Rabu, Julai 06, 2011

Enam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI)


KUALA LUMPUR 5 Julai - Kerajaan hari ini mengumumkan enam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) termasuk kewangan awam yang disasarkan mewujudkan penjimatan berjumlah RM13 bilion dan peningkatan pendapatan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala berkata, penjimatan itu boleh dilaksanakan melalui proses pemerolehan dan pengurangan perbelanjaan kerajaan terutama dalam belanja perjalanan.

Menurut beliau, penjimatan itu ditakrifkan sebagai ruang fiskal dalam belanjawan kerajaan yang mana sumber disediakan untuk tujuan tertentu tanpa menjejaskan kemapanan kedudukan kewangan atau kestabilan ekonomi.

SRI merupakan komponen kedua penting dalam ETP, tambahan kepada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam usaha meningkatkan daya saing negara.

Enam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) diumumkan hari ini bagi meningkatkan tahap daya saing negara di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), termasuk 12 Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA).

Inisiatif-inisiatif tersebut ialah kewangan awam, peranan kerajaan dalam perniagaan, pembangunan modal insan, penyampaian perkhidmatan awam, standard antarabangsa dan liberalisasi serta merapatkan ketaksamaan (perniagaan sederhana dan kecil Bumiputera).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menerajui dua SRI iaitu kewangan awam dan peranan kerajaan dalam perniagaan manakala Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah pula membantu beliau dalam kewangan awam.

Bagi peranan kerajaan dalam perniagaan, ia akan bertindak pemudah cara untuk menjamin kecairan dalam pasaran dan meningkatkan penglibatan sektor swasta.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Sumber Kemanusiaan, Datuk Dr. Subramaniam pula diberikan tanggungjawab dalam SRI pembangunan modal insan.

SRI itu akan melaksanakan pelbagai daya usaha dan memodenkan undang-undang buruh negara seperti dasar gaji minimum, menggunakan bakat pekerja wanita, menaikkan taraf latihan dan pengetahuan tenaga pekerja dan meningkatkan tahap pengurusan sumber manusia.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan akan mengetuai SRI penyampaian perkhidmatan awam untuk membina sektor awam yang lebih kecil, cekap dan mantap kepada rakyat dan sektor perniagaan, sekali gus mencipta sebuah sektor awal berdaya maju.

Standard Antarabangsa dan Liberalisasi (ISL) pula menyaksikan pembabitan tiga kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Ketiga-tiga menteri berkenaan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili akan mengepalai SRI ISL.

Pembaharuan ISL akan membantu meningkatkan daya saing dalam tiga bidang utama iaitu pembebasan pasaran perkhidmatan, pelaksanaan piawaian serta undang-undang persaingan.

Sektor perkhidmatan akan diliberalisasi dan pemansuhan had dalam pemilikan syarikat serta pengambilalihan tenaga asing di Malaysia akan dilaksanakan beransur-ansur.

Ini akan melengkapkan usaha meningkatkan mutu dan piawaian barangan keluaran negara, meningkatkan jenis barangan dari segi rantaian nilai, sekali gus membolehkan ia mendapat harga lebih lumayan di pasaran dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop akan menerajui SRI bagi merapatkan jurang ketaksamaan usahawan bumiputera dengan menyasarkan pembangunan generasi usahawan bumiputera bertaraf antarabangsa.

Kesemua SRI itu adalah kluster berdasarkan kepada 37 dasar yang dicadangkan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara yang mencadangkan sebanyak 51 dasar, termasuk dalam Bidang Ekonomi Utama Negara dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

- UTUSAN

Pesta Bunga Api Di Putrajaya

Langit sekitar Putrajaya bakal dihiasi dengan percikan bunga api selama sembilan hari bermula Sabtu ini.

Pesta bunga api tersebut merupakan sebahagian daripada Malam Pesta Flora Pelancongan Antrabangsa 2011.

Sebanyak 50 bot berhias akan belayar sejauh tiga kilometer sekitar Tasik Putrajaya.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata kementeriannya akan menganjurkan program tersebut dengan tema ‘Magis di Malam Hari’ dan kira-kira 700,000 pelancong dijangka hadir pada pesta tersebut.

Pesta tersebut akan bermula pada pukul 8.30 malam hingga 10.30 malam, dari 9 hingga 17 Julai ini.

“Acara ini bakal melengkapkan Pesta Flora di Putrajaya yang akan diadakan pada siang hari.

“Kita akan menampilkan kereta berhias yang ditaja oleh syarikat dan negara luar seperti Brunei dan Kemboja,” katanya pada sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia.

Dr Ng turut menggesa orang ramai tidak menyertai perhimpunan haram yang dijadual berlangsung pada hari yang sama.

“Bawa tikar dan keluarga, nikmatilah keindahan waktu malam dengan berkelah di tasik Putrajaya dengan dihiasi panaroma yang cantik,” katanya.

- MSTAR

Kerajaan Naik Taraf Akses Internet Negara

Pelbagai langkah sedang diambil oleh kerajaan bagi menaik taraf kelajuan dan kualiti akses internet di negara ini agar setanding dengan negara-negara maju.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata bagi meluaskan liputan internet di Malaysia, projek menara T3 di bawah Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) akan menyediakan liputan sehingga 97 peratus di kawasan berpenduduk dan boleh digunakan untuk menambah liputan 3G (jalur lebar mudah alih).

Menjawab soalan Dr Syed Husin Ali pada persidangfan Dewan Negara hari ini, beliau berkata setakat ini kadar liputan jalur lebar termasuk 3G adalah 80 peratus di kawasan berpenduduk.

"Pada masa ini, kelajuan akses internet dari aspek keperluan aplikasi semasa adalah setanding dengan negara-negara serantau seperti China, India dan Filipina," katanya.

Salang berkata kelajuan jalur lebar pengguna yang ditawarkan oleh pemberi perkhidmatan adalah antara 384kbps dan 20Mbps manakala bagi kegunaan perniagaan adalah sehingga 1Gbps.

Katanya antara usaha yang sedang diambil untuk menaik taraf kelajuan dan kualiti internet di negara ini ialah meningkatkan kapasiti dan kualiti teras iaitu rangkaian tulang belakang dan meningkatkan keupayaan rangkaian antarabangsa termasuk membangunkan infrastruktur baru seperti stesen pendaratan kabel dasar laut.

Kerajaan juga menggalakkan pertukaran trafik internet dalam negara dengan mewujudkan lebih banyak pusat pertukaran trafik internet (MyIX) dan menggalakkan pemberi kandungan utama antarabangsa seperti Yahoo dan Facebook meletakkan pelayan laman web mereka di Malaysia bagi mengurangkan pengaliran trafik internet keluar negara, kata Salang.

- BERNAMA

Pendaftaran Secara Automatik Sulitkan Pemilih - SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum bercadang untuk melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik bagi rakyat Malaysia yang mencapai umur 21 tahun.

SPR menjelaskan cadangan itu boleh menimbulkan kesulitan kepada pemilih ekoran sebahagian besar rakyat Malaysia pada masa ini tidak tinggal di alamat yang tercatat dalam kad pengenalan mereka.

"Ini kerana jika alamat yang tertera di dalam kad pengenalan ataupun yang terdapat di pangkalan data alamat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan pemilih itu menetap di alamat tertentu.

"Sedangkan mereka telah berpindah ke alamat baru tetapi tidak membuat pertukaran alamat di JPN dan SPR, maka pemilih itu tidak didaftarkan berdasarkan alamat bermastautin yang lama," kata SPR dalam Buku Penjelasan Terhadap Isu-Isu Yang Dibangkitkan Mengenai Pilihan Raya terbitan Suruhanjaya itu.

SPR berkata jika ramai pemilih berpindah tetapi tidak memaklumkan kepada JPN, ia khuatir pemilih tidak akan kembali mengundi jika pusat mengundi terletak jauh dari kediaman mereka.

- BERNAMA

Undi Pos Masih Relevan - SPR

Sistem pengundian secara pos yang memberi peluang kepada anggota keselamatan seperti tentera, polis, pasangan Pasukan Gerakan Am (PGA), kakitangan awam dan rakyat Malaysia yang belajar dan bertugas di luar negara memilih wakil rakyat mereka secara pos, adalah masih relevan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata sekiranya mereka tidak diberikan peluang mengundi secara pos, hak mereka dinafikan untuk mengundi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Andainya sistem ini dihapuskan, ia boleh menjejaskan keselamatan dan kententeraman awam kerana anggota keselamtan tidak boleh menjalankan tanggungjawab mereka menjaga keselamtan negara daripada ancaman musuh.

"Ini kerana pada hari mengundi mereka berada di tempat-tempat mengundi bagi menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemilih," kata SPR dalam buku Penjelasan Terhadap Isu-isu Dibangkitkan Mengenai Pilihan Raya.

SPR menjelaskan ia sentiasa mencari kaedah terbaik bagi memantapkan sistem pengundian pos tersebut dengan melakukan proses pengundian lebih awal.

"Para pengundi akan dikumpulkan di satu tempat dua atau tiga hari sebelum pengundian awam bermula.

"Sistem ini bagaimanapun tidak terpakai untuk pelajar dan warga Malaysia di luar negara serta anggota keselamatan yang bertugas di perbatasan kerana mereka sukar dikumpulkan di satu tempat tertentu bagi proses tersebut," kata SPR.

Mengenai isu isteri anggota tentera yang didaftar sebagai pengundi pos, SPR berkata perkara itu termaktub di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

"Ia menyebut mana-mana orang yang telah mendaftarkan diri sebagai pemilih Parlimen atau Negeri di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, dan dia adalah seorang pengundi tidak hadir, adalah berhak mengundi sebagai pengundi pos," kata SPR.

Anggota polis dan pasangan yang didaftarkan juga layak menjadi pengundi pos mengikut peraturan itu.

Pendaftaran sebagai pengundi pos bagi anggota polis boleh dibuat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Ibu Pejabat Polis Daerah atau Briged PGA di mana mereka bertugas.

SPR menjelaskan bahawa pemohon akan melalui tapisan yang ketat bagi mengelak pendaftaran berganda antara pengundi pos polis dan pemilih awam.

Ini menangkis dakwaan yang mengatakan SPR sengaja mendaftar anggota polis dan pasangannya sebagai pengundi pos memandangkan setiap permohonan perlu melalui proses yang tertakluk di bawah peraturan pilihan raya sedia ada.

Sementara itu, perenggan 3 (1)(a) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 juga melayakkan rakyat Malaysia yang bertugas di luar negara yang terlibat dalam sektor selain perkhidmatan awam menjadi pengundi pos.

- BERNAMA

Persempadanan Semula Tidak Langgar Prinsip Perlembagaan - SPR

Setelah lima kali urusan persempadanan bahagian pilihan raya Parlimen atau negeri dijalankan, ia tidak pernah melanggar Prinsip-prinsip Persempadanan yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

SPR menjelaskan jika dilihat kepada persempadanan yang diwujudkan, tidak ada satu pun sempadan bahagian pilihan raya yang melanggar sempadan negeri atau sempadan Dewan Undangan Negeri yang melanggar sempadan Parlimen.

Tindakan persempadanan semula itu selaras dengan Peruntukan yang ditetapkan di bawah Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan mematuhi Prinsip-prinsip Persempadanan yang digariskan mengikut Bahagian 1 Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

SPR membuat penjelasan itu dalam buku terbitannya bertajuk Penjelasan Terhadap Isu-isu Yang Dibangkitkan Mengenai Pilihan Raya.

SPR menjelaskan apa yang dilakukannya ialah seboleh-bolehnya sesuatu bahagian pilihan raya itu, sama ada bahagian Parlimen atau Negeri, diletakkan dalam satu daerah pentadbiran yang sama.

"Kecuali bagi beberapa bahagian pilihan raya tertentu di mana jumlah pemilih yang berkurangan, terpaksa diwujudkan satu bahagian pilihan raya Parlimen dari dua daerah pentadbiran yang berlainan seperti Kulim/Bandar Baru, Tanjung karang/ Kuala Selangor dan banyak lagi bahagian-bahagian pilihan raya parlimen di negeri Sabah dan Sarawak," kata SPR.

Menurut SPR tindakan pengwujudan satu bahagian pilihan raya dari dua daerah pentadbiran ini juga dianggap tidak melanggar prinsip-prinsip persempadanan yang ditetapkan dalam Perlembagaan.

"Cuma dari segi pentadbiran, mungkin ada sedikit gangguan kepada wakil rakyat kerana mereka perlu menghadiri mesyuarat di lebih dari satu daerah pentadbiran.

"Berdasarkan pengalaman, tidak ada masalah besar yang dihadapi oleh wakil rakyat atau pihak berkuasa pentadbiran daerah kerana masing-masing memahami serta faham tugas yang telah dipertanggungjawab kepada mereka," kata SPR.

Mengenai isu pembersihan daftar pemilih, SPR menjelaskan ia tidak boleh mengeluarkan nama seseorang pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia dari senarai daftar pemilih tanpa mendapatkan maklumat sahih mengenainya dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Untuk itu, waris si mati perlu melaporkan kematian kepada JPN dengan segera bagi membolehkan JPN mengeluarkan Sijil Kematian dan mengemaskini pangkalan data mereka.

"Selepas JPN mengeluarkan Sijil Kematian dan mengemaskini pangkalan data, barulah SPR boleh mengambil tindakan susulan untuk mengeluarkan nama pemilih tersebut daripada daftar pemilih," kata SPR.

Berhubung isu tempoh berkempen, SPR berkata tempoh tujuh hingga sembilan hari yang ditetapkan suruhanjaya itu pada masa ini adalah bersesuaian bagi semua parti politik atau calon bebas untuk berkempen memandangkan ia tidak memerlukan setiap parti membelanjakan kos yang tinggi bagi pengeluaran bahan-bahan kempen.

Bagaimanapun, SPR akan terus mengkaji semua langkah pembaikan, termasuk memperuntukkan tempoh kempen yang lebih panjang sekiranya langkah itu boleh membawa kebaikan kepada semua pihak dan tidak menimbulkan isu keselamatan dan ketenteraman awam.

Mengenai isu akses media yang bebas dan adil pula, SPR menjelaskan parti pembangkang masih mendapat ruang kebebasan media untuk menghebahkan manifesto dan menjana propaganda mereka menerusi akhbar parti masing-masing selain mendapat keuntungan daripada kemunculan arus media baru.

"Namun begitu, perlu diingatkan bahawa kebebasan media bukanlah mutlak walaupun golongan pemainnya beranggapan bahawa kebebasan individu, kebebasan bersuara dan media adalah hak asasi. Ini kerana ia masih terikat dan tertakluk kepada had yang ditetapkan oleh undang-undang," kata SPR.

- BERNAMA

Menjaga Kerukunan Hidup Bermasyarakat

Hadith:

DARI Abi Hurairah r.a katanya : Telah bersabda Rasulullah SAW : Janganlah kamu saling dengki-mendengki, janganlah kamu saling tipu-menipu, janganlah kamu saling belakang-membelakangi dan janganlah kamu menjual di atas jualan setengah daripada kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.

Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain, tidak boleh ia menganiayai dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) serta tidak boleh mendustai dan tidak boleh menghinanya.

Taqwa itu di sini (Nabi berkata sambil menunjukkan ke arah dadanya tiga kali) Sudah cukup banyak kejahatan seseorang itu bahawa ia merendahkan saudara seIslamnya.

Sekalian orang Islam atas orang Islam yang lain adalah haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:

Mengharungi kehidupan pada zaman serba moden ini memperlihatkan kepada kita akan struktur hidup bermasyarakat Islam hari ini menjadi semakin terlalu individualistik.

Sesungguhnya sebagai agama keamanan, Islam sangat menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia. Antara perkara yang harus diberikan perhatian ialah seperti menjaga keselamatan nyawa daripada berlaku pembunuhan sesama sendiri, menjaga maruah di dalam masyarakat daripada segala fitnah, tuduh-menuduh dan hasad dengki, menjaga keselamatan harta benda dan sebagainya daripada kecurian, rompakan pencerobohan dan lain-lain.

Sebagai seorang Muslim kita mestilah menghormati maruah individu Muslim yang lain kerana setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab, seperti hak untuk dihormati oleh orang lain dan tanggungjawab untuk menghormati orang lain.

Antara sebab mengapa puak Yahudi suka melakukan kezaliman terhadap umat Islam adalah dek kerana sikap tidak ambil peduli yang berlaku antara sesama umat Islam hari ini.

Justeru musuh Islam berani bertindak sesuka hati menindas rakyat Palestin serta merampas tanah mereka sedangkan Israel pada hakikatnya dikelilingi negara Arab yang jumlah rakyatnya jauh lebih ramai daripada mereka.

Namun malangnya mereka hanya mampu melihat kezaliman rejim Zionis ini tanpa mampu untuk berbuat apa-apa.

Sebetulnya umat Islam harus hidup sepertimana yang disebut dalam pepatah Melayu cubit paha kiri, paha kanan terasa sakitnya.

Dengan perkataan lain, jika kita inginkan segala kebaikan untuk diri kita, maka kita juga ingin umat Islam lain juga menikmati kebaikan itu.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Perbadanan PR1MA ditubuh - Pinjaman hingga 105 peratus


PUTRAJAYA: Pembeli rumah di bawah Program Perumahan 1Malaysia ((PR1MA) ditawarkan pinjaman sehingga 105 peratus oleh institusi kewangan terpilih dengan tempoh pembayaran balik sehingga 30 tahun selain dikecualikan pembayaran duti setem untuk mengurangkan beban mereka, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, pendekatan itu selaras dengan aspirasi kerajaan memastikan rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan sederhana, terutama di bandar dan pinggir bandar, membabitkan isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan.

Katanya, pinjaman ditawarkan sehingga 105 peratus supaya lebihan lima peratus diguna bagi membiayai kos insurans dan yuran guaman.

Pembeli juga boleh mengeluarkan simpanan akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung sebahagian bayaran balik pinjaman.

"Pada masa sekarang terdapat jurang yang agak ketara dalam penyediaan rumah kos sederhana, terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru kerana kecenderungan pemaju swasta memajukan projek perumahan kos sederhana tinggi serta kos tinggi yang memberikan pulangan lebih besar.

"Justeru, Projek PR1MA yang dibangunkan menerusi usaha sama kerajaan-swasta ini adalah khusus untuk warga negara Malaysia yang berpendapatan sederhana tetapi tidak lebih daripada RM6,000 sebulan tanpa mengira mereka yang bekerja dengan kerajaan, swasta atau bekerja sendiri.
“Harga seunit ditetapkan antara RM150,000 hingga RM300,000 mengikut lokasi tetapi untuk projek fasa pertama di Presint 11 ini harga seunit bermula daripada RM120,000," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program PR1MA, di sini, semalam.

Pada majlis sama, Najib turut mengumumkan penubuhan Perbadanan Program PR1MA, di bawah Pejabat Perdana Menteri, bagi merancang dan menyelaras pembinaan projek itu di seluruh negara selain menentukan pengagihan rumah kepada pemohon yang layak.

Katanya, akta khas sedang digubal mengenai penubuhannya dan akan dibentang di Parlimen pada sidang akan datang.

Beliau berkata, hingga kini sebanyak 20 tapak strategik di Lembah Klang, Selangor dan Negeri Sembilan dikenal pasti bagi pelaksanaan projek PR1MA, termasuk lapan projek yang dijangka bermula tahun ini dan tahun depan, membabitkan 42,000 unit rumah strata dan kediaman bertanah.

Lokasi terbabit ialah Putrajaya; Cyberjaya; Bandar Tun Razak di Cheras dan Sungai Besi (Kuala Lumpur); Putra Heights di Subang Jaya, Ara Damansara di Petaling, Bandar Bukit Raja di Klang, Elmina East dan Elmina West di Shah Alam, Kota Elmina Di Sungai Buloh, Lagong Mas di Rawang (Selangor) serta Bandar Ainsdale di Seremban dan Seremban Sentral (Negeri Sembilan).

Perdana Menteri berkata, tapak pertama projek PR1MA di Presint 11 di sini akan menyediakan 560 unit rumah dengan keluasan antara 815 kaki persegi (kps) hingga 1,006 kps di tapak seluas 1.9 hektar, lengkap dengan kemudahan dewan serba guna, Taska, Tadika, surau dan tapak perniagaan serta kedai.

- BERITA HARIAN

Penggodam hantar mesej Obama mati dibunuh


WASHINGTON - Akaun Twitter stesen FoxNewspolitics milik syarikat penyiaran Fox digodam semalam dengan menyatakan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar) sudah mati ditembak.

Menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, laporan mengenai kematian Obama adalah tidak benar kerana presiden berkenaan menghabiskan masa bersama keluarganya semalam.

"Para penggodam telah menghantar beberapa mesej yang menyatakan Obama dibunuh," kata kenyataan daripada syarikat Fox.

Menurut syarikat itu, penggodaman itu sedang disiasat.

- Reuters

Solat sempurna benteng hindari kemungkaran

Oleh Muhammad Asyraf
Juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

PENSYARIATAN solat kepada Rasulullah SAW pada peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj berbeza dengan konsep penerimaan wahyu menjelaskan kepada kita bahawa solat itu teras agung terhadap label seorang Muslim.

Bahkan dalam Islam, diserlahkan kekuatan solat itu sehingga diisytihar sebagai benteng kukuh yang mampu mencegah perbuatan maksiat. Malah, ia sering disebut sebagai jaminan pasti bagi kita dalam menolak perbuatan mungkar.

Tokoh ulama dari Tunisia, Syeikh Tahir Ibn A’syur, dalam kitabnya Maqasid al-Syariah, menyatakan bahawa setiap kefarduan yang diwajibkan ke atas setiap mukalaf, manfaatnya kembali kepada pelaksananya.

Justeru, dalam persoalan solat juga ada manfaat tersendiri. Allah berfirman yang bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45).

Ayat ini memberi kefahaman bahawa solat dapat menghindar perbuatan mungkar dan itulah yang kita fahami selama ini.

Namun realitinya, dari segi praktikal ramai yang tertanya-tanya kenapa masih lagi ada perbuatan mungkar dan maksiat sedangkan si pelaku seorang yang tidak meninggalkan solat. Bukankah kehidupan realiti ini menggambarkan seolah-olah ada percanggahan dengan yang dinyatakan dalam al-Quran.
Sebenarnya, maksud al-Quran itu langsung tidak bercanggah dengan realiti kehidupan manusia. Boleh jadi solat yang dilakukan kita tidak memenuhi kriteria yang dikehendaki dalam menghindarkan diri daripada perbuatan mungkar.

Jadi tidak menghairankan apabila Nabi SAW meletakkan graf tertentu kepada pelaku solat. Baginda bersabda yang bermaksud: “Ada orang yang telah melaksanakan solat, tetapi ia hanya menerima sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, seperenam, seperlima, seperempat, sepertiga atau setengah pahala saja dari solatnya.” (Hadis hasan dari Ahmad, Abu Daud dan Ibn Hibban).

Solat bukan sekadar ibadah anggota badan saja tetapi ia adalah ibadah yang diteraskan dari hati sanubari seorang Muslim.

Disebabkan itu, Syeikh Muhammad Bayumi dalam kitabnya Akhta’ al-Musallin min Takbir ila Taslim menyatakan, orang yang hendak melakukan solat (iaitu sebelum solat) sudah semestinya ia tidak melakukan kejahatan dengan tangannya, tidak berkata kesat, tidak melihat yang diharamkan. Perbuatan hendak melakukan solat itu sendiri secara automatik membendung rasa inginkan kemungkaran.

Imam Ibn Kathir mensyaratkan tiga pokok asas solat iaitu, ikhlas, khasy-yah (takut) dan mengingati Allah. Ikhlas mengarah kita kepada perbuatan makruf, manakala khasy-yah (takut) pula menghalang daripada perbuatan mungkar.

Sebab itu, perbuatan solat secara zahirnya saja bukan penentu atau jaminan seseorang itu meninggalkan mungkar secara pasti. Walaupun ayat ini menyatakan demikian, namun ayat al-Quran perlu diteliti secara keseluruhan.

Boleh jadi solat dilakukan tanpa khusyuk, sambil lewa, malas bila mengerjakannya, solat dalam keadaan tergesa-gesa malah mungkin dilakukan semata-mata untuk berpura-pura dengan maksud riak.

Dalam al-Quran diceritakan bagaimana mungkin perbuatan mungkar mampu ditinggalkan secara pasti dengan melakukan solat semata-mata, sedangkan dalam ayat lain Allah menyatakan kemurkaan kepada orang yang solat.

Ibnu Abbas memberi gambaran yang dimaksudkan orang yang celaka ialah mereka mengerjakan solat ketika di hadapan banyak orang dan tidak mengerjakannya ketika ia dalam keadaan bersendirian.

Begitu juga mereka yang lalai mengerjakan solat pada waktu ditetapkan dan sengaja melewat-lewatkan solat adalah ciri golongan munafik.

Bukan semua solat yang dikerjakan menghindarkan dirinya daripada perbuatan mungkar kerana mereka yang solat juga ada yang berpura-pura dengan solatnya seperti Abdullah bin Ubai bin Salul sendiri pernah solat di belakang Baginda Rasulullah SAW.

Justeru, amalan solat berdasarkan hadis sahih mengikut tatacara solat Nabi perlu dipelajari supaya solat tidak ditolak Allah hanya kerana kejahilan memahami sunnah.

Pada masa sama, benteng untuk mencegah kemungkaran bukan sekadar pergerakan anggota zahir semata-mata tetapi berkait rapat dengan hati. Solat adalah ikatan batin antara manusia dengan Allah.

Andai manusia cukup beradab sopan dengan Allah bermula dari saat takbir hingga salam, pastinya latihan sebanyak lima kali sehari itu dapat membentuk jiwa yang beradab sopan dengan Allah sepanjang kehidupan kita.

Janganlah apabila kita melakukan maksiat, maka kita menyalahkan solat kerana tidak mampu menjadi benteng. Tetapi periksalah keadaan solat kita, adakah ia benar-benar solat yang dikehendaki oleh Allah.

- BERITA HARIAN

Mengangkat hak perokok pasif

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan satu bilion orang dijangka maut akibat merokok pada abad ini sekali gus ia menjadi pembunuh nombor satu dunia.

Hasil kajian tinjauan kesihatan dan Mobiliti III oleh Kementerian Kesihatan pula mendapati, prevalen merokok di kalangan orang dewasa secara keseluruhan merangkumi 2.73 juta orang.

Mereka ini menghisap rokok 33 juta batang sehari dan membelanjakan sejumlah RM8.59 juta ringgit sehari.

Generasi muda kini dianggar membelanjakan tidak kurang daripada RM272,132 sehari untuk membeli rokok dengan kadar perokok di kalangan pelajar sekolah berumur 15 tahun ke atas pernah mencuba merokok adalah yang tertinggi.

Kira-kira 70 peratus daripada kalangan ini menjadi perokok selepas tamat sekolah.

Terdapat beribu-ribu jenis bahan kimia beracun di dalam asap rokok seperti metanol, karbon monoksida, arsenik, sianida, ammonia, butana, raksa dan banyak lagi yang membahayakan perokok dan mereka yang terdedah kepada asap rokok.

Tabiat merokok bukan sahaja memudaratkan kesihatan perokok tetapi turut memberi ancaman kepada mereka yang terdedah kepada asap rokok.

Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang disambut pada 31 Mei di seluruh dunia, tahun ini menampilkan slogan 'Ekspresikan Hak Anda - Katakan Tidak Kepada Asap Rokok'.

Ia memberi perhatian dan mengangkat hak perokok pasif, iaitu mereka yang tidak merokok tetapi terdedah kepada ancaman bahaya merokok, yang biasanya terdiri daripada golongan wanita, kanak-kanak dan rakan-rakan perokok.

Mereka ini terdedah kepada asap rokok sekurang-kurangnya 15 minit dalam masa dua hari untuk tempoh seminggu dengan 30 peratus lebih tinggi kemungkinan mendapat kanser paru-paru dan 25 peratus lebih tinggi mendapat penyakit jantung.

Perokok pasif ini termasuk kanak-kanak, juga berhadapan dengan penyakit yang berpanjangan kerana terdedah kepada asap rokok basi.

Kanak-kanak akan membesar dengan mempercayai merokok adalah satu tabiat normal walaupun hakikatnya ia akan melemahkan daya fikir mereka.

Pemulihan kepada perokok

Kementerian Kesihatan khususnya pihak hospital dan klinik telah menyediakan program pemulihan kepada perokok dengan mengadakan Klinik Berhenti Merokok di seluruh negeri untuk membantu perokok yang mahu berhenti merokok.

Program pemulihan yang menggunakan teknik terbukti berkesan itu membantu perokok yang berazam mahu berhenti merokok dengan cara terapi modifikasi tingkahlaku dan gantian nikotin (nicotine replacement therapy).

Mereka juga akan diberikan pengetahuan dan kemahiran kepada perokok untuk berhenti merokok, rawatan pemulihan, kesedaran mendalam tentang risiko merokok dan galakan serta motivasi untuk berhenti dan mengekalkan status tidak merokok.

Bagi Joannes Joseph Engan, 57, Tuan Maf Tuan Abdullah, 31, dan Chooy Wei Peng, 61, yang telah mengambil keputusan untuk berhenti merokok dan berjaya, mereka memilih untuk berhenti merokok untuk menikmati kesihatan yang lebih baik.

Mereka merupakan penerima sijil Berhenti Merokok oleh Hospital Kuala Lumpur pada majlis sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2001 yang berlangsung di Auditorium Utama HKL baru-baru ini.

Joannes yang telah tiga bulan berjaya berhenti merokok ketika ditemui memberitahu azamnya itu berhasil setelah mengikuti program di Klinik Berhenti Merokok yang disediakan di hospital dan klinik negeri di seluruh negara.

"Saya mengambil keputusan untuk berhenti merokok kerana masalah kesihatan dan berjaya berhenti dengan bantuan daripada doktor pakar dan nasihat kaunselor," katanya yang mula merokok sejak berusia 18 tahun.

Sementara itu, bagi Tuan Maf, selain untuk menjaga kesihatan, dia mengambil keputusan untuk berhenti merokok kerana ia jelas salah dari sudut agama.

Katanya, Islam menekankan kepada setiap umatnya supaya memelihara kesihatan jasmani dan rohani.

"Setiap benda yang apabila digunakan mendatangkan kemudaratan kepada manusia adalah diharamkan," katanya.

Bagi Chooy yang mula merokok disebabkan pelawaan orang dewasa pula, walaupun dia tidak berjaya berhenti merokok sepenuhnya namun dia boleh berbangga kerana berjaya mengurangkan tabiat buruk itu berbanding sebelum ini.

Ramai dari kalangan perokok berazam untuk berhenti merokok dengan mengharapkan satu ubat ajaib yang mampu menyembuhkan tabiat buruk mereka namun pada hakikatnya, 80 peratus perokok yang Berjaya berhenti adalah kerana daya usaha mereka sendiri.

- UTUSAN

Keadilan dan kesaksamaan ekonomi Islam

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

AKHLAK memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita. Ini kerana, manusia hidup secara sosial, iaitu bermasyarakat antara satu sama lain.

Akhlak dalam segi bahasa adalah perangai, kelakuan, kebiasaan dan tingkah laku. Seorang ahli falsafah Islam terkenal Ibn Miskawaih mentakrifkan akhlak sebagai keadaan jiwa yang dapat mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian.

Imam Ghazali pula menyatakan akhlak adalah suatu keadaan yang tertanam dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian.

Jelas, melalui takrifan kedua-dua tokoh Islam itu, akhlak adalah suatu perbuatan yang menjadi kebiasaan. Ia berlaku secara spontan tanpa memerlukan justifikasi terlebih dahulu.

Maka, jika perbuatan itu menghasilkan natijah yang baik, maka ia dikira sebagai akhlak yang baik. Sekiranya ia boleh mendatangkan natijah yang buruk, maka ia akan dianggap sebagai akhlak yang buruk.

Perlu difahami bahawa baik atau buruk natijah sesuatu perbuatan itu ditentukan mengikut neraca pertimbangan syariah, bukannya pada persepsi manusia.

Tanda aras kepada akhlak yang paling tinggi kualitinya adalah akhlak yang dimiliki oleh Rasulullah SAW. Ini dibuktikan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. (al-Qalam: 4)

Aspek akhlak itu mendasari semua perkara dalam syariat Islam. Bermula daripada perkara sekecil memotong kuku sehinggalah yang melibatkan pentadbiran semua negara.

Islam sangat menitikberatkan aspek akhlak kerana ia adalah agama fitrah yang diturunkan untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia.

Begitulah dengan aspek ekonomi. Dalam Islam yang berbeza dengan sistem ekonomi kufur buatan manusia. Sistem ekonomi Islam adalah sempurna kerana bersumberkan kepada wahyu. Justeru, aspek akhlak merupakan teras yang tidak terpisah daripada semua aktivitinya.

Antara prinsip akhlaqiah dalam sistem ekonomi Islam adalah berpaksi di atas keadilan dan kesaksamaan. Prinsip ini dapat dilihat melalui keseragaman nilai yang mewarnai seluruh elemen dalam sistem ekonomi Islam. Ia bukanlah reka cipta minda manusia yang dipenuhi hawa nafsu dan perasaan tamak.

Ia tumbuh daripada benih yang diambil dari wahyu Allah SWT yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya, dunia dan akhirat. Maka, sistem ekonomi Islam bukan sahaja mementingkan hubungan dengan Allah SWT, tetapi mengambil kira hubungan manusia dengan manusia serta manusia dengan alam.

Dalam kerangka ini, nilai adil dan saksama diterapkan oleh Islam dalam pelaksanaan ekonomi.

Ini bermakna, mereka yang terlibat dalam kegiatan ekonomi tidak dipinggirkan oleh Islam dari terikat dengan adab serta akhlak (ta'dib wa tarbiah) yang dicernakan melalui aturan wahyu.

Prinsip ini mengajar manusia berlaku adil kepada manusia yang lain ketika berurusan. Jika seseorang itu menjadi penjual, maka dia perlu meletakkan dirinya sebagai seorang pembeli ketika berurusan. Apa yang diharapkan oleh seorang pembeli perlu dipenuhi dengan sewajarnya walaupun tidak dipinta oleh pembeli berkenaan.

Sebarang penipuan dalam urusan ekonomi khususnya yang melibatkan transaksi seperti jual-beli dianggap sesuatu yang zalim.

Dengan kata yang lain, mereka sebenarnya memakan harta saudara mereka secara batil. Hal ini dilarang oleh Allah (rujuk ayat 188 surah al-Baqarah).

Islam juga mengharamkan judi kerana ia bercanggah dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan.

Apabila seseorang mendapat keuntungan dalam perjudian, dia sebenarnya telah memakan harta orang-orang lain secara batil walaupun mereka yang terlibat dengan perjudian itu meletakkan harta sebagai taruhan mereka secara sukarela.

- UTUSAN

Recent Posts