Sabtu, Oktober 01, 2011

LHDN kenakan penalti jika gagal hantar borang

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengenakan penalti antara 20 peratus dan 35 peratus terhadap pembayar cukai yang lewat atau gagal mematuhi penghantaran Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP).

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar, berkata penalti itu akan dilakukan mengikut tempoh kelewatan penghantaran BNCP, antara 12 bulan dan 36 bulan dan arahan berhubungan tindakan mengenakan penalti itu mula berkuatkuasa pada 1 Jun lalu.

“Jumlah penalti yang akan dikenakan tidak melebihi tiga kali ganda cukai yang dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Mohd Shukor berkata, LHDN memandang serius kesalahan pembayar cukai apabila lewat atau gagal mengemukakan BNCP mengikut tempoh ditetapkan.

Tindakan itu akan dikenakan di bawah Subseksyen 112(3) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 melalui arahan terbaru, yang menjadi juga pembaikan kepada arahan sebelum ini untuk menghasilkan peningkatan dalam pematuhan penghantaran BNCP mengikut tempoh.

– BERNAMA

Laksana hudud jika dapat undi majoriti Parlimen - PAS

ALOR SETAR: PAS hanya akan melaksanakan hukum hudud sekiranya mendapat majoriti sokongan dua pertiga di dalam Parlimen.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, pelaksanaan hukum hudud di Malaysia mestilah menerusi pindaan perlembagaan iaitu amalan biasa bagi negara demokrasi.
“Keputusan itu diterima semua parti (pakatan pembangkang) dan DAP menghormati apa yang diluluskan di Kelantan pada tahun 1993 dan Terengganu pada 2003, cuma proses pelaksanaannya itu mesti melalui perlembagaan.
“Perlembagaan ertinya menerusi pindaan ke arah perkara yang boleh untuk melaksanakan hudud, iaitu mestilah mendapat dua pertiga sokongan (Parlimen) dan ia proses biasa dalam negara demokrasi.

“Kecualilah PAS mengambil pendekatan revolusi angkat senjata dan tidak berpakat dengan orang langsung. Itu lain lah... kita memilih jalan pilihan raya dan demokrasi mesti melalui proses perlembagaan yang ada,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ceramah di Kompleks PAS Kubang Rotan di sini, malam kelmarin.

Mohamad Sabu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan pakatan pembangkang Rabu lalu yang sepakat tidak melaksanakan hudud seperti dicadangkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana pelaksanaannya tidak menepati dasar bersama pakatan itu, Perlembagaan Persekutuan dan kandungan Buku Jingga.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya menghormati pendirian PAS berhubung undang-undang berkenaan tetapi pada masa sama menerima perbezaan pendirian DAP yang membantah pelaksanaannya.
Ditanya adakah keputusan mesyuarat itu diterima sebulat suara oleh ketiga-tiga parti termasuk Kerajaan Kelantan, beliau berkata, mesyuarat berkenaan mencapai kata sepakat dan semua pihak berpuas hati.

“Kita akan memberi penerangan berterusan kepada orang ramai sebab bagi orang Islam syariat Islam termasuk hudud adalah perkara yang perlu dan wajib yakin. Tetapi cara dan kaedah pelaksanaan itu perlu menerusi Perlembagaan.

“Pinda Perlembagaan di Malaysia bukan perkara baru, kita sudah melalui 53 kali pindaan Perlembagaan sejak Merdeka,” katanya.

Sementara itu, dalam ceramahnya, Mohamad Sabu berkata, isu pelaksanaan hukum hudud ini sengaja dimainkan UMNO untuk menarik sokongan pengundi Melayu pada pilihan raya nanti.

- BERITA HARIAN

Tiada sekolah kebangsaan bahasa Inggeris - TPM

SERDANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan sekolah kerajaan aliran bahasa Inggeris tidak akan diwujudkan di negara ini kerana ia bertentangan dengan Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau bertanggungjawab untuk melaksanakan apa yang termaktub dalam akta dan dasar yang jelas menyebut bahawa bahasa pengantar di sekolah kebangsaan ialah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.

“Tidak mungkin akan wujud sekolah (kerajaan) aliran bahasa Inggeris kecuali jika berlaku perubahan dalam Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Mengulas cadangan pihak tertentu supaya kerajaan menubuhkan sekolah dua aliran, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, beliau berkata, dalam aliran kebangsaan hanya aliran bahasa Melayu dibenarkan tetapi pada peringkat swasta, semua aliran dibolehkan, termasuk bahasa Inggeris selain sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

Ketika sesi soal jawab dengan warga UPM, beliau berkata, bahasa yang lebih mudah untuk diajar kepada anak khususnya pada peringkat rendah adalah bahasa ibunda, malah perkara itu dipersetujui pada mesyuarat lembaga eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris, awal minggu ini.

“Sebab itu orang Cina mahukan sekolah (aliran) bahasa Cina, orang India nak bahasa Tamil, begitu juga di Sabah dan Sarawak yang mempunyai pelbagai bahasa,” katanya sambil menambah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dibuat bukan sebab kerajaan tidak suka kepada bahasa Inggeris.

“Kerajaan bersikap realistik kerana sepanjang enam tahun Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), ramai gagal. Kita dapati pelajar terutama di luar bandar langsung tidak tahu berbahasa Inggeris, jadi sukar jawab soalan peperiksaan kerana lebih mahir bahasa ibunda masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin mengumumkan UPM bakal mempunyai hospital sendiri jika Kabinet bersetuju menyerahkan Hospital Serdang untuk dijadikan pusat pengajaran dan pembelajaran perubatan universiti itu melalui cadangan yang akan dikemukakan Kementerian Pengajian Tinggi.

Katanya, beliau positif dengan cadangan itu, lebih-lebih lagi melihat sokongan warga UPM yang begitu komited untuk mempunyai hospital sendiri sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran pelajar perubatannya, sekali gus meningkatkan kualiti dan mutu pengajaran dalam bidang kesihatan dan perubatan.

Ketika ini, tiga universiti menawarkan program perubatan memiliki hospital pendidikan, iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia (USM), manakala lima lagi mempunyai program sama tetapi menumpang hospital ialah UPM, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Kolej Universiti Islam Malaysia.

Ketika berucap pada sesi pertemuan dengan warga UPM, Muhyiddin mengumumkan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebanyak RM5 juta kepada Hospital Veterinar milik universiti terbabit bagi merangsang hospital itu menjadi pusat perubatan veterinar terkemuka di rantau ini dan global.

Beliau juga menyarankan UPM memberi tumpuan menjadi universiti utama dalam penyelidikan jaminan keselamatan makanan di negara ini serta serantau kerana kepakaran institusi itu wajar dikembangkan untuk membantu negara menjamin kecukupan makanan.

- BERITA HARIAN

Dua akta baharu ganti ISA dibentang Mac 2012

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dua akta baharu yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan kerajaan baru-baru ini akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Mac depan.

Kata Perdana Menteri, usul memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1953 pula akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat minggu depan manakala usul untuk pindaan ke atas Seksyen 27 Akta Polis 1967 pada November tahun ini.

"Keputusan kerajaan ini merupakan pelengkap kepada proses transformasi yang telah bermula dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan kini transformasi politik.

"Ini menunjukkan bahawa kita ada agenda yang begitu komprehensif dan menyeluruh untuk membawa negara menjurus kepada bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi juga dapat menjadi sebuah negara yang sejajar dengan negara lain yang mengamalkan demokrasi moden," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Najib menerusi Perutusan Khas Hari Malaysia pada 15 September lalu mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baharu yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Katanya, undang-undang baharu itu akan digubal di bawah 'semangat serta payung' Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Dalam perutusan itu juga, beliau turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 selain akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 27 Akta Polis 1967.

- UTUSAN

Tiada Kenaikan Tambang AirAsia - Tony Fernandes

AirAsia memberi jaminan yang syarikat penerbangan itu akan terus kekal sebagai syarikat tambang murah dan mengekalkan struktur tambangnya meskipun menjalin kerjasama dengan Malaysia Airlines baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes menegaskan bahawa, "tambang AirAsia tidak akan dinaikkan atau akan berlaku situasi kurang persaingan".

"AirAsia bermula sebagai sebuah syarikat penerbangan tambang murah dan kami akan kekal sebagai syarikat penerbangan tambang murah. Tidak akan ada faedah bagi kami (AirAsia) sekiranya tambang dinaikkan," katanya selepas menyampaikan taklimat di Kolej Tunku Abdul Rahman.

Tony berkata demikian sebagai memberi reaksi kepada dakwaan bahawa AirAsia akan menaikkan tambang yang akan secara automatiknya mengurangkan persaingan antara kedua-dua syarikat penerbangan itu.

"AirAsia berkisar tentang tambang murah. Kami mahu mendapatkan lebih banyak penerbangan dan untuk mendapatkan lebih banyak penerbangan kami perlu menawarkan tambang murah.

"Anda mempunyai pilihan, jika anda tidak suka dengan tambang kami (AirAsia), anda tidak akan menggunakan perkhidmatan penerbangan kami," katanya sambil menambah malahan AirAsia perlu bersaing untuk mendapatkan perniagaan.

Rakyat Malaysia perlu meletakkan keyakinan mereka terhadap kerjasama (antara MAS dan AirAsia) itu yang bukan sahaja akan memberi faedah kepada industri tetapi juga negara, kata Tony.

"Rakyat Malaysia, kebiasaannya, hanya akan dapat diyakinkan selepas mereka melihat kejayaan, mereka kemudiannya akan menyesal dengan kesilapan mereka.

"Oleh itu, berilah kami sedikit masa dan kami akan membuktikan kepada anda yang janji niaga ini akan menguntungkan," kata Tony, sambil menambah beliau mengalu-alukan pihak-pihak yang mengkritik AirAsia, MAS atau perjanjian pertukaran saham itu dan mendengar segala pandangan dan pendapat mereka.

Sementara itu, Tony berharap Malaysia Airports akan menyedari faedah perjalanan tambang murah dengan memberikan lebih banyak terminal tambang murah di lapangan-lapangan terbang Malaysia.

"Kami mempunyai sebuah di Kota Kinabalu dan kami berharap mempunyai sebuah di Pulau Pinang dan di Kuching, Sarawak, kerana kami merasakan perjalanan tambang murah adalah satu perniagaan berasingan daripada premium," katanya.

Sementara itu, AirAsia juga meningkatkan operasi AirAsia Japan, Thailand, Indonesia dan Filipina.

"Semua ini kelihatan baik kerana kami terus mencatatkan lebih banyak laluan dan lebih banyak kekerapan dalam 12 bulan lepas.

"Dari segi kewangan, suku ketiga kami nampaknya menggalakkan, saya harap suku keempat juga akan sangat baik dan saya tidak bimbang dengan sebarang kemelesetan, jika pun berlaku.

"Secara realitinya, ia sekarang masa gemilang MAS dan AirAsia kerana kami boleh mendahului dalam perniagaan dan trafik penumpang manakala yang lain (syarikat penerbangan) masih bergelut," kata Tony.

- BERNAMA

Laman web terima syor rakyat diperkenal

Orang ramai kini boleh memberikan cadangan dan berkongsi idea mengenai isu semasa serta polisi kerajaan melalui laman web www.mdcruz.my.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz berkata, ia diwujudkan bagi membolehkan orang ramai menyuarakan pendapat dan kritikan membina kepada kerajaan tanpa perlu bimbang dikenakan tindakan undang-undang.

“Inisiatif ini dilakukan bagi memberi peluang kepada rakyat menyuarakan pendapat mereka mengenai isu semasa atau hal berkaitan pentadbiran kerajaan.

“Orang ramai boleh melayari laman web itu mulai 1 Oktober 2011 dan menyertai bancian pendapat bagi mengenalpasti keberkesanan inisiatif ini,” katanya pada sidang akhbar bagi memperkenalkan laman web tersebut.

Beliau berkata, segala persoalan yang dikemukakan rakyat akan mendapat respons pihaknya dalam masa terdekat.

“Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi merealisasikan budaya kebebasan bersuara di negara ini,” ujarnya.

Menurutnya, ia juga bagi menggalakkan orang ramai turut sama terlibat dalam menentukan hala tuju pembangunan negara.

“Saya yakin rakyat memiliki idea-idea positif yang boleh diserap dan digunapakai oleh para pentadbir negara kerana kami amat mementingkan kebajikan mereka,” katanya.

- UTUSAN

Memahami asnaf fisabilillah

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Surah at-Taubah ayat 60 adalah ayat yang paling jelas menyebut asnaf fisabilillah sebagai satu daripada asnaf zakat. Banyak lagi ayat lain yang menyentuh mengenai fisabilillah ini.

Contohnya di dalam surah as-Saff, ayat 10-11 telah menunjukkan bahawa fisabilillah adalah satu perkara yang penting dalam konsep menginfaqkan harta.

Pada zaman nabi dan zaman sahabat, definisi fisabililliah ini lebih terarah dalam kategori membela agama Allah dengan cara berperang.

Sebab itu ada ayat al-Quran yang mana Allah menyebut orang yang sibuk berjuang dalam perjuangan fisabilillah ini sehingga mereka jatuh fakir tapi mereka segan memohon bantuan dan kita mengenali mereka dengan melihat keadaan mereka, maka itulah golongan yang paling layak untuk mendapat bantuan zakat (rujuk al-Baqarah: 273)

Zaman berubah, kini fisabilillah lebih meluas definisinya dan ia bersangkut paut dengan usaha untuk membela agama Allah dengan apa cara sekalipun.

Justeru, apa sahaja pekerjaan atau usaha untuk membela agama Allah, misalnya mengembangkan agama Allah, mempertahankan agama Allah, mempromosikan syariat dan syiar Islam dan membela nasib umat Islam itu juga dikategorikan sebagai fisabilillah.

Maka, mengikut perbincangan ulama, jika seseorang itu mewakafkan dirinya kepada bidang ilmu maka dia layak dibantu dengan dana asnaf fisabilillah sebab dia tidak sempat untuk mencari rezeki. Atas sebab itulah, mereka dibantu.

Namun, mungkin ada orang terfikir, kenapakah institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) menaja ramai pelajar dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan sebagainya lagi dengan dana zakat. Kenapa tidak difokuskan hanya kepada para penuntut aliran agama sahaja?

Jawapan mudah, dana zakat atas nama fisabilillah ini perlu dimanfaatkan demi maslahah ammah jangka panjang. LZS perlu menaja pelajar dalam pelbagai bidang, kerana bidang-bidang ini adalah perlu kepada umat Islam.

Contohnya bidang perubatan dapat melahirkan ramai doktor perubatan muslim. Bidang ini adalah suatu keperluan bahkan boleh menjadi fardu kifayah. Atas dasar itulah zakat dimanfaatkan di sini, dengan matlamat akhir mereka yang ditaja ini kelak dapat berperanan meninggikan agama Islam dan memberi faedah kepada umat Islam.

Persoalan lain yang timbul, kenapakah berlakunya pengembangan dalam memahami skop asnaf fisabilillah ini? Yakni, kenapa berbeza zaman dahulu dan hari ini?

Oleh itu, apa yang perlu difahami, corak kehidupan pada hari ini adalah berbeza dengan zaman dahulu, khususnya sewaktu khilafah Islamiah masih berfungsi.

Ini kerana, pada zaman pemerintah Islam dahulu, fokus dalam mengembangkan Islam ke seluruh pelosok dunia adalah terletak di bahu pemerintah.

Maka, pemerintah Islam akan menggunakan dana Baitul Mal (yang zakat termasuk di dalamnya), bukan sekadar menyantuni keperluan individu, bahkan untuk melestarikan Islam menerusi pengembangan ilmu dan juga perluasan wilayah. Sebab itulah, pada waktu itu fokus fisabilillah lebih kepada peperangan.

Hari ini, peperangan bagi meluaskan wilayah Islam tidak lagi menjadi keutamaan. Hanya ada beberapa buah negara umat Islam sahaja yang dilanda peperangan dan itu pun lebih bersifat defensif, seperti Palestin misalnya.

Maka bagi negara yang aman seperti Malaysia, definisi dan skop asnaf ini perlu dikembangkan supaya manfaatnya dapat dilebarkan demi kelangsungan ummah.

Seperkara lagi yang perlu difahami, asnaf fisabilillah ini berbeza kerana tujuannya adalah untuk meninggikan syiar Islam dan syariat-Nya. Lagi pun, natijah akhirnya mampu membawa seluruh manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Jika dibandingkan dengan asnaf-asnaf yang lain; fakir dan miskin misalnya, mereka dibantu atas dasar keperluan hidup dan supaya mereka dapat melepaskan diri daripada belenggu kepayahan.

Sebagai contoh, berbalik kepada seorang pelajar perubatan yang menyambung ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang neurologi (kaji saraf) dan dibiaya dengan wang zakat, maka ia adalah melihat kepada keperluan untuk wujudnya seorang pakar dalam kaji saraf kepada umat Islam.

Dana fisabilillah digunakan untuk menaja pelajar berkenaan supaya dia boleh berbakti kepada agama. Manfaat fisabillillah ini lebih kepada umum, ia tidak kepada individu.

Begitu juga apabila asnaf fisabilillah ini digunakan antara lain untuk tujuan pembangunan agama, misalnya untuk pembinaan masjid dan surau, sekolah agama, membaiki keperluan sekolah, membina perpustakaan dan apa-apa sahaja yang wajar. Ia juga adalah untuk maslahah ammah, yakni kepentingan ramai.

Hari ini, zakat atas nama fisabilillah turut menyediakan geran yang besar kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membolehkan mereka melaksanakan kerja dan usaha dakwah secara lebih berkesan.

Misalnya Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan banyak lagi NGO Islam mendapat bantuan zakat sehingga membolehkan mereka lebih luwes merencanakan agenda perubahan ummah.

Hakikatnya, dana fisabilillah amat bermanfaat demi ummah. Pemahaman terhadap isu ini dapat meredakan salah faham sesetengah pihak, bahawa dana fisabilillah ini hanya terbatas dalam skop tertentu sahaja, kerana kelak ia lebih merugikan ummah. Wallahu a'lam.

- UTUSAN

RIM komited untuk terus pasarkan PlayBook


MONTREAL, Kanada - Pembuat telefon pintar BlackBerry, Research In Motion (RIM) menafikan satu laporan kelmarin bahawa ia akan menamatkan pengeluaran komputer tablet PlayBook keluarannya.

Sementara itu, peruncit-peruncit utama di Amerika Syarikat (AS) bertindak memotong harga PlayBook hingga AS$200 (RM638). Langkah itu dibuat sehari selepas Amazon memperkenalkan tablet dikenali sebagai Kindle Fire yang dijual pada harga lebih murah iaitu $199 (RM634).

RIM menegaskan komitmennya untuk terus menghasilkan PlayBook selepas seorang penganalisis, John Vihn mendakwa syarikat dari Kanada itu telah menghentikan pengeluaran komputer tablet berkenaan.

"Sebarang berita bahawa pengeluaran BlackBerry PlayBook dihentikan adalah spekulasi semata-mata. RIM kekal komited dalam pasaran komputer tablet menerusi PlayBook," jelas satu kenyataan daripada RIM.

Jualan PlayBook tidak memberangsangkan sejak ia diperkenalkan ke dalam pasaran pada pertengahan April lalu. Ia dijual pada harga AS$499 (RM1,591) untuk model 16-gigabit (GB), manakala versi 32GB pula berharga AS$599 (RM1,910) dan AS$699 (RM2,229) untuk model 64GB. -

Dalam laporan perolehan suku terakhir kewangannya, RIM menyatakan telah menghantar sebanyak 200,000 unit Playbook. Para penganalisis meramal penghantaran itu bakal mencecah 700,000 unit.

- AFP

Marlina Manaf penyampai berita Astro Awani


DI SAAT kebanyakan anak remaja masih dibuai mimpi mengejar cita-cita, berbeza dengan pengacara rancangan Perspektif Kita dan penyampai berita Global Awani, Marlinawatie Che Abdul Manaf, 27, (Marlina) kerana sudah tahu apa yang dimahukan dalam hidup.

Impian menjadi penyampai berita dan pengacara sudah disimpan sejak berusia 15 tahun. Malah setiap kali guru atau rakan bertanya, Marlina dengan tegas menyatakan mahu menjadi wartawan penyiaran dan penyampai berita suatu hari nanti.

Waktu itu, setiap kali melihat wajah idolanya seperti Ras Adiba, Suhaimi Sulaiman dan Wan Zaleha bersiaran di televisyen, pasti Marlina tersenyum sendiri kerana membayangkan dirinya berada di tempat personaliti terbabit yang pernah mencipta populariti suatu ketika dulu.

Bagaimanapun, perjalanan dilalui Marlina dalam membina kerjaya sebagai penyampai berita dan pengacara tidak semudah dibayangkan. Ia penuh dugaan sehinggakan sampai satu tahap ibu kepada seorang anak ini hampir putus asa dan menganggap rezekinya tiada dalam bidang dicita-citakan.

Sebenarnya Marlina hampir mengecapi impiannya lebih awal sewaktu bertugas di stesen rangkaian berita ternama tanah air. Namun, kerana imej bertudungnya dan dasar syarikat, keinginannya terpaksa dilupakan.

Kata Marlina, waktu bertugas di stesen itu, dia sudah diberikan segala tugas bermula sebagai wartawan penyiaran sehingga kepada melakukan suara latar.

"Waktu itu ramai teman sekerja mencadangkan kepada majikan supaya membenarkan saya tampil di hadapan kamera untuk menyampaikan berita. Namun, mereka menolak dengan alasan belum bersedia untuk mengetengahkan penyampai wanita bertudung. Apatah lagi stesen berita itu baru beroperasi sepenuhnya," katanya.

Sesetengah pihak beranggapan angan-angan tidak mungkin menjadi kenyataan. Begitu juga dengan Marlina, tetapi Allah Maha Besar dalam merencanakan hidup hamba-Nya. Walaupun halangan datang, jika seseorang itu bekerja keras dan bertawakal, apa yang dicitakan pasti menjadi miliknya.

Dalam Marlina rancak berbual mengenai permulaan kerjayanya dalam bidang penyiaran, tiba-tiba suasana bertukar hiba. Marlina tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan kembali saat dia diberi peluang muncul di televisyen.

Cerita Marlina, ibunya menghubungi membisikkan betapa dia berbangga melihat anak perempuannya berjaya juga mencapai apa yang diidamkan dalam hidup selama ini.

"Selama lima tahun saya cuba mencapai apa yang saya peroleh sekarang. Sejak zaman menuntut di universiti lagi, saya terpaksa membahagikan masa antara kerja di restoran makanan segera dengan kuliah.

"Saya bukan berasal daripada keluarga berada sementara kakak dan abang masih menuntut serta memulakan hidup sendiri. Selepas habis pengajian, saya mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, tetapi permohonan tidak diterima. Saya minta pandangan ibu dan dia mencadangkan saya bekerja saja terlebih dulu.

"Lama juga saya menanti tawaran untuk bekerja sebagai wartawan penyiaran, tetapi setiap permohonan dibuat sepi tiada jawapan. Sehingga saya berasakan jika dilantik menjadi pengurus di restoran makanan segera itu saya akan berpuas hati dan itulah kerjaya yang sesuai untuk saya.

"Setahun juga lamanya saya bertugas sepenuh masa di restoran makanan ringan itu sehinggalah suatu hari stesen berita terbabit memanggil saya untuk memulakan tugas.

"Kebetulan sewaktu menuntut, saya pernah membuat latihan amali di sana. Saya percaya ia juga berkat doa ibu yang mahu saya berjaya mencapai apa yang saya citakan," katanya.

Melihatkan perkembangan kerjaya agak statik selepas hampir tiga tahun bertugas di stesen berita itu, Marlina mencuba nasib dengan memohon untuk menjadi kakitangan di satu lagi stesen berita yang ditubuhkan Astro iaitu Awani.

"Saya bermula sebagai wartawan penyiaran berdasarkan pengalaman diperoleh. Melihatkan kemampuan yang ditunjukkan, majikan menawarkan saya mengikuti latihan untuk menjadi pengacara dan penyampai berita.

"Lebih membuatkan saya teruja apabila diletakkan di bawah pengawasan pengacara amat saya minati, Suhaimi Sulaiman. Mula-mula menemuinya saya berasa takut juga, tetapi dia ternyata seorang mentor yang sangat bagus dan tahu bagaimana hendak membentuk serta mengetengahkan bakat yang saya miliki.

"Latihan yang saya ikuti itu tidak saya beritahu ibu dan ahli keluarga lain sehinggalah pertama kali bersiaran mengendalikan Perspektif Kita. Itupun saya tidak menjelaskan apa-apa selain meminta mereka menonton Awani waktu itu.

"Selesai bersiaran ibu menghubungi saya mengucapkan tahniah dan adik-beradik lain turut mengucapkannya serta tidak menyangka apa yang saya mimpikan dulu rupa-rupanya boleh menjadi kenyataan. Waktu itu baru saya sedar, benar kata orang kalau kita berusaha tidak ada yang mustahil untuk dicapai," katanya.

Selepas hampir dua tahun menyertai Awani, kini Marlina ditempatkan untuk mengendalikan segmen berita Atma Asia, satu-satunya buletin di televisyen tempatan yang melaporkan berita dan kejadian berlaku di sekitar Asia. Pada waktu sama ada ketika dia dikehendaki bertugas sebagai penyampai di luar studio.

Menyentuh mengenai penyampai bertudung, jelas Marlina dia yakin sekarang ini kebanyakan stesen televisyen semakin terbuka dan mereka yang tampil sopan sudah banyak diberikan peluang.

"Lihat saja rancangan berita mahupun bercorak informasi di beberapa stesen utama tempatan, ramai penyampai bertudung ditampilkan. Malah perkara itu turut disambut baik masyarakat. Saya turut berbangga apabila melihat perkembangan ini," katanya.

Walaupun nampak lembut, Marlina berminat dalam sukan seni mempertahankan diri karate-do dan menyertai Persatuan Seni Mempertahankan Diri Hayashi-Ha Kuala Lumpur. Dia yang kini menetap di Semenyih, Selangor turut memegang tali pinggang hitam.

"Ada cerita lucu di sebalik pembabitan saya dalam sukan karate-do ini. Saya pernah mewakili Kuala Lumpur selama tiga tahun ketika Sukan Malaysia (Sukma).

"Berasakan saya agak lasak, ibu pernah menyarankan menyertai Angkatan Tentera Malaysia (Atma) apabila permohonan saya untuk menjadi penyampai berita dan wartawan penyiaran tiada jawapan.

"Sekarang rupa-rupanya apabila bertugas ia ada kaitan dengan Atma, tetapi ia ringkasan rancangan berita yang saya kendalikan. Disebabkan sibuk dengan kerjaya, aktiviti seni mempertahankan diri sudah lama saya lupakan dan ramai antara rakan saya kini sudah mewakili negara dalam sukan itu," katanya.

>Profil

Nama penuh: Marlinawatie Che Abdul Manaf

Panggilan: Marlina Manaf

Tarikh lahir: 20 November 1982

Asal: Pasir Mas, Kelantan

Umur: 29 tahun (2011)

Hobi: Memasak

Status: Berkahwin dan ibu kepada cahaya mata berusia 3 tahun.

Kelulusan: Diploma Komunikasi Massa daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Kerjaya: Penyampai berita, pengacara dan wartawan penyiaran

- BERITA HARIAN

Graduan Perlu Bina Keterampilan Diri Berdepan Globalisasi - Tengku Abdullah

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu para graduan membina keterampilan diri bagi berdepan suasana globalisasi yang penuh dengan persaingan.

Tengku Abdullah, yang juga Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), bertitah kepintaran akal semata-mata bukan tiket mudah untuk mendapat pekerjaan.

"Di era ini, keterampilan diri dan budaya yang cemerlang adalah nilai tambah dan input pekerja yang biasanya diukur oleh para majikan.

"Saban tahun bilangan graduan akan bertambah dan sudah pasti hanya mereka yang benar-benar berpengetahuan, berkemahiran dan berketerampilan akan lebih senang mendapat pekerjaan," titah baginda pada majlis konvokesyen keenam UMP di sini, Sabtu.

Justeru, baginda bertitah penyediaan graduan berkualiti bagi menampung tenaga kerja profesional dalam pelbagai bidang perlu bermula sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Titah baginda, pelaksanaan pelan strategik UMP 2011-2015 dilihat selari dalam hasrat melahirkan para graduan bersifat profesional unggul yang bersesuaian dengan keperluan guna tenaga negara.

Selain itu, Tengku Abdullah bertitah kolaborasi antara UMP dengan universiti antarabangsa yang tersohor mampu menyediakan program-program yang relevan dengan keperluan industri.

Pada majlis konvokesyen itu, baginda berkenan menyampaikan ijazah dan diploma kepada 1,290 graduan UMP.

Daripada jumlah itu, 10 graduan menerima ijazah kedoktoran, 26 (ijazah sarjana), 866 (ijazah sarjana muda) dan 389 (diploma) meliputi lapan pusat pengajian antaranya Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam, Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik dan Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian.

- BERNAMA

Golongan muda bantah umur bersara 60 tahun


Kebanyakan golongan muda, termasuk dari sektor swasta dan awam membantah cadangan melanjutkan umur persaraan pekerja swasta kepada sekurang-kurangnya 60 tahun daripada 55 tahun sekarang.

Mereka menyifatkan usaha itu sebagai mengarut, menyekat peluang kenaikan pangkat, meningkat kadar pengangguran, masalah sosial dan jenayah serta memperlihat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), badan yang diamanah untuk menjaga simpanan lebih lapan juta pencarum, tidak mempunyai wang dan mempunyai agenda sendiri.

Menaikkan kadar umur persaraan juga bagi mereka dilihat memberi lebih banyak kesan negatif kepada ekonomi negara berikutan produktiviti tenaga pekerja lanjut usia semakin menurun dengan kerajaan dan pembayar cukai terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi.

Sehubungan itu, mereka menggesa golongan berkenaan meluangkan sisa masa yang ada bersama keluarga dan ibadat harian.

Pembaca Berita Harian yang memberi maklum balas berkenaan melalui laman sosial Facebook juga memberi mesej sekiranya cadangan untuk menggubal undang-undang baru itu yang dikenali Akta Umur Persaraan Sektor Swasta tidak diteliti semula, ia pasti memberi kesan pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Seorang pembaca, Ghazali Hussin menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak melayan kehendak golongan berkepentingan termasuk KWSP, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menyokong usul berkenaan yang jelas menjejas peluang golongan muda mendapat peluang kerja atau kenaikan pangkat.

Kesian anak-anak muda, ada ijazah tapi tidak dapat peluang kerja. Datuk Seri Najib jangan ikut sangat sambung umur persaraan, ia ada kesan pada pengundi muda pada PRU-13 nanti, katanya sebagai mengulas laporan KWSP berharap kerajaan akan melanjutkan umur persaraan pekerja sektor swasta kepada sekurang-kurangnya 60 tahun daripada 55 tahun sekarang.

Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol dilaporkan berkata perlanjutan umur persaraan itu diharap diumumkan pada pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober depan.

Berikutan kenyataan itu, ramai memberi reaksi dengan menuduh KWSP mempunyai kepentingan tertentu serta mempersoal kewibawaan badan itu yang tidak mengurus dana pencarum secara berhemah dengan menawarkan pulangan dividen yang tinggi berbanding institusi lain meskipun mencatat keuntungan besar.

Azhar Rosli berkata, walaupun alasan diberikan KWSP agak munasabah, namun ia akan menambah masalah pengangguran sedia ada.

Lanjut umur bersara 58 tahun atau 60 tahun adalah sesuatu yang mengarut, pada saya jika hendak dinaikkan kadar umur persaraan, mulakan dengan umur 56 tahun dulu serta selesaikan masalah pengangguran dengan lebih terperinci, katanya.

- BERITA HARIAN

Recent Posts