Rabu, Januari 04, 2012

Nabil (Raja Lawak) Deejay Baru Suria FM


Pelawak, Ahmad Nabil Ahmad,28, atau Nabil (Raja Lawak) memperluaskan lagi kerjaya seninya selepas ditawarkan menjadi deejay stesen radio Suria FM.

Pemilihan Nabil dibuat selepas dia berjaya dalam satu sesi uji bakat yang diadakan di stesen radio berkenaan pada hujung tahun lalu.

"Nabil akan memulakan tugasnya sebagai deejay dan mengendalikan satu segmen khas pada pertengahan Januari ini," kata sumber kepada mStar Online.

Nabil yang dihubungi mStar Online pada Selasa, bagaimanapun enggan mengulas mengenai desas-desus tersebut sebaliknya meminta pihak media menunggu pengumuman yang akan dibuat oleh stesen berkenaan.

"Macam mana tahu ni? Saya tak nak komen. Tunggulah pihak Suria FM yang buat pengumuman. Tapi saya mengaku pernah dipanggil untuk diuji bakat sebelum ini," katanya.

Ditanya adakah dia bakal menggantikan penyampai Breakfast@Suria, Sharifah Shahira yang akan tamat kontrak pada 24 Januari ini, Nabil berkata dia tidak akan menggantikan sesiapa di stesen itu.

"Tidak akan ganti sesiapa. Tunggulah pengumuman mereka nanti," ujarnya ringkas.

Dalam pada itu, Nabil berkata walaupun tidak mempunyai pengalaman sebagai seorang juruhebah radio, dia yakin dapat menjadi deejay yang baik kerana pernah muncul sebagai penyampai jemputan di beberapa stesen lain seperti Sinar FM dan Hot FM.

Selain Nabil, antara artis yang turut dipanggil diuji bakat oleh Suria FM adalah Azza (Elite) dan Amy Mastura.

- mSTAR

Tip goda isteri

SUAMI mana yang tidak berasa hampa apabila isteri sering menolak pelawaan untuk mengadakan hubungan intim atas alasan penat. Persoalannya adakah para isteri benar-benar jujur dengan alasan tersebut atau sebenarnya tidak mendapat rangsangan yang sempurna daripada anda, para suami.

Dalam hal ini cuba imbas kembali saat anda dan pasangan mula-mula berkahwin dulu, apa caranya untuk memikat atau setidak-tidaknya membangkitkan mood isteri untuk mengadakan hubungan seks dengan anda. Bagi si suami yang tidak mempunyai idea untuk tujuan tersebut boleh mencuba 10 cara yang dicadangkan ini.

1) Selepas bertengkar: Dalam hubungan suami isteri, anda tidak akan dapat lari daripada bertengkar. Apabila bertengkar sudah tentu kemarahan meluap-luap dan menjadikan jantung anda berdegup kencang. Selepas anda berdua meledakkan kemarahan masing-masing, anda perlu mengambil inisiatif untuk meredakan kemarahan isteri dengan menghampirinya, merangkul pinggangnya dan berikan ciuman seikhlas hati. Pasti isteri anda tidak menolak dan hubungan seks boleh diteruskan dengan cara yang selembut mungkin.

2) Bahagia: Sama seperti kemarahan dan kesedihan, kebahagiaan menjadikan seseorang wanita itu tidak menolak untuk melakukan hubungan seks. Justeru tidak hairanlah seorang wanita yang baru menerima bonus, atau kenaikan pangkat atau apa saja yang menggembirakan hatinya di pejabat memberikannya satu perasaan ghairah dan mood yang amat positif untuk melakukan hubungan seks dengan anda.

3) Stres: Ada wanita yang apabila terlalu stres akan mempunyai semangat untuk melakukan hubungan seks. Pernah seorang rakan memberitahu bahawa dalam satu hari dia mengalami pelbagai dugaan, kertas cadangannya ditolak, kereta mengalami kerosakan dan peliknya pada waktu malam dia mahukan hubungan seks. Kajian menunjukkan bahawa stres atau tekanan meningkatkan rangsangan keintiman wanita. Oleh itu para suami, jika isteri anda stres namun tidak bercadang melakukan hubungan seks, anda boleh menawarkan untuk melakukan urutan aroma terapi kepada isteri dan pastinya keghairahan isteri meningkat.

4) Cemburu: Isteri memang mudah terbakar jika mendengar suami ada wanita lain, oleh itu jangan pelik jika dalam keadaan sedemikian keinginannya untuk bersama semakin meningkat.

5) Waktu subur: Wanita sangat mudah terangsang semasa tempoh suburnya (waktu pelepasan telur) oleh itu dua minggu selepas haid adalah saat paling baik untuk melakukan hubungan seks. Pastikan anda tidak terlepas saat tersebut.

6) Selepas menghadiri majlis: Wanita mudah terangsang dalam situasi romantis, tak perlulah anda hairan apabila selesai majlis, mendengar alunan muzik romantis, berdua-duaan sudah cukup untuk menggodanya untuk bersama anda.

7) Menonton filem romantis: Kebanyakan wanita menyukai filem romantis dan ia salah satu cara untuk anda membangkitkan mood isteri untuk berhubung intim.

8) Tinggal-tinggalkan: Berpisah beberapa hari dengan isteri anda membuatkan dia akan merindui anda. Luahan kata-kata rindu berbaur romantis menerusi telefon cukup untuk membangkitkan rasa ghairah isteri untuk bersama anda selepas pulang nanti, cubalah.

9) Bersendirian: semakin lama wanita tidak melakukan hubungan intim sebenarnya dia pasti akan merinduinya. Tidak salah anda membiarkannya bersendirian jika itu yang dimahukannya, namun sebaik sahaja isteri anda mahukannya jangan lepaskannya, kerjasama daripada kedua belah pihak pasti akan mendatangkan kepuasan maksimum buat anda berdua.

10) Kreatif: Sesekali cuba buat kejutan dengan memberikan ciuman ketika isteri masak di dapur. Hadiahkan dia sekuntum bunga ros atau coklat, paling tidak ajak dia untuk ke makan malam yang indah bersama anda, pasti ada kelainannya selain menggoda di bilik tidur.

- UTUSAN

Carian terhangat Google 2011

ENJIN carian terkemuka, Google baru-baru ini mengeluarkan senarai Zeitgeist tahunan untuk Malaysia bagi terma carian terhangat di google.com.my sepanjang tahun ini.

Senarai tersebut memberikan pandangan sepintas lalu berkenaan apa yang dicari oleh rakyat negara ini meliputi acara, detik-detik menarik, dan trend baru yang membuat kita terpesona sepanjang tahun 2011 ini.

Pada tahun ini, senarai carian yang meningkat dengan pantas menunjukkan bahawa selain daripada rangkaian sosial dan juga bermain AngryBirds, rakyat Malaysia juga amat gemar untuk bergelak-tawa.

Mereka juga mencari rancangan realiti televisyen (TV) Maharaja Lawak menduduki tangga ketiga.

Apabila dilihat pada carian berkaitan rancangan TV, rakyat Malaysia amat gemarkan program realiti seperti America's Next Top Model (ANTM) X Factor USA dan American Idol 2011 merupakan antara carian rancangan TV popular sepanjang tahun ini.

'Tonton' dan 'Apa Itu' 'PPVRIP' turut tersenarai sebagai carian popular, menunjukkan rakyat Malaysia mula memfokuskan terhadap TV atas-talian.

Pengguna di negara ini juga meminati teknologi turut menyumbang kepada trend carian sepanjang tahun.

Gajet yang dilancarkan dan yang sekadar ura-ura sahaja memegang empat kedudukan tertinggi daripada 10 carian yang meningkat naik dengan pantas pada tahun ini, iaitu iPhone 5, iPad 2, Samsung Galaxy dan Android.

Dalam bertanyakan soalan berkaitan teknologi, pengguna Malaysia bertanyakan "Apakah itu..." untuk mengetahui lebih lanjut mengenai 'iPad', 'hacking' dan 'jailbreak'.

Penyanyi dan penulis lagu - Bruno Mars yang melawat Malaysia Apri lalu mendahului pada senarai carian berkaitan orang yang meningkat naik dengan pantas bersama-sama dengan tiga bintang muzik antarabangsa iaitu Avril Lavigne, Rihanna dan juga Justin Bieber turut menjadi imej yang paling banyak dicari pada tahun ini.

Pengguna Malaysia juga turut menggunakan carian imej dalam mengetahui berkaitan bagaimana basikal dengan gear tetap kelihatan apabila fixie mula menjadi budaya baru.

Selain itu, terma yang carian imej popular yang lain adalah Domo-kun - maskot berbulu dari stesen televisyen Jepun, NHK.

Selebriti YouTube, Cikgu Shida yang membuat segerak suara untuk lagu-lagu tempatan dan juga antarabangsa menjadi rakyat Malaysia yang memperlihatkan peningkatan dengan pantas pada tahun ini.

Selain beliau, rakyat tempatan lain yang turut menyertai senarai tersebut termasuk penulis blog remaja, Fatin Liyana dan Haniz Zalikha, ahli politik Anwar Ibrahim, ulama Ustaz Kazim, dan pereka bentuk muslimah - Hana Tajima yang membawa gelombang baru pada fesyen bertudung di negara ini.

Apabila ingin melancong, rakyat Malaysia kekal dengan apa yang mereka sedia kenali pantai dan bandar besar.

Carian untuk Su Mei Island, Maldives dan Caribbean seimbang dengan carian berkaitan Hong Kong, Taipei dan New York.

Disneyland juga merupakan carian popular di kalangan pengguna apabila kedua-dua carian Disneylands Paris dan Hong Kong menjadi carian destinasi antarabangsa popular pada tahun 2011.

Jurucakap Google, Zeffri Yusof berkata, Zeitgiest penghujung tahun daripada Google merupakan salah satu ukuran budaya menunjukkan apakah yang menjadikan kita teruja, tertanya-tanya, dan ingin mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

Dari pemimpin, selebriti, hal ehwal semasa sehingga, sukan dan segalanya, trend carian memperlihatkan apakah yang difikirkan dan berada dalam minda rakyat Malaysia

"Zeitgeist dalam bahasa Jerman bermakna semangat masa melalui eksplorasi berbilion terma carian yang diterima setiap tahun.

"Trend terhangat sepanjang tahun 2011, kami juga menyediakan beberapa aplikasi memberikan informasi mendalam untuk carian global, mengikut negara, dan juga trend carian tahun-tahun lepas dan sekarang,'' katanya.

Aplikasi Google Zeitgeist tidak digunakan sama sekali untuk mengenali seseorang pengguna kerana ia dikumpulkan tanpa identiti, dan dihimpunkan bilangan berdasarkan berapa kerap sesuatu terma atau kata kunci itu dilakukan carian.

'Paling popular' merupakan terma carian yang digunakan paling banyak dalam carian, manakala 'meningkat naik paling pantas' merupakan terma carian yang memperlihatkan peningkatan carian paling cepat dari jumlah carian sepanjang tahun.

- UTUSAN

Selasa, Januari 03, 2012

Islam galak jaga penampilan diri

Oleh Muhammad Asyraf
Imam Muda

ADA tiga golongan manusia di muka bumi ini mengamalkan perhiasan tubuh dan salah satu daripadanya keterlaluan berbelanja sehingga membawa kepada pembaziran serta kemudaratan.

Selain itu, ada juga yang terlalu kedekut sehingga mereka kelihatan kotor dan selekeh. Manakala golongan ketiga ialah yang bersederhana dalam memperagakan kecantikan tubuh badan mengikut kemampuan.

Nabi SAW ialah hamba Allah SWT yang sentiasa menjaga kebersihan, kecantikan dan penampilan apabila berada di depan khalayak. Ini dikuatkan oleh riwayat daripada Abdullah ibn Masud, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga golongan yang di hatinya ada sebesar zarah kesombongan. Lalu seorang lelaki berkata kepada Baginda: Sesungguhnya orang lelaki suka berhias pada pakaian dan seliparnya. Baginda menjawab: Sesungguhnya Allah SWT itu cantik dan amat suka kepada kecantikan. Sesungguhnya sifat angkuh punca seseorang itu tidak boleh menerima kebenaran dan memandang rendah pada orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam Islam, mencantikkan tubuh badan menggunakan pelbagai kaedah kecantikan diharuskan. Ia seperti kaedah yang dipegang ulama iaitu asal bagi setiap sesuatu itu adalah harus sehingga terdapat dalil yang mengharamkannya.

Antara fuqaha mazhab yang menerima kaedah fiqah ini sebagai salah satu prinsip wasatiy dalam penentuan hukum makanan dan kepenggunaan semasa ialah mazhab Shafie, sebahagian fuqaha mazhab Hanafi seperti al-Karkhi, sebahagian fuqaha mazhab Maliki dan Hanbali.

Tetapi, jika kaedah rawatan kecantikan yang digunakan itu ada dalil mengharamkannya, maka kaedah berkenaan ditolak dan dilarang sama sekali digunakan. Perlu diingatkan segala anggota tubuh manusia adalah amanah daripada Allah SWT kepada mereka.

Oleh sebab itu, Islam menggalakkan umatnya menjaga anggota badan sebaiknya sebagai tanda syukur kepada Allah SWT yang Maha Pemberi Nikmat. Islam melarang keras mereka yang cuba menjahanamkan anugerah Ilahi dengan cara yang tidak menepati kehendak syariat.
Atas sebab itu, Islam menolak sekeras-kerasnya sifat segelintir manusia yang berlebihan menghiasi tubuh badan sehingga membawa kepada mengubah ciptaan Allah SWT. Ada menghabiskan ribuan ringgit untuk kelihatan muda, cantik bahkan sanggup memilih untuk memudaratkan diri hanya kerana ingin kelihatan cantik.

Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya berpendapat, setiap perkara ingin dilakukan umat Islam mestilah tidak mendatangkan kemudaratan sama ada dalam urusan makanan, minuman, kepenggunaan semasa, permainan, urusan kewangan dan sebagainya.

Jika perbuatan itu mendatangkan kemudaratan kepada pengguna sama ada dari aspek agama, nyawa, akal, nasab dan harta, maka hukumnya haram. Contohnya, memasukkan susuk (jin) dalam tubuh dan muka, menyuntik botox yang diharamkan oleh majlis fatwa kebangsaan dan antarabangsa.

Islam menganggap perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT tanpa sebarang sebab syar’ie adalah haram dan berdosa. Selain itu, ia salah satu strategi syaitan untuk menyesatkan umat Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, aku (syaitan) akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong (mereka), sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternakan), lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah SWT. (Ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah SWT, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang lagi nyata.” (Surah al-Nisa’, ayat 119)

Fuqaha menggariskan beberapa syarat bertepatan kehendak syariat Islam dalam menghiasi tubuh badan supaya kelihatan cantik dan menawan antaranya dilakukan dengan niat dan tujuan yang betul dengan tidak melakukan sebarang perubahan di tubuh.

Dilakukan apabila ia menjadi satu keperluan seperti membuang ketumbuhan pada muka atau di bahagian badan yang mencacatkan rupa paras seseorang. Tidak mendatangkan sebarang kemudaratan kepada pelaku sama ada untuk jangka masa pendek atau panjang.

Sebarang pembedahan kosmetik atau usaha mengubah tubuh badan tidak dilakukan tanpa sebarang sebab kesihatan seperti suntikan botox pada bahagian muka dan tubuh badan semata-mata untuk kelihatan cantik dan bergaya.

Dalam keadaan tertentu seperti wanita atau lelaki yang memiliki bulu kening terlalu lebat hingga mencacatkan pandangan orang kepadanya, Imam Malik berkata, perbuatan mencukur bulu kening itu diharuskan jika sudah hampir sama dengan bulu alis beruk yang tebal dan hodoh.

Di samping itu, ulama juga mengharuskan wanita mencukur atau mencabut segala jenis bulu yang tumbuh pada tempat tidak sepatutnya di tubuh atau wajah mereka seperti bulu misai, bulu janggut, bulu dada dan bulu kaki.

Namun, ada juga ulama dan sahabat mengharamkan perbuatan itu dalam semua keadaan antaranya Mu’wiyyah ibn Abi Sufiyan, Aisyah, Asma’ Abu Bakr, Imam al-Bukhari, al-Khattab dan ramai lagi kerana perasaan teruja kepada kecantikan menyebabkan seseorang itu sanggup melakukan syirik kepada Allah SWT.

Contohnya, memakai susuk jin sama ada berbentuk perak dan emas, menggunakan perkhidmatan bomoh, jin dan syaitan dengan mengamalkan mantera tertentu ditegah oleh Islam kerana boleh merosakkan akidah.

Islam menginginkan umatnya mengamalkan sikap sederhana termasuklah dalam persoalan mencantikkan tubuh badan. Oleh sebab itu, kita diharuskan yang dibenarkan syarak tanpa mengubah ciptaan Allah SWT.

- BERITA HARIAN

Lebih ramai lelaki jadi penentu keputusan kewangan

Lebih ramai lelaki menjadi pembuat keputusan dalam kebanyakan aspek perancangan kewangan, demikian menurut laporan HSBC.

Laporan itu, yang bertajuk 'Masa Depan Persaraan: Kenapa Keluarga Penting', mendapati 68 peratus lelaki Asia dan 65 peratus lelaki di seluruh dunia berkata mereka membuat semua atau paling banyak keputusan kewangan dalam rumahtangga, berbanding dengan 58 peratus dan 53 peratus wanita, masing-masing di Asia dan peringkat global.

HSBC dalam kenyataannya di sini berkata, mengikut laporan itu, kecuali di Asia ialah China, di mana 63 peratus wanita mendakwa mereka membuat semua atau sebahagian besar daripada keputusan kewangan, berbanding dengan 58 peratus lelaki.

HSBC berkata, laporan itu, yang dijalankan oleh Cicero Consulting di lebih daripada 17,000 orang di 17 negara, dengan lebih 7,300 dari Asia, meninjau perubahan sikap ke arah perancangan persaraan dan kewangan.

Dari segi perancangan persaraan, kata laporan itu, hanya 29 peratus daripada wanita Asia secara purata berkemungkinan mengambil tanggungjawab secara bersendirian, berbanding 37 peratus lelaki; India (21 peratus wanita berbanding 43 peratus lelaki), Singapura (21 peratus berbanding 38 peratus), Malaysia (27 peratus berbanding 33 peratus) dan Hong Kong (28 peratus berbanding 38 peratus).

Pengurus Besar Kumpulan dan Pengarah Serantau Perbankan Runcit dan Pengurusan Kekayaan HSBC Asia Pasifik, Louisa Cheang berkata, jantina yang dibahagikan dalam menabung bagi persaraan berterusan di Asia, menjadikan wanita berpotensi terdedah kepada kesusahan kewangan di kemudian hari.

"Kami menjangka jurang ini berkurangan setelah lebih ramai wanita di negara-negara baru muncul menerima pendidikan, menyertai tenaga kerja atau memulakan perniagaan dan membuat lebih banyak keputusan untuk diri dan keluarga mereka.

"Adalah penting keputusan perancangan kewangan yang memberi kesan kepada isi rumah, terutama dalam keperluan persaraan dan perlindungan, harus dikongsi dan dibincangkan antara pasangan untuk memastikan kedua-duanya lebih bersedia untuk persaraan dan matlamat hidup yang lain dan sebahagian besar daripada keperluan kewangan keluarga dipertimbangkan dan dijaga," katanya.

Menurut laporan itu, di seluruh Asia, 66 peratus daripada responden secara purata berkata mereka mempunyai rancangan kewangan, namun walaupun adanya rancangan ini, terdapat jurang yang ketara dalam perancangan kewangan sepanjang kehidupan dewasa.

Sebagai contoh, enam dalam 10 responden Hong Kong berusia 30hingga 39 tahun tidak mempunyai apa-apa simpanan jangka pendek dan hanya 19 peratus warga Taiwan berumur 40hingga 49 melindungi aset mereka, katanya.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa 48 peratus dan 47 peratus ibu bapa masing-masing di Malaysia dan Hong Kong, tidak mempunyai insurans hayat.

- Bernama

Penguatkuasaan undang-undang harta intelek di Malaysia

PADA zaman ini, antara sedar atau tidak setiap hari kita akan melakukan sekurang-kurangnya satu perkara yang berkait dengan harta intelek, seperti memainkan muzik atau lagu, menonton filem, membaca buku, menggunakan program komputer, memakai pakaian dan aksesori berjenama, penggunaan ubat dan sebagainya.

Harta intelek bukan lagi suatu istilah baru di Malaysia. Penguatkuasaannya pula sudah lama dijalankan melalui dua undang-undang tersohor iaitu Akta Perihal Dagangan 2011 (dulu dikenali sebagai Akta Perihal Dagangan 1972) dan juga Akta Hak cipta 1987.

Sebelum tahun 1987, perundangan berkaitan hak cipta dikuatkuasakan oleh Polis Diraja Malaysia melalui Akta Hak Cipta 1969 sehinggalah ia diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Namun, di kalangan masyarakat kita, dua isu utama yang sinonim dengan pelanggaran hak harta intelek adalah penjualan barang-barang tiruan dan juga cetak rompak. Saban tahun kita mendengar mengenai rampasan yang dibuat KPDNKK. Statistik Bahagian Penguat kuasa KPDNKK menunjukkan bagi tempoh Januari 2011 hingga November 2011, sebanyak 3,033 kes telah diambil membabitkan kesalahan di bawah kedua-dua akta ini dengan rampasan barang-barang bernilai lebih RM37.5 juta.

Persoalannya sejauh mana penguatkuasaan yang dijalankan benar-benar dapat mengatasi masalah yang dihadapi. Ini kerana penyelewengan masih berlaku malah terdapat banyak barang berjenama bebas dijual di merata-rata tempat. Di mana silapnya? Penguatkuasaan lemah atau persepsi yang salah? Atau benarkah penguatkuasaan yang dijalankan tidak memberi kesan positif berbanding sepuluh tahun yang lalu?

Berita Harian baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini.
Beliau mengakui bahawa bukan mudah untuk membasmi kegiatan pengedaran barang-barang tiruan dan cetak rompak di negara ini dalam masa singkat kerana ia mendapat permintaan tinggi serta didalangi oleh kumpulan sindiket yang terancang.

Namun pada masa sama beliau menolak dakwaan mengatakan tindakan penguatkuasaan yang diambil selama ini tidak memberi kesan kerana trend yang berlaku menunjukkan kegiatan itu semakin berkurangan atau berlaku dalam skala semakin kecil. Beliau mendakwa kenyataan itu dibuat berasaskan kepada dua tanda aras iaitu United States Trade Representative (USTR) ’Special 301 Report’ dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di beberapa kawasan panas seperti di Holiday Plaza di Johor Bahru, Batu Feringhi di Pulau Pinang serta Jalan Petaling dan Kawasan Segi tiga Emas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sejak 1989 USTR telah membuat penilaian ke atas 77 buah negara rakan niaga Amerika Syarikat di seluruh dunia mengenai tahap perlindungan hak harta intelek di negara masing-masing. Pelabur dari serata dunia terutama yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengguna pakai penilaian ini bagi menjalankan perniagaan di sesebuah negara.

Bermula pada tahun 2000, Malaysia diletakkan di dalam ’priority watch list’, satu kategori yang melihatkan perlindungan hak harta intelek yang lemah. Namun, atas usaha gigih Kerajaan Malaysia khususnya KPDNHEP (ketika itu) dalam menjalankan aktiviti membanteras kegiatan cetak rompak dan barang tiruan, Malaysia telah dikeluarkan dari kategori itu pada 2002 dan di naik taraf kepada kategori ’watch list’ saja sebaris dengan negara terkemuka antaranya Finland, Sepanyol, Itali, Norway dan Turki.

Sehingga kini Malaysia masih tersenarai dalam ’watch list’ dan usaha untuk melindungi hak harta intelek telah di perhebatkan. Berdasarkan perancangan tindakan dan usaha pembanterasan ini, Roslan begitu optimis bahawa Malaysia akan dikeluarkan terus dari Special 301 Report menjelang 2020 dan diiktiraf sebagai negara yang memberi perlindungan hak harta intelek seperti negara maju yang lain.

Satu lagi asas ukuran yang digunakan adalah Petunjuk Prestasi Utama atau KPI. Berbanding tahun 2010 yang menetapkan sasaran pematuhan hak harta intelek di kawasan panas sebanyak 30%, tetapi tahun ini dengan sasaran yang ditingkatkan kepada 50 peratus telah memperlihatkan kejayaan besar apabila berjaya mencapai lebih 80 peratus pematuhan sehingga November 2011. Dalam konteks barang-barang tiruan, perkiraan hanya ditumpukan kepada jenama tertentu yang terdapat dalam senarai bakul jenama (Basket of Brands - BOB).

Roslan menegaskan trend positif yang berlaku sekarang banyak dipengaruhi oleh penguatkuasaan berterusan serta perancangan strategik yang dilakukan oleh Bahagian Penguat kuasa KPDNKK yang berfokuskan kepada P.E.L.T iaitu Partnership (Perkongsian), Enforcement (Penguatkuasaan), Legislation (Perundangan) dan Training (pendidikan/latihan).

Perkongsian

Perkongsian yang dimaksudkan ini meliputi kerjasama antara pemilik hak cipta dan cap dagang. Terbaru, pengenalan BOB adalah hasil kerjasama antara KPDNKK dengan pemilik cap dagang dalam dan luar negara. Sebelum ini KPDNKK menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan kes kerana keengganan pemilik cap dagang membuat pengecaman ke atas barang disita yang juga suatu tuntutan undang-undang.

Kegagalan menyelesaikan kes telah menimbulkan persepsi seolah-olah KPDNKK tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas. Namun dengan pengenalan BOB, KPDNKK hanya akan memberi keutamaan penguatkuasaan kepada jenama yang tersenarai saja yang mana pemilik cap dagangnya telah pun memeterai persefahaman untuk bekerjasama bagi membuat pengecaman dan memberi keterangan di mahkamah.

Dengan cara ini, semua kes yang diambil akan dapat diselesaikan mengikut kehendak undang-undang. Pendekatan ini hampir serupa dengan apa yang diguna pakai di Hong Kong dan beberapa negara maju yang lain.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Roslan menegaskan KPDNKK tidak lagi akan mengambil tindakan ke atas jenama yang mana pemilik cap dagangnya tidak mahu memberi kerjasama seperti dikehendaki undang-undang.

Namun pada masa yang sama ini juga tidak bermakna jenama mereka tidak dilindungi undang-undang kerana pemilik cap dagang masih boleh mengambil tindakan secara sivil ke atas mana-mana pihak yang meniru jenama mereka.

Penguatkuasaan

Penguatkuasaan dan tindakan undang-undang bukanlah suatu perkara yang baru malah dijalankan secara berterusan sejak sekian lama. Di samping melakukan operasi secara bersendirian, KPDNKK turut mengadakan operasi secara besar-besaran bersama agensi lain seperti Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Pihak Berkuasa Tempatan. Dua jawatankuasa khas yang dikenali sebagai Pasukan Petugas Khas Membanteras Barang Tiruan dan Pasukan Petugas Khas Membanteras Cetak Rompak telah dibentuk khusus untuk menangani isu penguatkuasaan hak harta intelek secara terancang dan berterusan.

Disamping itu, Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK turut mengambil satu pendekatan penguatkuasaan yang strategik melalui kaedah examplar. Di bawah kaedah ini, sampel cakera optik akan diambil dari kilang yang terdapat di Malaysia dan dihantar ke Makmal Forensik Kimia, Petaling Jaya untuk menentukan DNA. Dengan adanya sampel DNA ini, Bahagian Penguat kuasa boleh dengan mudah mengesan kilang yang mengeluarkan CD/VCD cetak rompak sama ada ia dijumpai dalam pasaran Malaysia mahupun di luar negara.

Sehingga kini Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mengamalkan kaedah ini. Ekoran kaedah ini juga, banyak kegiatan pengeluaran CD/VCD cetak rompak oleh kilang di Malaysia telah berjaya dipatahkan dan lesen mereka juga dibatalkan. Sehingga kini Malaysia mempunyai sebanyak 19 kilang cakera optik berbanding 44 sebelum ini.

Perundangan

Malaysia adalah di antara negara yang begitu serius dalam memastikan setiap undang-undang yang ada berkaitan dengan perlindungan hak harta intelek dikuatkuasakan sepenuhnya termasuklah membuat pindaan untuk memantapkannya. Selain Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Perihal Dagangan 2011, KPDNKK turut menggunakan Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010. Melalui Perintah ini, adalah menjadi kesalahan terhadap mana-mana orang yang didapati menjual cakera optik seperti CD/DVD/VCD yang baginya tidak dilekatkan dengan label cakera optik dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi. Untuk mendapatkan label cakera optik ini pula, hanya tuan punya hak cipta sahaja yang dibenarkan untuk mendapatkannya daripada KPDNKK.

Satu lagi undang-undang yang mengawal kegiatan pelanggaran hakcipta di peringkat pengeluaran ialah Akta Cakera Optik 2000. Ia digubal khusus untuk melesen dan mengawalselia pengilangan cakera optik dan pada masa yang sama menghapuskan kilang-kilang haram yang mengeluarkan cakera optik dengan salinan langgaran karya-karya berhakcipta. Penalti bagi kesalahan di bawah perundangan ini adalah denda sehingga RM500,000.00.

Undang-undang yang ada juga telah dipinda dengan menetapkan denda yang tinggi. Bagi kesalahan di bawah Akta Hakcipta 1987, denda minimum adalah RM2,000 bagi setiap satu salinan langgaran, Akta Perihal Dagangan 2011, denda sehingga RM15,000 bagi setiap unit barang tiruan dan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010 denda sehingga RM100,000 atau 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagi tempoh 11 bulan pertama 2011, sebanyak 13 kes berjaya disabitkan di mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM 3.83 juta. Sebagai tindakan yang lebih efektif, selain hukuman denda dan penjara, harta dan wang yang diperoleh daripada kegiatan haram ini boleh di bekukan, dirampas dan dilucuthakkan dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pendidikan/Latihan

Satu lagi cabaran besar yang harus dihadapi KPDNKK dalam memastikan keberkesanan penguatkuasaan yang efektif adalah daripada aspek pendidikan. Walaupun bilangan kes yang banyak sudah diambil, namun ia tidak akan dapat dibanteras sepenuhnya jika pengguna masih memberi sokongan dan membeli barang tiruan dan cetak rompak.

Kesedaran tentang pentingnya masyarakat menghormati hak harta intelek di negara ini adalah masih rendah. Ini dapat dilihat daripada pembelian yang dibuat terutama di pasar malam dan premis terbuka. KPDNKK telah berusaha untuk meningkatkan tahap kesedaran ini melalui pelbagai cara termasuklah menayangkan iklan di media massa seperti televisyen, radio dan pawagam, menjalankan program outreach kepada pelbagai lapisan masyarakat seperti siri jelajah ke sekolah rendah, seminar kepada pelajar menengah dan IPT serta penjualan karnival barang tulen kepada orang awam.

Dalam konteks latihan pula, usaha untuk meningkatkan kecekapan dan kemahiran pegawai penguat kuasa sentiasa dilakukan bagi memastikan setiap tindakan dapat diambil dengan lebih efektif. Terbaru, KPDNKK turut memanggil rakan agensi penguatkuasaan dari luar negara untuk berkongsi amalan baik yang dilakukan di negara mereka semasa Konvensyen Penguatkuasaan Hak Harta Intelek berlangsung di KLCC pada 20 Oktober 2011. Antara yang hadir ialah wakil dari agensi penguatkuasaan di United Kingdom, Singapura dan juga wakil dari USTR yang berpengkalan di Washington.

Amat penting bagi negara untuk terus menguatkuasakan perlindungan hak harta intelek bagi membuktikan kepada dunia bahawa kita adalah negara yang bertamadun dan menghormati hak harta intelek. Tidak dinafikan faktor ini turut membantu negara dalam menarik pelabur asing khususnya bagi sektor industri membabitkan harta intelek.

Roslan dalam kenyataannya melahirkan keyakinan tinggi bahawa usaha dan perancangan dalam memerangi kegiatan cetak rompak dan barangan tiruan di negara ini berada di atas landasan yang betul. Tindakan yang diambil menampakkan kesan positif.

Tahap pematuhan juga semakin meningkat dari tahun ke tahun walaupun dalam kadar yang agak sederhana. Masyarakat diseru supaya tidak memberi sokongan atau membeli barang-barang tiruan dan cetak rompak yang jelas tidak bermoral.

Ia bukan saja menjejaskan ekonomi tetapi turut mendedahkan rakyat kepada isu moral, bahaya dan keselamatan terutama berkaitan dengan produk pengguna.

- BERITA HARIAN

Datuk Salleh Majid meninggal akibat barah usus

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Tokoh ekonomi tersohor negara yang juga bekas Presiden Bursa Malaysia, Datuk Salleh Majid, 62, meninggal dunia hari ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat penyakit kanser usus dan sakit buah pinggang.

Allahyarham yang dimasukkan ke HKL sejak empat hari lalu meninggal dunia pada pukul 10.20 pagi hari ini dan difahamkan kesihatan beliau terjejas teruk sejak April tahun lalu.

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumah ibu beliau, Halijah Mohd Jamil di Kampung Pasir, Hulu Klang untuk dimandikan sebelum dikebumikan pada pukul 5.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhuan di Jalan Hulu Kelang, Ampang.

Menurut adik Allahyarham, Ibrahim Abdul Majid, 60, Allahyarham menghidap sakit buah pinggang sejak 1990-an lagi dan pada awal tahun lalu beliau didapati menghidap kanser usus.

"Oleh kerana tekanan darahnya yang tidak stabil, penyakit Allahyarham tidak dapat diubati dan dia meninggal dunia pada pukul 10.20 pagi ini.

"Semasa menghembuskan nafas terakhir, kesemua ahli keluarga serta anak-anaknya turut berada di sisinya di hospital," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, Allahyarham meninggalkan tiga orang balu dan enam orang anak yang berusia antara sembilan hingga 36 tahun.

Katanya, Allahyarham sememangnya seorang yang cukup mengambil berat mengenai hal keluarga dan mudah menolong orang serta berjaya membuktikan kejayaan anak Melayu dalam bidang ekonomi.

Allahyarham yang merupakan graduan perintis daripada Institut Teknologi MARA pernah menyandang jawatan Presiden Bursa Malaysia dari 1984 hingga 2003 dan beliau juga adalah pensyarah di Universiti Tun Abdul Razak.

Allahyarham yang aktif dalam bidang penulisan ekonomi mempunyai ruangan tetap dalam akhbar Utusan Malaysia dikenali Saranan Salleh.

Tulisan terakhir Allahyarham bertajuk Dilema Mengimbangi Kewangan Awam disiarkan pada 10 Disember lalu.

Antara yang menziarahi jenazah Allahyarham ialah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa
(Perkasa), Datuk Ibrahim Ali; Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar dan bekas Ketua Pengarang Bernama, Datuk Azman Ujang.

- UTUSAN

Isnin, Januari 02, 2012

Pahang Julang Piala Emas Raja-Raja 2012


TEMERLOH: Pahang muncul juara Piala Emas Raja-Raja setelah menewaskan Melaka 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh Ahad malam.

Sokongan padu lebih 5,000 penyokong tuan rumah yang membanjiri stadium nyata membakar semangat juang skuad Tok Gajah untuk muncul pemenang, sekaligus mengulangi kejayaan menjulang piala berkenaan pada 1980, menewaskan Perak 4-2.

Pahang nyaris mendahului pelawat pada minit ke-6 menerusi sepakan kencang Mohd Shaiful Amri dari luar kotak penalti, namun tindakan pantas penjaga gol berjaya menyelamatkan gawang Melaka daripada dibolosi.

Serangan balas yang diatur anak didik Mahmud Hassan membuahkan hasil untuk Melaka membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi rembatan Zailan Mohammad dari luar kotak penalti.

Namun semangat kental yang ditunjukkan skuad Tok Gajah berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-35 selepas Abd Malik Mat Ariff dikasari di depan kotak penalti.

Separuh masa kedua, anak didik Kamaruddin Shawkatali tidak memberi peluang kepada Melaka mencipta gol apabila larian pantas Mohd Fauzi Rozlan dari tengah padang berjaya menolak masuk bola ke dalam gawang pelawat pada minit ke-76.

Semangat tinggi yang disajikan pemain Pahang membawa kepada jaringan ketiga hasil tandukan Abd Malik Mat Ariff pada minit ke-78 berpunca daripada sepakan percuma Mohd Hafiz Kamal.

Sehingga wisel penamat kedudukan kekal Pahang 3 Melaka 1.

Hadiah disampaikan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

- BERNAMA

Vaksin mencegah penyakit

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

MEMANG terbukti pemberian vaksin kepada bayi dan kanak-kanak di Malaysia telah banyak mengurangkan kes kecacatan serta meningkatkan perlindungan terhadap penyakit berjangkit dan penyakit bahaya lain.

Apabila Kementerian Kesihatan mewajibkan pengambilan vaksin seperti BCG, Hepatitis B, DPT dan MMR terhadap bayi yang baru lahir, telah berjaya melindungi berjuta rakyat daripada penyakit seperti polio, tetanus, difteria, meningitis dan banyak lagi.

Malah kes seperti kecacatan kaki akibat polio juga amat jarang dilihat kini, semuanya kerana inisiatif yang telah diambil oleh pihak ibu bapa dan kerajaan dalam memberikan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat.

Namun ada sesetengah golongan di peringkat antarabangsa yang giat mempromosikan gerakan anti vaksin.

Dan dengan hebahan yang diadakan menerusi Internet dan sebagainya telah sedikit sebanyak berjaya menghakis segelintir pandangan ibu bapa tentang kebaikan vaksin ini.

Perunding kesihatan kanak-kanak dari Hospital Pakar An-Nur, Dr. Khairul Azman Mohd. Khalid berkata, vaksin secara umumnya memang halal.

"Ada fatwa sudah dikeluarkan dan mengatakan bahawa beberapa jenis vaksin yang dulu diragui halal kini sudah disahkan halal seperti rotavirus.

"Memang vaksin tiada mengandungi unsur babi dan fatwa mengatakan kita boleh mendapatkan vaksin tanpa was-was," jelasnya.

Menurut Dr. Khairul Azman, kurangnya pengetahuan di kalangan ibu bapa menyebabkan mereka meragui kebaikan suntikan vaksin untuk anak-anak.

Malah ada yang mempersoalkan tentang kesan sampingan pengambilan vaksin yang dikatakan mempunyai kesan mudarat untuk jangka masa panjang.

"Memang ada kesan sampingan tapi terlalu sedikit seperti demam atau tempat suntikan membengkak. Melalui kemajuan dalam bidang perubatan, ahli sains telah menghasilkan vaksin dengan kesan sampingan yang sangat minimum," katanya.

Dr. Khairul juga menangkis tanggapan mengatakan bahawa apabila anak demam selepas disuntik bermakna vaksin memberikan tindak balas positif.

"Itu tidak benar, kemajuan dalam penyelidikan dan penghasilan vaksin telah meminimumkan kesan sampingan pada anak-anak hingga mereka tidak demam atau berasa tidak selesa selepas disuntik vaksin," ujarnya.

Tegas Dr. Khairul Azman, vaksin sebenarnya meningkatkan sistem imunisasi kanak-kanak, dengan itu mereka akan menjadi lebih aktif dan boleh mengikuti pelajaran dengan lebih berkesan.

Sesetengah vaksin hanya perlu diambil sekali untuk seumur hidup sebagai contoh kanak-kanak yang mengambil vaksin cacar (chicken pox).

"Bayangkan manfaatnya, selepas mengambil vaksin tubuh badan mereka terlindung daripada virus tersebut dan jika alaminya pun tidaklah seteruk tanpa vaksin," jelasnya.

Tambah Dr. Khairul, tanggapan sesetengah ibu bapa yang mengatakan anak-anak lasak di kampung kurang terkena jangkitan penyakit dan lebih sihat berbanding di bandar adalah kerana faktor keadaan sekeliling.

"Pengudaraan ibu yang menjaga anak sendiri di rumah berbanding dengan di pusat jagaan di bandar adalah amat berbeza.

"Adalah salah jika membandingkan kanak-kanak di luar bandar lebih sihat berbanding di bandar walaupun mereka tidak mengambil vaksin," katanya.

Tambah Dr. Khairul lagi, kanak-kanak yang tidak mengambil vaksin di waktu kecil tetap boleh mengambilnya apabila remaja atau dewasa.

Cuma ada vaksin seperti rotavirus yang ada peringkat umur dan jika terlepas tidak boleh mendapatkannya kembali.

Bagi sesetengah kanak-kanak yang menghidapi penyakit seperti Down Sindrom amat disarankan pengambilannya.

Begitu juga dengan bayi yang lahir pra matang, bayi berpenyakit jantung, lelah juga sebaiknya memiliki pelalian ini.

"Bila ada imuniti yang diambil menerusi vaksin maka sistem imunisasi kanak-kanak ini akan menjadi lebih kuat.

"Ibu bapa perlulah menambah ilmu. Memang saya tidak nafikan adanya pergerakan yang melarang pengambilan vaksin ini secara besar-besaran, bukan sahaja di luar negara malah di Malaysia juga.

"Ibu bapa perlu tahu bahawa tidak mengambil sebarang pelalian menyebabkan anak-anak berpotensi untuk mendapat penyakit yang mencacatkan mereka.

"Memang vaksin yang kerajaan sarankan sudah cukup namun bagi ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat jagaan kanak-kanak di bandar perlu mengambil inisiatif untuk mendapatkan pelalian tambahan kepada anak-anak.

" Dengan pencegahan ini kita bukan sahaja mendapatkan ketenangan fikiran malah dapat menyelamatkan anak-anak daripada penyakit berjangkit yang boleh mengancam nyawa. Perlu juga ingat, kos rawatan lebih mahal daripada imunisasi yang diambil," ujarnya.

Sementara itu, bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai imunisasi, orang ramai boleh menyertai siri ceramah awam bertajuk Menguatkan Pertahanan Semulajadi Anak-Anak dari Dalam sempena kempen pembelajaran oleh NAN® Grow 3.

- UTUSAN

Ahad, Januari 01, 2012

Penyakit Tibi - Bahaya terpercik air liur

Adakah anda mengalami batuk berterusan melebihi dua minggu diikuti demam serta berpeluh pada sebelah petang dan malam, susut berat badan, hilang selera makan dan mudah letih?

Jika ya, anda mungkin dijangkiti penyakit tibi.

Mereka yang mengalami simptom di atas dinasihatkan segera menjalani pemeriksaan lanjut dengan membuat ujian kahak di klinik atau hospital.

Tindakan awal bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa anda malah dapat mengelak penyakit itu daripada merebak dan menjangkiti orang tersayang.

Pakar Perubatan Respiratori Hospital Pantai Ampang, Prof. Madya Dr. Nor Adina Ahmad Tajudin berkata, batuk sebenarnya sejenis mekanisme pertahanan fisiologi yang penting.

“Ia cara semula jadi tubuh untuk melindungi sistem pernafasan dengan mengeluarkan bahan rengsa atau rembesan daripada saluran udara,” katanya.

Justeru seseorang perlu berjumpa doktor jika batuk berpanjangan melebihi tiga minggu sehingga sesak nafas, mengalami kesakitan teruk atau pengsan.

Anda perlu risau jika batuk anda semakin teruk sehingga membawa kepada masalah lain seperti muntah darah dan sukar tidur malam.

Jika masalah itu berlaku, anda bukan lagi mengalami batuk biasa sebaliknya mungkin menghidap tibi.

Menurut Dr. Nor Adina, tibi atau nama saintifiknya Mycobacterium tuberculosis berpunca daripada kuman yang merebak melalui udara hasil titisan oleh penghidap penyakit tibi aktif.

Tambahnya, tibi boleh berjangkit dengan mudah kerana ia tersebar melalui udara seperti selsema.

Bahkan, ia boleh berjangkit melalui air liur dan hingus hanya dalam beberapa jam.

"Bakteria tibi boleh masuk ke dalam badan seseorang melalui saluran pernafasan sebelum ia menyerang paru-paru.

“Bayangkan seseorang itu boleh dijangkiti apabila penghidap tibi yang batuk, bersin, ketawa atau bercakap terpercik air liur," katanya.

Oleh itu, Dr. Nor Adina menasihatkan orang ramai menutup mulut dengan sapu tangan atau tisu setiap kali batuk mahupun bersin.

"Malangnya tidak ramai mengikut saranan ini. Masyarakat perlu jelas bahawa semua orang berisiko mendapat jangkitan, terutama golongan tua dan kanak-kanak di bawah empat tahun, tetapi sama ada ia menyebabkan penyakit atau tidak bergantung kepada daya ketahanan badan," jelasnya.

Lebih menakutkan, kuman tibi boleh hidup bertahun-tahun dalam badan manusia secara tidak aktif tanpa individu itu menyedari yang dia ialah pembawa kuman.

Dalam keadaan ini, dia bukan pesakit tetapi boleh menjangkiti orang di sekeliling khususnya warga emas dan kanak-kanak, jika tidak diberi rawatan segera.

Bukan hanya paru-paru, tibi juga boleh menyerang bahagian anggota badan yang lain.

- MINGGUAN MALAYSIA

Jadual Peperiksaan Memasuki Perkhidmatan Awam 2012

Berikut merupakan maklumat mengenai Jadual Peperiksaan Memasuki Perkhidmatan Awam bagi tahun 2012:


BIL. NAMA PEPERIKSAAN TARIKH PEPERIKSAAN BULAN HARI
1. Penguasa Kastam Gred WK1-1 [ Panduan ] 04.02.2012 Februari Sabtu
2. Penguasa Bomba Gred KB1-1 [ Panduan ]
(Bertulis dan PAC)
05.03.2012 - 07.03.2012

17.03.2012 - 19.03.2012
Mac Sabtu – Isnin
3. Juruaudit Gred W41 [ Panduan ]
14.04.2012
April Sabtu
4. Pegawai Imigresen Gred KP17
(Pemeriksaan Fizikal dan Pancaindera)
(Berserentak temu duga)
08.04.2012 - 20.04.2012
April Isnin – Jumaat
5. Pegawai Antidadah Gred S41[ Panduan ]
(PAC)
07.04.2012 - 06.05.2012
April - Mei
-
6. Pegawai Kebudayaan Gred B41 [ Panduan ]
(Bertulis dan PAC)
09.04.2012 - 13.04.2012
April Isnin – Jumaat
7. Penolong Penguasa Bomba Gred KB29 [ Panduan ]
(Bertulis dan PAC)
07.04.2012 - 09.04.2012

14.04.2012 - 16.04.2012
April Sabtu – Isnin
8. Penguasa Kastam Gred W41 [ Panduan ]
(PAC)
31.03.2012 - 29.04.2012 Mac - April
-
9. Pegawai Kawalan Trafik Udara Gred A41 [ Panduan ]
21.04.2012
April Sabtu
10. Perangkawan Gred E41 [ Panduan ]
(PAC)
28.04.2012 - 29.04.2012

12.05.2012 - 13.05.2012
April - Mei -
11. Latihan Separa Perubatan Gred U29 [ Panduan ]
(Ujian Psikometrik)
06.05.2012 - 31.05.2012

01.06.2012
Mei - Jun -
12. Ahli Fotografi Gred B17 [ Panduan ] 08.05.2012 - 11.05.2011 Mei Selasa – Jumaat
13. Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred M41 [ Panduan ]
12.05.2012
Mei Sabtu
14. Leftenan Muda Maritim Gred X13
(Pemeriksaan Fizikal dan Pancaindera)
14.05.2012 - 18.05.2012 Mei Isnin – Jumaat
15. Laskar Kelas II Gred X1
(Pemeriksaan Fizikal dan Pancaindera)
14.05.2012 - 18.05.2012 Mei Isnin – Jumaat
16. Pereka Gred B27 [ Panduan ]
(Peperiksaan dan PAC)
29.05.2012
Mei Selasa
17. Pembantu Pertahanan Awam Gred KP17
(Pemeriksaan Fizikal dan Pancaindera)
04.06.2012 - 08.06.2012 Jun Isnin – Jumaat
18. Pegawai Teknologi Maklumat Gred F41 09.06.2012 Jun Sabtu
19. Penerbit Rancangan Gred B27 [ Panduan ]
(Peperiksaan dan PAC)
18.06.2012 - 22.06.2012
Jun Isnin - Jumaat
20. Penolong Akauntan Gred W27
Penolong Juruaudit Gred W27
07.07.2012 Julai Sabtu
21. Penolong Kawalan Trafik Udara Gred A29 18.07.2012 Julai Rabu
22. Setiausaha Pejabat Gred N27
Penolong Pegawai Tadbir Gred N27 [ Panduan ]
25.08.2012 Ogos Sabtu
23. Penolong Pegawai Penerangan Gred S27
Penolong Pegawai Kurator Gred S27
Penolong Pegawai Psikologi Gred S27
Penolong Pegawai Antidadah Gred S27
15.09.2012 September Sabtu
24. Pegawai Psikologi Gred S41 26.09.2012 September Rabu
25. Penguasa Penjara Gred KX41
(Pemeriksaan Fizikal dan Pancaindera)
01.10.2012 - 05.10.2012 Oktober Isnin – Jumaat
26. Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Gred F29
Penolong Pegawai Latihan Gred E27
Penolong Pegawai Latihan Vokasional Gred J29
13.10.2012 Oktober Sabtu
27. Latihan Separa Perubatan Gred U29 [ Panduan ]
(Ujian Psikometrik)
14.10.2012 - 31.10.2012

01.11.2012 - 02.11.2012
Oktober - November -
28. Penolong Penguasa Imigresen Gred KP27
Penolong Pegawai Pertahanan Awam Gred KP27
Penolong Pegawai Penguatkuasa (JPJ) Gred N27
(Pemeriksaan Fizikal dan Pancaindera)
18.10.2012 – 25.10.2012

26.10.2012
(Hari Raya Qurban)
Oktober Isnin – Jumaat
29. Leftenan Maritim Gred X15
(Pemeriksaan Fizikal dan Pancaindera)
05.11.2012 - 09.11.2012 November Isnin – Jumaat
30. Penguasa Kastam Gred W41 [ Panduan ]
17.11.2012
November Sabtu



* Tertakluk kepada perubahan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) : http://www.spa.gov.my/Portal/Jadual_Peperiksaan



Recent Posts