Selasa, Disember 27, 2011

Tonton drama percuma di blog

SESUATU yang berbaloi apabila peminat tegar drama Korea (Korea Selatan) boleh muat turun di laman web bagi menikmati siarannya walaupun terpaksa berperap lama semata-mata berkongsi rasa seronok dengan apa ditontonnya.

Pengalaman menonton drama Four Season Drama Art Gallery (Four Season), Coffee Prince Cafe, Snow Queen, Autum, Hello My Lady, Still Marry Me, Princess Man (sekadar menyebut beberapa nama) antara drama yang menjadi kegilaan ramai peminat drama itu di negara ini dan mencetus fenomena tersendiri.

Melihat kecenderungan itu mendorong syarikat PlayTV Asia Sdn Bhd menerusi Maaduu.com menyiarkan drama Korea yang boleh ditonton melalui blog secara percuma.

Ia syarikat pertama di Asia menyiarkan drama terkini daripada stesen televisyen Korea Selatan iaitu Korea Broadcasting System (KBS) dan Munhwa Broadcasting Corporation (MBC) dengan mendapat hak penyiaran sehingga membolehkan syarikat yang menaunginya iaitu PlayTV Asia Sdn Bhd menyiarkan drama dengan menyediakan sari kata dalam dwibahasa iaitu bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Manakala sarikata dalam bahasa Mandarin dan Indonesia dapat dinikmati sebulan lagi.

Selain itu, penggemarnya dapat memanfaatkan teknologi ‘pure streaming’ bagi membolehkan videonya ditonton dengan saiz paling kecil iaitu 300 kilobait sesaat dan ia dapat dinikmati dalam tempoh 48 jam selepas tayangannya di televisyen Korea.

Menurut pengasas syarikat berkenaan, Syed Yazrine Shahab, Maaduu.com membawa pelbagai rancangan dan kandungan perdana daripada saluran TV Korea secara percuma kepada peminatnya di negara ini mengikut saluran betul.

Dia yang juga pengurus bersekutu syarikat itu berkata, kewujudan laman berkenaan semata-mata berdasarkan kecenderungan penggemar drama Korea melayari laman web secara ‘curi-curi’ untuk menontonnya, lalu dia bersama empat rakan kongsi mengambil inisiatif menghasilkan sebuah laman berdaftar dan boleh dilayari tanpa bayaran sejak setahun lalu.

“Kami tidak menduga menerusi laman ‘fanpage Facebook’ itu, kini lebih 1.6 juta orang memanfaatkannya dan angka itu terus meningkat seiring dengan pelancaran ke Indonesia, baru-baru ini. Bayangkan dalam masa tidak sampai dua minggu, angkanya meningkat melebihi sejuta,” katanya.

Syed Yazrine tidak menafikan ada penonton mendesak tahap masa ‘dipercepatkan’ iaitu kurang daripada 48 jam. Namun katanya, ia bukan sesuatu yang mudah kerana perlu memproses fail drama serta menyediakan sari kata dalam pelbagai bahasa termasuk Melayu, Inggeris dan yang lain sebelum disiarkan di laman web.

Mengenai kualiti gambar pula, Syed Yazrine berkata, ia sama seperti menonton drama daripada cakera padat digital (DVD) dan boleh ditonton di televisyen jika mempunyai sambungan Antaramuka Multimedia Definisi Tinggi (HDMI).

Bagaimanapun, katanya, demi keselesaan ketika menonton drama, iklan iaitu antara elemen yang dianggap mengganggu tayangan hanya diperlihatkan pada selingan tertentu saja.

Dalam merealisasikan impian peminat drama Korea, syarikat berkenaan baru-baru ini menerbangkan pemenangnya selama lima hari ke Korea bagi memberikan pengalaman bermakna buat mereka.

“Kami mengadakan peraduan berdasarkan drama yang ditonton dan tiga pemenang yang dipilih boleh membawa seorang kenalan bersama menikmati percutian di negara itu,” katanya.

Syed Yazrine berkata kebanyakan pemenang bukan hanya meminati drama Korea tetapi juga peminat fanatik aliran muzik pop negara itu yang dikenali sebagai K-pop.

Sepanjang percutian ke negara itu, pelbagai aktiviti diadakan, termasuk melancong ke pelbagai tempat menarik selain bermain ski di Phoenix Park Resort yang terletak di daerah Gangwon-Do.

“Rata-rata pemenang dan ahli rombongan kami menyatakan pengalaman bermain ski di gunung itu adalah paling menarik, selain menonton persembahan muzik secara langsung di studio KBS yang menyaksikan kumpulan muzik popular bertanding.

“Mereka juga dibawa melancong ke beberapa tempat pelancongan menarik, misalnya Pulau Nami yang menjadi lokasi penggambaran drama popularnya selama ini.

“Semua pendedahan itu memberikan pengalaman berguna kepada pemenang serta anggota rombongan, dan kami puas kerana dilayan bagai orang kenamaan oleh pihak KBS. Pengalaman ini turut memberi semangat kepada orang ramai supaya terus setia melayari blog kami kerana usaha seperti itu akan berterusan pada tahun depan dan mungkin banyak lagi program menarik bakal disediakan,” katanya.

Tiga pemenang peraduan dianjurkan Maaduu.com ketika ditemui berkata, bermain ski antara pengalaman yang tidak akan dilupakan ketika berkunjung ke Korea baru-baru ini.

Nur Azmah Aziz, 22, berkata menonton drama Korea berjam-jam setiap kali pulang daripada kerja tidak sia-sia kerana akhirnya berpeluang melancong ke Korea apabila dipilih sebagai pemenang.

“Apabila mengetahui Maaduu.com mengadakan peraduan, saya menonton drama bersama rakan, Farah Mustaffa. Pernah saya menonton selama empat jam tanpa henti dengan hanya berperap di bilik.

“Saya menjawab soalan dan Farah pula membuat slogan sebagai memenuhi syarat ditetapkan. Apabila diumumkan sebagai pemenang, saya turut membawa Farah ke Korea.

“Usaha kami berbaloi kerana pengalaman di Korea sungguh indah, terutama menyaksikan persembahan Music Bank di KBS dan aksi hebat artis pujaan, termasuk Wonder Girls,” katanya.

Norliana Abdul Rahim, 23, penuntut tahun akhir Diploma Kejururawatan Politeknik Nanyang, Singapura juga mengakui hanya ‘suka-suka’ menyertai peraduan itu dan tidak menduga diumumkan antara pemenang.

Berkongsi kegembiraan dengan membawa rakannya, Sakinah Tamzin, 20, mereka merasakan seolah-olah bermimpi sebaik diberi peluang bermain ski.

“Setiap malam saya menghabiskan dua jam menonton drama yang saya minati sebaik tamat kelas. Menonton drama seolah-olah satu kemestian sebelum masuk tidur.

“Paling seronok menonton drama di Maaduu.com kerana ia satu-satunya laman yang menyediakan sari kata berbahasa Melayu, manakala saya peminat tegar drama Korea dan pengikut setia K-pop.

“Apabila dihubungi PlayTV Asia Sdn Bhd untuk memaklumkan pemilihan saya sebagai pemenang, saya menjerit kegembiraan. Kenangan terindah di Korea pastinya pengalaman bermain ski,” katanya.

Clarrisha Hong Kah Wai, 18, penuntut matrikulasi yang bakal melanjutkan pelajaran ke Australia, adalah peminat fanatik lagu pop Korea dan dramanya.

Hal itu diakui ibunya, Lily Kan, 40-an, yang menggalakkan anaknya menyertai peraduan dengan menonton drama disiarkan syarikat berkenaan.

“Keseronokan menonton drama Korea ialah keindahan lokasinya di samping plot atau jalan ceritanya yang menarik perhatian. Selalunya saya menonton bersama ibu, kakak dan adik. Di Korea, saya seronok melihat rakan bermain salji walaupun saya tidak mencubanya,” kata Clarrisha.


INFO:

Untuk menjadi ahli, hanya perlu memasuki laman sesawang Facebook, sekali gus diterima menjadi ‘fanpage Facebook’

Kelebihan menonton drama Korea sama seperti anda memanfaatkannya daripada cakera padat digital (DVD) dan boleh ditonton di televisyen jika mempunyai sambungan Antaramuka Multimedia Definisi Tinggi (HDMI)

Dapat dinikmati dalam tempoh 48 jam selepas tayangannya di televisyen Korea Selatan

- HARIAN METRO

Wanita memuaskan diri dengan berbelanja ribuan ringgit untuk kosmetik

Langkah golongan wanita berbelanja beribu-ribu untuk membeli barangan kosmetik dianggap sebagai terapi baru menghilangkan tekanan dan memuaskan diri.

Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Lembaga Akademi Keusahawanan Islam Alfafa, Datin Reny Rahayu Mohd. Ishak menolak andaian bahawa perbuatan menghias diri oleh golongan berkenaan bertujuan menarik perhatian orang.

“Kebanyakan wanita yang bersikap demikian sebenarnya mahu memberi ganjaran dan memuaskan diri mereka selain menjadikan ia sebagai terapi bagi menghilangkan tekanan.

“Selain itu, kecantikan itu turut membantu meningkatkan keyakinan diri mereka kerana wanita zaman kini kebanyakannya mempunyai kerjaya dan sering berhadapan dengan orang ramai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan mengenai wanita Malaysia yang dikatakan sanggup berhabis sehingga RM2,000 sebulan semata-mata untuk membeli produk kosmetik pelbagai jenama yang terdapat di pasaran.

Sementara itu, Ketua Konsultan Syarikat K&A Applied Psychology Consultancy, Khairol Anuar Masuan berkata, menurut kajian, majoriti golongan wanita beranggapan mereka hanya akan kelihatan cantik jika mereka menggunakan peralatan solekan yang mahal.

“Golongan yang obses terhadap kecantikan selalunya tidak akan berfikir panjang apabila berbelanja sehingga ada yang sanggup berhutang semata-mata mahu membeli keperluan kosmetik jenama antarabangsa.

“Mereka juga sanggup menggunakan kaedah yang bahaya dengan melakukan pembedahan dan suntikan bagi mengubah diri mereka walaupun mengetahui tindakan itu boleh memudaratkan kesihatan hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Malaysia, Fauziah Mohd. Ramly berkata, golongan wanita perlu bijak menterjemahkan erti kecantikan dengan lebih seimbang dan menyeluruh tanpa bertindak keterlaluan hingga memudaratkan diri.

“Ia sangat menyedihkan apabila wanita di negara sanggup membazir dan mengeluarkan belanja yang banyak hanya untuk kecantikan sedangkan peruntukan itu boleh digunakan untuk tujuan yang lebih baik.

“Contohnya, mereka boleh menyimpan wang itu untuk perancangan di masa hadapan memandangkan kos sara hidup di negara ini yang semakin meningkat,” katanya.

Tambah beliau, wanita di negara ini perlu menjadikan kes mangsa-mangsa produk kecantikan yang teraniaya hingga menyebabkan kematian sebagai teladan.

- UTUSAN

Lelaki magnet kembali beraksi


IPOH – Setelah lebih setahun menyepi, Tan Kok Thai, 72, warga emas yang memiliki kuasa magnet sehingga dapat melekatkan pelbagai objek di badannya sejak tahun 2002 kini kembali.

Dia yang berasal dari Gunung Rapat di sini mendakwa mempunyai keistimewaan terbaharu apabila kulit tubuhnya tidak lut apabila dilumur dengan serpihan kaca tajam.

“Dahulu, saya pernah dicabar seorang lelaki dari India agar mempelbagaikan kemahiran selain hanya melekatkan pelbagai objek pada badan.

“Baru-baru ini, saya cuba melumurkan badan dengan serpihan kaca tajam dan nyata ia langsung tidak melukakan kulit saya,” katanya ketika mengunjungi pejabat Kosmo! di sini semalam.

Serentak dengan itu, katanya, dia membuat keputusan untuk menarik balik hasratnya untuk bersara seperti mana yang dibuatnya pada Julai tahun lalu demi untuk berbakti kepada masyarakat.

“Kenangan mengadakan persembahan amal membantu mengutip derma bagi pertubuhan anak yatim dan miskin sentiasa mengusik perasaan saya.

“Sekarang saya bersedia mempamerkan keistimewaan saya semula bagi membantu golongan memerlukan selagi hayat masih ada,” katanya.

- KOSMO!

Pakatan Rakyat Lancar Manifesto Pilihan Raya Pada Konvensyen Januari 2012

ALOR SETAR: Pakatan Rakyat akan melancarkan manifesto untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada konvensyen kebangsaannya pada Januari ini.

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata konvensyen ketiga pakatan pembangkang akan diadakan pada 14 Januari di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini.

Seramai 1,800 perwakilan dan 200 pemimpin-pemimpin dari DAP, PAS dan PKR akan menghadiri konvensyen itu, katanya.

Wan Salleh berkata Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang dijangka melancarkan manifesto itu nanti.

Manifesto tersebut berdasarkan Rangka Kerja Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Buku Jingga), kata beliau dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Wan Salleh juga berkata manifesto itu juga akan diagihkan kepada mereka yang menghadiri majlis pelancaran itu.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan Anwar tidak menghadiri konvensyen itu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi pada perbicaraan kes liwatnya yang akan diberikan pada 9 Januari, Wan Salleh berkata ini tidak akan menjejaskan tumpuan parti.

"Walau apa pun keputusannya, ia tidak akan menjejaskan momentum parti. Kami akan terus bekerja keras untuk parti," katanya.

- MSTAR

Semakan dasar pendidikan

TAN SRI DR. NORDIN KARDI
Penyandang Kursi Za'ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris

PENGUMUMAN oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini tentang penubuhan jawatankuasa menyemak semula dasar dan pelaksanaan pendidikan di negara ini seharusnya mengusik deria semua pihak dari orang tua hingga kanak-kanak yang sudah pandai membezakan perkara buruk dan perkara baik.

Hal ini sewajarnya demikian kerana pendidikan adalah segala-galanya bagi negara Malaysia yang aman dan makmur ini. Rekod menunjukkan bahawa pembangunan pendidikan adalah sektor kemajuan negara terbaik. Meski banyak melalui gelombang cabaran, data-data memihak kepada kenyataan bahawa sektor pendidikan berjaya cemerlang mengatasi segala pukulan gelombang tersebut berbanding upaya-upaya negara dalam sektor lain.

Pengumuman bahawa Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia yang sangat berpengalaman itu mempengerusikan jawatankuasa yang dimaksudkan sangat dialu-alukan. Saya yakin beliau akan memimpin jawatankuasa itu dengan pendekatan saintifik yang tepat bukan berpandukan semangat sahaja yang berkobar-kobar tetapi berada di awang-awangan atau atas pertimbangan tahyul-tahyul politik yang kerap membingungkan.

Sudah tentu aspek politik tidak boleh dikesampingkan kerana ia juga sebahagian daripada urat nadi kesejahteraan negara, namun semua pertimbangan politik itu hendaklah dianalisis secara saintifik berpandukan data konkrit bukan dengan buaian lagu sentimental.

Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang farmasi, Dzulkifli hendaklah menyuntik dirinya dengan ubat pelali daripada dijangkiti wabak sentimental itu. Dia hendaklah tidak melayan jelingan menikam atau suara keras anggota jawatankuasa itu nanti, tapi dengar apa isi dan maksud suaranya yang nyata dan yang tersembunyi.

Sambil mempertimbangkan praktikaliti suasana semasa Dzulkifli hendaklah tidak membelakangi dasar-dasar yang lepas sambil tidak pula taksub mempertahankannya. Untuk tujuan itu wajiblah dia meneliti dua akta penting terdahulu iaitu Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Jarak masa 35 tahun diambil bagi melaksanakan Akta Pelajaran 1961 sebelum dianya disemak berbanding Akta 1996 yang belum mencapai usia baligh 15 tahun.

Beliau hendaklah mula bermenung bermuhasabah mengapa dasar yang baharu berusia empat belas tahun itu hendak disemak?

Jawapan seperti 'dunia telah berubah dengan pantas' mungkin jawapan yang sangat memujuk dan munasabah, namun beliau hendaklah tidak terus tergoda dengan jawapan mudah, sebaliknya berpegang teguh kepada prinsip saintifik bahawa kebenaran hendaklah diselongkar dari segenap penjuru. Setelah ditemui dengan nyata dan yakin potonglah tumor, kudis atau lebihan lemak yang tidak menyihatkan tetapi jangan abaikan intan permata yang ada di dalamnya yang boleh digilap sampai berkilau.

Selain itu, Dzulkifli juga hendaklah meneliti Penyata Razak 1957 dan Ordinan Pelajaran 1957 yang merupakan hembusan roh pertama dunia pendidikan Malaysia merdeka. Akta-akta lain yang mesti diteliti juga termasuk Akta Bahasa Kebangsaan 1964, 1967 dan semakan 1971.

Demikian juga Akta Universiti dan Universiti Kolej 1975 dan semakannya 1975 dan 1996; Akta Politeknik 1974, Akta Majlis Peperiksaan 1980, Akta IPTS 555, 1996 dan Akta 556 LAN 1997.

Sudah tentu Dzulkifli juga akan dengan teliti membaca semula laporan-laporan negara mengenai pelajaran atau pendidikan yang terdahulu seperti Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Mengenai Pengajian Tinggi 1967 dan Laporan Universiti Malaya selepas 13 Mei 1970 dan Laporan Mahathir 1979.

Jawatankuasa yang akan bermesyuarat itu nanti akan menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan keberanian mengusik beberapa perkara sensitif dan sentimental tetapi amat penting untuk diteliti dalam konteks Malaysia menjadi negara bangsa dalam millenium 21 yang memerlukan kekuatan dan kepantasan luar biasa.

Malaysia, yang mempunyai tiga kategori institusi pendidikan seperti Seksyen 16 Akta Pendidikan 1996 iaitu institusi pendidikan kerajaan; institusi pendidikan bantuan kerajaan dan; institusi pendidikan swasta, mungkin boleh diibaratkan seperti sebuah kenderaan yang mempunyai beban berat dan mengganggu sistem mekanikal yang saling bercanggah untuk terbang seperti kilat di angkasa lepas. Beranikah Dzulkifli mengusiknya?

Beranikah juga nanti jawatankuasa itu menyentuh Seksyen 2 Akta Pelajaran 1996 yang antara lain di dalamnya terkandung kedudukan sekolah Cina dan sekolah Tamil, demi menjayakan hasrat melahirkan kesatuan negara Malaysia?

Dasar terbuka pentadbiran awam yang diumumkan kerajaan baru-baru ini mudah-mudahan akan disentuh juga oleh jawatan kuasa ini nanti. Akta Pendidikan 1996 nampaknya seperti mundur dalam konteks pelantikan meskipun tidak ramai orang mengetahuinya.

Akta Pelajaran 1961 misalnya membiarkan secara terbuka sesiapa sahaja boleh dilantik untuk menjadi Ketua Pengarah Pelajaran tetapi Akta 1996 menyebut dengan terang bahawa Ketua Pengarah Pendidikan boleh dilantik daripada kalangan penjawat Perkhidmatan Pelajaran sahaja.

Pemikiran Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang membawa gagasan perkhidmatan awam terbuka harus disokong dan dilihat sebagai langkah berani dan kehadapan demi kecemerlangan kepimpinan pendidikan juga. Akta Pelajaran 1961 menyamai hasrat KSN menjadikan Jawatan Utama di Kementerian-Kementerian sebagai Jawatan Terbuka yang baru-baru ini diumumkan.

Demikian juga kuasa melantik yang saya sering timbulkan dalam beberapa tulisan terdahulu tentang bagaimana berpindahnya beberapa kuasa daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada orang politik/eksekutif iaitu Menteri. Akta Pelajaran 1961 menyebut kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Pengarah Pelajaran, Ketua Pendaftar Sekolah, Ketua Pendaftar Guru, Timbalan Pendaftar Guru, Ketua Nazir Sekolah dan Pengelola Peperiksaan.

Adakah bijaksana sekiranya kuasa Yang di-Pertuan Agong membuat pelantikan itu dikembalikan, terpulang sepenuhnya kepada kebijaksanaan jawatankuasa itu nanti menelitinya semula. Demikian juga dengan pelantikan naib canselor yang dahulunya di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri yang kemudian dipindahkan kepada kuasa Menteri dalam Akta Pendidikan 1996. Tidak ramai ahli masyarakat sekolah dan universiti yang menyedari akan perpindahan kuasa-kuasa ini pada 1996.

Pengalaman Dzulkifli dalam Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) dan di Persatuan Antara Bangsa Universiti-universiti yang berpusat di Eropah dan Amerika Selatan yang pernah saya turut sertai tentu mempunyai pengaruh semasa dia mempengerusikan siri perbincangan itu nanti.

Namun amat munasabah sekiranya beliau sentiasa beringat untuk mempunyai 'nyiru tempatan' untuk menapis dan mengayak 'antah-antah' yang mungkin tidak sesuai dengan saripati keperluan dan peradaban Malaysia yang tidak sepatutnya merasa rendah diri dengan peradaban dari dunia Eropah.

Pengalaman beliau di dalam dua badan itu akan memberikan keupayaan melihat Malaysia dengan keunikannya tertentu, kedudukan pendidikan Malaysia dalam konteks wilayah Asia Tenggara dan kedudukan pendidikan Malaysia dalam konteks dunia. Dalam konteks pengajian tinggi Dzulkifli tentu sangat fasih dengan kandungan Proses Bologna dana Triti Lisbon di Kesatuan Eropah.

Saya jangka antara variabel yang akan diteliti oleh Dzulkifli dan rakan-rakannya nanti akan meliputi soal falsafah dan dasar pendidikan, sistemnya, pentadbiran, kepimpinan, isi kandungan, penilaian dan pengukuran pencapaian, guru, murid, alam keliling fizikal dan bukan fizikal dan antisipasi senario masa depan.

Apa pun yang bakal dihasil dan dilapor oleh jawatankuasa ini nanti, saya menantikan sebuah laporan dan cadangan yang dibuat berdasarkan pemikiran yang bebas, waras dan saintifik.

Unsur-unsur sentimental dan tahyul hendaklah diminimumkan. Meski pun demikian laporan itu hendaklah bertapak kukuh di atas asas peradaban Malaysia dengan segala kebanggaan terhadap khazanah-khazanah sejarah dan ilmunya serta keberanian belayar di lautan luas masa depan.

Kesudahannya biarlah cadangan-cadangannya nanti jelas mempunyai semangat 'di mana bumi di pihak di situ langit dijunjung'.

- UTUSAN

Minuman Tenaga Drive M7 tembusi pasaran tempatan


MUTIARA Motors Sdn. Bhd. (Mutiara Motors) membawa anjakan baharu dalam segmen perniagaannya apabila melancarkan produk minuman tenaga terkenal, Drive M7 yang berasal dari negara matahari terbit, Jepun.

Drive M7 merupakan antara produk yang dihasilkan sepenuhnya oleh M7 Co. Ltd (Japan).

Jenama M7 sebenarnya cukup sinonim dalam industri automotif dunia yang berskala besar. Selain Drive M7, M7 meliputi produk berprestasi tinggi seperti minyak pelincir, produk elektronik, sistem turbo dan sistem ekzos.

Pengarah Jualan dan Pemasarannya, Mahathir Ahmad ketika ditemui berkata, pihaknya yakin bahawa produk baharu itu akan mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat Malaysia.

“Sebenarnya minuman ini mula diperkenalkan di Jepun pada tahun 2006. Selepas kita melihat penglibatan aktif dan kekuatan jenama ini di pasaran global, di situ tercetus idea untuk membawanya ke Malaysia.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkaitan, akhirnya kita berjaya memperoleh hak pengedaran daripada syarikat pengeluarnya iaitu M7,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Minuman Drive M7 di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors, Datuk Ahmad Kemin, Pengarah Urusannya, Mokhtar Ahmad dan duta produk berkenaan, pelakon Aaron Aziz.

Dalam pada itu, memetik kenyataan Ahmad, Mutiara Motors telah melabur kira-kira RM1 juta bagi proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan, pembungkusan, promosi dan pemasaran Drive M7.

Tingkat stamina

Mengulas lanjut mengenai Drive M7, Mahathir berkata, produk ini sangat kukuh dan begitu terkenal di Amerika Syarikat (AS) selain di Jepun.

Kata Mahathir, minuman ini sangat berbeza dengan jenama minuman bertenaga yang terdapat di pasaran sekarang.

“Drive M7 dirumus untuk memberi tenaga dan mempertingkatkan stamina untuk mereka yang terlibat dalam aktiviti lasak.

“Namun, yang paling signifikan ia merupakan minuman yang tidak bergas dan rendah kandungan gula. Saya sifatkan minuman ini sebagai seronok untuk diminum,” jelasnya.

Antara intipati Drive M7 ini ialah taurine, inosito dan pelbagai jenis vitamin yang mampu mengawal kesihatan tubuh dengan baik.

Mahathir berkata, minuman ini tidak terhad kepada mereka yang lasak dan cergas sahaja. Malah, ia berupaya mengatasi keletihan selepas seseorang melakukan pemanduan jarak jauh.

Drive M7 baru-baru ini juga bertindak sebagai minuman rasmi bagi Achilles Radial: Asian Drift Series yang berlangsung di ibu negara.

Drive M7 juga menjadi minuman rasmi kepada filem terbaharu terbitan Skop Productions iaitu KL Gangster 2 yang dilakonkan oleh dutanya, Aaron.

Sasaran

Bercakap mengenai pengeluaran, Mahathir memberitahu, untuk fasa pertama, Mutiara Motors akan memasarkan sebanyak 200,000 tin yang dikeluarkan di kilangnya di Melaka. Angka itu akan ditingkatkan kepada 500,000 tin.

Pada tahun hadapan, syarikat menyasarkan untuk mengeluarkan 1 juta tin pula dan untuk setin Drive M7 yang berukuran 250 mililiter (ml), ia dijual pada harga RM4.

Mahathir cukup optimis bahawa minuman bertenaga yang dibawanya mampu menakluk pasaran tempatan.

Katanya, sebagai permulaan, pengguna boleh mendapatkan Drive M7 melalui pengedar-pengedar sah yang dilantik termasuk di beberapa hentian rawat dan rehat (R&R) dan di stesen-stesen minyak terpilih.

Namun, dalam masa terdekat ini, syarikat berkenaan akan meluaskan pasaran mereka dengan memasuki gedung-gedung terkemuka dan beberapa jenama kedai serbaneka di seluruh negara.

Mengulas mengenai pemilihan Aaron sebagai duta, Mahathir percaya, populariti, personaliti serta disiplin yang ditonjolkan oleh aktor itu mampu mengetengahkan Drive M7.

Kepada orang ramai yang berminat untuk menjadi pengedar kepada minuman tenaga baharu ini, anda boleh berbuat demikian dengan menghubungi Roy Azren di talian 012-7859 007/07-331 9099 atau e-mel royazren@mutiaramotors.com

- KOSMO!

Al-Quran bongkar rahsia pembinaan piramid


Oleh IBRAHIM ABDULLAH

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan berkatalah Firaun: Wahai kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi agar aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia (Musa) orang-orang pendusta. (al-Qasas: 38).

Daripada penjelasan ayat al-Quran di atas jelaslah bahawa selama ini manusia menjadi hairan dan kagum bagaimanakah bangunan-bangunan yang dibinakan oleh Firaun iaitu piramid dapat berdiri megah dan perkasa di bumi Mesir pada zaman pemerintahannya hingga kini.

Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid itu?

Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu-batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah daripada tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.

Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.

Profesor Gilles Hug dan Dr. Michael Barsoum, menegaskan bahawa piramid yang paling besar di Giza, dibuat daripada dua jenis batuan yang terdiri daripada batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil daripada olahan tanah liat.

Baru-baru ini majalah Journal of American Ceramic Society memaparkan artikel kajian mengenai bagaimanakah Firaun membina piramid di Mesir yang mengkagumkan itu sebagai peninggalan sejarah tamadun dunia.

Kajian itu menegaskan, bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Justeru itu tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu besar dan berat ribuan kilogram. Seterusnya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi atau batu alam.

Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air garam dan akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki itu dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.

Sehubungan itu, Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut. Hasilnya, beliau menegaskan bahawa batu itu diperbuat daripada lumpur. Selama ini tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam semula jadi dengan batu buatan manusia.

Penemuan oleh Davidovits adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira 20 tahun. Sebelum kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, Piramid Matahari dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat daripada tanah liat. Ini memperkuatkan lagi keyakinan bahawa kaedah ini tersebar luas di masa yang lalu.

Tanah liat

Sebelum ini, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan daripada pembuatan batu besar yang tersergam di puncak-puncak piramid. Beliau berkata:, "Setelah bertahun-tahun melakukan kajian dan penyelidikan, sekarang barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat."

Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita bahawa bangunan-bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman silam, juga dibina daripada 'tanah liat'.

Pembongkaran misteri piramid tersebut adalah hasil daripada mukjizat al-Quran yang telah berbicara sejak ribuan tahun dahulu sebelum para saintis dan ilmuan dunia menemukan rahsia tersebut.

Hairan dan ajaib, sejak 1,400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad SAW dan beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun di Mesir, memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang megah dan tersohor itu yang dikenali sebagai piramid dengan menggunakan tanah liat.

Jika ditinjau daripada kejadian Nabi Adam sebagai bapa manusia dan menjadi khalifah di bumi, adalah juga berasal daripada penciptaan tanah liat yang ditiupkan roh oleh Allah SWT dan wujudlah sebagai manusia yang pertama di permukaan bumi.

Daripada pemaparan hakikat ayat al-Quran di atas, jelaslah membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT yang menciptakan Firaun dan menenggelamkan dia di Laut Merah bersama tenteranya.

Malah Allah juga menyelamatkan Nabi Musa as daripada kekejaman Firaun menuju tanah dan bumi Palestin yang didambakan sampai sekarang dan seterusnya hari kemudian.

- UTUSAN

Filem Mission Impossible duduki No.1


LOS ANGELES - Filem terbaharu lakonan Tom Cruise mengungguli carta box-office pada hujung minggu musim cuti Krismas - Disember 2011.

Anggaran kutipan oleh pihak studio kelmarin, filem Mission Impossible: Ghost Protocol lakonan Cruise menduduki tangga No.1 dengan mengutip kutipan tiket sebanyak AS$26.5 juta (RM83.6 juta) melebihi kutipan pada minggu pertama tayangannya.

Filem Sherlock Holmes: A Game of Shadows menduduki tangga kedua pada minggu kedua tayangan dengan kutipan sebanyak AS$17.8 juta (RM56.2 juta).

Filem animasi Alvin and the Chipmunks: Chipwrecked berada pada kedudukan ketiga dengan menjana kutipan tiket sebanyak AS$13.3 juta (RM41.9 juta).

Penampilan artis baharu yang berpotensi gagal menarik perhatian penonton apabila filem lakonan David Fincher dan Daniel Craig, The Girl with the Dragon Tattoo hanya berada pada kedudukan keempat.

Filem tersebut mengutip sebanyak AS$13 juta (RM41 juta).

Filem arahan Steven Spielberg, The Adventures of Tintin berada pada kedudukan kelima dengan mengutip sebanyak AS$9.1 juta (RM28.7 juta).

Berada pada kedudukan keenam ialah filem lakonan Cameron Crowe dan Matt Damon, We Bought a Zoo yang telah mengutip sebanyak AS$7.8 juta (RM24.6 juta).

- AP

Isnin, Disember 26, 2011

Coklat Momentum untuk tenaga

DALAM usaha mempelbagaikan hasil produk hiliran berasaskan koko, Lembaga Koko Malaysia (LKM) banyak terlibat dalam aktiviti kajian dan penyelidikan (R&D).

Biasanya, ia dijalankan secara kerjasama dengan usahawan dan syarikat-syarikat tempatan yang berminat.

Salah satu produk yang dibangunkan hasil usaha penyelidikan tersebut adalah coklat untuk tenaga dikenali sebagai Momentum.

Coklat yang dibangunkan bersama syarikat Momentum Chocolates Sdn. Bhd. itu dicipta khusus untuk individu yang aktif dan sering melakukan aktiviti cergas seperti bekerja luar daerah, bersukan dan sebagainya.

Momentum diadun bersama bahan-bahan berprotein tinggi, karbohidrat dan komponen nutrien yang mampu bertindak sebagai sumber tenaga dalam badan.

Selain mempunyai rasa yang sedap, ia juga dihasilkan dalam saiz yang ringkas dan mudah dibawa ke mana- mana iaitu dalam bentuk bar dan sfera.

Menurut Pengurus Eksekutif Momentum Chocolates Sdn. Bhd., Zulfariq Husin, pihaknya telah bekerjasama dengan LKM sejak tahun 2010.

''Semua sumber coklat dalam pembuatan Momentum ini 100 peratus diperoleh daripada pihak LKM.

''Momentum boleh dijadikan sebagai sumber tenaga segera untuk sesiapa sahaja dan sesuai digunakan sebagai makanan harian.

''Momentum hadir dalam tiga perisa iaitu bebas gula, coklat gelap dan regular. Ia mempunyai inti dalam daripada bijirin serta disaluti coklat di bahagian luarnya,'' katanya ketika ditemui pada Pameran dan Persidangan Komoditi Antarabangsa Malaysia (MICCOS) 2011 di Serdang baru-baru ini.

Coklat Momentum menyasarkan golongan pengguna daripada kalangan pelajar dan juga orang awam untuk kegunaan seperti mengelakkan mengantuk ketika memandu atau mendapatkan tenaga segera.

Ini kerana, coklat tersebut mampu menghasilkan sebanyak 273.4 kalori untuk setiap pengambilan 50 gram iaitu bersamaan satu hingga dua bar Momentum.

Coklat gelap antioksidan

Satu lagi produk berkualiti yang turut dihasilkan LKM adalah coklat antioksidan dikenali dengan penjenamaan Va'lor yang bermaksud 'bernilai' dalam bahasa Spanyol.

Ia dibangunkan hasil kerjasama dengan syarikat syarikat usahawan coklat bumiputera, Dazzle Food Sdn. Bhd.

Menurut Pengurus Besar Dazzle Food Sdn. Bhd., Noor Dina, coklat anti oksida Va'lor mempunyai pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan.

''Coklat gelap yang digunakan dalam ramuan Va'lor ini mengandungi bahan antioksidan polyphenol enam kali lebih banyak daripada coklat susu dan dua kali ganda berbanding coklat gelap biasa.

''Antara manfaatnya adalah seperti melambatkan proses penuaan, bagus untuk kulit, kecantikan wajah dan rambut, meningkatkan tenaga serta baik untuk kesihatan jantung.

''Va'lor disediakan dalam dua pilihan saiz iaitu 48 gram dan juga 100 gram,'' jelasnya.

Noor Dina memberitahu lagi, pihaknya telah menjalankan usaha sama pembangunan coklat dengan pihak LKM sejak tahun 2009.

Katanya, menerusi projek tersebut, LKM banyak membantu daripada segi penyelidikan, kursus, khidmat nasihat, bantuan pasaran serta promosi.

''Kita akan memasarkan coklat Va'lor ini secara komersial dalam masa terdekat menerusi pelbagai program promosi yang telah dirancang.

''Untuk menyokong usaha tersebut juga, syarikat kami turut akan menganjurkan kempen penggalakkan untuk mendidik masyarakat tentang kebaikan dan manfaat coklat ini.

- UTUSAN

Norlina dan Roslan berbakti untuk anak-anak HIV


KATA orang, rumah tangga akan lebih bahagia apabila dikurniakan dengan cahaya mata. Namun berapa ramaikah? Seorang, dua orang atau tiga orang?

Bagaimana pula jika anda dikurniakan dengan tujuh orang anak kandung dan 33 orang anak angkat? Masih bahagiakah?

Namun, itulah sebenarnya kebahagiaan berumah tangga bagi pasangan Norlina Alawi dan Leftenan Kolonel Roslan Zakaria.

Norlina telah memulakan kebajikan membela nasib kanak-kanak pesakit HIV/AIDS sejak tahun 2001.

Pada peringkat awalnya, beliau telah memberi perlindungan kepada seorang wanita berumur 23 tahun yang hamil tujuh bulan yang disahkan menghidap HIV positif. Wanita tersebut kemudian telah melahirkan anak lelaki.

Di atas naluri keibuan, Norlina tekad mengambil bayi itu sebagai anak angkat dan seterusnya menjadikan anak susuan beliau.

Kasih sayang dan sifat keibuan yang mendalam terhadap anak-anak pesakit HIV/AIDS yang terbiar, beliau telah menubuhkan Pusat Perlindungan Pernim Berhad.

Norlina dan suami yang ditemui di kediaman mereka, Mahligai Qaseh di Kampung Cheras Baru ternyata cukup bahagia dan gembira dengan kehadiran anak-anak yang diamanahkan kepada mereka.

Norlina, 40, yang merupakan pengasas dan Yang Dipertua Pernim (Persatuan Kebajikan Anak kepada Pesakit HIV/Aids Nurul Iman Malaysia) menamakan keluarga mereka sebagai Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad.

Berasal dari Kluang, Johor, Norlina berkata, pada peringkat awal, suaminya nampak kekok dengan keadaan rumah mereka apabila didiami ramai kanak-kanak yang diambil sebagai anak angkat dan tiga orang cucu mengikut undang-undang yang sah.

''Mula-mula dahulu dia (suami) marah-marah juga bila rumah berselerak dan bising bila balik kerja. Tetapi lama-lama dia dah faham dan sekarang dia pula yang akan berkejar-kejar dan bergurau senda dengan anak-anak di sini yang kami anggap sebagai anak sendiri.

''Bukan itu saja, malah dia pula yang akan bersama-sama menolong mengemas rumah, membasuh pinggan dan sebagainya,'' ujar Norlina yang telah 22 tahun mendirikan rumahtangga bersama Roslan, 46.

Perkahwinan Norlina dan Roslan dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Noor Emylia Erna, 20; Nur Aini, 18; Nur Syaheera, 16; Noor Nadia Nabila, 14; Muhammad Ridhwan, 12; Nur Elisa Sofea, sembilan tahun dan Muhammad Fitri, lima tahun.

Menurut Norlina, perkenalan dengan suaminya tidak lama, iaitu hanya seminggu sebelum mereka mengambil keputusan mendirikan rumahtangga. Mereka bertunang selama tiga bulan sebelum dinikahkan.

Dalam keluarga, kesemua adik beradiknya seramai sembilan orang diasuh dengan ketat oleh ibu bapa yang amat menitik beratkan pelajaran agama.

Norlina tidak boleh bebas keluar rumah. Hidup diatur oleh keluarga dan tidak boleh keluar malam. Justeru apabila ada lelaki yang ingin berkawan dengannya, mereka perlu bertunang terlebih dahulu.

Walaupun tidak berkawan lama dengan suaminya sebelum berkahwin, Norlina berkata, rumahtangga mereka aman bahagia hingga ke hari ini dan insya-Allah hingga ke akhir hayat.

''Suami saya seorang yang amat memahami dan bertimbang rasa. Walaupun dia suka bertelagah dan mengkritik, namun akhirnya dia akan mengalah.

''Dahulu semasa mula-mula kenal, dia seorang yang berbeza. Pendiam dan tidak banyak cakap. Sekarang dia 'sporting' dan banyak bercakap,'' ujar Norlina lagi.

Sementara itu, menurut Roslan pula, beliau tertarik kepada Norlina pada pandangan pertama. Oleh itu, beliau tidak menunggu lama dan menganggap itulah jodohnya.

Menurutnya, supaya sesebuah rumahtangga itu aman, suami haruslah melaksanakan tanggungjawabnya pada rumahtangga seperti menyediakan segala keperluan, berbuat baik kepada isteri dan anak-anak, bertolak ansur dan memahami.

''Elakkan sifat mengongkong kerana kita harus mempunyai sifat percaya kepada isteri dan begitu juga sebaliknya.

''Jika berlaku pergaduhan atau debat, salah seorang harus mengalah. Biasanya sayalah yang mengalah.

''Sekarang fokus saya adalah pada anak-anak tidak kira anak kandung atau anak angkat supaya mereka berjaya di dalam pelajaran, menjadi manusia sempurna untuk agama, bangsa dan negara,'' katanya yang mahukan anak-anak menjadikan beliau dan isteri sebagai idola untuk rumahtangga bahagia.

- UTUSAN

Pertandingan "Gambar Paling Best Sekolah Dahulu"

Oleh Cikgu Loh


Salam hormat Semua!

Seperti yang cikgu ada kongsikan di Fanpages Panduan Selepas SPM
dan uar-uarkan pada minggu lepas, cikgu akan mengadakan sebuah
pertandingan secara besar-besaran di Facebook Fanpages Panduan
Selepas SPM:
-->http://www.facebook.com/panduanselepasSPM

Ya, dengan anda hanya perlu mengikuti beberapa syarat mudah dan ringkas,
cikgu akan menyediakan wang tunai sejumlah RM300 dan Buku Kerjaya
untuk para pemenang! Pertandingan yang cikgu adakan itu dinamakan
sebagai “ Pertandingan Gambar Kenangan Sekolah Dahulu” juga
dikenali dengan Pertandingan Klik LIKE dan Menang!

Contoh gambar yang boleh dihantar..

 


Prosedur untuk menyertai pertandingan ini mudah sahaja. Anda hanya
perlu:
1.Snap gambar paling best anda ketika berada di sekolah dahulu dengan
apa jua gaya anda. ( Pastikan anda menutup aurat dan berpakaian sopan,
ini syarat WAJIB! )

2.Sila hantarkan gambar anda itu SEBELUM 10/01/2012 ke emel utama
Panduan Selepas SPM: lepasanspm.com@gmail.com

3.Butiran penghantaran gambar seperti di bawah:
Tajuk Emel: Gambar Paling Best Sekolah Dahulu
Nama Penuh anda:
Link FB anda:
Tajuk Gambar Anda:
Penerangan Gambar Anda:

4.Gambar-gambar yang diterima akan mula dimuat turun di sebuah
album “Pertandingan Gambar Kenangan Sekolah Dahulu”
( Facebook Panduan Selepas SPM ) bermula pada 26/12/2012.
Gambar yang telah dimuat turun , boleh mula dipromosikan dengan
seberapa segera bermula dari masa ianya siap dimuat turun oleh cikgu!

5.Semasa dalam proses mempromosikan gambar anda itu, anda harus
 mengingatkan sesiapa sahaja agar Klik LIKE dahulu di Facebook Panduan
Selepas SPM kemudian barulah boleh klik LIKE/SUKA terhadap gambar
anda. Klik LIKE di Fanpages Panduan Selepas SPM adalah satu syarat
WAJIB untuk menyertai contest ini!

Contoh ayat promosi yang boleh digunakan..

Assalamualaikum Airil. Airil tolong bantu saya untuk klik LIKE/SUKA di
gambar saya! Caranya mudah sahaja, awak hanya perlu klik LIKE
dahulu di facebook Panduan Selepas SPM di:
www.facebook.com/panduanselepasSPM

Kemudian, Klik LIKE/SUKA pada gambar saya yang ini:_____________
Pertolongan awak amatlah saya perlukan Airil. Ikhlas, memohon
bantuan, sahabatmu, Shahrul.

6.Para pemenang dikira mengikut jumlah kutipan tertinggi ( paling banyak )
orang yang klik LIKE/SUKA di gambar anda itu pada 20/02/2012. Ya,
tempoh pertandingan ini hanyalah hampir 2 bulan. Bermula 25/12/2011
dan akan berakhir pada 25/02/2012

Anda jelaskan?

Jadi saranan cikgu ialah: Jangan lupa untuk “snap” gambar paling best
ketika anda berada di sekolah dahulu dan “get ready” untuk anda mula
merancang strategi bagaimana untuk mempromosikan gambar best
anda dan seterusnya memenangi sejumlah wang tunai sejumlah RM300
bersama buku kerjaya!

Johan - RM150 + Buku Kerjaya
Naib Johan - RM100 + Buku Kerjaya
Ketiga -RM50 + Buku Kerjaya
Tempat ke 4- 10 = Hadiah Menarik menanti..

Hadiah akan meningkat jumlah mengikut penaja semasa!
YA, menarik bukan? Jadi ayuh, jangan lepaskan peluang hebat ini share
perkara ini kepada sahabat-sahabat anda di facebook anda dan minta
sahabat anda bersiap sedia untuk mula Klik LIKE/SUKA gambar anda
pada 26/12/2012 ( Jam 8 Malam) nanti yea!

P/S:Sebarang perubahan hadiah dan pemenang adalah tertakluk
kepada terma dan syarat.
P/S/S: Penggunaan software untuk menambah bilangan LIKE
adalah tidak dibenarkan kerana cikgu dapat mengecamnya dan
jika menang, hadiah itu akan ditarik balik. 


http://www.facebook.com/panduanselepasSPM

Recent Posts