Selasa, April 24, 2012

JPN perjelas isu 'MyKad' bertarikh luput


Gambar 'Mykad' dengan perkataan "Pemastautin Sementara" dan mempunyai tarikh luput bersebar luas di Internet sejak termuat di Facebook minggu lepas.

Dikatakan dikeluarkan kepada warganegara Burma, perkara itu menimbulkan persoalan sama ada warga asing diberi kerakyatan dan sama ada ia boleh digunakan dalam pilihan raya umum akan datang.

Semakan dengan pangkalan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan pemegang MyKad itu bukan pengundi berdaftar.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagaimanapun menjelaskan hari ini bahawa MyKad ini sebagai versi kad lama pemastautin sementara yang dikeluarkan pada 2001.

"Pada masa itu, kerajaan tidak mempunyai pelbagai jenis kad untuk warganegara, permautautin tetap dan pemastautin sementara," kata JPN dalam kenyataannya kepada Malaysiakini.

- MALAYSIAKINI

 

Habbatus Sauda ubat pelbagai penyakit


Habbatus sauda ialah sejenis tumbuhan yang banyak didapati di kawasan Mediterranean dan di kawasan yang beriklim gurun. Banyak kajian telah dijalankan, bagaimanapun kebanyakkannya ditulis di dalam Bahasa Arab. Oleh itu pendedahan terhadap dunia antarabangsa tidak banyak dibuat.

Habbatus sauda digunakan secara tradisional untuk beberapa keadaan seperti untuk menghasilkan kulit muka yang cerah, membantu merawat batuk dan asma, kencing manis, selsema, keguguran rambut, tekanan darah tinggi, masalah untuk tidur, sakit-sakit otot dan sendi, rasa loya dan muntah, mengurangkan kolesterol, merawat batu karang dan sebagainya.

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda dalam Haditsnya yang dikutip dari kitab Ash Shahihain “‘Gunakanlah Habbatus Sauda’ kerana di dalamnya terdapat sejenis ubat dari segala jenis macam penyakit kecuali As Sam (maut)” (HR.Bukhari, Muslim)

Ibnu Sina di dalam bukunya Canon of Medicine menyatakan Habbatus Sauda merangsang tenaga dan membantu pemulihan kepenatan dan semangat. Ibnu Qayyim di dalam bukunya Medicine of the Prophet menyatakan Habbatus Sauda berupaya memulihkan penyakit-penyakit seperti batuk, bronchitits, masalah perut, kecacingan, masalah kulit seperti jerawat, sakit senggugut dan haid yang lain, menambah susu badan, menambah pengaliran air liur dan sebagainya.

Dr. Ahmad Elkadi pula membuat kajian dan mendapati Habbatus Sauda mempertingkatkan daya tahan sakit (immune system). Antara bahan-bahan kandungan Habbatus Sauda ialah Fixed Oil (saturated dan unsaturated), Minyak-minyak Asas (sterol, thymohydroquinone, carvone, limonine, cymene), Alkaloids, Saponin dan Asid Amino.

Dalam kitab Al Tibb An-Nabawi (Pengobatan Cara Nabi) yang ditulis Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah, Habbatus Sauda’ dikenal juga sebagai Al Habbah Al Barokah. Dalam kitab tersebut disebutkan bahwa Habbatus Sauda’ dapat mengubati 50 macam penyakit tanpa kesan.

Suatu ulasan ilmu kedoktoran menampilkan bahawa kandungan Habbatus Sauda’ antara lain :-
  1. Antiinflamasi, mengubati perih/radang tenggorokan.
  2. Antiarthritis, mengubati reumatik.
  3. Analgesik, mengubati sakit gigi dan sakit kepala (migrain).
  4. Aktivitas hormon, mengatur haid dan meningkatkan aliran susu.
  5. Antiseptik, mengubati bau mulut.
  6. Antivirus, mengubati demam dan flu.
  7. Dermatologi, mengubati jerawat dan eksim.
  8. Urinary tract, mengubati saluran kemih dan batu ginjal.
  9. Sistem kekebalan, meningkatkan daya tahan tubuh untuk menangkal penyakit.
  10. Gastrointestinal tract, mengubati mabuk, diare, kejang konstipasi, dan hempedu.
  11. Sistem sirkulasi, meningkatkan kinerja jantung.
  12. Nematocidal, mengubati cacing pita.
  13. Respiratory tract, mengubati sesak nafas (asma).
Sumber : HPA Online

Guru lebih stres dan perlukan Fisioterapi

Oleh NOOR HAMIZAH ABU BAKAR
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM

RAMAI yang pasti terkejut apabila mengetahui hasil kajian mendapati bahawa guru berada di kedudukan keempat dalam kerjaya yang paling mencetuskan tekanan atau stres terutama dari segi fizikal selepas polis, pegawai penjara dan jururawat.

Malah kedudukan itu berada di atas daripada profesion tentera yang menduduki tempat ke lima.

"Kedudukan guru sebelum askar agak mengejutkan. Ini menunjukkan seorang guru berdiri lama ketika mengajar di dalam kelas atau melakukan aktiviti sukan dan sebagai. Jadi tidak mustahil mereka mengalami tekanan seperti kesakitan anggota badan," kata Pengarah Urusan Great Life Physio and Rehabilation, Mohd. Rozaimi Che Kamaruddinata.

Didorong perkembangan itu beliau berkata, sebagai syarikat yang mengendalikan pusat rawatan fisioterapi, pihaknya telah memperkenalkan program latihan fisioterapi khas untuk golongan guru di sekolah-sekolah seluruh negara.

Katanya, program itu disediakan khas oleh pakar-pakar fisioterapi untuk para guru dalam memberi panduan bagaimana menguruskan stres dan kesakitan anggota badan semasa bertugas.

"Matlamat program ini adalah untuk memperkenalkan kepada masyarakat bahawa rawatan terbaik dalam penyelesaian kesihatan terutamanya berkaitan stres dalam pekerjaan ialah melalui fisioterapi," katanya.

Beliau mengakui, kekangan masa bagi mereka yang bekerja untuk bersenam atau melakukan aktiviti sukan boleh menyebabkan seseorang itu kelihatan lesu dan tidak bermaya.

Ini ditambah pula dengan tekanan yang dihadapi sama ada ketika di tempat kerja mahupun di rumah.

"Fisioterapi adalah salah satu rawatan atau kaedah yang boleh dilakukan oleh semua orang dalam menghadapi tekanan dalam kerja.

"Secara umumnya fisioterapi merupakan kaedah rawatan penyakit atau kecederaan melalui penyembuhan semula jadi badan. Kaedah ini tidak menyakitkan dan tiada ubat digunakan, ia lebih kepada proses pemulihan dan pencegahan," katanya.

Dalam pada itu program pertama latihan fisioterapi di sekolah berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini membabitkan 135 guru dan kakitangan sekolah.

Pengetuanya, Siti Endon Mohamad Dahlan berpendapat program itu baik dalam membantu guru-guru dan sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada mereka.

"Rawatan ini adalah mudah dan boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat terutama yang bekerja. Sedikit sebanyak ia membantu melahirkan kualiti kerja yang bermutu," katanya.

Melalui program tersebut, guru-guru telah didedahkan secara teori dan praktikal daripada aspek fisioterapi oleh kakitangan Great Life Physio and Rehabilation dengan kerjasama pelajar Masterskill.

Sesi ceramah telah diberikan oleh Pakar Fisioterapi Great Life Physio and Rehabilation, Siti Fazilah Jamaluddin, yang menerangkan beberapa aspek mengenai stres yang boleh mengakibatkan seperti pening, sakit belakang, lemah sistem pertahanan badan, mengganggu mutu kerja dan juga boleh berlaku serangan jantung serta obesiti.

Selain itu, tanda-tanda stres boleh dikenal pasti menerusi degupan jantung yang laju, ketegangan otot, proses pernafasan menjadi cepat, berpeluh dan terasa perut kurang selesa, loya dan cirit.

Fazilah menjelaskan antara faktornya adalah disebabkan penat, kurang tidur, postur badan ketika bekerja, bebanan kerja, suasana tempat kerja, skop kerja dan sebagainya.

Malah beliau berharap supaya masyarakat menerima rawatan fisioterapi ini sebagai satu alternatif perubatan dalam kehidupan.

- UTUSAN

Kalogen - Kulit tegang dan lebih cerah

KOLAGEN merupakan elemen penting dalam mengekalkan kecantikan seseorang terutama mereka yang mengidamkan kulit tegang, anjal, cerah dan menawan.

Pengambilan kolagen merupakan pengganti kepada suntikan dalam mendapatkan wajah dan bentuk badan idaman.

Selain itu, suntikan pula kadang-kadang boleh mendatangkan pelbagai kesan sampingan yang memudaratkan.

Kini produk yang mengandungi kalogen boleh didapati secara meluas di pasaran di seluruh negara.

Salah satunya ialah jenama CollaB'utee yang merupakan produk kolagen terbaik untuk golongan lelaki dan wanita.

Ia mengandungi komponen antioksidan Vitamin C yang mampu mengelakkan kulit menjadi kering, mengurangkan kedutan dan menambahkan seri di wajah.

Produk ini terbukti apabila kebanyakan pengguna dapat merasai sendiri perubahan positif kepada diri mereka kerana produk yang dirumus dari Jepun itu mempunyai pelbagai kelebihan.

Antaranya memulihkan keanjalan dan keremajaan kulit, menghilangkan garis halus dan kedutan, membaikpulih sel kulit, menegang dan menggebukan kulit serta mengurangkan pigmentasi.

Produk itu juga membantu mencerahkan kulit, menambahkan kelembapan kulit, melindungi kulit daripada radiasi UV yang berbahaya dan untuk wanita ia turut membantu menegangkan payu dara.

Selain itu, CollaB'utee mengandungi oksidan yang meneutralkan serangan radikal bebas dan memelihara kulit dari dalam, merangsang pertumbuhan kolagen serta menghalang oksidasi sel.

Minuman kolagen halal ini boleh diambil dengan cara mencampurkan satu paket kandungannya dengan air mineral sejuk dan minum sebelum sarapan dan sebelum tidur.

Selain itu, ia juga boleh dicampur dengan jus buah-buahan bagi mempelbagaikan cara pengambilan.

CollaB'utee merupakan minuman kecantikan dan kesihatan yang berasaskan hidrolisis kolagen laut yang mengandungi ramuan yang istimewa.

Setiap pek 10 gram Collab'utee yang dirumus khas dari Jepun terdiri daripada kolagen, vitamin C dan berperisa strawberi.

Golongan yang disarankan untuk mengambil CollaB'utee ialah wanita berusia 25 tahun ke atas, Wanita yang mengidamkan payu dara montok, ingin kulit muka yang berseri dan gebu serta mereka yang mahu menegangkan dan mengurangkan kedutan kulit.

Selain itu wanita yang terdedah kepada pancaran matahari terik juga disaran mengamalkan produk ini selain mereka yang mengalami masalah hormon kurang stabil.

Malah pengambilan produk ini juga boleh membantu mengatasi tona kulit yang tidak sekata dan membebaskannya dari pigmentasi dan jeragat.

CollaB'utee dirumus daripada bahan aktif yang merupakan sumber kolagen dari ikan laut dalam dengan daya keterlarutan tinggi, mudah dihadam dan berdaya serapan kelembapan yang rendah.

Ia turut mengandungi L-Arginine, iaitu bahan utama bagi pembaikpulih tisu dan tulang yang rosak.

L-Lysine yang terdapat dalam CollaB'utee pula merupakan asid amino untuk pertumbuhan dan pemulihan tisu badan.

Bahan aktif lain yang terdapat dalam produk ini ialah oligo bagi membersihkan usus dan melegakan sembelit.

Protein soya yang terdapat di dalamnya pula bagi pembinaan semula sel badan sementara pati soya atau isoflavones membantu menegangkan payu dara dan menyeimbangkan hormon.

Turut terkandung dalamnya ialah bahan antioksidan dan multivitamin yang melindungi tubuh dari radikal bebas, tekanan oksidatif dan membenarkan molekul kolagen terbentuk.

Ia merupakan elemen penting dalam pembinaan semula tisu parut, salur darah dan pembentukan tulang rawan.

Mereka yang berminat untuk mencuba produk ini atau menjadi pengedar boleh melayari www.SunFabulous.com

Pesta Air Malaysia Port Dickson 4-6 Mei 2012

 SEREMBAN: Pesta Air Malaysia Port Dickson 2012 akan berlangsung di Pantai Cahaya selama tiga hari mulai 4 Mei sehingga 6 Mei 2012 ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail, berkata pelbagai aktiviti menarik dianjurkan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke pesta tersebut.

Antaranya ialah cabaran ski air antarabangsa, larian pantai di sebelah malam, cabaran paintball, acara sukan, karnival memancing, pertandingan band dan konsert.

Beliau berkata, lebih RM80,000 hadiah berbentuk wang tunai dan sagu hati berserta trofi ditawarkan.

Mohammad Razi berkata, lebih 130,000 orang dijangka mengunjungi pesta tersebut yang dianjurkan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Sembilan dengan kerjasama kerajaan negeri.

- BERNAMA

Hargai pengorbanan polis


Oleh DR. RUSINAH SIRON
Uniten, Bangi

BUKAN mudah untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara kita Malaysia yang tercinta. Kita sebagai rakyat Malaysia sudah semestinya perlu memberi penghargaan kepada semua anggota keselamatan yang membantu kita rakyat Malaysia dapat tidur lena dan terjaga dari tidur dengan harapan dapat meneruskan kehidupan dengan jaya.

Indeks jenayah di Malaysia semakin menurun seperti mana pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. Ia sudah tentu melegakan hati dan perasaan masyarakat yang sentiasa takut dan bimbang dengan perbuatan jenayah seperti pembunuhan, penculikan, rompakan, pergaduhan, penyeludupan dan pelbagai lagi aktiviti jenayah yang tidak ada kesudahannya tetapi boleh dikawal peningkatannya.

Terima kasih kepada semua anggota polis yang berpanas, berhujan dan berembun merentas kesesakan jalan raya, banjir kilat, guruh petir, sungai dan parit, lembah dan lurah serta hutan dan belantara untuk mengejar, mencari, menangkap dan menyelesaikan kes jenayah. Tambahan lagi pelbagai cubaan dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh anggota polis dalam menjalankan tugasan mereka yang terdedah kepada pelbagai bahaya.

Kita sebagai ahli masyarakat sudah sepatutnya menghargai tugas dan peranan polis dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara daripada jenayah dan keganasan. Apabila bercakap tentang polis, apa yang tergambar dalam fikiran kita dan apakah persepsi ahli masyarakat terhadap polis?

Ada yang berfikiran positif dan sentiasa memberi sokongan serta penghargaan di atas jasa dan pengorbanan mereka. Tidak kurang juga masyarakat yang membuat persepsi negatif dengan tindakan polis yang dikatakan memberi impak negatif kepada sesetengah golongan masyarakat.

Persepsi negatif ini adakalanya memberi implikasi terhadap kepercayaan masyarakat kepada polis sedangkan persepsi ini ada kalanya tanpa justifikasi yang relevan dengan data dan fakta tepat, hanya berfokuskan kepada emosi.

Walau apa pun persepsi positif dan negatif yang ada dalam pemikiran masyarakat terhadap polis, marilah kita berganding bahu membantu polis memerangi jenayah bagi memastikan negara kita jenayah sifar, rakyat hidup dengan aman dan damai.

Marilah kita sama-sama memberi tabik hormat di atas jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh warga polis dengan menghargai tugas polis itu, iaitu:

P - Prihatin terhadap tugas dan tanggungjawab polis dan sentiasa memberi perhatian dan kerjasama dalam membantu pihak polis menjalankan tugas menjaga keamanan negara.

O - Operasi yang dijalankan pihak polis sudah tentunya akan melibatkan pelbagai versi dan variasi siasatan dan terdedah kepada bahaya dan ancaman. Jadi kita sebagai ahli masyarakat perlulah berbaik sangka dalam membantu polis menjalankan operasi kepolisan memerangi jenayah.

L - Latih diri dan ahli keluarga kita dengan aspek keselamatan dan juga titipkan sentiasa dalam minda kita, ahli keluarga dan juga masyarakat tentang rasa penghargaan terhadap warga polis dan warga kerja keselamatan lainnya. Komitmen mereka menjaga keamanan membolehkan kita menjalan tugas seharian dan membina kehidupan dengan lebih baik dengan rasa kebimbangan terhadap jenayah pada tahap minimum.

I - Idea yang bernas boleh kita salurkan kepada polis melalui pelbagai saluran seperti Rakan Cop dan ini akan menjadi inspirasi kepada warga polis untuk terus bekerja dengan integriti yang tinggi.

S - Sikap hormat menghormati dan menghargai warga keselamatan seperti polis ini perlulah menjadi amalan ahli masyarakat bagi menjunjung visi dan misi negara iaitu Sifar Jenayah.

Walaupun Hari Polis telah berlalu, masih tidak terlambat untuk kita semua mengucapkan selamat maju jaya kepada semua warga polis di seluruh negara. Polis wibawa, negara sejahtera!

- UTUSAN
 

300,000 pengguna mungkin kehilangan akses internet Julai 2012 - FBI

WASHINGTON: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) hari ini memberi amaran bahawa lebih daripada 300,000 pengguna internet di seluruh dunia mungkin kehilangan akses internet pada Julai 2012 ini susulan satu penipuan bernilai jutaan ringgit.

Bagaimanapun, pengguna boleh menarik nafas lega apabila FBI berjaya mencipta langkah penyelesaian yang mana mangsa siber itu hanya perlu melayari dcwg.org, bagi membolehkan mereka menyemak sama ada dijangkiti virus sekali gus menghapuskan sebarang perisian yang mendatangkan ancaman. Terdahulu, enam rakyat Estonia ditahan atas tuduhan penipuan pada November lalu, dua tahun selepas FBI melancarkan Operasi Hantu Klik bagi mengesan kumpulan yang menyerang komputer di seluruh dunia dengan malware “DNS Changer” mereka, yang berfungsi mendedahkan komputer itu kepada virus.

- AFP

Bayi Kembar Tiga Guna Kaedah IVF Selamat Dilahirkan

IPOH: Bayi kembar tiga yang menggunakan kaedah In-Vitro Fertilization (IVF) atau tabung uji selamat dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), enam hari lepas.

Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Rawatan Kesuburan HRPB Dr Tham Seong Wai berkata ibu bayi berkenaan terpaksa dibedah kerana saiz badannya tidak mampu menanggung berat bayi walaupun kandungan hanya berusia 34 minggu.

"Bayi lelaki yang pertama dilahirkan pada pukul 8.46 pagi dengan berat 2.1 kilogram, yang kedua adalah bayi perempuan dilahirkan pada pukul 8.47 pagi seberat 1.8 kilogram dan yang ketiga bayi lelaki yang dilahirkan satu minit kemudian dengan berat 1.7 kilogram.

"Ini merupakan pencapaian terbaik kaedah ini setakat ini kerana melalui kaedah IVF kita hanya menyasarkan kelahiran seorang bayi," katanya kepada pemberita di Wad Bersalin HPRB pada Selasa.

Beliau berkata kaedah ini dicadangkan kepada pasangan yang gagal mendapatkan anak walaupun telah lama berkahwin dan merupakan kaedah yang selamat. Dr Tham berkata sejak dimulakan pada tahun 2008 di HRPB, seramai 343 pasangan telah mencuba kaedah itu dan daripada jumlah itu, antara 30 dan 35 peratus daripada mereka berjaya melahirkan anak.

Katanya kos rawatan IVF adalah antara RM6,000 dan RM6,500.

"Kos itu bagi pembayaran beberapa perkhidmatan yang diberikan tetapi ubat-ubatan diberikan percuma kepada ibu bapa terbabit," katanya.

Tham berkata pada masa ini persenyawaan dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang mempunyai makmal khas untuk kaedah ini.

Katanya walaupun bayi tersebut tidak cukup bulan tetapi ketiga-tiga mereka sihat dan mungkin dibenarkan keluar hospital minggu depan.

Sementara itu, ibu bayi berkenaan, Lee Foong Theng, 30, berkata beliau membuat keputusan menggunakan kaedah itu kerana gagal mendapatkan anak selepas tujuh tahun berkahwin.

"Cubaan kali pertama yang dibuat pada bulan Mei tahun lalu gagal dan pada cubaan kedua pada bulan September berhasil tapi saya dan suami tidak menyangka bayi ini kembar tiga.

"Ujian imbasan yang dibuat sebelum ini dan kami menyangka bayi ini kembar dua," katanya.

- BERNAMA

Seremban Jadi Bandar Raya Sebelum Hujung Tahun 2012

SEREMBAN: Seremban akan diisytiharkan sebagai bandar raya ke-12 di negara ini sebelum hujung tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, kabinet telah meluluskan perkara ini dalam pertemuan terakhirnya dan kini hanya perlu menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz sebelum pengisytiharan dibuat.

"Saya berasa bangga untuk mengumumkan bahawa permohonan kerajaan negeri untuk menggabungkan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) telah diluluskan. Seremban kini memenuhi semua kriteria untuk diiktiraf sebagai bandar raya," katanya.

Beberapa bandar raya lain di negara ini adalah Kuala Lumpur, Ipoh, Kuching Utara dan Selatan, Johor Baru, Kota Kinabalu, Shah Alam, Melaka, Alor Star, Miri, Petaling Jaya and Kuala Terengganu.

Chor berkata untuk mendapat status bandar raya, kerajaan negeri perlu memperoleh pendapatan lebih daripada RM100 juta dan jumlah penduduk melebihi 500,000.

"Kerajaan negeri telah melepasi setiap peringkat untuk mendapat status bandar raya termasuk memiliki bilangan penjawat awam secukupnya untuk berkhidmat kepada penduduk di situ," katanya di sini malam Isnin.

Bilangan penduduk di Seremban dan Nilai meningkat secara mendadak selepas pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, kawasan perindustrian dan penempatan baru serta hub pendidikan di Nilai, Bandar Enstek dan terbaru, Bandar Sri Sendayan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam temu bual terdahulu berkata, kerajaan negeri tidak akan tergesa-gesa untuk mengisytiharkan Seremban sebagai bandar raya.

"Kita perlu memastikan kemudahan asas dan awam berada dalam keadaan baik selain memastikan hasrat melihat sebuah bandar raya selamat dapat dicapai," katanya.

Kerajaan negeri telah menghantar permohonan untuk menggabungkan MPS dan MPN pada 2008.

Mohamad berkata, kerajaan negeri telah memenuhi lebih daripada 20 syarat sebelum ia boleh diluluskan sebagai bandar raya tetapi menunggu kelulusan kabinet berhubung penggabungan itu.

- MSTAR

Kesan kurang zat besi ketika hamil

RASA letih, sakit, mudah terganggu atau lemah ialah perkara biasa bagi kebanyakan wanita semasa mengandung.

Golongan ini sering kali diberitahu agar mengabaikan gejala yang dialami memandangkan semuanya adalah kesan perubahan hormon dan badan yang dianggap biasa semasa hamil.

Tapi jangan ambil mudah kerana ia mungkin petanda kepada keadaan lebih serius iaitu anemia kekurangan zat besi.

Memandangkan satu daripada tiga wanita mengandung mengalami anemia kekurangan zat besi yang lebih lazim berlaku tetapi jarang disedari oleh kaum wanita.

Ini menyebabkan ia sering tidak dirawat hingga memberi kesan kesihatan dalam jangka panjang kepada ibu dan bayi.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang anemia dalam kehidupan harian wanita hamil dan juga selepas melahirkan anak, Merck Consumer Healthcare baru-baru ini menganjurkan bengkel pendidikan bersama Dr. Premitha Damodaran, pakar Obstetrik dan Ginekologi yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kepakarannya.

Bertema Kehamilan dan Anemia: Lebih Lazim Daripada Yang Anda Jangka, Panduan Memastikan Ibu Sihat Sejahtera, Dr. Premitha berkongsi nasihat tentang cara untuk menangani anemia sebelum wanita mengandung, semasa mengandung dan selepas bersalin.

Fungsi darah dan anemia

Zat besi merupakan komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar oksigen ke seluruh badan untuk memastikan kelangsungan hidup.

Menurut Dr. Premitha, wanita yang menghadapi risiko anemia perlu merancang dan menjaga diri semasa hamil dan selepas melahirkan anak dengan mengawasi kandungan darah mereka.

Apabila bilangan sel darah merah kurang daripada normal iaitu di bawah bacaan 12-15mg/dl, wanita menghadapi risiko mengalami anemia yang paling umum iaitu anemia kekurangan zat besi.

Ini mungkin disebabkan kekurangan zat besi dalam badan kerana diet yang tidak cukup zat besi, penyerapan rendah oleh badan, kesan sampingan ubat tertentu, keadaan genetik, kehilangan darah teruk dan kehamilan.

Memahami anemia dan kehamilan

Wanita yang hamil memerlukan zat besi tambahan untuk menghasilkan lebih banyak darah bagi menyokong keperluan khasiat pemakanan diri sendiri dan juga tumbesaran bayi mereka.

Dianggarkan bahawa wanita memerlukan kira-kira 50 peratus lebih banyak zat besi semasa hamil, bertambah daripada 15 kepada 27mg/dl sehari.

"Malangnya, ramai wanita memulakan kehamilan tanpa simpanan zat besi yang secukupnya untuk memenuhi permintaan lebih tinggi badan terhadap mineral tersebut, menyebabkan anemia kekurangan zat besi yang berlanjutan walaupun selepas melahirkan anak.

"Mereka yang menghadapi risiko anemia kekurangan zat besi selepas melahirkan anak ialah wanita yang disahkan menghidap anemia kekurangan zat besi semasa hamil, mereka yang mengalami kehilangan darah berlebihan semasa melahirkan anak, wanita yang telah melahirkan anak beberapa kali dan ibu yang sedang menyusukan bayi.

"Gejala anemia mungkin mirip keadaan kehamilan lain atau anemia pada umumnya.

"Lebih penting lagi, wanita hamil yang mengalami anemia kekurangan besi hendaklah sedar bahawa mereka bukan sahaja mengalami gejala seperti pucat, letih dan lesu, sesak nafas dan lain-lain.

"Anemia semasa hamil dan selepas melahirkan anak sering dikaitkan dengan tahap kerumitan serius seperti keguguran, kelahiran pra-matang, berat lahir rendah, dan peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia," katanya Dr. Premitha.

- UTUSAN

Maxis perkenal aplikasi ebooks



PERKHIDMATAN buku elektronik atau e-buku memang telah diaplikasikan oleh kebanyakan pengguna teknologi di negara ini.

Namun, pelaksanaannya masih belum diperluas secara menyeluruh merangkumi sokongan pelbagai jenis peranti dan tawaran bahan-bahan bacaan yang bersesuaian.

Membuka peluang itu, syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi bersepadu, Maxis Berhad (Maxis) baru-baru ini tampil bersama servis buku digital pertama Malaysia dikenali sebagai Maxis ebooks.

Aplikasi berkenaan boleh diakses melalui platform sistem operasi Android dan iOS seperti komputer tablet iPad atau Samsung Galaxy Tab.

Menerusinya, pelangggan talian Maxis kini mempunyai akses kepada lebih 300,000 judul buku pelbagai genre tempatan dan antarabangsa daripada 40 kategori.

Ia merangkumi kategori jualan terbaik, novel, motivasi, pendidikan dan gaya hidup selain pilihan medium penyampaian dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan pelbagai bahasa antarabangsa lain.

Menurut Naib Presiden dan Ketua Produk, Peranti, Inovasi dan Perantauan Maxis, T. Kugan, pelancaran aplikasi itu bakal memberi pengguna pengalaman menyemak, membeli dan membaca buku kegemaran secara mudah menerusi peranti mobiliti.

''Maxis ebooks bakal membenarkan pengguna membina perpustakaan digital mereka sendiri kerana kesemua bahan bacaan yang telah di muat turun akan disimpan pada storan cloud dan boleh dicapai menerusi integrasi sehingga enam peranti.

''Dengan adanya platform ini juga, ia secara tidak langsung dapat menggalakkan lebih ramai penerbit serta penulis buku menaiktaraf kandungan bahan bacaan mereka secara digital,'' katanya pada sesi pengenalan aplikasi itu kepada media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sesuatu yang menarik, Maxis ebooks hadir bersama antara muka mesra pengguna selain mempunyai pelbagai ciri tambahan seperti kamus, penanda buku, fungsi nota serta pilihan tema bacaan untuk siang dan malam.

Daripada segi kos, kesemua buku dijual pada harga bermula RM8 hingga RM99 dan akan dicaj pada bil Maxis atau pun didebitkan daripada akaun Hotlink bagi pengguna pra bayar.

Pelanggan yang ingin mendapatkan aplikasi berkenaan boleh memuat turunnya daripada platform Apple App Store, Google Play atau layari laman web www.ebuuk.com.my. Pendaftaran Maxis ebooks adalah percuma.

- UTUSAN

Calon Guru perlu fasih BM dan BI

Kementerian Pelajaran disaran supaya memperketatkan pengambilan pelajar ke institut pendidikan guru (IPG) demi meningkatkan profesion keguruan dengan melahirkan guru yang fasih dalam bahasa Melayu (BM) dan bahasa Inggeris (BI).

Bagi menjayakan saranan ini, pelajar perlu mendapat kepujian dalam kedua-dua subjek di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bukannya sekadar mendapat kredit untuk BM atau lulus bagi BI.

Hal ini penting untuk merealisasikan dasar Memartabatkan BM Memperkasakan BI (MBMMBI) di samping untuk mengatasi masalah sekiranya guru, atas pelbagai sebab, 'terpaksa' mengajar salah satu subjek bahasa berkenaan apabila ditempatkan di sekolah.

Paling tidak, dengan asas yang kukuh dalam kedua-dua subjek ini, guru terbabit tidak akan berdepan masalah besar untuk mengajar mata pelajaran bahasa walaupun mengambil opsyen subjek lain ketika di IPG.

Malah dengan menguasai serta memiliki kemahiran berkomunikasi dalam kedua-dua bahasa secara fasih akan melonjakkan martabat guru dan dipandang tinggi terutama ketika bermesyuarat atau membuat pembentangan di luar negara.

Pada masa yang sama, guru yang hebat dalam kedua-dua subjek ini akan turut melahirkan murid yang cemerlang serta mempunyai kemahiran berbahasa yang tinggi.

Bagaimanapun, untuk meningkatkan kemahiran berbahasa di kalangan murid, sukatan pelajaran subjek BM serta BI perlu disemak semula untuk membolehkan guru berinovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Sukatan pelajaran sedia ada agak padat dan perlu dihabiskan dalam tempoh masa ditetapkan menjadi faktor mengekang guru daripada menerapkan kaedah P&P yang menyeronokkan seperti melalui pendekatan bercerita atau secara drama.

Walhal pengajaran subjek bahasa memerlukan banyak latihan yang melibatkan pengungkapan kata, pengucapan awam dan komunikasi berkesan.

Akibat hambatan sukatan pelajaran juga menyebabkan pusat sumber sekolah yang dipenuhi banyak bahan bacaan tambahan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Ia turut menjejaskan usaha membangun modal insan yang dapat menguasai kedua-dua bahasa dengan baik.

Sungguhpun begitu, dalam memperkasa BI, Kementerian Pelajaran telah mengambil beberapa langkah proaktif seperti menempatkan penutur jati di sekolah terpilih, mengambil guru bersara mengajar semula secara kontrak dan latihan khas kepada guru yang masih dalam perkhidmatan.

- UTUSAN

Pelajar UPSI hadapi masalah kemurungan

Pelajar perempuan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut selepas terjatuh dari bangunan lima tingkat di kampus itu, kelmarin, menghadapi masalah kemurungan sebelum memasuki universiti sehingga ada kala terpaksa ditemani ahli keluarganya sepanjang berada di kampus.

Sehubungan itu, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar, menafikan pelajar berkenaan menghadapi masalah akibat tekanan pembelajaran atau terkena gangguan makhluk halus di kampusnya.
“Arwah bukan menghadapi masalah ketika berada di UPSI, sebaliknya sebelum masuk universiti ini lagi.
“Sebelum ini tidak pernah ada kes pelajar menghadapi masalah akibat diganggu makhluk halus di universiti ini.

“Jika ada pelajar bermasalah, biasanya kita akan merujuk individu terbabit ke Bahagian Kaunseling dan menghubungi ahli keluarganya untuk membantu,” katanya ketika dihubungi, di Tanjong Malim, semalam.

Akhbar semalam melaporkan Fatimah Mina Md Juferi, 22, dari Bakri, Muar, ditemui mati di tingkat bawah bangunan E-Learning dengan kesan luka di beberapa bahagian badan, termasuk patah rusuk kiri dan kanan, kaki kanan serta bahu kiri dan kanan.

Mayat pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak itu ditemui lengkap berpakaian dan bertudung oleh beberapa pelajar yang kebetulan melalui kawasan itu.

Junaidi sebelum ini dilaporkan berkata, arwah difahamkan mempunyai sejarah diganggu makhluk halus dan dikatakan sedang mengikuti beberapa rawatan perubatan tradisional serta Islam bagi mengatasi masalahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nayan, berkata siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah atau orang kedua terbabit dalam kematian pelajar berkenaan.

Katanya, laporan bedah siasat juga mendapati punca kecederaan dialami mangsa sehingga menjurus kepada kematiannya adalah akibat terjatuh dari bangunan tinggi.

- BERITA HARIAN

Recent Posts