Penguatkuasaan undang-undang harta intelek di Malaysia

PADA zaman ini, antara sedar atau tidak setiap hari kita akan melakukan sekurang-kurangnya satu perkara yang berkait dengan harta intelek, seperti memainkan muzik atau lagu, menonton filem, membaca buku, menggunakan program komputer, memakai pakaian dan aksesori berjenama, penggunaan ubat dan sebagainya.

Harta intelek bukan lagi suatu istilah baru di Malaysia. Penguatkuasaannya pula sudah lama dijalankan melalui dua undang-undang tersohor iaitu Akta Perihal Dagangan 2011 (dulu dikenali sebagai Akta Perihal Dagangan 1972) dan juga Akta Hak cipta 1987.

Sebelum tahun 1987, perundangan berkaitan hak cipta dikuatkuasakan oleh Polis Diraja Malaysia melalui Akta Hak Cipta 1969 sehinggalah ia diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Namun, di kalangan masyarakat kita, dua isu utama yang sinonim dengan pelanggaran hak harta intelek adalah penjualan barang-barang tiruan dan juga cetak rompak. Saban tahun kita mendengar mengenai rampasan yang dibuat KPDNKK. Statistik Bahagian Penguat kuasa KPDNKK menunjukkan bagi tempoh Januari 2011 hingga November 2011, sebanyak 3,033 kes telah diambil membabitkan kesalahan di bawah kedua-dua akta ini dengan rampasan barang-barang bernilai lebih RM37.5 juta.

Persoalannya sejauh mana penguatkuasaan yang dijalankan benar-benar dapat mengatasi masalah yang dihadapi. Ini kerana penyelewengan masih berlaku malah terdapat banyak barang berjenama bebas dijual di merata-rata tempat. Di mana silapnya? Penguatkuasaan lemah atau persepsi yang salah? Atau benarkah penguatkuasaan yang dijalankan tidak memberi kesan positif berbanding sepuluh tahun yang lalu?

Berita Harian baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini.
Beliau mengakui bahawa bukan mudah untuk membasmi kegiatan pengedaran barang-barang tiruan dan cetak rompak di negara ini dalam masa singkat kerana ia mendapat permintaan tinggi serta didalangi oleh kumpulan sindiket yang terancang.

Namun pada masa sama beliau menolak dakwaan mengatakan tindakan penguatkuasaan yang diambil selama ini tidak memberi kesan kerana trend yang berlaku menunjukkan kegiatan itu semakin berkurangan atau berlaku dalam skala semakin kecil. Beliau mendakwa kenyataan itu dibuat berasaskan kepada dua tanda aras iaitu United States Trade Representative (USTR) ’Special 301 Report’ dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di beberapa kawasan panas seperti di Holiday Plaza di Johor Bahru, Batu Feringhi di Pulau Pinang serta Jalan Petaling dan Kawasan Segi tiga Emas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sejak 1989 USTR telah membuat penilaian ke atas 77 buah negara rakan niaga Amerika Syarikat di seluruh dunia mengenai tahap perlindungan hak harta intelek di negara masing-masing. Pelabur dari serata dunia terutama yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengguna pakai penilaian ini bagi menjalankan perniagaan di sesebuah negara.

Bermula pada tahun 2000, Malaysia diletakkan di dalam ’priority watch list’, satu kategori yang melihatkan perlindungan hak harta intelek yang lemah. Namun, atas usaha gigih Kerajaan Malaysia khususnya KPDNHEP (ketika itu) dalam menjalankan aktiviti membanteras kegiatan cetak rompak dan barang tiruan, Malaysia telah dikeluarkan dari kategori itu pada 2002 dan di naik taraf kepada kategori ’watch list’ saja sebaris dengan negara terkemuka antaranya Finland, Sepanyol, Itali, Norway dan Turki.

Sehingga kini Malaysia masih tersenarai dalam ’watch list’ dan usaha untuk melindungi hak harta intelek telah di perhebatkan. Berdasarkan perancangan tindakan dan usaha pembanterasan ini, Roslan begitu optimis bahawa Malaysia akan dikeluarkan terus dari Special 301 Report menjelang 2020 dan diiktiraf sebagai negara yang memberi perlindungan hak harta intelek seperti negara maju yang lain.

Satu lagi asas ukuran yang digunakan adalah Petunjuk Prestasi Utama atau KPI. Berbanding tahun 2010 yang menetapkan sasaran pematuhan hak harta intelek di kawasan panas sebanyak 30%, tetapi tahun ini dengan sasaran yang ditingkatkan kepada 50 peratus telah memperlihatkan kejayaan besar apabila berjaya mencapai lebih 80 peratus pematuhan sehingga November 2011. Dalam konteks barang-barang tiruan, perkiraan hanya ditumpukan kepada jenama tertentu yang terdapat dalam senarai bakul jenama (Basket of Brands - BOB).

Roslan menegaskan trend positif yang berlaku sekarang banyak dipengaruhi oleh penguatkuasaan berterusan serta perancangan strategik yang dilakukan oleh Bahagian Penguat kuasa KPDNKK yang berfokuskan kepada P.E.L.T iaitu Partnership (Perkongsian), Enforcement (Penguatkuasaan), Legislation (Perundangan) dan Training (pendidikan/latihan).

Perkongsian

Perkongsian yang dimaksudkan ini meliputi kerjasama antara pemilik hak cipta dan cap dagang. Terbaru, pengenalan BOB adalah hasil kerjasama antara KPDNKK dengan pemilik cap dagang dalam dan luar negara. Sebelum ini KPDNKK menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan kes kerana keengganan pemilik cap dagang membuat pengecaman ke atas barang disita yang juga suatu tuntutan undang-undang.

Kegagalan menyelesaikan kes telah menimbulkan persepsi seolah-olah KPDNKK tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas. Namun dengan pengenalan BOB, KPDNKK hanya akan memberi keutamaan penguatkuasaan kepada jenama yang tersenarai saja yang mana pemilik cap dagangnya telah pun memeterai persefahaman untuk bekerjasama bagi membuat pengecaman dan memberi keterangan di mahkamah.

Dengan cara ini, semua kes yang diambil akan dapat diselesaikan mengikut kehendak undang-undang. Pendekatan ini hampir serupa dengan apa yang diguna pakai di Hong Kong dan beberapa negara maju yang lain.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Roslan menegaskan KPDNKK tidak lagi akan mengambil tindakan ke atas jenama yang mana pemilik cap dagangnya tidak mahu memberi kerjasama seperti dikehendaki undang-undang.

Namun pada masa yang sama ini juga tidak bermakna jenama mereka tidak dilindungi undang-undang kerana pemilik cap dagang masih boleh mengambil tindakan secara sivil ke atas mana-mana pihak yang meniru jenama mereka.

Penguatkuasaan

Penguatkuasaan dan tindakan undang-undang bukanlah suatu perkara yang baru malah dijalankan secara berterusan sejak sekian lama. Di samping melakukan operasi secara bersendirian, KPDNKK turut mengadakan operasi secara besar-besaran bersama agensi lain seperti Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Pihak Berkuasa Tempatan. Dua jawatankuasa khas yang dikenali sebagai Pasukan Petugas Khas Membanteras Barang Tiruan dan Pasukan Petugas Khas Membanteras Cetak Rompak telah dibentuk khusus untuk menangani isu penguatkuasaan hak harta intelek secara terancang dan berterusan.

Disamping itu, Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK turut mengambil satu pendekatan penguatkuasaan yang strategik melalui kaedah examplar. Di bawah kaedah ini, sampel cakera optik akan diambil dari kilang yang terdapat di Malaysia dan dihantar ke Makmal Forensik Kimia, Petaling Jaya untuk menentukan DNA. Dengan adanya sampel DNA ini, Bahagian Penguat kuasa boleh dengan mudah mengesan kilang yang mengeluarkan CD/VCD cetak rompak sama ada ia dijumpai dalam pasaran Malaysia mahupun di luar negara.

Sehingga kini Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mengamalkan kaedah ini. Ekoran kaedah ini juga, banyak kegiatan pengeluaran CD/VCD cetak rompak oleh kilang di Malaysia telah berjaya dipatahkan dan lesen mereka juga dibatalkan. Sehingga kini Malaysia mempunyai sebanyak 19 kilang cakera optik berbanding 44 sebelum ini.

Perundangan

Malaysia adalah di antara negara yang begitu serius dalam memastikan setiap undang-undang yang ada berkaitan dengan perlindungan hak harta intelek dikuatkuasakan sepenuhnya termasuklah membuat pindaan untuk memantapkannya. Selain Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Perihal Dagangan 2011, KPDNKK turut menggunakan Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010. Melalui Perintah ini, adalah menjadi kesalahan terhadap mana-mana orang yang didapati menjual cakera optik seperti CD/DVD/VCD yang baginya tidak dilekatkan dengan label cakera optik dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi. Untuk mendapatkan label cakera optik ini pula, hanya tuan punya hak cipta sahaja yang dibenarkan untuk mendapatkannya daripada KPDNKK.

Satu lagi undang-undang yang mengawal kegiatan pelanggaran hakcipta di peringkat pengeluaran ialah Akta Cakera Optik 2000. Ia digubal khusus untuk melesen dan mengawalselia pengilangan cakera optik dan pada masa yang sama menghapuskan kilang-kilang haram yang mengeluarkan cakera optik dengan salinan langgaran karya-karya berhakcipta. Penalti bagi kesalahan di bawah perundangan ini adalah denda sehingga RM500,000.00.

Undang-undang yang ada juga telah dipinda dengan menetapkan denda yang tinggi. Bagi kesalahan di bawah Akta Hakcipta 1987, denda minimum adalah RM2,000 bagi setiap satu salinan langgaran, Akta Perihal Dagangan 2011, denda sehingga RM15,000 bagi setiap unit barang tiruan dan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010 denda sehingga RM100,000 atau 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagi tempoh 11 bulan pertama 2011, sebanyak 13 kes berjaya disabitkan di mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM 3.83 juta. Sebagai tindakan yang lebih efektif, selain hukuman denda dan penjara, harta dan wang yang diperoleh daripada kegiatan haram ini boleh di bekukan, dirampas dan dilucuthakkan dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pendidikan/Latihan

Satu lagi cabaran besar yang harus dihadapi KPDNKK dalam memastikan keberkesanan penguatkuasaan yang efektif adalah daripada aspek pendidikan. Walaupun bilangan kes yang banyak sudah diambil, namun ia tidak akan dapat dibanteras sepenuhnya jika pengguna masih memberi sokongan dan membeli barang tiruan dan cetak rompak.

Kesedaran tentang pentingnya masyarakat menghormati hak harta intelek di negara ini adalah masih rendah. Ini dapat dilihat daripada pembelian yang dibuat terutama di pasar malam dan premis terbuka. KPDNKK telah berusaha untuk meningkatkan tahap kesedaran ini melalui pelbagai cara termasuklah menayangkan iklan di media massa seperti televisyen, radio dan pawagam, menjalankan program outreach kepada pelbagai lapisan masyarakat seperti siri jelajah ke sekolah rendah, seminar kepada pelajar menengah dan IPT serta penjualan karnival barang tulen kepada orang awam.

Dalam konteks latihan pula, usaha untuk meningkatkan kecekapan dan kemahiran pegawai penguat kuasa sentiasa dilakukan bagi memastikan setiap tindakan dapat diambil dengan lebih efektif. Terbaru, KPDNKK turut memanggil rakan agensi penguatkuasaan dari luar negara untuk berkongsi amalan baik yang dilakukan di negara mereka semasa Konvensyen Penguatkuasaan Hak Harta Intelek berlangsung di KLCC pada 20 Oktober 2011. Antara yang hadir ialah wakil dari agensi penguatkuasaan di United Kingdom, Singapura dan juga wakil dari USTR yang berpengkalan di Washington.

Amat penting bagi negara untuk terus menguatkuasakan perlindungan hak harta intelek bagi membuktikan kepada dunia bahawa kita adalah negara yang bertamadun dan menghormati hak harta intelek. Tidak dinafikan faktor ini turut membantu negara dalam menarik pelabur asing khususnya bagi sektor industri membabitkan harta intelek.

Roslan dalam kenyataannya melahirkan keyakinan tinggi bahawa usaha dan perancangan dalam memerangi kegiatan cetak rompak dan barangan tiruan di negara ini berada di atas landasan yang betul. Tindakan yang diambil menampakkan kesan positif.

Tahap pematuhan juga semakin meningkat dari tahun ke tahun walaupun dalam kadar yang agak sederhana. Masyarakat diseru supaya tidak memberi sokongan atau membeli barang-barang tiruan dan cetak rompak yang jelas tidak bermoral.

Ia bukan saja menjejaskan ekonomi tetapi turut mendedahkan rakyat kepada isu moral, bahaya dan keselamatan terutama berkaitan dengan produk pengguna.

- BERITA HARIAN Penguatkuasaan undang-undang harta intelek di Malaysia

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.