Ahad, Januari 02, 2011

Lelaki... awas 5 petunjuk ini!

Dalam masyarakat yang semakin obses dengan kesihatan, adalah mustahil untuk melepaskan diri daripada memperkatakan tentang kisah-kisah pahit dan manis berkaitan kesihatan. Daripada pandemik kepada simptom-simptom penyakit yang menggerunkan, berita-berita mengenai penyakit selalunya diiringi dengan elemen takut dan bimbang.

Hakikatnya penyakit tidak mengenal usia, bangsa, agama mahu pun jantina. Apa yang boleh dilakukan adalah mencegah dan kemudiannya jika tidak berkesan merawat. Bagi lelaki, kesihatan mungkin bukan topik yang digemari. Namun tidak bermakna soal kesihatan dipandang ringan.

Mungkin ada perkara-perkara kecil yang mesti diberi perhatian oleh kaum lelaki untuk menentukan sama anda boleh dikategorikan sebagai lelaki sihat.

Berikut lima tanda atau petunjuk taraf kesihatan lelaki.

1. Kuku yang kuat dan berwarna merah jambu.

Penjagaan kuku mungkin tidak tersenarai sebagai perkara penting dalam diari kesihatan kaum lelaki. Tetapi percayalah kuku boleh mendedahkan banyak mengenai kesihatan seseorang. Secara umumnya, kuku individu yang sihat berwarna merah jambu, kukuh tetapi lembut. Sedikit perubahan pada kuku seperti tompok putih dan permukaan yang sedikit tidak rata adalah perkara biasa, namun sebarang perubahan besar mesti diberi perhatian.

Kuku yang tebal dan berwarna kekuningan mungkin isyarat bagi penyakit berkaitan pernafasan seperti bronkitis yang kronik. Kesan lekuk melintangi kuku yang dikenali sebagai garisan Beau pula tidak mustahil membawa maksud individu berkenaan mengidap diabetes. Kuku yang berbentuk seperti sudu yang melengkung keluar mungkin menunjukkan masalah kekurangan zat besi. Biar pun perubahan pada kuku bukan isyarat atau petunjuk pertama kepada sesuatu penyakit, tetapi adalah lebih baik rujuk masalah tersebut kepada doktor anda.

2. Warna air kencing

Pernahkah anda terfikir untuk menjalani ujian air kencing untuk melihat sama ada anda sihat atau sebaliknya? Jika tidak, mungkin sudah tiba masanya untuk anda berbuat demikian kerana ujian air kencing boleh mendedahkan petunjuk-petunjuk penting tentang kesihatan anda. Air kencing sepatutnya berwarna keperangan untuk menunjukkan seseorang itu sihat. Bagaimanapun warna perang atau kuning pada air kencing boleh berbeza bergantung kepada jumlah air yang diminum. Jika anda minum air yang banyak maka kebiasaannya air kencing selalu kelihatan jernih dan secara perubatan ia menunjukkan anda sihat. Bagaimanapun jika anda mengalami dehidrasi, air kencing anda akan berwarna perang gelap. Selain faktor warna, sentiasa berwaspada jika terdapat sebarang perubahan besar. Bau kurang menyenangkan, tompokan darah atau warna-warna lain yang tidak berkaitan dengan makanan, ubat atau suplemen yang diambil mesti dipandang berat.

3. Pancutan air mani

Lelaki pertengahan umur yang sihat sepatutnya mempunyai keupayaan untuk memancutkan antara 2 dan 5 ml air mani. Semakin berusia seseorang lelaki itu semakin kurang air mani yang dipancutkan. Justeru 2 ml air mani adalah petunjuk hypospermia - keadaan yang boleh memberi kesan kepada kesuburan seseorang lelaki. (Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyokong kadar 2 ml). Selain daripada jumlah, warna serta konsistensi air mani juga menjadi petunjuk kepada kesihatan lelaki. Lelaki yang sihat sepatutnya mempunyai air mani yang pekat, berwarna putih atau sedikit kelabu. Air mani yang bercampur dengan darah mungkin ada kaitan dengan masalah kesihatan.

4. Kadar degupan jantung semasa berehat 70 bpm.

Kadar degupan jantung semasa berehat (RHR) atau jumlah degupan jantung seminit semasa berehat adalah indikator yang bagus untuk menentukan paras kecergasan anda. Walaupun RHR berbeza mengikut usia, bagi lelaki yang sihat jumlah RHR antara 70 dan 75 degupan seminit (bpm) adalah sasaran yang munasabah. Malah, RHR antara 60 and 100 bpm secara umumnya dianggap normal bagi lelaki dewasa. Kadar degupan jantung di luar catatan tersebut boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius dan boleh menjadi petunjuk kepada beberapa masalah kesihatan anda. Untuk mengukur denyut nadi, letakkan dua jari pada pergelangan tangan. Apabila merasa denyutan nadi, lihat jam dan kira denyutan selama 15 saat. Darab jumlah tersebut dengan empat untuk mendapat kadar denyutan anda seminit.

5. Kulit anjal

Ukuran keanjalan kulit biasa digunakan untuk menentukan paras dehidrasi. Cirit-birit atau muntah-muntah menyebabkan seseorang kehilangan cecair dalam badan. Kulit yang sihat kekal anjal dan akan kembali normal apabila masalah tersebut pulih. Untuk menguji keanjalan kulit anda, cubit kulit di belakang tangan anda. Kulit yang kering akan kekal terangkat dan secara perlahan kembali kepada kedudukan asal. Kulit yang sihat pula akan kembali normal dalam masa yang singkat.

Adakah anda lelaki yang sihat?

Semakin hari kita dibanjiri dengan pelbagai maklumat mengenai penyakit, tetapi jarang sekali kita disogokkan dengan makna sebenar menjadi sihat. Biar pun lima signal itu tidak lengkap namun memberi perhatian kepada petunjuk-petunjuk pada diri sendiri membantu anda mengenal pasti masalah yang mungkin anda hadapi.

- MINGGUAN MALAYSIA

Telan telur cacing untuk kurus


XIAMEN - Ramai mahasiswi di China sanggup menelan telur cacing gelang supaya mereka kelihatan langsing ketika sesi temuduga, lapor sebuah akhbar semalam.

Tindakan ekstrem itu dilakukan berikutan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan bagi golongan wanita di bandar raya ini, wilayah Fujian, tenggara China.

Telur-telur itu menetas di dalam perut dengan cacing-cacing gelang memakan zat makanan di dalam perut sekali gus menjadikan mereka kurus tanpa senaman atau diet.

Namun, pakar-pakar kesihatan memberi amaran cara tersebut boleh memudaratkan kesihatan.

Di China, wanita yang langsing memiliki lebih peluang untuk mendapatkan pekerjaan terutamanya di bandar-bandar besar di negara itu.

- Agensi

Teman wanita sasaran peminat


Tempias populariti penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat, turut melanda teman wanitanya, Aimie Harmelia Mohd Hashumi, apabila ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab membuat akaun Facebook mengutuk dirinya.

Tempias populariti penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat, turut melanda teman wanitanya, Aimie Harmelia Mohd Hashumi, apabila ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab membuat akaun Facebook mengutuk dirinya.

Bagaimanapun, lepasan pelajar diploma Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, Kelantan itu yang lebih mesra dengan panggilan Elie berkata, dia dan Khairul Fahmi sudah menduga perkara sebegini akan berlaku dan percaya ia tidak akan menjejaskan hubungan mereka.

“Saya tidak berapa terkejut sangat dengan tindakan mereka membuat akuan Facebook mengutuk diri saya kerana sejak awal lagi kami sudah bersedia dan menduga perkara sebegini akan berlaku. Lagipun kami tidak ada masa hendak melayan perkara begini.

“Saya tahu pun daripada rakan. Pada saya biarlah apa orang nak lakukan kerana kita tak boleh hendak sekat sebab tidak tahu siapa yang buat akaun itu. Lagipun benda ini tidak sedikit pun mencalarkan hubungan kami,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu.

Elie berkata, dia bersyukur kerana keluarga kedua-dua pihak memahami situasi yang berlaku dan sentiasa menyokong mereka berdua.

“Keluarga tidak ada masalah, begitu juga dengan Fahmi. Dia sentiasa menasihati saya supaya anggap ini sebagai ujian dalam hidup. Walaupun agak terkilan tapi perkara sudah terjadi tiada apa yang boleh kami lakukan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai laman blognya yang menjadi punca utama timbulnya perkara ini, Elie berkata blognya itu ibarat diari hidupnya dan sepanjang dia menulis di dalam blog, tidak pernah sekalipun dia menyakiti dan menyentuh sesiapa.

“Itu blog saya, tulisan saya, apa yang saya tulis adalah hasil nukilan hati saya... Ibarat diari hidup saya. Tak sangka pula ramai yang membaca blog itu dan menjadikan ia satu isu.

“Ada juga yang cuba mengaitkan Fahmi dengan beberapa artis wanita. Saya tidak cemburu atau risau sedikit pun. Saya kenal Fahmi sudah lama dan kami sudah kenal hati budi masing-masing.

“Sebelum Fahmi menjadi pemain utama kebangsaan lagi kami sudah kenal. Saya yakin dia tidak akan begitu dan mustahil perkara ini akan terjadi,” katanya.

Sementara itu, Khairul Fahmi sendiri menyatakan sudah menjadi lumrah dalam perhubungan diuji dengan pelbagai rintangan dan ini sedikit sebanyak dapat dijadikan ingatan kepada mereka.

“Biarlah apa orang nak lakukan dan cakap mengenai kami. Kami tidak ambil pusing kerana kami yang tahu dan kenal hati budi masing-masing.

“Kita tidak boleh nak tutup dan halang kehendak orang, dan yang terbaik kita teruskan kehidupan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

- BERITA HARIAN

Soal Jawab: Kaedah rundingan di mahkamah jimat masa, kos

Baru-baru ini, Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mengumumkan kaedah ‘plea bargaining’ atau rundingan bagi pengakuan bersalah untuk kurangkan pertuduhan dan hukuman terhadap tertuduh sesuatu kesalahan jenayah akan dilaksanakan di mahkamah Malaysia tidak lama lagi, namun masih ramai tidak tahu apa sebenarnya kaedah itu serta natijahnya. Wartawan Edisi Mingguan, ROHANIZA IDRIS dan MOHD AZIS NGAH bertemu bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salehuddin Saidin dan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan untuk mengulas perkembangan terbaru ini.

Apa sebenarnya kaedah rundingan pengakuan bersalah ini.

Ia bertujuan memudahkan perbicaraan kes jenayah ringan, bukan kes bunuh atau Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. Prinsipnya apabila seseorang mengaku salah, mahkamah tak perlu buang masa bicara, sebaliknya terus jatuhkan hukuman. Ia jimatkan masa mahkamah dan mengurangkan beban kos ditanggung rakyat. Lebih 90 peratus kes dibicarakan mahkamah jenayah adalah kes ringan misalnya maki hamun atau curi. Kalau kes berat, sudah tentu pendakwa tak akan setuju.

Sebelum pindaan ini, kaedah sama ada diguna pakai di mahkamah, tetapi disebabkan tidak dibuat secara rasmi mengikut undang-undang, hakim kadang-kadang tak bersetuju dengan cadangan itu. Kadang-kala pendakwa tak mahu bekerjasama bagi mengelak salah tanggapan misalnya dituduh berat sebelah atau menerima rasuah kerana membenarkan tawaran. Bagi mengelakkan salah tanggapan itu, mereka tidak bersetuju guna pendekatan tawaran. Ada mahkamah berikan syarat tertuduh boleh buat akuan tetapi keputusan penuh masih di tangan hakim, maknanya tiada jaminan tempoh hukuman. Walaupun pendakwa raya bersetuju pinda tuduhan bunuh kepada bunuh tanpa niat, mahkamah boleh benarkan pengakuan tetapi hakim tegaskan hukuman akan ditentukan kemudian. Jadi, sebagai peguam bela dan tertuduh, mereka tidak pasti berapa tahun akan dipenjarakan kerana hukuman bunuh boleh penjara enam bulan hinggalah 20 tahun.

Tertuduh akan takut nak buat permohonan pengakuan dan peguam bela tak akan nasihatkan anak guam mereka terima kerana tiada jaminan keputusan hukuman akan lebih ringan walaupun hakim bersetuju dengan pengakuan. Melalui pindaan ini, apabila tertuduh mengaku bersalah, pendakwa raya boleh pinda tuduhan. Misalnya kes pergaduhan menyebabkan kematian, mereka akan didakwa atas tuduhan bunuh tetapi pendakwa raya boleh pinda tuduhan kepada bunuh tanpa niat kerana hukuman berbeza, iaitu antara enam bulan hingga 20 tahun. Melalui pindaan kanun acara jenayah, hukuman maksimum ialah 10 tahun, jadi orang yang mengaku bersalah boleh terima hukuman itu, bergantung kepada mereka untuk terima atau tidak. Mereka perlu fikirkan nak teruskan perbicaraan yang memungkinkan mereka dibebaskan atau akan didapati bersalah hingga dipenjara 20 tahun atau menerima pengakuan dengan maksimum hukuman 10 tahun.

Bagaimana kesan kaedah ini kepada tempoh penyelesaian kes pendakwaan.
Sebelum pindaan, perbicaraan kadang-kadang ambil masa tiga hingga lima tahun. Orang kena tuduh yang direman akan berada dipenjara, jika diikat jamin mereka boleh bebas sementara. Ada kes direman sehingga enam tahun. Sepanjang tempoh itu, saksi perlu hadir setiap kali perbicaraan dan membabitkan kos ditanggung kerajaan. Saya ingin tegaskan bahawa ini bukan kaedah untuk melepaskan orang bersalah. Kaedah ini cuma babitkan kes kecil di mana pendakwa raya menimbang keterangan mengurangkan pendakwaan tetapi hak mutlak bergantung kepada mereka. Keduanya, saya percaya pendakwa raya akan turunkan dakwaan sewenang-wenangnya. Contoh kes, seseorang didakwa mencuri secara kekerasan menggunakan pisau, mengaku bersalah mencuri tetapi memohon kepada pendakwa raya bahawa dia cuma cucuk pen pada mangsa untuk menakutkannya. Jadi, tertuduh merayu supaya pendakwaan dikurangkan kepada kes curi tanpa senjata.

Sejauh mana pula kesannya kepada usaha mengurangkan kes tertunggak dan kos serta menjimatkan masa mahkamah.

Mengikut anggaran Majlis Peguam, kaedah itu mampu selesaikan 20 hingga 30 kes ringan tertunggak. Contohnya tuduhan membunuh dengan memandu secara berbahaya. Peguam Negara akan tentukan kepentingan awam diutamakan, jadi tidak timbul isu kaedah ini bertujuan nak bebaskan orang bersalah atau nak menggalakkan jenayah. Rayuan itu hanya dibenarkan kepada pesalah pertama saja. Kesalahan kedua atau lebih tidak layak membuat permohonan. Ia memang terhad dan jika kes bunuh tanpa niat dikurangkan, pesalah tetap dipenjara 10 tahun, bukan dibebaskan. Kaedah ini layak diguna pakai untuk semua kes Kanun Acara Jenayah termasuk juvana, imigresen, alam sekitar, cetak rompak, tidak termasuk kes sivil seperti saman malu. Dari segi kos, ia mengurangkan beban rakyat misalnya kos saksi yang berulang alik ke mahkamah. Semua kos itu ditanggung kerajaan kerana saksi dalam senarai pendakwa raya perlu dibayar dan tempoh bersidang juga perlu diambil kira sebagai kos.

Jika perbicaraan dipendekkan atau langsung tiada, tidakkah ia menjejaskan pendapatan peguam.

Jika dilihat berdasarkan kepentingan peguam, mungkin sedikit menjejaskan pendapatan mereka tetapi Majlis Peguam lebih melihat kepada kepentingan awam, kepentingan sistem keadilan jenayah. Itu satu perkara yang kita boleh terima dan anggap sebagai keperluan serta perkembangan yang mesti ada dan diamalkan.

Dari segi pendapatan, ia terlalu kecil berbanding perkembangan dan sistem keadilan kes. Hak peguam, hak ikat jamin, hak dapatkan bicara yang adil, itu juga diambil kira dan semuanya penting. Kadang-kadang tertuduh memang bersalah berdasarkan fakta dan bukti, tetapi tidaklah boleh dianggap dia bersalah hingga langsung tak boleh diturunkan (hukuman) jika dia mengaku salah. Apa akan jadi jika dia didapati tak bersalah sedangkan kita habiskan masa beberapa tahun dan panggil berpuluh saksi. Kos sudah dibayar sepanjang perbicaraan dan akhirnya tertuduh menang dan bebas, tidakkah ia membuang masa, sedangkan pendakwa raya boleh fokus kepada kes berat, misalnya kes yang boleh menimbulkan ancaman kepada masyarakat. Kita boleh selesaikan kes dalam tempoh dua atau tiga bulan, berbanding lima tahun. Bila dakwaan diturun, mereka tetap dihukum, cuma lebih ringan.

Bagaimana mahu memastikan kaedah ini nanti berjalan lancar dan tidak mengundang persepsi negatif rakyat.

Keputusan membenarkan rayuan adalah hak mutlak pendakwa raya, peguam cuma mengkaji kes dan fakta sebelum buat permohonan, pembentangan dan bincang dengan pendakwa raya. Itu konsep yang kita amalkan. Sebelum pindaan dibuat, banyak perbincangan membabitkan pejabat Peguam Negara, Majlis Peguam dan badan kehakiman untuk tentukan satu cara dengan ambil kira konsep boleh diambil pakai. Ini satu pindaan teliti kerana babit kajian dan perbincangan selama setahun. Jika masyarakat menganggap kaedah ini boleh galakkan orang buat jenayah, ia salah. Kenapa kita perlu jaga hak orang kena tuduh hingga bagi diskaun hukuman. Sebenarnya persepsi itu tak tepat kerana kaedah ini cuma babit kes kecil. Kes ragut juga tak layak kerana babitkan kepentingan awam. Di luar bandar, misalnya kes curi kambing, curi kasut, kes juvana, boleh ditolak ansur bertujuan kurangkan beban dan bagi peluang kedua kepada tertuduh kesalahan pertama. Bagi kes direman, mereka masih berpeluang gunakan hak ini mulai tahun depan.

- BERITA HARIAN

Terminal Bersepadu Selatan - Stesen baru ke selatan

Dihubungkan melalui Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya), Lebuh raya Seremban di selatan serta Jalan Lingkaran Tengah II (MRRII) di bahagian Timur, ternyata kedudukan Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) amat strategik.

Pengguna yang ingin mengggunakan terminal tersebut untuk pelbagai urusan termasuk balik kampung atau menjemput sanak-saudara serta sahabat-handai juga tidak perlu merentasi kesesakan jalan raya sebagaimana pengalaman menggunakan Hentian Puduraya.

Lebih menarik lagi, TBS-BTS bakal mempertemukan tiga perkhidmatan pengangkutan awam iaitu transit aliran ringan (LRT), Express Rail Links (ERL) dan komuter. Di situ segala-gala bersatu - pengguna mempunyai banyak pilihan untuk ke TBS-BTS tanpa perlu memikirkan soal kesesakan jalan raya.

Begitu juga bagi pengguna yang tiba di terminal tersebut mempunyai banyak pilihan untuk meneruskan langkah sama ada menggunakan bas, teksi, LRT, ERL dan komuter. Namakan apa saja pengangkutan yang mahu digunakan, semuanya tersedia di TBS-BTS.

Jika mahu memandu kenderaan sendiri, anda tidak perlu risau tentang tempat letak kereta kerana sebanyak 1,000 ruang parkir kereta disediakan di situ.

Bagi wanita, jika Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengorak langkah menyediakan koc khas wanita, di TBS-BTS keistimewaan untuk kaum Hawa juga disediakan. Parkir khas untuk wanita pasti menjanjikan keselesaan serta jaminan keselamatan kepada kaum wanita terutama yang memandu ke situ lewat malam.

Terminal enam tingkat itu dilengkapi 55 platform bas untuk 1,000 bas keluar masuk, 150 ruang bagi teksi termasuk untuk perjalanan jauh dan 1,800 tempat duduk dalam terminal yang dilengkapi pendingin hawa.

Semestinya segala kemudahan itu bagi membolehkan TBS-BTS berfungsi sebagai hab bagi semua perkhidmatan bas ekspres ke selatan yang mampu menampung 45,000 pengguna sehari.

Faktor lokasi dan jauh dari kesesakan menjadikan TBS-BTS sebagai satu lagi bukti komitmen kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur bagi keselesaan rakyat melaksanakan pelbagai urusan.

Untuk bergerak ke zon selatan menggunakan perkhidmatan bas kini bukan lagi satu masalah lantaran terminal yang mula dibina dua tahun lalu dengan kos RM570 juta itu menyediakan segala-galanya di bawah satu bumbung.

Kecanggihan terminal yang dikendalikan Maju Terminal Management and Services (TMAS) itu akan menyaksikan pelbagai kemudahan lain yang tidak terdapat di hentian bas terdahulu, ada di TBS-BTS.

Sebagai usaha memulihara alam sekitar, landskap TBS-BTS akan dihijaukan dengan penanaman 10,000 tumbuh-tumbuhan. Lebih menarik lagi Sistem Hampagas Berpusat akan digunakan di situ bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa terpelihara.

Dibina di kawasan seluas 19.6 hektar, terdapat kaunter khidmat pelanggan yang beroperasi 24 jam dan kemudahan pembelian dan penempahan tiket secara online 'e-ticketing' melalui www.tbsbts.com.my.

Tiket

Penjualan tiket menggunakan skrin disediakan di hadapan kaunter dan terdapat mikrofon di dalam kaunter supaya penumpang dapat mendengar dengan jelas maklumat yang disampaikan pihak pengurusan.

Selain 19 kaunter tiket yang disediakan, penumpang yang tidak mahu menunggu lama atau beratur panjang untuk membeli tiket, terdapat juga enam mesin kiosk untuk membeli tiket secara tunai atau 'touch n go'.

Pasti selepas ini tidak akan timbul lagi masalah ulat tiket yang berkeliaran mencari mangsa berikutan pelbagai kemudahan untuk membeli tiket yang turut ditawarkan secara dalam talian tanpa memerlukan pengguna datang ke kaunter. Kemudahan canggih dan moden itu sekali gus mengurangkan kadar jenayah di terminal bas yang sebelum ini menjadi destinasi tumpuan ulat tiket, penyeluk saku dan penipu mengaut keuntungan.

Selain itu, sistem siaran informasi pengunjung (PIDS) seperti jadual pelepasan bas disediakan di setiap tingkat manakala balai ketibaan dan pelepasan di tingkat bawah dikhususkan untuk penumpang sahaja.

Restoran dan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) juga disediakan selain bilik rehat VIP, surau, tandas, tempat menukar lampin bayi serta perkhidmatan WiFi.

Kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) turut menjadi keutamaan termasuk lantai penunjuk arah, kaunter perkhidmatan dan tiket yang direndahkan, tandas, lif, laluan jalan istimewa serta petak letak kereta khas untuk mereka.

Seruan kerajaan supaya rakyat negara ini menggunakan pengangkutan awam semestinya disahut oleh para pengguna yang mahu merasai sendiri kecanggihan TBS dan melihat sejauh mana ia dapat memenuhi keperluan mereka.

Yang pasti, beroperasinya TBS-BTS umpama serampang dua mata - memudahkan pergerakan ke selatan dan pada masa yang sama mengurangkan kesesakan lalu-lintas di ibu kota yang kini semakin merimaskan.

Siapnya TBS-BTS mengajak warga kota mengintai pula apa progres Terminal Bersepadu Timur di Gombak yang dijangka siap tahun ini bagi menguruskan perjalanan bas ke pantai timur.

TBT Gombak juga menyediakan infrastruktur mencukupi bagi memastikan kelancaran lalu lintas, dengan penyediaan 300 tempat letak kereta, kemudahan ‘Park n Ride’, 124 unit ‘bus bay’, 60 tempat letak teksi dan integrasi bersepadu dengan perkhidmatan rel seperti LRT.

Pembangunan TBT Gombak dilaksanakan di kawasan seluas 13.2 hektar dijangka siap secara berperingkat dengan Fasa 1A mula beroperasi selewat-lewatnya suku ketiga 2011.

Bas-bas ke utara pula akan terus beroperasi di Hentian Sementara Bukit Jalil dan Hentian Duta. Cadangan pembinaan Terminal Bersepadu Utara di Sungai Buloh yang akan disepadukan dengan aliran baru MRT. Bagaimanapun TBU dijangka mengambil masa empat atau lima tahun lagi untuk disiapkan.

- MINGGUAN MALAYSIA

Azam 2011: Sihat mental, fizikal

Apa azam 2011 anda? Kewangan yang stabil, kerjaya lebih kukuh atau tukar kereta baru? Apa sahaja yang anda idamkan, tolong pastikan yang satu ini tidak disisihkan - kesihatan.

Semua pasti setuju jika dikatakan tidak ada guna kemewahan dan harta benda jika tubuh badan menderita sakit. Kesihatan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Walaupun tubuh badan yang sihat belum tentu menjamin kebahagiaan tetapi tanpa penyakit sekurang-kurangnya kita mampu berusaha mencapai hidup yang lebih selesa.

Merujuk tafsiran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan bermaksud bebas daripada sebarang penyakit dari segi fizikal, mental dan sosial.

Perlu diingat, sejajar dengan kemajuan sesebuah negara, penyakit berkaitan mental dan sosial juga mula menular di samping dalam masa yang sama penyakit melibatkan fizikal belum mampu dibendung sepenuhnya.

Menurut perangkaan WHO, pada 2009, sebanyak 450 juta orang di seluruh dunia mengalami gangguan mental tertentu seperti kemurungan, skizofrenia dan gangguan bipolar tetapi kurang separuh daripada mereka menerima rawatan yang diperlukan.

Pertubuhan itu turut menganggarkan menjelang 2020, penyakit mental kemungkinan mewakili 15 peratus daripada penyakit global.

Menyingkap diari kesihatan sepanjang tahun lalu, penyakit berpunca daripada gaya hidup masih menjadi antara beban yang menghantui kebanyakan rakyat Malaysia.

Diabetes, tekanan darah tinggi, strok, paras kolestrol tinggi, obesiti, kegagalan buah pinggang, jantung, kanser dan sebagainya adalah penyakit yang sangat berkait rapat dengan gaya hidup.

Mungkin tahun baru ini waktu yang sesuai untuk mengubah segalanya. Jalani gaya hidup yang lebih sihat, jaga pemakanan, jangan lupa bersenam, lakukan pemeriksaan saringan berskala, jauhi rokok dan arak - itu antara kunci kesihatan secara am.

Kesedaran awal dalam menangani setiap penyakit harus ada dalam setiap diri individu. Sikap menangguhkan rawatan dan menunggu sehingga penyakit menunjukkan tanda-tanda serius harus dibuang.

“Kurang manis ya!”

Jadikan 2011 sebagai permulaan untuk peristiwa yang manis dan bukan dihinggapi penyakit yang berpunca daripada makanan manis.

Berdasarkan Kajian Pengambilan Makanan di Kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, pengambilan gula yang ditambah dalam minuman ialah sebanyak tujuh sudu teh sehari (51g) iaitu empat sudu teh (21g) gula pasir dan tiga sudu teh (30g) susu pekat manis.

Berdasarkan jumlah penduduk seramai 28.31 juta pada tahun 2009 dan pengedaran gula domestik sebanyak 806,381.88 metrik tan, pengambilan gula per kapita sehari pada tahun 2009 adalah 78 gram atau 16 sudu teh sehari atau 16 peratus daripada keperluan tenaga sehari bagi orang dewasa.

Jika dicampurkan gula domestik dan gula industri iaitu 1,281,183.04 metrik tan pada tahun 2009, pengambilan gula per kapita sehari adalah 124 gram atau 25 sudu teh sehari atau 25 peratus daripada keperluan tenaga sehari bagi orang dewasa.

Pengambilan gula yang berlebihan boleh mengakibatkan pengambilan tenaga yang berlebihan. Ini boleh mengundang peningkatan berat badan dan menyebabkan obesiti.

Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya diet harian adalah tinggi lemak dan kurangnya aktiviti fizikal yang dilakukan.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey, NHMS) III, 2006 mendapati 29.1 peratus orang dewasa di Malaysia berlebihan berat badan 14 peratus pula obes. Ini telah menunjukkan peningkatan berbanding NHMS II, 1996 iaitu masing-masing 16 peratus (berlebihan berat badan) dan 4 peratus (obes).

Prevalens pesakit diabetes dalam kalangan penduduk yang berumur lebih daripada 30 tahun juga telah meningkat daripada 6.3 peratus pada tahun 1996 (NHMS II) kepada 14.9 peratus pada tahun 2006 (NHMS III).

Penyakit kebal

Tahun 2010 tetap menyaksikan penyakit-penyakit kebal seperti demam denggi terus meragut nyawa dan seakan tiada kesudahannya.

Biar pun pelbagai langkah telah dilakukan, tidak kurang juga dengan program kesedaran namun penyelesaiannya masih samar. Kematian demi kematian terus dicatatkan. Malah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai pernah mengaku ‘kalah’ berperang dengan penyakit yang berpunca daripada haiwan kerdil itu.

Menurut kenyataan akhbar terbaru yang dikeluarkan pihak itu, secara keseluruhannya, jumlah kes terkumpul demam denggi dari bulan Januari hingga 4 Disember lalu adalah sebanyak 44,143, iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus atau 6,081 kes berbanding dengan 38,062 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun 2009.

Bagaimanapun, angkanya menunjukkan sedikit penurunan sejak beberapa minggu kebelakangan ini iaitu bagi tempoh 28 November hingga 4 Disember lalu, sejumlah 600 kes demam denggi dengan dua kematian telah dilaporkan. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 29 kes atau lima peratus berbanding 629 kes pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes mingguan pada tahun lalu juga menurun sebanyak 184 kes berbanding jumlah kes yang dilaporkan pada minggu sama tahun 2009 iaitu 784 kes. Walaubagaimanapun terdapat enam buah negeri menunjukkan peningkatan kes pada minggu lepas berbanding minggu sebelumnya iaitu Kelantan (meningkat 16 kes), Sarawak (sembilan kes), Kedah dan Selangor masing-masing (lapan kes), Perak (tiga kes) manakala Terengganu meningkat sebanyak satu kes.

Kes kematian akibat denggi juga meningkat sebanyak 65 peratus atau 51 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 130 kematian berbanding 79 dalam tempoh yang sama pada tahun 2009.

Satu lagi penyakit bawaan nyamuk iaitu Chikungunya juga masih mencatatkan kes namun terdapat sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, sebanyak 803 kes dicatatkan, menurun sebanyak 84 peratus atau 4,241 kes berbanding dengan 5,044 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2009.

Bagi tempoh 28 November hingga 4 Disember lalu sahaja, terdapat enam kes dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak empat kes berbanding dua kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama minggu sebelumnya.

Dalam berbicara mengenai penyakit yang ‘berkembang’ dalam persekitaran moden, penyakit kuno seperti tibi pula jangan dilupakan. Penyakit yang mula dikesan sejak zaman Firaun itu seakan kebal merentasi zaman.

Merujuk perangkaan, angka jangkitan terus meningkat tahun 2009 dengan 17,496 kes baru direkodkan. Bagi tahun 2008 pula, sebanyak 17,506 kes baru didaftarkan. Daripada angka ini, 10,441 disahkan dijangkiti kuman tibi dengan 2207 kes melibatkan pendatang asing.

Pada 2007, kes tibi yang dicatatkan sebanyak 16,917 iaitu pecahan sebanyak 62.3 kes bagi 100,000 penduduk.

Secara keseluruhan kes tibi di Malaysia menunjukkan sedikit kemajuan daripada 25 tahun lepas iaitu 68 kes bagi setiap 100,000 penduduk bagi tahun 1985.

Pengamal perubatan tidak menolak dakwaan bahawa penyebaran kuman tibi di negara ini turut disumbang oleh kebanjiran pendatang asing ke negara ini.

Saringan yang tidak ketat, apatah lagi melibatkan pendatang asing tanpa izin (Pati) menyebabkan kuman tibi merebak secara senyap tanpa disedar.

menasihatkan semua pihak agar mengambil langkah untuk mengelak penyakit ini dengan melakukan pemeriksaan kesihatan dengan kerap.

Selain itu, penyakit bawaan bakteria seperti leptospirosis terus menjadi antara penyebab kematian.

Beberapa kes melibatkan virus leptospira yang dibawa oleh kencing tikus itu dikesan di beberapa negeri, antaranya Kedah, Perlis, Perak dan Pahang.

Walaupun angkanya tidak tinggi, namun kesedaran tentang bahaya penyakit itu harus ada dalam setiap diri individu.

Penyakit pandemik

Pernah mencetuskan kerisauan seluruh negara, Influenza A (H1N1) sehingga kini masih memburu mangsanya walaupun tidak serius seperti dulu.

Kempen kesedaran yang dijalankan nampaknya menunjukkan hasilnya, biar pun masih belum berjaya sepenuhnya.

Setiap individu harus mengetahui perbezaan antara selesema biasa atau H1N1.

Langkah-langkah awal menangani penularan wabak dilihat faktor paling utama menghalang ia daripada terus berkembang.

- MINGGUAN MALAYSIA

Nikon D7000


Pengeluar kamera Nikon memperkenalkan kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) model terbaru, Nikon D7000 untuk peminat fotografi amatur yang mementingkan kualiti dan mahu menghasilkan gambar bermutu setanding jurugambar profesional.

Dengan D7000 penggemar fotografi dapat memanfaatkan keseluruhan aplikasi yang mirip kepada kamera profesional.

Kamera yang dijana dengan enjin EXPEED 2 ini mampu menghasilkan imej dalam definasi tinggi (HD) dengan 16 mega pixel.

Ia dihasilkan di dalam format DX sensor imej dengan keupayaan merakam enam gambar sesaat (6fps).

Pengurus Pusat Servis Nikon, Mahfooz NR berkata, Nikon D7000 dicipta dengan keperluan ISO 100 hingga ISO 12,800.

Ia amat sesuai untuk pengambaran dalam cahaya suram tanpa menggunakan sebarang lampu denyar (flash) manakala gambar yang dihasilkan dengan ISO paling tinggi tidak mengeluar bintik kasar seperti yang dibayangkan.

Dengan Nikon D7000, jurugambar kini tidak perlu pening kepala untuk menghasilkan pelbagai gambar baik gambar biasa, peristiwa, sukan ataupun gambar studio kerana aplikasi yang disediakan mudah difahami.

Secara langsung seseorang jurugambar dengan cepat dapat menguasai kamera tersebut ketika melakukan pengambaran

Dengan ini jurugambar biasa sudah tentu dapat menghasilkan gambar yang baik dalam apa jua keadaan seperti mana jurugambar profesional menjalankan tugasan mereka.

Kamera ini juga dilengkapi dengan dua ruang kad memori SDHC dan SDXC untuk rakaman yang banyak selain rakaman video dalam format HD penuh (full HD).

Selain prestasi tingginya, harga yang ditawarkan amat berpatutan bagi peminat fotografi iaitu RM4,998 termasuk sebuah lensa AF-S DX Nikkor 18-105mm f/3.5-5.6G ED VR.

- UTUSAN

Penghuni Syurga Ialah Sebaik-baik Muslim

Hadith :
Dari Abdullah, katanya:” Bersabda Rasulullah s.a.w. kepada kami:” Tidakkah kamu gembira bahawa seperempat dari penghuni syurga itu dari kamu?” Kata Abdullah kami pun segera mohon ditambah. Kemudian berkata pula beliau:” Tidakkah kamu gembira bahawa sepertiga penghuni syurga itu dari kamu?” kata Abdullah, kami pun mohon diperbanyakkan lagi. Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata:” Sesungguhnya saya mengharap bahawa seperdua) dari penghuni syurga itu dari kamu. Dan ketahuilah! Bahawa bandingan jumlah kaum Muslimin dengan kaum kafir itu, laksana sehelai bulu putih ditubuh sapi hitam atau sehelai bulu hitam di tubuh sapi putih.”
(Muslim)

Huraian
Umat Islam seharusnya bersyukur kerana dikurniakan hidayah dalam mememuk agama yang benar dan diredhai Allah SWT. Namun fenomena hari ini memperlihatkan kepada kita bahawa tidak semua yang menganut Islam itu benar-benar menghayati ajaran agamanya bahkan ada juga yang memilih agama lain (murtad). Betapa mudahnya iman mereka tergoyah dek kerana godaan dan hasutan duniawi. Oleh itu benarlah seperti sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam itu ramai namun nilaian mereka hanyalah seperti buih-buih di lautan yang tidak mendatangkan apa-apa kesan. Mereka mudah dipermain-mainkan oleh pihak musuh bahkan mereka sendiri bertelagah di antara satu sama lain. Justeru meskipun peluang untuk kita menghuni syurga Allah amat besar namun peluang tersebut tidak direbut oleh semua orang. Ramai yang berebut mengejar nikmat dunia yang sedikit ini berbanding dengan nikmat akhirat yang jauh lebih besar. Kesesatan manusia hari ini tidak mustahil membuatkan iman mereka semakin kurang yang akhirnya cara hidup mereka seolah-olah tiada bezanya lagi dengan orang yang kafir.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sabtu, Januari 01, 2011

Ain Maisarah - Novelis idola


Bilangan peminat setianya di laman Facebook saja hampir mencecah 40,000 orang manakala pengikut blognya pula kira-kira 25,000 orang. Bukan calang-calang orang mampu mengumpulkan pengaruh seramai itu jika mereka bukan bergelar ahli politik, artis hiburan atau blogger popular. Namun, inilah pencapaian novelis wanita popular, Ain Maisarah Daliman, 29.

Sejak tahun pertama menyertai arena penulisan kira-kira tiga tahun lalu, kehadiran Ain Maisarah sudah memberi impak. Mungkin disebabkan konsep karya penulisannya berbeza dengan karya sedia ada. Gaya penulisan bersahaja dengan tema cerita yang dekat dengan jiwa remaja masa kini membuatkan novel pertamanya berjudul ‘Aku Mahu Popular’ mendapat sambutan luar biasa sehingga diulang cetak sembilan kali.

Naskhah berkisar kehidupan remaja di Sekolah Sri Bangsar yang mahu popular seperti kumpulan pelajar perempuan paling masyhur di sekolah itu menarik perhatian pembaca muda yang terus setia mengikuti perkembangan cerita yang diterbitkan dalam siri Aku Mahu, antaranya Aku Mahu Saiz S, Aku Mahu Teman Tapi Mesra, Aku Mahu Buli, Aku Mahu Ke New York dan sebagainya.

Hebatnya penangan Ain Maisarah sehinggakan 18 novel tulisannya (baik secara solo dan kolaborasi) sudah dipasarkan dengan hasil jualan difahamkan setakat ini sudah mencecah kira-kira RM5 juta!

Ketika menyelami isi hati penulis muda ini, Ain Maisarah mengakui kerjaya penulis sepenuh bukanlah cita-cita asal, sebaliknya pendidik yang menjadi pilihan. Malah, graduan Ijazah Sarjana Muda TESL (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) Universiti Darul Iman itu berkata, semuanya bermula apabila berpeluang menulis cerpen bagi isi kandungan langganan telefon bimbit sebuah syarikat telekomunikasi tempatan sewaktu di tahun akhir pengajian.

Bayaran agak lumayan bagi cerpen 14 muka surat dan muat turun yang boleh dikatakan tinggi daripada pengguna talian komunikasi berkenaan, sedikit sebanyak membuka minatnya bergiat lebih serius sebagai novelis.

Walaupun menerima pengiktirafan pelajar terbaik TESL, Ain Maisarah tidak meneruskan cita-cita asal enjadi pendidik sebaliknya mengambil keputusan bergelar novelis sepenuh masa. Pilihannya atas dorongan suami yang juga pengurus kerjayanya, Syaizul Amal Zulkaffli, 33, yang melihat potensi Ain Maisarah untuk diketengahkan sebagai novelis berpengaruh.

“Saya membuat perjanjian persefahaman dengan suami, kalau percubaan saya dalam bidang penulisan novel tidak menampakkan hasil, saya akan kembali kepada kerjaya sebagai pendidik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sudah tertulis rezeki Ain Maisarah dalam bidang penulisan dan usahanya menampakkan hasil apabila tiga novel pertamanya menerima royalti mencecah RM80,000.

“Saya fikir, mengapa tidak saya teruskan saja kerjaya yang fleksibel ini, menulis dari rumah dan menerima anggaran pendapatan seperti pengurus,” katanya.

Kejayaan dalam tempoh singkat dikecapi Ain Maisarah bukan sekadar bersandarkan kisah novel tulisannya itu tetapi strategi perniagaan dan prinsip diamalkan bersama suami yang sebegitu serius dalam kerjaya sebagai novelis.

Mereka menganggap bidang penulisan ini sebagai suatu perniagaan dan produk utamanya adalah novel yang seharusnya dipasarkan secara serius dan berterusan. Malah nama Ain Maisarah itu turut dijadikan suatu jenama dan mereka giat membuat inovasi, memperkembangkan variasi produk, meluaskan pasaran dan memanfaatkan pelbagai platform bagi tujuan promosi.

Buktinya, daripada hanya novel remaja, Ain Maisarah berjaya mewujudkan komuniti remaja secara online yang aktif. Sekolah ciptaannya seperti dalam siri Aku Mahu iaitu Sekolah Sri Bangsar (SSB) ditubuhkan secara online sudah pun menerima pendaftaran kira-kira lebih 20,000 ‘pelajar’ yang menjadikan laman web ini sebagai ruang berinteraksi, sama ada berbincang mengenai cerita novel Ain Maisarah ataupun berbual dan bertukar pandangan mengenai isu berkaitan kehidupan masing-masing sebagai remaja. Peminat juga boleh mendapatkan cenderahati seperti pin lencana, buku tulis, rantai kunci dan buletin SSB.

Kemesraan hubungan Ain Maisarah dan peminatnya ibarat satu jambatan yang merancakkan lagi popularitinya. Selain berinteraksi secara aktif menerusi laman Facebook Ain Maisarah Novelis dan blog ainmaisarah.blogspot.com, beliau juga rajin menemui peminatnya di pesta atau pameran buku serta di sekolah.

“Saya menjelajah dari sekolah ke sekolah untuk bersua lebih dekat dengan pembaca dan pelajar lain. Ia bukan sekadar strategi pemasaran dan promosi, tetapi memberi peluang mendekati peminat.

“Tahun lalu saja, saya mengunjungi 53 buah sekolah, bercerita mengenai kerjaya Ain Maisarah kepada pelajar di perhimpunan serta memberi bengkel penulisan secara percuma kepada mereka,” katanya.

Bagi memperluaskan sasaran pembaca kepada kumpulan yang lebih dewasa, Ain Maisarah tampil dengan idea menerbitkan siri Impiana yang menampilkan kehidupan beberapa karakter remaja dalam siri Aku Mahu apabila mereka dewasa, menempuh alam percintaan, mencari pasangan hidup serta menjalani alam rumah tangga.

Idam jutawan muda

“SAYA mahu buktikan kepada masyarakat kerjaya sebagai penulis juga mampu memberi pendapatan lumayan dan mampu bergelar jutawan seperti mana penulis tersohor di luar negara.”

Ringkas tapi mendalam kata-kata diluahkan Ain Maisarah bagi menunjukkan betapa beliau memandang serius kerjaya pilihannya itu. Usahanya turut dipermudahkan hasil bantuan lapan orang penulis bersama dan akan menambah lagi enam lagi penulis mulai tahun ini. Mereka diberi gaji bulanan dan juga perkongsian royalti.

Isteri muda ini juga mengakui kepentingan kerjasama pihak penerbit, PTS Publications & Distributors Sdn Bhd serta barisan pembaca dan peminat setianya yang turut melengkapi kejayaannya.

Namun, paksi kejayaannya, kata Ain Maisarah, hasil gabungan dengan suami tercinta, Syaizul Amal Zulkaffli, melakar idea dan mencuba pendekatan sama penulis berpengaruh yang sudah membina empayar dalam dunia penulisan.

“Saya bertuah kerana mampu bekerja sama dengan suami. Jadi tidak timbul soal tidak aman yang diakibatkan hal kerja. Malah, beliau yang banyak memberi galakan dan memberi sedikit kelonggaran kepada saya untuk kerja rumah tangga.

“Setakat ini, ketika masih belum mempunyai cahaya mata lagi, dapatlah saya bekerja begini. Namun bila ada anak nanti, terpaksalah saya membahagikan waktu dengan sebaik-baiknya,” akhiri Ain Maisarah.

Bagi Syaizul Amal, beliau sudah lama melihat potensi bakat menulis isterinya yang dikahwini sejak tiga tahun lalu.

“Bakatnya ada potensi untuk diperluaskan. Saya berkongsi idea dengannya mengenai hala tuju kerjaya ini dan cara memanfaatkannya menerusi pelbagai saluran berkaitan,” kata usahawan yang berpengalaman luas dalam bidang pemasaran dan perniagaan.

- BERITA HARIAN

Pelakon Faizal Yusup Meninggal Dunia



KUALA LUMPUR: Pelakon Mohd Faizal Yusup, 33, meninggal dunia di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) di sini, Sabtu, kira-kira pukul 1.45 petang akibat serangan jantung.

Menurut abangnya, Shaiful Yusup, 35, Allahyarham rebah ketika berada di bilik air rumahnya di Sentul.

Akibat kejadian itu, Shaiful dan isteri Mohd Faizal iaitu Rosmunira Rashid, 27, membawa Faizal ke Pusrawi untuk mendapatkan rawatan kira-kira pukul 10 pagi.

"Ketika di hospital, Faizal mengadu dadanya sakit dan berusaha untuk bangun sendiri tetapi saya halang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusrawi di sini, Sabtu.

Tambah Shaiful, ketika di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor mengesahkan dia mengalami masalah jantung apabila salah satu saluran pada jantungnya tersumbat.

Bagaimanapun, keadaannya menjadi semakin kritikal sehinggalah dia disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, bekas isterinya, penyanyi Siti Nordiana atau Nana, 25, yang ditemui berkata Faizal ada menghubunginya beberapa hari lalu untuk bercakap dengan anak mereka, Muhammad Rayyan Nakhaie, 2, tetapi anaknya tiada bersama Nana pada ketika itu.

Bagaimanapun, pada petang Sabtu, Nana mendapat panggilan telefon mengatakan Faizal dimasukkan ke hospital dan dia mahu melihat anaknya.

Berikutan itu, Nana sempat membawa Muhammad Rayyan ke hospital dan Faizal sempat berjumpa dengan anaknya itu.

Selepas berpisah dengan Nana, Faizal mendirkan rumahtangga dengan Rosmunira yang kini mengandung lima bulan pada awal tahun lalu.

Turut kelihatan menziarahi Allahyarham di hopsital, pelakon Amyza Aznan, Zulkifli Ariffin, Pierre Andre, Sharifah Amani, Dira Abu Zahar, Liyana Jasmay dan Tania Hudson.

Jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Sentul, Sabtu dan dijadualkan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Batu Muda, Batu Caves, Selangor kira-kira pukul 10 pagi Ahad.

- MSTAR

Kumpulan Kebaikan

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda maksudnya: ”Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah-rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.”
(Muslim)

Huraian
Masyarakat Islam adalah seperti satu jasad yang setiap anggota akan merasai apa yang dirasai oleh orang lain malah mereka juga bersama-sama berkongsi kegembiraan. Maka antara yang menjadi kewajipan penting seorang Muslim ialah agar segera melepaskan kesempitan yang dialami oleh saudaranya. Dengan cara ini masyarakat yang sempurna dan tolong-menolong dapat diwujudkan. Sebaliknya mencari-cari keburukan orang lain dan menyebarkannya pula adalah satu tanda kemunafikan kerana disebabkan perkara tersebut sesuatu kejahatan yang dilakukan itu boleh menjadi pemangkin kepada orang yang sepertinya agar lebih agresif dan liar dengan kejahatan hingga seluruh masyarakat menjadi rosak. Sesungguhnya balasan Allah SWT kepada makhluk-Nya adalah dalam bentuk yang menyerupai amalan yang dilakukan itu.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Recent Posts