Memaparkan catatan dengan label PRK Batu Sapi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK Batu Sapi. Papar semua catatan

Rabu, Oktober 27, 2010

Pertandingan Tiga Penjuru Di Batu Sapi

SANDAKAN: Seperti dijangkakan, pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), parti pembangkang Sabah Parti Maju Sabah (SAPP) dan parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) akan berhadapan dengan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee, yang juga bekas ketua menteri Sabah, dan PKR diwakili peguam terkenal Ansari Abdullah, yang juga Ketua PKR Tuaran.

Senarai calon pilihan raya kecil pada 4 November itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohamad Hamsan Awang Supain, yang juga Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan, di pusat penamaan calon Dewan Komuniti Sandakan.

Mohamad Hamsan menerima borang pencalonan ketiga-tiga calon selepas tiada isu dibangkitkan semasa tempoh bantahan selama sejam.

Ansari mendahului calon-calon lain apabila tiba di Dewan Komuniti Sandakan pada pukul 9.02 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan, diikuti oleh Yong pada 9.05 pagi dan selepas itu calon BN, Tsen pada pukul 9.06 pagi.

Ribuan penyokong hadir berkumpul seawal pukul 5.45 pagi untuk mengiringi calon masing-masing.Dengan penuh bersemangat, mereka kedengaran melaungkan slogan parti masing-masing namun berdisiplin mematuhi arahan pihak berkuasa.

Pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Okt lalu di Kota Kinabalu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai penyokong B Nbersama-sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan para penyokong mengiringi calon parti itu, Tsen di pusat penamaan itu.

Antara pemimpin parti komponen BN adalah Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M. Kayveas dan wakil-wakil parti komponen.

Linda, 54, merupakan balu kepada mendiang Chong. Pada pilihan raya umum 2008, Chong mendapat 9,479 undi menewaskan calon Bebas Dr Chung Kong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Sementara itu, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengiringi Ansari manakala Yong, yang merupakan calon SAPP, mengetuai sebilangan kecil penyokong ke pusat penamaan calon itu.

- BERNAMA

Selasa, Oktober 26, 2010

Balu Edmund Chong calon BN di Batu Sapi


BN akan meletakkan Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, sebagai calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi 4 November ini.

Beliau adalah timbalan ketua Wanita PBS Elopura dan isteri kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah.

Ketua Menteri Sabah yang juga pengerusi BN negeri, Datuk Musa Aman berkata, jawatankuasa BN negeri sebulat suara memilih Linda bertanding di Batu Sapi.

Katanya, BN yakin dengan kemampuan calon BN itu untuk meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

pilihan raya kecil itu, yang diadakan berikutan kematian Edmund, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan Selasa ini dan pengundian pada 4 November.

Edward memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,708 undi, dengan menewaskan calon Bebas, Chung Ong Wing. Edward memperolehi 9,479 undi manakala Chung mendapat 5,771 undi.

Kerusi parlimen Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi yang terdiri daripada 24,047 biasa dan 1,535 undi pos - dengan 15,099 atau 59.02 peratus pengundi bumiputera-Muslim, 689 bukan bumiputera-Muslim (2.69 peratus), 9,737 Cina (38.06 peratus) dan 57 lain-lain kaum (0.22 peratus).

- MALAYSIAKINI

Rabu, Oktober 20, 2010

Pilihanraya Parlimen Batu Sapi: PKR akan wakili Pakatan Rakyat


Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan pilihan raya kecil Batu Sapi pada 4 November in akan diwakili oleh calon daripada PKR.

Berikutan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan perkara itu berharap sebuah lagi parti pembangkang di Sabah - Parti Maju Sabah (SAPP) - akan memberikan laluan bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

“Pemimpin Pakatan Rakyat telah bermesyuarat dan memutuskan bahawa calon PKR akan mewakili Pakatan dan kita akan umumkan (berhubung siapa calonnya) tidak lama lagi.

“Kami harap SAPP tidak akan bertanding supaya pertandingan ini adalah satu lawan satu menentang BN,” katanya.

Pada 16 Oktober lalu, presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengumumkan parti itu akan bertanding bagi menyakinkan rakyat Sabah bahawa mereka mampu menguruskan pentadbiran negeri sendiri.

Katanya, keputusan untuk bertanding adalah ujian getir bagi SAPP setelah berkerat arang dengan BN dan mengisytiharkan mereka sebagai parti pembangkang pada 2008.


Anwar yang membuat pengumuman di lobi parlimen hari ini berkata keputusan menyerahkan kerusi Batu Sapi kepada PKR dicapai pada mesyuarat Pakatan Sabah yang diadakan di Kota Kinabalu pada hujung minggu lalu.

Meskipun calon dari PKR itu belum dikenalpasti tetapi beberapa nama disebut-sebut sebagai mereka yang layak. Antara mereka ketua PKR Sabah - Ahmad Thamrin Jai, pengerusi cawangan Tuaran - Ansari Abdullah dan ketua cawangan Batu Sapi yang baru dilantik - Hasnar Ibrahim.

Pada sidang media yang turut dihadiri oleh pemimpin Pakatan yang lain, Anwar juga mengumumkan bahawa ahli parlimen Kota Kinabalu dan pengerusi DAP Sabah Hiew King Cheu (kanan) dilantik mengetuai kempen mereka di Batu Sapi.

Kerusi Batu Sapi kosong, berikutan kematian ahli parlimennya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, minggu lalu.

Mendiang menduduki kerusi berkenaan sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa sebarang saingan.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau dicabar oleh calon Bebas, Chung Kwong Wing tetapi berjaya mengekalkan kerusinya dengan mudah dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

- MALAYSIAKINI

Ahad, Oktober 17, 2010

Pilihan raya Batu Sapi diadakan serentak dengan Galas pada 4 November 2010


Tarikh pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi di Sabah akan diadakan serentak dengan pilihan raya kecil dewan undangan negeri Galas iaitu pada 4 November ini.

Manakala tarikh penamaan calon juga diadakan pada hari yang sama, iaitu 26 Oktober ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff.

Keputusan itu dibuat selepas SPR bermesyuarat pagi ini, katanya dalam satu sidang akhbar di Putrajaya.

Abdul Aziz berkata keputusan itu berdasarkan faktor undang-undang tidak melarang berbuat demikian dan pengalaman SPR sebelum ini yang mengadakan pilihan raya kecil secara serentak di tiga tempat iaitu di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai tahun lalu.

Beliau berkata jika dijalankan serentak, tempoh untuk mengadakan pilihan raya kecil itu menjadi pendek berbanding secara berasingan, sekali gus menjimatkan masa, perbelanjaan SPR dan mengurangkan ketegangan.

Katanya selain itu, SPR melihat tarikh berkenaan sebagai yang terbaik memandangkan faktor ruang yang terhad berikutan banyak peristiwa berlaku menjelang hujung tahun seperti sambutan perayaan Deepavali, Aidiladha, sidang DUN Sabah, awal Muharram, peperiksaan SPM.

"Dan yang paling penting, Sabah telah menyatakan kesediaannya untuk menghadapi pilihan raya kecil.

"Sebanyak 25,582 pemilih yang melibatkan 24,047 pengundi biasa dan 1,535 pengundi pos layak mengundi dalam pilihan raya ini," katanya.

Beliau berkata dua DUN di kawasan Parlimen Batu Sapi iaitu masing-masing Sekong dan Karamunting, mempunyai 11,321 dan 14,261 pengundi.

Menurutnya, daftar pemilih yang digunakan adalah Daftar Pemilih Induk 2009 dan digabungkan bersama dengan daftar pemilih suku tahun pertama dan kedua tahun ini yang dikemaskini pada 9 Oktober lalu.

Menurut Abdul Aziz lagi, Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan Mohamad Hamsan Awang Supain telah dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan beliau akan dibantu oleh empat penolong pegawai pengurus.

"Sebanyak 45 saluran akan dibuka manakala 405 petugas telah dilantik bagi mengendalikan perjalanan pilihan raya ini," kata Abdul Aziz.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, 9 Oktober lalu.

Mendiang menduduki kerusi itu sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa sebarang saingan.

Pada pilihan raya 2008, beliau mengekalkan kerusinya dengan mudah - menumpaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

SPR, menurut Abdul Aziz menjangkakan pengumuman keputusan akan dibuat serentak bagi kedua-dua pilihan raya kecil berkenaan iaitu kira-kira jam 8 malam.

- MALAYSIAKINI

Recent Posts