Khamis, November 24, 2011

Kenderaan baharu teroka Marikh


Amerika Syarikat (AS) - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendedahkan kenderaan baharu sebesar sebuah kereta yang akan meneroka planet Marikh.

Kenderaan itu yang diberi nama Curiosity mempunyai lengan sepanjang dua meter dan dilengkapi laser untuk memusnahkan batu di planet tersebut.

"Ini ialah mesin impian saintis Marikh," kata timbalan ketua projek saintis Marikh di NASA, Ashwin Vasavada.

Kenderaan itu bernilai AS$2.5 bilion (RM7.94 bilion) dan ia akan bergerak ke kawasan yang mempunyai organik dan karbon di Marikh pada Ogos tahun depan.

Kenderaan itu membawa seberat 4.8 kilogram plutonium yang boleh menjana kuasa selama dua tahun di Marikh.

Ia sepanjang dua meter, lebar sembilan meter dan setinggi dua meter.

- Agensi

Bantuan RM100 Diperluaskan Kepada 500,000 Pelajar Sekolah Swasta

Kerajaan bersetuju meluaskan bantuan persekolahan RM100 setiap seorang kepada 500,000 pelajar sekolah swasta di seluruh negara membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi menghadapi persekolahan tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata peruntukan kepada pelajar sekolah swasta sama ada sekolah agama rakyat atau sekolah swasta Cina itu diputuskan memandangkan kerajaan tidak mahu pelajar terbabit merasakan diri mereka terpinggir.

"Kita memikirkan mereka juga akan berhadapan dengan sesi persekolahan yang memerlukan bantuan pakaian sekolah dan sebagainya. Mereka ini juga menghadapi masalah yang sama seperti pelajar sekolah kerajaan.

"Jadi, kita beri keadilan kepada semua yang bersekolah. Kita prihatin kepada masalah rakyat," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat dengan penduduk kawasan peti undi Kampung Kluang, Rengit, Johor, malam Selasa.

Sehubungan itu, Mohd Puad mahu guru besar atau pengetua sekolah swasta dapat mengagihkan bantuan tersebut kepada pelajar dalam sedikit masa lagi tanpa membuat sebarang pemotongan.

Terdahulu berucap pada majlis tersebut beliau meminta semua rakyat pelbagai kaum di negara ini supaya terus mengekalkan semangat perpaduan seperti yang dicetuskan oleh pasukan bola sepak Harimau Muda yang berjaya mengekalkan pingat emas dalam pertandingan akhir bola sepak Sukan SEA ke-26.

Pada majlis yang dihadiri oleh lebih 1,000 orang penduduk itu, Mohd Puad turut menyampaikan bantuan kerusi roda kepada tujuh Orang Kurang Upaya (OKU), bantuan cermin mata dan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik.

- BERNAMA

Ilmuwan Islam saingi National Geographic

SIRI dokumentari Islam di media tempatan sering mempunyai ciri yang tipikal. Nasihat, fakta sejarah, emosi dan juga kerangka fahaman Islam konvensional.

Isi kandungan dokumentari Islam juga seringkali dapat diagak oleh para penonton kerana persamaan pendekatan, skrip dan juga elemen normatif yang disogokkan.

Tidak mustahil jika pihak media penyiaran di Malaysia sendiri tidak bersungguh di dalam mempromosikan dokumentari Islam, hatta yang mereka terbitkan sendiri.

Hal ini berlainan pula dengan sambutan yang mereka tunjukkan kepada rancangan ala-hiburan seperti rancangan realiti. Para penonton pun seringkali merupakan kelompok yang sama dan majoriti penonton sering gagal disentuh oleh dokumentari-dokumentari Islam berkenaan.

Akhirnya, apa sahaja dokumentari Islam yang diterbitkan, seakan ada persepsi di kalangan masa tentang isi kandungannya, penyampaian dan fakta yang seringkali bersifat stereotaip.

Atas kesedaran inilah, penerbit rancangan Ilmuwan Islam Primeworks Media cuba menongkah arus dan menyanggah persepsi. Walaupun siri dokumentari Ilmuwan Islam diterbitkan sejak tahun 2005, namun di dalam siri tahun 2011, ia diterbitkan dengan banyak pembaharuan dan penambahbaikan.

Penerbit cuba menggabungkan di antara dunia akademik dan juga dunia penyiaran. Untuk tujuan tersebut, khidmat pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Maszlee Malik ditagih untuk menjalankan kajian ke atas topik yang menjadi subjek utama perbincangan Ilmuwan Islam siri 2011.

Konsep pembuatan dokumentari berteraskan kajian akademik dan kerjasama di antara pihak media penyiaran dengan menara gading bukanlah sesuatu yang baru di dunia barat.

British Broadcasting Corporation (BBC), al-Jazeerah, National Geographic dan lain-lain media penyiaran terkemuka telah berdekad mengamalkan budaya penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kerjasama bijak tersebut.

Hasilnya, dokumentari mereka mempunyai mutu dan kualiti bertaraf antarabangsa dan mempunyai nilai akademik dan keilmuan yang tinggi.

Bukan sekadar budaya baru yang diperkenalkan, malah pihak penerbit melalui penerbitnya, Hisham Abdullah cuba membawa konsep mempromosikan idea dan kesan rekaan ilmuwan Islam terdahulu kepada zaman moden.

Berbanding konsep menceritakan biografi ilmuwan silam yang kebanyakannya bersikap fakta yang membosankan, Ilmuwan Islam tahun 2011 membawa kesan idea dan rekaan para ilmuwan Muslim terdahulu di dalam kehidupan manusia di zaman ini.

Untuk tujuan tersebut, idea dan karya tujuh Ilmuwan Muslim silam dipilih. Sepanjang lapan episod dokumentari yang disiarkan setiap Jumaat pada pukul 6.30 petang, penonton dibawa berkenalan dengan Al-Jazari melalui konsep kejuruteraan mekanikal melalui menara jam gajah, di mana replikanya boleh didapati di British Museum dan juga di dalam Ibn Batuta Mall di Dubai.

Demikian juga al-Kindi dan al-Farabi sebagai pencipta nota muzik telah dipilih untuk melihat konsep terapi muzik yang mereka hasilkan dan juga pengunaannya sepanjang zaman dulu dan kini. Juga Ibn Khaldun dan juga teori Division of Labour' dan kesannya kepada ekonomi pasaran-bebas masa kini dan juga Banu Musa tiga beradik dan juga tekonologi 'automata' yang merupakan konsep primitif kepada tekonolgi robotik moden.

Selain pendekatan isi kandungan yang menongkah arus itu, pihak penerbit juga melakukan revolusi di dalam dunia dokumentari Islam dengan mengambil pengkaji dan perunding siri tersebut sendiri, Dr. Maszlee sebagai hos dokumentari.

Berbanding tugas penyampai dokumentari Islam yang berbentuk stereotaip, beliau cuba memperkenalkan konsep baru di dalam penghasilan dan penyampaian dokumentari.

Caranya, membawa para penonton bersama menyelami falsafah dan makna-makna tersirat di sebalik perjalanan beliau menerokai Ilmuwan Muslim-Ilmuwan Muslim yang agung itu dengan membawanya ke kerangka kehidupan seharian mereka.

Maka, bukan hanya sekadar penyampaian terhadap maklumat dan fakta yang tersedia, Dr. Maszlee cuba meletakkan para penonton sebagai penilai, pengamat dan juga pengkritik sumbangan dan idea ilmuwan yang diperbincangkan.

Menyelami

Pelbagai aspek pendidikan, budaya, politik, ekonomi, keagamaan, sikap, psikologi, sosiologi dan juga motivasi dipersembahkan di dalam keadaan para penonton berfikir, bersikap kritis dan menyelami idea-idea yang dipersembahkan melalui 'perjalanan' ilmu para ilmuwan tersohor yang dibincangkan merentasi kurun-kurun yang lampau.

Objektif utama yang cuba diperkenalkan oleh Dr. Maszlee melalui lapan episod tersebut adalah 'mencari makna kehidupan para penonton melalui perjalanan ilmuwan silam dan idea mereka yang kekal sehingga kini'.

Lebih menarik, demi membawa para penonton berkenalan dengan idea-idea hebat ilmuwan silam yang dibincangkan lebih intensif, Dr. Maszlee membawa para penonton menemui cendekiawan hebat antarabangsa, di kalangan Muslim dan bukan Muslim untuk memahaminya.

Tokoh falsafah Muslim di Eropah, Prof. Tariq Ramadan dari Universiti Oxford, tokoh perbankan Islam di United Kingdom, Prof. Rodney Wilson dan Dr. Mehmet Asutay, ahli Royal Society dan juga pengarah pusat kajian sains dan tamadun Islam yang berprestij, The Foundation for Science Technology and Civilisation (FSTC), Prof. Selim Husseini, pakar perubatan Osmaniyyah dan juga muzik terapi Prof. Nil Sari adalah di antara tokoh yang diwawancara sepanjang lapan episod Ilmuwan Islam tahun 2011.

Konsep profesionalisme dan juga usaha mencapai standard dokumentari bertaraf antarabangsa selari dengan BBC dan National Geographic menjadi tema penerbitan dokumentari Ilmuwan Islam musim ini. Pendek kata, para penonton seolah-oleh menyaksikan rancangan dokumentari yang dihasilkan oleh penerbit luar negara yang ditayangkan tanpa sebarang stereotaip dan norma-norma kebiasaan.

Apa yang lebih menarik, konsep participant-observant yang dibawa oleh penerbit Ilmuwan Islam kali ini yang dihayati oleh penyampaian luar kebiasaan oleh pengkaji dan penyampainya membawa para penonton menyelami sejarah silam tanpa meninggalkan realiti moden mereka.

Banyak tempat-tempat yang dipaparkan sepanjang 'perjalanan' Dr. Maszlee bersama penonton untuk mereka mengutip makna-makna kehidupan untuk diaplikasikan.

Ini termasuklah, hospital muzik terapi di Edirne Turki, muzium perubatan Uthmaniyyah di Universiti Istanbul, Ibn Batuta Mall di Dubai, ladang ternakan unta di padang pasir di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu, Royal Society di London, Picardlly Garden di Manchester, padang ragut biri-biri dan juga gereja kuno (Cathedral) berusia lebih 1000 tahun di Durham University, England, pusat mandian umum (Hamam) dan saliran air Aqueduct di Istanbul dan pusat pemulihan muzik terapi di Yalova.

Pendek kata, dokumentari Ilmuwan Islam 2011 yang bermula 4 November lalu adalah gabungan di antara beberapa teknik.

Iaitu teknik penyampaian hos dokumentari terkenal Tim Mackintosh Smith dan Datuk Bandar London, Boris Johnson di BBC, konsep penyelidikan dan misteri novel Da Vinci Code karya Dan Brown, Thriller filem National Treasure lakonan Nicholas Cage, konsep falsafah kehidupan dan perjalanan ala novel Alchemist' oleh Paulo Coelho dan novel The Little Prince (Le Petit Prince) karya Antoine de Saint-Exupéry, dan juga sikap pengamatan kritis Ibn Khaldun lewat karya agungnya al-Muqadimmah.

Kesimpulannya, inilah dokumentari Islam pertama di Malaysia.

- UTUSAN

Sahsiah Shera pikat Zahiril


AIR MATA yang bercucuran di pipinya menjadi simbol betapa pelakon dan pengacara Wanita Hari Ini di TV3, Shera Aiyob cukup terharu dan bersyukur kerana akhirnya dia selamat dan sempurna bergelar isteri pelakon Zahiril Adzim atau nama penuhnya, Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar.

Pemilik nama sebenar Nur Syahira Aiyob itu turut berkongsi emosi tersebut bersama ibunya, Nor Asmah Mohd. Ali, 50, yang turut menyaksikan anak sulungnya itu anggun duduk di pelamin rekaan Zaha Wedding Planner.

Mengenakan busana putih suci rekaan Hatta Dolmat, Zahiril, 27, dan Shera, 25, tidak dapat menyembunyi keterujaan bergelar suami isteri.

Pasangan pengantin yang sama padan itu selamat diijabkabulkan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Taman Tasek Indra, Ipoh, Perak Ahad lalu, sejurus ketibaan rombongan pengantin lelaki seramai 50 orang terdiri daripada sanak saudara dan kenalan kesemuanya sepakat menyarung kostum berwarna merah hati tiba di kediaman pengantin perempuan.

Majlis akad nikah disempurnakan dengan pasangan dinikahkan oleh bapa Shera, Aiyob Shaharuddin, 53, dengan sekali lafaz sambil disaksikan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Ipoh, Yusri Abdul Rani pada pukul 10.10 pagi.

Pada majlis perkahwinan itu, Shera atau nama sebenarnya Nur Syahira Aiyob menerima wang hantaran sebanyak RM18,000 berserta mas kahwin RM1,001 dan 13 dulang barangan hantaran dan membalas 11 dulang barangan hantaran.

Antara hantaran yang diterima pengantin lelaki termasuklah telefon pintar BlackBerry, al-Quran, set pewangi badan, kasut, buku bimbingan agama dan kek cawan. Barangan hantaran yang diterima pengantin perempuan pula termasuklah sepasang kasut, seunit i-Pad 2, seutas rantai mutiara, beg tangan, alat solek, coklat dan al-Quran digital.

Tegas tetapi manja

Usai menyarung cincin emas putih ke jari manis Shera, Zahiril yang tak lekang mengukir senyum secara spontan menyeka air mata yang masih tersisa di anak mata isterinya seraya mengucup dahi wanita yang bertakhta di sanubarinya itu.

"Syukur hasrat saya untuk memperisterikan Shera tertunai sudah. Selama ini saya mendambakan seorang wanita yang tidak berpura-pura dan sentiasa menjadi diri sendiri walaupun dalam apa keadaan sekalipun.

"Sebagaimana ketika dia masih anak dara, itulah juga peribadi yang bakal dibawanya selepas berumah tangga. Alhamdulillah, saya yakin ciri-ciri itu ada pada isteri saya," tuturnya.

Mula berkenalan ketika sama-sama membintangi drama Ada Sesuatu Yang Tertinggal awal tahun lalu sebelum hubungan mereka menjadi lebih rapat sejak hujung tahun lalu, ternyata sahsiah Shera yang berdikari, tegas tetapi manja benar-benar memikat hati Zahiril Adzim.

"Shera seorang yang manja tetapi dalam masa yang sama dia tegas dan berdikari, inilah antara ciri-ciri yang membuatkan hati saya sangat terpaut kepada Shera," luah Zahiril.

Dalam pada itu bagi Shera pula, Zahiril Adzim pada matanya adalah seorang lelaki yang mementingkan hubungan kekeluargaan dan yakin suaminya itu mampu membimbingnya ke arah membina keluarga yang direstui keluarga kedua-dua pihak dan dibekati Illahi.

"Dia seorang yang penyayang, kelakar dan sentiasa manis di mata saya. Paling membuatkan saya 'cair' kepadanya ialah sifat romantisnya. Malah, menurut Shera sikap suaminya yang juga berbakat dalam bidang penulisan terserlah dalam karya buku pertamanya yang berjudul, Bogel Menuju Tuhan.

"Puitisnya dia dalam nukilan buku pertamanya, Bogel Menuju Tuhan, begitulah juga dia meluahkan rasa cinta dan bahagianya ketika bersama saya," luah anak sulung daripada tiga beradik itu.

11 orang anak

Diusik dengan bilangan anak diidamkan, Shera yang pernah membintangi filem genre seram Karak menegaskan dia tidak merancang dan menyerahkan urusan itu kepada Tuhan.

"Bagi saya, kalau satu pasukan bola sepak (11 orang) tak jadi hal, jika Allah kurnia seorang zuriat pun saya sudah bersyukur," seloroh Shera.

Zahiril yang mengukir senyum di samping Shera memberitahu ekoran jadual karier yang agak padat, mereka belum memikirkan destinasi bulan madu.

"Rasanya tak perlu tergesa-gesa berbulan madu, Allahamdulillah yang penting iaitu upacara akad nikah sudah selesai. Bila mempunyai cuti panjang, barulah kami berbulan madu," katanya.

Menyentuh soal karier, pemenang anugerah Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem ke-23 pada tahun 2003 menerusi filem Kami The Movie itu menegaskan tidak pernah menghalang penglibatan Shera dalam industri hiburan biarpun sudah bergelar isteri.

Tambahnya, disebabkan dia dan Shera sama-sama pelakon, dia menyedari berlakon bukan sekadar lubuk mencari rezeki tetapi lebih kepada ruang untuk mencari kepuasan diri bagi pencinta seni.

"Saya beritahu Shera, kalau dia perlu berlakon sebagai pasangan kekasih dengan pelakon lelaki lain, hayati watak itu betul-betul. Tapi setakat di set penggambaran sahajalah, selepas itu Shera tetap hak saya," pesannya ringkas tetapi penuh makna.

Sementara itu tiga jam usai majlis akad nikah pasangan mempelai itu bernikah, mereka berangkat ke Dewan Perdana Kinding Hill, Bercham Height yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah keluarga Shera bagi majlis persandingan.

Majlis yang bertemakan perkahwinan ala Inggeris bermotifkan warna krim, putih dan hijau itu dimeriahkan hampir 3,000 tetamu termasuk rakan artis yang hadir menyerikan majlis persandingan antaranya Bront Palarae, Beto Khusairy, Azhan Rani, Intan Nor Saina, Zain dan penyampai radio Hot FM, Ikhwan.

Dalam pada itu, majlis resepsi pengantin lelaki pula akan berlangsung di Kelab Shah Alam, Selangor pada 27 November ini.

- KOSMO!

Manusia diuji dalam pelbagai bentuk

ANTARA ujian-ujian yang disebut oleh Allah adalah berkaitan dengan ujian berkaitan dengan harta, keluarga dan berhubung dengan negara.

Ini seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: Kemudian, Sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; Sesungguhnya Tuhanmu - sesudah mereka menderita dan bersabar Dalam perjuangan - adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (an-Nahl: 110)

Selain itu, hijrah juga dapat dikaitkan dengan aspek pengorbanan dan jihad, kerana hijrah merupakan salah satu cara untuk mempertahankan akidah Islam yang suci dan menjaga kehormatan diri.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

* Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 218)

* Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. dan (ingatlah) Allah Maha melihat akan apa yang kamu lakukan. (al-Anfal: 72)

Sempena sambutan tahun baru hijrah 1433 ini, sewajarnya setiap individu muslim melakukan muhasabah diri atau tindakan pembetulan serta melakukan sesuatu amalan atau kegiatan yang tidak bertentangan dengan syariat Islam agar sambutan yang diadakan agar lebih bermakna.

Ini selaras dengan persetujuan para ulama yang memahami peristiwa hijrah nabi merupakan satu titik perkembangan dakwah Islamiah bagi membina masyarakat yang lebih bermakna bagi membawa seluruh umat Islam melakukan transformasi ke arah lebih berjaya.

Dalam konteks umat Islam di Malaysia pada hari ini, peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW yang sarat dengan pengajaran dan iktibar itu perlu difahami dan diserap segala pengajaran dan hikmatnya.

Ia merangkumi aspek hijrah pembinaan masyarakat yang lebih harmoni, penghayatan Islam yang lebih bermakna dan juga mengajak diri masing-masing meninggalkan perbuatan yang kotor dan maksiat dengan berhijrah ke arah memperbaiki diri, hati dan jiwa menjadi suci dan bersih dengan menghayati dan mengamalkan ajaran Islam.

Ini menepati firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka Sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (an-Nisa': 100)

Selain dari itu semoga kita sama-sama dapat menghayati maksud doa awal tahun yang sering kita baca bagi menyambut tahun baru hijrah yang bermaksud,

"Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim, yang awal dan ke atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan-Mu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan yang Maha Agung dan Maha Mulia.

"Wahai Tuhan yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka."

- UTUSAN

Rabu, November 23, 2011

Sukan SEA Ke-26 Berakhir, Myanmar Tuan Rumah 2013

PALEMBANG: Tirai Sukan SEA ke-26, yang berlangsung selama 12 hari di dua venue di Indonesia iaitu Jakarta dan Palembang, dilabuhkan dengan acara penuh warna-warni, persembahan tarian dan nyanyian di Stadium Gelora Sriwijaya malam ini.

Bertemakan 'Harmony in Victory', seramai 600 penari mempamerkan satu siri koreografi yang menggabungkan kesenian tradisi dan moden diikuti perbarisan atlet.

Naib Presiden Indonesia Boediono yang mempengerusikan majlis itu mengisytiharkan bahawa temasya Sukan SEA ke-26 ditutup secara rasmi sebelum menyerahkan bendera kejohanan kepada Menteri Sukan Myanmar Tin Sann.

Myanmar akan menjadi tuan rumah edisi ke-27 yang dijangka berlangsung di Naypyidaw pada 2013.

Majlis kemudian diteruskan dengan persembahan tarian kebudayaan Myanmar dan penyanyi popular Indonesia seperti Agnes Monica, Afghan serta kumpulan Nidji.

Persembahan bunga api yang menerangi ruang angkasa Palembang menandakan majlis penutup tiba ke penghujungnya.

Indonesia muncul juara keseluruhan temasya Sukan SEA kali ini dengan 182 pingat emas manakala Malaysia di tempat keempat dengan 59 emas.

- BERNAMA

Cadangan Perhimpunan Aman haramkan protes jalanan

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz membentangkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman di Dewan Rakyat bagi menjamin kebebasan berhimpun.

Antara kandungan penting undang-undang yang dicadangkan itu:

(1) Notis awal 30 hari untuk berhimpun, kecuali mereka yang berada di kawasan yang dtetapkan oleh menteri dalam negeri.

(2) Selepas memaklumkan, perhimpunan boleh diteruskan, kecuali terdapat bantahan daripada polis.

(3) Tiada protes jalanan dibenarkan.

(4) Tiada protes dalam 50 meter daripada kawasan yang dilarang, termasuk hospital, sekolah dan rumah ibadat.

(5) Seksyen 9(5) membenarkan polis mendenda penganjur sehingga RM10,000 sekiranya tiada notis awal mengadakan perhimpunan diserahkan kepada polis.

(6) Seksyen 21(3) membenarkan polis mendenda pihak yang ditangkap sehingga RM20,000;

(7) Individu bawah umur 21 tidak dibenar menganjurkan perhimpunan; dan

(8) Kanak-kanak bawah 15 tahun tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam perhimpunan. Ini tidak termasuk perhimpunan berkaitan kebudayaan dan acara keagamaan seperti perarakan kematian yang diluluskan oleh menteri dalam negeri.

Dijadual untuk bacaan kedua pada minggu depan, rang undang-undang itu dibentangkan serentak dengan rang undang-undang lain untuk meminda Akta Polis, yang antaranya menyaratkan permit polis diperoleh sebelum mengadakan perhimpunan.

- MALAYSIAKINI

Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah - SAPS Untuk Nilai Prestasi Murid

Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) adalah untuk menilai perkembangan prestasi murid dan tidak timbul soal ketidakadilan kepada sekolah luar bandar berbanding sekolah di bandar, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya SAPS merupakan sistem analisis data standard yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran yang menilai dan mengikuti prestasi pelajar sekolah tanpa mengira sama ada sekolah itu di bandar atau di luar bandar.

"Ia bukan bertujuan mengukur pencapaian sesebuah sekolah sebaliknya berfungsi untuk mengesan kelemahan murid bagi mengatasi kelemahan berkaitan pelajaran yang dihadapi murid di sesebuah sekolah seawal yang mungkin," katanya ketika menjawab soalan Che Uda Che Nik (Pas-Sik) di Dewan Rakyat Selasa.

Mengenai capaian internet di sekolah luar bandar yang membebankan guru-guru untuk aplikasi SAPS, Mohd Puad berkata kementerian berusaha menyediakan tiga hingga lima buah server di setiap sekolah.

"Dan bagi mengurangkan tekanan kepada guru semasa proses pengisian markah peperiksaan, guru-guru hanya perlu mengisi sistem SAPS setahun dua kali sahaja iaitu bagi markah peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan)mengenai peruntukan kepada sekolah luar bandar untuk mengadakan kelas tuisyen, Mohd Puad berkata kementerian ada menyediakan peruntukan untuk kelas tuisyen di sekolah luar bandar.

Untuk ibubapa, SAPS boleh dilihat di: http://saps.moe.gov.my/ibubapa2/index.php

Sementara untuk guru, boleh diakses di: http://saps.moe.gov.my

- BERNAMA

Sabar

Hadith:

DARIPADA Abu Malik al-Harith bin A`sim al-Asya`ri r.a , katanya, telah bersabda rasul s.a.w , kesucian zahir dan batin sebahagian daripada iman, ucapan alhamdulillah memenuhi neraca, subhanallah serta alhamdulillah memenuhi neraca, subhanallah serta alhamdulillah keduanya memenuhi apa yang ada di antara langit dan bumi, sembahyang sebagai cahaya, sedekah pula bukti iman, sabar itu sebagai sinaran, al-Quran itu sebagai bukti untukmu atau atasmu dan setiap manusia dipagi lagi ada yang menjual dirinya (memelihara diri daripada siksaan Allah) dan ada juga yang membinasakan dirinya sendiri (tidak ingin keredaan Allah).

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:

1. Hadis ini menerangkan kelebihan darjat dan hikmat mengerjakan amal kebersihan, menunaikan solat, memberi sedekah, bersifat sabar, membaca al-Quran dan membanyakkan tasbih dan tahmid.

2. Tiap-tiap perbuatan itu masing-masingnya memperolehi balasan dari Allah mengikut apa yang dikerjakannya.

3. Di dalam perjuangan kehidupan, manusia biasanya berhadapan dengan keuntungan dan kerugian atau kemuliaan dan kecelakaan. Ketika berhadapan dengan kerugian atau kecelakaan yang merupakan dugaan bagi manusia, ketika itu hendaklah diterima dan dihadapi dengan penuh kesabaran kerana manusia telah dijanjikan bahawa Allah bersama orang-orang yang sabar.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Permohonan Kemasukan Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Sekolah Menengah Vokasional (SMV)/ Kolej Vokasional 2012

Pelajar-pelajar tingkatan tiga yang akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 dan berminat menyambung belajar tingkatan 4 di Sekolah Menengah Teknik atau Vokasional bagi sesi pengambilan tahun 2012 bolehlah membuat permohonan sekarang.

Pendidikan teknikal dan vokasional dihasratkan memberi peluang kepada murid yang mempunyai kecenderungan dalam pendidikan sains dan teknologi untuk memenuhi tenaga kerja dalam bidang industri negara. Bagi merealisasikan hasrat ini, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) Kementerian Pelajaran menawarkan program-program yang membolehkan murid berpotensi menjadi separa profesional dalam pelbagai bidang teknikal dan kejuruteraan.

Kementerian Pelajaran juga dalam proses menukarkan status Sekolah Menengah Vokasional kepada Kolej Vokasional secara berperingkat-peringkat sebagai sebahagian usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara serta menghapuskan stigma bahawa pengajian vokasional adalah untuk pelajar yang tidak dapat menguasai bidang akademik. Perubahan nama itu akan melibatkan pindaan Akta Pendidikan serta rombakan kursus-kursus teknikal dan vokasional, dengan pelajar yang dikeluarkan tidak terbatas di peringkat sijil kemahiran tetapi merupakan lulusan setaraf diploma atau diploma lanjutan.

Aliran

Bahagian Pendidikan Teknik Vokasional Kementerian Pelajaran menawarkan 3 aliran dan 1 kolej;
  • Aliran Teknikal
  • Aliran Vokasional
  • Aliran Kemahiran
  • Kolej Vokasional

Aliran Teknikal

Aliran teknikal dikhususkan kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik pada peringkat PMR. Objektif bidang teknikal adalah untuk membantu melahirkan tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan (pertanian dan perdagangan). Setelah tamat pengajian di SMT, pelajar berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di peringkat diploma di IPTA (universiti, politeknik, kolej komuniti), kolej matrikulasi teknikal, kolej matrikulasi umum, atau Tingkatan 6.
Aliran teknikal menyediakan 6 pakej kursus iaitu Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Perdagangan, Sains Pertanian dan AgroTeknologi.

Aliran Vokasional

Aliran vokasional memberikan peluang kepada pelajar yang berpencapaian baik dan sederhana dalam akademik dan berminat kepada pembelajaran bercorak vocational (berkaitan pekerjaan). Isi kandungan bidang vokasional mempunyai komponen teori dan praktikal yang seimbang. Objektif aliran ini adalah untuk membantu melahirkan separa profesional (juruteknik/pembantu teknik) dalam bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan. Setelah tamat pengajian, pelajar berpeluang ke IPTA, IPTS, dan institut latihan kemahiran awam dan swasta, atau terus ke alam pekerjaan.

Aliran vokasional menyediakan 17 pakej kursus iaitu Automotif, Penyejukan dan Penyamanan Udara, Amalan Bengkel Mesin, Kimpalan, Elektrik dan Elektronik, Pengurusan Perniagaan, Fesyen, Katering, Seni Kecantikan, Perkhidmatan dan Perkembangan Kanak-kanak, Bakeri, Pelancongan, Hortikultur Hiasan dan Lanskap, Teknologi Tanaman, Agroindustri Tanaman, Agroindustri Ternakan dan Pengaturcaraan Komputer.

Aliran Kemahiran & Kolej Vokasional

Aliran kemahiran dikhususkan kepada murid pencapaian rendah pada peringkat PMR dan sangat cenderung kepada pembelajaran secara hands-on (amali). Isi kandungan kursus-kursus bidang kemahiran ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia. Murid yang tamat dengan jayanya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh JPK akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh industri.

Murid akan dilatih menjadi tenaga kerja mahir untuk bekerja di industri atau membuka perniagaan sendiri apabila tamat pengajian. Disamping itu juga, murid boleh melanjutkan latihan kemahiran pada peringkat yang lebih tinggi di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), kolej komuniti, dan pelbagai institut latihan kemahiran swasta.

Mulai tahun 2010, BPTV memperkenalkan program traineeship kepada murid aliran ini jika mereka berminat dan mendapat persetujuan ibubapa. Program ini membolehkan murid mengikuti pembelajaran di sekolah selama 3 hari, dan 2 hari di tempat kerja yang sesuai dengan kursus yang diikuti murid. Tempat kerja ditentukan dengan persetujuan sekolah dan ibubapa dengan kerjasama industri. Program traineeship ini memberi peluang murid mendapat pendedahan awal kepada alam pekerjaan semasa di bangku sekolah lagi.

Aliran kemahiran menyediakan 20 pakej kursus iaitu Pemesinan, Jurukimpal, Pelukis Pelan Kejuruteraan Mekanikal, Juruteknik Automotif, Mekanik Penyejukbekuan & Penyamanan Udara, Pembuat Perabot, Jurubina Bangunan, Jurubina Bangunan (Asas Kayu), Jurukerja Paip, Pelukis Pelan Senibina, Timber Processing and Finishing, Juruteknik Elektrik, Juruteknik Elektronik Industri – Peralatan, Demi Chef, Pembuat Pakaian Wanita, Pendandan Rambut, Jurukecantikan, Juruteknik Akuakultur, Juruteknik Ladang Pertanian dan Jurupemprosesan Makanan.

Kolej Vokasional pula menyediakan 14 pakej kursus iaitu Pemesinan Industri, Teknologi Kimpalan, Teknologi Automotif, Teknologi Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara, Teknologi Elektrik, Seni Kulinari, Kosmetologi, Fesyen dan Membuat Pakaian, Hortikultur Hiasan, Landskap, Mekanisasi Agro, Agroindustri Tanaman, Agroindustri Ternakan Ruminan dan Agroindustri Ternakan Poltri

Syarat Umum

  • Pemohon mestilah warganegara Malaysia.
  • Pemohon hendaklah:
    • Berada di Tingkatan 3 dan akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Tahun 2011.
    • Telah menduduki peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Tahun 2011.
  • Kesihatan diri pemohon:
    • Mestilah sihat tubuh badan dan sesuai dari segi fizikal.
    • Bebas dari penyakit seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, alahan (allergy), pekak, sawan (epilepsy) dan lain-lain penyakit yang boleh membahayakan atau menghadkan pelajar daripada menjalankan kerja kursus dan kerja amali.
  • Pemohon kursus Kejuruteraan (Elektrikal, Mekanikal dan Awam) mestilah tidak rabun warna.

Syarat Khusus

  • Aliran Teknikal – Minimum B semua 8 mata pelajaran dalam peperiksaan PMR
  • Aliran Vokasional – Pencapaian sederhana dalam peperiksaan percubaan PMR
  • Aliran Kemahiran – Pencapaian rendah dalam peperiksaan percubaan PMR
  • Kolej Vokasional – Pencapaian baik dalam peperiksaan percubaan PMR

Permohonan

Temuduga

  • Pemohon yang disenarai pendek akan dipanggil untuk sesi temuduga di SMT/SMV yang berkenaan.
  • Pemohon diminta hadir temuduga dengan berpakaian lengkap sekolah. Sila bawa bersama salinan kad pengenalan, keputusan peperiksaan  percubaan PMR 2011 yang telah disahkan oleh pihak sekolah pemohon dan sijil-sijil berkaitan.

Tarikh Tutup

Tarikh tutup permohonan untuk ke Kolej Vokasional, Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Menengah Vokasional 2012 adalah pada 19 Disember 2011.

Rayuan Kemasukan

Bagi permohonan yang tidak berjaya, pemohon boleh membuat rayuan terus melalui online atau terus ke Kolej Vokasional, Sekolah Menengah Vokasional (SMV) atau Sekolah Menengah Teknik (SMT) yang berkenaan.

Maklumat

http://eputra.com

5,685 guru daftar pelajar OUM

SHAH ALAM: Kira-kira 5,685 guru yang bertugas di seluruh negara dijangka mendaftar sebagai pelajar di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) bagi mengikuti program Sarjana Muda Pengajaran (SMP), Bahagian Pendidikan Guru untuk kemasukan Ambilan Khas Semester Januari 2011, bermula semalam.

Presiden OUM, Tan Sri Profesor Emeritus Anuwar Ali berkata, pendaftaran program itu dijalankan di 20 lokasi diuruskan pusat pembelajaran OUM di seluruh negara, bermula semalam hingga 17 Mac ini.

Katanya, semua guru bakal mendaftar itu akan mengikuti program empat tahun dan akan memulakan pengajian mereka pada bulan ini hingga Disember 2014.

“Ambilan Khas ini hanya membabitkan program SMP dengan 11 pengkhususan iaitu Prasekolah, Pendidikan Islam, Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Kemahiran Hidup, Matematik, Muzik, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Khas, Pendidikan Seni Visual dan Sains.

“Program ini mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta perakuan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Sejak dimulakan pada 2006, hampir 20,000 guru berjaya meningkatkan kelayakan akademik masing-masing, melalui program inisiatif Kementerian Pelajaran untuk memastikan semua guru di sekolah menengah dan sekurang-kurangnya 50 peratus guru di sekolah rendah, memiliki ijazah,” katanya pada sidang akhbar, di OUM Shah Alam, di sini, semalam.

- HARIAN METRO

Soal Jawab Agama : Poker Internet tanpa taruhan

Bersama Dr Salam

SOALAN:

APAKAH hukum bermain poker (judi) di Internet iaitu bermain hanya sekadar suka-suka saja dan tidak membabitkan pertaruhan duit sebenar.

Bolehkah ia disamakan dengan permainan lain di Internet? Boleh Dr jelaskan hukumnya kerana ada yang berpendapat haram kerana menyamai perjudian sebenar.

Ada yang mengatakan ia tidak haram kerana sama saja dengan permainan lain di Internet.

JAWAPAN:

JUDI termasuk dalam perbuatan haram dalam Islam (al-Quran, al-Ma’idah (5): 90-91). Ia perlu dijauhi sama ada kecil atau besar. Bagi lebih memahami maksud judi itu, ia secara umum membabitkan dua perkara berikut, iaitu (1) sumber hadiah berasal daripada apa-apa benda termasuk duit sebagai deposit atau taruhan daripada semua peserta, dan (2) semua peserta perlu mengambil risiko sama ada menang atau kalah di dalamnya (Ashraf Md Hashim 2003).

Sekiranya permainan poker di atas tidak membabitkan perkara di atas, ia bukan judi yang ditakrifkan haram dalam Islam. Bagaimanapun, permainan sedemikian dikira membazir waktu dan wajar dijauhi.

Justeru hukumnya berbeza-beza. Ada berpendapat permainan sedemikian hanya makruh, harus atau haram berdasarkan keadaan tertentu.

Ada menyatakan ia haram kerana melakukan aktiviti tidak berfaedah dan untuk keseronokan semata-mata. Lebih bermanfaat mencegah diri daripada permainan berkenaan.

- HARIAN METRO

Recent Posts