Khamis, Jun 30, 2011

Kalendar Aktiviti & Peristiwa Penting Bulan Jun 2011

27 Mei - 11 Jun 2011 - Cuti Sekolah Pertengahan Tahun

4 Jun 2011 - Hari Keputeraan Yang Di-Pertuan Agong

11 Jun 2011 - Perlawanan Akhir Piala FA 2011

13 - 17 Jun 2011 - Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak

24 Jun 2011 - Keputusan Pengambilan DPLI 2011

29 Jun 2011 - Israk Mikraj

Malaysia menang tipis 2-1 ke atas Taiwan Kelayakan Piala Dunia 2014 (Pusingan 1)


KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak Malaysia menundukkan Taiwan 2-1 pada perlawanan pertama pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Gol pertama diperoleh Safiq Rahim pada minit ke-28.

Masuk separuh kedua, pemain negara meningkatkan bahagian serang dan berjaya memperoleh gol kedua menerusi Mohd Aidil Zafuan Abd Razak pada minit ke-54.

Namun Taiwan memperoleh gol tunggalnya melalui pemain gantian Cheng Po Liang pada minit ke-76.

Pejabat Facebook tidak mewah disangkakan


MENLO PARK, California - Ibu pejabat baru Facebook di , Amerika Syarikat (AS) tidak mempunyai ciri-ciri kemewahan walaupun ia merupakan antara laman web paling kaya di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Tiada permaidani dan hiasan dalaman yang mewah dalam pejabat tersebut.

Terdapat banyak paip terdedah yang dibaluti kertas kerajang perak dengan wayar bergantungan dalam bangunan ibu pejabat berkenaan.

Gambar-gambar ruang dalaman ibu pejabat baru Facebook yang dibina di kawasan seluas 23 hektar di sini disiarkan dalam laman web berkenaan awal bulan ini.

Para pengunjung mungkin terkejut kerana kedatangan mereka disambut dengan siling terbuka dan lantai konkrit tanpa karpet atau sofa mewah.

Ruang dalaman itu yang lebih menyerupai kilang banyak menggunakan kotak kayu yang diubah suai sebagai meja manakala susun atur tempat duduknya pelik kerana ada yang menghadap dinding.

Walaupun bangunan berkenaan mempunyai kapasiti untuk menempatkan 9,000 pekerja, Facebook kini mempunyai sekitar 2,000 kakitangan yang bekerja di premis barunya itu.

Laman Facebook yang bernilai AS$70 bilion (RM212.3 bilion) diramalkan memperoleh pendapatan sekitar AS$2 bilion (RM6 bilion) pada tahun ini.

Berdasarkan maklumat majalah Forbes, Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Marck Zuckerberg merupakan orang ketiga paling kaya di dunia dalam sektor teknologi maklumat.

Zuckerberg yang berusia 27 tahun dilaporkan memiliki kekayaan sehingga mencecah AS$18 bilion (RM54.5 bilion).

- Agensi

Kuota 30 peratus dalam Jawatan Tertinggi Sektor Awam bukti tenaga wanita penting

SUMBANGAN wanita dalam pembangunan negara tidak boleh dinafikan. Peranan mereka amat penting, malah dapat dianggap sebagai tulang belakang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara. Wanita yang berkelayakan dan berpendidikan tinggi sudah membuktikan bahawa fungsi mereka relevan dan mampu menyumbang tenaga kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara. Pada 2008, tenaga kerja wanita membabitkan 25.7 peratus berbanding lelaki 79 peratus. Walaupun jumlah tenaga kerja wanita menunjukkan peningkatan, dalam bidang tertentu bilangan mereka masih jauh lebih rendah berbanding lelaki.

Hingga kini kita masih lagi berusaha keras mencapai tahap 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan. Persoalannya, sejauh mana sumbangan wanita kepada negara dalam pelbagai bidang terutama sektor awam dan swasta mendapat pengiktirafan. Justeru, pengumuman Datuk Seri Najib Razak, kelmarin bahawa mulai sekarang sektor korporat dan institusi berkanun perlu memiliki sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam peringkat pembuat keputusan dilihat sebagai wajar dan tidak sepatutnya menjadi isu kontroversi.
Perdana Menteri menjelaskan dasar baru itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet, Jumaat lalu yang memberi tempoh peralihan selama lima tahun sehingga 2016 kepada sektor berkenaan meningkatkan bilangan wanita sebagai ahli lembaga pengarah dan memegang jawatan tertinggi di syarikat masing-masing. Kita percaya langkah itu dapat meningkatkan peranan dan semangat wanita untuk terus menyumbang tenaga mereka kepada pembangunan negara. Jika sebelum ini, kebanyakan jawatan tertinggi dalam sektor korporat dimonopoli lelaki, kita percaya keputusan itu mampu menjadi pemangkin kepada langkah mencapai kesaksamaan gender dalam sektor terbabit.
Kita yakin usaha itu dapat dicapai seperti yang dilakukan pada sektor awam. Peratusan wanita menyandang Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) meningkat kepada 32.3 peratus tahun lalu berbanding 18.8 peratus pada 2004. Walaupun mungkin ada pihak mempersoalkan kenapa hanya 30 peratus dan tidak lebih daripada itu, sekurang-kurangnya ia menjadi langkah permulaan ke arah meningkatkan lagi peratusan itu pada masa depan. Apapun, kita percaya lelaki dilantik menerajui sesebuah syarikat korporat kerana kemampuan dan pengalaman mereka dan bukan kerana mereka lelaki. Kita percaya wanita yang dilantik menduduki jawatan tertinggi atau peringkat membuat keputusan juga bukan kerana mereka wanita atau hanya mencukupkan kuota.

Justeru, kita mahu wanita yang dilantik termasuk menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC), juga kerana keupayaan, kemampuan dan pengalaman yang mereka miliki. Kita melihat ramai wanita sudah membuktikan kemampuan dan kejayaan mereka dalam sektor korporat. Dasar ini menjadi peluang terbaik lebih ramai wanita memainkan peranan lebih penting dalam syarikat gergasi atau yang tersenarai di Bursa Malaysia. Kita percaya apa yang diperlukan sekarang ialah memberi kepercayaan kepada wanita berada pada peringkat membuat keputusan. Dasar ini secara tidak langsung memberi pengiktirafan terhadap peranan wanita di negara ini dalam pelbagai bidang. Pada masa sama, kita yakin segala usaha dan dasar kerajaan akan turut mendapat sokongan dan pengiktirafan wanita di negara ini.

- BERITA HARIAN

Wasatiyyah pendekatan terbaik

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

WASATIYYAH bermakna tidak melampau atau ekstrem. Ia merupakan jalan pertengahan atau sederhana. Ia selari dengan ungkapan al-Quran tentang gambaran umat Islam iaitu ummatan wasatan.

Wasatan atau wasatiyyah memilih jalan sederhana dalam menyatakan sesuatu, mengambil sikap sesuatu, dan melakukan tindakan terhadap sesuatu.

Ia tidak ekstrem kiri yang membawa sikap radikal atau ekstrem kanan yang membawa sikap jumud. Wasatiyyah tegak dengan prinsip tetapi prinsip itu diolah secara bijaksana supaya ia mampu mengimbangi keadaan.

Sangat penting untuk remaja memiliki sifat wasatiyyah supaya dengan memiliki jiwa sederhana ia mampu melihat dunia dan kehidupan dalam keadaan terbuka. Terbuka tidak bermakna ia hilang pedoman dan sumber ikutan.

Terbuka bermakna wujud kecenderungan untuk berkongsi di mana yang perlu untuk berbeza dan dimana yang ada dan mencari titik persamaan jika ia tidak mendatangkan mudarat.

Wasatiyyah amat sesuai dalam realiti masyarakat dan budaya yang berbilang. Realiti Malaysia adalah realiti masyarakat dan budaya berbilang.

Menjadikan Islam sebagai asas bernegara memerlukan pendekatan wasatiyyah kerana memang sifat agama Islam itu selamat dan sejahtera. Remaja Islam patut menjadikan Islam sebagai agama damai sekali gus mendukung kesejahteraan.

Nilai-nilai universal atau alamiah yang dibawa oleh Rasulullah SAW memberi rahmat kepada sekelian alam. Ia bermaksud nilai-nilai yang Islami apabila diamalkan dalam kehidupan tidak sahaja memberi faedah kepada remaja Islam tetapi juga memberi faedah kepada orang lain.

Umpamanya bersikap amanah jujur, adil, ikhlas dan bertimbang rasa menjadikan remaja Islam mempunyai jati diri yang tinggi dan boleh berperanan di mana-mana saja.

Sifat-sifat itu adalah sesuatu yang fitrah dan boleh diterima oleh sesiapa sahaja walaupun di kalangan remaja bukan Islam. Sifat-sifat itu adalah jalan pertengahan yang selari dengan keperluan manusiawi.

Oleh itu, ciri-ciri kesejagatan Islam membolehkan interaksi dan persefahaman berlaku secara meluas. Sekiranya di kalangan remaja yang tidak memiliki sifat amanah, jujur, adil, ikhlas dan bijaksana akan lahir gelagat-gelagat yang sebaliknya dan menyebabkan para remaja mengambil sikap yang ekstrem.

Justeru, bagi mewujudkan rasa ukhuwah atau persaudaraan yang tinggi di kalangan remaja Islam, jalan wasatiyyah merupakan jalan yang terbaik untuk membawa kedamaian dan kesejahteraan.

Keterbukaan dalam Islam

Islam sebagai agama rahmah alamiah menjadikan umatnya memiliki sikap atau watak yang berimbang. Berimbang bermaksud seluruh pertimbangan, pro dan kontra diambil kira. Negatif dan positif diberi perhatian supaya jalan berfikir yang diambil selalu bersifat wasatiyyah.

Dengan demikian para remaja terbuka untuk mempelajari yang baik daripada orang lain dan menolak yang buruk walaupun daripada diri kita sendiri. Banyak nilai bersama yang bersifat interaktif boleh diambil dari tamadun dan budaya lain.

Nilai-nilai interaktif ini penting dijadikan pedoman supaya warga remaja terdidik dengan sikap menghargai sesuatu yang baik dari orang lain dan bersikap menyumbang terhadap kebaikan daripada diri kita sendiri.

Adapun nilai paling utama (akidah), para remaja boleh berbeza dengan mengambil pertimbangan mengenai etika perbezaan.

Al-Quran memberi pedoman lakum dinukum waliyadin (bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami) bermakna ada batas sempadan antara keduanya.

Dalam realiti Malaysia, jalur wasatiyyah ini sangat penting dianut dan diikuti. Ia kerana sari pati amalan yang baik boleh terdapat pada orang lain. Dalam masa yang sama Islam menawarkan pekerti yang baik di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Di sini perlunya pendidikan dalam negara Malaysia berlandaskan etika dan nilai-nilai murni yang tinggi. Apabila etika dan nilai-nilai murni menjadi latar dalam negara kita, jenis manusia atau modal insan yang dilahirkan sudah tentu menjadikan nilai nilai keinsanan sebagai sesuatu yang amat penting di samping meneroka teknologi tinggi sebagai alat.

Para remaja yang ingin terlibat dalam membina kecenderungan kearah teknologi tinggi harus memahami bahawa teknologi selamanya alat, bukan matlamat. Ia harus seimbang dengan nilai keinsanan supaya sentuhan keinsanan melahirkan manusia yang manusiawi dan bukan haiwani.

Kecenderungan seperti ini amat penting bagi remaja yang cenderung kepada faham benda dan faham nafsu nafsi. Sekiranya faham benda berkembang dan faham nafsu nafsu bermaharajalela, jalur wasatiyyah tidak akan ada dan akhirnya para remaja lebih cenderung mengambil sikap melampau.

Sikap melampau pada remaja bakal menghasilkan konflik. Konflik yang berlaku di kalangan remaja boleh menghasilkan jurang. Jurang interaktif di kalangan remaja boleh menghasilkan pola-pola sosial yang tidak sihat. Ia tidak mampu membina rasa persefahaman yang tinggi di kalangan generasi muda dan akhirnya pola-pola sosial yang negatif bakal mengambil tempat.

Justeru amat penting para remaja Islam menjadikan sikap wasatiyyah atau sederhana sebagai jalan terbaik mendukung kemajuan dan perubahan.

Negara yang sifat generasi mudanya majmuk memerlukan daya persefahaman yang tinggi. Daya persefahaman yang tinggi hanya akan lahir sekiranya rasa percaya di kalangan remaja terbina dengan baik.

Sekiranya syak wasangka terbina atas asas agama dan bangsa, ia tidak akan membantu membina negara Malaysia yang bersatu dan sejahtera.

Jalur wasatiyyah sepatutnya memberi titik keseimbangan kepada warga Malaysia dalam menghadapi faktor globalisasi dan dalam mendepani kemajuan, perubahan dan pembangunan.

Landasan ini memberikan pedoman, toleransi yang tinggi dan dalam masa yang sama prinsip-prinsip yang fundamental atau asasi dalam bina negara tetap tidak diketepikan.

Kegawatan para remaja dalam pola-pola sosial yang negatif seperti merempit, terlibat dalam gejala sosial yang tidak menyihatkan umpamanya adalah gambaran ekstrem yang bakal merosakkan binaan generasi masa depan.

Oleh itu, para remaja harus bersedia mempelajari kekuatan dan keunggulan dalam agama Islam itu sendiri dan pada masa yang sama bersedia berkongsi pola-pola sejagat yang memberi manfaat.

- UTUSAN

Usia meningkat, kesuburan menurun

Oleh Rosmah Dain

Kebelakangan ini perkara yang berjaya menarik perhatian masyarakat ialah mengenai isu serius berkaitan trend melewatkan perkahwinan, terutama di kalangan wanita yang berpendidikan tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Anjli Doshi Gandhi berkata, fenomena itu boleh membawa implikasi kepada institusi kekeluargaan yang menunjukkan 30 peratus wanita berumur di antara 25 dan 29 tahun belum berkahwin berbanding 25 peratus lelaki berumur di antara 30 dan 34 tahun masih bujang.

Isu ini ditimbulkan pasti ada benarnya. Setiap pertambahan umur yang melibatkan golongan wanita maka faktor kesuburan mereka untuk melahirkan anak adalah semakin merosot.

Bukan itu sahaja, apabila semakin berumur seseorang wanita itu maka risiko keguguran ke atas kandungan mereka juga akan bertambah.

Namun, apabila berbicara mengenai faktor kesuburan, bukan hanya golongan wanita sahaja yang dikaitkan dengan faktor kemerosotan kesuburan, golongan lelaki juga turut dikaitkan dengan permasalahan ini.

Menurut Datuk Dr. Prashant Nadkarni, dari KL Fertility & Gynaecology Centre, sperma lelaki yang subur pasti akan mengalami penurunan satu peratus setiap tahun. Permasalahan ini sebenarnya bukan hanya berlaku di negara ini sahaja kerana ia bersifat global.

Menurut Dr. Prashant, faktor utama perkara ini terjadi adalah disebabkan oleh permasalahan yang diakibatkan oleh faktor-faktor sekeliling.

‘‘Dalam kajian yang telah dijalankan, kita dapati dalam tempoh lapan tahun iaitu dari tahun 1999 hingga 2007 sperma golongan lelaki berkurangan kesuburannya sebanyak 40 peratus,” katanya.

Selain itu katanya, stres akibat gaya hidup yang penuh dengan bebanan pada masa sekarang juga mengurangkan kemahuan pasangan untuk seks.

Kehidupan yang mencabar pada hari ini menyebabkan ramai di kalangan pasangan hanya melakukan seks seminggu sekali atau tiada dan ada juga yang tidak mempunyai mod langsung untuk bersama pasangan.

‘‘Namun, bagi golongan wanita antara faktor lain yang menyumbang kepada masalah kurangnya kesuburan ialah apabila wanita itu tidak dapat mengeluarkan telur untuk persenyawaan sebanyak sepuluh peratus akibat jangkitan kepada tiub, masalah hormon yang tidak seimbang dan tidak teratur,” katanya.

Dalam pada itu Dr. Prashant juga turut menyalahkan faktor obesiti menjadi punca masalah kesuburan wanita.

‘‘Kita sekarang mengalami masalah ke arah negara yang semakin ‘gemuk’. Apabila seseorang itu menjadi gemuk, hormon individu itu akan menjadi tidak teratur dan telur yang dikeluarkan juga pasti tidak bermutu dan memudahkan risiko keguguran menjadi lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu Dr. Prashant berkata, wanita yang berumur lebih 35 tahun peluang untuk hamil telah merosot 35 hingga 65 peratus.

Bagi wanita yang ingin mengandung dan mengalami masalah ketidaksuburan terdapat pelbagai kaedah yang digunakan dalam usaha membantu golongan ini mendapatkan cahaya mata.

Antaranya ialah melalui kaedah IVF, GIFT dan sebagainya.

Sekiranya wanita berkenaan didapati normal dan sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk mengandung, mereka akan dicadangkan menggunakan kaedah suntikan kesuburan bagi memperbanyakkan telur.

Ujian kesuburan atau pengovulan boleh dilakukan di rumah. Ujian pengovulan bertindak dengan mengesan peningkatan hormon yang dipanggil Luteinising Hormon (LH) dalam air kencing.

Kenaikan LH terjadi lebih kurang 24 - 36 jam sebelum ovum dibebaskan dari ovari iaitu satu proses yang dikenali sebagai pengovulan. Wanita dikatakan berada pada tahap tersubur pada hari kenaikan LH wanita itu dikesan dan pada hari selepas itu.

Bagi penyelesai masalah mereka yang sudah lewat usia tetapi masih mahu mencuba untuk mengandung, Merck Serono baru-baru ini telah melancarkan Pergoveris, dalam usaha menambah kesuburan.

Ia mengandungi dua bahan penting yang aktif di dalamnya iaitu lutropin alfa iaitu versi sintetik LH dan follitropin alfa iaitu FSH. Bahan ini merangsang peringkat kesuburan wanita dengan memperbanyakkan telur (LH) agar dapat memudahkan wanita itu mengandung.

- UTUSAN

Pendidikan Jasmani perlu suntikan baharu

Oleh DR. MOHAR KASSIM
Pensyarah Sains Kejurulatihan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Berbeza dengan mata pelajaran lain yang hanya menumpukan kepada aspek pengetahuan sahaja, Pendidikan Jasmani (PJ) boleh meningkatkan keupayaan minda, psikomotor dan nilai sosial seseorang pelajar.

Hal ini boleh dibuktikan apabila seseorang pelajar itu melakukan sesuatu aktiviti fizikal. Perbuatan itu bukan sahaja melibatkan keupayaan fizikalnya, malah ia juga dapat meningkatkan tahap keyakinan, pengetahuan dan keseronokan melakukan aktiviti berkenaan.

Justeru PJ merupakan mata pelajaran yang mempunyai kekuatan dan berpotensi untuk melengkapkan pelajar dalam semua aspek jasmani, intelektual, rohani dan sosial, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, penulis mendapati PJ tidak dapat dijalankan dengan berkesan kerana kekangan masa, kekurangan peralatan, kemudahan yang tidak mencukupi, guru yang tidak berkelayakan atau kurang berpengalaman yang mengajar subjek itu.

Kesemua faktor berkenaan membawa kepada kurangnya minat pelajar terhadap mata pelajaran ini. Ditambah pula dengan keadaan yang tidak selesa untuk belajar kerana panas dan berpeluh semasa di dalam kelas selepas PJ. Ia disebabkan tiada kemudahan bilik mandi yang sempurna untuk pelajar membersihkan tubuh badan.

Bagi memastikan keberkesanan PJ, Kementerian Pelajaran perlu mempertimbangkan pelbagai aspek yang meliputi peruntukkan jumlah jam dalam seminggu, peralatan, kemudahan, guru yang berkelayakan, dan kandungan kurikulum yang mudah untuk dilaksanakan secara berkesan bukannya hanya di atas kertas.

Dibimbangi jika PJ dilaksanakan dengan sekadar melepaskan batuk di tangga akan memberi impak negatif kepada penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan dan seterusnya akan menjejaskan perlaksanaan dasar 1Murid 1Sukan.

Oleh sebab itu, dicadangkan tiga langkah baharu untuk memastikan PJ dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

Langkah pertama ialah dengan mengadakan satu sesi persekolahan dan ia boleh dilakukan secara berperingkat-peringkat. Dalam konteks ini, PJ sesuai dilaksanakan pada sebelah petang.

Hal ini membolehkan pelajar terus pulang ke rumah tanpa perlu masuk semula ke dalam kelas selepas PJ. Jika ia dilaksanakan, kemungkinan besar akan dapat menarik semula minat pelajar untuk menjalankan aktiviti fizikal.

Jumlah waktu untuk PJ juga boleh ditambah tanpa mengganggu mata pelajaran lain.

Usaha murni Kementerian Pelajaran yang telah dan sedang membina sekolah di setiap kawasan perumahan menjadi pemangkin proses untuk melaksanakan kelas PJ pada sebelah petang.

Di samping itu, pelbagai masalah sosial yang serius akan dapat diatasi kerana pelajar akan lebih menumpukan kepada aktiviti fizikal yang banyak membawa ke arah kebaikan.

Langkah kedua ialah menempatkan lebih ramai graduan PJ di setiap sekolah, sekurang-kurangnya empat orang guru - dua guru lelaki dan dua guru wanita - bagi sekolah yang ada pelajar perempuan.

Bilangan ini bukan satu masalah besar kerana setiap tahun institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya (UM) serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mengeluarkan graduan PJ yang berkelayakan.

Langkah ketiga adalah dengan melihat semula alatan dan kemudahan yang sedia ada di setiap sekolah sebelum merangka kurikulum PJ. Ketika ini terdapat juga sekolah yang gagal untuk mengikuti silibus yang ditetapkan.

Perkara ini disebabkan sekolah tidak ada atau kurang alatan dan kemudahan untuk melaksanakan kemahiran-kemahiran tersebut. Oleh itu, ia hanya menjadi sebagai sesuatu yang ideal tetapi tidak boleh dipraktikkan.

Diharap cadangan tersebut dapat dilaksanakan walaupun secara berperingkat-peringkat sebagai satu suntikan baharu kepada mata pelajaran PJ ke arah melahirkan individu yang berketerampilan dari segi intelektual, jasmani dan sahsiah.

- UTUSAN

Rabu, Jun 29, 2011

Terlalu Lama Depan Televisyen, Komputer Punca Obesiti

Masa yang terlalu lama di depan televisyen dan komputer mengakibatkan golongan muda di negara ini mengalami obesiti, menurut Kementerian Kesihatan.

Pengarah Nutrisi Jabatan Kesihatan Awam, Rokiah Don berkata, golongan muda menghabiskan banyak masa mereka di hadapan skrin - sama ada menonton televisyen, bermain permainan video atau menggunakan komputer menyebabkan mereka cenderung kepada gaya hidup tidak aktif.

“Dalam era skrin ini, orang ramai banyak menghabiskan masa di depan skrin.

“Ini menyumbang kepada obesiti di kalangan golongan muda sebab output tenaga tidak seimbang dengan input tenaga atau makanan yang mereka makan," katanya kepada pemberita, Selasa.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Persidangan Persatuan Kajian Mengenai Obesiti Malaysia (Maso) 2011 Conference di Kuala Lumpur.

- MSTAR

500 Kedai Runcit Bakal Dinaikkan Taraf Menerusi Program TUKAR

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasar sebanyak 500 kedai runcit dinaik taraf dalam Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) di seluruh negara tahun ini.

Ketua Delivery Management Office KPDNKK, Mohd Fariszan Ahmad berkata sebanyak RM40 juta diperuntukkan untuk disalurkan sebagai pinjaman menerusi Bank Kerjasama Rakyat kepada para pemilik kedai runcit yang memilih untuk menyertai TUKAR dengan pembayaran balik dalam tempoh 15 tahun.

"Dengan kadar faedah sebanyak tiga peratus pemilik-pemilik kedai runcit akan memperolehi keuntungan yang lebih tinggi.

"Tempoh masa bayaran yang agak panjang tidak membebankan pemilik dan mereka boleh menikmati keuntungan dan meluaskan bidang perniagaan mereka," katanya kepada pemberita pada majlis taklimat kepada media mengenai TUKAR di sini, Selasa.

TUKAR dilancarkan pada Januari lepas dengan menawarkan pinjaman RM60,000 kepada pekedai.

Insiatif ini bagi membantu pekedai runcit di kawasan kecil dan luar bandar meningkatkan aktiviti perniagaan mereka.

"Beberapa manafaat akan diperolehi pemilik kedai runcit dalam program ini antaranya dapat mempelajari sistem pengurusan pos atau inventori, perningkatan dalam jualan dan kawalan aliran wang tunai, susun atur kedai dan papan tanda," kata Mohd Fariszan.

Beliau berkata, setakat ini 92 kedai runcit tradisional telah berjaya ditransformasi dengan bantuan pasar raya Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, Carrefour Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang bertindak sebagai konsultan.

"Pada Khamis (23 Jun) lalu kita telah menandatangani memorandum persefahaman dengan empat syarikat iaitu Aeon Co (M) Bhd, Econsave Cash and Carry Sdn Bhd, Sunshine Wholesale Mart Sdn Bhd dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu yang dilantik sebagai konsultan untuk membantu kerajaan," katanya lagi.

Jesica Wong Weat, 42, antara pemilik kedai runcit yang menyertai program itu berkata kerajaan melalui KPDNKK telah banyak membantunya dalam mengendalikan perniagaan yang diusahakan sejak enam tahun lalu.

"Sebelum ini keadaan kedai saya tidak teratur kerana saya tidak mengetahui cara pengendalian dan susun atur dalam kedai.

Malah keadaan kedai saya suram dan tidak ceria, tetapi apabila saya menyertai program ini, konsultan saya iaitu Tesco telah banyak membantu.

"Saya juga semakin bersemangat dan hasil keuntungan saya meningkat kepada 45 peratus yang sebelum ini hanya 15 peratus, malah kedatangan pelanggan saya juga semakin ramai" katanya kepada media yang melawat kedainya di Puchong.

- MSTAR

Selasa, Jun 28, 2011

Graduates Employability Management Scheme (GEMS) July 2011

To apply as GEMS participant, you must meet the following criteria:

1) A Malaysian citizen

2) Graduated with recognised degrees

3) Obtained a minimum CGPA rating of 2.5 or equivalent

4) Must be single, willing to be relocated and below 27 years old

5) Must be willing to undergo Part 2 (6 months) training at any given organisation nationwide

6) Applicants must be ambitious and have a strong will to start a career in corporate organisations

DETAILS OF PROGRAMME:
http://mygemsportal.com.my/

ONLINE APPLICATION FORM:
http://mygemsportal.com.my/index.php/about-gems/apply-now/participant

Closing Date: 4 July 2011

Jawatan Kosong di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - Jun 2011

JAWATAN:
1. PEGAWAI TADBIR N41
2. PEGAWAI OPTOMETRI U41
3. PEGAWAI PEMULIHAN PERUBATAN U41
4. PEGAWAI DIETETIK U41
5. JURU X-RAY U41

IKLAN JAWATAN
http://ewarga2.ukm.my/eiklan/peluangkerja.cfm

BORANG PERMOHONAN
http://www.ukm.my/ejob

Tarikh Tutup : 18 Julai 2011

Pengambilan Pensyarah Kolej Matrikulasi - Jun / Julai 2011

Iklan Pemangkuan  Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Untuk Berkhidmat Sebagai Pensyarah PPPS  DG44/DG48/DG52 Di Kolej Matrikulasi, Kementerian Pelajaran Malaysia

1.    Kekosongan Jawatan

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang sedang berkhidmat dengan kerajaan Malaysia adalah dipelawa memohon untuk mengisi jawatan-jawatan kosong yang setara atau lebih tinggi daripada gred semasa sebagai Pensyarah PPPS Gred DG41/DG44/DG48/DG52 di Kolej Matrikulasi. Kekosongan jawatan adalah sebagai pensyarah mata pelajaran Fizik, Sains Komputer dan Kejuruteraan.

Bidang/Mata Pelajaran
-Fizik
-Sains Komputer
-Kejuruteraan   

Bidang/Mata Pelajaran untuk semua kolej berikut:

Kolej Matrikulasi Melaka
Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan
Kolej Matrikulasi Pulau Pinang
Kolej Matrikulasi Perlis
Kolej Matrikulasi Labuan
Kolej Matrikulasi Perak
Kolej Matrikulasi Johor
Kolej Matrikulasi Pahang
Kolej Matrikulasi Kedah
Kolej Matrikulasi Selangor
Kolej Matrikulasi Teknikal Kedah
Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang
Kolej Matrikulasi Teknikal Johor
    
2.    Syarat- syarat

Bagi jawatan pensyarah PPPS Siswazah DG44/DG48/DG52 calon-calon mestilah telah disahkan dalam jawatan dan di lantik pada atau sebelum 31.12.2006 mempunyai:-

Kelayakan Akademik

Ijazah Sarjana Muda dengan pengkhususan dalam bidang/mata pelajaran yang dipohon dan boleh mengajar pada peringkat tinggi yang setara dengan matrikulasi, A Level dan STPM

Kelayakan Ikhtisas

Diploma Pendidikan daripada Universiti yang diiktiraf atau Sijil/Diploma Perguruan dari Maktab/Institut Perguruan; dan

Pengalaman mengajar mata pelajaran pengkhususan sebagai guru PPPS Gred DG41/DG44/DG48/DG52 sekurang- kurangnya 3 tahun berturut-turut.

Calon Gred DG41 yang memohon hendaklah mempunyai pengalaman sebagai guru sekurang-kurangnya 5 tahun.

Syarat Kelayakan Pemangkuan

Syarat-syarat umum dan khusus pemangkuan jawatan adalah seperti di Lampiran C

3.    Bidang Tugas Utama

Antara bidang tugas utama pensyarah ialah :-

Memberi kuliah dalam mata pelajaran seperti yang ditetapkan;

Memberi tutoran dalam mata pelajaran seperti yang ditetapkan;

Menjadi pensyarah mentor bagi satu-satu kumpulan pelajar;

Memberi dan menilai kerja kursus pelajar;

Menggubal soalan dan memeriksa skrip jawapan peperiksaan;

Menjadi mentor rakan sebaya dalam pengajaran & pembelajaran;

Membuat Penyelidikan dan penulisan ilmiah; dan

Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Pengarah, Timbalan Pengarah, Ketua Jabatan dan Ketua Unit dari semasa ke semasa.


4.    Cara Memohon
   
    Permohonan hendaklah dibuat dengan cara:

Memuat turun borang PKM dari laman web http://www.moe.gov.my/bmkpm. dan dicetak;

Borang yang telah lengkap diisi hendaklah disahkan oleh Ketua Jabatan sebelum dikemukakan ke Bahagian Matrikulasi.

5.    Dokumen-Dokumen Yang Diperlukan

    Permohonan hendaklah disertakan bersama dokumen-dokumen berikut:-

1 salinan Kenyataan Perkhidmatan yang kemaskini dan disahkan;

1 salinan Laporan Prestasi Tahunan bagi 3 tahun terkini yang disahkan;

Salinan-salinan Sijil/Diploma/Ijazah dan dokumen-dokumen yang berkaitan yang disahkan;

1 salinan pengesahan Laporan Pengistiharan Harta yang disahkan (Bukan Borang Laporan Pengistiharan Harta);

1 salinan laporan Kenyataan Tatatertib yang disahkan;dan

1 salinan Slip Keputusan PTK terkini yang disahkan.


6.    Cara Menghantar Borang Permohonan
   
Borang PKM yang telah lengkap dan disahkan oleh Ketua Jabatan/Pengetua bersama dokumen-dokumen yang diperlukan, hendaklah dihantar melalui Ketua Jabatan/Pengetua kepada :-

        Pengarah   
        Bahagian Matrikulasi
        Kementerian Pelajaran Malaysia
        Aras 6-7, Blok E15
        Kompleks Kerajaan Parcel E
        Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
        62604 PUTRAJAYA

Nota : Sila pastikan anda menulis PKM di sudut atas kiri sampul surat.





Tarikh tutup permohonan : 25 Julai 2011

Permohonan yang diterima lewat daripada tarikh tersebut tidak akan diproses dan tidak akan dipertimbangkan.

7.    Temu Duga
   
Permohonan yang berjaya akan dipanggil untuk menghadiri satu sesi temu duga pada tempat dan masa yang akan ditetapkan kemudian. Segala urusan dan perbelanjaan temu duga ini adalah di bawah tanggungan pemohon sendiri.


8.    Dokumen Permohonan

Permohonan yang diterima yang tidak lengkap dan tidak memenuhi syarat tidak akan dipertimbangkan.


MUAT TURUN IKLAN & BORANG PERMOHONAN


http://www.moe.gov.my/bmkpm/index.php/muat-turun/cat_view/82-iklan-perjawatan-pensyarah

Recent Posts