Subkhiddin idam perlawanan penting Piala Dunia


Pengadil Malaysia pertama yang akan mengadili perlawanan Piala Dunia, Subkhiddin Mohd. Salleh mengimpikan untuk mengadili perlawanan yang melibatkan pasukan gergasi bola sepak dunia di Afrika Selatan.

Namun, kata Subkhiddin, perlawanan mana yang akan dikendalikannya, terserah kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menentukannya.

Subkhiddin, yang akan berlepas ke Afrika Selatan hari ini, mendedahkan dia tidak dibenarkan untuk menyatakan pasukan mana yang menjadi pilihannya.

''Sukar untuk saya menyatakan perlawanan mana yang akan saya adili di Afrika Selatan nanti

''Ia sulit, cuma FIFA yang akan membuat keputusan.

''Cuma saya menyimpan hasrat mengadili perlawanan penting di sana nanti,'' katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam.

Tambah Subkhiddin, tugas pengadil Piala Dunia bukan sahaja mengadili perlawanan, tetapi melindungi pemain agar tidak mengalami kecederaan serius.

Menurut anak kelahiran, Butterworth Pulau Pinang itu, dia mempunyai tugas berat di Afrika Selatan, dengan fokus utama mengadili perlawanan sebaik mungkin.

Namun, dalam masa yang sama dia cuba untuk menjaga keselamatan pemain, terutama yang bertaraf bintang agar tidak terlibat dengan insiden kekasaran yang teruk.

"Sebahagian daripada tugas pengadil ialah memastikan pemain yang mempunyai kemahiran yang bagus, tidak dicederakan sewenang-wenangnya.

''Ia tidak bermakna saya hanya akan menumpukan perhatian kepada pemain bintang, pemain lain juga perlu mendapat pelindungan sewajarnya," katanya

Jelasnya, kecederaan pemain bintang yang menjadi tunjang kepada sesebuah pasukan boleh merencatkan perancangan jurulatih.

Oleh itu, katanya mereka yang merupakan aset sukan bola sepak dunia, perlu dilindungi sebaik mungkin di sepanjang sebulan kejohanan itu.

Subkhiddin, 44, berharap tugasnya mengadili perlawanan Piala Dunia akan membuatkan lebih ramai pengadil di Malaysia terutamanya pengadil muda dan golongan remaja yang mahu menjadi pengadil, teruja dengan cita-cita mereka.

Jelasnya, mereka yang berminat harus sedar tentang kelebihan menjadi pengadil, kerana bukan mudah untuk dilakukan.

''Cuma, saya pasti akan berasa sedih apabila memasuki tahun terakhir tahun depan, kerana pada 2012 saya sudah bersara sebagai pengadil FIFA.

"Saya juga mungkin tidak menyambung tugas mengadili Liga Malaysia selepas bersara sebagai pengadil FIFA.

''Ini kerana saya mahu menghabiskan masa saya bersama keluarga dan kerjaya sebagai guru, selepas tidak dapat melakukannya dengan baik ketika menjadi pengadil," katanya.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.