Dua akta baharu ganti ISA dibentang Mac 2012

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dua akta baharu yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan kerajaan baru-baru ini akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Mac depan.

Kata Perdana Menteri, usul memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1953 pula akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat minggu depan manakala usul untuk pindaan ke atas Seksyen 27 Akta Polis 1967 pada November tahun ini.

"Keputusan kerajaan ini merupakan pelengkap kepada proses transformasi yang telah bermula dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan kini transformasi politik.

"Ini menunjukkan bahawa kita ada agenda yang begitu komprehensif dan menyeluruh untuk membawa negara menjurus kepada bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi juga dapat menjadi sebuah negara yang sejajar dengan negara lain yang mengamalkan demokrasi moden," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Najib menerusi Perutusan Khas Hari Malaysia pada 15 September lalu mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baharu yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Katanya, undang-undang baharu itu akan digubal di bawah 'semangat serta payung' Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Dalam perutusan itu juga, beliau turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 selain akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 27 Akta Polis 1967.

- UTUSAN Dua akta baharu ganti ISA dibentang Mac 2012

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.