakan nama baru yang diberi oleh Rasulullah kepada isterinya itu, yang pada asalnya bernama Barrah binti al-Harits.

Barrah merupakan seorang balu berusia 26 tahun yang kematian suami, Abu Rahm Al-Amiri.

Barrah mempunyai saudara perempuan yang dikenali sebagai Ummu Fadhl yang berkahwin dengan bapa saudara Rasulullah iaitu Abbas bin Abdul Mutalib.

Seperti yang kita ketahui, Abbas tidak berhijrah ke Madinah kerana sibuk menguruskan perniagaannya.

Melalui Abbas jugalah Barrah banyak mengetahui mengenai Rasulullah yang menyebabkan wanita itu begitu tertarik dengan baginda.

Akhirnya Barrah dapat mengenali wajah baginda saat baginda berlari-lari anak mengerjakan ibadat Saie dan ketika baginda berhenti berehat sambil minum air zamzam.

Pandangan pertama itu menyebabkan Barrah terus jatuh hati kepada Rasulullah dan berharap baginda akan menjadi pasangan hidupnya selepas kematian suami.

Tetapi bagaimana hasrat di hatinya itu dapat disampaikan kepada baginda? Dan bagaimana baginda akhirnya sudi untuk menerima Barrah sebagai isteri?

Sebagai wanita tentulah agak janggal jika Barrah sendiri yang menyatakan hasrat di hatinya itu kepada baginda walaupun tidak salah jika dikatakan perigi mencari timba. Tetapi perlulah dilakukan dengan adab yang tidak menjejaskan maruah mana-mana pihak.

Namun yang lebih penting, Barrah harus bertindak segera sebelum umat Islam yang diketuai oleh Rasulullah itu akan kembali ke Madinah.

Lalu tanpa dapat ditahan-tahan, Barrah berkongsi rahsia hatinya itu dengan saudaranya sendiri, Ummu Fadhl.

Pada mulanya bukan mudah untuk Barrah menceritakan apa yang sedang bergolak di hatinya itu. Tetapi akhirnya setelah dipujuk oleh Ummu Fadhl, Barrah mencurahkan niatnya.

"Sesungguhnya aku telah jatuh hati dan sangat mencintai Rasulullah dan ingin bernikah dengan baginda," katanya sambil tersenyum.

Ummu Fadhl yang mendengar kata-kata yang tulus daripada Barrah itu turut tersenyum lalu menggenggam tangan adik perempuannya itu dan berkata: "Insya Allah, pasti semua ini adalah suatu kebaikan dan segala hajat akan dapat dipenuhi. Kamu bersabar dan berdoa sementara saya akan usahakan untuk menyatukan kamu dengan Rasulullah."

Pada mulanya Barrrah tidak mengerti akan kata-kata saudara perempuannya itu. Tetapi rupa-rupanya Ummu Fadhl meminta bantuan suaminya, Abbas untuk menjadi wakil bagi 'meminang' Rasulullah.

Abbas pun menemui Rasulullah dan menyatakan hasrat adik iparnya itu.

"Adakah kamu sudi berkahwin dengannya wahai Rasulullah," tanya Abbas.

Baginda pun dengan senang hati menerima lamaran daripada Abbas itu.

Lalu baginda meminta pertolongan seorang lagi bapa saudaranya iaitu Jaafar bin Abdul Mutalib untuk meminang Barrah secara rasmi dengan mahar mas kahwinnya sebanyak 400 dirham.

Lalu Rasulullah pun bernikah dengan Barrah dengan diberi nama Maimunah yang diwali hakimkan oleh Abbas sendiri.

Tentu sahaja Maimunah sangat gembira kerana hasrat murninya tercapai dan sedia untuk mengikut baginda pulang ke Madinah

Namun baginda tidak membawa Maimunah bersama-sama apabila seluruh rombongan umat Islam pulang ke Madinah kerana dikhuatiri akan menimbul kemarahan kafir Quraisy.

Selepas mereka berjalan beberapa hari dan sampai ke Sarifa, iaitu kira-kira 19 kilometer dari Mekah, rombongan umat Islam berhenti berehat sambil menunggu kedatangan Maimunah dari Mekah.

Maimunah dibawa keluar pada malam hari secara senyap-senyap daripada pengetahuan kafir Quraisy dan akhirnya disatukan dengan baginda di Sarifa sebelum menyambung perjalanan pulang ke Madinah.

- UTUSAN

Recent Posts