Khamis, Oktober 21, 2010

Melaka Kini Negeri Maju


Melaka pada Rabu diisytiharkan secara rasmi sebagai Negeri Maju 2010 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Pengisytiharan status negeri maju itu dibuat menerusi persidangan video secara langsung antara Najib yang berada di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Stadium Hang Tuah Melaka, tepat pukul 8.15 malam tadi.

“Saya bagi pihak kerajaan Persekutuan sangat berbangga di atas pengisytiharan Melaka sebagai sebuah negeri maju. Pencapaian ini adalah selari dengan Wawasan 2020 menerusi empat tonggak utama yang telah digariskan,” katanya pada sidang video yang disiarkan secara langsung oleh Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3).

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Yaakob, Pengerusi Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), John Hall, Presiden MIC, Tan Sri S. Samy Vellu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib berkata, rakyat Melaka harus berbangga kerana impian untuk menikmati status negeri maju sudah pun dicapai atas usaha Ketua Menterinya.

“Rakyat Melaka harus berbangga kerana memiliki seorang pemimpin yang kuat bekerja dan berwawasan dalam usaha membangunkan Melaka.

“Sudah tentu usaha beliau ini akan mendapat sokongan yang padu daripada kerajaan Persekutuan. Tahniah kepada kerajaan dan rakyat negeri Melaka. Dengan lafaz Bismillah saya dengan ini mengisytiharkan Melaka sebagai Negeri Maju 2010,” katanya.

Pengisytiharan tersebut dibuat selepas Melaka memenuhi 32 indikator mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh OECD yang berpangkalan di Paris.

Melaka muncul sebagai negeri yang mencatatkan kadar pengangguran, kemiskinan dan kadar jenayah yang paling rendah dikalangan 33 negara anggota.

Sementara itu, Mohd Ali turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa merasmikan pengisytiharan Melaka Negeri Maju 2010.

Terdahulu, Mohd Ali mengumumkan esok sebagai cuti umum bagi seluruh negeri Melaka sebagai tanda penghargaan kepada rakyat negeri itu yang bekerja keras untuk mencapai status negeri maju.

Beliau berkata cuti khas itu juga terpakai kepada sektor swasta.

- MSTAR

Berusaha Mencari Rezeki


Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Meraka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya dari meminta-minta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam.”

Riwayat At-Tabrani

Huraian:

Pengajaran Hadith:

i) Sesungguhnya Allah S.W.T amat kasih kepada orang yang berusaha atau bekerja mencari rezeki dengan titik peluh sendiri di mana dengan itu dia dapat memenuhi keperluan dan tanggungjawabnya terhadap diri, keluraga dan masyarakat. Malah kedudukannya adalah lebih baik daripada bersikap pemalas dan meminta-minta daripada orang lain.

ii) Allah telah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut oleh Islam.

iii) Kita perlu ingat bahawa hanya rezeki yang halal sahaja mesti dicari kerana di situlah letaknya keberkatan dan ganjaran daripada Allah S.W.T. Sedangkan rezeki yang diambil daripada punca yang haram seperti rasuah dan sebagainya, lambat laun akan menimbulkan kecelakaan dan masalah dalam hidup bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

BH Petrol Infiniti Advanced 2x - Enjin lebih berkuasa



Kadar dan kos penggunaan minyak yang semakin meningkat cukup membebankan pengguna kenderaan masa kini. Beban berkenaan lebih dirasakan oleh pengguna kenderaan komersial dan individu yang banyak bergerak untuk tujuan perniagaan atau berulang-alik ke pejabat.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi automotif masa kini memberi ruang kepada syarikat pengeluar minyak menghasilkan produk yang menjimatkan dan mampu meningkatkan prestasi enjin.

Antaranya ialah penggunaan bahan aditif. Aditif diperlukan untuk menyempurnakan pembakaran di samping membuang segala enapan pada komponen-komponen sistem intake enjin yang berlaku dari semasa ke semasa.

Pembakaran yang tidak sempurna akan menyebabkan berlakunya engine knocking (perlagaan enjin). Impak negatif itu juga boleh mengakibatkan penurunan prestasi kenderaan, pembaziran bahan bakar dan peningkatan ORI (Octan Recurement Increase).

Biarpun terdapat pelbagai produk penjimatan minyak di pasaran, namun secara tidak langsung ia memaksa pengguna berbelanja lebih semata-mata mahu mendapatkan penjimatan yang belum dapat dipastikan kesahihannya.

Menyedari dilema yang dihadapi pengguna, Bousted Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) baru-baru ini telah memperkenalkan jenama minyak petrol tanpa plumbum terbaru iaitu BHPetrol Infiniti Advanced 2x dengan formula khas Sebatian Aditif Termaju (AAC) dari Jerman.

Minyak tanpa plumbum

Formula tersebut yang merupakan aditif sintetik penuh pelbagai fungsi dalam Infiniti Advanced 2x RON95 dan RON97. Penambahan jumlah aditif memberikan kelebihan maksimum kepada pengguna berbanding minyak-minyak lain yang terdapat di pasaran.

Formulasi itu mengandungi komponen pembersih kotoran enjin dan friction modifier yang mengurangkan geseran bahagian enjin untuk lebih perlindungan dan penjimatan minyak.

Pada masa yang sama, ia menawarkan prestasi pembakaran yang lebih berkesan, sekali gus memberikan kuasa dan jarak perjalanan lebih jauh.

“Enjin kereta cenderung untuk kehilangan kuasa secara berperingkat apabila dipandu. Salah satu puncanya adalah enapan atau hidro karbon yang wujud dalam enjin, blok dan injap masuk.

“Bahan ini akan menyerap minyak dan menyebabkan pembakaran di ruang enjin tidak sempurna sekali gus mengurangkan prestasi kenderaan serta meningkatkan penggunaan bahan api,” kata Pengurus Besar Peruncitan BHPetrol, James Khoo.

Beliau berkata, pihaknya mencampurkan kandungan AAC melebihi kadar maksimum yang disarankan iaitu sebanyak sebanyak 800 bahagian per juta (ppm) untuk memberikan kekuatan berganda selain menjimatkan bahan api.

“Dengan daya pembersihan yang lebih besar dalam petrol, kami menawarkan prestasi yang memberikan kuasa yang memberangsangkan. Pada masa yang sama, ia juga dapat memastikan ketahanan enjin,” ujarnya.

James berkata, AAC yang digunakan dalam BHPetrol Infiniti Advanced 2x adalah aditif sintetik sepenuhnya bagi petrol pelbagai fungsi yang dihasilkan menerusi kajian mendalam oleh kejuruteraan Jerman.

Bagi memastikan keberkesanan formula itu, badan tersebut turut melakukan beberapa ujian di sebuah badan bebas pengujian petrol di Jerman.

“Ujian itu mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Majlis Penyelarasan Eropah (CEC) dan diguna pakai dalam industri automotif di seluruh dunia.

“Perbandingan penggunaan petrol tanpa aditif menunjukkan BHPetrol Infiniti Advanced 2x yang dicampur dengan aditif AAC mampu mengurangkan sisa karbon pada injap kemasukan udara akibat pembakaran dalam enjin sebanyak 94 peratus atau kira-kira tiga miligram bagi setiap injap,” jelasnya.

BHPetrol Infiniti Advanced 2x ditawarkan pada harga RM1.85 seliter bagi RON95, manakala RON97 dijual RM2.10 seliter sejak 16 Ogos lalu di lebih 300 stesen minyak BHPetrol di seluruh negara.

- KOSMO!

Rabu, Oktober 20, 2010

Pilihanraya Parlimen Batu Sapi: PKR akan wakili Pakatan Rakyat


Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan pilihan raya kecil Batu Sapi pada 4 November in akan diwakili oleh calon daripada PKR.

Berikutan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan perkara itu berharap sebuah lagi parti pembangkang di Sabah - Parti Maju Sabah (SAPP) - akan memberikan laluan bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

“Pemimpin Pakatan Rakyat telah bermesyuarat dan memutuskan bahawa calon PKR akan mewakili Pakatan dan kita akan umumkan (berhubung siapa calonnya) tidak lama lagi.

“Kami harap SAPP tidak akan bertanding supaya pertandingan ini adalah satu lawan satu menentang BN,” katanya.

Pada 16 Oktober lalu, presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengumumkan parti itu akan bertanding bagi menyakinkan rakyat Sabah bahawa mereka mampu menguruskan pentadbiran negeri sendiri.

Katanya, keputusan untuk bertanding adalah ujian getir bagi SAPP setelah berkerat arang dengan BN dan mengisytiharkan mereka sebagai parti pembangkang pada 2008.


Anwar yang membuat pengumuman di lobi parlimen hari ini berkata keputusan menyerahkan kerusi Batu Sapi kepada PKR dicapai pada mesyuarat Pakatan Sabah yang diadakan di Kota Kinabalu pada hujung minggu lalu.

Meskipun calon dari PKR itu belum dikenalpasti tetapi beberapa nama disebut-sebut sebagai mereka yang layak. Antara mereka ketua PKR Sabah - Ahmad Thamrin Jai, pengerusi cawangan Tuaran - Ansari Abdullah dan ketua cawangan Batu Sapi yang baru dilantik - Hasnar Ibrahim.

Pada sidang media yang turut dihadiri oleh pemimpin Pakatan yang lain, Anwar juga mengumumkan bahawa ahli parlimen Kota Kinabalu dan pengerusi DAP Sabah Hiew King Cheu (kanan) dilantik mengetuai kempen mereka di Batu Sapi.

Kerusi Batu Sapi kosong, berikutan kematian ahli parlimennya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, minggu lalu.

Mendiang menduduki kerusi berkenaan sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa sebarang saingan.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau dicabar oleh calon Bebas, Chung Kwong Wing tetapi berjaya mengekalkan kerusinya dengan mudah dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

- MALAYSIAKINI

Menara 100 tingkat bukan pembaziran - Najib


Datuk Seri Najib Razak mempertahankan cadangan pembinaan menara 100 tingkat bernilai RM5 bilion oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan menyifatkan ia bukan pembaziran tetapi bertujuan menjana ekonomi serta mewujudkan satu mercu tanda Malaysia yang maju dan moden.

Perdana Menteri berkata pembinaan menara itu akan turut membawa manfaat kepada pelbagai sektor.

"Banyak kerja-kerja kontrak yang boleh kita agihkan untuk menggerakkan kegiatan ekonomi, dan kawasan itu boleh menjadi pusat perniagaan menempatkan peniaga bumiputera dan bukan bumiputera, menjadi pusat tarikan dan beri keuntungan.

"Projek ini bukan pembaziran tapi menguntungkan, yang dirancang (oleh) PNB. Najib berkata beliau tidak mengarahkan PNB untuk mewujudkan projek itu.

"Saya tidak arahkan PNB. PNB yang mencadangkan (perkara) ini, sesuatu yang sangat diingini oleh pengurusan atau lembaga (pengarah) PNB," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanatnya kepada anggota perwakilan di majlis tertutup Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini.

Semasa membentangkan Bajet 2011 Jumaat lalu, Najib, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan satu lagi mercu tanda akan dibangunkan iaitu menara setinggi 100 tingkat yang dinamakan Warisan Merdeka dan dijadual siap pada 2020.

Najib berkata dalam sejarah negara ini, Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dikritik hebat oleh pembangkang apabila membuat keputusan untuk membina jambatan Pulau Pinang, namun akhirnya sekarang rakyat Pulau Pinang meminta jambatan yang kedua.

Dr Mahathir juga dipertikaikan semasa membina Menara Berkembar Petronas, jadi rasional kerajaan bagi pembinaan menara warisan adalah sama, katanya.

Warisan Merdeka akan menjadi menara tertinggi di Malaysia. Projek itu akan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai warisan negara.

- Bernama

PDRM bangun unit risikan tangani jenayah

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang membangunkan sistem 'Central Intelligence Unit' (CIU) sebagai strategi jangka panjang untuk meningkatkan kemampuan polis dalam menyelesaikan kes jenayah berpandukan maklumat risikan tepat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata PDRM juga sentiasa menambah jumlah pegawai penyiasat dari semasa ke semasa untuk memenuhi kuota yang ditetapkan.

Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, PDRM berjaya menyelesaikan 230 kes atau 59.74 peratus daripada 385 kes bunuh yang dilaporkan.

"Bagi tahun 2008, sebanyak 446 kes atau 68.2 peratus daripada 654 kes telah diselesaikan dan bagi tahun 2009, jumlah penyelesaian kes ialah 392 kes atau 65.55 peratus daripada 598 kes yang dilapor," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai statistik penyelesaian kes bunuh di negara ini dan langkah kerajaan dalam memerangi jenayah berat seperti bunuh dan rompakan.

Abu Seman berkata kes jenayah seperti samun, bunuh, rogol dan mencederakan dikategori sebagai jenayah kekerasan dan bagi memeranginya, PDRM sentiasa meningkatkan rondaan dengan melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Rela dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

"Sehingga 20 Sept lepas, seramai 4,725 anggota Rela dan JPAM dilantik khusus untuk menjalankan tugas itu," katanya.

Abu Seman berkata PDRM juga memiliki Pasukan Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) di bawah Makmal Forensik.

Beliau berkata Makmal Forensik yang mula beroperasi sepenuhnya pada 2002 itu ditubuh untuk menyelesaikan kes-kes jenayah yang memerlukan kaedah penyiasatan canggih untuk membawa pesalah ke muka pengadilan.

"Anggota Pasukan CSI juga diwujudkan dalam kontinjen PDRM di seluruh negara selain daripada yang dilantik dan ditempatkan di Makmal Forensik di Cheras," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (BN-Kangar).

- Bernama

Diktator pun boleh buat baik - Mahathir


Pemerintahan secara diktator boleh juga memberikan kebaikan kepada rakyat, kata bekas perdana menteri Tun Dr Dr Mahathir Mohamad yang pernah dituduh memperkenalkan kepimpinan autokratik di negara ini.

Menjawab tuduhan itu, Dr Mahathir semasa berucap dalam sebuah forum antarabangsa di PWTC Kuala Lumpur hari ini secara nakal berkata:

"Malaysia dikatakan pernah diperintah oleh seorang diktator selama 22 tahun. Saya menikmatinya (gelaran itu)."

"Tetapi sekurang-kurangnya kita semakin maju. Bangunan ini (PWTC) dulu tidak pernah ada di sini," katanya.

Beliau memberikan contoh negara China yang menurutnya pemerintahan autokratik lebih berjaya daripada negara demokrasi yang dipilih oleh rakyat.

"Tiada demokrasi di China tetapi sistem kerajaannya boleh memberikan banyak manfaat kepada rakyatnya," katanya sambil menambah bahawa pertukaran tampuk kepimpinan di negara itu lebih aman berbanding negara demokrasi lain.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Dr Mahathir menyentuh tentang peranan media yang didakwanya telah menjadi hampir di luar kawalan berikutan kemajuan teknologi masih boleh ditangani dengan cara tertentu.

Pilihan raya untuk editor

"Sudah tentu, ia semakin sukar tapi ia tidaklah terlalu teruk kerana kerajaan perlu bersiap sedia bagi memastikan mereka melakukan perkara yang betul. Jika tidak, media boleh menjadi kritikal.

"Jika media membuat tuduhan palsu, kerajaan perlu menjawab," beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata kerajaan perlu berhati-hati kerana ada orang lain yang mengawal media untuk kepentingan mereka bukan untuk kepentingan negara ini.

"Kerajaan boleh ditukar tetapi kita tidak boleh mengadakan pilihan raya bagi mana-mana pegawai yang mengendalikan media. Siapa yang memilih pemilik surat khabar, penyunting, editor dan wartawan? Adakah kita mengadakan pilihan raya untuk para editor?" soalnya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata kerajaan perlu mendedahkan penyalahgunaan media secara terang-terangan oleh mereka yang mempunyai agendanya yang tersendiri.

"Ada seseorang yang mengawal media, ia tidak mungkin kerajaan tetapi apabila kamu mempunyai kerajaan yang mengawal media, sekurang-kurangnya kerajaan dalam sebuah negara demokrasi, (media itu) akan dikendalikan oleh mereka yang dipilih rakyat," katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional.

- MALAYSIAKINI

Kurang kesedaran punca kemalangan naik

Oleh MOHAMAD HANIS ISMAIL
Pelajar Ijazah Penyiaran UiTM Shah Alam

Penguatkuasaan undang-undang trafik dan peningkatan jumlah bayaran saman nampaknya belum mampu memberi impak yang tinggi dalam mendisiplinkan pemandu kenderaan di Malaysia.

Angka kematian di jalan raya semakin hari semakin meningkat. Satu demi satu Ops Sikap dilaksanakan, namun kadar kemalangan jalan raya tetap tidak menurun. Walaupun Ops Sikap pada musim perayaan kali ini mencatatkan penurunan kematian daripada 18 kepada 14 kes sehari, namun ia hanya berkesan sewaktu musim perayaan saja.

Walaupun pelbagai langkah diambil kerajaan dan badan swasta untuk memberi kesedaran kepada setiap pemandu mengenai pentingnya mematuhi undang-undang jalan raya namun ia ibarat ‘masuk telinga kiri, keluar telinga kanan’. Malah, langkah mencegah kemalangan itu dianggap sebagai program yang membuang masa dan membazir wang kerajaan.

Ungkapan kata-kata nasihat seperti ‘kelajuan itu membunuh’, ‘sayangilah keluarga anda’ dan ‘pakailah topi keledar’ ternyata masih belum berkesan dan tidak mampu meresap ke dalam minda pemandu di Malaysia.

Melalui kajian yang dikeluarkan sewaktu Forum Pengangkutan Antarabangsa Paris, dilaporkan 30 negara berjaya mengurangkan kadar kematian jalan raya di negara masing-masing dari 2000 hingga 2009, namun lain pula halnya dengan Malaysia.
Daripada kajian yang membabitkan semua negara, Malaysia berada pada kedudukan paling atas bersama dengan Argentina dan Kemboja dengan kadar kematian tertinggi iaitu seorang bagi 100,000 penduduk.

Kemalangan jalan raya mengakibatkan Malaysia kerugian hampir RM9 bilion setahun dari segi kehilangan nyawa dan cedera kerana dianggarkan seorang rakyat Malaysia akan terbunuh di jalan raya setiap 1 jam 20 minit.

Hal ini juga menyebabkan negara kekurangan modal insan kerana kematian jalan raya di Malaysia juga membabitkan insan yang berkemahiran dan berpelajaran tinggi.

Apakah lagi tindakan yang boleh diambil untuk mengubah sikap pemandu Malaysia, sedangkan semua langkah sudah diambil.

Punca utama berlaku kemalangan kerana mentaliti pemandu tempatan masih di takuk lama. Kedua, pemandu Malaysia juga boleh dikategorikan sebagai ‘tidak mahir memandu’. Ayat 'tidak mahir memandu’ bolehlah dikatakan sebagai kurangnya pengetahuan mengenai ilmu asas undang-undang jalan raya seperti waktu sepatutnya memberi isyarat membelok atau pun waktu yang sepatutnya untuk memotong kenderaan lain dan sebagainya. Ketiga, dasar kerajaan terhadap saman yang sentiasa berubah-ubah.

Nilai bayaran saman masih rendah dan langsung tidak bersifat untuk menghukum pemandu yang melakukan kesalahan.

Sudahlah nilai bayaran saman boleh dikategorikan sebagai terlampau murah dan mampu dibayar oleh rakyat Malaysia tetapi apa yang lucunya mereka masih boleh mendapat diskaun untuk mengurangkan jumlah bayaran saman mereka daripada pihak berkuasa walaupun mereka melakukan kesalahan jalan raya.

Kita tidak tegas dan bersungguh-sungguh dalam misi untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

- BERITA HARIAN

Hutang isi rumah tertinggi di Asia

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bimbang dengan peningkatan paras hutang isi rumah yang berjumlah 77 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas.

Menurut laporan tahunan 2009 Bank Negara Malaysia (BNM), hutang isi rumah dilaporkan meningkat kepada 76.6 peratus bagi tahun ini iaitu yang tertinggi di Asia daripada 63.9 peratus KDNK pada 2008.

"Nisbah Pinjaman-kepada-nilai (LTV) perlu dikurangkan untuk menangani kenaikan ini," kata Felo Penyelidik Kanannya, Dr. Foong Kee-Kuan.

"Di masa depan, sepatutnya terdapat lebih banyak pinjaman perniagaan berbanding pinjaman isi rumah. Lebih banyak pinjaman perniagaan akan menyumbang kepada pertumbuhan kita," katanya semasa taklimat media mengenai laporan Prospek Ekonomi Malaysia yang dikeluarkan di sini semalam.

Memetik laporan Petunjuk Perbankan dan Monetari bank pusat itu, MIER menjelaskan, pinjaman isi rumah pada April, Mei, Jun, Julai dan Ogos tahun ini masing-masing berada pada 10 peratus, 11.7 peratus, 12.5 peratus, 11.9 peratus dan 11.8 peratus.

- KOSMO!

Lagi UFO muncul di AS


NEW YORK - Tanggapan bahawa beberapa objek terbang tidak dikenali (UFO) yang dilihat di New York pada Rabu lalu dipercayai belon kian terhakis apabila objek sama muncul di El Paso, Texas, lapor sebuah akhbar semalam.

Beberapa objek sama itu turut dilihat El Paso, Texas pada Ahad lalu sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa makhluk asing telah mendarat di Bumi.

Saksi-saksi kejadian di El Paso kemudian menghubungi beberapa balai polis dan stesen berita tempatan bagi memberitahu apa yang mereka lihat itu.

Menurut mereka, satu cahaya seperti bulatan kecil bergerak di langit pada waktu malam sebelum berpecah menjadi tiga cahaya.

Setiap satu cahaya mempunyai ekor di belakangnya.

Cahaya-cahaya itu kemudian bercantum menjadi tiga titik seperti sebuah segitiga.

Segitiga itu adalah sama seperti imej yang dilihat sejumlah penduduk di New York pada Rabu lalu.

Seterusnya, cahaya keempat muncul di El Paso.

Semua cahaya itu berlegar-legar di udara sebelum tiba-tiba ia hilang.

Ekoran persekitaran waktu malam yang gelap pada masa itu, mustahil cahaya-cahaya itu merupakan belon.

Rakaman fenomena cahaya itu mencetuskan spekulasi meluas terutamanya selepas sebuah stesen berita menunjukkan bahawa ia menyerupai beberapa cahaya ganjil yang dilihat di New York pada Rabu lalu.

Dalam kejadian di New York itu, satu objek misteri berlegar di sebelah barat New York manakala ramai penduduk memikirkan apa sebenarnya yang mereka lihat.

Tiba-tiba, objek itu berpecah menjadi tiga bahagian.

Semasa ia muncul di New York, ketiga-tiga objek itu berlegar-legar di udara dengan menyebabkan lalu lintas terhenti.

Objek-objek itu dipercayai sebagai belon selepas seorang guru besar, Angela Freeman mendakwa 12 belon untuk meraikan seorang gurunya terlepas ke udara.

Tiga objek itu kemudian bercantum menjadi tiga titik dan berlegar-legar seperti kejadian di El Paso.

Namun, sehingga kini, penjelasan yang memuaskan masih belum diperoleh berhubung objek berkenaan.

Ramai pula yang memberi penjelasan daripada sudut ketenteraan.

Pengguna-pengguna Internet lain pula memberitahu, cahaya-cahaya ganjil itu sebenarnya pasukan payung terjun yang mengadakan latihan untuk satu pertunjukan pada waktu malam.

- Agensi