Rabu, Jun 30, 2010

Kalendar Aktiviti & Peristiwa Penting Bulan Jun 2010

# 1 Jun 2010 - Hari Gawai

# 4 - 19 Jun 2010 - Cuti Sekolah Pertengahan Tahun

# 5 Jun 2010 - Hari Keputeraan DYMM Yang Di Pertuan Agong

# 10 Jun 2010 - Pembentangan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK 10)

# 10 - 19 Jun 2010 - Sukan Malaysia (SUKMA) Melaka 2010

# 11 Jun - 11 Julai 2010 - Kejohanan Bolasepak Piala Dunia Afrika Selatan 2010

# 14 Jun 2010 - Semakan Keputusan Kemasukan KPLI & KPLSPM

# 17 Jun 2010 - Semakan Keputusan Kemasukan DPLI

# 18 Jun 2010 - Semakan Keputusan Kemasukan ke IPTA (Lepasan STPM/ Diploma)

# 26 Jun 2010 - Gerhana Bulan Separa

# 28 Jun 2010 - Tarikh Pendaftaran KPLI di IPGM

Sesi Penilaian Kompetensi Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PAC) 2010

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sedang mengendalikan urusan pengambilan Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred M41 selepas menerima 59,718 permohonan bagi mengisi jawatan itu.

SPA berkata, ia mengguna pakai kaedah pengambilan secara profiling (myRecruitment) iaitu calon yang memohon akan melalui tapisan kelayakan akademik, peperiksaan, penilaian kompetensi dan temu duga.

Bagi tahun ini, 42,711 calon sudah dipanggil menduduki peperiksaan dan seramai 3,938 calon yang berjaya dipanggil menghadiri sesi penilaian di Pusat Penilaian Kompetensi (PAC).

Sesi PAC akan dijalankan di enam zon iaitu di Institut Tadbiran Awam Negara Malaysia (INTAN) Jalan Elmu, Kuala Lumpur (Zon Tengah) pada 1 hingga 3 Julai 2010 dan 10 hingga 11 Julai; INTAN Sungai Petani, Kedah (Zon Utara) pada 2 hingga 4 Julai dan 9 hingga 10 Julai.

INTAN Kluang, Johor (Zon Selatan) pada 1 hingga 3 Julai dan 10 hingga 11 Julai 2010; INTAN Kemaman, Terengganu (Zon Timur) pada 2 hingga 4 Julai dan 9 hingga 11 Julai; INTAN Kota Kinabalu, Sabah (Zon Sabah) pada 3 Julai dan di Kolej Kesihatan Bersekutu Kuching (Zon Sarawak) pada 3 hingga 4 Julai ini.

Calon juga boleh membuat semakan dan mendapatkan keterangan lanjut dengan melayari Portal SPA di www.spa.gov.my

Hisham: Kadar jenayah jalanan susut 36.89 peratus

Kadar jenayah jalanan berkurangan 36.89 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, jenayah keseluruhan juga didapati turun 13.9 peratus bagi tempoh antara Januari dan Mei tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun 2009.

Menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini Hishammuddin berkata, dalam usaha mengurangkan kadar jenayah pihak kementerian mengambil langkah melaksanakan penempatan semula 7,402 anggota polis yang dahulunya membuat tugas-tugas pentadbiran.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga menyerap anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Angkatan Relawan Rakyat (RELA) bagi ditempatkan di kawasan-kawasan tinggi kadar jenayah.

Beliau berkata, bagi meningkatkan rasa hormat masyarakat terhadap perkhidmatan polis pula, kerajaan menetapkan bahawa lima peratus kadar jenayah keseluruhan dikurangkan bersama-sama pengurangan 20 peratus jenayah jalanan menjelang akhir tahun ini.

Katanya, untuk itu 496 kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di negeri Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang beserta 90 buah balai polis bergerak membabitkan 30 bas dan 60 van.

Menurut Hishammuddin, dua inisiatif juga diwujudkan iaitu pegawai atasan polis digalakkan meronda bersama-sama anggota bit dan patrol di bawah inisiatif 'High Profile Policing' dan 'Stop and Talk' agar anggota bit dan patrol dapat berinteraksi dengan masyarakat.

Ketika menjawab soalan tambahan Abdul Manan, Hishammuddin berkata, KDN akan memaparkan indeks jenayah di dalam laman webnya setelah semua maklumat daripada peringkat daerah sehingga kementerian diselaraskan.

Menurut beliau, penyelarasan itu penting bagi menentukan ketepatan maklumat serta tiada perkara yang perlu dibimbangkan bagi dipamerkan untuk tatapan umum.

- Bernama

16.5 juta saman bernilai RM2.7 bilion gagal dikutip

Kira-kira RM2.7 bilion daripada 16,529,848 saman tertunggak lalu lintas gagal dikutip kerajaan antara tahun 2000 dan 2008, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Daripada jumlah itu, majoriti adalah saman polis sebanyak 15,220,358 manakala yang lain melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 470,983 dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak 838,507 saman.

"Bagi saman yang dikeluarkan tahun lepas sehingga kini, ia adalah saman aktif yang masih menjadi saman kitaran semula," katanya ketika menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Nor mahu tahu jumlah kutipan saman yang gagal dikutip kerajaan sehingga April tahun ini.

Abdul Rahim berkata bagi memastikan saman tertunggak tersebut dikutip, beberapa pendekatan termasuk menyekat urusniaga seperti pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu berdasarkan peruntukan Seksyen 115, Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pemandu yang tidak dapat dikesan.

Usaha lain yang dilakukan ialah memperuntukkan kira-kira RM282 juta bagi menambah baik sistem pungutan pengkomputeran JPJ yang dikenal pasti masih berkapasiti rendah bagi membolehkan kapasiti pungutan ditingkatkan.

"Kita juga menyediakan perkhidmatan online bagi pembatalan sekatan dan penyenaraian hitam di antara JPJ dan agensi lain khususnya PDRM dan mewujudkan pusat sehenti supaya pembayaran saman boleh dilakukan di mana-mana selain pembayaran secara online dan kad kredit," katanya.

Sementara itu ketika menjawab soalan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang mencadangkan supaya saman itu dihapuskan, Abdul Rahim berkata cadangan itu sukar untuk dipertimbangkan.

"Kutipan saman bukan hanya bertujuan mendapatkan hasil tetapi juga bagi meningkatkan persepsi ditangkap di kalangan pengguna jalan raya agar mereka lebih berhati-hati," katanya.

- Bernama

TPM arah pengambilan segera guru bahasa ibunda

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan pengambilan segera bagi guru bahasa Mandarin dan Tamil supaya mereka dapat ditempatkan di kira-kira 7,000 sekolah kebangsaan, mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom bagi meningkatkan pengambilan bagi guru kedua-dua bahasa itu, dalam usaha untuk melaksanakan dasar Bahasa Ibunda Pelajar (POL) di semua sekolah-sekolah kebangsaan.

"Tak ada silapnya dalam sistem pendidikan kita kerana semuanya ada didalamnya. Seperti yang saya pernah nyatakan sebelum ini, bagaimana cara kita hendak menyediakan para guru bagi mengajar Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan.

"Sudah tentu ada sebabnya dalam keputusan awal kenapa kita mencadangkannya supaya tidak kira India atau Cina, pelajar itu perlu tahu bahasa ibunda mereka dan apabila mereka pergi ke sekolah kebangsaan, kita mengajar bahasa ibunda mereka.

"Kita tidak perlu berdebat mengenai adanya sekolah Cina, Tamil dan kebangsaan, itu legasi dan boleh menimbulkan kekeliruan dan kita kena terima,” katanya.

- Bernama

Menjadi Isteri Solehah

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga.” Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah

Huraian

Pengajaran Hadis:

i) Islam telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami.

ii) Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya. Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa. Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul.

iii) Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri.

iv) Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam telah menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman hendaklah dari kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta, dan kuat pegangan agamanya. Namun yang perlu diutamakan adalah yang solehah (beriman) agar mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz dan sebagainya.

v) Setiap wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjwab. Oleh itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Aktor Winter Sonata Bunuh Diri


SEOUL: Pelakon dan penyanyi popular Korea Selatan Park Yong-Ha, 33, ditemui tidak bernyawa dan dilaporkan membunuh diri pagi tadi.

Tubuhnya ditemui di kediamannya di Nonhyung-dong, Seoul oleh ibunya sendiri.

Laporan Yonhap News hari ini melaporkan sebelum membunuh diri, pelakon Winter Sonata itu sempat mengirimkan SMS kepada ayahnya yang sedang bertarung dengan sakit kanser perut.

SMS yang dihantar itu berbunyi: "I'm Sorry. I'm Sorry". Namun begitu dia tidak meninggalkan sebarang surat perpisahan.

Menurut pihak polis Metropolitan Seoul, Park membunuh diri dengan menggantungkan dirinya menggunakan kabel charger telefon bimbit.

Bagaimanapun, motif tindakannya membunuh diri itu masih tidak diketahui lagi. Pihak polis masih lagi melakukan penyelidikan lebih lanjut tentang tragedi tersebut.

Park memulakan kerjaya seninya bermula pada tahun 1994. Namun, namanya mula melonjak di Korea dan Jepun setelah membintangi drama bersiri Winter Sonata pada 2002.

Selepas itu, Park turut membintangi tiga buah filem. Yang terakhir adalah The Scam yang telah ditayangkan pada 2009.

Tidak hanya setakat itu, Park juga popular sebagai penyanyi. Selain melancarkan beberapa album di Koria dan Jepun. Dia juga pernah memenangi beberapa anugerah seperti Japan Gold Disc Awards bagi kategori Artis Asian Terbaik, Lagu Sepanjang Tahun serta Anugerah Istimewa Japan-Korea Friendship Year 2005.

Disebabkan kematian mengejut itu, banyak pihak telah menyuarakan rasa khuatir mereka terhadap kes bunuh diri di Korea Selatan.

Negara tersebut telah mencatatkan kadar kes bunuh diri yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebekalakangan ini.

Pada 2 Oktober 2008, artis terkenal Choi Jin-Sil juga ditemui telah menggantungkan diri di bilik mandi rumahnya. Sebelum itu, pada 8 September 2008, suaminya, Ahn Jae-hwan yang merupakan pelawak terkenal ditemui mati di dalam keretanya.

Tubuh Choi Jin-Sil telah ditemui oleh adik lelakinya, Choi Jin-yeong. Dia yang turut melibatkan diri sebagai aktor dan penyanyi kemudian telah mengambil keputusan untuk membunuh diri pula pada 29 Mac lalu.

Kematian Choi Jin-yeong itu dipercayai berpunca akibat daripada rasa tekanan dan depresi setelah kematian kakak tersayangnya.

- MSTAR

Bos FIFA minta maaf

JOHANNESBURG - Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter (gambar) telah meminta maaf kepada England dan Mexico yang menjadi mangsa kesilapan pengadil perlawanan sehingga menyebabkan keduadua negara itu tersingkir awal daripada saingan Piala Dunia 2010.

Blatter juga menjelaskan bahawa FIFA bersedia membuka semula proses perdebatan mengenai isu penggunaan tekno- logi video dalam kempen Piala Dunia akan datang.

"Biasanya kita akan akan mengecam sekiranya ada bukti jelas mengenai kesila- pan yang dilakukan pengadil," kata Blatter kelmarin.

Beliau juga menjelaskan, kredibiliti FIFA akan terjejas sekiranya tidak mempertim- bangkan semula cadangan penggunaan teknologi tersebut pada mesyuarat panel badan induk itu di Wales bulan depan.

"Selepas menyaksikan semula beberapa insiden yang berlaku membabitkan perlawanan antara England dan Jerman serta Argentina dan Mexico, kami akan membuka semula isu mengenai penggunaan teknologi ini. Itu sudah pasti," katanya lagi.

Blatter menambah, beliau telah meminta maaf kepada pegawai pasukan England dan Mexico selepas perlawanan tersebut.

"Pegawai pasukan England hanya berkata terima kasih manakala pegawai pasu- kan Mexico pula hanya menganggukkan kepala sahaja.

"Saya faham mereka tidak gembira dengan situasi itu. Ia bukanlah satu pengadi- lan yang bertaraf lima bintang."

Terdahulu, perdebatan mengenai penggunaan teknologi dalam bola sepak kembali hangat diperkatakan.

Semuanya gara-gara kesilapan pengadil ketika perlawanan antara England dan Jerman serta Argentina dan Mexico pada aksi pusingan kedua.

Carlos Tevez dilihat berada dalam kedu- dukan ofsaid ketika menjaringkan gol pertama Argentina sewaktu menewaskan Mexico 3-1 kelmarin.

Gol penyamaan Frank Lampard ketika England tewas 1-4 kepada Jerman, Ahad lalu pula tidak dikira biarpun bola sudah melepasi garisan gol.

- AP

Sebab siaran Piala Dunia lewat

LONDON - Ketika perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 dari Afrika Selatan dan Kejohanan Tenis Wimbledon di sini menguasai televisyen di rumah, pejabat dan kedai makan, timbul persoalan kenapakah terdapat televisyen yang siaran secara langsung lebih awal daripada televisyen lain, lapor sebuah akhbar semalam.

Jawapannya terletak pada televisyen yang sedang ditonton dan cara siaran itu diterima.

Penyebab paling lazim ialah kelewatan dalam aspek menukar kod data digital.

Di rumah, peralatan digital mengandungi perisian yang mentafsir kod data isyarat siaran.

Maksudnya, semakin banyak perincian dalam siaran, maka lebih banyak masa diperlukan untuk proses mentafsir kod.

Justeru, penonton yang menonton menerusi isyarat analog atau menggunakan aerial yang dipasang terus ke televisyen biasanya akan memperoleh siaran langsung lebih awal.

Oleh itu, mereka yang menonton siaran lansung pada televisyen analog lama, siarannya adalah beberapa saat lebih pantas.

Berbanding televisyen berdefinisi tinggi, masa lebih banyak diperlukan untuk mentafsir kod siaran yang berkualiti tinggi. Sementara itu, mereka yang menonton siaran sukan secara dalam talian terpaksa berdepan dengan sedikit kelewatan kerana isyarat perlu melalui alamat protokol Internet atau lebih dikenali dengan panggilan IP.

- Agensi

JPA perkenal program mentor

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperkenalkan program mentor menti bagi pegawai lantikan baru dan pegawai yang dinaikkan pangkat bagi membangun dan meningkatkan kompetensi kerja dan peribadi pegawainya dalam jangka panjang, berkuat kuasa bulan ini.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Bahagian Operasi), Datuk Dr Ismail Alias, berkata pelaksanaannya adalah susulan kejayaan program perintis mentor–menti membabitkan sebahagian pegawai kerajaan yang dijalankan dua tahun lalu.

Pelaksanaannya dibuat mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 2010 yang dikeluarkan 18 Jun lalu iaitu Panduan Pelaksanaan Pementoran Dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam.

“Program perintis itu berjaya membentuk pegawai dan kakitangan yang lebih berkeyakinan, mudah menyesuaikan diri, pengurusan kerja yang teratur dan memudahkan sistem penyampaian sektor awam.

“Pencapaian itu mendorong JPA merangka program mentor-menti yang lebih terperinci dan sistematik membabitkan pegawai dan kakitangan mengikut kriteria ditetapkan, termasuk menyediakan garis panduan dan sistem penilaian bagi membantu meningkatkan mutu program dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ismail berkata, program itu yang akan dipantau Bahagian Pengurusan Psikologi JPA membabitkan tempoh masa enam hingga 12 bulan dengan jumlah masa terkumpul bagi setiap menti berurusan dengan mentor adalah enam jam.
“Program ini boleh membantu pegawai awam untuk lebih bertanggungjawab dan membantu kakitangan baru untuk melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi,” katanya.

Program itu adalah pendekatan JPA untuk memberi bimbingan, sokongan dan bantuan dengan menerapkan elemen psikologi dan kaunseling secara profesional oleh mentor kepada menti bertujuan meningkatkan pembangunan dan kompetensi profesional, budaya, peribadi dan sosial pegawai lantikan baru dan yang dinaikkan pangkat.

Pekeliling itu menyebut, pementoran adalah perhubungan yang dibina antara mentor dan menti dengan mentor berkongsi ilmu, nilai dan pengalaman, memberitahu keputusan dan bertindak berdasarkan idea yang dihasilkan, sementara menti dapat mempelajari ilmu, nilai dan pengalaman dan memindahkannya dalam realiti pekerjaan dan kehidupan.

- BERITA HARIAN

Recent Posts