Jumaat, April 22, 2011

Semakan Status Kelayakan Ujian MEdSI bagi DPLI dan ISMP Ambilan Julai 2011

Calon yang memohon Diploma Pendidikan (DPLI) bagi Lepasan Ijazah dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) bagi Lepasan SPM & Diploma/ STPM boleh menyemak Status Kelayakan Ujian Malaysian Educators Selection Inventory (MEdSI) di : http://www.mpm.edu.my/medsiregter/index.php - Ujian akan diadakan pada 30 April 2011 (Sabtu)

MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA (MPM)
http://www.mpm.edu.my/

MSAM di Ipoh terus jadi tarikan ramai


IPOH 21 April - Orang ramai terus membanjiri tapak pameran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011, yang memasuki hari kedua di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh di sini, seawal pagi tadi.

Sejak pukul 8 pagi lagi, ratusan pelajar dari seluruh negeri ini dengan kerjasama PNB, mengunjungi MSAM untuk memastikan mereka tidak ketinggalan menyertai pameran pelaburan yang julung-julung kali diadakan.

Tinjauan mendapati, para pengunjung bukan sahaja datang untuk menyaksikan pameran tetapi juga melakukan urus niaga serta mendapatkan khidmat nasihat di kaunter-kaunter Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB).

Seorang pesara, Iberahim Salikin, 67, gembira kerana dapat berkunjung ke MSAM untuk melakukan urus niaga secara dekat dengan PNB.

Beliau yang menjadi pelabur lebih 25 tahun lalu berkata, sebelum ini segala urusan berkenaan dilakukan di Pejabat Pos sahaja.

''Selama ini, anak saya yang membantu saya membuat transaksi tetapi hari ini saya berpeluang berjumpa dengan kakitangan ASNB," katanya.

Isterinya, Musalmah Ahmad, 65, pula berkata, para pelabur PNB wajar menyertai pameran ini kerana selian boleh melakukan transaksi, khidmat nasihat perancangan kewangan juga disediakan untuk para pengunjung.

''Makcik hanya melabur dalam Amanah Saham Bumiputera sahaja tidak tahu pula ASNB ada pilihan (produk) lain.

''Bila sudah diberi penerangan, barulah makcik tahu banyaknya produk kita boleh melabur," ujarnya.

Menurut kakitangan PNB yang bertugas, sejak semalam dan hari ini, mereka menerima banyak kunjungan golongan warga emas untuk menambah pelaburan dalam produk-produk keluaran firma pelaburan itu.

Sementara para pelajar pula tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan pelbagai pameran yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat yang menyertai MSAM.

Sepanjang enam hari ini, pelbagai acara pendidikan berbentuk hibur didik diadakan antaranya Kuiz PNB - Bijak Padan dan e-peraduan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Menerusi e-peraduan, para pengunjung berpeluang memenangi hadiah berupa motosikal, basikal, baucer pelancongan, baucer insurans kenderaan, pelbagai barangan elektrik.

Selain itu, Toyota Vios dan Perodua Alza pula dijadikan hadiah utama bagi e-peraduan pada acara berkenaan.

Pinjaman mudah rakyat miskin labur unit amanah

Kerajaan akan memperkenalkan skim baru yang membolehkan semua rakyat berpendapatan rendah membuat pinjaman mudah bagi melabur dalam dana Amanah Saham 1Malaysia sebagai antara satu langkah menabung untuk jaminan masa depan.

Skim itu yang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat tidak akan membebankan rakyat kerana pinjaman diberikan untuk membuat pelaburan rendah dengan pembayaran balik menerusi dividen yang diisytiharkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) setiap tahun.

Perdana Menteri ketika mengumumkannya semalam berkata, perincian skim itu sedang dipertimbangkan oleh Suruhanjaya Sekuriti serta Kementerian Kewangan dan maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian.
“Ini akan memperluaskan penyertaan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2011 (MSAM 2011), di Stadium Indera Mulia di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman; Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk R Ganesan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim.

Dalam ucapannya, Najib berkata, tarikh 20 April semalam menandakan genap 30 tahun usia skim amanah saham pertama diperkenalkan PNB, iaitu Amanah Saham Nasional (ASN) yang ketika itu dirangka khusus untuk menggembleng dana Bumiputera secara teratur dan meningkatkan kedudukan ekonomi mereka.

Beliau berkata, kejayaan PNB bukan setakat menubuhkan pelbagai dana unit amanah, malah mendidik rakyat, terutama Bumiputera mengenai kebaikan melabur serta melakukan transformasi minda sehingga masyarakat celik pelaburan dan mengetahui skim amanah mana yang lebih menguntungkan.
Malah, menerusi pengumpulan dana yang besar itu membolehkan beberapa syarikat gergasi yang namanya sering dikaitkan dengan penjajah British sejak sekian lama seperti Sime Darby, Guthrie dan Island & Peninsular, berjaya menjadi syarikat milik Malaysia.

“Apa yang lebih penting ialah kita mampu menguruskan syarikat bermodal besar dengan baik serta berjaya menarik pelabur dan menawarkan kadar dividen yang menarik,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tujuan asal PNB untuk membantu Bumiputera supaya jurang perbezaan pendapatan dapat dirapatkan dan perpaduan antara kaum dipertingkatkan, atas semangat toleransi dan mengeratkan integrasi kaum, bukan Bumiputera diberi peluang menyertai skim amanah diperkenalkan agensi berkenaan.

Najib berkata, menerusi Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan sekarang pula, kerajaan memperkenalkan pelbagai program transformasi bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat dan ekonomi secara keseluruhan serta menjadi ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020.

Beliau berkata, prospek berkenaan akan menarik lebih ramai rakyat untuk melabur dalam dana amanah yang memungkinkan Malaysia bakal menjadi negara pelabur skim dana amanah terbesar dunia satu hari nanti.

“Justeru, saya menasihatkan orang ramai, terutama pelabur kecil jangan memikirkan keuntungan cepat semata-mata, tetapi paling penting ialah melabur dalam skim yang berisiko rendah serta tidak mudah tertipu dengan pelbagai bentuk skim cepat kaya,” katanya.

Najib mengingatkan rakyat tidak mudah terpedaya dengan tawaran skim saham tanpa lesen yang kelihatan menarik tetapi mengundang padah kepada mereka yang menyertainya.

- UTUSAN & BERITA HARIAN

Gambaran hari kiamat

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Surah al-Qari'ah mengandungi 11 ayat. Ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah yang diturunkan selepas surah Quraisy. Hubungan surah ini dengan surah al-Adiyat adalah pada akhir Surah al-Adiyat diterangkan tentang hari kiamat, manakala keseluruhan ayat dalam surah al-Qari'ah diterangkan huru-hara hari kiamat.

Firman Allah SWT: Hari kiamat.

Sayid Qutub berkata: Ia disebut menunggal tanpa sebarang penerangan kerana kata-kata itu sendiri sudah cukup menyampaikan saranan yang mengerikan. Kemudian disusuli pertanyaan yang menggerunkan.

Firman Allah SWT: Apakah hari kiamat itu? Tahukah kamu apakah hari kiamat itu?

Al-Mawardi berkata: Apakah hari kiamat itu mempunyai dua maksud:

nHari kiamat sendiri yang ditafsirkan selepas itu.

nAzab yang menakutkan semua hati manusia.

Dinamakannya qari'ah bagi setiap yang sukar dan pedih. Pengulangan qari'ah sebagai tanda membesarkannya.

Firman Allah SWT: Pada hari itu manusia adalah seperti anai-anai yang bertebaran.

Berkenaan dengan perkataan firash sebagai perumpamaan mempunyai dua maksud:

nSegala benda yang berterbangan seperti nyamuk dan lainnya termasuk juga belalang. Inilah pendapat al-Farra'.

nBurung yang jatuh ke dalam api bukan semata-mata nyamuk dan juga lalat. Inilah pendapat Abu Ubaidah dan Qatadah.

Firman Allah SWT: Dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihambur-hamburkan.

Al-Sawi berkata: Allah SWT menyamakan manusia dengan keadaan gunung-ganang, dengan tujuan memberikan peringatan bahawa kegemparan dan kegoncangan yang berlaku yang meliputi semua makhluk termasuk gunung bagai bulu yang berterbangan tanpa haluan.

Demikian juga keadaannya dengan manusia. Mereka menjadi bingung serta panik disebabkan keadaan itu dan kemudian, amalan mereka dihisab lalu amalan mereka diberikan balasan.

Sayid Qutub berkata: Inilah pemandangan pertama bagi hari kiamat yang menggemparkan setiap pemandangan yang menggoncangkan hati dan menggigilkan segenap sendi.

Setiap pendengar merasa segala sesuatu yang tercacak kukuh di bumi hancur lebur menjadi debu-debu yang berterbangan. Kemudian tibalah babak akhir seluruh manusia di hari itu.

Firman Allah SWT: Dan adapun orang-orang yang berat timbangan (kebaikan)nya. Maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan. Dan adapun orang-orang yang ringan timbangan (kebaikan)nya. Maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah.

Sayid Qutub berkata: Makna asalnya ibu. Ibu adalah tempat kanak-kanak mencari perlindungan sedangkan ibu tempat kembali bagi orang-orang yang ringan timbangan amalnya dan mencari perlindungan pada hari itu ialah neraka Hawiyah.

Pengungkapan sangat indah dan memberi imbangan makna yang khusus. Ia merupakan kenyataan yang tidak jelas sebagai persediaan untuk diiringi dengan penjelasan yang menjadikan kesannya bertambah mendalam lagi.

Firman Allah SWT: Tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu?

Ia merupakan nama daripada nama-nama neraka. Dinamakan demikina kerana jauh dasarnya. Ada riwayat menyebut ahli neraka sampai ke bawah jatuh akan mengambil masa 70 tahun.

Firman Allah SWT: (Iaitu) api yang sangat panas.

Sayid Qutub berkata: Itulah ibu tempat kembalinya orang-orang yang ringan timbangan amalnya. Biasanya, pada ibulah terdapat keamanan dan ketenangan, tetapi malangnya orang ini mendapat neraka yang amat panas. Ini suatu ungkapan yang menimbulkan rasa terkejut yang membayangkan hakikat kejam.

Penutup

Sayid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: Berat ringan timbangan amalan itu menyarankan adanya amalan-amalan yang bernilai dan dihargai Allah SWT. Dan adanya amalan yang tidak bernilai tidak dihargai Allah SWT.

Inilah keseluruhan yang dapat difahami dari ungkapan ayat ini. Inilah yang dimaksudkan Allah dengan firman-Nya itu.

Percubaan menceburkan diri dalam perdebatan aqliyah dan lafziyah mengenai maksud-maksud ungkapan ayat itu merupakan perbuatan biadap terhadap al-Quran, di samping usaha sia-sia didorong kekosongan hidup yang menghalangi seseorang memberi perhatian yang sebenar terhadap al-Quran dan Islam.

Semoga kita menjadi golongan yang mendapat kurniaan Allah SWT, Amin.

- UTUSAN

Petronas lancar minyak transmisi automatik


PUTRAJAYA 21 April - Proton Holdings Bhd. (Proton) hari ini melancarkan minyak transmisi automatik pertamanya, ATF-XP3 hari ini hasil kerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).

Minyak berkualiti tinggi itu yang mula dipasarkan esok, sesuai untuk kereta Proton model Saga (1985-2007), Saga BLM, Iswara, Wira, Satria, Satria Neo, Pesona dan Exora.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Mohamad Shukor Ibrahim berkata, ATF-XP3 merupakan perintis kepada usaha Proton untuk menghasilkan minyak pelincir sendiri pada masa depan.

Katanya, Proton telah memeterai perjanjian Membekal dan Teknikal Komersial dengan anak syarikat Petronas iaitu Petronas Dagangan Bhd. (PDB) bahagian minyak pelincir pada tahun lalu.

Beliau berkata, perjanjian selama 10 tahun tersebut, meliputi kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan minyak pelincir yang sesuai dan mampu meningkatkan keupayaan enjin Proton.

''Selepas ATF-XP3, kami akan melancarkan minyak enjin berkualiti tinggi sendiri tidak lama lagi bagi kegunaan domestik dan juga eksport.

"Kerjasama Proton dengan Petronas sudah bermula sejak tahun 1985 lagi, tetapi selepas perjanjian tersebut kerjasama yang lebih jitu telah dimeterai bagi kebaikan bersama,'' katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran ATF-XP3, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar PDB, Shobri Abu Bakar.

Mohamad Shukor berkata, pasaran minyak transmisi automatik dianggarkan melebihi 700,000 liter setahun dan pihaknya optimis ATF-XP3 mampu memberi pulangan kepada Proton.

Sementara itu, Shobri berkata, PDB telah menjalankan proses R&D hampir setahun ke atas ATF-XP3 bagi memastikannya mampu memberi prestasi yang terbaik untuk pengguna.

"Antara kelebihan ATF-XP3 adalah pertukaran transmisi yang lebih lancar, memanjangkan hayat sistem transmisi dan memberi prestasi optimum pada suhu tinggi serta rendah,'' jelasnya.

ATF-XP3 dijual pada harga RM29.96 di Semenanjung Malaysia manakala RM30.46 untuk Sabah dan Sarawak.

Mengulas mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) berkaitan automotif yang mungkin dilaksanakan tahun depan, Mohamad Shukor berkata, perkara tersebut memberi sedikit impak kepada Proton.

"Proton mungkin bersedia sepenuhnya dalam tempoh lima tahun lagi. Kita perlu meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan untuk terus bersaing,'' ujarnya.

- UTUSAN

Tingkatkan perkhidmatan kesihatan mental masyarakat

Pandangan IKIM

SATU perkara yang merunsingkan kita semua apabila dianggarkan ramai penduduk di negara ini akan mengalami pelbagai bentuk gangguan berkaitan kesihatan mental menjelang tahun 2020.

Ini adalah anggaran yang telah dinyatakan oleh sebuah laporan akhbar pada 17 Ogos tahun 2005 di mana pada tahun 2020 itu nanti, penyakit mental dianggarkan akan menjadi penyakit nombor satu negara.

Negara kita telah melalui tempoh masa hampir 30 tahun sejak Kementerian Kesihatan memulakan satu kajian buat julung kali dikenali sebagai Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan iaitu bermula pada tahun 1986. Berdasarkan kepada hasil kajian berkaitan yang terkini iaitu yang ketiga pada tahun 2006, didapati trend gangguan kesihatan mental yang mengundang kepada pelbagai gejala penyakit mental di kalangan rakyat menunjukkan peningkatan yang amat membimbangkan.

Ia menjadi amat serius apabila diberitakan oleh satu laporan akhbar bertarikh 20 Mac 2011 di mana setiap seorang daripada lima rakyat Malaysia akan menjadi gila.

Jika benar dan andai gila itu dirujuk kepada skizofrenia, maka seorang dari lima individu negara ini akan menghidapi skizofrenia. Begitu juga jika gila itu ditakrifkan sebagai post partum depression (gila meroyan), maka akan ada seorang dari setiap lima orang wanita yang lepas bersalin itu akan gila meroyan.

Dan jumlah ini belum termasuk lagi bagi kategori gila judi, epilepsi (sawan atau juga gila babi) dan sebagainya. Memandangkan negara kita mempunyai 27 juta penduduk, ini bermakna di negara kita sekarang ini sudah sedia ada seramai 5 juta orang gila, sama ada gila skizofrenia, gila bipolar, gila kemurungan, gila meroyan, gila babi atau gila judi.

Walau apa jua jenis gila, terutamanya gila yang dikatakan berpunca akibat daripada stres atau tekanan, permasalahan hidup dan sebagainya, ia tetap mampu menjejaskan kesihatan mental dan akan semakin bertambah pada setiap masa. Sudah pasti apabila kestabilan kesihatan mental itu terjejas, maka risiko untuk menghidapi penyakit mental (full blown mental illness) juga akan turut meningkat.

Dari segi patologi penyakit mental, pada peringkat awalnya, ia lebih menjurus kepada keadaan yang dikenali sebagai gangguan kesihatan mental. Gangguan ini biasanya adalah kecil dan ringan sahaja, tidak mendatangkan kesakitan atau kepayahan yang ketara dalam kehidupan harian individu itu. Akibatnya ia seringkali diabaikan dan kurang diberi perhatian.

Namun ia sebenarnya mampu meningkatkan lagi risiko seseorang itu untuk menghidapi penyakit mental yang lebih serius jika rawatan awal tidak diberi. Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes seperti ini, keputusan bagi mendapatkan rawatan penyakit mental biasanya adalah keputusan terakhir dan sudah terlewat serta apabila penyakit itu telah mencapai tahap serius. Akibatnya, usaha pemulihan menjadi lebih sukar.

Jika ditinjau lagi anggaran jumlah pesakit mental di negara ini berdasarkan kepada laporan akhbar tersebut yang mengatakan kini terdapat seramai 5 juta pesakit mental di negara ini, tetapi jumlah kes penyakit mental yang dirujuk untuk rawatan di hospital-hospital kelolaan Kementerian Kesihatan pula menunjukkan kepada kita bahawa tidak sampai suku juta pun.

Bagi mereka yang prihatin dalam isu kesihatan mental masyarakat, situasi ini sememangnya pasti akan mencetuskan kehairanan dan suatu tindakan yang bersungguh-sungguh serta agresif mesti dilakukan untuk memperbaiki keadaan.

Kajian dan pemerhatian perlu segera dijalankan bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Pendekatan tunggu dan lihat serta berdiam diri hanya akan memburukkan lagi keadaan dan akan menghalang sebarang usaha bagi mewujudkan penjagaan kesihatan mental yang sempurna kepada masyarakat.

Dalam beberapa kajian oleh negara-negara maju berhubung kurangnya masyarakat yang menggunakan perkhidmatan kesihatan mental mendapati ia berpunca dari stigma negatif terhadap penyakit dan pesakit mental. Malah, stigma negatif ini diwarisi dan tersebar ke seluruh pelosok dunia termasuklah di negara ini.

Persepsi negatif masyarakat ini merupakan punca utama betapa tegarnya masyarakat dalam menafikan hak mereka sendiri untuk memperbaiki keadaan kesihatan mental mereka.

Walaupun beberapa usaha untuk mengurangkan stigma dilakukan, seperti mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan mental ke dalam sistem penjagaan kesihatan utama negara telah dimulakan, namun keadaan yang serupa tidak berlaku di dalam sistem komuniti setempat.

Perlu ada usaha untuk mengintegrasikan sistem perkhidmatan kesihatan mental di peringkat komuniti yang diterajui oleh pihak berkaitan seperti Pihak Berkuasa dan Kerajaan Tempatan, Pusat Kesihatan Kecil atau Daerah, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Persatuan-persatuan Penduduk, NGO, dan sebagainya.

Mekanisme pelaksanaan usaha ini perlu difikirkan bersama di peringkat nasional agar integrasi sistem ini di dalam komuniti berjaya, bukan sahaja menjamin kesihatan mental yang baik masyarakat, tetapi juga mengurangkan stigma berkaitan.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

- UTUSAN

Khamis, April 21, 2011

E-mel 1Malaysia tidak babit dana kerajaan


Projek Emel 1Malaysia tidak melibatkan dana awam, demikian menurut syarikat IT tempatan - Tricubes Bhd - yang bakal melaksanakan projek bernilai RM50 juta itu Julai depan.

Ketua pegawai eksekutifnya, Khairun Zainal Mokhtar bagaimanapun berkata, projek itu terletak di bawah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), yang dilantik sebagai fasilitator kerajaan.

Katanya, Tricubes tidak dapat mendedahkan semua butiran model perniagaannya untuk projek Emel 1Malaysial, tetapi tegasnya, sebagai syarikat tersenarai, ia telah menggariskan strategi utama bagi memastikan daya maju komersil termasuk pengiklanan dan transaksi e-perkhidmatan pada masa depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Khairun berkata ujian sedang dijalankan sebagai persediaan untuk melaksanakan sistem tersebut.

Projek itu akan menawarkan perkhidmatan e-kerajaan setempat seperti pemberitahuan melalui talian dan bil digital dari agensi-agensi kerajaan.

Setiap rakyat Malaysia berumur lebih 18 tahun, layak mendapat akaun emel rasmi untuk berkomunikasi dengan kerajaan.

Syarikat itu juga berkata, ia mahu membangun dan menyediakan perkhidmatan komunikasi tambah-nilai untuk perniagaan, penggunaan isi rumah dan kerajaan.

Khairun memberitahu pemberita semalam - selepas projek itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak - bahawa syarikatnya ia tidak akan menyediakan perkhidmatan yang serupa dengan portal dalam talian kerajaan seperti MyEG yang tertumpu kepada pembayaran melalui talian.

Namun risalah Tricubes mengenai projek tersebut menyenaraikan 'semakan bil dan pembayaran' sebagai salah satu fungisnya.

Ditubuhkan pada 1997 dan disenaraikan di pasaran ACE pada 2004, Tricubes terlibat dalam penggunaan sistem MyKad.

- MALAYSIAKINI

Permohonan gantian MyKad secara online


Orang ramai yang ingin memohon gantian MyKad kini boleh melakukannya secara dalam talian melalui portal rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Menurutnya perkhidmatan itu memberi alternatif kepada orang ramai untuk mendapatkan gantian MyKad tanpa perlu ke kaunter sekaligus mengurangkan kesesakan di ibu pejabat JPN atau cawangannya.

"Tiga jenis permohonan gantian MyKad yang boleh dilakukan ialah gantian MyKad disebabkan cip dan kad rosak, gantian MyKad biasa dan gantian MyKad hilang yang tidak melebihi lima kali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 kepada 341 kakitangan JPN di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JPN Datuk Alwi Ibrahim.

Abu Seman berkata bayaran permohonan secara dalam talian boleh dilakukan dengan menggunakan kad kredit Visa dan Master Card, manakala pembayaran melalui e-Banking akan dilaksanakan pada masa akan datang.

Beliau berkata pemohon boleh memohon gantian MyKad melalui portal JPN pada 8 pagi hingga 11 malam pada Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 2 petang (Sabtu) dan 8 pagi hingga 9 malam pada Ahad.

Pemohon boleh menyemak status permohonan MyKad melalui portal JPN dan memilih pusat kutipan MyKad mengikut pilihan masing-masing, katanya.

Beliau berkata sehingga kini JPN menerima sebanyak 15 permohonan sejak diujicuba pada 15 April lepas termasuk satu permohonan daripada rakyat Malaysia di Australia.

Tempoh siap MyKad yang dipohon melalui talian adalah sama seperti permohonan biasa di kaunter iaitu 24 jam bagi pemohon yang memilih untuk menuntut MyKadnya di JPN Putrajaya, 10 hari bekerja bagi mana-mana pejabat cawangan JPN di Semenanjung serta 30 hari bekerja bagi mana-mana pejabat cawangan JPN di Sabah, Sarawak atau Labuan.

- Bernama

Kadar Perayauan Bagi Pengguna Telefon Bimbit Akan Diturunkan

PUTRAJAYA: Mulai 1 Mei ini, para pengguna telefon bimbit di Malaysia dan Singapura akan menikmati diskaun 20 peratus untuk panggilan suara dan 30 peratus bagi SMS, apabila menggunakan perkhidmatan perayauan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, pengurangan itu adalah satu usaha yang bermakna bagi Malaysia dan Singapura kerana ia menandakan kerjasama rapat antara kedua buah negara.

"Ia merupakan kerjasama dua hala yang pertama bagi mengurangkan caj perayauan dalam lingkungan Asean dan membuka jalan bagi usaha yang sama di kalangan negara Asean," katanya pada pelancaran kadar perayauan melalui penggunaan telefon bimbit antara Malaysia dan Singapura.

Rais berkata, para pengguna akan mendapat pengurangan itu apabila menggunakan khidmat perayauan menggunakan telefon bimbit yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih di kedua buah negara seperti Celcom, Digi, M1, Maxis, SingTel, Star Hub dan U-Mobile.

Menurut beliau, pengguna pasca bayar dan prabayar akan menikmati pengurangan itu.

Katanya, kadar pengurangan itu akan ditingkatkan sehingga 30 peratus bagi panggilan suara dan sehingga 50 peratus bagi SMS mulai 1 Mei tahun depan.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Singapura Lui Tuck Yew berharap untuk melihat para pengatur kedua belah pihak akan mengenal pasti inisiatif baru bagi meningkatkan kesalinghubungan antara Singapura dan Malaysia.

"Saya puji komitmen penyedia perkhidmatan yang berikhtiar bagi mempromosikan hubungan komunikasi antara kedua buah negara," katanya.

- BERNAMA

Beberapa Larangan Rasulullah s.a.w

Hadith:

DARI al-Mughirah r.a, dari nabi s.a.w baginda bersabda: "Allah telah melarang keras (mengharamkan) kamu menderhakai ibu, melarang membuat kikir dan mengubur anak perempuan. Tuhan benci kamu jika kamu terlalu banyak berbicara begitu begini, terlalu banyak bertanya serta membuang-buang harta tidak pada tempatnya."

Riwayat Bukhari

Huraian Hadith:

Dosa-dosa besar adalah perbuatan yang membolehkan seseorang itu tergolong di kalangan orang-orang yang menempah keburukan di akhirat nanti walhal di dunia pun balasan dosa akibat perbuatan tersebut tidak mustahil akan menimpa mereka.

Menderhakai ibu, bakhil dengan kelebihan nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T, membunuh anak sendiri, banyak bercakap perkara yang sia-sia, banyak bersoal jawab sebelum melakukan sesuatu perkara dan suka melakukan pembaziran merupakan perbuatan yang dilarang dan dibenci di dalam Islam.

Jika direnung akan keadaan umat sekarang, musibah-musibah yang datang menimpa tidak pernah berkesudahan.

Sama ada ia boleh dikategorikan sebagai cubaan Allah, bala atau malapetaka semuanya bergantung pada kedudukan sesebuah umat itu kerana Allah tidak pernah menzalimi manusia tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Jika kita lalai daripada mengingati dan mensyukuri nikmat Allah, segala sesuatu yang buruk akan sanggup kita lakukan kerana ia timbul hasil dorongan hawa nafsu.

Hilang sifat kasih sayang, kasihan belas apatah lagi sifat kebergantungan terhadap Yang Maha Kuasa. Timbullah sikap angkuh dan bongkak hingga sanggup menzalimi orang lain.

Tidak sedar akan balasan Allah yang bakal menimpa. Bahkan kita melakukan dosa dengan perasaan megah dan bangga. Itulah antara sebab-sebab yang mengundang kecelakaan.

Oleh itu sebagai hamba yang beriman janganlah kita melakukan perkara yang ditegah kerana setiap tegahan itu adalah untuk kebaikan diri kita sendiri agar hidup sentiasa berada di dalam keredhaan Ilahi.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Rabu, April 20, 2011

Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh, Perak


Pameran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 bertemakan "Pelaburan Untuk 1Malaysia" anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan diadakan seperti berikut:

Tarikh : 20 - 26 April 2011
Masa : 10.00 pagi - 10.00 malam
Tempat : Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh, Perak

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada hari Rabu, 20 April 2011, jam 4.00 petang. Manakala majlis penutupan akan disempurnakan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada hari Selasa, 26 April 2011, jam 10.00 pagi.

Semua yang berkelapangan adalah dijemput untuk mengunjungi Pameran MSAM ini.

Jawatan Kosong di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) - April 2011

JAWATAN
1. PEGAWAI PERGIGIAN U48
2. KURATOR S48
3. PEGAWAI PSIKOLOGI S48
4. PENOLONG PEGAWAI TEKNOLOGI MAKLUMAT F29
5. PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN U29
6. PENOLONG PEGAWAI SAINS C27
7. PENOLONG PEGAWAI KESELAMATAN KP27
8. PENOLONG PEGAWAI HAL EHWAL ISLAM S27
9. JURUTEKNIK KOMPUTER FT17
10. PEMBANTU AKAUNTAN W17
11. PENJAGA JENTERA ELEKTRIK R17
12. PEMBANTU MAKMAL C17
13. TUKANG K2 (MEKANIKAL) R11
14. ATENDAN KESIHATAN U3

IKLAN JAWATAN
http://bsm.upsi.edu.my/download/jawatan%20kosong/nonaka/syarat%20lantikan%20april%202011.pdf

Permohonan hendaklah dibuat secara online di: http://myjobs.upsi.edu.my/job/recruitment.jsp

Tarikh Tutup : 29 April 2011

Recent Posts