Selasa, Jun 01, 2010

Permohonan Dalam Talian Temuduga Guru Sandaran Terlatih (eGST) Keluaran IPTA 2010

Permohonan Dalam Talian Temuduga Guru Sandaran Terlatih (eGST) Keluaran IPTA bagi tahun 2010 boleh dibuat di:
http://apps.emoe.gov.my/egst/mohon/index.cfm

Tarikh Permohonan : 1 Jun 2010 - 30 Jun 2010

Permohonan dibuka kepada graduan pendidikan keluaran IPTA sahaja
(Ijazah Sarjana Muda Pendidikan - ISMP & Diploma Pendidikan - DPLI)

Pemohon boleh menyemak status permohonan dan temu duga mulai 19 Julai 2010 - 23 Julai 2010

1.0 PENGENALAN

Sistem permohonan secara dalam talian bagi urusan pengambilan Guru Sandaran Terlatih diperkenalkan bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan pengambilan guru oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan memudahkan graduan pendidikan memohon jawatan guru di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

2.0 SYARAT DAN KELAYAKAN ASAS

2.1 Kewarganegaraan
Pemohon mestilah warganegara Malaysia.

2.2 Umur
Pemohon mestilah berumur melebihi 18 tahun dan kurang daripada 50 tahun pada tarikh permohonan.

2.3 Kelayakan
i. Memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang diiktiraf oleh kerajaan; atau
ii. Memiliki Ijazah Sarjana Muda beserta Diploma Pendidikan yang diiktiraf oleh kerajaan; dan
iii. Memiliki kepujian Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau setaraf dengannnya.

*Calon yang telah disahkan Senat Universiti telah tamat pengajian dan layak dianugerahkan Ijazah/Diploma berkenaan juga layak memohon.

3.0 CALON YANG TIDAK BOLEH MEMOHON MELALUI PERMOHONAN SECARA TALIAN TERUS e-GST.

i. Calon yang pernah meletak jawatan dalam Perkhidmatan Awam (lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Suruhanjaya Perkhidmatan Polis dan Suruhanjaya Kehakiman).
ii. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma yang mendapat Ijazah Secara Pengajian Jarak Jauh/Program Khas Pensiswazahan Guru/Cuti belajar Separuh Gaji dan lain-lain.
iii. Calon yang sedang berkhidmat dengan agensi kerajaan dan Badan Berkanun.
iv. Calon bekas tentera.

Calon di para 3 di atas hendaklah memohon ke Bahagian Sumber Manusia secara Manual dengan mengemukakan semua salinan sah dokumen berikut:
i. Surat Permohonan calon
ii. Sekeping gambar ukuran Pasport
iii. Sijil Kelahiran
iv. Kad Pengenalan
v. Sijil-sijil Akademik
vi. Surat Pengesahan Senat Universiti (jika berkenaan)
vii. Penglibatan aktiviti Ko Kurikulum
viii. Pengiktirafan Ijazah/Diploma daripada Jabatan Pekhidmatan Awam (jika berkenaan)
ix. Surat Kebenaran Cuti Belajar (jika berkenaan)
x. Kenyataan Pekhidmatan


Dokumen-dokumen berkenaan hendaklah dihantar ke alamat berikut:

Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
Kementerian Pelajaran Malaysia
Aras 1 - 5 Blok E12 Kompleks E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 Putrajaya


BAHAGIAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
http://www.moe.gov.my

Kunci Kemurahan Rezeki

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.”

Riwayat Bukhari & Muslim

Huraian:

Pengajaran Hadis:

i) Allah yang mewujudkan sifat semulajadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah. Firman Allah S.W.T yang maksudnya "Bandingan (perbelanjaan/derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”(al-Baqarah:26)

ii) Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang yang memerlukannya kerana kesenangan (kekayaan) yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya merupakan satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini.

iii) Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan oleh Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.

iv) Oleh itu demi mencari keredhaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat-ingat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan. Sebenarnya di sebalik amalan bersedekah akan dapat mewujudkan perasaan kasih sayang sesama manusia dan sesungguhnya amalan yang baik akan dibalas baik oleh Allah S.W.T.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Melaka diasaskan pada 1262

Jika pada April lalu sekumpulan penyelidik merumuskan sejarah penubuhan kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada 1278 tetapi kali ini tarikhnya berubah kepada lebih awal iaitu 1262 dan bukannya pada tahun 1400 yang menjadi rujukan selama ini.

Keputusan memilih tarikh 1262 sebagai penubuhan kerajaan Melayu Melaka itu diputuskan hasil kesepakatan kajian selama setahun oleh sepasukan penyelidik yang dilantik oleh kerajaan negeri menerusi kerjasama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).

Keputusan itu dipersetujui pada Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka anjuran IKSEP bersama Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang diadakan semalam.

“Keputusan ini muktamad ekoran hasil kajian oleh sekumpulan penyelidik sejak Jun 2009 yang bersepakat untuk menolak pendapat penulis-penulis terdahulu.

“Sebelum ini, tarikh 1400 dan 1278 yang dikemukakan tidak mempunyai ciri fakta yang kukuh sebagai tahun sebenar penubuhan kerajaan Melayu Melaka kerana tahun itu diperoleh daripada andaian dan tujuan penulisan berdasarkan sumber-sumber yang ada,” katanya.

- KOSMO!

30,000 ahli Facebook tarik diri tanda protes

Satu kumpulan yang memprotes polisi peribadi keahlian Facefook mendakwa lebih 30,000 orang sudah menarik diri daripada menganggotai rangkaian sosial internet gergasi itu.

“Bagi kami, dua perkara memjadi persoalan, iaitu pilihan lebih bebas dan memperoleh lebih tumpuan.

"Pada pandangan kami, Facebook tidak melakukan yang terbaik kerana dari segi jabatan atau organisasinya, mereka tidak memperkenalkan diri mereka," kata kumpulan itu dalam satu laman web yang dikenali "Hari Keluar Daripada Facebook (Quit Facebook Day).

“Facebook memberi kita pilihan bagaimana untuk menguruskan data peribadi kita, tetapi ia bukan pilihan yang adil," katanya.

Beliau berkata, menjelang tengah malam semalam, 32,749 sudah keluar daripada Facebook di seluruh dunia.

Facebook.com dilayari lebih 540 juta orang ramai di seluruh dunia, iaitu 35 peratus daripada populasi internet, menurut data dikeluarkan Google.

Facebook kini melakukan pindaaan terhadap kawalan data peribadi ahlinya selepas dikritik hebat kerana melanggari kepercayaan ahli dengan mengeluarkan maklumat peribadi pelanggan.

- AFP

Pejabat swasta berhawa dingin zon larangan merokok


Semua tempat kerja dengan sistem pendingin hawa berpusat akan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok mulai hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata penguatkuasaan menyeluruh itu membabitkan semua tempat kerja sektor swasta berbanding hanya sektor kerajaan sebelum ini, menjadikan kawasan larangan merokok di negara ini sebanyak 21 tempat.

“Dengan peraturan baru ini, kita dapat melindungi pekerja swasta yang tidak merokok dan bekerja lapan jam sehari, malah ada yang bekerja lebih masa selama 12 jam daripada asap rokok serta risiko menghidap penyakit kronik termasuk kanser,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010 Peringkat Kebangsaan di sini, semalam.

Liow berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 11,980 notis kesalahan dan 6,616 kompaun dikeluarkan penguat kuasa kementerian dengan jumlah kompaun kira-kira RM1.4 juta kerana kesalahan merokok di kawasan larangan.

“Sebanyak 4,451 kes pelanggaran sudah dibawa ke mahkamah membabitkan nilai denda berjumlah RM147,000 dan seorang dipenjarakan,” katanya.

Sementara itu, berhubung larangan penjualan rokok 14 batang bermula 1 Januari tahun depan, Liow berkata, kementerian sememangnya mahu mempercepatkan penguatkuasaan itu namun terpaksa menyelesaikan beberapa perkara terlebih dulu termasuk penjualan rokok haram yang kini meningkat kepada 40 peratus.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga sedang menjalankan kajian rasmi mengenai gambar beramaran baru yang akan diletakkan pada kotak rokok memandangkan maklum balas diterima melalui laman sosial Twitter mendapati, 80 peratus mengatakan gambar sedia ada tidak lagi memberi kesan.

Terdahulu dalam ucapannya, Liow berkata, jumlah perokok wanita di negara ini adalah pada tahap 1.6 peratus berbanding 20 peratus yang direkodkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, justeru golongan itu dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan promosi yang dilakukan syarikat rokok termasuk merokok boleh melangsingkan badan dan melambangkan gaya hidup bebas.

- BERITA HARIAN

Israel bunuh aktivis misi Gaza


Komando Israel menyerbu beberapa kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza awal semalam menyebabkan 19 orang maut dan 36 lagi cedera, kebanyakannya aktivis Turki sekali gus mencetuskan krisis diplomatik antarabangsa.

Anehnya, Israel menyalahkan aktivis kerana mencetuskan keganasan hingga membawa kematian menyebabkan aktivis memberi keterangan bagaimana ia berlaku di perairan antarabangsa.

Rakaman secara langsung sebuah bot Turki yang boleh dilihat di internet, menunjukkan komando berpakaian hitam Israel turun dari helikopter dan menyerang aktivis.

“Ketika keadaan masih gelap, komando Israel turun dari helikopter ke kapal Mavi Marmara dan terus melepaskan tembakan sebaik menjejakkan kaki di dek,” menurut laporan laman web Pergerakan Bebaskan Gaza.

Rakaman itu menunjukkan keadaan kacau bilau dengan beberapa bot peronda Israel berada tidak jauh dari situ.

Tentera Israel, bagaimanapun, mendakwa askarnya hanya menembak selepas diserang dengan pisau, cotar dan tembakan peluru hidup.
“Kesan daripada keadaan itu anggota tentera laut menggunakan kekerasan termasuk melepaskan tembakan,” menurut jawapan tentera Yahudi itu.

Apapun, Israel tetap mempersalah aktivis damai terbabit.

“Mereka yang memulakan keganasan. Kami berusaha sedaya upaya mengelakkannya. Tetapi askar kami diserang dengan pisau, besi serta ditembak,” kata jurucakap Netanyahu, Mark Regev.

Antara yang cedera termasuk komando laut Israel, dua daripada mereka parah dan tiga lagi semakin pulih.

Ketika butir-butir pertumpahan darah itu mula diketahui umum, sebuah bot tentera Israel dilihat mengiringi kapal besar berwarna putih dan sebuah lagi kapal lebih kecil masuk ke pelabuhan Ashdod.

Lelaki berpakaian hitam dilihat di dek bot lebih besar dipercayai kapal penumpang. Laporan media menyatakan, seorang pemimpin Arab, Raed Salah juga cedera dalam kejadian itu.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas menyifatkan korban serangan di perairan antarabangsa itu sebagai mangsa pembunuhan beramai-ramai Yahudi dan mengumumkan tempoh berkabung tiga hari.

“Kita perlu ambil keputusan yang sukar hari ini,” kata seorang pegawainya di televisyen tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) juga menggesa diadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membincangkan tindakan umpama lanun, jenayah dan pembunuhan oleh Israel, kata ketua perunding, Saeb Erakat.

Selain itu, masyarakat Arab Israel juga menyarankan mogok diadakan sebagai membantah operasi laut Yahudi itu selain melancarkan protes.

Berikutan itu, beratus-ratus orang daripada pelbagai peringkat politik keluar beramai-ramai ke jalan raya di bandar Nazareth bagi membantah serangan berkenaan.

Pergerakan Hamas pula meminta PA berhenti berunding dengan Israel kerana melakukan jenayah terkutuk itu, kata pemimpinnya, Ismail Haniyeh.

– AFP

Kesan buruk rokok dari rambut ke kaki

Oleh Abu Bakar Abdul Majeed
Penolong Naib Canselor (Penyelidikan)
Institut Pengurusan Penyelidikan (RMI)
UiTM, Shah Alam

Kira-kira 20 peratus daripada lebih satu bilion perokok di dunia sekarang ini adalah wanita. Namun begitu, wanita yang merokok semakin meningkat di beberapa negara.

Untuk menangani isu ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memilih ‘Gender dan tembakau dengan penekanan pemasaran kepada wanita’ sebagai tema hari tanpa tembakau sedunia tahun ini, yang disambut setiap 31 Mei.

Hari Tanpa Tembakau Sedunia diadakan setiap tahun bertujuan memberi kesedaran bahaya tabiat merokok secara berterusan. Mengawal penggunaan rokok di kalangan wanita adalah penting sebagai sebahagian strategi pengawalan tembakau.

20 peratus daripada lebih satu bilion perokok di dunia sekarang ini adalah wanita. Namun begitu, wanita yang merokok semakin meningkat di beberapa negara.

Untuk menangani isu ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memilih ‘Gender dan tembakau dengan penekanan pemasaran kepada wanita’ sebagai tema hari tanpa tembakau sedunia tahun ini, yang disambut setiap 31 Mei.
Hari Tanpa Tembakau Sedunia diadakan setiap tahun bertujuan memberi kesedaran bahaya tabiat merokok secara berterusan. Mengawal penggunaan rokok di kalangan wanita adalah penting sebagai sebahagian strategi pengawalan tembakau.
Industri tembakau menjadikan wanita sebagai sasaran utama. Pihak industri perlu mewujudkan perokok baru bagi menggantikan perokok tegar yang separuh daripadanya sudah meninggal dunia akibat rokok.

Wanita yang merokok bermula sejak remaja boleh meningkatkan risiko putus haid dua hingga tiga tahun lebih awal daripada sepatutnya. Masalah ketidaktentuan haid seperti pendarahan yang tidak normal, haid yang tidak teratur atau tiada haid adalah masalah yang sering dihadapi perokok wanita.

Haid yang tidak normal dan putus haid awal mungkin disebabkan oleh kesan toksik bahan kimia dalam asap rokok terhadap ovari, atau pengurangan hormon estrogen yang signifikan. Tambahan pula, wanita yang merokok sekotak rokok setiap hari akan menghadapi kehilangan ketumpatan tulang sebanyak lima hingga 10 peratus lebih berbanding yang tidak merokok.

Kajian mendapati perokok wanita mempunyai 80 peratus risiko untuk mendapat barah pangkal rahim. Kajian diterbitkan Persatuan Barah Amerika Syarikat pada 1994 menunjukkan risiko kematian di kalangan pesakit barah payudara meningkat kepada 75 peratus apabila merokok dua kotak atau lebih sehari.
Merokok adalah risiko yang dikaitkan dengan penyakit Sekatan Pulmonari Kronik (COPD), penambahan jumlah wanita yang merokok kebelakangan ini menyebabkan kadar penyakit ini meningkat.

Di beberapa negara, peningkatan kadar perokok di kalangan wanita amat membimbangkan. WHO sudah mengeluarkan laporan bertajuk ‘Women and health: today’s evidence, tomorrow’s agenda’ yang mempunyai bukti berkaitan peningkatan iklan rokok yang menjadikan wanita sebagai sasaran utama.

Data dari 151 negara menunjukkan hampir tujuh peratus gadis remaja merokok, berbanding 12 peratus remaja lelaki. Di sesetengah negara, bilangan remaja perempuan yang merokok hampir sama dengan remaja lelaki. Mempromosi dan melindungi kesihatan wanita adalah penting bukan saja untuk hari ini malah untuk generasi akan datang.

Lebih banyak bukti saintifik mengenai bagaimana merokok mendatangkan bahaya kepada kesihatan ditemui pada 1980-an. Sejak itu kerajaan Malaysia menggiatkan kempen anti-merokok. Namun demikian, secara umumnya kempen hanya didapati berkesan terhadap golongan berpelajaran dan berpendapatan tinggi.

Merokok adalah satu polemik yang paling kerap diperkatakan. Setiap isu yang diketengahkan oleh kumpulan anti-merokok akan ditentang sama ada secara tersurat atau tersirat oleh kumpulan yang menggalakkan merokok,
terutama sekali industri tembakau. Maka dengan itu, usaha untuk mengubah tabiat merokok menjadi amat sukar.

Bukti saintifik semakin jelas menunjukkan bahawa rokok menyebabkan kematian, penyakit dan hilang upaya. Wujud asas kukuh menyatakan rokok menjadi penyebab utama kepada kematian yang boleh dielakkan. Setiap tahun, kira-kira lima juta orang mati disebabkan rokok. Kebanyakan kematian berlaku di negara yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Mengimbas kesan buruk merokok, ia merangkumi segala sistem yang ada di dalam tubuh manusia dan boleh dikatakan bahawa kesan buruk rokok berlaku dari hujung rambut sehingga hujung kuku. Masalah serangan angin ahmar atau strok boleh berlaku dalam sistem saraf pusat iaitu di bahagian otak.

Serangan ini boleh membawa padah kepada perokok, jika saluran darah yang pecah terletak di bahagian utama otak yang mengawal pergerakan, pertuturan, memori dan sebagainya. Hilanglah keupayaan menjaga diri sendiri ketika itu, dan seseorang mungkin terpaksa bergantung kepada penjagaan orang lain sepanjang hayat.

Serangan jantung juga boleh berlaku disebabkan penyempitan saluran darah koronari di jantung. Serangan jantung yang serius boleh saja membawa maut dalam masa beberapa ketika. Kalau pun ditakdirkan hidup, tempoh pemulihan mungkin mengambil masa yang sangat panjang dan kualiti kehidupan tidak lagi sama baik seperti sebelumnya.

Merokok menyumbang kepada lebih 25 jenis barah. Antaranya barah mulut, paru-paru, tekak, esofagus, perut, pundi kencing, pankreas dan ginjal. Sembilan puluh peratus daripada kes kanser jenis ini adalah disebabkan oleh tabiat merokok. Merokok juga menyebabkan ulser atau radang perut, masalah penghazaman makanan dan gangguan selera makan.

Bagi lelaki, tahap kesuburan perokok didapati lebih rendah daripada biasa. Perokok akan mengalami masalah kekurangan bilangan sperma, di samping masalah sperma tidak sihat dan tidak normal. Perokok juga lebih terdedah kepada masalah mati pucuk kerana tindakan bahan kimia dalam rokok menyebabkan saluran darah di alat kelamin mengalami penguncupan, justeru darah tidak dapat mengalir ke situ.

Seperti perokok lelaki, perokok wanita turut terdedah dengan risiko barah, termasuk barah paru-paru, mulut, tekak, kerongkong, buah pinggang, pankreas dan pundi kencing. Jika tabiat merokok diteruskan ketika hamil, maka janin dalam kandungan mengalami masalah pertumbuhan dada, kepala dan saiz keseluruhan tubuh yang lebih kecil daripada biasa.

Bayi juga apabila dilahirkan akan menghadapi lebih tinggi risiko terdedah kepada jangkitan paru-paru, pengurangan keupayaan fungsi jantung, dan sindrom kematian bayi secara tiba-tiba atau sudden infant death syndrome (SIDS).

Mengikut fakta, tahap kesuburan perokok wanita adalah lebih rendah iaitu sebanyak 72 peratus jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok. Hakikatnya, perokok muda terutama di kalangan golongan hawa semakin meningkat.

Melalui iklan dan promosi yang tidak beretika, ramai wanita beranggapan merokok boleh mengurangkan berat badan. Walhal ia hanya untuk mengelirukan generasi muda untuk merokok.

- BERITA HARIAN

Subkhiddin idam perlawanan penting Piala Dunia


Pengadil Malaysia pertama yang akan mengadili perlawanan Piala Dunia, Subkhiddin Mohd. Salleh mengimpikan untuk mengadili perlawanan yang melibatkan pasukan gergasi bola sepak dunia di Afrika Selatan.

Namun, kata Subkhiddin, perlawanan mana yang akan dikendalikannya, terserah kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menentukannya.

Subkhiddin, yang akan berlepas ke Afrika Selatan hari ini, mendedahkan dia tidak dibenarkan untuk menyatakan pasukan mana yang menjadi pilihannya.

''Sukar untuk saya menyatakan perlawanan mana yang akan saya adili di Afrika Selatan nanti

''Ia sulit, cuma FIFA yang akan membuat keputusan.

''Cuma saya menyimpan hasrat mengadili perlawanan penting di sana nanti,'' katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam.

Tambah Subkhiddin, tugas pengadil Piala Dunia bukan sahaja mengadili perlawanan, tetapi melindungi pemain agar tidak mengalami kecederaan serius.

Menurut anak kelahiran, Butterworth Pulau Pinang itu, dia mempunyai tugas berat di Afrika Selatan, dengan fokus utama mengadili perlawanan sebaik mungkin.

Namun, dalam masa yang sama dia cuba untuk menjaga keselamatan pemain, terutama yang bertaraf bintang agar tidak terlibat dengan insiden kekasaran yang teruk.

"Sebahagian daripada tugas pengadil ialah memastikan pemain yang mempunyai kemahiran yang bagus, tidak dicederakan sewenang-wenangnya.

''Ia tidak bermakna saya hanya akan menumpukan perhatian kepada pemain bintang, pemain lain juga perlu mendapat pelindungan sewajarnya," katanya

Jelasnya, kecederaan pemain bintang yang menjadi tunjang kepada sesebuah pasukan boleh merencatkan perancangan jurulatih.

Oleh itu, katanya mereka yang merupakan aset sukan bola sepak dunia, perlu dilindungi sebaik mungkin di sepanjang sebulan kejohanan itu.

Subkhiddin, 44, berharap tugasnya mengadili perlawanan Piala Dunia akan membuatkan lebih ramai pengadil di Malaysia terutamanya pengadil muda dan golongan remaja yang mahu menjadi pengadil, teruja dengan cita-cita mereka.

Jelasnya, mereka yang berminat harus sedar tentang kelebihan menjadi pengadil, kerana bukan mudah untuk dilakukan.

''Cuma, saya pasti akan berasa sedih apabila memasuki tahun terakhir tahun depan, kerana pada 2012 saya sudah bersara sebagai pengadil FIFA.

"Saya juga mungkin tidak menyambung tugas mengadili Liga Malaysia selepas bersara sebagai pengadil FIFA.

''Ini kerana saya mahu menghabiskan masa saya bersama keluarga dan kerjaya sebagai guru, selepas tidak dapat melakukannya dengan baik ketika menjadi pengadil," katanya.

- UTUSAN

Panduan kesihatan ketika melancong

Tahukah anda bahawa kita sebenarnya dikelilingi oleh pelbagai virus dan berisiko tinggi terdedah kepada penyakit berjangkit?

Lazimnya penyakit-penyakit berjangkit ini tersebar melalui udara dan selalunya ia dibawa oleh pelancong-pelancong yang gemar mengembara dari satu negara ke negara lain.

Untuk itu, dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan semasa mengembara, GlaxoSmithKline Pharmaceuticals (GSK) dengan kerjasama Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC), baru-baru ini telah melancarkan laman web Fit2Fly.

Laman web tersebut menekankan pentingnya para pelancong mengambil langkah berjaga-jaga mengenai penyakit yang berkaitan dengan pengembaraan.

Menurut Naib Presiden dan Pengarah Urusan GSK Malaysia, Singapura dan Brunei, Francis Del-Val, laman web tersebut lanjutan kepada kempen pendidikan dan kesedaran Fit-to-Fly yang dilancarkan pada September 2009.

Ia secara tidak langsung memberikan pelancong ruang tambahan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kesihatan kembara bagi perjalanan yang lebih sihat dan tanpa sebarang gangguan.

''Kami tahu bahawa Internet adalah satu medium rujukan pertama bagi pengguna.

''Menyedari kecenderungan inilah dan bersesuaian dengan masanya, kami telah melancarkan laman web Fit2Fly bagi mengintegrasi dan menyebarkan semua bahan kempen Fit-to-Fly,'' ujarnya ketika ditemui selepas majlis pelancaran laman web tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, bagi pelancong-pelancong yang gemar mengembara, mereka perlu sedar akan potensi bahaya di negara-negara yang mereka lawati dan belajar untuk meminimakan risiko mendapat penyakit-penyakit itu.

Untuk itu, laman web Fit2Fly berfungsi sebagai portal pusat mengenai penyakit-penyakit yang berkaitan dengan pengembaraan. Ia turut menggalakkan pelancong tampil berbincang dengan doktor mengenai kesihatan masing-masing sebelum melancong.

Hasil kajian baru-baru ini yang membabitkan lebih 34,000 pelancong antarabangsa yang telah mendapatkan perkhidmatan perubatan untuk penyakit yang berkaitan dengan pengembaraan, mendapati hanya 50 peratus orang dewasa dan 49 peratus kanak-kanak yang telah mendapatkan penjagaan perubatan sebelum melancong.

Sementara itu, menurut Presiden MSIDC, Prof. Datin Dr. Hamimah Hassan, hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa betapa pentingnya untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum memulakan sebarang perjalanan.

''Ibu bapa perlu berbincang mengenai rancangan pengembaraan mereka dengan pakar doktor kanak-kanak terlebih dahulu untuk memastikan bahawa mereka benar-benar mendapat perlindungan yang diperlukan.

''Berbanding dengan orang dewasa, kanak-kanak lebih cenderung untuk mendapatkan rawatan hospital iaitu 14 peratus berbanding 10 peratus di kalangan orang dewasa kerana kanak-kanak menghadapi risiko yang lebih tinggi dalam dehaidrasi akibat cirit-birit,'' ujarnya.

Jelas beliau, pelalian adalah 99 peratus berkesan untuk mengelakkan pelbagai jenis penyakit dan ia adalah langkah yang penting untuk mencegah sebarang penyakit yang berkaitan dengan pengembaraan.

Katanya lagi, jika memilih untuk tidak mendapatkan pelalian, anda bukan sahaja menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit asing tetapi juga mungkin mendatangkan perbelanjaan rawatan yang tidak perlu terutama sekali jika penyakit itu boleh dielakkan terlebih dahulu.

Ciri utama di laman web baru dan interaktif ini ialah penggunaan menu lebar ke bawah untuk perkara-perkara utama mengenai kesihatan pengembaraan dan gambaran yang berkaitan dengan penyakit-penyakit pengembaraan yang lazim tetapi boleh dicegah seperti Hipetitis A, Hipetitis B, demam kepialu, influenza dan meningitis meningokokus.

Kempen Fit-to-Fly juga akan membabitkan masyarakat awam menerusi program-program komuniti dan bahan-bahan maklumat melalui kerjasama dengan ejen-ejen pelancongan dan insuran serta ceramah di syarikat-syarikat multinasional.

Pada masa sama, MSIDC dan GSK berhajat untuk mengembangkan rangkaian mereka dengan mendapatkan sokongan daripada pakar-pakar perubatan bagi kempen Fit-to-Fly.

Jadi bagi mereka yang ingin melancong dan mengembara, apa kata layari www.fit2fly.com.my untuk maklumat lanjut.

Abu Bakar as-Siddiq seorang peniaga kain

Abu Bakar as-Siddiq dilahirkan pada tahun 573 Masihi. Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Abi Quhafah. Berasal dari keturunan Bani Tamim, Abu Bakar terkenal sebagai seorang usahawan yang berjaya. Semasa hidupnya, beliau pernah menjadi penjual kain.

Sebelum memeluk agama Islam beliau terkenal dengan gelaran Abdul Kaabah. Selepas Abu Bakar memeluk Islam, gelaran as-Siddiq diberikan oleh Nabi Muhammad kepadanya kerana keikhlasan dan kejujurannya mengembangkan agama Islam.

Beliau juga taat dan setia kepada Nabi Muhammad.

Selepas Nabi Muhammad meninggal dunia, Abu Bakar dilantik menjadi khalifah pada tahun 11 Hijarah dan meninggal dunia pada 13 Hijrah.

Walaupun bergelar khalifah, Abu Bakar masih terus berniaga bagi menyara kehidupan keluarganya.

Malah pada hari selepas dilantik sebagai khalifah, beliau tetap berniaga kain di pasar.

Semasa dalam perjalanan ke pasar beliau terjumpa sahabatnya, Umar.

Selepas Umar melihat kelibat Abu Bakar, beliau hairan dan bertanya sendirian: "Bukankah Abu Bakar sudah dilantik menjadi khalifah. Mengapakah beliau masih lagi berniaga di pasar?"

Tanpa berlengah, Umar terus bertanya kepada Abu Bakar. "Adakah kamu hendak ke pasar?"

"Ya. Saya perlu berniaga pada hari ini bagi mencari rezeki," jawab Abu Bakar sambil memegang kain-kain yang mahu dijualnya itu.

Umar menjadi semakin hairan dan bertanya: "Sekiranya kamu masih sibuk dengan perniagaan kain, siapakah yang melaksanakan tugas sebagai seorang khalifah?"

Lalu Abu Bakar menjawab: "Saya perlu mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga saya. Sekiranya saya tidak berniaga seperti ini, saya tidak dapat menyara kehidupan keluarga saya. Siapa yang perlu membantu saya mencari rezeki ini?"

Selepas mendengar penjelasan Abu Bakar, Umar terus mengemukakan ideanya. Umar mencadangkan supaya mereka berjumpa ketua pegawai Baitulmal, iaitu Abu Ubaidah al-Jarrah.

"Mari kita berjumpa Abu Ubaidah. Beliau ialah ketua pegawai Baitulmal. Kamu perlu mendapatkan bantuan wang sara diri daripada Baitulmal," kata Umar kepada Abu Bakar.

Mereka berdua pergi berjumpa ketua pegawai Baitulmal. Sampai sahaja di sana, Abu Ubaidah berkata: "Wang sara diri yang saya berikan kepada Abu Bakar serupa dengan wang sara diri yang diterima oleh orang yang layak menerima bantuan, tidak lebih atau kurang."

Bermula dari hari itu, Abu Bakar menerima bantuan wang sara diri daripada Baitulmal. Abu Bakar juga menumpukan sepenuh masanya menguruskan negaranya. Beliau tidak lagi menjalankan perniagaannya.

wang sara diri

Pada suatu hari, isteri Abu Bakar mahu makan makanan yang enak. Pada waktu itu Abu Bakar tidak mempunyai wang bagi membeli makanan itu kerana kehidupan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada wang Baitulmal.

Isterinya mendapat satu idea: "Saya cuba bahagikan wang sara diri yang kita dapat ini sedikit demi sedikit. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Apabila wang itu sudah cukup, dapatlah saya beli makanan yang saya idam-idamkan itu".

Kemudian Abu Bakar menjawab, "Saya bersetuju dengan pendapat kamu itu".

Lama kelamaan wang yang disimpan oleh isterinya semakin banyak. Wang itu sudah cukup bagi membeli makanan yang dimahukan oleh isterinya.

Pada hari isterinya mahu pergi membeli makanan itu, Abu Bakar merasakan bahawa wang sara diri yang diterimanya sudah berlebih-lebihan. Wang itu sudah melebihi daripada keperluan hidup keluarganya.

"Isteriku, saya rasa elok kita kembalikan semula wang yang terlebih itu kepada pihak Baitulmal," kata Abu Bakar kepada isterinya.

Isterinya tidak membantah suruhan suaminya itu. Malah Abu Bakar turut meminta pihak Baitulmal mengurangkan bayaran wang sara diri yang diperolehinya itu.

Begitulah kehidupan seharian Abu Bakar. Hasil usahanya menjadi peniaga mendatangkan pendapatan yang cukup bagi menampung keperluan hidup keluarganya.

Menurut anaknya Aisyah, selepas meninggal dunia, Abu Bakar ada meninggalkan seekor unta betina, sebuah mangkuk dan seorang orang gaji. Malah Abu Bakar juga berpesan menyerahkan kebun kurma yang dimilikinya kepada Baitulmal.

Abu Bakar berbuat demikian kerana beliau mahu menggantikan semula wang sara diri yang diterimanya daripada Baitulmal selama beliau menjadi khalifah.

- UTUSAN

Hari Gawai Tiba Lagi


SERIAN: Aroma tuak menusuk hidung, menyelubungi udara di sekitar rumah panjang masyarakat Dayak di Sarawak. Inilah tandanya bahawa masa yang ditunggu-tunggu sudah sekian lama hampir tiba.

Setelah sekian lama membanting tulang menuai hasil tanaman, kini masanya untuk meraikan penat lelah yang dicurah selama ini, sebagai tanda syukur atas hasil tuaian yang menjadi dan masa untuk merancang semula musim tanaman seterusnya.

Pada 1 Jun ini, akan disambutlah perayaan Hari Gawai. Justeru salah satu upacara penting untuk meraikannya ialah dengan meminum tuak sepuas hati.

Maka bagaimana sedapnya tuak ini banyak pula bergantung kepada bagaimana kepandaian cara membuatnya.

Dibuat dengan menggunakan beras, gula dan ragi yang ditapai sekian lama, kerja membuat tuak ini selalunya didominasi oleh kaum wanita yang perlu mematuhi dengan setia segala adat dan pantang larangnya sebelum dapat menghasilkan tuak yang terbaik.

Salah seorang yang pakar membuatnya ialah Simai Linggi, 47, dari Kampung Lebor, Jalan Gedong, kira-kira 75 km daripada Kuching yang telah membuat tuak dan mematuhi segala pantang larangnya sejak 20 tahun lalu.

Ini bermakna beliau membuat tuak sejak umurnya dalam lingkungan 20-an lagi.

Suri rumah dan ibu kepada tiga orang anak ini dengan penuh bangga akan memberitahu anda bahawa beliau mewarisi resepi dari ibu dan neneknya untuk membuat tuak, tetapi agak keberatan untuk mendedahkan ramuannya kepada anda.

"Buat tuak mula awal, kadang-kadang dua bulan sebelum perayaan. Memeram tuak perkara pertama yang kita buat sebab untuk dapat tuak yang baik ambil masa untuk jadi," katanya kepada Bernama.

Antara pantang semasa membuat tuak ialah wanita datang bulan tidak boleh membuatnya, katanya.

"Tuak tidak akan menjadi," jelas beliau.

Simai berkata satu lagi pantang ialah tidak boleh memeram tuak dalam tempayan yang pernah digunakan untuk menyimpan garam atau barang makanan bergaram, bagi mengelak tuak daripada menjadi masam.

"Mereka yang buat tuak juga tidak boleh ambil makanan dan minuman masam," jelasnya.

Perayaan Gawai bermula petang 31 Mei dengan upacara "membuat persembahan" di rumah panjang atau pusat kemasyarakatan sekiranya di kampung.

Upacara ini dilakukan oleh ketua perayaan bagi menandakan rasa syukur kepada Tuhan atas hasil tuaian yang menjadi di samping meminta petunjuk, berkat dan umur panjang sambil beliau mengorbankan seekor ayam jantan.

"Menjelang tengah malam, ai pengayu (tuak untuk umur panjang) dikeluarkan dengan setiap orang sama-sama mengucapkan selamat. Ini diikuti dengan makan-makan dan minum, menyanyi dan menari sampai esok pagi," kata Simai.

Penghuni rumah panjang tidak tidur semasa Gawai. Di sebelah pagi, mereka yag masih dapat bertahan "ngabang" (berkunjung) pula ke rumah sahabat handai dan kaum keluarga.

Selepas dirayakan selama dua minggu, perayaan gawai akan berakhir dengan "Ngiling Tikai" atau menggulung tikar perayaan.

Maka masyarakat Dayak pun meneruskanlah kehidupan mereka seperti biasa sehinggalah datang pula Hari Gawai pada tahun depan.

Itulah maknanya sambutan Hari Gawai di mana masyarakat Dayak akan mempamerkan segala kekayaan kebudayaan warisan mereka sementara kaum lain boleh mempelajarinya.

- BERNAMA