Isnin, Disember 26, 2011

Norlina dan Roslan berbakti untuk anak-anak HIV


KATA orang, rumah tangga akan lebih bahagia apabila dikurniakan dengan cahaya mata. Namun berapa ramaikah? Seorang, dua orang atau tiga orang?

Bagaimana pula jika anda dikurniakan dengan tujuh orang anak kandung dan 33 orang anak angkat? Masih bahagiakah?

Namun, itulah sebenarnya kebahagiaan berumah tangga bagi pasangan Norlina Alawi dan Leftenan Kolonel Roslan Zakaria.

Norlina telah memulakan kebajikan membela nasib kanak-kanak pesakit HIV/AIDS sejak tahun 2001.

Pada peringkat awalnya, beliau telah memberi perlindungan kepada seorang wanita berumur 23 tahun yang hamil tujuh bulan yang disahkan menghidap HIV positif. Wanita tersebut kemudian telah melahirkan anak lelaki.

Di atas naluri keibuan, Norlina tekad mengambil bayi itu sebagai anak angkat dan seterusnya menjadikan anak susuan beliau.

Kasih sayang dan sifat keibuan yang mendalam terhadap anak-anak pesakit HIV/AIDS yang terbiar, beliau telah menubuhkan Pusat Perlindungan Pernim Berhad.

Norlina dan suami yang ditemui di kediaman mereka, Mahligai Qaseh di Kampung Cheras Baru ternyata cukup bahagia dan gembira dengan kehadiran anak-anak yang diamanahkan kepada mereka.

Norlina, 40, yang merupakan pengasas dan Yang Dipertua Pernim (Persatuan Kebajikan Anak kepada Pesakit HIV/Aids Nurul Iman Malaysia) menamakan keluarga mereka sebagai Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad.

Berasal dari Kluang, Johor, Norlina berkata, pada peringkat awal, suaminya nampak kekok dengan keadaan rumah mereka apabila didiami ramai kanak-kanak yang diambil sebagai anak angkat dan tiga orang cucu mengikut undang-undang yang sah.

''Mula-mula dahulu dia (suami) marah-marah juga bila rumah berselerak dan bising bila balik kerja. Tetapi lama-lama dia dah faham dan sekarang dia pula yang akan berkejar-kejar dan bergurau senda dengan anak-anak di sini yang kami anggap sebagai anak sendiri.

''Bukan itu saja, malah dia pula yang akan bersama-sama menolong mengemas rumah, membasuh pinggan dan sebagainya,'' ujar Norlina yang telah 22 tahun mendirikan rumahtangga bersama Roslan, 46.

Perkahwinan Norlina dan Roslan dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Noor Emylia Erna, 20; Nur Aini, 18; Nur Syaheera, 16; Noor Nadia Nabila, 14; Muhammad Ridhwan, 12; Nur Elisa Sofea, sembilan tahun dan Muhammad Fitri, lima tahun.

Menurut Norlina, perkenalan dengan suaminya tidak lama, iaitu hanya seminggu sebelum mereka mengambil keputusan mendirikan rumahtangga. Mereka bertunang selama tiga bulan sebelum dinikahkan.

Dalam keluarga, kesemua adik beradiknya seramai sembilan orang diasuh dengan ketat oleh ibu bapa yang amat menitik beratkan pelajaran agama.

Norlina tidak boleh bebas keluar rumah. Hidup diatur oleh keluarga dan tidak boleh keluar malam. Justeru apabila ada lelaki yang ingin berkawan dengannya, mereka perlu bertunang terlebih dahulu.

Walaupun tidak berkawan lama dengan suaminya sebelum berkahwin, Norlina berkata, rumahtangga mereka aman bahagia hingga ke hari ini dan insya-Allah hingga ke akhir hayat.

''Suami saya seorang yang amat memahami dan bertimbang rasa. Walaupun dia suka bertelagah dan mengkritik, namun akhirnya dia akan mengalah.

''Dahulu semasa mula-mula kenal, dia seorang yang berbeza. Pendiam dan tidak banyak cakap. Sekarang dia 'sporting' dan banyak bercakap,'' ujar Norlina lagi.

Sementara itu, menurut Roslan pula, beliau tertarik kepada Norlina pada pandangan pertama. Oleh itu, beliau tidak menunggu lama dan menganggap itulah jodohnya.

Menurutnya, supaya sesebuah rumahtangga itu aman, suami haruslah melaksanakan tanggungjawabnya pada rumahtangga seperti menyediakan segala keperluan, berbuat baik kepada isteri dan anak-anak, bertolak ansur dan memahami.

''Elakkan sifat mengongkong kerana kita harus mempunyai sifat percaya kepada isteri dan begitu juga sebaliknya.

''Jika berlaku pergaduhan atau debat, salah seorang harus mengalah. Biasanya sayalah yang mengalah.

''Sekarang fokus saya adalah pada anak-anak tidak kira anak kandung atau anak angkat supaya mereka berjaya di dalam pelajaran, menjadi manusia sempurna untuk agama, bangsa dan negara,'' katanya yang mahukan anak-anak menjadikan beliau dan isteri sebagai idola untuk rumahtangga bahagia.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts