Selasa, Mei 01, 2012

FAEDAH DAN KELEBIHAN JAWATAN PEGAWAI TADBIR DIPLOMATIK - PTD


FAEDAH DAN KELEBIHAN PERKHIDMATAN PEGAWAI TADBIR DIPLOMATIK - PTD

Perkhidmatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) menawarkan pembangunan kerjaya yang menarik dari segi penempatan seperti yang telah disebutkan dan peluang untuk mengikuti latihan dan kursus dalam perkhidmatan yang terbuka luas. Dari segi kenaikan pangkat pula, walaupun tidaklah terlalu baik tetapi masih tergolong dalam kategori perkhidmatan yang teratas dari segi peluang kenaikan pangkat. Latihan dalam perkhidmatan banyak disediakan sehingga ke peringkat Ph.D. Bagi merancang dan menggubal satu pelan pembangunan PTD,  Jabatan Perkhidmatan Awam telah menubuhkan Unit Strategik pada awal tahun 1999 di bawah Bahagian Perkhidmatan.

Hasilnya, semua dasar dan strategi pembangunan kerjaya PTD telah digubal dan dilulus dalam bulan Jun 1999 dan kini sedang dilaksanakan. Dasar dan strategi ini terkandung dalam Pelan Komprehensif Pengurusan Sumber Manusia Pegawai Tadbir dan Diplomatik Abad Ke-21. Pelan ini temasuklah dasar pengambilan, penempatan, latihan, perancangan penggantian (succession planning) dan exit policy. Kini, model pelan komprehensif ini telah diikuti oleh perkhidmatan lain seperti perkhidmatan Pegawai Sistem Maklumat dan pegawai perkhidmatan sokongan.

Perkhidmatan PTD menyediakan peluang latihan dan kursus yang luas termasuk peluang mengikuti ijazah Sarjana dan Ph.D di dalam dan luar negeri. Ini memandangkan dasar latihan perkhidmatan PTD adalah untuk membentuk pegawai-pegawai yang berpengetahuan, berwibawa dan mahir dalam bidang masing-masing serta bersifat versatile selaras dengan fungsi tugas pegawai PTD.

Aspek latihan dititikberatkan dari peringkat awal lagi yang mana pegawai PTD adalah disyaratkan mengikuti kursus sijil Diploma Pengurusan Awam (DPA) sebelum disahkan dalam jawatan. Pegawai-pegawai PTD seterusnya akan diberi latihan semasa dalam perkhidmatan seperti kepimpinan, perancangan strategik, pengurusan sumber manusia, kewangan, negotiation skill, teknologi maklumat dan lain-lain lagi. Pegawai-pegawai cemerlang akan ditawarkan mengikuti kursus peringkat Ijazah Sarjana dan Ph.D

Pegawai-pegawai PTD yang menunjukkan prestasi kerja dan kebolehan yang baik serta berpotensi boleh meningkat ke jawatan yang lebih tinggi dalam perkhidmatan awam termasuk mengisi jawatan utama sektor awam seperti Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan jawatan-jawatan penting lain seperti Pengarah-pengarah Jabatan dan Pegawai Daerah dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran.

Untuk mendapatkan Panduan Lengkap Peperiksaan Online SPA bagi Jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik - PTD Gred M41, sila dapatkan di: http://jvsecurepay.com/affiliates/ptd/28



Rita Rudaini tak setuju cerai



PETALING JAYA 30 April - Pelakon Rita Rudaini tidak bersetuju dengan permohonan suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak untuk bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain yang mewakili Rita memberitahu mahkamah bahawa pihaknya berpendapat perbincangan perlu diadakan menerusi Jawatankuasa Pendamai bagi mengetahui alasan permohonan cerai itu dibuat oleh Aidil selaku plaintif.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad yang mendengar kes itu seterusnya meminta penjelasan Aidil mengenai alasannya untuk menceraikan isterinya dan Aidil yang diwakili oleh peguam syarie, Ahmad Nazib Johari mendakwa, tiada keserasian dan kesefahaman antara dia dan Rita.

Aidil, 25, dan Rita, 36, masing-masing turut mengesahkan mereka tidak tinggal sebumbung sejak empat bulan lalu dan sepanjang tempoh itu tiada sebarang perbincangan dilakukan berhubung isu rumah tangga mereka.

Ahmad Nazib turut menyatakan, pihaknya juga bersetuju untuk mengadakan perbincangan menerusi Jawatankuasa Pendamai.

Sehubungan itu, Wan Mahyuddin memutuskan kedua-dua pihak diberi peluang berdamai dan memerintahkan satu Jawatankuasa Pendamai dilantik daripada setiap seorang daripada ahli keluarga Rita dan Aidil serta diketuai oleh pegawai Pejabat Agama yang akan dilantik oleh mahkamah.

Wan Mahyuddin seterusnya menetapkan sebutan semula kes pada 16 Mei depan bagi melantik jawatankuasa itu.

Dalam prosiding hari ini, Rita yang berjubah hitam dan bertudung hadir bersama ibu bapa serta ahli keluarganya manakala Aidil hadir bersama beberapa orang lelaki dipercayai ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Sejurus selepas prosiding selesai, Aidil meluru keluar dan hanya memberikan komen ringkas: ''Kita tengok nanti, kalau ada jodoh, ada lah.''

Sementara itu, Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohamad @ Mokhtar ketika diajukan oleh pemberita tentang alasannya tidak bersetuju dengan permohonan suaminya itu menyatakan alasan yang diberikan oleh Aidil remeh dan tidak masuk akal.

''Sebelum bercerai saya perlu tahu apa alasan kukuh dia ingin menceraikan saya. Sebelum dia keluar dari rumah kami empat bulan lalu, hubungan kami baik dan tiada pergaduhan berlaku.

''Saya sayangkan rumah tangga saya, anak-anak dan saya ingin perkahwinan ini kekal demi anak-anak kami,'' kata Rita yang popular menerusi filem Anak Mami dan Anak Mami Junior.

Namun, kata Rita, dia reda sekiranya hasil perbincangan kes itu berakhir dengan perceraian namun mahu memastikan hak selepas perceraian dipersetujui oleh kedua-dua pihak dengan baik.

Aidil memfailkan permohonan cerai pada 12 April lalu di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan saman berjaya diserahkan kepada Rita pada 17 April lalu.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Aidil dikatakan mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) menyatakan dia sudah memfailkan perceraian di mahkamah.

Kemelut rumah tangga pasangan terkenal itu tidak berkesudahan sejak pernikahan mereka secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Aidil.

Pada 6 Mei 2010, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM500 atau penjara 15 hari selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah atas tuduhan bernikah tanpa kebenaran mahkamah.

Pada 22 April 2010 juga, mahkamah yang sama mengesahkan pernikahan pasangan itu di negara jiran adalah sah daripada hukum syarak.

Sepanjang perkahwinan itu, pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 1.

- UTUSAN


Gaji Minimum Sektor Swasta RM900

PUTRAJAYA: Gaji bulanan minimum bagi pekerja sektor swasta di Semenanjung ditetapkan pada RM900 dan RM800 bagi Sarawak, Sabah dan Labuan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin.

Ia meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi kecuali mereka yang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan domestik, seperti pembantu rumah dan tukang kebun.

Ia berfungsi kepada RM4.33 sejam bagi para pekerja di Semenanjung manakala pekerja di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dibayar minimum RM3.85 sejam.

Akhirnya, terdapat hanya satu gaji minimum bagi negara ini, katanya, sambil menambah bahawa gaji minimum akan dikaji semula dari semasa ke semasa selaras dengan produktiviti negara, kemampuan dan daya saing.

Gaji minimum yang dijangkakan banyak pihak telah diumumkan oleh Najib pada perhimpunan khas dengan ribuan pekerja sektor swasta di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam Isnin.

“Ini merupakan hadiah khas daripada Kerajaan Persekutuan kepada pekerja seluruh negara yang dicintai," katanya.

Kadar gaji minimum itu akan berkuat kuasa enam bulan dari tarikh Perintah Gaji Minima diwartakan.

Bagaimanapun, katanya, tarikh efektif bagi syarikat kecil atau perusahaan mikro dilanjutkan selama enam bulan lagi bagi memberi mereka ruang dan peluang untuk membuat persediaan supaya perniagaan mereka tidak akan terjejas.

Najib berkata, tempoh 12 bulan tidak meliputi firma profesional seperti klinik pergigian dan perubatan, perundangan, arkitek dan perunding.

Beliau berkata, walaupun mereka mempunyai lima orang pekerja atau kurang, mereka dikehendaki melaksanakan gaji minimum dalam tempoh enam bulan selepas Perintah itu diwartakan.

Beliau menambah, tempoh yang diberikan itu adalah mencukupi untuk majikan menstruktur semula gaji dan operasi perniagaan mereka.

"Kerajaan menyediakan satu mekanisme pelaksanaan yang fleksibel supaya mereka yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh merayu untuk ditangguhkan.

"Kami juga menyediakan satu mekanisme di mana beberapa elaun atau bayaran tunai tetap dibenarkan untuk diserap dalam pengiraan bagi gaji minimum.

"Ini adalah untuk memastikan bahawa pelaksanaannya tidak membebankan majikan dan tidak akan kehilangan pekerja," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, Kerajaan menyedari pekerja menuntut gaji minimum antara RM1,200 dan RM1,500, namun ia tidak dapat dilaksanakan.

Berdasarkan syor Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan dan kajian Bank Dunia, gaji minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi.

"Jika ia melepasi paras RM900 (gaji pokok), ia akan menjejaskan ekonomi, pasaran buruh dan kemasukan pekerja asing.

"Jika ia berlaku, industri tidak boleh beroperasi dengan sewajarnya dan ramai akan kehilangan kerja mereka dan Kerajaan tidak mahu membiarkan perkara ini berlaku kerana ia akan menjejaskan kebajikan pekerja dan kepentingan negara," katanya.

Selepas beberapa siri perbincangan, satu keputusan telah dicapai oleh Majlis itu bahawa gaji minimum akan ditetapkan berdasarkan keperluan asas keluarga pekerja, keupayaan majikan untuk membayar gaji, produktiviti, peningkatan dalam kos sara hidup dan keadaan pasaran buruh.

Beliau berkata, Majlis mengemukakan syornya dan Kerajaan bersetuju dengan pelarasan.

Najib juga menjelaskan perbezaan kadar gaji minimum antara Semenanjung dan Sarawak, Sabah dan Labuan adalah disebabkan perubahan dalam struktur gaji dan kos yang ketara di kawasan itu.

Bagaimanapun, Kerajaan berharap dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, gaji minimum untuk Sabah, Sarawak dan Labuan boleh diselaraskan dengan Semenanjung.

- MSTAR

Sejarah sistem pendidikan Perak

Oleh MUHAMMAD IMRAN SUHAIMI

Pada mulanya, sistem pendidikan yang terdapat di Tanah Melayu hanyalah berdasarkan pengajian berkaitan agama Islam. Oleh sebab itu, telah wujudnya sekolah pondok yang membolehkan masyarakat dahulu mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam.

Bagaimanapun, terdapat kelemahan dalam sistem sekolah pondok ini kerana ia tidak dapat melahirkan golongan Islam yang moden disebabkan tiada penekanan terhadap pelajaran lain selain daripada pelajaran agama Islam.

Sekolah Melayu telah mula ditubuhkan pada sekitar 1800-an dengan tujuan utama untuk membasmi buta huruf dalam kalangan kanak-kanak Melayu seramai yang mungkin.

Justeru, tiada had umur minimum kanak-kanak yang belajar di sekolah Melayu di Perak pada ketika itu. Secara purata umur kanak-kanak ke sekolah di Perak pada tahun 1890 ialah 9.2 tahun dan tiada yang di bawah umur 6 tahun. Namun demikian, ada yang berumur 18 tahun.

Pada lazimnya, di Perak, sekolah Melayu ditubuhkan apabila ada permintaan daripada penghulu mukim atau ketua kampung supaya sekolah Melayu diwujudkan. Biasanya sekolah-sekolah tersebut diwujudkan dengan syarat tidak kurang daripada 20 orang murid.

Pada zaman awal pemerintahan Inggeris pula penubuhan sekolah Melayu bertujuan memberikan pelajaran kepada anak-anak Melayu menerusi bahasa ibunda mereka.

Pada ketika itu, anak-anak Melayu perlu menerima pelajaran demi mencari nafkah sebagai nelayan, petani, penoreh getah, pekedai, dan yang berkaitan dengan pekerjaan kampung.

Untuk mencapai tujuan ini, mata pelajaran yang diajarkan dihadkan kepada sistem 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira, termasuk ilmu asas, dan karangan.

Perkembangan sekolah Melayu mencatat sejarah penting pada 1916 melalui laporan seorang pegawai pentadbir Malaya, R.O. Winstedt yang menjadi satu titik pemisahan antara zaman permulaan sekolah Melayu dengan zaman awal pemerintahan Inggeris.

Beliau mengesyorkan untuk menubuhkan sebuah maktab perguruan tunggal bagi semua guru pelatih di Tanah Melayu dan merangka satu polisi mewujudkan satu sistem pelajaran yang baik bagi Sekolah Rendah Melayu, iaitu kurikulum yang berhubung rapat dengan alam keliling kanak-kanak Melayu.

Setelah kedatangan penjajah iaitu Inggeris, sekolah vernakular ditubuhkan di Tanah Melayu.

Sekolah vernakular merupakan sekolah yang menggunakan bahasa ibunda untuk melaksanakan urusan pengajaran dan pembelajaran mereka.

Terdapat tiga jenis sekolah vernakular iaitu sekolah Melayu, sekolah Tamil dan Sekolah Cina. Sekolah Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bagi sekolah Tamil dan sekolah Cina, bahasa Tamil dan bahasa Cina digunakan sebagai bahasa pengantar.

Guru-guru sekolah Melayu terdiri daripada orang Melayu sendiri manakala bagi sekolah Cina dan Tamil, guru-guru dan buku teks diimport dari China dan India.

Oleh sebab kekurangan guru-guru Melayu, Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) ditubuhkan di Tanjung Malim pada tahun 1922.

Sekolah vernakular Cina ditubuhkan pada tahun 1815 oleh kumpulan pendakwah baru Persatuan Mubaligh London dan oleh orang perseorangan. Contoh sekolah vernakular di Perak ialah SJK (C) Hua Lian, Tanjung, Perak.

Sekolah Tamil yang pertama di Perak ditubuh pada 1900 iaitu Sekolah Tamil Simpang Lima, berhampiran Parit Buntar.

Sementara Sekolah Matang Gelugor, di Matang pula menjadi sekolah Melayu pertama didirikan di negeri Perak pada 1826.

Sekolah Inggeris kerajaan juga telah ditubuhkan di negeri Perak. Sekolah Inggeris kerajaan pertama di Perak adalah Government Central School.

Pada tahun 1901, namanya ditukar kepada Sekolah King Edward VII. Sekolah Menengah King Edward VII, merupakan sekolah perdana dan antara sekolah lelaki tertua di Malaysia.

Central School atau Sekolah Pusat ditubuh pada Julai 1883 berpunca daripada perkembangan pesat perlombongan bijih timah terutama di Kamunting.

Guru Besar kedua Sekolah Pusat, R.F. Stainer mencadangkan nama sekolah itu ditukar kepada Sekolah King Edward VII bersempena dengan pertabalan King Edward VII yang menaiki takhta England pada 1901 selepas kemangkatan Queen Victoria.

Sekolah Inggeris juga telah ditubuhkan di Kuala Kangsar pada tahun 1905 iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar ( MCKK), atas cadangan R.J. Wilkinson, pegawai pendidikan jajahan pada masa itu yang disokong sepenuhnya oleh Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I (1886-1916).

Pada awalnya penubuhan sekolah ini adalah untuk mendidik dan melatih golongan elit Melayu, yang terdiri daripada kerabat diraja.

Bagaimanapun, selepas kebangkitan nasionalisme orang Melayu pada sekitar tahun 1947, syarat kemasukan ke sekolah ini dilonggarkan dan semakin ramai anak orang kebanyakan dapat peluang menuntut di MCKK.

Pengetua Melayu pertama MCKK ialah Abdul Aziz Ismail yang dilantik sempena ulang tahun ke-60 kolej itu. Sebelum beliau, jawatan disandang oleh pengetua dari Britain sehingga tahun 1965.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford terletak di Kuala Kangsar, Perak dan antara yang tertua di Malaysia. SMK Clifford, Kuala Kangsar ini berasal daripada sekolah Melayu yang didirikan pada bulan Disember 1897.

Sehingga tahun 1905, sekolah ini mencatatkan rekod menjadi sekolah campuran yang pertama di Perak mempunyai pelajar perempuan.

Pada tahun 1928, sekolah ini mendapat namanya yang baru dikenali sebagai 'Sekolah Clifford' mengambil nama Gabenor Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Malaya ketika itu, Sir Hugh Clifford.

Ketika perang Dunia II, sekolah ini bertukar status menjadi markas tentera Jepun sehingga tahun 1946.

Sekolah Cliford mula menawarkan mata pelajaran sains pada tahun 1946 dan dalam tahun-tahun 1940-an menunjukkan prestasi yang cukup baik dalam aspek peperiksaan.

Senior Cambridge juga menyaksikan ramai lepasannya berpeluang belajar di institusi pengajian tinggi seperti Kolej Perubatan Raffles Singapura, Kolej Pertanian Serdang dan universiti luar negeri khususnya di Britain.

Pada usia meningkat 100 tahun, sesungguhnya Sekolah Clifford amat bertuah kerana dipilih menjadi salah sebuah perintis Sekolah Bestari.

Sekolah agama juga telah diwujudkan di Negeri Perak. Pada April 1922, bersamaan 1340 Hijrah, telah terbinanya sekolah agama yang pertama di Perak iaitu Madrasah Idrisiah. Ia dibina pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar Qaddassallah Shah. Nama Idrisiah ini ada hubung kait dengan nama Almarhum Sultan idris Murshidul 'Adzam Shah.

Dengan adanya sekolah agama ini, fungsi sekolah pondok dapat digantikan serta dapat menghasilkan golongan Islam yang mampu bersaing kerana terdapatnya kemudahan pembelajaran yang tidak terdapat di sekolah pondok.

- UTUSAN

Staf syarikat antarabangsa


JARUM jam menunjukkan pukul 5.30 pagi. Suasana di sekitar kawasan komersial Damansara Uptown, Petaling Jaya di sini tampak lengang dan sunyi. Kebanyakan premis perniagaan dan pejabat masih lagi bergelap kecuali beberapa buah restoran dan kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam.

Bagaimanapun, pejabat pusat perkhidmatan pelanggan syarikat perkhidmatan kiriman pantas antarabangsa, FedEx Express yang terletak di tingkat lapan, Tower B, Uptown Lima itu sudah terang-benderang.

Biarpun masih awal pagi, suasana di dalamnya meriah dengan kehadiran beberapa kakitangan yang tekun menjalankan tugas masing-masing.

Ada yang sedang menaip sesuatu di komputer, menyelak fail dan tidak kurang juga yang leka menjawab panggilan telefon yang datang bertali-arus.

Ibrahim Halim tidak terkecuali. Sejak tadi dia sibuk membuka dan membalas e-mel yang diterima daripada cawangan-cawangan syarikat itu di seluruh dunia.

Selaku penyelia di situ, dia juga bertanggungjawab menguruskan kakitangan dan persekitaran tempat kerja, memastikan sistem dan pelayan komunikasi berjalan lancar serta membuat laporan harian.

"Di sini kami menguruskan operasi bagi empat buah negara di rantau Asia Pasifik iaitu Malaysia, Singapura, Australia dan New Zealand.

"Saya bertanggungjawab menyelia operasi di Australia dan New Zealand. Jurang geografi menyebabkan kakitangan di unit ini masuk kerja lebih awal iaitu sekitar pukul 3 pagi dan 5 pagi," kata lelaki berusia 33 tahun itu.

FedEx Express merupakan sebuah syarikat perkhidmatan kiriman pantas yang beroperasi di peringkat antarabangsa sejak lebih 40 tahun lalu.

Penghantaran dokumen atau barang oleh FedEx Express berbeza daripada syarikat lain kerana ia tidak melibatkan kiriman domestik. Ini bermakna, ia hanya mengendalikan penghantaran dokumen dari sebuah negara ke sebuah negara lain.

Secara puratanya, FedEx Express mengendalikan kira-kira 3.6 juta penghantaran di seluruh dunia sehari.

Bertugas sebelum subuh

Memulakan kerjaya di syarikat itu pada tahun 2007 sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan, lelaki yang berasal dari Sandakan, Sabah itu selesa dengan waktu bekerja yang berbeza berbanding sebahagian besar pekerja di negara ini.

Katanya, ketika orang lain sedang lena dibuai mimpi, dia bersama beberapa kakitangannya bertungkus-lumus menyelesaikan pelbagai kerenah pelanggan setiap hari.

"Pada peringkat awal dahulu, sesiapa sahaja pasti sukar menyesuaikan diri dengan waktu kerja begini. Macam saya, terpaksa tidur awal serta bangun awal pagi, tetapi lama-kelamaan alah bisa tegal biasa.

"Cuma apa yang paling menyeronokkan, saya tidak perlu meredah kesesakkan trafik seperti yang lazim dialami warga kota setiap kali pergi atau pulang ke tempat kerja," ujarnya sudah berkahwin dan kini dikurniakan seorang cahaya mata, Nadine Iman, 11 bulan.

Ibrahim memberitahu, selain waktu kerja yang berbeza dia juga terpaksa mengorbankan cuti umum dan cuti perayaan yang lazim diraikan di negara ini.

"Orang lain seronok bercuti tetapi kami harus bekerja. Selalunya kami akan bercuti agak panjang sedikit ketika perayaan Krismas dan tahun baharu mengikut negara-negara yang diselia," katanya.

Jelasnya, ketika bujang dahulu dia pernah beberapa kali bekerja ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Ketika itu, kami semua melaram dengan baju raya, masing-masing turut membawa pelbagai juadah seperti ketupat, lemang, rendang, lontong dan aneka kuih-muih.

"Lagu-lagu raya yang berkumandang menyebabkan kemeriahannya tetap dirasai, biarpun tanpa kehadiran ahli-ahli keluarga di sisi," ujarnya sambil mengimbau kenangan-kenangan lalu.

Ujarnya, dia bersyukur isterinya, Ayda Rafflee, 31, memahami tugas yang dipikulnya selama ini.

Katanya, komunikasi dan perancangan awal penting bagi memastikan perjalanan dan keperluan rumah tangganya berjalan lancar.

"Selalunya, setiap pagi isteri yang hantar anak ke rumah pengasuh, saya pula akan ambil ketika pulang bekerja sekitar pukul 4 petang.

"Kesempatan yang ada juga, saya gunakan untuk membeli keperluan rumah dan anak-anak atau menguruskan pelbagai urusan harian seperti berurusan bank, pejabat pos atau di pejabat-pejabat kerajaan," jelasnya yang menetap di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Jaga rantau Eropah

Sementara itu, Siti Sakinah Abdul Rahim, 29, berkata, dia berbangga kerana berpeluang menimba pengalaman bekerja dengan dua buah syarikat asing di negara ini sebelum ini.

Katanya, dia pernah bekerja selama tiga tahun dengan sebuah syarikat telekomunikasi dan kini bekerja di syarikat komputer gergasi, International Business Machines (IBM) sejak setahun setengah yang lalu.

Kakitangan di bahagian pengurusan dan pentadbiran itu berkata, urusan kerjanya bermula pada pukul 3 petang sebelum berakhir pada tengah malam.

"Jadual waktu saya perlu mengikut syarikat-syarikat induk di Eropah. Ada juga pasukan lain yang masuk bekerja di sebelah pagi dan malam bergantung kepada rantau-rantau yang terlibat," katanya.

Beliau mengakui banyak mempelajari budaya organisasi yang dibawa untuk diterapkan dalam pekerjaannya.

"Biarpun bekerja dari petang sehingga ke tengah malam kerana saya berurusan dengan negara-negara di Eropah, namun sistem bekerjanya agak fleksibel.

"Misalnya, seminggu sekali kakitangan dibenarkan bekerja di luar pejabat.

"Hubungan pekerja dan ketua juga sangat rapat, kami boleh berjumpa ketua pada bila-bila masa untuk berbincang sebarang masalah yang timbul," katanya.

Sudah berkahwin dan kini dikurniakan cahaya mata perempuan, Sofea Aleysha, empat bulan, Siti Sakinah berkata, dia agak beruntung kerana menetap bersama keluarganya di Hulu Langat, Selangor.

"Saya akui masa bersama keluarga agak terhad, bagaimanapun saya akan memastikan setiap kali cuti, saya akan meluangkan masa sepenuhnya bersama mereka termasuk bercuti ke lokasi-lokasi menarik di negara ini," katanya.

Bagi Mohd. Adli Mazlan, 30, ingin menimba pengalaman dalam bidang baharu mendorong dia bekerja di sebuah institusi pelaburan antarabangsa, RBC Dexia yang terletak di Cyberjaya.

Graduan Pengurusan Perniagaan di Dublin Bussiness School hanya menganggur selama dua bulan sebelum ditawarkan bekerja di institusi yang berpangkalan di Luxembourg itu.

"Antara tugas saya setiap hari ialah memantau, menganalisis dan memproses nilai saham amanah untuk pelanggan-pelanggan.

"Pekerjaan ini sememangnya sangat mencabar dan masih baru di negara ini. Saya perlu peka dengan perkembangan pasaran dan situasi semasa di samping sentiasa mematuhi tarikh ajal kerja yang ditetapkan," katanya.

Ujarnya, selain tawaran gaji yang tinggi, antara faktor yang menyebabkan dia seronok bekerja di situ adalah faktor rakan setugas yang rata-ratanya terdiri daripada warga asing.

"Biarpun ada antara rakan setugas yang datang dari pelbagai negara di dunia, namun kami tetap bekerja sebagai satu pasukan.

"Selepas seharian memerah otak di pejabat, kami lazimnya menghabiskan masa berlepak bersama-sama untuk melepaskan tekanan. Secara tidak langsung, ia membolehkan saya mengenali sosio dan budaya mereka dengan lebih dekat," ujarnya.

- KOSMO!

 

One Trade Centre tertinggi di Tapak Tuntuhan WTC


NEW YORK - Bangunan One World Trade Centre yang menggantikan bangunan berkembar World Trade Centre (WTC) diumumkan sebagai bangunan pencakar langit tertinggi New York semalam.

Ketinggian bangunan baharu itu hanya melebihi 381 meter daripada bangunan Empire State di sini selepas para pekerja memasang beberapa tiang besi di atas menara itu.

One World Trade Center kini menjadi mercu tanda kebanggaan bandar raya New York dan pembinaannya bakal siap pada hujung tahun depan.

Menara itu setinggi 541.3 meter dan memiliki 104 tingkat jika siap sepenuhnya.

Ia juga lebih tinggi berbanding WTC yang runtuh akibat serangan pengganas pada 11 September 2001 yang mengorbankan hampir 3,000 orang.

Bangunan tertinggi di dunia kekal milik Burj Khalifa di Dubai yang setinggi 828 meter.

Namun, One World Trade Center akan menjadi bangunan tertinggi di barat AS.

- AFP
 

Google Maps pelbagai fungsi



BAGI mereka yang tidak arif tentang arah mahupun tanda tempat atau lokasi di sekitar Kuala Lumpur, Google Maps sememangnya menjadi pilihan dalam membantu menyelesaikan masalah mereka.

Sedar akan pengaruhnya kepada pengguna khususnya yang menetap di sekitar ibu kota, Google Malaysia baru-baru ini memperkenalkan tiga penambahan utama kepada aplikasi tersebut.

Penambahbaikan ini bertujuan memudahkan pengguna di Malaysia merancang perjalanan dengan lebih teratur sekali gus membantu mereka mencari maklumat tepat mengenai keadaan semasa.

Menurut Pengurus Negara Google Malaysia, Sajith Sivanandan, penambahan yang dilakukan adalah dengan memperkenalkan aplikasi bagi trafik dan transit serta paparan antara muka dalam bahasa Malaysia.

Katanya, dengan membuka ciri trafik dalam Maps, pengguna dibekalkan dengan maklumat dan data mengenai kesesakan lalu lintas yang berlaku berdasarkan kod warna yang ditetapkan pada laluan tersebut.

"Tiga kod warna akan menjadi panduan kepada pengguna dengan warna merah menunjukkan jalan sesak, kuning bagi bergerak perlahan dan hijau bagi aliran lancar.

"Lapisan baru ini memudahkan pengguna khususnya pemandu kenderaan untuk merancang laluan alternatif ke destinasi yang ingin dituju," katanya pada majlis memperkenalkan aplikasi terbaru itu kepada media baru-baru ini.

Tambahnya, pemandu yang sudah biasa dengan jalan-jalan tertentu juga boleh menggunakan maklumat yang disediakan untuk merancang laluan alternatif ke destinasi yang diingini.

Turut dimuatkan dalam aplikasi terbaru ini adalah ciri transit yang memberikan maklumat berkaitan perjalanan pengangkutan awam khususnya sekitar Kuala Lumpur.

Google Maps menawarkan maklumat mengenai pengangkutan awam secara menyeluruh termasuk pilihan bas awam, monorel, komuter mahupun Transit Aliran Ringan (LRT).

Ciri transit ini juga menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna sebagai bantuan kepada mereka untuk mengelak kesesakan lalu lintas dengan menggunakan pengangkutan awam yang lebih efisien.

Selain itu, pengenalan kepada pilihan antaramuka dalam Bahasa Malaysia dilihat sebagai inisiatif dalam menempatkan Google Maps untuk dimanfaatkan oleh pengguna.

Pengguna kini boleh mengakses aplikasi tersebut dengan lebih berkesan dan selesa sekali gus bertepatan dengan kehendak mereka.

Bagi data trafik dan transit, ia diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) , pembekal data swasta serta pengguna Maps itu sendiri.

- UTUSAN
 

Isnin, April 30, 2012

Panggilan Temuduga Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) KPLSPM Ambilan Jun 2012

Semakan Keputusan Panggilan Temuduga  bagi  Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian (PISMP) Ambilan Jun 2012 untuk Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh dibuat di : http://apps.moe.gov.my/kplspm/kplspmjun2012/temuduga/login.cfm

Bahagian Pendidikan Guru
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM)
http://www.moe.gov.my

Bank Negara tawar Biasiswa Kijang Emas


PELAJAR cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011, Wardah Shafiqah Mohammad Fadil, 18, menerima hadiah hari lahir istimewa tahun ini apabila tersenarai sebagai penerima Anugerah Biasiswa Kijang Emas, Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melanjutkan pengajian ke universiti, di Bilik Kijang Emas, BNM, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Beliau yang dilahirkan pada 25 April 1994 adalah seorang daripada lima penerima biasiswa berprestij yang disampaikan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Wardah Shafiqah yang bercita-cita menjadi pakar Geofizik berhasrat melanjutkan pengajian di luar negara terutama universiti ternama di Amerika Syarikat dan kemudian mahu mempraktikkan kepakarannya dalam industri gas, cari gali minyak atau pensyarah.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fatimah, Johor Bahru itu berkata, selepas memperoleh 9A+ dan 1A dalam SPM tahun lalu, beliau memohon antara tujuh hingga lapan biasiswa daripada pelbagai agensi dan memutuskan untuk menerima tawaran Biasiswa Kijang Emas, BNM.

“Saya gembira menerima Biasiswa Kijang Emas dan menganggapnya sebagai hadiah ulang tahun Ke-18,” katanya yang turut menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, Perak.

Empat lagi penerima biasiswa ialah bekas pelajar SMK Convent, Teluk Intan, Perak, Turga Ganapathy; Kwong Kien Yi (SMK Clifford, Kuala Lumpur); Adnan Zikri Jaafar (SMK Agama Persekutuan, Labu, Negeri, Sembilan); dan Pavithran a/l Maniam (SMK Damansara Utama, Petaling Jaya).
Seramai 2,900 pelajar cemerlang SPM memohon biasiswa itu tahun ini dan daripada jumlah berkenaan 24 orang disenarai pendek sebelum memuktamadkan lima penerima yang turut membuat penilaian pembabitan mereka dalam kokurikulum meliputi sukan.

Sehingga kini, seramai 39 pelajar cemerlang menerima anugerah biasiswa berkenaan masing-masing tiga pelajar pada 2005, 2006 dan 2011, lima pelajar (2007, 2009, 2010 dan tahun ini) serta 10 pelajar pada 2008.

Wardah Shafiqah, adalah anak kedua daripada empat beradik kepada pasangan Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, Dr Mohammad Fadil Abdul Wahab, 46, dan bekas akauntan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Nora Asimah Sabran, 46.

Mengenai rahsia kejayaannya, beliau mengamalkan pembelajaran lewat malam sambil mendengar muzik sebagai halwa telinga, selain mengikuti jadual belajar ditetapkan serta membuat kerja rumah di sekolah berasrama penuh iaitu waktu petang dan malam.

“Bagaimanapun, setiap pelajar mempunyai cara tersendiri untuk belajar dan ini terpulang kepada keserasian diri masing-masing,” katanya yang masih terkilan kerana gagal memperoleh A+ subjek Bahasa Malaysia untuk membolehkannya merangkul semua A+ dalam peperiksaan itu.

Dalam pada itu, Adnan Zikri yang memperoleh 11A+ berhasrat melanjutkan pengajian dalam Pengajian Islam dan Arab di Universiti Oxford, United Kingdom (UK) untuk memudahkannya membuat kajian Islam di Timur dan Barat.

Turga yang memperoleh 9A+ mahu mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar pula pada awalnya terkejut dengan tawaran Biasiswa Kijang Emas yang mirip jata Kelantan serta tidak menyangka ia dianugerahkan BNM.

- BERITA HARIAN
 

Recent Posts